lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Perlis Tawar Biasiswa Kepada Anak Terengganu Belajar di KUIPs
Perlis Tawar Biasiswa Kepada Anak Terengganu Belajar di KUIPs
KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Kerajaan Negeri Perlis menawarkan biasiswa kepada lima anak Terengganu untuk menyambung pengajian di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs). Exco Hal Ehwal Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan, Industri Halal dan Penerangan Perlis, Muhammad Azmir Azizan berkata, tawaran tajaan penuh kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia itu telah diperkenankan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis (Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail). “Jumlah tajaan sepanjang pengajian samada di peringkat diploma ataupun ijazah adalah sebanyak RM34,000 untuk setiap pelajar. “Di samping itu, mereka turut diberikan elaun sara hidup pelajar sebanyak RM300 setiap bulan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada pertemuan beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut katanya, kriteria pemilihan pelajar akan diuruskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).  
13 May 24
236
Kunjungan Exco Perlis Bincang Pemerkasaan Syariah
Kunjungan Exco Perlis Bincang Pemerkasaan Syariah
KUALA TERENGGANU, 13 Mei- Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menerima kunjungan Exco Hal Ehwal Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan, Industri Halal dan Penerangan Perlis, Muhammad Azmir Azizan bersama agensi dibawah portfolionya di Wisma Darul Iman, hari ini. Muhammad Khalil memaklumkan, pelbagai perkara dibincangkan dalam pertemuan tersebut bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Terengganu dan Perlis. “Banyak yang diutarakan berkisar tentang pemerkasaan syariah khususnya melibatkan undang-undang syariah Islam. “Antaranya, bagaimana kita hendak memperkasakannya apabila berdepan dengan cabaran semasa khususnya pasca keputusan Mahkamah Persekutuan yang berpihak kepada kes Nik Elin yang menyatakan bahawa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak berhak untuk meluluskan enakmen jenayah syariah. “Jadi perkara itu penting kerana kita mahu masyarakat faham tentang apa yang berlaku,” ujarnya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut. Katanya, agensi berkaitan juga diminta supaya berhubung antara satu sama lain bagi memperkemaskan lagi hubungan antara kedua-dua negeri. Sementara itu, Muhammad Azmir berkata, tujuan pihaknya mengadakan kunjungan ke Negeri Terengganu adalah untuk bertukar-tukar pandangan khususnya antara agensi dibawah portfolio yang sama di kedua-dua negeri. “Dalam pertemuan ini ada sesi soal jawab bagi kita dapatkan input-input yang boleh kita bawa balik ke Perlis untuk dicontohi atau dilaksanakan,” ujarnya.  
13 May 24
201
Dr. Sam Bawa Keluhan Rakyat di Rumah Terbuka Madani
Dr. Sam Bawa Keluhan Rakyat di Rumah Terbuka Madani
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membawa keluhan, pandangan dan harapan rakyat di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat negeri semalam.
12 May 24
416
'Pintu Rumah Negeri Kami Sentiasa Terbuka' - Dr Sam
'Pintu Rumah Negeri Kami Sentiasa Terbuka' - Dr Sam
KUALA NERUS, 12 Mei - "Pintu rumah negeri kami sentiasa terbuka dalam memastikan hubungan yang baik berlangsung antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan demi Kesejahteraan Rakyat," ujar Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Ujarnya, selama ini apa yang diiltizamkan olehnya adalah memastikan hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bertambah baik. "Pintu rumah terbuka ini juga adalah gambaran keyakinan kami, bahawa hubunagn antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seharusnya sentiasa positif dan bertambah baik seperti peribahasa Melayu ; tidak ada kusut yang tidak selesai, tidak ada keruh yang tidak jernih. "Di masa yang sama, terbukanya rumah besar ini bukan bermakna rumah kami tidak bertuan, apabila sahaja rumah ini dikunjungi dan tetamu berada di depan pintu, maka berikanlah salam, insya-Allah salam akan disambut," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, baru-baru ini. Tambah Ahmad Samsuri, berbeza pandangan dan politik adalah lumrah namun matlamat sama di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu diutamakan agar rakyat tidak menjadi mangsa. Namun, katanya perbezaan yang ada juga mesti mengikut garis panduan, kaedah dan adabnya. "Sasaran, yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan, contohnya untuk menokhtahkan kemiskinan tegar di Malaysia termasuklah di Terengganu, merupakan antara satu hala tuju yang sama digariskan oleh pentadbiran kerajaan negeri. "Begitu juga persamaan dalam usaha membawa pelabur, meningkatkan kecekapan tatakelola, pentadbiran yang berintegriti, meningkatkan kualiti hidup rakyat dan sebagainya. "Seharusnya dalam keadaan sebegini, masa dan tumpuan kita dicurahkan pada membincangkan dan melunaskan persamaan ini daripada melebarkan perbezaan yang ada antara negeri dan Persekutuan, apatah lagi perbezaan tersebut adalah perbezaan partisan," katanya. Justeru beliau yakin jika negara serta negeri ditadbir secara telus maka rakyat akan dapat lebih banyak manfaat. "Saya yakin, jika kita tulus dan murni hati demi masa depan dan kesejahteraan rakyat secara bersama maka lebih banyak perkara yang dapat kita capai dalam kerangka semangat federalisme," ujarnya.  
