lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Ada Benda Tak Kena, Ranking Daya Saing Malaysia Terburuk
Ada Benda Tak Kena, Ranking Daya Saing Malaysia Terburuk
25 Jun 24
80
SUK Terengganu Proaktif Pastikan KPI HRMIS Capai Sasaran
SUK Terengganu Proaktif Pastikan KPI HRMIS Capai Sasaran
KUALA TERENGGANU, 25 Jun- Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah proaktif dalam memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) mencapai tahap 100 peratus sebagaimana sasaran ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, antara usaha yang dilakukan termasuk meneliti modul-modul yang terdapat dalam kamus KPI HRMIS ditetapkan kepada pentadbiran negeri sebelum dipanjangkan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam. “Pentadbiran ini sentiasa memantau pencapaian KPI HRMIS secara berkala kepada jabatan/agensi di bawah seliaan Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Terengganu melalui Sistem Analitik Sumber Manusia Sektor Awam (ASSIST) dan naziran kepada jabatan serta mengeluarkan laporan kepada semua agensi. “Selain itu, Pentadbiran Negeri turut mengeluarkan surat pemakluman berhubung tarikh penting KPI HRMIS dan sekiranya jabatan/agensi gagal mematuhi KPI HRMIS yang ditetapkan, jabatan/agensi perlu mengemukakan surat penjelasan kepada Pentadbiran Negeri agar sebarang permasalahan dapat dibantu dan diselesaikan “Kita juga sentiasa menjalinkan hubungan baik sesama agensi dan mengadakan program bersama agensi di bawah seliaan seperti mengadakan Klinik HRMIS, Bengkel Pendedahan Kepada Kakitangan Baharu dan juga Program Naziran di jabatan/agensi,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Turun Padang HRMIS Care Zone Timur 2024 di Wisma Darul Iman, hari ini. Seramai 312 peserta daripada 156 agensi di bawah perkhidmatan awam negeri bagi Zon Timur iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan menyertai program turun padang yang dianjurkan oleh pihak JPA itu. Mengulas lanjut katanya, pengenalan modul-modul baharu dan peningkatan KPI HRMIS bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai.  “Justeru, Pentadbiran Negeri berharap pihak Bahagian Digital dan Teknologi Maklumat (BDTM), JPA akan sentiasa membantu dan memberi kerjasama yang teguh kepada negeri dalam usaha memastikan KPI HRMIS dapat dicapai. “Sentiasa memberi informasi terkini kepada Negeri Terengganu supaya tidak ketinggalan dalam menjayakan program yang dirancang diperingkat Persekutuan. “Di samping memberikan latihan secara berterusan mengenai penggunaan pelbagai modul dan submodul HRMIS kepada Pentadbir-Pentadbir HRMIS dan Pengurus Sumber Manusia melalui Program Latihan (Training on HRMIS for user),” ujarnya. Katanya, latihan sebegini akan membantu meningkatkan pemahaman Pentadbir-Pentadbir HRMIS dan Pengurus Sumber Manusia secara ‘hands-on’ dalam mengoptimumkan penggunaan HRMIS.
