Artikel "Komuniti" Terkini
PERUNTUKAN RM123,000 BANGUNKAN CBT DAERAH BESUT
03 Nov 21
94
'Ngail Udang Galah' Atas Bot Cetus Fenomena Baharu
KUALA NERUS, 2 November - Pertandingan memancing udang galah diatas bot kini mencetus fenomena baharu dalam dunia penganjuran pertandingan buat warga kaki pancing tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, kebiasaannya acara memancing udang air tawar tersebut dibuat dari tebing sungai, namun kali ini ia diadakan menggunakan bot fiber.
Ustaz Ridzuan Hashim membunyikan hon untuk memulakan pertandingan
“Sebanyak 31 buah bot melibatkan 80 orang peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan pada hari ini.
“Sambutan yang diterima sangat memberansangkan daripada komuniti setempat walaupun ianya pertama kali dianjurkan”, ulasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Ngail Udang Galah Atas Bot yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sabtu, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, idea penganjuran pertandingan tersebut dicetuskan oleh para pemancing sungai berkenaan sempena Negeri Terengganu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), akhir Oktober lalu.
Antara udang galah yang berjaya dipancing peserta pertandingan
“Kunci kepada kejayaan penganjuran sesuatu program itu adalah permuafakatan. Tanpanya, tidak mungkin sesuatu anjuran itu berjaya dilaksanakan,” katanya lagi.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada juara kumpulan dengan tangkapan udang seberat 379 gram yang membawa pulang hadiah RM400 beserta hamper dan juara kategori individu dengan tangkapan udang seberat 273 gram yang membawa pulang hadiah RM300 beserta hamper.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah dan Penghulu Mukim Manir, Petai Bubus, Muhammad Shafiee Abdullah.
02 Nov 21
612
T-HRDC Sedia Peluang Pekerjaan
Foto: Naim Abdillah
Oleh: Amiruddin Zamri
DUNGUN, 31 Oktober - Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu(T-HRDC) mengadakan Program Outreach Kesejahteraan Rakyat Negeri Terengganu bagi memberi peluang pekerjaan kepada yang memerlukannya.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Hapandi Wan Nik berkata, ia sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kadar penganguran di Negeri Terengganu.
" Kita bergerak pantas di lapangan bersama rakyat bagi mendapatkan pekerjaan, dan peluang ini perlu digarap oleh para belia di Dungun ini segera kerana peluang seumpama ini amat jarang ditemui di sepanjang hayat kita," katanya.
Wan Hapandi berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Menurutnya lagi, kerajaan persekutuan juga menyediakan pelbagai insentif Pakej PEMULIH telah disediakan, melalui PERKESO kepada mereka yang berkelayakan.
"Kerajaan jegeri, melalui T-HRDC, juga telah mengadakan perjanjian persefahaman(MOU) bersama sebuah syarikat multinasional dari Jepun, Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn. Bhd.(PAPAMY) bagi membuka sebanyak 800 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
"Oleh itu, saya menyeru kepada para belia di Dungun ini, dan juga di seluruh negeri Terengganu agar berusaha mendaftar dan menghadiri temuduga yang kita sediakan ini," ujarnya.
Dalam masa yang sama, Wan Hapandi berkata, T-HRDC bersama pasukan Sumber Manusia PAPAMY ini akan menjelajah di daerah lain bagi menemui rakyat Terengganu yang berminat.
31 Oct 21
295
"Rindukan Panggilan Ibu..."
MARANG, 29 Oktober - “Setiap hari selepas bangun tidur, saya harap sangat dia sebut perkataan ibu dan ayah seperti sebelum ini," kata Suria Aziela Mansor, 34, ibu kepada Mohammad Haris Mohd Hisyam, 13, yang lumpuh seluruh badan.
Keadaan Haris yang lumpuh seluruh badan menyebabkannya tidak mampu bercakap dipercayai berpunca daripada jangkitan kuman dalam darah dihidapinya tiga tahun lalu.
