Artikel "Pelancongan" Terkini
Tasik Kenyir Bakal Jadi Langkawi Kedua Di Malaysia
KUALA LUMPUR, 20 Februari - Pelbagai fasiliti dan program menarik bakal ditawarkan di Tasik Kenyir, Terengganu sekali gus berupaya mengangkat kawasan pelancongan itu setaraf dengan Pulau Langkawi.
Pengarah Eksekutif yang juga Presiden Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun, berkata selain fasiliti sedia ada dan yang bakal siap tidak lama lagi, pihaknya giat merangka 'strategi' bagi merangsang kedatangan pelancong ke kawasan pelancongan itu.
Dengan pelaburan keseluruhan melebihi RM400 juta, beliau menyasarkan sekitar 1.5 juta pelancong akan mengunjung Tasik Kenyir sekali gus diharapkan juga dapat memberi kesan limpah kepada penduduk dan pengusaha setempat.
"Pulau Poh disifatkan sebagai mercu tanda baharu pelancongan untuk Terengganu. Kita ada banyak fasiliti di situ seperti jambatan ikonik baharu, sebuah jeti dan yang penting ada kawasan perniagaan. Kita juga akan ada taman seperti taman ekstrem dan taman realiti maya yang akan kita popularkan.
"Ia (Pulau Poh) adalah kawasan awam. Kita ada hotel yang akan beroperasi suku ketiga tahun ini. Ada 150 bilik di situ. Kita sudah ada taman tema air. Jadi, sudahpun ada beberapa tarikan sedia ada. Semua itu kita akan promosikan sekali.
"Kita akan buka taman tema air dalam masa dua bulan ini. Ia sudah ada cuma kita akan naik tarafnya. Kita sekarang ini juga sudah mengenal pasti beberapa syarikat besar yang akan datang buka taman komersial bebas cukai. Cuma sekarang ini, kita mencari operator taman realiti maya dan taman ekstrem. Ia masih dalam peringkat perbincangan kita.
"Kita nampak potensi pelancongan (di Tasik Kenyir) amat besar. Malahan kita boleh jadi (Pulau) Langkawi kedua kalau kita promosikan dan ia pun bebas cukai. Cuma kita tidak ada program yang betul," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Media Prima Berhad (MPB) dan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di Anjung Riong, Balai Berita, pagi tadi.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi OMNIA, Mohd Efendi Omar; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Saidon Idris dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.
Burhanuddin Hilmi berkata, Pulau Poh adalah antara pulau terdapat di Tasik Kenyir. Ia berkeluasan 104 ekar dan memiliki cukup ruang untuk dijadikan pusat komersial membabitkan 45,000 kaki persegi.
Memperincikan mengenai pelaburan untuk pembangunan di kawasan pelancongan itu, Burhanuddin berkata kos pembinaan jeti, jambatan dan hotel dianggarkan lebih RM300 juta.
Peruntukan menaiktaraf taman teman air, katanya menelan pelaburan sekitar RM5 juta, RM10 juta untuk pembinaan taman realiti maya dan RM5 juta lagi untuk pembangunan taman ekstrem di kawasan itu.
"Kita ingin menjemput (tawaran bangunkan) untuk taman realiti maya, kalau ada sesiapa yang ada pengalaman mengusahakannya, kita mengalu-alukan pihak berkenaan datang kepada kita.
"Dua taman lagi belum dibuka dan kita sedang mencari rakan. Mungkin bermula pada awal suku keempat sebab pelaburannya agak besar. Kita nak cari pelabur yang sanggup melabur di situ.
"Kita ada bercakap dengan satu pelabur. Rupanya di Langkawi pun sudah bermula. Kita juga ada bercakap dengan beberapa pihak dan kita nampak kosnya bukan murah. Ia melebihi RM10 juta. Kita kena pastikan pelaburan itu berbaloi," katanya.
Mengenai perancangan program, Burhanuddin berkata pelbagai aktiviti sedang dirangka antaranya cabaran basikal gunung antarabangsa, kayuhan basikal, belon panas udara dan sukan air.
Selain itu, katanya terdapat juga festival makanan tempatan akan dianjurkan nanti sebagai usaha memperkenal dan mempromosikan makanan Terengganu.