25 Jun 24
605
Usaha Terengganu Lahirkan Huffaz Teknokrat di Landasan Tepat
Usaha Terengganu Lahirkan Huffaz Teknokrat di Landasan Tepat
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Usaha kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu untuk melahirkan 'teknokrat huffaz' kini berada di landasan yang tepat setelah semua pelajar lepasan Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu (SMIYT) telah mencapai kejayaan unggul di dalam peperiksaan awam. Kesemua pelajar lepasan sekolah tersebut bukan sahaja berjaya mencatatakan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tetapi telah berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran. Timbalan Pengarah Pendidikan Yayasan Terengganu (YT), Megat Samsudin Megat Yusof berkata, hari ini pihak YT berbesar hati memberikan insentif sebanyak RM353,000 kepada 353 murid. "Hari ini kita meraikan seramai 368 graduan pelajar tingkatan 5 dan 14 tingkatan 6 di mana seramai 353 murid telah berjaya khatam 30 juzuk hafalan al-Quran. "Manakala seramai 105 orang murid telah berjaya khatam al-Quran hanya dalam tempoh tiga tahun yang merupakan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga berdasarkan Petunjuk prestasi Utama (KPI) Ko-Kurikulum Hafazan Imtiaz. "Iaitu menghafal sekurang-kuranya satu muka surat sehari, 10 juzuk setahun dan akhirnya khatam 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran Kali Ke-14, Sekolah-Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu, di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, hari ini. Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah. Mengulas lebih lanjut, Megat berkata kejayaan pelajar SMYIT itu merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan. "Walaupun mempunyai rutin belajar (akademik)  yang padat sebagai anak soleh pintar namun masih mampu menghafal al-Quran (mengikut) silibus yang telah ditetapkan. "Statistik ini membuktikan bahawa SMIYT telah merealisasikan matlamat penubuhannya untuk melahirkan huffaz profesional secara langsung ia menjadi pemangkin modal insan dengan mida kelas pertama yang akan menyumbang kemajuan dan kelestarian negeri Terengganu," ujarnya. Dalam pada itu, Mohd Nor menzahirkan ucapan tahniah kepada YT kerana masih mengekalkan kejayaan dan mengangkat martabat pendidikan tahfiz di negeri Terengganu. "SMIYT juga masih berada dalam carta 10 sekolah terbaik di peringkat negeri dengan melahirkan seramai 70 orang pelajar mendapat 12A. "Tidak dilupakan ucapan tahniah dan terima kasih kepada warga pendidik kerana tanpa jemu bertungkus lumus menggembleng tenaga serta masa agar kejayaan pada hari ini terukir," ujarnya.  
25 Jun 24
855
INSTEP Latih 27 Asnaf Dalam Bidang Minyak Dan Gas
INSTEP Latih 27 Asnaf Dalam Bidang Minyak Dan Gas
KUALA NERUS, 24 Jun- Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) berjaya melatih 27 orang asnaf terpilih di negeri ini melalui program Latihan Teknikal Zakat Wakalah 2024.  Program pra-pekerjaan yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) itu memberi pendedahan asas kepada pelatih kemahiran TVET di dalam sektor minyak dan gas. Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Mohamad Nasir berkata, program latihan itu adalah sebahagian daripada usaha INSTEP menyokong agenda Dasar TVET negara di samping membantu golongan asnaf meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja di dalam bidang minyak dan gas. “Kami berharap, program ini mampu menarik minat setiap pelatih untuk terlibat di dalam industri ini, seterusnya meningkatkan kemahiran mereka untuk diterima bekerja dengan syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas," ujarnya pada majlis penyampaian sijil tamat latihan kepada pelatih yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan MAIDAM, Norhana Yaakub di INSTEP, hari ini.  