Artikel "Semasa" Terkini
Tarik Pelaburan RM2.4 Bilion Bukti Kerajaan di Landasan Tepat
Pelaburan bernilai RM2.4 bilion yang diterima oleh Terengganu menjadi bukti bahawa negeri ini ditadbir oleh pemimpin yang berwibawa sehingga mendorong pelabur untuk datang melabur.
27 Jun 24
107
SUK Terengganu Proaktif Pastikan KPI HRMIS Capai Sasaran
Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah proaktif dalam memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) mencapai tahap 100 peratus sebagaimana sasaran ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
27 Jun 24
267
Usaha Terengganu Lahirkan Huffaz Teknokrat di Landasan Tepat
Usaha kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu untuk melahirkan 'teknokrat huffaz' kini berada di landasan yang tepat setelah semua pelajar lepasan Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu (SMIYT) telah mencapai kejayaan unggul di dalam peperiksaan awam.
27 Jun 24
127
Kerajaan Negeri Peruntuk RM40,000 Atasi Masalah Parkir Bot di Jeti Marang
Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM40,000 bagi menangani masalah parkir bot ketika air surut di kawasan Jeti Utama Marang.
27 Jun 24
71
Kes Demam Denggi Meningkat di Terengganu
KUALA TERENGGANU – Terengganu merekodkan peningkatan kes denggi sebanyak125 kes berbanding 118 kes bagi tempoh yang sama tahun 2023 pada Minggu Epid ke 25/2024.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong menjelaskan angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak tujuh kes bersamaan 5.9 peratus.
Katanya, walaupun berlaku peningkatan kes namun wabak itu masih terkawal selain daripada angka tersebut, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan
"Walaupun ada sedikit peningkatan tetapi tiada wabak yang teruk berlaku di negeri ini. Setakat ini terdapat lima wabak berlaku sehingga Jun ini.
"Ia berlaku di Besut dan Marang masing-masing merekodkan dua wabak selain satu wabak berlaku di Hulu Terengganu.
"Wabak itu sudah pun tamat dan ia dapat dikawal dengan baik. Setakat ini tiada kes kematian akibat denggi direkodkan di Terengganu," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Sementara itu, Dr Kasemani berkata pihaknya sentiasa komited selain mengambil tindakan serius melalui aktiviti penguatkuasaan berhubung peningkatan kes demam denggi di Terengganu.
Menurutnya, melalui pemeriksaan penguatkuasaan sehingga tempoh Januari hingga Mei lepas, sebanyak 1,261 kesalahan pembiakan aedes dengan jumlah kompaun yang ditawarkan RM198,500.
"Secara keseluruhan sebanyak 110 premis telah diperiksa dan sebanyak 82 kesalahan telah dikesan dengan nilai kompaun sebanyak RM32,750," ujarnya.
Beliau juga berkata usaha mengatasi masalah demam denggi ini adalah tanggungjawab bersama dan semua pihak harus berkerjasama menghentikan pembiakan nyamuk Aedes ini.
26 Jun 24
320
Tarik Pelaburan RM2.4 Bilion Bukti Kerajaan di Landasan Tepat
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Pelaburan bernilai RM2.4 bilion yang diterima oleh Terengganu menjadi bukti bahawa negeri ini ditadbir oleh pemimpin yang berwibawa sehingga mendorong pelabur untuk datang melabur.
Timbalan Pengerusi Ekonomi Digital, Pendapatan Baru, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Husaimi Hussin berkata pelaburan yang diterima itu telah mendatangkan manfaat kepada rakyat.
"Pelaburan bernilai RM2.4 bilion ini setakar Mac tahun ini (sahaja), iaitu 57 peratus daripada RM4.2 bilion pelaburan yang disasarkan pada tahun ini.
"Ini juga termasuk 65 peratus dari Pelaburan Langsung Asing (FDI) di mana Jepun menjadi pelabur tertinggi sebanyak RM600 juta adalah bukti nyata komitmen kita (kerajaan Terengganu).
"Hasilnya, lebih 5,000 peluang pekerjaan baharu telah dibuka, memberikan lebih banyak peluang kepada rakyat untuk meningkatkan taraf hidup mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Latihan Kebangsaa (NTW) 2024 Edisi Pantai Timur, di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Husaimi berkata masih ada sektor yang perlu diteroka untuk dimanfaatkan rakyat selain daripada usaha kerajaan negeri menarik pelabur untuk mewujudkan pelbagai pekerjaan.
