Artikel "Pendidikan" Terkini
UCTATI, KYT dan KQT: Terengganu Sedia Laluan Pendidikan Lanjutan
KUALA NERUS, 24 April – Kerajaan negeri terus memperluas akses pendidikan tinggi kepada anak-anak negeri dengan membuka peluang melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri seperti Universiti Kolej TATI (UCTATI), Kolej Yayasan Terengganu (KYT), Kolej Yayasan Islam Terengganu (KYIT) dan Kolej al-Quran Terengganu (KQT).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, institusi-institusi ini diwujudkan bagi memastikan pelajar mempunyai pilihan lanjutan pendidikan yang berkualiti tanpa perlu keluar dari negeri sendiri.
"Kita buka ruang seluas-luasnya untuk pelajar menyambung pengajian dan kerjaya mereka, sama ada dalam bidang Islamik, kemahiran, atau teknologi," katanya dalam ucapannya di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Imtiaz ke-15, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini baru-baru ini.
Beliau menekankan bahawa institusi milik kerajaan negeri bukan sahaja menawarkan yuran yang berpatutan, malah turut menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif dan berteraskan nilai-nilai Islam.
"Pelajar boleh memilih untuk menyambung pelajaran di mana-mana institusi ini sebelum melangkah ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada dalam negara atau luar negara," ujarnya.
Tambah beliau, usaha ini adalah kesinambungan kepada dasar pendidikan negeri yang komited membina generasi berilmu, beriman dan berdaya saing.
"Kita tak mahu ada pelajar cemerlang yang tercicir hanya kerana tiada tempat atau kos terlalu tinggi di luar," jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri akan terus menambah baik kemudahan serta memperluas kerjasama dengan institusi-institusi pendidikan tinggi lain bagi meningkatkan kapasiti penerimaan pelajar.
"Hasrat kita adalah supaya setiap anak Terengganu, tanpa mengira latar belakang, mampu memperoleh pendidikan terbaik dan menyumbang kembali kepada negeri serta negara," ujarnya.
24 Apr 25
445
Universiti Antarabangsa Buka Pintu, Pelajar Terengganu Perlu Lebih Bersedia
Kerajaan Terengganu komited melahirkan lebih ramai cendekiawan bertaraf antarabangsa dengan membuka peluang pengajian ke luar negara, namun keupayaan berbahasa dan kematangan sahsiah kini menjadi prasyarat utama untuk merebut peluang tersebut dalam persekitaran global yang semakin kompetitif.
23 Apr 25
342
Terengganu Sedia RM19 Juta Biasiswa kepada Pelajar Cemerlang
KUALA NERUS, 22 April – Kesungguhan kerajaan negeri dalam menyediakan laluan pendidikan terbaik kepada pelajar cemerlang terus dizahirkan apabila sejumlah RM19 juta diperuntukkan tahun ini menerusi skim biasiswa dan pinjaman pendidikan termasuk bidang pengajian Islam, sains serta kemahiran.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, skim pelajar cemerlang (SPC) yang dimulakan sejak tahun 2018 kekal menyediakan RM5 juta setahun untuk biasiswa penuh dalam dan luar negara.
"Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM13 juta untuk skim pinjaman pendidikan kepada pelajar yang layak termasuk yang memilih bidang kemahiran,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Imtiaz ke-15, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini semalam.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu lagi inisiatif baharu tahun ini ialah pemberian biasiswa tambahan sebanyak RM1 juta melalui kerjasama Yayasan Terengganu dan Terengganu Incorporated (TI) khusus bagi bidang pengajian terpilih.
"Kita dalam perbincangan untuk menambah lagi jumlah biasiswa sedia ada kerana bilangan pelajar cemerlang semakin meningkat dan kita tidak mahu bakat mereka terbiar begitu sahaja," ujar beliau.
Dalam majlis itu, beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri kekal menghantar pelajar ke luar negara termasuk 20 orang ke Algeria, 20 ke Tunisia (Universiti Zaituna), dan beberapa lagi ke Cape Town, Jordan, Mesir, serta negara-negara Arab lain.
"Tahun ini kita juga buka peluang baharu ke Iraq, dengan 5 tempat dalam bidang pergigian dan 20 tempat untuk pengajian Islam di Universiti Baghdad dan Universiti Mosul," katanya lagi.
