lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

AirAsia Tawar Penerbangan Terus Dari Kota Kinabalu Ke Kuala Terengganu
AirAsia Tawar Penerbangan Terus Dari Kota Kinabalu Ke Kuala Terengganu
KUALA NERUS, 30 Januari - Syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia Berhad (AirAsia) menyasarkan peningkatan dalam sektor pelancongan domestik selepas melakukan kerjasama dengan kerajaan negeri melalui pembukaan laluan penerbangan secara terus dari Kota Kinabalu ke Kuala Terengganu, bermula hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata perkembangan itu akan membantu merancakkan kembali industri pelancongan negeri selepas terjejas teruk akibat  pandemik Covid-19. Katanya, inisiatif tersebut juga diyakini dapat membantu meningkatkan kemasukan tiga juta pengunjung ke Terengganu sebagaimana disasarkan. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada AirAsia kerana memilih Terengganu sebagai salah satu laluan baharunya. "Justeru itu, saya mengajak rakyat untuk mengambil peluang bercuti ke Sabah dan sebaliknya," ujarnya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas menyambut penerbangan sulung AK5310 yang membawa 59 penumpang pertama yang berlepas dari Kota Kinabalu  pada jam 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu pada jam 5.40 petang di Lapangan Terbang  Sultan Mahmud, di sini hari ini. Tambah Ariffin, pihaknya akan terus menyokong AirAsia dan berharap untuk terus bekerjasama pada masa hadapan bagi mempromosikan industri terbabit. "Kita telah mengemukakan cadangan kepada AirAsia untuk menambah laluan baharu dari Kuching, Pulau Pinang termasuk mengembalikan semula penerbangan dari Senai, Johor ke Kuala Terengganu," ujar beliau lagi. Katanya, sehingga kini Terengganu merekodkan sebanyak 12 penerbangan  dalam sehari, yang merupakan tertinggi pernah direkodkan selepas pandemik Covid-19. Sementara itu, Ketua Komersial AirAsia, Nur Liyana Mahizzan berkata penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu berlepas pada setiap hari Ahad dengan tambang promosi sehala serendah RM128 sahaja hingga 14 Februari ini.  Tambah beliau, selain laluan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu, pihaknya juga telah melancarkan tiga laluan baharu dalam usaha untuk memacu pelancongan domestik. "Laluan Kuching-Langkawi, Johor Bahru-Bintulu dan Pulau Pinang-Sibu yang diperkenalkan pada awal bulan Januari juga salah satu persediaan untuk pihak kami kembali menyediakan laluan antarabangsa," ujarnya.  
30 Jan 22
2494
Kerosakan Lampu Jambatan Angkat Sedang Dibaiki
Kerosakan Lampu Jambatan Angkat Sedang Dibaiki
KUALA TERENGGANU, 30 Januari - Kerosakan lampu pada ikonik Terengganu, jambatan angkat kini dalam proses pembaikan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman. Katanya, orang ramai diminta bertenang dan tidak mmenyebarkan berita tidak benar yang boleh menjejaskan industri pelancongan Terengganu. “Sebenarnya berlaku kerosakan pada lampu di Drawbridge dan kini sedang dibaiki, bukan kita sengaja tidak pasang. “Justeru itu, diharapkan orang ramai dapat bersabar dan kita akan usahakan yang terbaik agar ianya dapat berfungsi seperti biasa,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Baru-baru ini tular di media sosial, dimana netizen mempersoalkan mengapa lampu pada Drawbridge hanya menyala sebelah sahaja, sekaligus mengecewakan mereka yang mahu mengabadikan gambar kenangan di mercu tanda Negeri Terengganu itu.    
30 Jan 22
786
‘Mek Raya’ Promosi Produk Pelancongan Di Wilayah Ketengah
‘Mek Raya’ Promosi Produk Pelancongan Di Wilayah Ketengah
KUALA TERENGGANU, 30 Januari- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) melalui Ketengah Holding Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan syarikat produksi Nang Surya Studios bagi mempromosi Wilayah Ketengah, khususnya Tasik Kenyir menerusi telemovie untuk siaran RTM berjudul ‘Mek Raya’. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd, Mohd Zaid Sulaiman berkata, telemovie yang memaparkan kisah masyarakat tempatan itu mengadakan pengambarannya seratus peratus di Terengganu di mana sebahagian besarnya dilakukan di sekitar Hulu Terengganu dan Tasik Kenyir. “Telemovie ini berkisar mengenai masyarakat majmuk "Keluarga Malaysia" di Terengganu dan dalam masa yang sama memaparkan lokasi menarik Wilayah Ketengah yang mencakupi Pulau Orkid, Santuari Kelah, Jeti Gawi, Pulau Poh di Tasik Kenyir, Muzium Bukit Besi dan Kampung Pasir Raja,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan bagi Telemovie Mek Raya antara Ketengah Holding Sdn Bhd dan Nang Surya Group Sdn Bhd di Primula Beach Resort, hari ini. Mohd Zaid berkata, Ketengah Holding Sdn Bhd menyumbang sebanyak RM50,000 untuk produksi ‘Mek Raya’. “Kita mengharapkan dengan penajaan ini promosi produk pelancongan di Wilayah Ketengah terutamanya dan di Terengganu amnya dapat disebarluaskan. “Secara tidak langsung, jumlah pelancong ke negeri kita dan Wilayah Ketengah meningkat seterusnya akan melonjakkan rantaian ekonomi peniaga tempatan,” katanya. Dalam pada itu, Mohd Zaid berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana Nang Surya Group memilih Wilayah Ketengah sebagai lokasi pengambaran bagi telemovie terbitan mereka. Telemovie 'Mek Raya' menampilkan barisan pelakon antaranya Watie Sadali, Zul Huzaimy, Azrul Rajalawak, Dave, Joyce Harn.  