"Anak sulung saya adalah seorang anak yang aktif dan ceria sejak kecil namun selepas menjalani tiga kali pembedahan pada tahun 2018, dia terus lumpuh dan sejak itu hanya terlantar di katil.
"Ibu mana yang tak sedih apabila melihat anak kesayangan jadi begitu, redha dengan ketentuan tapi sungguh saya rindu nak dengar suara dia panggil ibu macam biasa dan mengharapkan ada keajaiban pada satu hari nanti," ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kijing, di sini hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah meluangkan masa menziarahi Muhammad Haris di samping menyampaikan sumbangan.
Ibu kepada tiga anak itu berkata semasa Muhammad Haris sihat, mereka sekeluarga menetap di kuaters Felcra di Besut kerana suaminya, Mohd Hisham Hussin, 36 bekerja di situ.
"Selepas kesihatan Muhammad Haris semakin merosot pada pertengahan 2018 akibat jangkitan kuman dalam darah, kami sekeluarga berpindah menumpang ke rumah ibu saya di Kampung Kijing kerana lebih mudah untuk menyelesaikan pelbagai urusan berkaitan," katanya lagi.
Dalam masa yang sama, dia mengucapkan rasa syukur kerana terdapat perubahan positif apabila anaknya itu menunjukkan reaksi terhadap kesakitan.
Suria Aziela berkata kos perbelanjaan bulanan Muhammad Haris mencecah lebih RM2,000 termasuk kos ambulans untuk rawatan susulan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.
"Namun kami rasa bersyukur kerana beban yang kami tanggung agak berkurangan kerana mendapat bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM).
"Kami diberi bekalan susu dan lampin pakai buang dari Maidam serta wang tunai bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.
29 Oct 21
892
Sentiasa Dekati Rakyat Di Luar Bandar, Pedalaman
Oleh : Rohayati Ripin
SETIU, 26 Oktober - Semua kakitangan kerajaan dinasihati agar terus menjalinkan hubungan rapat dengan masyarakat terutama di luar bandar dan kawasan pedalaman di negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, kesedaran hidup bersama dalam sebuah Keluarga Malaysia merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seluruh lapisan masyarakat dan badan pentadbiran.
"Kita harus mendekati masyarakat dengan sebaik-baiknya kerana kekuatan kita bukan sahaja kekuatan parti dan juga jentera parti.
"Tetapi sebagaimana yang saya sebutkan ialah kita perlu mendekati seberapa ramai kalangan rakyat dan ahli supaya apabila kita mendekati rakyat serta berbuat baik kepada rakyat insya Allah mereka akan kasih Kepada kita,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi penduduk kampung di sekitar kawasan DUN Langkap, semalam.
Turut hadir sama ialah Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof dan Ketua Muslimat negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman dan wakil Iman Care.
Beliau berharap agar semua kakitangan tak kira dari lantikan politik atau tidak agar sama-sama berkorban dan berjuang untuk menjadikan kerajaan yang ada sekarang lebih kuat.
“Parti kena lebih kuat bergabung dengan kerajaan untuk kita berusaha sedaya mungkin mendekati masyarakat.
“Buatlah apa sahaja pendekatan hasil kebajikan, dakwah supaya mereka boleh bersama-sama dengan kita,” kata Dato’ Yahaya.
Menurutnya, tanggungjawab sebagai pegawai kerajaan amat berat kerana memikul amanah seluruh rakyat negeri ini.
“Walaupun benda kecil sekalipun apabila menjadi kerajaan ni kena ambil cakna sebab tanggungjawab kerajaan untuk menguruskan kepentingan rakyat sesuai kedudukan kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.
“Apabila turun ke bawah kita dapat menyelami sendiri susah payah masalah dan keadaan kehidupan rakyat. Kitalah sebagai kerajaan yang menjadi harapan mereka untuk memberikan perlindungan dan juga pembelaan,” ujar beliau.