"Tasik Kenyir sangat luas melebihi 200,000 hektar. Jadi, semua aktiviti itu boleh dilakukan. Kalau zon cukai bebas lebih kepada Pulau Poh. Taman geo secara keseluruhannya adalah Tasik Kenyir.
"Di Tasik Kenyir, kita juga ada santuari ikan kelah, (pusat) konservasi gajah, 76 rumah bot dan aktiviti bot laju. Semua itu kita ada. Apa kita buat Pulau Poh ini akan menarik ramai pelancong," katanya- BERITA HARIAN
20 Feb 22
3601
Terengganu Perkemas Strategi Didik Wanita Berhijab Sempurna
Kerajaan Terengganu memperkasakan usaha pendidikan pemakaian hijab yang sempurna kepada kaum wanita islam di negeri ini menerusi usaha dakwah jalanan di kesemua lapan daerah bermula bulan ini.
16 Feb 22
274
Tasik Kenyir Disasarkan Jadi Taman Geo Park Akhir Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) mensasarkan kawasanT asik Kenyir, Hulu Terengganu sebagai Taman Geo (Geo-Park) bakal menjadi realiti menjelang akhir tahun ini.
Pengarah UPEN, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pihaknya kini sedang dalam usaha untuk merealisasikan perkara tersebut yang bakal menjadi tarikan terbaharu di tasik buatan manusia tersebut.
Katanya, langkah ke arah itu kini kembali aktif sebaik mendapat persetujuan kerajaan negeri dengan membenarkan UPEN untuk menyelaras serta bersetuju Pejabat Daerah Hulu Terengganu (PDHT) mengetuai perancangan itu.
Tambah beliau, buat permulaan pihak berkaitan sudah menganjurkan Bengkel Pemurnian Dossier Geopark Tasik Kenyir bersama 15 jabatan dan dua universiti terpilih termasuk Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu, Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Terengganu serta PDHT.
“Hasil rumusan bengkel akan dibentang kepada Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat dan seterusnya diangkat kepada Jawatankuasa Geopark Kebangsaan (JGK) untuk direalisasikan.
“Pihak kami berharap, usaha kali ini yang dibarisi pakar penyelidik dan beberapa pengkaji benar-benar berjaya bukannya projek rancang dan dibiarkan tanpa tujuan atau diibaratkan`touch and go’.
“Taman Geo aset penting bagi Terengganu dan bakal memberi manfaat daripada pelbagai sudut termasuk sektor pelancongan, ekonomi penduduk, peluang pekerjaan, pendapatan negeri dan menarik minat lebih ramai pelabur,” katanya.
Berdasarkan rekod, perancangan menjadikan Taman Geo, Tasik Kenyir bermula sejak 2015 dan pada 2017 segala dokumen berkaitan diangkat kepada JGK tetapi gagal disebabkan beberapa faktor termasuk tiada pihak yang bersetuju untuk mengetuai rancangan itu.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Bengkel Pemurnian Dossier Geopark Tasik Kenyir, di Hotel Permai, anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Jabatan Mineral dan Geosains Terengganu di sini, hari ini.
Tun Ahmad Faisal turut menjelaskan pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo tidak akan membebankan mana-mana pihak atau menjejaskan pendapatan sedia ada kerana tidak membabitkan pewartaan sebaliknya hanya perlu dijenamakan semula.
15 Feb 22
1418
400 Peserta Terlibat Gotong Royong Bersepadu Bersih Pantai Setiu
SETIU, 14 Februari - Gotong royong secara bersepadu bagi membersihkan kawasan pantai di daerah ini telah diadakan dengan jumlah penyertaan seramai 400 orang yang melibatkan 10 jabatan dan agensi kerajaan juga pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Kolej Bestari (UCB).
Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat berkata, tujuan program berkenaan adalah memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya memelihara keindahan pantai yang ada di negeri ini.
"Pantai sentiasa menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri sebab itu menjaga kebersihan bukan hanya tanggungjawab pihak tertentu sahaja tetapi ia merupakan tugas semua orang jadi.
