Artikel "Pendidikan" Terkini
TDM Plantation Jalin Kerjasama Dengan UCTATI Tingkat Produktiviti Syarikat
KUALA TERENGGANU, 3 Disember- TDM Berhad melalui bahagian perladangannya, TDM Plantation Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Kolej TATI (UCTATI) untuk meningkatkan produktiviti dan operasi syarikat melalui teknologi mekanisasi dan perkongsian kepakaran inovasi.
Pada majlis MoU yang berlangsung di Hotel Permai semalam, TDM Plantation diwakili Penasihat Perladangan TDM Jalaini Che Kar dan Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd, Hamdan Ibrahim.
Manakala UCTATI diwakili rektornya Profesor Dr. Anuar Ahmad dan Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Profesor Madya Ts. Dr.Rosliza Ramli.
Turut menyaksikan MoU tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat dan Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin.
Menurut Hamdan, kerjasama itu merupakan satu peluang bagi syarikat untuk mendapatkan pandangan dalam bidang inovasi teknologi dan mekanisasi, serta automasi daripada pemain industri yang berpengalaman dan berkebolehan tinggi.
"Peluang ini membolehkan syarikat menambah baik operasi melalui kemajuan teknologi, seterusnya memastikan pergerakan syarikat selaras dengan Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0 dan Internet of Things (IoT).
“TDM Plantation Sdn Bhd bukan sahaja bertujuan untuk memacu produktiviti dan pertumbuhan ekosistem perladangan, tetapi juga untuk memastikan sistem sokongan yang baik dapat disediakan. Ini termasuklah infrastruktur, kemudahan, latihan dan ilmu pengetahuan yang berkaitan untuk mekanisasi operasi perladangan, menyelesaikan masalah kekurangan tenaga yang semakin meruncing di ladang dan memastikan syarikat kekal berdaya saing, terutamanya ketika mengharungi wabak pandemik kini," ujarnya.
Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk memanfaatkan kepakaran dan kekuatan masing-masing.
Dalam tanggungjawab yang dipersetujui, UCTATI akan memberikan sokongan dan nasihat yang diperlukan berhubung dengan inovasi dan mekanisasi aktiviti operasi perladangan, penganjuran simposium, persidangan, kursus pendek dan mesyuarat berkenaan inovasi dan mekanisasi perladangan, perkongsian hasil penyelidikan untuk faedah komersial bagi kedua-dua pihak dan mana-mana bidang kerjasama lain yang dipersetujui bersama.
Sementara itu, Dr Anuar berkata, dengan rangkaian pakar berkemahiran tinggi yang cekap, lengkap dengan keupayaan dalam pelbagai bidang teknikal, pihaknya yakin untuk menyokong TDM Plantation Sdn Bhd kearah merealisasikan potensi syarikat sepenuhnya.
“Kami mengharapkan hasil positif daripada gabungan keupayaan TDM Plantation Sdn Bhd dengan kepakaran teknikal UCTATI. Kita juga bersedia membantu pihak mereka dalam menangani cabaran masa kini dan jangka panjang yang boleh mengganggu momentum syarikat, termasuk dalam usaha mengurangkan beban kerja yang intensif sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia melalui mekanisasi dan automasi teknologi,” katanya.
TDM Plantation Sdn Bhd sebelum ini memeterai perjanjian dengan Edaran Badang Sdn. Bhd. bagi mendapatkan jentera Mechanical Buffalos untuk kegunaan ladang.
03 Dec 21
598
Permintaan Lepasan IKBN Terengganu Seperti 'Goreng Pisang'
Marang, 25 November – Kadar kebolehpasaran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Terengganu diibaratkan seperti pisang goreng dengan peningkatan peratusan sehingga 90 peratus dan permintaan pasaran yang masih luas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Laporan Pencapaian KPI Utama Kementerian Belia dan Sukan menunjukkan kadar kebolehpasaran Graduan ILKBS telah meningkat daripada 80% pada tahun 2013 kepada 90.94% pada tahun 2020 dengan gaji purata RM1,711 sebulan.