Justeru itu, kata beliau, kerajaan bertanggungjawab menyelesaikan walaupun sekecil-kecil masalah yang dihadapi oleh rakyat.
26 Oct 21
117
32 Lagi Peserta Tanah Terkilan DUN Telemong Terima Geran Hak Milik
HULU TERENGGANU, 21 Oktober - Seramai 32 orang peserta tanah terkilan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bukit Sirih, Kampung Kemat menerima geran milik tanah, baru-baru ini.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu berkata kerajaan negeri terus mengotakan janji manifesto dengan penyerahan geran tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan 2004.
"Alhamdulillah, hadiah kerajaan kepada rakyat, setelah hampir 20 tahun menunggu saat ini. Penyerahan geran hak milik tanah ini membuktikan kerajaan negeri sangat komited menyelesaikan masalah rakyat.
"Ini adalah gambaran jelas bahawa kerajaan memang bersimpati dengan apa yang dihadapi oleh mereka yang sebelum ini mendapat tanah dan akhirnya dinafikan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Kepada Peserta Tanah Terkilan RTB Bukit Sirih yang diadakan secara pandu lalu di Perkarangan Pejabat Daerah Hulu Terengganu.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh bersama Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kemat, Kamaruddin Ali berkata, beliau berasa lega dan bersyukur kerana berjaya mendapatkan kembali tanah yang diusahakan oleh perserta selama hampir 20 tahun lalu.
"Terima kasih di atas kesungguhan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Telemong dan Pejabat Tanah yang bertungkus lumus menyelesaikan permohonan peserta memandangkan ianya telah berlarutan begitu lama, sejak 2004 lagi, tapi Alhamdulillahlah, permohonan ini berjaya juga akhirnya." ujarnya.
Turut berlangsung dalam majlis yang sama, penyerahan geran hak milik tanah kepada peserta RTB Air Itam, Sungai Lila di Kampung Pelam seramai 21 orang peserta.
20 Oct 21
1304
KPDNHEP Pantau Ketulenan Emas, Logam Berharga
KUALA TERENGGANU, 18 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas ketulenan logam berharga melalui Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Artikel-Artikel Yang Dibuat Daripada Logam Berharga 1994) di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, ia bagi memastikan pematuhan peniaga ke atas peruntukan undang-undang ini dipatuhi sepenuhnya.
"Sejak tahun 2019 sehingga tahun 2021, sebanyak 42 tindakan kes telah diambil berhubung isu logam berharga ini melibatkan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM53,463.00 manakala sebanyak RM7,700.00 kompaun telah dikeluarkan dan denda sebanyak RM20,000.00 telah dikenakan kepada syarikat atau individu yang terlibat.
"Sepanjang tahun 2021 pula, sehingga Oktober 2021, sebanyak 11 aduan telah diterima oleh KPDNHEP dan sembilan tindakan kes telah disiasat melibatkan nilai rampasan sebanyak RM3,950.00," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Azman, bagi memastikan tindakan penguatkuasaan ke atas pemeriksaan logam berharga itu dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan berkesan, KPDNHEP melalui Bahagian Penguat Kuasa (BPGK) telah membuat perolehan bagi dua set peralatan pengujian ketulenan logam berharga pada tahun 2020.
"Setiap set peralatan ini mengandungi beberapa alat termasuk Radas Sinaran Sinar-X (Thermofisher Scinentific NITON DXL 800) atau lebih dikenali sebagai alat XRF.
"Alat XRF merupakan suatu alat pengujian ketulenan logam berharga yang menggunakan kaedah pengujian tanpa musnah (Non-Destructive Testing Method) ke atas lebih 100 jenis unsur logam seperti emas, perak, gangsa dan lain-lainnya," jelasnya.