Turut hadir, Pengurus Besar INSTEP, Azhar Ahmad . Mohamad berkata, MAIDAM melalui inisiatif Zakat Wakalah, melantik entiti yang membayar zakat kepada Pusat Pungutan Zakat berkenaan untuk mengagihkan sendiri sebahagian kutipan zakat kepada asnaf yang layak.  "Sebahagian zakat yang dibayar oleh kakitangan PETRONAS  kepada MAIDAM itu dikembalikan kepada Dana As-Syakirin sebagai pemegang amanah yang menguruskan zakat kakitangan PETRONAS. "Dana As-Syakirin mengagihkan sejumlah dana yang diterima tersebut untuk melatih asnaf di dalam bidang TVET sebagai salah satu usaha meningkatkan taraf hidup mereka melalui penglibatan di dalam sektor minyak dan gas.  "Manakala INSTEP selaku pusat latihan teknikal minyak dan gas, dilantik sebagai ejen pelaksana yang bertanggungjawab menjalankan pembelajaran," ujarnya. Mengulas lanjut katanya, melalui program sepenuh masa yang dijalankan selama empat bulan ini, pelatih didedahkan dengan pelbagai kemahiran asas di dalam bidang elektrikal dan mekanikal.  "Selain itu pelajar juga dibekalkan dengan program-program pensijilan tambahan seperti Ujian Tanpa Musnah (NDT), Keselamatan Bekerja di Tempat Terkurung (AESP), Pengetahuan Bantuan Cemas, Latihan Keselamatan dan Kesihatan (OGSP), dan Induksi Asas Keselamatan Luar Pesisir dan Latihan Kecemasan (BOSIET).  "Sijil-sijil tersebut merupakan keperluan penting yang melayakkan setiap individu untuk bekerja di dalam industri minyak dan gas," jelas beliau. Katanya, di dalam usaha meningkatkan nilai tambah program, INSTEP juga turut memperkenalkan modul sampingan seperti subjek Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Kesedaran Kemampanan.  "Selain daripada itu, aspek pembinaan keterampilan diri dan personaliti yang professional juga turut disertakan di dalam program tersebut.  "Pelatih-pelatih juga turut terlibat di dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan di dalam kampus, seperti sukan, riadah serta aktiviti pengukuhan pasukan (team building)," ujarnya. Tambah beliau, sepanjang tempoh program, selain kemudahan penginapan dan makanan, setiap pelatih turut menerima elaun bulanan sebanyak RM500.
24 Jun 24
382
Sanggup Berhenti Kerja Ternak Lembu Sado
Sanggup Berhenti Kerja Ternak Lembu Sado
MARANG, 24 Jun - Keputusan meninggalkan kerjaya stabil enam tahun lalu demi minat yang mendalam dalam bidang ternakan ternyata berbaloi buat Aiman Asyraf Kamarudin, 33. Bermula daripada mengusahakan projek ternakan lembu fidlot secara kecil-kecilan pada 2018, kini bekas penyelia projek syarikat swasta itu boleh menarik nafas lega apabila ladang ternakannya, AIDEN Cattle Farm mampu beroperasi secara komersil di Kampung Tok Fakir, Merchang, di mana tumpuan diberi kepada lembu baka Brahman.  Menyingkap kembali pembabitannya dalam bidang ternakan, Aiman berkata, semuanya bermula secara kecil-kecilan setelah mendapat tahu bahawa penternak tempatan hanya mampu membekalkan kira-kira 30 peratus sahaja daripada keperluan bekalan daging negara manakala selebihnya dimport dari pelbagai negara. “Hasil dorongan keluarga, saya nekad berhenti kerja dan selepas projek yang diusahakan mendapat sambutan, saya mula menternak lembu sado pada 2022 dengan fokus mengeluarkan lembu pedaging baka Charolais dan Limousine,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. AIDEN Cattle Farm yang diasaskan oleh Aiman dan tiga adiknya kira-kira enam tahun lalu kini memiliki lapan ekor lembu sado dari baka Charolais dan Limousine serta 35 ekor lembu baka Brahman yang ditempatkan di kandangnya.  Antara keistimewaan ternakan yang dibela di AIDEN Cattle Farm ialah diet ternakan di sini tidak hanya terhad kepada pallet semata-mata tetapi ia juga turut ‘dihidangkan’ dengan jagung yang dihancurkan, rumput segar dan silaj.  “Alhamdulillah maklum balas daripada peserta korban yang menyertai progam pakej ibadah korban bersama AIDEN Cattle Farm, daging korban tersebut tidak berlemak, padat dan lembut,” katanya yang merupakan graduan pengajian pembuatan dari sebuah kolej universiti tempatan. Anak muda yang berasal dari Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu itu berkata, kini AIDEN Cattle Farm telah menjadi antara pembekal lembu korban di negeri ini.  Mereka menjual lembu korban setiap kali musim perayaan Aidil Adha serta mengadakan pakej ibadah korban secara bahagian bagi kemudahan penduduk tempatan yang terdiri daripada baka Brahman dan Charolais.  “Berbanding lembu lain, lembu sado ini perlukan lebih perhatian dan suka dimanjakan,” katanya sambil menjelaskan bahawa setiap aktiviti dan rutin harian di AIDEN Cattle Farm boleh diikuti melalui tik tok @aidencattlefarm dan juga Facebook.  Kegigihan Aiman mengusahakan projek lembu Sado turut mendapat pengiktirafan pihak berkuasa apabila AIDEN Cattle Farm dipilih sebagai ‘Kandang Bimbingan’ Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, awal tahun ini.  Lebih membanggakan, beliau turut dicalonkan sebagai Penternak Jaya 2024.  “Saya terkejut apabila dihubungi pegawai Pejabat Veterinar Daerah Marang minggu lepas untuk dicalonkan sebagai Penternak Jaya 2024 di peringkat daerah Marang. “Saya tidak menaruh harapan besar untuk menang anugerah tersebut kerana ramai lagi penternak ‘otai’ yang turut dicalonkan bagi kategori berkenaan.  “Bagi saya pencalonan ini secara tidak langsung telah membakar semangat untuk saya berusaha lebih gigih dan mencapai kejayaan yang lebih besar di masa depan,” ujarnya.  
24 Jun 24
400
'Dive Against Debris' Bersih 70 Kilogram Sampah di Pulau Perhentian
'Dive Against Debris' Bersih 70 Kilogram Sampah di Pulau Perhentian
BESUT, 22 JUN - Penasihat Program DIVE AGAINST DEBRIS, Zuraidah Atan, kira-kira 150 sukarelawan dan pelancong dari luar negara telah bergotong-royong membersihkan Pulau Perhentian dekat Kuala Besut dan kawasan sekitar melalui program Dive Against Debris (DAD). Dalam program ini, mereka mengumpul sampah di dasar laut dan di pesisir pantai. Pada hari semalam, berjaya dikutip sebanyak 70 kilogram (kg) sampah di Pasir Panjang, Pulau Perhentian.    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut Azbi Salleh, usaha itu akan memastikan pulau tersebut akan terus terjaga akan keindahan serta kebersihannya untuk terus menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara. berkata, "Misi lebih besar kita ialah menjaga ekosistem dan konservasi laut. Di Pulau Perhentian Kecil ini, keindahan laut begitu penting untuk mengekal dan menambah bilangan kehadiran pelancong dari seluruh dunia. "Di sini, adalah salah satu tempat pilihan mereka menyelam. Kita mahu pelancong berkongsi cerita dan berita mengenai keindahan Pulau Perhentian Kecil ini, bila mereka pulang ke negara masing-masing. "Dengan kecangihan teknologi maklumat (IT) hari ini, saya harap program ini dihebohkan atau diviralkan secara meluas ke seluruh dunia. Kita tidak mahu bilangan pelancong terjejas hanya disebabkan kita gagal menjaga kebersihan laut dan pantai di sini," ujarnya ketika berucap merasmikan program berkenaan, di sini, baru-baru ini. "Melalui program ini, saya berharap kegiatan D.A.D dan pembersihan pantai ini akan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang supaya menjaga kebersihan laut dan mewujudkan laut yang bebas daripada sampah sarap. "Daripada penjelasan penyelam, mereka dapati banyak barangan buangan dan sampah sarap di dasar laut kita seperti plastik, pukat, botol, besi, kayu, kasut, dan bermacam-macam lagi. "Oleh itu, kita