Artikel "Pelancongan" Terkini
Lumba Perahu Panjang Gamit Nostalgia, Hidup Semula Warisan
Penganjuran Festival Cabaran Monsun Perahu Panjang Tanjung Sabtu 2024 mampu menghidupkan kembali tradisi yang menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat pesisir Sungai Nerus.
30 Dec 24
148
Hotel di Pulau Poh Beroperasi Tahun Depan
Projek pembangunan hotel di Pulau Poh, Tasik Kenyir yang telah mengambil masa lebih kurang sepuluh tahun dengan nilaian kos sebanyak RM97.4 juta itu akhirnya menghampiri peringkat akhir pembangunan dan dijangka mula beroperasi sekitar pertengahan tahun 2025.
26 Dec 24
159
Tasik Kenyir Jadi Tumpuan Dunia, 10 Negara Sertai IMCT 2024
Tasik Kenyir sekali lagi menjadi tumpuan apabila acara International Monsoon Casting Tournament (IMCT) 2024 berjaya menarik minat 260 peserta, termasuk 60 peserta antarabangsa dari sembilan negara
15 Dec 24
534
Tasik Kenyir Jadi Tumpuan Dunia, 10 Negara Sertai IMCT 2024
HULU TERENGGANU, 14 Disember – Tasik Kenyir sekali lagi menjadi tumpuan apabila acara International Monsoon Casting Tournament (IMCT) 2024 berjaya menarik minat 260 peserta, termasuk 60 peserta antarabangsa dari sembilan negara.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti, dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Zawawi Ismail berkata program seperti IMCT penting untuk mempromosikan keunikan eko-pelancongan negeri.
“Dengan adanya acara ini, Tasik Kenyir mendapat pendedahan antarabangsa.
“Antara negara yang turut serta ialah Thailand, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, China, Perancis dan Belanda.
“Ia membuktikan kawasan ini kaya dengan tarikan unik seperti Pulau Poh, Taman Burung, dan Gua Bewah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelepasan Peserta Pertandingan IMCT 2024 di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini hari ini.
Menurut beliau, kehadiran peserta antarabangsa menunjukkan potensi besar Tasik Kenyir untuk terus menarik pelancong asing.
“Kita mahu mereka bukan sahaja menikmati aktiviti memancing tetapi juga melihat sendiri keindahan dan keunikan alam sekitar di sini,” tambahnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong itu turut menekankan kepentingan keselamatan sepanjang acara berlangsung.
“Keselamatan perlu menjadi keutamaan kita semua, terutama dalam aktiviti melibatkan air,” kata beliau.
Beliau turut mengingatkan para peserta agar menjaga etika dan mematuhi peraturan demi menjamin pengalaman yang selamat dan menyeronokkan.
“Semoga semua yang hadir membawa pulang pengalaman manis di Tasik Kenyir kali ini,” ujarnya.
Katanya, acara tahunan tersebut mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, selain pertandingan memancing, peserta dan pengunjung juga berpeluang menikmati pemandangan indah dan menyelami budaya serta keunikan Tasik Kenyir.
“Dengan kejayaan penganjuran IMCT 2024, Terengganu kini semakin dikenali sebagai destinasi pilihan untuk sukan rekreasi air.
“Program ini bukan sahaja mempromosikan negeri di mata dunia tetapi turut meningkatkan ekonomi tempatan melalui kehadiran pelancong dalam dan luar negara.
“Mari jadikan Tasik Kenyir sebagai lokasi wajib bagi penggemar aktiviti luar dan pencinta alam,” ujarnya.
14 Dec 24
3912
35 Usahawan Kecil Terengganu Terima Pinjaman Tanpa Riba
11 Dec 24
61
Sukan Air dan Karnival Pantai Warnai Kalendar Pelancongan Terengganu 2025
KUALA TERENGGANU, 20 November - Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk memasukkan program sukan air seperti pertandingan lumba perahu panjang ke dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu Tahun 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris mempertimbangkan cadangan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim yang turut menawarkan DUN Buluh Gading sebagai tuan rumah bagi acara tersebut.
“Kerajaan Negeri sedia maklum akan cadangan ini dan insyaallah akan mempertimbangkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Menurutnya, kejayaan Karnival Pantai Terengganu 2024, yang mencatat kehadiran lebih 100,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri, menjadi bukti betapa pentingnya acara sebegini dalam menarik pelancong dan merancakkan ekonomi setempat.
“Pencapaian ini menunjukkan potensi besar karnival pantai sebagai acara utama negeri.
“Ia bukan sahaja mempromosikan pelancongan tetapi juga memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat, terutamanya usahawan kecil dan penggiat Industri Kecil Sederhana (IKS),” jelas beliau.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut mengumumkan bahawa Karnival Pantai Terengganu akan diteruskan pada tahun 2025 yang dijangka menjadi salah satu acara tanda aras (signature) dalam kalendar pelancongan dengan penyertaan dari dalam dan luar negara.