Mengulas lanjut, menurutnya, KPDNHEP juga akan menambah lebih banyak alat ujian XRF ini berserta Pegawai Perlindungan Sinaran (PPS) dan Pekerja Sinaran (PS) dari semasa ke semasa bagi membolehkan lebih ramai anggota penguat kuasa KPDNHEP berkelayakan untuk mengendalikan alat ini.
"Ini sekali gus akan menyebabkan tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh dan berkesan di seluruh negara," katanya.
Setakat ini, KPDNHEP telah menjalankan tiga siri pemeriksaan ketulenan logam berharga di Jalan Masjid India (Kuala Lumpur), Pekan Kuala Pilah (Negeri Sembilan) dan juga AEON Mall Shah Alam (Selangor).
Secara keseluruhan, sebanyak 11 premis kedai emas telah diperiksa dengan menggunakan alat XRF ini. Barang kemas yang diperiksa adalah emas yang berupa gelang, cincin, loket, rantai dan juga subang.
"Pihak KPDNHEP ingin memberikan amaran kepada semua peniaga yang menjual logam berharga ini agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan ini dan tidak mengambil kesempatan dengan menjual logam berharga yang tidak tulen kepada pengguna.
"Syarikat atau individu yang gagal mematuhi mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Artikel-Artikel Yang Dibuat Daripada Logam Berharga) 1994, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000.00 bagi pertubuhan perbadanan manakala bagi individu didenda tidak melebih RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya," katanya.
Sekiranya pengguna mempunyai maklumat berkenaan salah laku peniaga berhubung perkara ini bolehlah melaporkan kepada KPDNHEP melalui saluran berikut:
i. Portal e-aduan.kpdnhep
ii. Call Centre 1-800-886-800
iii. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
iv. Ez ADU KPDNHEP
v. Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245
vi. Whatsapp 019-279 4317
18 Oct 21
1108
Kebersihan Tanggungjawab Bersama – ADUN Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Kebersihan merupakan tanggungjawab semua pihak baik di peringkat kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi bersama NGO Geng Plastik Ija pada Jumaat lalu telah mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan Pantai Pandak, Chendering.
Program tersebut juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti setempat termasuklah para pengunjung yang hadir ke situ.
“Apa yang kita buat hari ini untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya kita menjaga kebersihan.
“Kita sering memberikan contoh negara Jepun yang begitu berdisiplin tentang kebersihan.
“Justeru, kita perlu mendidik masyarakat kita sehingga ke tahap itu dan ditambah lagi Islam juga sangat menekankan kepentingan menjaga kebersihan,” kata Ustaz Muhammad Khalil dalam ucapannya.
Tambah beliau lagi, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk mengucapkan terima kasih kepada Geng Plastik Ija dan semua yang turut serta dalam program tersebut.
“Semoga kerjasama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang,” katanya lagi.
Program gotong-royong itu telah berjaya mengumpulkan sebanyak 706kg sampah dan melibatkan seramai 200 orang sukarelawan.
ADUN Batu Buruk menyerahkan sumbangan kepada NGO Geng Plastik Ija.
17 Oct 21
537
Pengundian Baki 9 Buah RMM Batu Hampar, Secara Atas Talian
HULU TERENGGANU, 14 Oktober – Proses Pengundian pemilikan baki kekosongan sembilan unit Rumah Mampu Milik (RMM) Hamparan Permai Batu Hampar Manir daripada 444 kediaman berjaya diselesaikan melalui pengundian atas talian semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato’ Harun berkata, sebanyak 1200 pemohon berdaftar e-perumahan SUK Terengganu bermula 2015 sehingga 2019 berjaya ditapis kelayakan dan telah berjaya tersenarai dalam proses pengundian.
“Isu pemilikan ini berlarutan sejak pembinaan perumahan tersebut bermula 2010 dan mula didiami fasa pertama pada tahun 2014 dengan timbul kekhilafan dari segi pembahagian sehingga berlaku penarikan hak milik.
