Artikel "Pelancongan" Terkini
Terengganu Bakal Perkenal Wangian Berasaskan Pokok Gelam, Cucur Atap
SETIU, 16 Februari – Terengganu berpotensi untuk memiliki produk wangian tersendiri, dihasilkan daripada pokok gelam dan cucur atap yang banyak terdapat di kawasan Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berpendapat bahawa usaha tersebut dijangka mampu mewujudkan identiti negeri, sekali gus membuka peluang baharu dalam industri pelancongan dan produk wangian tempatan.
Katanya, pihaknya sedang meneliti inisiatif tersebut melalui kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk agensi penyelidikan, usahawan tempatan dan kerajaan negeri.
“Kawasan Setiu Wetlands ini kaya dengan pokok gelam dan cucur atap, yang berpotensi menghasilkan pati minyak berkualiti tinggi.
“Jika dikomersialkan, wangian ini boleh menjadi identiti Terengganu seperti mana Bali, Thailand dan Mekah yang memiliki aroma tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam satu sidang media selepas merasmikan majlis perasmian program sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 peringkat negeri Terengganu di Jeti Gong Batu, Setiu, semalam.
Menurut beliau, beberapa langkah awal telah diambil termasuk kajian oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang sebelum ini telah berjaya mengeluarkan produk kesihatan dan bau-bauan berasaskan sumber semula jadi.
“Kita boleh mulakan projek ini secara percubaan dengan menggunakan wangian tersebut di lapangan terbang, pejabat kerajaan dan lokasi pelancongan utama di Terengganu.
“Jika kita mendapat penerimaan baik daripada masyarakat tempatan, kita boleh kembangkan ke pasaran lebih luas," katanya.
Razali turut menggesa pihak Taman Negeri untuk mengenal pasti pengusaha yang berminat bagi menjayakan inisiatif berkenaan demi manfaat ekonomi negeri.
“Jika kita berjaya mewujudkan satu ‘perfume’ khas yang melambangkan Terengganu, ia bukan sahaja meningkatkan daya tarikan pelancongan tetapi juga memberi peluang perniagaan kepada usahawan tempatan,” jelasnya.
Inisiatif itu selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkaya industri pelancongan dengan produk unik dan berkualiti tinggi, sekali gus memperkukuh identiti Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.
16 Feb 25
614
Tanah Bencah Aset Ekopelancongan Terengganu
SETIU, 16 Februari – Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands), yang terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti dan ekosistem uniknya, terus menjadi aset ekopelancongan penting bagi negeri Terengganu.
Sempena sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 peringkat negeri, kerajaan Terengganu menegaskan komitmennya dalam memelihara khazanah semula jadi kawasan tanah bencah itu sambil menaikkan pelancongan ekologi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris menekankan kepentingan tanah bencah dalam menyeimbangkan ekosistem, membekalkan sumber air bersih, dan memastikan kelangsungan biodiversiti.
“Tema sambutan tahun ini, ‘Melindungi Tanah Bencah Demi Masa Depan Bersama,’ amat bertepatan dengan peranan penting yang dimainkan oleh tanah bencah dalam menyokong ekopelancongan.
“Tanah Bencah Setiu merupakan contoh terbaik khazanah alam yang bukan sahaja menjadi habitat pelbagai flora dan fauna, tetapi juga daya tarikan kepada pelancong yang ingin merasai pengalaman alam semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis perasmian program sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Jeti Gong Batu, Setiu, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman.
Tambah Razali, kewujudan sepuluh ekosistem berbeza dalam satu kawasan di Tanah Bencah Setiu turut mampu bertindak sebagai benteng semula jadi terhadap kesan perubahan iklim seperti banjir dan hakisan pantai.
Ujarnya, Kerajaan Terengganu tetap komited dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti. Agensi seperti Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN), Jabatan Perhutanan, dan WWF Malaysia terus bekerjasama dalam program pemuliharaan yang mengimbangi pertumbuhan pelancongan dengan pemeliharaan ekologi.
“Penglibatan pelbagai pihak dalam program hari ini membuktikan bahawa pemuliharaan adalah tanggungjawab bersama.
“Pembangunan pelancongan lestari di Tanah Bencah Setiu amat penting untuk memastikan generasi akan datang terus menikmati keindahan semula jadi dan manfaat ekologi yang ditawarkan," jelasnya.