mesti galakkan generasi hari ini dan bakal generasi akan datang supaya menanam sikap membersihkan laut dan benci kepada kekotoran laut," katanya. "saya memberi jaminan bahawa sekiranya program seperti ini hendak dijalankan lagi, di mana-mana pulau di Terengganu darul Iman ini, saya percaya ia akan mendapat sokongan daripada Jabatan Pelancongan. Kalau hendak diadakan di Besut, Insya-Allah, saya sedia membantu, Kita mahu menjadikan laut di negara ini, khasnya di Terengganu Darul Iman ini sentiasa bersih sama ada pada permukaan atau di dasar laut. Kita berharap nama Malaysia akan berada sebaris dengan beberapa negara lain seperti di Indonesia, Filipina, Maldives, Thailand, Australia dan negara Eropah seperti di England, Sepanyol, Itali, Croatia, dan beberapa negara lain dalam melaksanakan kegiatan D.A.D ini," Ujarnya lagi. Dalam pada itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah Besut, selaku peneraju utama program ini bersama SALAM BEST serta semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam program ini. "Syabas dan Tahniah kepada Kenanga Investor Berhadkerana menjadi penaja utama dalam program ini buat kali kedua dalam program DIVE AGAINST DEBRIS (D.A.D) dan pembersihan pantai di Pualau Perhentian. "Dengan sokongan yang diberikan oleh Kenanga Investor, syarikat ternama yang menguruskan kegiatan sekuriti, nasihat pelaburan, perancangan kewangan, dan sebagainya bagi menjayakan program ini. "Terima kasih Kenanga Investor kerana komited untuk membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap usaha menjaga kelestarian alam sekitar di darat dan di laut," katanya lagi. Untuk rekod, DAD merupakan gerakan sains warga bawah air terbesar di dunia yang memerangi pencemaran marin. Sejak 2011, lebih daripada 90,000 penyelam dari seluruh dunia telah menyumbang data mengenai jenis dan jumlah sampah yang dikeluarkan dari persekitaran bawah air. Data ini memainkan peranan penting dalam mengisi jurang maklumat mengenai sampah laut. Kita semua boleh menyertai gerakan ini dengan menjadi penyelam dan menyumbang kepada kebersihan bawah laut.  
22 Jun 24
213
Ada Benda Tak Kena, Ranking Daya Saing Malaysia Terburuk
Ada Benda Tak Kena, Ranking Daya Saing Malaysia Terburuk
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Kemerosotan terburuk Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2024 memperlihatkan sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam negara. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kejatuhan tujuh anak tangga ke kedudukan 34 dan menjadi yang tercorot dalam sejarah negara itu perlu diberikan perhatian segera. Kataya, bagi memastikan negara berkeadaan baik, pandangan serta teguran yang membina daripada pelbagai pihak harus dipandang serius. "Saya rasa kerajaan perlu bersifat terbuka untuk menerima teguran kerana selama ini banyak perkara yang berlaku seolah-olah kerajaan menutup mata dan telinga daripada melihat apa yang disampaikan oleh mereka yang pakar tentang aspek pelaburan, tata kelola dan sebagainya," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Tapak Pembukaan Naik Taraf Surau dan Tandas, di Surau Awam Batu Buruk, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Ahmad Amzad berkata negara kini sedang menuju ke belakang lantaran tindakan yang diambil tidak melbatkan urus tadbir yang baik. "Diterima secara negatif oleh pasaran, misalnya kenaikan harga diesel yang terlalu mendadak seolah-olahnya dilihat tidak ada mekanisma libat urus yang baik. "Jadi setelah dinaikkan dahulu harga diesel baru timbul satu persatu isu di kemudian hari. "Ini merupakan susuatu yang kita bimbang memberi mesej tidak elok tentang pendekatan pentadbiran negara kita yang memberi kesan kepada daya saing negara," katanya.