Satiful turut menyeru agar pelajar bersiap sedia dari segi kemahiran bahasa dan sahsiah kerana sesetengah universiti luar melakukan temu duga terus sebelum menerima kemasukan.
"Kemampuan berbahasa Arab dan Inggeris sangat penting, kerana Cape Town contohnya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar," jelasnya.
22 Apr 25
666
Khatam 30 Juzuk, 130 Huffaz Terima RM1,000 Seorang
KUALA TERENGGANU, 22 April – Kejayaan seramai 130 pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran pada tahun ini diiktiraf sebagai satu pencapaian luar biasa yang membuktikan ketekunan, disiplin dan kekuatan rohani generasi Ulul Albab.
Pencapaian tersebut melayakkan setiap pelajar menerima insentif khas berjumlah RM1,000 seorang daripada Kerajaan Negeri Terengganu sebagai tanda penghargaan terhadap usaha murni mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, insentif tersebut merupakan pengiktirafan kepada pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah istiqamah dalam penghafalan al-Quran sepanjang tempoh lima tahun pembelajaran mereka di Imtiaz.
"Sebagai penghargaan atas usaha murni ini, setiap pelajar yang berjaya mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran akan menerima insentif Anugerah Hafazan daripada kerajaan negeri sebanyak RM1,000 seorang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu kali ke-15 bagi tahun 2025, yang berlangsung di Dewan Arena, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab.
Menurut beliau, gelaran hafiz dan hafizah adalah amanah besar yang wajib dijaga, bukan hanya untuk diumumkan dan dilupakan, tetapi perlu dipelihara sepanjang hayat sebagai warisan ilmu dan tanggungjawab terhadap umat.
"Ingatlah, ia merupakan satu amanah, bebanan yang ditinggalkan oleh Allah dan Rasulullah dan menjadi kebanggaan kita semua," ujar beliau.
Tambah Satiful, seramai 384 pelajar Tingkatan Lima dan 16 pelajar Tingkatan Enam bergraduasi pada majlis tersebut, termasuk 70 pelajar yang menerima pelbagai anugerah khas atas kecemerlangan akademik dan sahsiah, antaranya Tokoh Ulul Albab dan Anugerah Pelajar Terbaik.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para guru yang menjadi tulang belakang kejayaan ini, serta ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan sokongan.
"Tanpa keikhlasan para pendidik, mustahil pencapaian ini dapat dikecapi dan sesungguhnya Allah mengangkat darjat orang yang berilmu beberapa tingkat lebih tinggi," ujarnya.
22 Apr 25
1411
Universiti Antarabangsa Buka Pintu, Pelajar Terengganu Perlu Lebih Bersedia
KUALA NERUS, 22 April – Kerajaan Terengganu komited melahirkan lebih ramai cendekiawan bertaraf antarabangsa dengan membuka peluang pengajian ke luar negara, namun keupayaan berbahasa dan kematangan sahsiah kini menjadi prasyarat utama untuk merebut peluang tersebut dalam persekitaran global yang semakin kompetitif.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat menegaskan bahawa para pelajar perlu melengkapkan diri dengan persediaan akademik dan peribadi kerana banyak universiti memerlukan sesi temuduga secara langsung sebelum kemasukan.
"Kadang-kadang universiti akan temuduga pelajar secara terus.
"Jadi pelajar mesti bersedia dari segi penguasaan bahasa, khususnya bahasa Arab dan Inggeris," katanya ketika berucap di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu kali ke-15 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab.
Menurut beliau, beberapa universiti di destinasi tumpuan seperti Cape Town menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai bahasa pengantar, manakala institusi di negara-negara Arab menuntut penguasaan tinggi dalam bahasa Arab sebagai syarat kemasukan.
"Tahun ini kita kekalkan penghantaran 20 pelajar ke Algeria, dan kita baru terima berita gembira Tunisia tawarkan 10 tempat di Universiti Zaituna di ibu negara Tunis dan 10 lagi di kampus cawangan mereka," tambah beliau.
Beliau turut memaklumkan peluang pengajian turut dibuka di Jordan, Mesir, Oman, Cape Town dan Kuwait, namun peningkatan kos sara hidup di sesetengah negara seperti Jordan kini sedang diteliti bagi menjamin kebajikan pelajar.
"Tahun ini kita juga buka laluan baharu ke Iraq, lima tempat untuk pengajian pergigian dan 20 tempat untuk pengajian Islam di Universiti Baghdad dan Universiti Mosul," jelasnya lagi.