Sambutan itu turut menyaksikan penglibatan aktif masyarakat setempat, pelajar, NGO, serta agensi kerajaan melalui pelbagai aktiviti seperti berkayak, jelajah alam semula jadi, penanaman pokok bakau dan gelam, serta pelepasan ketam.
Kerajaan menyeru semua pihak, termasuk sektor swasta dan komuniti setempat, untuk terus memainkan peranan aktif dalam memastikan kelestarian tanah bencah ini agar kekal sebagai salah satu destinasi ekopelancongan utama di Malaysia.
16 Feb 25
347
Pelita Raya Terengganu 2025 Dinaik Taraf ke Peringkat Nasional
SETIU, 16 Februari - Program Pelita Raya Terengganu bakal melakar sejarah baharu apabila dinaik taraf ke peringkat nasional pada tahun ini, dengan pembabitan negeri-negeri lain serta penyertaan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris mengumumkan perkembangan program tahunan itu dalam sidang media selepas perasmian sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 peringkat negeri di Jeti Gong Batu, Setiu, semalam.
Menurut beliau, Pelita Raya bagi tahun 2025 masih akan mengekalkan tradisi pemasangan pelita menggunakan minyak gas dan sumbu, tetapi juga akan menggabungkan elemen pelita elektronik bagi menjaga kelestarian alam sekitar.
“Kita tetap kekalkan identiti pelita minyak gas, tetapi kita akan mengurangkan penggunaannya bagi mengelakkan pencemaran asap.
“Sebagai ganti, kita akan menambah pelita elektronik atau konsep pencahayaan lain yang mesra alam,” katanya.
Pada tahun ini, program tersebut akan dipindahkan ke lokasi yang lebih luas bagi menampung peningkatan penyertaan.
Berbanding anjuran terdahulu yang hanya melibatkan penyertaan dari daerah-daerah di Terengganu, program kali ini akan dibuka kepada negeri-negeri dalam kumpulan SG4, iaitu Kelantan, Kedah, Perlis, dan Terengganu.
Walau bagaimanapun, Razali menjelaskan jika terdapat negeri-negeri lain yang berminat, mereka turut dijemput untuk mengambil bahagian dalam pertandingan pemasangan pelita itu.
Lebih menarik, Pelita Raya 2025 juga akan menampilkan dimensi antarabangsa dengan penyertaan dari negara jiran seperti Thailand (kawasan Pattani), Singapura, Brunei, dan Indonesia.
Negara-negara ini dipilih kerana mereka turut mempunyai budaya menyambut Hari Raya, sekali gus dapat menyemarakkan lagi kemeriahan acara ini.
Datuk Razali turut menegaskan bahawa program ini akan terus diperbesarkan dari tahun ke tahun.
“Ini tahun keempat Pelita Raya diadakan. Dari peringkat kampung, kita kembangkan ke daerah, kemudian GLC, dan seterusnya peringkat negeri.
“Sekarang kita buka kepada negeri lain dan juga peringkat antarabangsa. Setiap tahun kita akan besarkan program ini,” ujarnya.
Pelita Raya 2024 sebelum ini telah berlangsung di Tasik Pahlawan, Taman Tamadun Islam, Terengganu, dan berjaya menarik lebih 40,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya.
Acara tersebut menampilkan pemasangan lebih 150 pelita oleh setiap agensi yang bertanding dengan keutamaan penggunaan bahan kitar semula seperti tempurung, tin minuman, buluh, dan botol.
Seperti edisi sebelum ini, Pelita Raya 2025 akan diadakan dalam tempoh seminggu, bermula selepas minggu pertama Ramadan dan berakhir sebelum pertengahan bulan tersebut.
Menurut beliau lagi, pelbagai hadiah menarik turut disediakan bagi para peserta, meskipun butiran lanjut mengenai ganjaran tersebut masih dirahsiakan.
16 Feb 25
336
Terengganu Fokus Rancakkan Sektor Pelancongan Menjelang Tahun Melawat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 31 Januari — Kerajaan Negeri komited untuk terus merancakkan industri pelancongan dengan pelbagai inisiatif pembangunan dan naik taraf kemudahan, seiring dengan persediaan menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian Dan Teknologi Hijau Mohd Husaimi Hussin berkata pihaknya memberikan menegaskan sokongan penuh terhadap usaha mempromosikan sektor pelancongan di negeri ini.