“Langkah ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama sambil memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat,” ujarnya.
20 Nov 24
537
Lumba Perahu Panjang Berpotensi Tarik Pelancong, Lonjak Ekonomi Tempatan
KUALA TERENGGANU, 20 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim, mencadangkan penganjuran kejohanan lumba perahu panjang sebagai salah satu aktiviti sukan air tahunan di Terengganu.
Cadangan itu dikemukakan beliau semasa membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 di Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, di Wisma Darul Iman, semalam.
Beliau terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri atas kejayaan mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pilihan utama pelancong domestik melalui pelbagai aktiviti menarik yang disusun sepanjang tahun.
Menurutnya, usaha tersebut telah berjaya memastikan negeri itu terus relevan sebagai lokasi pelancongan.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri, melalui portfolio Jawatankuasa Pelancongan, yang merupakan ADUN Kijal, Datuk Razali Idris dan jabatan-jabatan, serta agensi-agensi yang terlibat, hasil kerja keras mereka, Terengganu kini menjadi destinasi pilihan pelancong,” katanya.
ADUN Buluh Gading itu mencadangkan Sungai Nerus sebagai lokasi utama penganjuran kejohanan lumba perahu panjang.
“Kawasan DUN Buluh Gading, bersedia menjadi tuan rumah bagi menjayakan acara ini, seiring dengan pengalaman mereka menganjurkan program serupa sebelum ini.
“Pertandingan lumba perahu panjang mampu menarik perhatian pelancong, dengan aktiviti sampingan yang sesuai, ia boleh menjadi tarikan utama,” jelasnya.
Tambah beliau, program terdahulu yang telah dianjurkan di kawasan itu ialah Kejohanan Perahu Naga Beautiful Terengganu 2022, yang berlangsung pada 29 dan 30 Julai 2022 di Jeti Pengkalan Perahu Kampung Buluh Gading.
“Acara tersebut berjaya menarik penyertaan dari dalam dan luar negeri, termasuk pasukan dari Pulau Pinang, Perbadanan Putrajaya, UniSHAMS Kedah, pasukan SUKMA Perak dan beberapa pasukan lain lagi.
“Yang terdekat, Festival Monsoon Challenge Perahu Panjang Tanjung Sabtu 2024 akan diadakan pada 29 hingga 30 November ini. Ia bertujuan merebut gelaran Raja Monsoon,” katanya lagi, merujuk kepada acara yang akan berlangsung di Jeti Tanjung Sabtu.
Dalam pada itu, Ridzuan yakin penganjuran sukan air berskala besar seperti ini akan memberi impak positif kepada ekonomi penduduk tempatan.
“Aktiviti seperti gerai jualan dan perkhidmatan sokongan lain sepanjang acara dapat menyediakan peluang pendapatan tambahan.
“Jika acara ini diperluaskan, penyertaan dari dalam dan luar negeri pasti akan memeriahkan lagi industri pelancongan kita. Kesannya, penduduk setempat dapat meraih manfaat melalui aktiviti ekonomi sampingan,” katanya.
Ridzuan berharap cadangan ini mendapat pertimbangan Kerajaan Negeri, demi memanfaatkan potensi besar sektor pelancongan sukan air di Terengganu.
20 Nov 24
271
Belanjawan 2025 : Rakyat Mahu Pelancongan Diperkasa Jana Ekonomi
KUALA TERENGGANU, 11 November - Menjelang pembentangan Belanjawan 2025 (Terengganu) pada 18 November depan, rata-rata rakyat mahu Kerajaan Negeri menjana ekonomi baharu dengan memperkasakan sektor pelancongan.
Pandangan itu dilontarkan berdasarkan situasi Terengganu yang kini menjadi destinasi pilihan utama rakyat Malaysia.
Menurut seorang rakyat Terengganu, Zulfakri Amin Manaf, peluang berkenaan yang ada pada waktu ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk mencari alternatif terbaik bagi memastikan Kerajaan Negeri akan terus berperanan membantu rakyat di saat royalti dinafikan.
"Jadi saya mengharapkan belanjawan pada kali ini akan ada pengumuman untuk menaik taraf sektor pelancongan.
"Berdasarkan pengamatan saya untuk tahun 2024 ini, sektor pelancongan menunjujkkan peningkatkan, alhamdulillah, sebab kita menerima pelancong yang ramai jadi perlu ambil kesempatan ini dengan apa jua cara bagi memastikan ia akan menjana peluang pendapatan untuk orang Terengganu," ujarnya.
Dia yang juga merupakan peniaga Pasar Chabang tiga berkata demikian ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, dari segi memajukan pembangunan dengan mewujudkan bangunan-bangunan bersaiz besar katanya ia tidak menjadi keperluan di negeri ini.
"Dari segi binaan bangunan-bangunan atau pasar raya saya rasa tidak perlu kerana orang datang ke negeri ini pada kebiasaan mereka hendak 'healing' lari daripada kesibukan," ujarnya.