Dalam masa sama, beliau mengumumkan penempatan pelajar dalam bidang dakwah di universiti di Libya sebagai satu strategi untuk melahirkan pendakwah yang mampu menyebarkan kefahaman Islam secara global.
"Selain itu, kuliah dakwah di universiti di Libya, di samping ada beberapa pelajar yang kita hantar ke Oman dan Kuwait," ujarnya.
22 Apr 25
975
SRIDI Miliki Premis Sendiri Tak Lama Lagi
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk memastikan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dapat beroperasi di bangunan sendiri, dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan Islam negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, kebanyakan bangunan yang digunakan untuk pengoperasian SRIDI ketika ini merupakan premis sewaan oleh Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), dan bukan milik kerajaan negeri.
“Justeru, JPINT akan memberi penumpuan terhadap pengoperasian SRIDI baharu di bangunan milik Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli dalam Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut, Satiful memaklumkan bahawa JPINT telah merancang untuk menambah satu lagi SRIDI di kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, tertakluk kepada kelulusan serta peruntukan daripada Kerajaan Negeri Terengganu.
Sementara itu, bagi cadangan penubuhan SRIDI di kawasan DUN Rantau Abang, lokasi di Mukim Kuala Dungun kini sedang menunggu kelulusan Pelan Akui (PA) daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
“Setelah Pelan Akui diperoleh, proses pewartaan tanah yang dicadangkan akan dilaksanakan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu,” katanya lagi.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Terengganu untuk menyediakan prasarana pendidikan Islam yang lebih kukuh dan lestari di seluruh negeri.
17 Apr 25
1076
Calon STPM Terengganu Dapat Bantuan RM688,000
Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM688,000 Bantuan Pendidikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2024/2025 kepada 1,376 penerima di seluruh negeri ini.
06 Apr 25
72
Rebut Peluang Pendidikan untuk Anak Asnaf
KUALA TERENGGANU,26 Mac - Pendidikan adalah kunci keluar dari kepompong kemiskinan dan inilah matlamat utama ‘Program Tunas Scholar’ yang diperkenalkan oleh Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMIKT).
Program yang menyediakan tajaan penuh dalam bidang kejururawatan kepada anak-anak asnaf ini bukan sekadar membuka peluang akademik, tetapi juga menjanjikan masa depan yang lebih cerah dengan jaminan kerjaya.
Pengurus Besar KMIKT, Salina Long, berkata program dilaksanakan memberi peluang kepada anak-anak asnaf untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejururawatan serta menjamin mereka pekerjaan di rangkaian hospital KMI Healthcare.
"Kami bukan sekadar menyalurkan zakat dalam bentuk bantuan kewangan, tetapi juga memastikan asnaf mendapat pendidikan dan masa depan yang lebih cerah.
"Sejak dilancarkan, program ini telah menaja seramai 20 pelajar dengan kos pembelajaran sekitar RM65,000 seorang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perkongsian Dalam Keberkatan, di KMIKT, di sini semalam.
Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TDM Berhad; Najman Kamaruddin.
Beliau menegaskan bahawa program itu bukan hanya satu sumbangan, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang dalam membina generasi yang lebih berdikari dan berdaya saing.
"Kami berharap lebih ramai dapat menyertai dan menerima manfaat program ini.
"Ini adalah komitmen kami dalam memastikan masyarakat setempat terus dibantu dan dibangunkan," tambahnya.
Sementara itu, KMIKT dan TDM Berhad sebelum ini turut menyantuni 150 asnaf menerusi program agihan zakat di Hospital KMI Kuala Terengganu.
26 Mar 25
133
287 Pelajar Daerah Kemaman dan Dungun Terima Bantuan RM500
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Seramai 287 pelajar tingkatan enam dari daerah Kemaman dan Dungun menerima bantuan pendidikan sebanyak RM500 setiap orang daripada Yayasan Terengganu dalam sebuah majlis yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun.
Seramai 189 pelajar dari lima buah sekolah menengah di daerah Kemaman serta 98 pelajar dari lima buah sekolah menengah di daerah Dungun telah menerima bantuan tersebut, semalam.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada peruntukan RM688,000 yang disediakan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu bagi membantu seramai 1,376 pelajar STPM di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata kerajaan negeri akan terus komited dalam menyediakan insentif pendidikan kepada pelajar cemerlang.
