Artikel "Pendidikan" Terkini
ADUN Bukit Besi Taja SSPN-i Buat Pelajar Cemerlang SPM
DUNGUN, 1 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menyediakan inisiatif istimewa berupa pembukaan akaun SSPN-i (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) sebanyak RM200, buat pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di DUN berkenaan baru-baru ini.
Dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Apreasiasi SPM 2024 bagi DUN Bukit Besi yang berlangsung pada Rabu, seramai 20 pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 7A dan ke atas menerima tajaan tersebut.
Selain tajaan itu, sumbangan wang tunai serta cenderahati turut disampaikan kepada setiap pelajar yang hadir.
"Sumbangan ini merupakan salah satu usaha meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa dalam persediaan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
"Saya berpendapat bahawa seharusnya diwujudkan satu tabung pendidikan yang dimulakan sejak usia kecil lagi.
Ia sedikit sebanyak dapat membantu pelajar dan keluarga mereka dalam perancangan pendidikan jangka panjang," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap semasa majlis berlangsung.
Beliau turut menyatakan harapan besar agar para pelajar terus berusaha mencapai kejayaan ke menara gading dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan DUN Bukit Besi khususnya, yang terletak di kawasan pedalaman Hulu Dungun sebuah lokasi yang dikenali dengan potensi pelancongan dan sumber mineralnya.
Tambahnya, pihaknya akan cuba untuk terus mengadakan program penghargaan kepada pelajar apabila mereka menamatkan pengajian di universiti kelak.
Majlis juga berkesempatan memberikan penghargaan kepada para guru dan ibu bapa yang menjadi tonggak kejayaan pelajar-pelajar berkenaan melalui sokongan dan dorongan berterusan.
29 May 25
74
42 Pelajar Cemerlang SPM Diraikan
HULU BESUT, 27 Mei – Seramai 42 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Hulu Besut yang berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna.
Majlis yang diadakan bagi menghargai pencapaian pelajar yang memperoleh keputusan 7A hingga 12A ini turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan dan wang saguhati sebagai tanda pengiktirafan atas kecemerlangan mereka.
Ahli Dewam Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar cemerlang yang selama ini telah berusaha gigih, menunjukkan ketekunan serta semangat juang yang tinggi sehingga mencapai kejayaan yang membanggakan.
"Saya amat berbangga dengan pencapaian adik-adik kita ini, kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara pelajar, ibu bapa, guru dan seluruh warga sekolah yang tidak pernah berputus asa memberikan sokongan,"katanya ketika berucap di majlis tersebut yang diadakan di Dewan Warung Ramai, Alor Keladi, di sini.
Dalam pada itu,penghargaan khas turut diberikan kepada pelajar istimewa, Surya Aidil Zawawi dari kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Putra, yang mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya memperoleh 4A dalam peperiksaan tersebut.
"Pencapaian adik Surya Aidil adalah luar biasa dan wajar dijadikan inspirasi kepada kita semua,"ujar beliau.
Dalam pada itu, Husaimi turut menyeru para pelajar agar terus berusaha dan berdoa untuk mencapai kejayaan lebih besar di masa hadapan, sambil menekankan pentingnya menjadi insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berakhlak mulia serta memberi manfaat kepada masyarakat.
27 May 25
2406
Dr. Sam Lancar Biasiswa Anak Terengganu
Kerajaan negeri melancarkan Biasiswa Terengganu Sejahtera buat anak Terengganu yang berpotensi tetapi menghadapi kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian di Universiti College (UC) TATI.
27 May 25
75
Dari Rumah Asnaf ke Sektor Minyak dan Gas
KUALA NERUS, 20 Mei – Tatkala sebahagian anak muda masih tercari-cari arah hidup, seramai 47 anak asnaf berjaya menamatkan latihan teknikal dan industri dalam Program Oil and Gas Wakalah TVET (OGWTP) di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), sekali gus membuka jalan keluar dari belenggu kemiskinan menuju masa depan yang lebih terjamin.
Program selama enam bulan itu bukan sahaja membekalkan mereka dengan kemahiran dalam bidang mekanikal serta elektrikal dan instrumentasi, malah menyediakan pensijilan industri bernilai tinggi yang laku keras dalam sektor minyak dan gas, satu peluang yang sebelum ini hanya menjadi angan-angan bagi mereka yang datang dari rumah-rumah serba sederhana.
Mohammad Nasrul Nafie Mohd Nasran, salah seorang graduan program, meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang menyertai program latihan yang disifatkannya sebagai luar biasa.