Dalam pada itu, Abdullah Ibrahim pula menyuarakan perasaan bimbang dengan hala tuju kerajaan Malaysia hari ini dilihat tidak mampu dan masih belum memiliki langkah penyelesaian terbaik bagi menoktahkan kemelut kos sara hidup yang kian meningkat.
"Walaupun saya peniaga tetapi saya dapat rasakan yang rakyat sangat tertekan dengan kenaikan harga barang, misalnya saya sendiri berniaga santan dahulunya yang dijual pada harga RM10 sekilogram tetapi kini terpaksa dijual RM14 bagi sekilogram.
"Bayangkan harga kelapa yang dahulu dibeli daripada pembekal RM2.00 sekarang mencecah RM2.70 sebiji, keadaan ini sudah tentu membebankan para pemberi," katanya yang mengharapkan Kerajaan Negeri menampung kelompongan itu.
Sementara itu seorang anak muda, Mohd Arif Raidi pula berharap pembentangan belanjawan oleh Kerajaan Negeri pada kali ini tidak mengabaikan aspek pembangunan belia dan beliawanis negeri ini.
"Insya-Allah dengan perhatian dan fokus yang diberikan akan menjadi pendorong untuk kami menjadi modal insan yang baik untuk negeri Terengganu selayaknya sebagai aset yang berperanan menyumbang kemajuan kepada negeri ini secara khusus dan Malaysia secara amnya," katanya.
11 Nov 24
858
Pembinaan Kolam Khas Wanita di La Hot Spring Capai 70 Peratus
Pembinaan kolam dan laluan khas untuk wanita di Kolam Air Panas La kini mencapai 60 hingga 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa satu atau dua minggu lagi, bergantung pada keadaan cuaca.
11 Nov 24
139
Pembinaan Kolam Khas Wanita di La Hot Spring Capai 70 Peratus
BESUT, 11 November - Pembinaan kolam dan laluan khas untuk wanita di Kolam Air Panas La kini mencapai 60 hingga 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa satu atau dua minggu lagi, bergantung pada keadaan cuaca.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris mengucapkan terima kasih kepada Majlis Daerah Besut dan pegawai Pejabat Daerah atas tindakan pantas melaksanakan cadangan pengasingan ini.
“Idea ini timbul selepas lawatan terdahulu, di mana saya mendapati kolam yang ada ketika itu dikongsi oleh lelaki dan wanita.
“Cadangan kita untuk mengasingkan kolam lelaki dan perempuan di La Hot Spring ini adalah satu corak pengasingan yang cukup bagus sebagai langkah pertama.
“Ini membuktikan kerajaan negeri mengambil serius dalam memastikan lunas-lunas agama Islam terjaga di tempat pelancongan seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media semasa Lawatan Kerja Ke Produk Pelancongan Kolam Air Panas La, disini, semalam.
Menurut Razali, pada fasa pertama pengasingan ini, sumber air tetap dikekalkan dalam keadaan asalnya.
“Pengasingan ini tidak mengakibatkan air kolam berbeza daripada punca asal, suhu dan kepanasannya juga kekal asli dan original.
“Sesiapa sahaja yang hadir ke sini dapat menikmati pengalaman yang sama di kolam yang dikhususkan untuk lelaki dan wanita,” jelasnya.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada langkah proaktif kerajaan negeri Terengganu untuk mengasingkan tempat mandi bagi lelaki dan wanita, bagi memberikan keselesaan serta privasi yang lebih baik kepada para pengunjung.
Selain pengasingan kolam dan laluan, Razali turut berkongsi pandangannya tentang keunikan La Hot Springs sebagai salah satu tarikan pelancongan istimewa di Terengganu.
“La Hot Spring ini adalah satu produk yang luar biasa di Negeri Terengganu. Kalau kebiasaannya kolam air panas terletak berhampiran gunung berapi, di Terengganu kita tiada gunung berapi, namun tetap ada kolam air panas semula jadi.
“Terdapat sejarah penyembuhan penyakit yang dikaitkan dengan kolam air panas ini, menjadikannya tarikan utama bagi pengunjung tempatan dan juga antarabangsa," katanya.
Beliau turut melaporkan bahawa pagar yang rosak akibat banjir besar tahun lalu telah dibaik pulih sepenuhnya, manakala tandas yang ditambah baik kini tersedia untuk kemudahan pengunjung.
“Semua kerja baik pulih ini dijalankan dengan kerjasama komuniti setempat dan JPKK, yang menunjukkan kerjasama erat antara pihak berkuasa dan masyarakat.
“Dengan penambahbaikan dan pengasingan kolam ini, saya yakin La Hot Spring akan menjadi destinasi pilihan bagi pengunjung tempatan dan luar negara, serta berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu pada masa akan datang,” ujarnya.
11 Nov 24
1670