12 May 24
277
KMI Diiktiraf Sebagai Hospital Pakar Komuniti Terbaik Malaysia
KMI Diiktiraf Sebagai Hospital Pakar Komuniti Terbaik Malaysia
KUALA TERENGGANU, 10 Mei- Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) dinobat sebagai Hospital Pakar Komuniti Terbaik di Malaysia pada acara berprestij GlobalHealth Asia-Pacific 2024.  Majlis yang berlangsung di JW Marriott Phuket Resort and Spa baru-baru ini dianjurkan sebagai meraikan kecemerlangan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta di rantau Asia Pasifik. Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali yang menerima anugerah penghargaan tersebut bagi pihak organisasi, merakamkan setinggi penghargaan diatas pengiktirafan KMI Healthcare yang dipilih sebagai antara penyedia perkhidmatan kesihatan swasta terbaik di Malaysia. Menurut beliau, anugerah GlobalHealth Asia-Pacific bertujuan memberi pengiktirafan kepada hospital-hospital swasta yang secara konsisten membudayakan amalan penjagaan dan perkhidmatan perubatan yang cemerlang dan berdaya maju.  "Pengiktirafan KMI Healthcare sebagai Hospital Pakar Komuniti Terbaik merupakan medium bagi merealisasikan slogannya iaitu ‘Menerajui Kehidupan Sihat’ dan mengukuhkan kedudukannya dalam komuniti setempat sebagai Penyedia Perkhidmatan Kesihatan Pilihan yang Dipercayai," ujarnya dalam satu kenyataan. Katanya, prestasi KMI Healthcare terus cemerlang dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan pesakit. "Beroperasi 24 jam sehari, rangkaian hospital KMI Healthcare menyediakan perkhidmatan mudah akses bagi penjagaan kesihatan yang berterusan.  "Sebagai sebuah Kumpulan rangkaian hospital swasta yang sedang pesat berkembang, KMI Healthcare kini beroperasi di lima buah hospital pakar komuniti iaitu, KMI Kuantan Medical Centre, KMI Kuala Terengganu Medical Centre, KM Taman Desa Medical Centre, KMI Kelana Jaya Medical Centre dan KMI Tawau Medical Centre, " ujarnya. Tambah beliau, ciri utama pendekatan KMI Healthcare adalah penekanan terhadap keselesaan dan privasi pesakit. "Hospital yang dibina khas turut menawarkan hanya bilik persendirian bagi tujuan keselesaan pesakit ketika berada di wad sekaligus mengurangkan risiko penularan jangkitan.  "Komitmen KMI Healthcare terhadap pengalaman pesakit juga terserlah melalui penerapan Hospital Mesra Ibadah, yang mengintegrasikan amalan keagamaan dalam aktiviti seharian, memastikan kesejahteraan emosi dan rohani pesakit, " jelasnya.
11 May 24
440
Dr Sam Bawa Keluhan Rakyat di Rumah Terbuka Madani
Dr Sam Bawa Keluhan Rakyat di Rumah Terbuka Madani
KUALA NERUS, 10 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membawa keluhan, pandangan dan harapan rakyat di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat negeri semalam. Ujarnya, apa jua suara yang dilontarkan rakyat perlu diberikan perhatian oleh semua pihak sama ada pemimpin di peringkat kerajaan negeri mahupun persekutuan. "Saya rumuskan keluhan rakyat ini dengan kata kunci 'impian kita semua', adalah menjadi impian kita untuk negara dan negeri ini akan terus mencapai kemajuan bertunjangkan keharmonian dan perpaduan antara rakyat yang pelbagai. "Impian kita, negara dan negeri ini lebih aman dengan menjunjung politik matang yang menoktahkan pengalaman 'Politik MachiaVelli', politik fitnah, politik dendam dan dikriminasi, (juga) impian kita negara ini yang bermula dari Perlis hingga ke Sabah rakyatnya mendapat perhatian yang saksama, tanpa dibaluti warna yang berbeza dan menyisihkan. "Impian kita, pengalaman dan semangat federalisme yang termaktub kukuh dalam perlembagaan, terus mengakrab dan mempererat, bukan merosak dan menjarak hubungan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, di sini. Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja. Ahmad Samsuri berkata, adalah menjadi impian setiap rakyat agar pemimpin negara dan negeri saling kuat memperkuat. "Laksanakan amanah dipundak masing-masing dengan penuh integriti, agar kita semua dipertemukan semula di Syurga-Nya nanti. "Saya percaya inilah impian kita semua yang perlu kita capai, demi 'Malaysia Sejahtera'," ujarnya.  