30 Jan 22
773
22 Acara Pelancongan Menarik Menanti, Moh Ke Terengganu
22 Acara Pelancongan Menarik Menanti, Moh Ke Terengganu
Kerajaan Terengganu mengumumkan sebanyak 22 acara utama bakal mewarnai kalendar pelancongan Terengganu tahun ini.
26 Jan 22
238
Seni Kraf Lekar Lidi Nipah Punyai Nilai Estetika Tersendiri
Seni Kraf Lekar Lidi Nipah Punyai Nilai Estetika Tersendiri
SETIU, 18 Januari - Barangan kraf tangan seperti lekar yang diperbuat daripada lidi nipah kini makin dilupai namun pengusaha kraf tangan lekar di Kampung Pengkalan Gelap, Setiu masih lagi meneruskan tradisi nenek moyang mereka yang berusia lebih 100 tahun. Salah seorang pengusaha, Fatimah Che Long, 66, walaupun sudah berusia, dia tidak pernah merasa penat atau bosan mengusahakan kraf tangan tradisi itu bagi memastikan ia tidak hilang ditelan arus kemodenan. Beliau yang menjalankan anyaman berkenaan sejak 18 tahun lalu berkata, meskipun pendapatan tidak seberapa kerana jualan barangan itu banyak bergantung kepada tempahan tetapi ia mampu juga memberi pendapatan sampingan untuk keluarganya. “Pada zaman dulu lekar dijadikan alas periuk panas tetapi  kini diubah suai dan divariasikan dalam pelbagai bentuk dan saiz mengikut peredaran zaman. “Sekarang ada sesetengah lekar dibuat par untuk hantaran, tempat letak buah-buahan, bakul bawang dan ada juga yang dibentuk untuk hiasan, pasu bunga dan tempat letak mentol,” katanya. Menurut Fatimah, asas utama menghasilkan bakul adalah menggunakan lidi nipah dan selebihnya bergantung kepada kreativiti masing-masing. Tambahnya lagi, bekalan lidi nipah mudah diperoleh kerana kawasan terbabit dipenuhi rimbunan pokok nipah yang tumbuh liar sepanjang tebing sungai sambil berfungsi menghalang hakisan. "Paling utama pembuatannya memerlukan tujuh rumpun daun nipah dan setiap rumpun itu terdiri daripada 25 hingga 30 batang lidi nipah yang sudah matang.lebih 100 batang lidi diperlukan untuk menghasilkan satu lekar bergantung kepada saiznya.   "Proses seterusnya ialah membuat tapak bakul dan diikuti menganyam lidi itu secara berselang seli. Masa yang diperlukan tidak lebih setengah jam tetapi jika barang dihasilkan kecil, masa lebih lama diperlukan," ujarnya. Fatimah yang hanya belajar membuat anyaman berdasarkan pemerhatian sendiri berkata dia  mampu menghasilkan lebih enam lekar sehari mengikut saiz lidi nipah. “Kalau lidi yang lebih besar, mak cik hanya mengambil masa 10 hingga 20 minit untuk hasilkan sebuah lekar,tapi kalau lidi yang bersaiz kecil dan halus, kerjanya agak rumit dan hampir 45 minit diperlukan untuk menghasilkan sebuah lekar. “Lekar ini dijual mengikut saiz antara RM8 hingga RM18 dan lekar yang dibuat daripada lidi nipah ini tahan lama hingga 10 tahun serta tak mudah rosak sebab lidinya yang kukuh,” katanya yang dapat menghasilkan lebih 200 lekar sebulan. Selain membuat anyaman itu di rumahnya beliau juga sering diundang untuk mengadakan demotrasi di progam-program tertentu yang dianjurkan oleh jabatan kerajaan.  “Memang mak cik risau, tak ada pengganti yang dapat sambung seni ini sebab sekarang orang muda tak minat nak buat lekar ni termasuk anak-anak sendiri...ada yang tak tahu pun lekar ni diperbuat daripada apa. “Makcik harap sangat akan ada pihak yang dapat meningkatkan semula industri ini dan makcik bersedia menjadi tenaga pengajar sebab ramai juga orang yang makcik ajar termasuk dari luar negeri, dia orang datang sini dan lihat bagaimana cara kami buat lekar,” katanya. Fatimah juga berkata, lekar yang dihasilkannya bukan sahaja pernah mendapat sambutan dari luar negeri, malah turut mendapat sambutan daripada pelancong dari pelbagai negara termasuk China.