“Kebanyakkan lepasan graduan telah ‘dicop’ atau ditempah daripada pemain industry yang memerlukan kepakaran mereka dalam pelbagai bidang kemahiran.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada IKBN Wakaf Tapai di atas penganjuran majlis ini bagi meraikan kejayaan para graduan, para pendidik serta pengorbanan ibu bapa yang telah membentuk insan intelek masa depan yang murni sahsiahnya.
“Diharapkan IKBN Wakaf Tapai terus melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi yang dapat memberi sumbangan kembali kepada keluarga, kerajaan Negeri Terengganu dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Graduan IKBN Wakaf Tapai 2020/2021, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah IKBN Wakaf Tapai, Zaini Abd Aziz berkongsi, antara pemain industri yang sering berhubung dengan pihaknya bagi mendapatkan kepakaran pelajarnya seperti industri minyak dan gas di Paka (bidang kimpalan) serta kedai jahitan sekitar Kuala Terengganu.
“Ini kerana mereka mempunyai skil yang diperlukan pasaran seperti Noor Arfa Batek dan jahitan t-shirt. Walaupun lepasan kita tidak ramai, namun permintaan industry sentiasa luas,” jelasnya.
Menurut penganjur, seramai 273 orang graduan telah tamat latihan 2020/2021 iaitu seramai 176 orang bagi lepasan tamat latihan sesi 2020 dan 97 orang bagi lepasan tamat latihan sesi 2021, dengan 100 orang hadir pada majlis penyampaian hari ini.
25 Nov 21
1438
2,212 Pelajar Di Batu Buruk Terima Bantuan Persekolahan
KUALA TERENGGANU, 25 November – Seramai 2,212 pelajar di Dewan Undangan Negeri Batu Buruk menerima Bantuan Persekolahan Tahun 2021.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, jumlah tersebut merupakan yang tertinggi dalam Parlimen Kuala Terengganu.
“Alhamdulillah, bantuan persekolahan ini diteruskan lagi oleh kerajaan negeri pada tahun ini sebagai satu usaha dalam memberikan kebajikan kepada rakyat.
“Bantuan yang kita sampaikan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat supaya hasil kerajaan negeri dapat kembali kepada rakyat dalam pelbagai bentuk dan sektor seperti sektor pendidikan, kebajikan, dakwah, pelaksanaan syariah, ekonomi, pertanian dan sebagainya.
“Di samping itu juga, saya berpesan kepada semua untuk sama-sama kita menjaga diri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) terutama dalam kalangan anak-anak yang hadir ke sekolah,” katanya dalam majlis penyerahan bantuan itu.
Majlis yang diadakan di Dewan Dato’ Haji Wan Abdul Muttalib, Kuala Ibai itu berjalan dengan lancar mengikut SOP yang telah ditetapkan.
25 Nov 21
388
1452 Pelajar Seberang Takir Terima Manfaat Bantuan Persekolahan
KUALA NERUS, 23 November – Seramai 1452 orang pelajar telah menerima manfaat bantuan persekolahan daripada Kerajaan Negeri dalam membantu ibu bapa membuat persiapan sekolah.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, sebanyak RM100 disalurkan kepada 911 orang ibu-bapa atau penjaga yang mempunyai anak bersekolah darjah satu sehingga tingkatan satu di kawasannya.
“Antara syarat lain juga seperti mempunyai dua orang anak dalam satu keluarga.
“Bantuan permulaan persekolahan sudah lama dirancang, sejak 2019, namun akibat kekangan COVID-19, ia menerbataskan usaha pihak kami.
“Namun begitu, sejak pembukaan sekolah di dalam fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) beserta kelonggaran ekonomi, kita dapat melancarkan kerja agihan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya.
Tegas beliau, arahan telah dikeluarkan kepada semua JPKK supaya kerja pengagihan sumbangan tersebut diberi mengikut syarat tanpa siaf ‘memilih bulu’.