"Termasuk produk dan perkhidmatan pembinaan, tenaga lestari, pendidikan dan latihan, kajian dan penyelidikan, serta servis utiliti seperti pengurusan sisa dan buangan," ujarnya.
26 Jun 24
991
TDM Mahu Perkenal Hospital Mesra Ibadah
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) berhasrat untuk memperkenalkan program baharu di masa akan datang sempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) iaitu 'Pengenalan Hospital Mesra Ibadah'.
Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, ia akan dilangsungkan di KMI Kuala Terengganu Medical Centre dengan menyasarkan penyertaan seramai 40 pelajar Universiti Zainal Abidin (UniSZA) dalam pengajian perubatan dan kontemporari Islam selain orang awam.
Katanya, pihaknya berkolaborasi dengan HRD Corp mengadakan program NTW bagi memperkasakan kemahiran kalangan dalam rakyat untuk memenuhi keperluan semasa.
"'TDM's Knowledge Sharing Carnival : NTW24's 5 Pillars' merupakan tema yang kami ketengahkan untuk menjayakan lima teras utama iaitu Kemahiran Hidup (Teras 1), Kemahiran Masa Depan (Teras 2), Kreativiti dan Inovasi (Teras 3), Kewangan (Teras 4) dan Pembangunan Mampan (Teras 5).
"Alhamdulillah, program ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan industri yang bersama-sama menggembleng tenaga bersama kami dan HRD Corp," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival NTW 2024 Edisi Pantai Timur, di Dewan Auditorium, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, hari ini.
Majlis perasmian karnival berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Ekonomi Digital, Pendapatan Baru, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Husaimi Hussin.
Mengulas lebih lanjut mengenai program yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia itu, Najman berkata ia diadakan di seluruh negara dengan menawarkan 25,000 kursus dengan sasaran kemasukan 200,000 peserta.
"Hari ini untuk teras 3, TDM telah membawa 150 pelajar-pelajar sekolah rendah bersama guru pengiring dari ladang kami di Sungai Tong, Bukit Besi dan Kemaman serta jemputan khas dari Sekolah Pendidikan Khas Kuala Terengganu dan Ladang.
"Selain itu dua hari lepas kami mengadakan seminar khas ' Intergrated Pest Management in Oil Palm Plantation' bagi teras 5 bertempat di Akademi TDM, Sungai Tong.
"Seminar perkongsian ilmi ini melibatkan penyertaan seramai lebih 50 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), pekebun-pekebun kecil dan industri perladangan yang lain sekitar Sungai Tong," ujarnya.
26 Jun 24
344
JKNT Tutup Tiga Premis Makanan Kerana Kotor
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengarahkan tiga premis makanan ditutup selama tempoh 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih.
Pengarah Kesihatan Negeri,
Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kesalahan itu dikesan melalui operasi khas Ops Cakna yang dijalankan selama dua hari bermula semalam.
Katanya, penutupan tiga premis makanan tersebut yang terletak di Marang, Kemaman dan Hulu Terengganu dibuat di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana beroperasi dalam keadaan kebersihan yang tidak memuaskan.
"Melalui ops itu juga, sebanyak 13 premis makanan telah dibuat pemeriksaan dan siasatan mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.
"Sebanyak 21 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dengan nilai notis RM9,300.
"Tahap kebersihan tiga premis makanan itu pula dikesan tidak memuaskan dan telah diarah ditutup selama tempoh 14 hari," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 3/2024 di Pantai Batu Buruk di sini semalam.
Seramai 120 anggota penguatkuasa dari seluruh Terengganu terlibat dalam operasi tersebut yang dilakukan secara berkala dengan kerjasama agensi penguatkuasaan yang lain.
Dalam masa sama, sebanyak 111 item makanan telah disita manakala empat notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985 dengan nilai RM8,000.
"Kita menasihatkan pengendali makanan agar terus mematuhi peraturan kebersihan untuk memastikan keselamatan makanan yang dijual kepada orang ramai," katanya.
Tambahnya, sejak Januari hingga Mei lepas, sebanyak 1,407 notis bagi PPKM 2009 telah dikeluarkan di seluruh Terengganu, meningkat 62 peratus berbanding 870 notis bagi tempoh yang sama tahun 2023.
26 Jun 24
711
TIBW 2024 Tampil Kelainan, Rai Anak Asnaf Di Tapak Program
KUALA TERENGGANU, 26 Jun- Program Terengganu International Bike Week (TIBW) 2024 yang memasuki tahun ke -12 penganjurannya menampilkan beberapa kelainan dalam usaha menjadikan program ini lebih bermakna buat para ‘bikers’ dan juga pengunjung.