“Terlalu ramai yang datang jumpa dengan saya nak mohon rumah, maka kami diperingkat DUN buat keputusan untuk buat pengundian, walaupun masih ramai yang marah, saya harap ianya dapat meredakan keadaan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pengundian RMM Batu Hampar dibilik Seminar Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat PKM ADUN Manir Kubang lembek yang turut diadakan siaran langsung (Live) di Facebook Page rasmi YB Hilmi Dato’ Harun.
Turut hadir Penolong Setiausaha PSU Operasi dan Penguatkuasaan bahagian perumahan SUK Terengganu, Muhammad Hazimin Mat Yassin, Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal), Puan Syarifah Nabihah Syed Omar dan Penghulu Mukim Manir, Khairul Syahril Othman.
Tambah Hilmi lagi, sembilan nama pemohon yang telah dibuat cabutan akan diproses syarat-syarat kelayakan semula oleh SUK Perumahan dan sembilan lagi nama dicabut untuk calon pemilikan menunggu jika berlaku penolakan kelayakan 9 undian awal mengikut angka giliran.
Rumah RMM berkenaan dijual kepada yang layak dengan nilai RM68,000 setiap unit daripada harga kos sebenar RM130,000 yang mana tanggungan subsidi kerajaan kepada setiap unit bernilai RM62,000.
14 Oct 21
1128
Derita 35 Tahun Menanti Bekalan Air Bersih Bakal Berakhir
HULU TERENGGANU, 14 OKTOBER - Kesukaran lima keluarga di Kampung Jerlan, Ajil dekat sini, bagi mendapatkan bekalan air bersih bakal berakhir tidak lama lagi selepas projek penyaluran kemudahan itu sedang giat dijalankan selepas permohonan diluluskan Kementerian Kemajuan Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Wakil penduduk, Che Nawang Abdullah, 62, berkata, selama bertahun-tahun mereka terpaksa mengangkut air dari sebuah perigi yang dibina untuk kegunaan harian.
"Kami hanya bergantung pada air perigi, selain air hujan untuk memasak yang terletak kira-kira 20 meter dari rumahnya untuk rutin harian. Mujur ada air perigi berdekatan rumah dan tidak kering walaupun kemarau panjang.
“Air itulah kami anak beranak guna setiap hari. Namun, pada waktu malam kami bimbang haiwan berbisa seperti ular berada di kawasan itu kerana ia terletak di pinggir tebing dan kawasan semak,” katanya selepas lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri ( AJIL ), Maliaman Kassim ke rumahnya, hari ini.
Menurutnya, kemudahan itu memberikan manfaat cukup besar buat lima keluarga yang sudah lama mengimpikan bekalan air bersih.
"Selepas ini , tidak perlu lagi bersengkang mata atau 'bermandi' peluh mendapatkan bekalan air untuk kehidupan harian.
"Saya harap meter yang akan dipasang di kawasan rumah kami nanti dapat berfungsi dan dapat menyalurkan bekalan air bersih untuk kegunaan kami," katanya yang bekerja sendiri.
Seorang lagi penduduk, Mizi Mat Rashid, 44, berkata walaupun sudah biasa menggunakan air perigi untuk kegunaan harian, dia berharap masalah itu diselesaikan kerana mengambil kira kebersihan air digunakan mereka sekeluarga.
"Air perigi yang digunakan untuk memasak dan minum kadang-kadang dibimbangi tahap kebersihannya, selain kami juga turut menggunakan air hujan sekiranya bekalan air perigi habis," jelasnya.
Dalam pada itu,Ketua Teknikal SATU Hulu Terengganu Izul Badri Muhamad berkata, bekalan air yang disalurkan kepada penduduk di sini melibatkan kos kira kira RM250,000.
Menurutnya, kemudahan itu memberikan manfaat cukup besar buat seluruh penduduk kampung yang sudah lama mengimpikan bekalan air bersih.
13 Oct 21
394