Sementara itu, menemubual seorang ibu, Lizawati Deraman, 38 menyifatkan pemberian tersebut amat diperlukan memandangkan suaminya hilang punca pendapatan akibat pandemik COVID-19.
"Setelah dua tahun tidak dapat bantuan sekolah, namun Alhamdulillah saya terpilih salah sebagai salah seorang penerima,” katanya kepada pemberita.
Bagi Syarifah Mohd Nor, 48, dari Tok Jembal, masalah pembelian barangan sekolah buat anaknya dapat diselesaikan terutamanya masih merasai kesan ekonomi COVID-19.
“Tambahan pula apabila ketua keluarga bekerja sendiri dengan hasil pendapatan tidak menentu, ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga kami,” jelasnya.
23 Nov 21
467
UMT TUBUH PUSAT ARKEOLOGI BAWAH AIR PERTAMA DI MALAYSIA
15 Nov 21
241
UMT Tubuh Pusat Arkeologi Bawah Air Pertama Di Malaysia
KUALA NERUS, 9 November - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melancarkan pusat arkeologi bawah air pertama di Malaysia dengan penubuhan Pusat Latihan Arkeologi Bawah Air Marin di Stesen Penyelidikan Alami Marin dan kampus induk.
Naib Canselor UMT, Prof Dr Mazlan Abd Ghafar berkata, penubuhan tersebut berkait rapat dengan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya bawah air seperti peninggalan kapal karam ‘The Bidong Shipwreck’.
“Antara kelebihan Bidong adalah kewujudan khazanah sejarah tersebut yang telah dikaji sejak 2017, serta kedalaman dasar yang tidak melebihi 18 meter.
“Ini bermaksud kawasan ini boleh diterokai penyelam rekreasi, dengan adanya juga 11 replika mercu tanda terkenal negara ASEAN (AUMIL) juga, ia amat bagus sebagai tempat latihan arkeologi.
“Pusat latihan ini turut melibatkan kerjasama pakar-pakar daripada negara ASEAN yang berkongsi dan bertukar pengetahuan serta pengalaman dalam menguruskan cabaran dalam perlindungan warisan budaya dan arkeologi bawah air,” katanya.
Tambahnya, kolaborasi bersama negara jiran seperti Kemboja dan Thailand adalah penting bagi melihat bagaimana tamadun terdahulu berinteraksi dan berkembang di Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian AUMIL di Pulau Bidong, semalam.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Seri Nancy Shukri menyifatkan usaha kerjasama pihaknya dengan UMT dan Jabatan Warisan Negara adalah penting dalam menjayakan Seminar Pemuliharaan dan Perlindungan Warisan Budaya Bawah Air ASEAN.
“Kita ingin mengekalkan budaya Terengganu yang sinonim dengan sejarah maritim serta khazanah dasar laut dan kehidupan marin.
“Pemeliharaan semua bentuk budaya dan warisan bawah air mesti diberikan kepentingan yang sama, kerana ia adalah sebahagian daripada warisan kita kepada generasi akan datang,” tambahnya.
08 Nov 21
1665
UMT Kekal Tersenarai Antara 200 Universiti Terbaik Asia
KUALA NERUS, 3 November - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kekal tersenarai antara 200 universiti terbaik Asia menerusi penarafan QS Asia University Ranking 2022 selama empat tahun berturut-turut sejak 2019.
Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata berjaya meraih kedudukan 167 universiti terbaik Asia dalam dengan lonjakan 28 anak tangga berbanding tangga 195 tahun lalu.
Katanya, ia juga menyaksikan UMT berada pada kedudukan ke-16 universiti terbaik di Malaysia.
“Pencapaian memberangsangkan UMT menunjukkan tekad universiti untuk meningkatkan kualiti dan prestasi secara konsisten dalam pengajaran-pembelajaran, penyelidikan-inovasi dan pemindahan ilmu dengan matlamat untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang dihormati.
