Artikel "Pendidikan" Terkini
Kerajaan Negeri Suntik Semangat Pelajar SPM
KUALA TERENGGANU, 6 Februari – Persediaan akhir pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihangatkan lagi dengan inisiatif program motivasi pelajar anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk.
Menurut ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi program motivasi berkenaan merupakan rentetan daripada program Tuisyen Rakyat DUN Batu Buruk yang telah diadakan pada 3 Februari yang lalu.
Antara peserta program motivasi
“Program yang kita adakan ini merupakan usaha untuk membantu anak-anak pelajar kita agar berjaya dalam peperiksaan SPM yang akan akan dihadapi nanti.
“Apa yang penting ialah kita berusaha, niatkan ikhlas kerana Allah SWT dan berdoa supaya dipermudahkan untuk memahami dan menjawab soalan nanti,” pesannya dalam ucapan majlis penutup program motivasi tersebut.
Program tersebut telah diadakan di Dewan Dato’ Wan Abdul Muttalib, Kuala Ibai dan disampaikan oleh pakar motivasi, Mohamad Mizan Mohd Nor.
Ustaz Mohamad Mizan menyampaikan motivasi kepada pelajar
Dalam pada itu, Program Tuisyen Rakyat bagi subjek Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik diadakan baru-baru ini telah diadakan disertai seramai 90 orang pelajar.
05 Feb 22
410
Pasangan Suami Isteri Terima Diploma Arwah Anak
KUALA NERUS, 27 Januari- Pasangan Ahmad Badri Abd Wahid, 54, dan Zubaidah Mohd Yusof, 54, menzahirkan rasa gembira kerana dapat menghadirkan diri mengambil diploma anak ketiga mereka pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-12 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Kuala Nerus, hari ini.
Ahmad Badri, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bedena, Selangor menerima diploma bagi pihak anaknya, Ahmad Wafi, 22, graduan Diploma Pengajian Islam (Al Quran dan As Sunnah) yang meninggal dunia pada 9 Disember 2020 akibat serangan jantung ketika bermain futsal.
Ketika itu, Ahmad Wafi sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana muda Usuluddin dengan Kaunseling untuk semester pertama di UniSZA pulang ke kampungnya di Sungai Besar kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ahmad Badri berkata, walaupun sedih kerana tidak dapat melihat arwah mengambil sendiri, dia dan isterinya gembira kerana arwah tetap mengharumkan nama keluarga walaupun dia sudah tiada.
"Kami teruja untuk hadir ke majlis hari ini dan seronok melihat rakan-rakan arwah meraikan kejayaan masing-masing meskipun anak saya tiada bersama.
"Dia anak yang baik dan tidak menyusahkan. Saya bangga dengan dia sebab memilih pengajian dalam bidang agama sama seperti saya dan isteri,” katanya.
Diploma berkenaan telah disampaikan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Fadzli Adam.
Seramai 3,345 graduan UniSZA diraikan dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama lima hari bermula Ahad lalu.
27 Jan 22
1259
Tuah Rezki Putri Uda Mahu Jadi Contoh Bangsa Muda Orang Asli
KUALA NERUS, 27 Januari- “Saya sangat gembira dan bersyukur serta mahu menjadi contoh yang terbaik untuk bangsa muda orang asli," kata Tuah Rezki Putri Uda.
Tuah Rezki, 23, menerima Diploma Pengajian Bank yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Fadzli Adam bersama 254 graduan yang lain di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-12, di sini, hari ini.
Tuah dari suku kaum Semai merupakan anak kelima dari enam beradik kini menyambung pegajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan dan Rekreasi di UKM, Bangi.
Bapa Tuah, Minit a/l Bah Los, 59, dan ibunya, Juliana a/p Bah Uda, 54, tidak dapat hadir pada majlis konvokesyen kerana tiada kenderaan dan perjalanan yang agak jauh.
“Walaupun saya datang seorang diri, saya tetap bangga kerana dapat menamatkan diploma dan menyambung pengajian di peringkat sarjana muda demi mengubah nasib hidup keluarga saya.
“Sepanjang pengajian diploma banyak perkara yang saya belajar sendiri dari segi pelajaran, pengurusan kewangan, pengurusan diri dan berkomunikasi dengan rakan-rakan," katanya yang berasal dari perkampungan orang Asli Chenderong Kelubi, Perak.
Katanya lagi, menjadi seorang perempuan Orang Asli yang berpelajaran tinggi dan berkarier adalah impian Tuah agar dapat menjadi contoh untuk diikuti oleh orang asli yang lain.
“Saya tidak pernah malu menjadi orang asli sebab saya nak orang asli ini setara dengan bangsa yang lain”, katanya yang bercita-cita menajdi seorang pensyarah.
27 Jan 22
361
Graduan Cina Terima PhD Pendidikan Di Fakulti Pengajian Islam
KUALA NERUS, 25 Januari- Seorang graduan berbangsa Cina menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA kali-12 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, kelmarin.
Datuk Dr. Ang John Sun, 55, berkata, dia begitu gembira kerana dapat menunaikan amanat mendiang ibunya yang memintanya menyambung pengajian sehingga peringkat PhD.