Ahmad Rizal Mamat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di tapak gotong royong bersepadu Kampung Kuala Baru, Kampung Mangkok pada Jumaat.
Katanya, kawasan tersebut merupakan tapak pelancongan, oelh itu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengambil langkah bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih akan mengambil perjalanan untuk diletakkan tong sampah di hujung kawasan perkelahan ini.
13 Feb 22
422
Hari Tanah Lembap Sedunia : Promosi Setiu Wetlands
Kesedaran dan kerjasama dalam memulihara khazanah alam di Taman Bencah Setiu (Setiu Wetlands) perlu diterapkan di dalam pelbagai pihak termasuk komuniti bagi memelihara alam sekitar disamping faedah ekonomi dan pelancongan.
13 Feb 22
172
Hari Tanah Lembap Sedunia : Promosi Setiu Wetlands
SETIU, 6 Februari – Kesedaran dan kerjasama dalam memulihara khazanah alam di Taman Bencah Setiu (Setiu Wetlands) perlu diterapkan di dalam pelbagai pihak termasuk komuniti bagi memelihara alam sekitar disamping faedah ekonomi dan pelancongan.
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) mewakili Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, warga tempatan bersama pihak berkaitan perlu konsisten berganding bahu membangunkan kawasan ekologi tersebut di mata dunia.
“Selari dengan Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia (World Wetlands Day), di samping menjaga persekitaran dan kelestarian kawasan seluas 1596 hektar ini, masyarakat juga boleh mempelajari fakta-fakta dalam menjadi ‘spokesperson’ tarikan eko pelancongan ini.
“Pakej dibawa daerah Setiu amat unik, termasuk Setiu Wetlands, para pelancong boleh melihat keunikan dan keistimewaan budaya komuniti di Kampung Mangkuk, ini akan membawa hasil ekonomi buat kita.
“Bersama agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTNT), Institut pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta ahli masyarakat mengekalkan kelestarian taman negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Sambutan World Wetlands Day 2022 di Jeti Kampung Gong Batu, pagi semalam.
Turut hadir, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif.
Sementara itu, Pengarah MPTNT, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman menjelaskan, penganjuran kali kedua itu berperanan mengangkat lokasi yang menyimpan lebih 10 ekosistem itu dikenali dan berdaya saing dalam sektor eko pelancongan.
“Kesedaran betapa pentingnya tanah bencah memerlukan pemuliharaan konsisten kerana ia bukan sahaja membawa rezeki kepada masyarakat tetapi juga perlindungan daripada bencana seperti banjir dan hakisan.
“Oleh itu, pentingnya agar kita memikul tanggungjawab ini bukan sahaja di peringkat kerajaan tetapi juga di peringkat komuniti,” tambahnya.
Dalam program tersebut, pelbagai pengisian menyeronokkan dijalankan seperti pertandingan mewarna bot Setiu Wetlands, pertandingan memasak Selera Rasa, Fun walk dan lain-lain lagi.
05 Feb 22
731
AirAsia Tawar Penerbangan Terus Dari Kota Kinabalu Ke Kuala Terengganu
Syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia Berhad (AirAsia) menyasarkan peningkatan dalam sektor pelancongan domestik selepas melakukan kerjasama dengan kerajaan negeri melalui pembukaan laluan penerbangan secara terus dari Kota Kinabalu ke Kuala Terengganu, bermula hari ini.
03 Feb 22
580
Kota Putera Himpun 300 Otai Kenderaan Klasik
Lebih 300 pemilik kenderaan klasik terdiri daripada kereta-kereta keluaran Mercedes Benz dan jenama lain, selain motosikal dan basikal berusia lebih 100 tahun berhimpun di Dataran Limbungan, di sini sejak semalam.
31 Jan 22
236
Bercuti Ke Pulau Redang Dengan Penerbangan Terus SKS Airways
KUALA NERUS, 31 Januari - Syarikat penerbangan komersial terbaharu, SKS Airways, kini menawarkan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) ke Lapangan Terbang Pulau Redang bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata perjalanan udara yang kedua selepas Berjaya Air diharap akan memacu industri pelancongan Pulau Redang yang terjejas akibat pandemik.