"Selain bantuan pendidikan, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM5 juta setahun sejak tahun 2018 bagi menyediakan biasiswa kepada pelajar yang layak.
"Peruntukan ini telah meningkat setiap tahun, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM20 juta sehingga kini.
"Kita juga memberi keutamaan bukan sahaja kepada kecemerlangan akademik tetapi juga kepada latar belakang pelajar. Pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, terutamanya dalam kategori B40, akan diberikan perhatian khas dalam pemilihan penerima bantuan ini," ujar beliau.
Beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah meningkatkan peruntukan biasiswa daripada RM500,000 kepada RM1 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM6 juta setahun.
"Kerajaan negeri turut menyediakan RM10 juta untuk pinjaman pendidikan tanpa faedah bagi membantu pelajar yang tidak mendapat pinjaman daripada sumber lain.
"Ini kerana, kadang-kadang jika tidak lulus permohonan PTPTN, maka pelajar boleh membuat permohonan pinjaman dengan kerajaan negeri.
"Jadi kita berharap pelajar-pelajar kita akan terus berusaha untuk ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, pelajar yang telah menerima bantuan ini turut berkongsi rasa syukur dan kegembiraan mereka. Nur Alia Syuhadah Ghazali, 18, dari Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah berkata dia sangat bersyukur kerana wang ini dapat digunakan untuk menyimpan bagi kegunaan ketika memasuki universiti nanti.
Menurut Syuhadah, bantuan ini amat membantunya kerana banyak wang telah digunakan untuk persiapan SPM sebelum ini.
Leong Weng Hei, 181, dari Sekolah Menengah Sultan Ismail turut menyatakan kegembiraannya menerima bantuan ini.
"Bantuan ini sangat membantu saya untuk membeli keperluan ketika melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya bercita-cita untuk menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM)," ucapnya.
Sementara itu, Nur Maisarah Amran dari SMK Sultan Omar berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang TESL di Universiti Sains Malaysia (USM).
"Saya sangat bersyukur atas bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri. Ia dapat membantu saya menampung kos pengajian kelak," katanya.
Bantuan ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pelajar di Terengganu sentiasa mendapat sokongan kewangan yang mencukupi untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
26 Mar 25
139
Terengganu Hantar Pelajar Sambung Pengajian Ke Afrika Selatan
KUALA NERUS, 20 Mac - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu akan menghantar seramai tiga orang anak Terengganu ke International Peace College South Africa (IPSA) di Cape Town, bagi menyambung pengajian di peringkat Ijazah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Saind, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, Mohd Hafiz Mohd Fauzi, Mohd Rahul Abdul Aziz serta Akil Tajuddin Adnan merupakan pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
"Mereka telah dipilih untuk mengikuti program Ijazah dalam Pengajian Islam dan Bahasa Arab di IPSA selama tiga tahun.
"Merupakan 'batch' pertama dan perintis kepada pelajar-pelajar lain seterusnya," ujarnya dalam satu kenyataan, di sini, semalam selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Permata Kebangsaan, di Raia Hotel, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Penolong Pegawai Tadbir Yayasan Terengganu, Ahmad Haffizhi Alilah berkata beliau akan mengiringi ketiga-tiga pelajar itu terbang ke Afirka Selatan pada 4 April nanti.
"Ini akan mencatat sejarah bagi negeri Terengganu sebab ini merupakan kali pertama ke Cape Town akan menjadi perintis kepada pelajar pengajian Islam, ia bertepatan dengan visi dan misi, Dato' Satiful Bahri untuk menghantar lebih ramai anak Terengganu mendapat pendidikan di universiti yang diiktiraf antara 100 yang terbaik di dunia," ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Penajaan) Yayasan Terengganu, Md Lizan Md Nong berkata, kesemua mereka mendapat jumlah pinjaman bolehubah RM124,130.
Katanya, ia merangkumi yuran pengajian, elaun sara hidup, penginapan, alat tulis dan tiket pergi dan balik.
"Insya-Allah selepas ini kita akan ada pelajar pertama dalam bidang perubatan pula di sana dan kita juga sedang berusaha untuk merintis kerjasama dengan University Of Cape Town (UCT) yang juga diiktiraf antara 100 universiti terbaik di dunia,"katanya.
20 Mar 25
1060