Artikel "Pelancongan" Terkini
Terengganu Bawa Identiti Negeri Ke Pentas Antarabangsa
KUALA LUMPUR, 7 Januari – Terengganu terus memperkenal identiti negeri ke peringkat antarabangsa sempena pelaksanaan Kempen Melawat Malaysia (Visit Malaysia 2026).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya akan memfokuskan promosi produk pelancongan yang mencerminkan identiti budaya, alam semula jadi, dan konsep pelancongan Islamik.
“Kami akan memanfaatkan sepenuhnya keindahan alam seperti pulau-pulau indah, serta aktiviti tradisional seperti candat sotong yang berpotensi menjadi acara nasional.
"Selain itu, elemen pelancongan Islamik akan ditonjolkan, termasuk program-program yang sesuai dengan nilai dan budaya Islam, sejajar dengan identiti Terengganu sebagai sebuah negeri yang kaya dengan tradisi dan kesenian Islam,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Pelancaran Kempen Melawat Malaysia 2026 bertempat di Hangar 6, MAB Engineering Complex, KLIA, semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Razali berkata, melalui kempen ini, pihaknya berharap dapat meningkatkan kesedaran terhadap keunikan Terengganu dan menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan.
“Kempen ‘Visit Malaysia 2026’ ini dijangka memberi impak positif kepada industri pelancongan negara, dengan peningkatan ketara dalam jumlah pelancong yang akan mengunjungi Malaysia, khususnya Terengganu," ujarnya.
Terdahulu, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) telah mengumumkan bahawa dua program pelancongan Terengganu, iaitu Fiesta Candat Sotong Terengganu dan Program Pelita Raya Terengganu, akan dimasukkan sebagai atur cara utama dalam kalendar pelancongan negara.
Pengumuman tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Tuan Khairul Firdaus Akhbar Khan, sewaktu sesi penggulungan jawapan Titah Tuanku Agong di Dewan Negara.
06 Jan 25
1517
Penyu Agar 60Kg Ditemui Terdampar
Seekor penyu agar dianggarkan seberat 60 kilogram (kg) ditemui telah terdampar di Pantai Seberang Takir, di sini, semalam.
06 Jan 25
48
Pulau Perhentian Jadi Lokasi Paling Pesat Terima Kehadiran Pelancong Antarabangsa
Pulau Perhentian kini menjadi destinasi baharu paling pesat menerima kehadiran pelancong antarabangsa sebagaimana yang diumumkan platform percutian digital Agoda.
06 Jan 25
72
Pulau Perhentian Jadi Lokasi Paling Pesat Terima Kehadiran Pelancong Antarabangsa
KUALA NERUS, 4 Februari - Pulau Perhentian kini menjadi destinasi baharu paling pesat menerima kehadiran pelancong antarabangsa sebagaimana yang diumumkan platform percutian digital Agoda.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pulau tersebut kini menjadi pilihan komuniti nomad digital yang menjadikannya sebagai pejabat atau rumah kedua.
"Pelancaran program 'Nomad Digital' yang kita buat di Perkampungan Budaya pada tahun 2024 telah membuahkan hasil serta maklum balas yang cukup baik.
"Komuniti Nomad Digital ini dia pilih lokasi pulau yang mempunyai infrastruktur cukup lengkap dan 'coverage internet' yang kuar kerana mereka hendak gunakan sepanjang masa.
"Sebagai contoh orang Amerika duduk di Pulau Perhentian dia buat kerja sambil melancong sehingga ia menjadi viral dan Pulau Perhentian menjadi tumpuan dan diakui bertaraf antarabangsa,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas hadir ke Program Bersih Pantai Monsun Terengganu 2024 : Platform Pemuliharaan Pantai, di Pantai Batu Burok dan Pantai Seberang Takir, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata komuniti digital nomad dari Timur Tengah serta Eropah yang paling ramai memilih Pulau Perhentian untuk dijadikan rumah kedua atau tempat mereka bekerja.
"Dengan memiliki keindahnya yang mempersonakan, pantai yang cantik dan pemandangan di bawah laut yang memukau menyebabkan pelancong boleh menginap berbulan-bulan,"katanya.
Dalam pada itu, Razali berkata pihak kerajaan negeri bercadang untuk turut memastikan Pulau Redang akan turut menjadi pilihan utama.
"Kita berhasrat hendak pasarkan lagi Pulau Redang serta besarkan lagi nomad digital di pulau tersebut serta akan turut memperluaskannya ke Pulau Kapas, Pulau Tenggol dan lain-lain untuk 'full swing' bagi dijadikan nomad digital ini.
"Justeru, saya terlah berbincang dengan beberapa pengusaha menara telekomunikasi bagi memastikan setiap pulau di negeri Terengganu sekurang-kuranya mendapat 70 peratus liputan internet," ujarnya.
05 Jan 25
301
Jangan Anggap Kehadiran Pelancong Menyusahkan Akibat Berlaku Kesesakan
KUALA NERUS, 5 Januari - Jangan pernah melontarkan kata-kata negatif serta membina naratif bahawa kehadiran pelancong ke negeri ini menyusahkan kerana berlaku kesesakan luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kehadiran pelancong ke negeri ini tidak boleh dihalang sebaliknya ia merupakan pintu rezeki kepada rakyat dan menyumbang kepada limpahan ekonomi.