“Kejayaan ini turut menyaksikan prestasi UMT naik dalam hampir semua indikator yang dinilai, dengan indikator pengantarabangsaan menyumbang markah tertinggi walaupun di saat dunia masih berdepan dengan pandemik COVID-19,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kejayaan tersebut adalah hasil komitmen dan kerjasama seluruh warga UMT dalam meningkatkan produktiviti yang berkualiti dalam usaha menempatkan universiti ini dalam kedudukan universiti terbaik dunia.
QS Asia University Ranking ialah agensi beroperasi di United Kingdom yang membuat penarafan 687 universiti utama Asia.
03 Nov 21
472
Anak Terengganu 'Daebak', Cemerlang Dalam Pidato Korea Peringkat Dunia
KUALA TERENGGANU, 1 November – Anak kelahiran Terengganu, Amelya Shamira Kamarudin sekali lagi mencipta kejayaan di pentas antarabangsa dengan menerima anugerah tertinggi dalam Pertandingan Pidato Korea Dunia K-Speech ke-25.
Berasal dari Paka, Amelya mewakili Malaysia untuk bersaing dan berjaya mendapat tempat pertama dalam kategori penutur luar, mengalahkan 15 pemidato asing dari negara-negara seperti India, Inggeris, Singapura, China dan lain-lain lagi.
"Sebelum ini, saya telah muncul sebagai juara kategori kelas tinggi (advanced) dalam Pertandingan Pidato Bahasa Korea 2020,
"Melalui kemenangan itu, saya melayakkan diri di pentas antarabangsa, saya memang tidak jangka kemenangan kedua ini dan lebih gembira setelah dinobatkan juara," kata Amelya yang belajar bahasa Korea sejak dia berusia 10 tahun.
Pemidato berusia 20 tahun itu juga menghadapi cabaran terhadap 25 penutur asli dari Korea Selatan dan enam wakil dari luar negara di Jepun, Thailand dan lain-lain dalam pertarungan lisan.
"Kali ini lebih mencabar, kerana saya harus bersaing dengan bahasa Korea sebagai bahasa ibunda mereka, dan kaedah pemarkahannya amat ketat.
"Pertandingan bertutur dalam bahasa Korea dan Melayu sangat berbeza dari segi format menulis ucapan rasmi, itu juga di antara satu halangan.
"Proses penulisan skrip untuk pidato amat sukar kerana bahasa Korea bukan bahasa pertama dan kedua, ditambah dengan sedikit atau tanpa latihan bahasa formal," katanya yang juga seorang siswi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Namun begitu, Amelya muncul sebagai pemenang setelah menyampaikan pidato bertajuk ‘Sehingga Musim Bunga Tiba’ menceritakan penyatuan semula damai di Semenanjung.
"Di masa depan, saya merancang untuk menyertai lebih banyak pertandingan ini jika peluang itu muncul.
"Saya juga merancang untuk mengikuti Ujian Kemahiran dalam Bahasa Korea (TOPIK) segera bagi meningkatkan peluang dalam mencari pekerjaan setelah tamat pengajian," tambahnya.
Hadiah yang dibawa pulangnya berbentuk sijil dan Anugerah diiktirafkan Dewan Negara Korea Selatan, berserta piala dan sijil.
Pertandingan tersebut adalah anjuran bersama oleh Yongsan-gu Office dan Korea Speech Oratory Association dan ditaja oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Luar Negeri dan Majlis Metropolitan Seoul.
Menurut Persatuan Korea di Malaysia (KSM), penutur perwakilan menyampaikan kemahiran berbahasa Korea yang mereka kembangkan selama bertahun-tahun mengenai pelbagai topik seperti memerangi COVID- 19, perdamaian di Semenanjung Korea, dan promosi budaya dan persahabatan Hallyu.