"Sepanjang enam bulan ini, kami menempuh pengalaman yang tak pernah kami bayangkan, dan amat bermakna," katanya penuh terharu.
Bagi Iman Hakim Mohd Firuz, 24, dari Kampung Pelandan, Kuala Berang, keputusan menyertai OGWTP adalah satu anjakan besar dalam hidupnya.
"Saya mula berminat dalam bidang ini semasa kerja dulu.
"Bila tahu sijil INSTEP sangat bernilai, saya terus mohon," katanya, sambil berkongsi bahawa minatnya disemai oleh pengalaman kerja serta sokongan ayahnya.
Kisah Amer Mustaqim Kamaruddin, 22, dari Kampung Raja, Besut, pula mencerminkan kecekalan seorang anak buruh yang menjadikan minat terhadap kerja tangan sebagai motivasi untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
"Saya minat baiki motor sejak sekolah.
"OGWTP ini bagi saya peluang belajar betul-betul," ujarnya.
Program OGWTP adalah hasil kolaborasi INSTEP bersama Yayasan Pendidikan MAIDAM, Dana Asy-Syakirin, THRDC dan lebih 20 rakan industri, dibiayai sepenuhnya melalui dana zakat wakalah berjumlah RM2 juta.
20 May 25
335
RM2 Juta Bantu Anak Asnaf Terengganu Ceburi Industri Minyak dan Gas
KUALA NERUS, 18 Mei – Sebanyak RM2 juta dana zakat wakalah dimanfaatkan bagi membiayai latihan teknikal dan penempatan industri selama enam bulan kepada 47 anak asnaf Terengganu, sekali gus membuka peluang kerjaya dalam sektor minyak dan gas.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, program Oil and Gas Wakalah Technical and Vocational Education Training Programme (OGWTP) itu khusus untuk membantu golongan asnaf keluar daripada belenggu kemiskinan.
"Pelatih yang mengikuti program ini sebahagian besarnya adalah dari kalangan anak asnaf yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan menerima bantuan zakat,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup OGWTP Kumpulan 2/2024 di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM), Norhana Yaakub, dan Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli.
Beliau turut menjelaskan, peruntukan besar hasil sumbangan zakat kakitangan PETRONAS dan kerjasama strategik bersama kerajaan negeri menjadi pemangkin kepada kejayaan program tersebut.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak PETRONAS, khususnya INSTEP, dan juga kepada MAIDAM.
"Memang kita ada satu bajet zakat daripada MAIDAM, yang sebahagiannya zakat dari para pekerja PETRONAS, juga dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC)," jelasnya.
OGWTP Kumpulan 2/2024 yang berlangsung di INSTEP menyaksikan 47 peserta menerima sijil tamat latihan dalam satu majlis penuh penghargaan.
"Program ini kali kedua, program pertama selesai tahun lepas.
"Seramai 47 orang menerima sijil, berkolaborasi dengan 20 syarikat untuk menawarkan peluang kerja kepada pelatih," ujarnya.
Antara nilai tambah program ini ialah pensijilan industri seperti Sijil Kemahiran Pendawaian Kabel, Ujian Tanpa Musnah Tahap 2 (NDT), serta latihan Keselamatan Bekerja di Tempat Terkurung (AESP), Pengetahuan Bantuan Cemas, Latihan Keselamatan dan Kesihatan (OGSP), dan Induksi Asas Keselamatan Luar Pesisir dan Latihan Kecemasan (BOSIET), yang diperlukan oleh syarikat industri minyak dan gas.
Selain itu, tempoh penempatan industri turut dilanjutkan kepada enam bulan bagi memberikan pelatih pengalaman sebenar bekerja, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor yang sangat kompetitif.
Program ini merupakan hasil kolaborasi INSTEP, YPM, Dana Asy-Syakirin, THRDC dan lebih 20 rakan industri, dan dijangka terus diperluas demi memberi manfaat lebih besar kepada anak-anak asnaf di seluruh Terengganu.
19 May 25
937
Pelajar Imtiaz Raih Anugerah Emas di Universiti Vietnam
KUALA TERENGGANU, 5 Mei - Pelajar sekolah menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut berjaya meraih pingat emas kategori Anugerah Inovasi sempena Anugerah Kreativiti dan Inovasi Antarabangsa (ICIA) 2025 yang berlangsung di University of Economics Ho Chi Minh City, Vietnam, baru-baru ini.