"Kalau boleh kita hendak ramaikan lagi kerana ia menyumbang kepada pendapatan terus kepada rakyat yang akan menerima hasil berganda.
"Mengenai kenyataan yang minta supaya pelancong jangan datang ke negeri Terengganu itu hanya cakap-cakap luar yang tidak berasas dan sangat tidak wajar kerana Terengganu kini menjadi destinasi pilihan utama untuk pelancong datang berkunjung ke negeri ini.
"Kita hendak seramai mungkin datang ke negeri ini, cuma kita akan cari jalan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang berlaku dengan melakukan kajian untuk mewujdukan 'smart traffic'," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri Porgram Bersih Pantai Monsun Terengganu 2024, di sini, semalam.
Mengulas mengenai sasaran jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini pada tahun 2025, Razali berkata pihaknya masih belum menetapkan jumlah kerana ingin melakukan beberapa perubahan baharu.
"Tahun ini kita hendak berbincang lagi dengan beberapa agensi supaya mendapat dapat menjangkakan jumlah yang lebih efisien untuk memastikan akan berlaku lonjakan yang lebih ketara.
"Saya rasa kita boleh mencapai angka lebih 7.8 juta sebagaimana yang dicatatkan pada tahun lalu bagi tahun ini,"katanya.
05 Jan 25
171
Penyu Agar 60Kg Ditemui Terdampar
KUALA NERUS, 5 Januari - Seekor penyu agar dianggarkan seberat 60 kilogram (kg) ditemui telah terdampar di Pantai Seberang Takir, di sini, semalam.
Bangkai penyu yang hampir reput itu telah dijumpai oleh seorang peserta yang terlibat dalam program pembersihan pantai di Pantai Seberang Takir.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata tragedi itu membawa peringatan tentang pentingnya menjaga kebersihan pantai dan berusaha melindungi hidupan laut itu yang menjadi ikonik pelancongan negeri.
Jelasnya, pencemaran plastik di laut adalah faktor kepada kematian reptilia berkenaan selain disebabkan oleh pukat tunda serta perbuatan khianat membunuh ibu penyu untuk mendapatkan telur.
"Kita akan bendung dan mencari langkah bagi memastikan 'ikonik' negeri Terengganu ini terus terpelihara tambahan pula penyu yang ada skearang ini adalah dari jenis penyu agar setelah penyu belimbing telah tiada akibat telah pupus.
"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Perikanan untuk buat 'enforcement' kepada pukat-pukat nelayan yang mematikan penyu.
"Ini memberi mesej serta gambaran yang jelas bahawa kerajaan negeri sangat prihatin serta serius bagi memastikan penyu di negeri ini akan terus terpelihara," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pihak media, semasa menghadiri Program Bersih Pantai Monsun Terengganu, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Razali menasihatkan orang ramai agar bertanggungjawab memelihara kebersihan laut dan pantai.
"Saya menyeru semua pihak supaya tidak membuang sampah ke laut, menghormati habitat semula jadi kehidupan marin dan menyokong usaha konservasi.
"Bersama-sama kita mampu memastikan keindahan alam sekitar ini kekal untuk generasi akan datang," tegasnya.
05 Jan 25
856
15 Tan Sampah Berjaya Dikumpulkan
KUALA NERUS, 4 Januari - Sebanyak 15 tan sampah berjaya dikumpulkan dalam Program Bersih Pantai Monsun Terengganu yang dianjurkan oleh kerajaan negeri membabitkan Pantai Batu Buruk dan Pantai Seberang Takir.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, usaha melalui program yang dijalankan itu bermatlamat bagi mengembalikan keindahan pesisir pantai terbabit.
"Ini bagi memastikan ia menjadi petunjuk kepada masyarakat bahawa menjaga kebersihan pantai ini sangat penting kerana ia merupakan produk pelancongan negeri Terengganu.
"Kita akan perluaskan lagi program ini di seluruh daerah, dan usaha pembersiahan pantai ini akan diteruskan lagi melalui program 'Terengganu Bersih' yang akan dilaksanakan pada April," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa hadir ke program berkenaan, yang diadakan di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut mengenai program yang diadakan itu, katanya ia melibatkan 1,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk anak syarikat kerajaan negeri, agensi swasta serta komuniti setempat.
Juga mendapat kerjasama antaranya dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Selain itu turut terlibat Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. , Petronas Pantai Timur dan NGO Geng Plastik Ija.
Sementara itu Razali berkata pihaknya kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan program Bersih Sampah Monsun itu sebagai aktiviti tahunan.
"Usaha ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri terhadap pemeliharaan alam sekitar serta menyokong pembangunan yang lestari.
"Ia bukan sahaja menjadi platform kebersihan tetapi juga simbol kerjasama komuniti dalam menjaga warisan semula jadi negeri,"katanya.