01 Nov 21
1248
Kerjasama TSIS, UKM Dan UMT Hasilkan Tiga Karya Penyelidikan
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Hasil kerjasama Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) bersama dua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah berjaya membuahkan tiga buku dalam memperkayakan lagi bidang penulisan dalam negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara buku yang telah dilancarkan seperti “Menelusuri Setiu Wetland Bersama Ayah Ku” penulisan Dr. Jarina Mohd Jani dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
“Dua lagi hasil penulisan antaranya bertajuk “Fiqh Siasah Abdul Hadi Awang Dalam Sosio-politik Malaysia & Antarabangsa” dan buku ketiga bertajuk “Sosiopolitik Islam” hasil penulisan Prof. Madya Dr. Latifah Abdul Majid serta ahli kumpulan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Tentunya semua penulisan dihasilkan daripada penyelidikan yang telah dijalankan tidak mudah untuk diterbitkan terutamanya bila berdepan dengan kekangan pandemik COVID-19.
“Sebagai negeri yang Maju Berkat dan Sejahtera, bukan sahaja maju dalam konteks teknologi dan pembangunan malah turut maju dalam membentuk peradaban masyarakat dan ketinggian ilmu dimiliki,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Buku Penyelidikan TSIS Dengan Kerjasama UMT & UKM 2021 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Turut hadir, Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Dr. Wan Mat Sulaiman berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri yang berminat menjalankan kajian dalam meningkatkan lagi pengurusan, penjanaan hasil dan sebagainya.
“Hari ini adalah hasil daripada geran yang diberikan TSIS kepada UKM dan UMT, sebanyak tiga buah buku dilancarkan.
“Pada tahun ini juga, TSIS telah menandatangani perjanjian penyelidikan dengan 13 pasukan penyelidik daripada pelbagai universiti awam.
“Minat daripada mereka amat tinggi, contohnya, apabila TSIS mewar-warkan geran kecil penyelidikan kita telah menerima 714 cadangan penyelidikan,” jelasnya.
31 Oct 21
492
UniSZA Sedia Sambut Kembali 2,500 Pelajar Jumaat Ini
KUALA NERUS, 13 Oktober - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah membuat persiapan sepenuhnya bagi menerima kembali seramai 2,500 mahasiswa sedia ada ke kampus bermula Jumaat ini.
Naib Canselor UniSZA (Menjalankan Fungsi), Prof. Dr Fazli Adam berkata, persediaan tersebut telah berjalan lancar sepertimana yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di ketiga-tiga kampus iaitu Gong Badak, Besut dan Perubatan.
Katanya lagi, kemasukan pelajar ke kampus adalah secara berperingkat bagi yang lengkap divaksin serta membabitkan mereka yang berkeperluan.
“Bagi fasa 1 iaitu 15 Oktober ini adalah membabitkan pelajar yang memerlukan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, manakala Fasa 2 pada 28 Oktober adalah pelajar dari kategori berkeperluan lain.
“Manakala Fasa 3 pula pelajar bukan kategori berkeperluan yang akan masuk pada 13 November.
“Proses PdP akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, bagi kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian, pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP dari lokaliti masing-masing.
Sementara itu, Prof Fazli turut memaklumkan bahawa seramai 1,961 orang pelajar baharu sedang menjalani Minggu Mesra Siswa (MMS) secara dalam talian yang bermula 10 Oktober sehingga hari ini.
“Pelajar baharu sarjana muda ini telah mula mendaftar secara dalam talian bermula 16 September lalu dan mereka boleh masuk ke kampus pada Fasa 2 jika berkeperluan.
“Insya-Allah kita akan menerima lagi jumlah pelajar baharu yang telah memohon bagi fasa rayuan dan sedang diproses oleh pihak KPT.
“Warga kampus mengalu-alukan kepulangan pelajar, walaupun tidak semua, namun suasana kampus pasti sedikit berubah walaupun perlu mematuhi SOP yang ditetapkan,” jelasnya lagi.
13 Oct 21
953