Kemenangan tersebut diperoleh menerusi inovasi platform pembelajaran interaktif i-Tasheel Arabic Innovation (i-TAR), hasil usaha pelajar Muhammad Hafizin Fahmi Mohd Hamdan, Ahmad Wajdan Mohd Shafiee dan Nik Muhammad Aqil Syauqi Nik Abdul Halim.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berbangga atas kejayaan mereka yang secara tidak langsung membawa nama Terengganu ke peringkat antarabangsa.
"Pencapaian cemerlang yang membanggakan ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap keupayaan intelektual dan daya inovasi generasi muda Terengganu.
"Semoga menjadi inspirasi buat anak-anak pelajar yang lain serta kebanggaan seluruh warga Negeri Terengganu.
"Teruskan mengorak kejayaan dan pencapaian yang lebih gemilang pada masa akan datang. Syabas," ucapnya dalam satu hantaran yang telah dimuatnaik melalui laman sosial media rasminya, sebentar tadi.
Guru pembimbing pelajar-pelajar tersebut, Muhammad Badruzzaman Hassan berkata,
i-TAR merupakan projek perintis yang bertujuan untuk melahirkan pelajar yang menguasai bahasa al-Quran, iaitu bahasa Arab (Quranik).
"Melalui i-TAR, pelajar dapat memperoleh pengetahuan yang mendalam (Ensiklopedik) dalam mengenal pasti tanda-tanda i'rab dan seterusnya menganalisis (Ijtihadik) baris akhir perkataan dalam al-Quran.
"persembahan i-TAR yang menyusun kandungan utama daripada buku teks ke dalam bentuk jadual dan animasi membantu meningkatkan kefahaman serta minat pelajar dalam mempelajari tatabahasa Arab (nahu)," katanya kepada sebuah akhbar tempatan, dua hari yang lepas.
Tambah Badruzzaman, pasukan di bawah bimbingannya itu turut telah tersenarai dalam 'Top 10 Quality Education Challenge' anjuran Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO).
05 May 25
3633
Tiada Lagi Majlis Keraian Khas Untuk Pelajar Cemerlang SPM 2024
KUALA TERENGGANU, 24 April – Buat pertama kali dalam sejarah, tiada majlis keraian khas dianjurkan untuk meraikan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahu semua calon diraikan secara menyeluruh tanpa mengangkat hanya segelintir individu.
Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Rosli Chik menjelaskan, pendekatan ini diambil bagi mengelakkan diskriminasi terhadap calon yang tidak memperoleh keputusan cemerlang namun menunjukkan peningkatan ketara atau pencapaian peribadi yang membanggakan.
“Pihak sekolah perlu meraikan kesemua calon, jadi kita tidak ‘highlight’ kan pelajar cemerlang.
“Sekolah terbaik pun kita tidak isytihar di majlis ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Menurut beliau, budaya memfokuskan kepada kelompok pelajar elit semata-mata tidak lagi relevan dengan landskap pendidikan masa kini yang lebih mementingkan nilai usaha, semangat juang dan peningkatan berterusan setiap individu.
“Mungkin pelajar itu tidak cemerlang dalam bidang akademik, mungkin masa peperiksaan percubaan dia banyak gagal, tiba peperiksaan sebenar berlaku banyak lonjakan,” jelasnya, memberi contoh pelajar yang sering terpinggir daripada radar kecemerlangan konvensional.
Beliau turut menjelaskan, KPM tidak melarang sekolah mengadakan majlis penghargaan, namun ia mestilah merangkumi semua calon tanpa pengecualian, sebagai lambang pengiktirafan kepada pelbagai bentuk kejayaan.
“Boleh sebenarnya, tapi sekolah mesti buat merangkumi kesemua kategori calon,” tegasnya.
24 Apr 25
10424
SPM 2024: 11 Calon Raih Gred A+ Semua Subjek
KUALA TERENGGANU, 24 April – Seramai 11 calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Terengganu berjaya meraih keputusan tertinggi, Gred A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil, peningkatan cemerlang berbanding hanya 8 orang pada tahun sebelumnya.
Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Rosli Chik berkata pencapaian ini menggambarkan keupayaan luar biasa calon tahun ini.
“Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang tertinggi (Gred A+) dalam semua mata pelajaran meningkat dari 8 calon pada tahun 2023 kepada 11 calon pada tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Beliau turut menyatakan prestasi calon secara keseluruhan turut menunjukkan peningkatan.
“Nilai Gred Purata Negeri (GPN) pada tahun 2024 adalah 4.31 mata berbanding 4.41 mata pada tahun 2023,” katanya, merujuk kepada pengurangan sebanyak 0.10 mata yang menunjukkan pencapaian lebih baik.
Menurut beliau, pencapaian Terengganu juga melepasi purata nasional.