"Kini, percutian ke Pulau Redang semakin mudah dengan adanya penerbangan terus tanpa menggunakan kenderaan darat, sama ada pandu kereta sendiri atau menaiki bas sehingga ke jeti.
"Saya yakin penerbangan terus dari Subang itu akan membawa lebih ramai kehadiran pelancong secara terus ke Pulau Redang," katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media majlis Sambutan Penerbangan SKS Airways Inaugural Flight, Subang-Pulau Redang di Lapangan Terbang Pulau Redang di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja.
Katanya, penerbangan itu mengambil masa selama 1 jam 20 minit dengan kapasiti 19 penumpang termasuk kru penerbangan.
"Buat masa ini, SKS Airways beroperasi sekali penerbangan setiap hari sehingga 6 Mac dan akan bertambah pada dua kali sehari yang akan bermula pada 7 Mac nanti dengan harga tawaran serendah RM160 sehala," tambah Ariffin lagi.
Sementara itu, Ketua Unit Perancangan dan Strategik SKS Airways, Hasmadi Muhamad, pemilihan Pulau Redang merupakan salah satu strategi untuk meluaskan pasaran syarikat penerbangan mereka.
"Selain itu, Pulau ini juga merupakan salah satu destinasi tumpuan dan pulau tercantik di Malaysia di samping mempunyai landasan kapal terbang.
"Pihaknya turut mendapat sambutan baik daripada pelancong yang memilih penjimatan dari segi masa dan jarak," jelasnya.
Tambah beliau, pihak SKS Airways juga menawarkan akses ke lawatan pulau-pulau lain dengan penerbangan bermula antara (LTSAAS) ke Pulau Pangkor mulai 25 Januari dan ke Pulau Tioman dari (LTSAAS) pada suku kedua 2022.
SKS Airways memulakan operasi dengan pesawat jenis Twin Otter yang terkenal di seluruh dunia kerana keteguhan dan kebolehpercayaan dengan keupayaan Short Take Off and Landing (STOL) yang sangat baik.
Pesawat itu juga turut membolehkannya mendarat dengan selesa di landasan udara pendek.
31 Jan 22
7146
JPNT Rangka Inisiatif Baru Tingkat Industri Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) sedang merangka beberapa inisiatif baru bagi meningkatkan pembangunan industri pelancongan di negeri ini sekaligus dijangka berupaya mencapai sasaran tiga juta pengunjung pada tahun ini.
Antaranya mengenalpasti, merancang, mengadakan pelbagai program, aktiviti dan memperkukuhkan community based tourism (CBT) bagi meningkatkan lagi daya tarikan dan kunjungan pelancong ke Terengganu.
Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria berkata, buat permulaan, pihaknya dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) menganjurkan bengkel halu tuju CBT selama dua hari, bermula semalam melibatkan semua pejabat daerah dan pengusaha CBT.
“Bengkel ini memfokuskan berkaitan hala tuju pelancongan berasaskan komuniti CBT dan pengkongsian pengalaman CBT Kalang Warisan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Hala Tuju Pelancongan CBT di Hotel Permai, hari ini.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Produk), Ahmad Fathil Abd Ghani.
Fadli berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 28 CBT di negeri ini kini aktif membantu sektor pelancongan Terengganu, termasuk Kalang Warisan, Dataran Batu Putih dan Merchang Lestari.
“Pihak kami melihat CBT cukup unik, bukan sahaja mampu menjadi tarikan kepada pelancong malah menambah sumber ekonomi kepada penduduk setempat.
“Pada masa sama, mengeratkan hubungan persaudaraan antara penduduk dan mampu mempamerkan kelebihan kampung kepada pihak luar, termasuk pelancongan asing,” katanya.
Menurutnya, program CBT diterajui sepenuhnya komuniti, JPNT hanya membantu dari segi khidmat nasihat, penambahan infrastruktur, promosi dan publisiti.
“Tugas dan tanggungjawab komuniti adalah untuk memastikan produk-produk CBT di daerah ini sentiasa terpelihara, memiliki keunikan tersendiri, menjana idea baru yang relevan serta mempergiatkan lagi aktiviti promosi dari masa ke masa,” ujarnya.
30 Jan 22
488