04 Jan 25
175
Terengganu Rekod 7.8 Juta Pelancong Pada 2024
Statistik pelancongan di Terengganu bagi tahun 2024 menunjukkan prestasi yang amat membanggakan, apabila jumlah kedatangan pelancong melebihi sasaran awal dengan angka yang mencecah 7.8 juta orang.
01 Jan 25
228
Terengganu Rekod 7.8 Juta Pelancong Pada 2024
KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Statistik pelancongan di Terengganu bagi tahun 2024 menunjukkan prestasi yang amat membanggakan, apabila jumlah kedatangan pelancong melebihi sasaran awal dengan angka yang mencecah 7.8 juta orang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris, menyatakan bahawa sambutan terhadap pelancong yang datang ke negeri ini tahun ini adalah amat memberangsangkan.
“Alhamdulillah, pada tahun ini kita berjaya melepasi sasaran awal, yang pada mulanya dijangka sebanyak 3.5 juta, kini mencatatkan lebih 7.8 juta pelancong.
"Namun, untuk sasaran tahun depan, kami masih belum menetapkan angka pasti kerana kami sedang menguji satu formula baru yang dijangka memberikan impak yang lebih besar,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KTBM) 2024/2025 di Mayang Mall, semalam.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.
Dalam pada itu, Razali turut mengumumkan bahawa pihaknya akan merangka formula baharu untuk mengukur pulangan pelaburan (ROI) daripada kehadiran pelancong.
Katanya, ia termasuk menilai perbelanjaan mereka, serta mengenal pasti latar belakang demografik pengunjung, sama ada daripada golongan berpendapatan tinggi atau rendah.
“Kami sedang mencari kaedah baru untuk menilai ROI berdasarkan kehadiran pelancong sebanyak 7.8 juta.
"Kami ingin melihat berapa banyak yang dibelanjakan, dan mengetahui jenis pelancong yang datang ke sini,” katanya.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa semua program pelancongan akan dikendalikan oleh pegawai daerah tanpa perlu melibatkan pihak ketiga.
Menurutnya lagi, setiap program di daerah-daerah yang berkenaan akan dipantau oleh pegawai daerahnya sebagai 'person in charge'.
"Setiap program utama dan acara kecil yang dianjurkan di daerah akan diuruskan oleh pegawai daerah masing-masing," katanya.
Tambah beliau, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke Terengganu adalah penganjuran acara-acara bermusim di setiap daerah.
"Sebagai contoh, Festival Cabaran Monsun Perahu Panjang Tanjung Sabtu 2024 baru-baru ini berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.
"Walaupun beberapa program baharu belum dimasukkan dalam senarai acara pelancongan 2025, acara-acara bermusim yang mendapat sambutan hangat pada tahun 2024 dijangka akan diteruskan dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan tahun depan, sebagai usaha untuk terus meningkatkan jumlah pelancong ke negeri ini," katanya.
01 Jan 25
448
Karnival Beautiful Terengganu Malaysia Sasarkan 100,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) menyasarkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu untuk menghadiri Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2024/2025 bermula pada 29 Januari sehingga 1 Disember 2025.
KBTM 2024/2025 yang sedang berlangsung di Mayang Mall, Kuala Terengganu telah disenaraikan sebagai salah satu daripada 25 acara ikonik dalam Kalendar Acara Tahunan (COE) 2025 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu.
Acara tersebut dijangka menjadi pembuka tirai bagi merancakkan industri pelancongan negeri pada tahun hadapan.
Sepanjang empat hari penganjuran, KBTM menawarkan lebih 30 aktiviti menarik termasuk pelancaran Kalendar Acara Tahunan (COE) 2025, serta lagu tema terbaru Terengganu, "Dok Rilek".
Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan Tunas SUKTRA, pertandingan mewarna, kuiz Kahoot yang disediakan oleh Pusat Sains dan Kreativiti Kuala Terengganu, serta pelbagai aktiviti interaktif lain.
Karnival itu juga menyajikan persembahan seni dan budaya tradisional Terengganu seperti angklung, kertuk ulu, permainan rakyat, dan ‘busking’.
Program keagamaan turut diadakan untuk merayakan warisan budaya negeri. Selain itu, 15 gerai jualan makanan turut disediakan, menjanjikan pengalaman gastronomi yang memukau pengunjung.
Sebanyak lapan daerah dan beberapa agensi swasta turut terlibat dalam karnival ini, menyediakan ruang pameran yang menawarkan aktiviti kreatif, berinformasi, dan interaktif.
Antara agensi-agensi yang mengambil bahagian termasuk Kampung Budaya Terengganu, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Muzium Negeri Terengganu, Tourism Malaysia Wilayah Timur, dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
Penganjuran KBTM dijangka memberi impak ekonomi positif kepada komuniti tempatan dengan memperluaskan rantaian ekonomi dan meningkatkan kesedaran tentang keunikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama kepada lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
Salah satu tarikan utama karnival ini adalah pertandingan lagu "Terengganu Dok Rilek" yang telah menerima penyertaan daripada lebih 30 individu dari seluruh negara.
31 Dec 24
887