“Gred Purata Negeri juga mengatasi Gred Purata Nasional dengan nilai 4.31 berbanding 4.49,” ujar beliau.
Tambah Rosli, jumlah calon cemerlang yang meraih A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran juga bertambah.
“Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang meningkat dari 464 calon kepada 532 calon.
“Peningkatan sebanyak 68 calon,” jelas Rosli
Tambah beliau lagi, pencapaian calon di kawasan bandar dan luar bandar masing-masing menunjukkan peningkatan, namun jurang antara kedua-duanya turut melebar.
“Pencapaian calon di bandar meningkat sebanyak 0.10 mata manakala luar bandar meningkat sebanyak 0.08 mata.
“Jurang pencapaian melebar kepada 0.70 mata,” katanya.
Rosli turut menyatakan sebahagian besar calon berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred lulus dalam semua mata pelajaran.
“Seramai 11,087 calon (66.41%) memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran
“Peningkatan berbanding 64.03 peratus tahun lalu," ujarnya.
24 Apr 25
1013
Pensijilan SPM Bertaraf Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 24 April – Pensijilan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa apabila ia turut mendapat pengiktirafan dan kerjasama daripada institusi penilaian terkemuka luar negara seperti Cambridge dan IAB United Kingdom.
Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Rosli Chik berkata, langkah ini bertujuan memastikan mutu dan standard SPM berada pada tahap global.
“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa bagi tujuan penandaarasan dan penjaminan kualiti di peringkat antarabangsa, pakar pentaksiran dari luar negara terlibat sama untuk memberikan khidmat kepakaran dalam pembinaan item dan penetapan standard pensijilan SPM Tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Menurut beliau, kerjasama melibatkan dua institusi profesional dari United Kingdom.
“Pakar-pakar pentaksiran luar negara yang terlibat dalam peperiksaan SPM Tahun 2024 adalah dari Cambridge University Press and Assessment, United Kingdom dan Institute of Accountant and Bookkeepers (IAB), United Kingdom,” tambah beliau.
Rosli turut memaklumkan bahawa calon mata pelajaran Prinsip Perakaunan turut menerima manfaat tambahan berbentuk pensijilan profesional.
“Calon yang menduduki mata pelajaran Prinsip Perakaunan peperiksaan SPM Tahun 2024 juga berpeluang memperoleh sijil IAB LCCI Level 2 Certificate In Book-keeping and Accounts daripada London Chamber of Commerce and Industry,” katanya.
Beliau menambah, pencapaian tersebut turut membuka laluan kepada pengiktirafan dalam bidang profesional antarabangsa.
“Calon-calon juga layak mendapat pengecualian ACCA-FIA-FA1 oleh The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) sekiranya memenuhi syarat yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Di samping itu, pelajar tahfiz turut diberi perhatian dengan peluang memperoleh sijil khas sekiranya memenuhi kriteria hafazan.
“Lembaga Peperiksaan juga bekerjasama dengan Darul Quran, JAKIM bagi penganugerahan Sijil Tahfiz KPM kepada calon yang khatam hafazan 30 juzuk al-Quran,” katanya.
24 Apr 25
138
Keputusan SPM 2024 Kini Boleh Disemak
KUALA TERENGGANU, 24 April – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 kini boleh menyemak keputusan peperiksaan masing-masing bermula pukul 10.00 pagi hari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Rosli Chik berkata, calon sekolah boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing manakala calon persendirian boleh berbuat demikian di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Sukacita dimaklumkan bahawa calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024 mulai pukul 10.00 pagi hari ini di sekolah masing-masing.
“Bagi calon persendirian pula, mereka boleh menyemak dan mendapatkan keputusan peperiksaan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Menurut Rosli, calon juga diberi pilihan untuk menyemak keputusan secara dalam talian melalui pautan rasmi myresultspm.moe.gov.my atau menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS).
“Calon juga boleh menyemak keputusan secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my.
“Semakan melalui sistem SMS juga boleh dibuat untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024,” jelas beliau.
Tambah beliau, kemudahan semakan keputusan SPM 2024 disediakan sehingga 30 April 2025 bagi memastikan semua calon mempunyai tempoh yang mencukupi untuk mendapatkan maklumat keputusan mereka.
“Calon boleh menyemak keputusan sehingga 30 April 2025, jam 6.00 petang.
“Bagi calon yang tidak mempunyai capaian internet, mereka boleh mendapatkan keputusan secara fizikal di sekolah atau hadir ke JPN,” jelasnya.
24 Apr 25
107