18 Jan 22
630
Anyaman Tikar Pandan Laut Unik Dan Mampu Bertahan Lama
Anyaman Tikar Pandan Laut Unik Dan Mampu Bertahan Lama
SETIU, 16 Januari - Daun pandan laut yang dianyam kemas menjadi tikar, mampu menyumbang pendapatan lumayan kerana keunikannya menjanjikan pasaran yang luas. Kini semakin sukar ditemui kerana bilangan individu yang meneruskan aktiviti menganyam kini terdiri daripada mereka yang sudah bergelar warga emas di kawasan luar bandar. Namun Wan Fatimah Wan Abdul Rahman, 62, dari Kampung Gong Batu membuktikan bidang anyaman berasaskan daun pandan laut masih mempunyai tempat termasuk sebagai hiasan bagi mereka yang cintakan seni kraf tradisional. Jelasnya, kraftangan tersebut boleh dijadikan industri yang berkembang maju kerana permintaan terhadap produk-produk tersebut masih tinggi. "Tikar pandan laut ini sungguh cantik, seni anyamannya begitu halus, dan mampu bertahan sehingga 40 tahun. "Terdapat pelbagai corak seperti tapak berbam, bunga bakul, bunga mata bilis, bakul besar serta bunga mata biawak mendapat permintaan tinggi.  "Malah saya turut mendapat tempahan  dari negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur termasuk negara luar iaitu Pattani," ujar ibu kepada lapan orang anak itu. Katanya, terdapat tiga jenis anyaman yang dihasilkan iaitu anyaman kasar yang dijual pada harga RM8, anyaman halus (RM20) dan anyaman paling halus (RM30) bagi setiap 0.3 meter tikar yang dihasilkan. Menceritakan bagaimana minatnya terhadap seni anyaman ini timbul, Wan Fatimah berkata segalanya secara spontan ketika dia berusia 15 tahun. "Sebab tak ada kerja nak buat pada masa itu, saya daftarkan diri bersama kawan-kawan ke kursus seni anyaman tikar anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara). "Akhirnya dari 25 peserta tinggal dua orang termasuk saya yang bertahan sehingga sekarang," katanya yang kini pendapatan bulanannya mencecah RM600 hingga RM1,000. Wan Fatimah berkata, untuk membuat tikar pandan, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah membuang duri dan bahagian tengah daun pandan laut tersebut. "Daun pandan laut banyak duri sehingga luka jari-jemari dan tangan ketika memprosesnya adalah perkara biasa sehinggakan nak makan nasi pun susah. "Saya bersama suami mencari daun pandan laut di sepanjang tanah bencah .Ada juga ketika saya dapatkan daripada pokok yang ditanam di sekitar rumah saya ini,"katanya lagi. Setelah itu, proses diteruskan dengan membelah daun tersebut menggunakan jangak yang dikategorikan kepada beberapa jenis mengikut saiz belahăn daun tikar yang diperlukan. "Kemudian, daun yang telah dibelah diikat, dipukul, tumbuk dan direbus dalam api dan dijemur sehingga kering," ujarnya. Selepas itu, barulah proses mewarna dilakukan dan jemur dalam keadaan cuaca yang berangin dan tidak panas. "Sebelum proses menganyam, daun tersebut dilurut terlebih dahulu supaya lembut untuk dianyam," jelasnya. Tambahnya lagi, sebidang tikar pandan laut anyaman tangan hari ini dijual sekitar harga RM90 semeter namun hasil kreativiti seni anyaman yang unik dan menarik membolehkan tikar bersaiz lebih 10 meter tersebut mencecah harga RM1,000 ke atas.        
16 Jan 22
1941
Industri Pelancongan, Perhotelan Penyumbang Utama Ekonomi Negeri
Industri Pelancongan, Perhotelan Penyumbang Utama Ekonomi Negeri
Industri pelancongan dan perhotelan antara penyumbang utama kepada ekonomi negeri Terengganu.
