Artikel "Pelancongan" Terkini
200 Anak Penyu Dilepaskan Di Pantai Jambu Bongkok
MARANG, 31 Julai- Sebanyak 200 ekor anak penyu dilepaskan ke laut yang dilakukan di Pantai Jambu Bongkok di sini baru-baru ini, dalam usaha memulihara hidupan marin berkenaan daripada mengalami kepupusan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Sulaiman Sulong berkata, program pelepasan anak penyu itu adalah hasil kerjasama Sekolah Kebangsaan Jambu Bongkok, PIBG Sekolah Kebangsaan Jambu Bongkok, FRI Rantau Abang dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.
Katanya, program seumpama itu sewajarnya menjadi contoh terbaik mendidik masyarakat memulihara penyu yang kini diancam kepupusan.
"Diharap ianya menjadi motivasi kepada semua pihak terutama pelancong dan nelayan agar sayangkan spesis tersebut.
"Ini kerana berdasarkan pemerhatian pihak berkaitan, setiap 1,000 ekor penyu yang dilepaskan, kebarangkalian penyu yang akan naik bertelur hanya seekor, " ujarnya seperti yang dipetik dalam laman Facebook rasmi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.
Tambah beliau, penyu yang dilepaskan itu diharap akan kembali semula ke Terengganu dan akan menjadi tarikan kepada industri pelancongan dan seterusnya memberi pulangan ekonomi kepada komuniti setempat.
29 Jul 22
364
70 Rumah Bot Tasik Kenyir Akan Digredkan
KUALA NERUS, 19 Julai- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan mengredkan 70 rumah bot yang beroperasi di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dalam tempoh terdekat sebagai usaha meningkatkan mutu dan menaiktaraf perkhidmatan itu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Mohd Zamri Mat Zain, berkata, perincian pengredan sama ada mengikut penarafan bintang atau dikelaskan kepada kategori tertentu akan ditentukan kemudian bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dan agensi yang terlibat.
Katanya, keputusan untuk mengredkan rumah bot tidak semudah mengredkan Premis Penginapan Pelancongan (PPP) yang dilaksanakan terhadap hotel bandar, hotel resort, hotel tanah tinggi, hotel butik dan hotel inovatif sebelum ini.
“Ini kerana, perkhidmatan rumah bot yang dianggap hotel bergerak itu melibatkan banyak aspek teknikal terutama berkaitan sistem kumbahan, enjin bot, pengurusan bilik enjin, saliran ekzos, tangki minyak dan tandas.
“Bagaimanapun, antara kriteria utama yang perlu dititikberat pengusaha bot dalam memastikan mereka layak diberikan pengredan adalah perlu mempunyai lebih 10 bilik, 50 katil, aspek keselamatan, kebersihan, penyediaan makanan dan penyaman udara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika beruca pada Majlis Penutup Bengkel Pembangunan dan Pemurnian Kriteria Penggredan PremisPenginapan Pelancong Hotel Inovatif Kategori Houseboat anjuran Motac dengan kerjasama JPNT di Hotel Raia, Kuala Nerus, kelmarin.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir A. Aziz Ar Rahim.
Menurut Mohd Zamri, penggredan yang akan dilaksanakan itu bukanlah satu mandatori kepada premis untuk memohon dan tiada tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada pengusaha rumah bot yang tidak membuat pemohonan pengredan.
“Hal ini sama seperti penggredan PPP sedia ada di mana pelaksanaannya adalah secara sukarela. Walau bagaimanapun MOTAC akan sentiasa menggalakkan mereka untuk diberikan penggredan di bawah MOTAC.
“Pelaksanaan penggredan ini juga akan menjadi pemangkin kepada industri rumah bot di Malaysia untuk terus menawarkan perkhidmatan dan fasiliti yang terbaik,” katanya.
19 Jul 22
617
Baik Pulih Taman Monumen TTI Bermula Hujung Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 18 Julai – Sebanyak RM5 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi membaik pulih ikon pelancongan Terengganu, Taman Monumen yang menempatkan 22 replika masjid terkenal dunia di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini .
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman berkata pihaknya akan melaksanakan kerja baik pulih dan mengindahkan semula Taman Monumen yang sebahagiannya sudah lusuh secara berperingkat bermula akhir tahun ini.
“Kita akan mulakan proses pembaikian monumen kincir Air yang kerosakannya agak teruk dan selepas itu Taj Mahal dan Samarra.
“Pihak kami juga akan bekerjasama dengan beberapa universiti untuk hantar pelajar mereka khususnya dalam bidang seni bina jalankan kerja lapangan dan tanggungjawab sosial korporat di Taman Monumen ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama yang mengiktiraf seni bina Islam. Kompleks ini menempatkan 22 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia dari 20 negara.
Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).
Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.
Kesemua 22 replika masjid termasuk monumen dan tugu dibina pada nisbah skala 1:4 hingga 1:22 berbanding saiz asal.
18 Jul 22
1019
TNB Juara Candat Sotong
Kemeriahan Fiesta Candat Sotong 2022 anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu berakhir dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu melakar kejuaraan dalam acara utama mencandat sotong.
17 Jul 22
360
Pesta Candat Sotong Kembali Meriah
Pesta mencandat sotong di Terengganu kembali meriah apabila seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam penganjuran kali ini.
17 Jul 22
253
Pesta Candat Sotong Kembali Meriah
MARANG,15 Julai - Pesta mencandat sotong di Terengganu kembali meriah apabila seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam penganjuran kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata Marang sekali lagi menjadi tuan rumah pada tahun ini kerana mempunyai daya tarikan tersendiri serta terkenal di kalangan pelancong asing dengan aktiviti itu.