Presiden East Coast Motorcycle Club (ECMC), Tengku Seri Temenggong Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkata, dengan memanjangkan tempoh masa untuk ‘event’ yang dianjurkan, pihaknya yakin program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) itu mampu memberi impak besar kepada sektor pelancongan negeri sekali gus merancakkan ekonomi penduduk setempat.
“TIBW 2024 akan bermula pada hari ini (26 Jun) hingga 30 Jun ini dengan pelbagai pengisian menarik.
“Sebelum ini, kita adakan selama tiga hari sahaja, tetapi untuk kali ini kita lanjutkan sehingga lima hari,” ujarnya ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman (TVDI), Temubual Selamat Pagi Terengganu (SPT), di sini, hari ini.
Lebih istimewa katanya, semua acara dan aktiviti hanya akan dilaksanakan di tapak program iaitu di Dataran Shah Bandar termasuk acara makan malam dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
“Bagi menggantikan program CRS sebelum ini iaitu ‘ride’ santai muhibah, kali ini dengan kerjasama pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) kita akan bawa anak-anak asnaf untuk datang ke tapak program bagi meraikan dan menyampaikan sumbangan.
“Secara tidak langsung, selain mengembirakan mereka, usaha ini membuka peluang dan ruang kepada lebih ramai ‘bikers’ dan juga pengunjung untuk turut sama menghulurkan sumbangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan,” ujarnya.
Menurut beliau, TIBW 2024 akan turut diserikan dengan program sembang santai bersama Ustaz Azhar Idrus selepas solat Isyak pada 27 Jun.
"Manakala program Tabligh Akhbar TIBW pula akan menampilkan Ustaz Kamal Hamzah selepas solat mahgrib.
"Dari sudut hadiah cabutan bertuah pula TIBW menyediakan hadiah yang cukup menarik untuk dibawa pulang oleh peserta berdaftar iaitu sebuah motosikal Harley Davidson, sebuah motorsikal RXZ dan sebuah motosikal Yamaha NVX," katanya.
Selain itu katanya, sepanjang program berlangsung, pengunjung turut berpeluang mengunjungi booth jualan dan pameran daripada pihak penaja dan vendor.
"Berkaitan motorsikal berkuasa tinggi dan pelbagai aksesori motorsikal termasuk pameran motor berkuasa tinggi, motor klasik, skuter cantik serta pelbagai lagi.
“Juga terdapat pameran daripada agensi kerajaan dan ada jualan produk IKS Tempatan petandingan mewarna kanak-kanak, persembahan kebudayaan dan lain-lain lagi," katanya.
26 Jun 24
261
Tujuh Lokasi Baharu Zon Bebas Asap Rokok Dikenalpasti
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Tujuh lokasi telah dikenalpasti untuk digazetkan sebagai kawasan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) di negeri itu sebelum akhir tahun ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, apabila siap digajetkan, Terengganu akan memiliki lapan zon TBAR di seluruh negeri bertujuan meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup rakyat Terengganu daripada kesan perokok pasif melalui persekitaran yang bebas asap.
Menurutnya, sehingga kini, Terengganu hanya mempunyai satu zon TBAR yang diwartakan pada tahun 2018 iaitu kawasan tumpuan pelancong di Batu Buruk (daerah Kuala Terengganu).
"Kawasan yang dikenal pasti di Kemaman ialah Taman Bandar Chukai, daerah Dungun (Arena Merdeka), Marang (Pantai Pulau Kekabu) dan Hulu Terengganu (Pasar Awam Kuala Berang).
"Selain itu, di Kuala Nerus ialah
Pesisir Pantai Teluk Ketapang, di Setiu pula Kawasan Jeti Pelancongan Merang manakala di Besut ialah kawasan Kota Putera Square," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 3/2024 di Pantai Batu Buruk di sini semalam.
Tambahnya, proses pewartaan itu mengambil masa yang agak lama kerana memerlukan libat urus pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan pemegang taruh yang lain.
Sementara itu, sejak 2018, JKNT telah mengeluarkan notis sebanyak 7,800 pelbagai kesalahan merokok di TBAR Batu Buruk.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 5,409 telah ditawarkan kompaun dengan nilai sebanyak 1.35 juta.
"Jabatan akan terus mempergiatkan pemantauan dan tahap kesedaran orang ramai agar tidak merokok di kawasan tersebut," katanya.
26 Jun 24
291