“Ibu saya teringin sekali melihat saya mendapat PhD dan hari ini saya sangat gembira kerana dapat merealisasikan impian dia walaupun sudah tiada.
“Sedih juga sebenarnya kerana semasa mendaftar Phd di UniSZA, dia datang menemani saya dan dia sangat gembira saya melanjutkan pengajian sehingga peringkat PhD,” katanya.
Katanya lagi, tinggal bersama masyarakat Melayu membuatkannya sentiasa berkomunikasi bahasa Melayu dengan fasih serta minat mendalami ilmu Pendidikan Islam.
“Saya mula pengajian PhD pada tahun 2018 dan sebelum ini Sarjana Sains di UPM dan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Kemanusiaan di USM.
“Masa SPM saya ambil mata pelajaran Pendidikan Islam dan sekarang pun saya mengajar Bahasa Melayu di sekolah," katanya yang juga Ketua Bidang Bahasa di SMK Badak Bachok, Kelantan.
Bapa kepada anak kembar lelaki dan perempuan itu hadir ke majlis konvokesyen bersama isterinya, Datin Kee Hui Bin, 50.
25 Jan 22
743
Julang Martabat Pendidikan Islam Ke Tahap Tertinggi
Kebersamaan antara kerajaan, pendidik dan masyarakat mampu mengangkat martabat pendidikan Islam ke tahap tertinggi.
10 Jan 22
162
Dunia Pendidikan Lebih Memahami Masyarakat
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 8 Januari - "Dunia pendidikan ini banyak mengajar untuk lebih memahami situasi masyarakat dan keadaan persekitaran," jelas seorang penerima anugerah Tokoh pendidik peringkat Negeri, Noorzila Mohamed.
Menurutnya yang juga seorang ustazah berusia 48 tahun, guru ibarat petani yang sentiasa memastikan tanamannya subur tanpa gangguan musuh.
"Alhamdulillah, rezeki dari Allah. Sebenarnya anugerah ini adalah untuk memberi inspirasi kepada saya untuk terus berdakwah.
"Berperanan sebagai daie, mengajak masyarakat,terutama muslimat terus mencintai ilmu dan beramal dengan Islam," katanya ketika dihubungi pada hari ini.
Beliau yang menetap di Kampung Kubang Bujuk, Manir telah bertugas sebagai seorang guru sejak tahun 2005.
Noorzila menyifatkan cabaran ketika mendidik masyarakat untuk menjadi insan berguna bukan perkara yang mudah.
"Anak-anak yang kurang minat belajar ini boleh diselesaikan melalui guru sebagai murabbi bukan sekadar pengajar.
"Begitulah tugas seorang pendidik. Kena jadikan murid sebagai anak-anak yang disayangi," ujarnya yang kini masih mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Menara, Manir.
Beliau turut menasihati generasi muda agar kekal istiqamah dengan ikhlaskan hati membuat semua perkara kerana Allah dan sentiasa menuntut ilmu.
"Berkata Iman al-ghazali, orang yang dikatakan berilmu ialah orang yang sentiasa berinteraksi dengan ilmu.
"Belajar untuk memahami politik Islam dan mengkaji sirah-sirah Rasulullah serta memahami perjuangan para muslimat Islam masa silam," ujar beliau.
Beliau memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (Ajk) Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu (Ketua Lujnah Dakwah), Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Hulu Terengganu, Ketua Tarbiyyah Hulu Terengganu, Ajk Tarbiyyah Negeri Terengganu, Ajk alimat Negeri Terengganu, Naqibat Teras Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Dan Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu (DMPNT).
Selain itu, Pengarah j12k Muslimat Hulu Terengganu, Ajk tarbiyyah DMPM, Penasihat Muslimat Dun Manir, Naqibat Ameerah Hulu Terengganu dan Setiausaha Muslimat cawangan Kubang Bujuk serta penceramah bebas dan pengkuliah bertauliah negeri Terengganu.
08 Jan 22
256
'Terima Kasih Terengganu, Sekolah Kami Kembali Ceria'
TEMERLOH, 30 Disember - Guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Islam At-Taqwa terharu dengan kerja keras sukarelawan Terengganu yang membersihkan institusi tersebut sehingga boleh kembali beroperasi seperti biasa.
Guru Besarnya, Khairul Azwan Zamri berkata, kerja pembersihan lumpur dan sisa banjir oleh 38 sukarelawan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu itu membolehkan SRA At-Taqwa dibuka pada pada 10 Januari depan.
Katanya, sejak empat hari pihaknya juga telah berusaha membersihkan 13 blok bangunan daripada kesan banjir namun tenaga yang terhad menyukarkan operasi.
“Pada khamis lalu, paras air naik tinggi sehingga ke paras atap sekolah, hampir menenggelamkan kelas, blok pra sekolah, tandas, pejabat dan bilik guru.Alhamdulillah kerjasama sukarelawan ini meringankan beban kami.
“Terima kasih kepada warga Terengganu terutamanya tenaga pengajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu daripada Dungun, Kuala Berang dan Kemaman kerana terus komited bergotong-royong bagi membolehkan 335 orang pelajar kembali untuk sesi hadapan.