Katanya, hadiah bernilai RM5,000 ditawarkan kepada pemenang dalam fiesta kali ini.
"Apabila tiba musim mencandat, orang ramai yang terdiri daripada pengunjung telah membuat tempahan bot untuk merasai sendiri pengalaman mencandat sotong di tengah laut.
"Acara tahunan ini juga yang secara tidak langsung mempromosikan negeri Terengganu sebagai destinasi tumpuan pelancong bagi merasai pengalaman mencandat sotong," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Fiesta Candat Sotong di Jeti LKIM, Marang di sini hari ini.
Selain itu, menurut Ariffin, pengusaha bot di sini turut menawarkan pakej mencandat 'experience tourism' dengan harga serendah RM800 semalaman bagi sebuah bot dengan kapasiti 10 penumpang.
"Pakej ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk tempatan menerusi aktiviti rantaian pelancongan.
“Penganjuran selama tiga hari ini akan diadakan di dua lokasi, iaitu di Pusat Rekreasi Pulau Kekabu dan majlis perasmian dan pelepasan peserta akan diadakan pada 15 Julai 2022 (Jumaat) di Jeti LKIM, Marang,” ujarnya.
Tambah Ariffin, di Pulau Kekabu pelbagai pengisian aktiviti berkaitan pelancongan dan kebudayaan seperti silat, gamelan, persembahan busking lagu rakyat, permainan tradisional, serta jualan produk-produk IKS turut diadakan.
"Ia bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam bermula 14 Julai hingga 16 Julai 2022.
“Untuk rekod, Program candat sotong Terengganu pernah diiktiraf sebagai Program Pelancongan Terbaik pada tahun 2019 daripada Majlis Pelancongan Malaysia,” katanya.
15 Jul 22
958
Keunikan Replika Bot Dengan Alat Kawalan Jauh
Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan Replika Bot Dengan Alat Kawalan Jauh boleh berhubung terus dengan Asrol di talian 01112909836
09 Jul 22
477
10 Pemain, Terengganu Tetap Mara!
Jaringan tunggal pemain tengah Terengganu Football Club (Terengganu FC), Faiz Nasir berjaya membenam Kedah Darul Aman FC dengan jaringan 1-0 dalam perlawanan Piala FA Pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), baru-baru ini walaupun bergelut dengan 10 pemain.
07 Jul 22
346
Laluan Warisan Mat Kilau Produk Pelancongan Dua Negeri
KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Pahang untuk mengetengahkan laluan Mat Kilau sebagai produk pelancongan dua hala antara dua negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata jika direalisasikan, ia mampu membawa masyarakat ke sudut sejarah yang berbeza dengan menjejaki laluan yang pernah dilalui oleh Mat Kilau semasa perjuangannya menentang British suatu masa dahulu.
Katanya, ia dapat mengembalikan nostalgia dan kegemilangan sejarah serta jejak-jejak dan tinggalan sejarah Pahlawan Melayu yang terkenal iaitu Mat Kilau dan rakan-rakannya di Pasir Raja, Dungun yang merentasi hutan khatulistiwa ke Hulu Tembeling, Pahang.
"Saya difahamkan jelajah laluan warisan itu sememangnya mencabar sehingga mengambil masa dua hingga hari untuk tamat jadi satu perbincangan akan diadakan dengan pihak berkaitan untuk melaksanakannya.
"Ia juga turut membawa mengenali kubu Mat Kilau serta mengenali keunikan alam semulajadi dengan lebih dekat melalui aktiviti sepanjang 'hiking'," katanya ketika ditemui pemberita.
Tambahnya, penambahbaikan akan turut dilaksanakan bagi kemudahan sepanjang jejak Mat Kilau seperti keselamatan, hentian rehat dan lain-lain bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk melaluinya.
Difahamkan laluan antara Pahang dan Terengganu agak berbukit bukau serta laluan sungai yang perlu diharungi hampir 60 peratus daripada keseluruhan perjalanan melalui laluan itu.
02 Jul 22
1638
'Rating Star' Rumah Bot Tasik Kenyir Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 1 Julai -Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu akan memperkenalkan sistem penarafan bintang buat pertama kali kepada 70 rumah bot di Tasik Kenyir bermula tahun hadapan.
Pengarahnya, Fadli Yusof berkata tujuan sistem ini dilaksanakan adalah memberi penarafan dan pengiktirafan kepada premis mengikut kriteria yang ditetapkan.
Katanya, ia juga akan membantu pelancong merancang percutian mengikut kehendak masing-masing dengan tepat.
"Sekarang pihak kami dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menyediakan dokumen untuk gred bermula satu sehingga lima bintang sebagaimana hotel- hotel di darat.
"Antara kriteria untuk pemberian bintang, kita akan menilai tandas, kemudahan air, sistem kumbahan, penyediaan makanan mengikut standard dan bilik penginapan yang terdapat di setiap rumah bot di Tasik Kenyir," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, percutian akan bertambah mudah, selesa, puas hati dan menenangkan apabila individu membuat perancangan secara menyeluruh dengan menentukan destinasi yang diingini dilawati sejajar dengan matlamat serta duit dibelanjakan berbaloi dalam segenap segi.
"Bila kita buat penarafan bintang, secara tidak langsung akan mempengaruhi harga pakej bagi setiap rumah bot namun menjanjikan kepuasan kepada pelancong sebagaimana mereka menginap di hotel-hotel yang terdapat di negeri ini,"katanya.
01 Jul 22
1242