"Kerajaan negeri sentiasa menyokong program yang dapat meningkatkan daya tarikan pelancongan di Negeri ini yang dikurniakan dengan pelbagai anugerah alam, lokasi menarik serta warisan budaya yang perlu dimanfaatkan untuk pembangunan negeri.
"Dalam Belanjawan Terengganu 2025, kerajaan memberi tumpuan khas kepada naik taraf kemudahan di destinasi pelancongan utama, termasuk pulau-pulau peranginan seperti Pulau Redang, Pulau Tenggol, Pulau Kapas, dan Pulau Bidong yang memerlukan RM30 juta untuk dinaik taraf kemudahan jeti dan membina jeti pemunggahan barang bagi keselesaan pelancong serta penduduk setempat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Karnival Gegor Tourism Year Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut Husaimi berkata kerajaan persekutuan juga memperuntukkan RM550 juta untuk persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Sebanyak RM110 juta diperuntukkan bagi pembangunan kawasan pelancongan, ekopelancongan, dan usaha pencalonan UNESCO."katanya.
31 Jan 25
488
Tahun Melawat 2027 : Transformasi Pelancongan Jadi Keutamaan
Dengan keindahan semula jadi yang memukau dan kekayaan warisan budaya, Terengganu kini giat merancang strategi pelancongan mampan menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.
28 Jan 25
132
Tahun Melawat 2027 : Transformasi Pelancongan Jadi Keutamaan
KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Dengan keindahan semula jadi yang memukau dan kekayaan warisan budaya, Terengganu kini giat merancang strategi pelancongan mampan menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, berkata kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 dan melihatnya sebagai batu loncatan untuk mempromosikan Terengganu ke peringkat antarabangsa.
"Kami bercadang untuk menjadikan Tahun Melawat Terengganu 2027 lebih ikonik dengan memperkenalkan produk pelancongan baharu dan menaik taraf fasiliti sedia ada,” katanya dalam Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), di Primula Beach Hotel, di sini semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; Dato’ Nor Azmie Diron, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut beliau, fokus utama adalah pada aktiviti pelancongan yang dekat dengan alam, seperti recreational vehicle (RV), camping, dan food hunting.
"Kami mahu menarik lebih ramai pelancong yang sukakan pengalaman unik.
"Aktiviti seperti ini bukan sahaja mempromosikan keindahan alam semula jadi Terengganu tetapi juga memberikan impak langsung kepada ekonomi tempatan," tambah beliau.
Beliau turut mengulas mengenai rekod cemerlang sektor pelancongan Terengganu yang menerima 8 juta pelawat pada tahun 2024.
"Ini adalah pencapaian besar, dan kami berazam untuk meningkatkan angka ini dengan menyediakan pengalaman pelancongan yang lebih menarik dan mesra pengunjung,” jelasnya.
Dalam usaha itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan dana untuk memperbaiki fasiliti pelancongan di pulau-pulau peranginan seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, dan Pulau Kapas.
"Kami ingin memastikan setiap pelawat yang datang ke Terengganu membawa pulang pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya.
Dato’ Nara Setia juga menekankan bahawa pelancongan bukan sekadar menarik pelawat tetapi juga membantu komuniti setempat.
"Pelancongan mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat, dan mempromosikan warisan budaya negeri.
"Ia adalah tonggak penting dalam pembangunan ekonomi kami,” ujar beliau.
Kerajaan Negeri turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan projek untuk memperbaiki kemudahan pelancongan dan mengurangkan kadar kehilangan air (NRW) di kawasan strategik.
"Pelan ini akan memastikan kemudahan asas lebih cekap dan bersedia menyambut pertambahan pelawat pada masa hadapan.
"Dengan perancangan rapi dan komitmen tinggi, Terengganu kini bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia dan rantau Asia," katanya.
27 Jan 25
188
Hotel Paya Bunga Kini Bertaraf Empat Bintang
KUALA TERENGGANU, 23 Januari – Hotel Paya Bunga (PB) di Terengganu kini secara rasmi diiktiraf sebagai sebuah hotel bertaraf empat bintang bagi kategori hotel bandar.