“Kebanyakkan kelas juga semakin pulih dengan beberapa tempat lagi belum selesai, semasa air naik barangan kelas sempat dialih oleh guru-guru disini dengan kebanyakkan kerosakan hanya melibatkan perkakasan elektrik seperti kipas dan lampu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemu bual pemberita semasa Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang 2021 di Kampung Paya Kecil, kelmarin.
Sementara itu, wakil Jabatan Pendidikan Pahang, Yahaya Taib turut menyuarakan penghargaan kepada sukarelawan Terengganu dipimpin oleh rombongan Sekolah Imtiaz.
“SRA Islam At-taqwa ini antara dua sekolah agama termasuk Maahad Tahfiz Islamiyah yang terjejas teruk di Temerloh di samping 24 buah sekolah lain lagi di sini,” katanya yang juga daripada Sektor Pendidikan Islam JPP.
30 Dec 21
2215
Persekolahan Di Terengganu Ditangguh Seminggu Susulan Banjir
KUALA TERENGGANU, 25 Disember – Sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 di Terengganu akan dimulakan pada 9 Januari tahun hadapan susulan ditangguh selama seminggu akibat bencana banjir.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, negeri tersebut telah disertakan dalam Kumpulan A bersama Johor, Kedah, Kelantan yang juga akan memulakan persekolahan pada tarikh sama.
“Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang Perak, Perlis Pulau Pinang Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan 10 Jan ini
“Walau bagaimanapun (keputusan ini) mengambil kira situasi banjir semasa di seluruh negara yang melibatkan murid, ibu bapa, guru-guru, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Hal ini juga melibatkan sekolah-sekolah sama ada sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) atau pun sekolah yang terjejas teruk," katanya menerusi hantaran video di Instagram rasmi beliau.
Tambahnya, maklumat lanjut mengenal penangguhan sesi persekolahan itu akan dimaklumkan menerusi kenyataan media dalam masa terdekat.
Beliau berkata KPM cakna kepada kebajikan guru murid dan ibu bapa dalam konteks banjir semasa dan memaklumkan, kementerian itu memahami pihak terbabit memerlukan masa untuk kembali menyiapkan keperluan sebelum memulakan sesi persekolahan semula.
25 Dec 21
668
PETRONAS Sumbang Zakat RM79,900 Kepada Sekolah Agama
KEMAMAN, 22 Disember – PETRONAS Peninsular Malaysia Assets (PMA) melalui Badan Kebajikan Kakitangan Islam PETRONAS (BAKIP) menyampaikan sumbangan zakat kakitangan PETRONAS berjumlah RM79,900 kepada empat buah sekolah agama terpilih di daerah tersebut.
Pengurus Besar Kanan PMA, Hafiz Azzad Zubir berkata, sumbangan berbentuk wang tunai kepada 239 pelajar dan guru itu diharapkan dapat membantu meringankan beban mereka.
“Sebagai sebuah syarikat yang prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat dan pembangunan pendidikan di negara ini, kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak akan dapat menolong mereka dalam apa jua urusan berkaitan pendidkan dan kebajikan pelajar di sini.
"Sumbangan zakat tersebut adalah hasil kerjasama yang dijalankan di antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM) Terengganu dan PETRONAS.
"Melalui kerjasama tersebut, BAKIP dilantik sebagai wakalah zakat yang berperanan mengagihkan zakat yang dikeluarkan oleh kakitangan PETRONAS kepada MAIDAM pada tahun 2021," katanya semasa majlis ringkas di Markaz Dirasat Al Islamiah, Kampung Semanyor, Kemasik baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi dan Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.
22 Dec 21
1164
Tiada Pelajar Terengganu Tercicir Kerana Miskin
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Tiada masalah keciciran murid sekolah yang berlaku di Terengganu disebabkan kemiskinan keluarga terutamanya ketika negara dilanda pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, semua pihak memainkan peranan dalam memastikan pelajar negeri ini dapat meneruskan pelajaran dengan baik.
“Kita sentiasa membuat pemantauan, tidak berbangkit isu keciciran pelajar ketika pandemik COVID-19 kerana pihak kerajaan, swasta, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan lain-lain pihak sentiasa membantu termasuk menghulurkan sumbangan kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi membolehkan mereka belajar dengan selesa.
“Termasuk pemberian data internet, telefon pintar dan sebagainya ketika pelajar terpaksa mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di rumah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Asasi Imtiaz Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu Dewan Kenanga, TER, hari ini.
Walau bagaimanapun Satiful berkata, tidak dinafikan kemungkinan terdapat pelajar yang masih tidak hadir ke sekolah kerana kebimbangan ibu bapa terhadap situasi COVID-19 ketika ini.
“Tiada isu keciciran pelajar ini negeri ini. Kemungkinan yang tidak hadir sebab ibu bapa tidak mahu hantar lagi. Kita pun tidak ambil tindakan, kecuali calon peperiksaan seperti SPM, STPM mereka hadir untuk selesaikan sukatan,” ujarnya.
09 Dec 21
990