20 Jun 24
302
Surau Berusia 20 Tahun Dinaik Taraf
Surau Berusia 20 Tahun Dinaik Taraf
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya Eastern Pacific Corporation bhd (Kumpulan EPIC) menaik taraf surau di kawasan Taman Rekreasi Batu Buruk dengan kos RM100,000.  Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata langkah itu diambil setelah menerima aduan serta rungutan orang ramai mengenai kemudahan tempat beribadat di kawasan rekreasi terbabit. Katanya, surau beserta tandas baru itu dijangka boleh digunakan bermula Ogos. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak EPIC kerana telah memperuntukkan belanja untuk satu projek yang sangat bermakna di dalam Parlimen Kuala Terengganu. "Saya tengok pada pelan pembinaan surau dan tandas ini sangat selesa untuk kegunaan muslimin dan muslimat. "Juga telah dimaklumkan pihak EPIC turut bermurah hati bagi menanggung sepenuhnya berkait utiliti , penyelengaraan dan sebagainya supaya surau ini boleh berjalan dengan sempurna," ujarnya. Beliau yang juga merupakan pengarah EPIC berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Tapak Naik Taraf Surau dan Tandas, di Surau Awam Batu Buruk, di sini, hari ini. Menurut Amzad, bagi memastikan keadaan surau itu terpelihara dengan baik dan sentiasa berada di dalam keadaan bersih pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Muhammad Khalil juga telah bersetuju menjaganya termasuk memastikan ia sentiasa diimarahkan. "Kita akan menyerahkan kepada pihak yang akan menguruskan surau ini, kita tidak mahu ia akan dijadikan sebagai tempat tidur percuma kepada golongan gelandangan tanpa penjagaan rapi. "Surau ini boleh memuatkan sehingga 50 orang dalam satu-satu masa, yang akan turut dilengkapi penghawa dingin yang lebih baik dari sebelum ini," ujarnya. Dalam perkembangan yang sama katanya syarikat EPIC telah membelanjakan sebanyak RM2.3 juta setakat tahun ini bagi menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR). Menurutnya antara CSR yang telah dijalankan ialah di Padang Astaka di Jerteh, Sekolah Ittifaqiyah dan Sekolah Seri Budiman serta beberapa sekolah pondok yang telah dibantu bagi melengkapkan keperluan yang dikehendaki.    
20 Jun 24
558
Kerajaan Digesa Wujud Jawatankuasa Selesai Isu Penyeludupan Diesel
Kerajaan Digesa Wujud Jawatankuasa Selesai Isu Penyeludupan Diesel
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Kerajaan disyorkan mewujudkan satu Jawatankuasa Kabinet rentas kementerian dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri bagi mencari penyelesaian kepada isu penyeludupan diesel. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ucapan Menteri Ekonomi yang mendakwa berleluasanya kegiatan penyeludupan diesel di kalangan nelayan di tengah laut adalah satu dakwaan serius. "Menteri Ekonomi boleh membantu dengan mencadangkan formula penyelesaian berkesan," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Mengulas lanjut katanya, ia melibatkan soal integriti dan kemampuan agensi berkaitan yang bertanggungjawab menyusun mekanisma pengurusan dan kawal selia penyaluran minyak subsidi kepada nelayan.  "Bukan itu saja, malah profesion sebagai nelayan yang menyabung nyawa di lautan bagi membekalkan makanan kepada negara telah dimomokkan dengan dakwaan begitu negatif," ujarnya. Jelas beliau, Jabatan Perikanan menguruskan pemberian Lesen Nelayan manakala LKIM adalah pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam penyaluran minyak subsidi nelayan.  "Polis Marin, APMM, Jabatan Laut, TLDM dan Jabatan Perikanan bertanggungjawab dalam penguatkuasaan undang-undang di laut berada di bawah beberapa Kementerian," katanya.
19 Jun 24
181
'Jika Bukan Kita Hendak Terima, Siapa Lagi?'
'Jika Bukan Kita Hendak Terima, Siapa Lagi?'
Aminah (bukan nama sebenar), 70 tahun, menyifatkan pelepasan anaknya, Amar, 35 tahun, sempena Hari Raya Aidiladha ini sebagai satu kegembiraan besar buat dirinya dan keluarga.
13 Jun 24
189