Pengiktirafan ini diberikan di bawah Penggredan Bintang Premis Penginapan Pelancongan (PPP) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Majlis penyerahan sijil telah diadakan baru-baru ini dengan penyerahan dilakukan oleh Pengarah MOTAC Terengganu, Mazshida Ruslal, kepada Pengurus Besar PB Hotel, Abdul Hadi Alias.
Menurut kenyataan pihak hotel, pengiktirafan tersebut menjadi simbol kejayaan usaha mereka dalam menawarkan perkhidmatan dan hospitaliti berkualiti tinggi kepada para tetamu.
"Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MOTAC atas pengiktirafan ini.
“Ia pastinya menjadi pemangkin semangat buat kami untuk terus memberikan perkhidmatan dan hospitaliti yang cemerlang kepada semua tetamu kami," katanya.
PB Hotel, yang terletak di tengah-tengah Kuala Terengganu, merupakan sebahagian daripada kompleks bersepadu Paya Bunga Square, Sentral, dan Plaza, dengan akses mudah melalui jambatan berhawa dingin.
Hotel ini menawarkan 208 bilik dan suite yang menggabungkan elemen budaya tradisional Terengganu dengan kemudahan moden, termasuk bilik standard, suite keluarga, dan suite eksekutif dengan pemandangan bandar atau laut.
Hotel ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, ruang acara, dan dewan besar, menjadikannya pilihan utama bagi pelancong perniagaan, pelancong santai, dan penganjur acara.
Reka bentuk interiornya menonjolkan elemen warisan budaya Terengganu, memberikan pengalaman unik kepada para tetamu.
Selain itu, lokasi strategiknya yang berhampiran mercu tanda utama seperti Chinatown, Pasar Payang, dan Masjid Sultan Zainal Abidin, PB Hotel terus memainkan peranan penting dalam menyokong sektor pelancongan negeri.
Sempena pengiktirafan berkenaan, Hotel PB berhasrat untuk mengekalkan dan meningkatkan kualiti perkhidmatannya, sejajar dengan visinya untuk menjadi pilihan utama penginapan di Terengganu.
23 Jan 25
2727
Kerajaan Negeri Sedia Pertimbang Kaedah 'Crasmet' Atasi Hakisan Pantai Penunjuk
KEMAMAN, 20 Januari - Kerajaan negeri mempertimbangkan kaedah terbaik dengan cara memasang 'crasmet' bernilai RM30 juta bagi mengatasi masalah hakisan yang berlaku di Pantai Penunjuk, Kijal yang merupakan salah satu produk pelancongan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kaedah pemasangan 'crasmet' itu akan menjadi 'pilot project' sekiranya ia berkesan mengelakkan hakisan yang serius dari berlaku.
Menurutnya, beliau bekerjasama erat dengan Pejabat Daerah Kemaman dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat satu penilaian 'break water' mana yang lebih sesuai bagi mengelakkan hakisan yang lebih teruk berlaku pada tahun-tahun mendatang.
"Jadi kita telah dapat salah satu cadangan dari Pejabat Daerah iaitu memasang 'crasmet'.
"Untuk menilai projek ini kita akan buat lawatan ke Pantai Bari sebagai rujukan kerana di sana kaedah ini telah digunakan sejak 15 tahun yang lalu dan masih kekal sampai ke hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas mengadakan lawatan kali kedua ke Pantai Penunjuk itu, di sini, semalam.
Tambah Razali, sekiranya projek tersebut benar-benar berkesan, beliau akan mencadangkan kepada pihak Agensi Pengurusan Bencana Banjir (NADMA) dengan kos dijangka menelan lebih kurang RM30 juta dengan jarak sepanjang tiga kilometer (KM).
19 Jan 25
226
Jangan Anggap Kehadiran Pelancong Menyusahkan Akibat Berlaku Kesesakan
Jangan pernah melontarkan kata-kata negatif serta membina naratif bahawa kehadiran pelancong ke negeri ini menyusahkan kerana berlaku kesesakan luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
07 Jan 25
54
Kampung Cina Street Sport Challenge Dijadikan Acara Tahunan
Kampung Cina Street Sport Challenge akan dijadikan acara tahunan yang berpusat di Pulau Warisan bermula tahun ini.
07 Jan 25
97