12 Jan 22
191
Industri Pelancongan, Perhotelan Penyumbang Utama Ekonomi Negeri
Industri Pelancongan, Perhotelan Penyumbang Utama Ekonomi Negeri
KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Industri pelancongan dan perhotelan antara penyumbang utama kepada ekonomi negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, hotel-hotel di Terengganu masih terus beroperasi dengan baik dan tidak begitu mengalami kejatuhan. “Hotel-hotel dibawah kerajaan negeri telah mencatatkan keuntungan berganda sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. “Apabila saya mengumumkan pembukaan beberapa kawasan pelancongan melalui ‘Travel Bubble’ (SOP Gelembung Pelancongan) dengan pematuhan SOP yang ketat kita melihat keputusan tersebut pada waktu itu adalah tepat pada masanya bagi menyemarakkan kembali industri pelancongan dan menggalakkan pembukaan sektor pelancongan lebih awal,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Terengganu Inc. dan UiTM di Hotel Permai, hari ini. Turut hadir, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc., Burhanudin Hilmi Mohamed dan Rektor UiTM cawangan Terengganu, Prof Ts Dr Mazidah Puteh. Menurut Ariffin, apabila sektor pelancongan aktif ia akan memberi limpahan kepada permintaan tempat tinggal seperti hotel, 'homestay' dan lain-lain.  “Jika kehadiran pelancong terus meningkat, industri perhotelan dalam negeri dijangka terus meningkat dan menjana keuntungan,” ujarnya. Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, seluruh dunia baru sahaja pulih daripada kejatuhan ekonomi dunia akibat pandemik COVID-19.  “Industri perhotelan Malaysia telah dianggarkan kehilangan pendapatan lebih RM5 billion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. “Anggaran tersebut adalah berdasarkan kadar penghuni  bagi tempoh berkenaan. Lebih 91 buah hotel di Malaysia terpaksa ditutup sementara dan malah ada yang terpaksa menutup sepenuhnya," katanya. Tambah beliau, kerajaan negeri turut menyasarkan kedatangan sekitar tiga juta pengunjung ke Terengganu pada tahun 2022. “Kita lihat dulu untuk enam bulan pertama tahun ini kerana kita masih dalam tempoh pemulihan semula industri pelancongan negeri disebabkan pandemik COVID-19,” ujarnya.
11 Jan 22
461
Terengganu Tembusi Pasaran Antarabangsa, UAE
Terengganu Tembusi Pasaran Antarabangsa, UAE
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu memulakan sinergi promosi luar negara dengan penyertaan di Dubai Expo 2020, sebagai usaha memperluaskan kempen Visit Beautiful Terengganu.  Penyertaan kerajaan negeri dalam mempromosikan pelancongan negeri di Dubai Expo merupakan langkah pertama diambil dalam menggerakkan kempen promosi luar negara yang dilihat selari dengan perancangan promosi yang dirangka.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, melalui penyertaan kali pertama di expo antarabangsa terbesar itu, pihaknya berharap dapat membuka peluang dalam mempromosikan dan memperkenalkan Terengganu di persada dunia, terutama melibatkan pasaran timur tengah dan negara-negara Emiriah Arab Bersatu (UAE).  “Ia juga merupakan platform terbaik bagi kerajaan negeri dalam mengenalpasti peluang perniagaan dan pelaburan berkaitan sektor pelancongan, selain dapat menjalinkan perkongsian maklumat berhubung industri pelancongan dengan fokus untuk meningkatkan permintaan perjalanan ke negeri Terengganu, terutama dalam mempromosikan Terengganu khususnya sebagai destinasi pelancongan mesra muslim,” ujarnya dalam satu kenyataan.  Tambah beliau, selari dengan tema pelancongan eko yang diketengahkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, kerajaan negeri turut mengenalpasti segmentasi dan produk-produk berkaitan seperti Tasik Kenyir, Setiu Wetlands, pulau-pulau dan pantai serta pelbagai lagi khazanah alam semula jadi yang dipromosikan menerusi paparan digital dan elektronik di expo tersebut.  Expo Dubai 2020 yang berlangsung dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 di Dubai, dengan tema 'Connecting Minds, Creating the Future' melibatkan penyertaan lebih 190 buah negara dan organisasi dari seluruh dunia. Bertemakan Eco Tourism, minggu ke-13 expo yang berlangsung dari 26 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 tersebut diterajui oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, menerusi agensi pelaksana Tourism Malaysia disertai oleh beberapa buah negeri, antaranya Terengganu, Selangor, Sarawak, Perak, dan Langkawi. Antara pengisian program sepanjang expo berlangsung adalah, kempen promosi pelancongan negeri bersama media UAE, sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan Dubai, Tourism Talk, lawatan ke pavillion luar negara, dan pelbagai lagi.  
27 Dec 21
494
Kerajaan Bina Rumah Patuh Syariah Untuk Nelayan Kemaman
Kerajaan Bina Rumah Patuh Syariah Untuk Nelayan Kemaman
23 Dec 21
132