10 May 24
376
Sultan Mizan Berkenan Nikmati Santapan Bersama Warga Istimewa, Fakir Miskin
Sultan Mizan Berkenan Nikmati Santapan Bersama Warga Istimewa, Fakir Miskin
KUALA TERENGGANU, 9 Mei- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis santapan bersama warga istimewa dan fakir miskin sempena sambutan ulang tahun ke-62 hari keputeraan baginda di Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini. Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.  Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 400 penerima. Penerima melibatkan 100 asnaf fakir miskin yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), 200 Orang Kelainan Upaya (OKU) bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 100 golongan ibu tunggal bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.  
09 May 24
1470
Penghuni ‘Tirai Besi’  Terharu Hasil Tenunan Songket Diiktiraf
Penghuni ‘Tirai Besi’  Terharu Hasil Tenunan Songket Diiktiraf
MARANG, 8 Mei – “Kami hanya penghuni penjara, tetapi hasil kerja kami diiktiraf dan ia satu penghormatan buat kami,” itu antara luahan salah seorang penghuni tirai besi yang mahir dalam tenunan songket. Rashid (bukan nama sebenar),33,  berkata dia bersyukur dengan anugerah kebolehan menenun yang diberikan Allah dan dalam tempoh tujuh tahun belajar di Bengkel Songket Penjara Marang, dia mampu meraih kemahiran walaupun masih perlu banyak belajar untuk menjadi penenun berkemahiran tinggi. “Tidak pernah terlintas mahu menceburi bidang tenunan yang lebih sinonim dengan wanita, tetapi saya mula meminati bidang ini selepas empat  bulan mempelajarinya. “Lebih membanggakan apabila songket bernilai ribuan ringgit itu dibeli dan digunakan orang kenamaan,” katanya yang kini sedang menjalani hukuman 15 tahun penjara. Tambah Rashid lagi, hasil tenunan songketnya pernah menjadi pilihan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan kepercayaan itu membuatkan dia berusaha sedaya upaya menghasilkan produk tenun yang terbaik. "Bebas nanti saya tidak teragak-agak untuk meneruskan tenunan ini sebagai punca pendapatan berdasarkan permintaan yang sedia ada termasuk sudah mempunyai pelanggan tetap,” ujarnya lagi. Sementara itu, bagi Karim  (bukan nama sebenar),35, yang hanya berbaki hukuman penjara dalam tempoh 10 bulan lagi berkata Penjara Marang kini bukan sekadar tirai besi yang menempatkan banduan, tetapi turut melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang tenunan songket sejak 2004. “Saya mengambil masa empat tahun untuk menguasai ilmu tenunan songket dengan bantuan kakitangan dan pegawai di penjara ini. “Saya cukup berbangga dan teruja dengan kepercayaan yang diberikan pelbagai pihak  kepada kami walaupun bergelar banduan,” ujarnya. Katanya, sejak menyertai bengkel tenunan itu, ia mengajar dirinya untuk bersikap sabar yang secara tidak langsung juga mencetuskan rasa keinsafan dan penyesalan terhadap kesalahan yang dilakukan dahulu. Dia yang mula menjalani hukuman pada 2017 berkata, ilmu kemahiran tenun yang dipelajari di penjara akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjalani hari-hari biasa selepas dibebaskan kelak.
08 May 24
262
Sultanah Nur Zahirah Lawat Bengkel Songket di Penjara Marang
Sultanah Nur Zahirah Lawat Bengkel Songket di Penjara Marang
MARANG. 7 Mei - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke Bengkel Songket dan Galeri Pameran Songket di Penjara Marang di sini, hari ini. Baginda tiba di Kompleks Penjara Marang pada 11 pagi dan meluangkan masa hampir dua jam bagi melihat pameran dan tenunan yang dihasilkan banduan di penjara itu. Turut berangkat mengiringi baginda, paduka anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Keberangkatan tiba baginda turut diiringi isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faizah  Tuan Ab Rahman. Turut menyambut ketibaan baginda, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim dan isteri serta isteri Setiausaha Kerajaan Terengganu,Toh Puan Seri Nor Zaini Abd Latif. Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor. Sultanah Nur Zahirah turut berkenan beramah mesra dengan para banduan yang merupakan penenun songket di bengkel penjara Marang.
07 May 24
209
Sultan Mizan Berangkat Ke Forum Agama Bersama 2,000 Rakyat
Sultan Mizan Berangkat Ke Forum Agama Bersama 2,000 Rakyat
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Forum Agama Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-62 tahun.
06 May 24
187