Artikel "Komuniti" Terkini
Aplikasi Smart Besut Mudahkan Pengguna, Jimatkan Masa
BESUT, 24 Februari - Penggunaan aplikasi Smart Besut secara langsung menambah baik kemudahan sistem tempat letak kenderaan (parking) dan membiasakan komuniti dengan proses urusan yang lebih efisyen.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, beberapa penambahbaikan telah dibuat kepada aplikasi seperti pengguna tidak lagi perlu mengisi nombor lot kotak parking disamping kad gores yang akan disediakan untuk warga emas.
"Ini benar-benar memudahkan pengguna. Dengan penggunaan aplikasi Smart Besut, pengguna tidak perlu lagi bersedia dengan syiling, tidak perlu berkejar mencari kiosk (gerai) pembayaran dan tidak bermasalah dengan mesin tempat letak kereta (TLK) yang rosak.
"Lebih daripada 70 peratus TLK tidak mempunyai kadar setengah jam. Oleh itu, kemudahan pembayaran untuk tempoh setengah jam pada kadar 30 sen ini dilihat sebagai satu langkah penjimatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepa sesi penerangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Hulu Besut, baru-baru ini.
Tambahnya, kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga telah bersetuju untuk meneruskan penggunaan aplikasi Smart Besut bagi bayaran di daerah Besut.
"Kerajaan negeri turut meminta syarikat konsesi Smart Besut untuk mempergiatkan penerangan kepada pengguna supaya rakyat tahu untuk menggunakan aplikasi ini selain menyebarkan kebaikan penggunaan aplikasi TLK ini berbanding sistem mesin TLK," tambahnya lagi.
Untuk pengetahuan, sebarang pertanyaan dan masalah berhubung penggunaan aplikasi Smart Besut boleh hubungi Pejabat Pengurusan Smart Besut di talian 09-6930998 atau melalui WhatsApp rasmi 0125454700.
24 Feb 22
1897
'Main-main Juga, Solat Tetap Keutamaan'
MARANG, 23 Februari - Program Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) yang dianjurkan kerajaan negeri sepanjang bulan Rejab setiap tahun semenjak 2019 tertumpu kepada setiap genap masyarakat termasuklah anak-anak muda yang sinonim dengan aktiviti bersukan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah berkata, anak muda digesa menyahut Kempen Jom Solat Berjemaah sempena Bulan Penghayatan Ibadah Solat.
"Kita berada pada bulan Rejab. Sambil-sambil kita bermain dan tengok bola, kita juga mesti ingat bahawa bulan Rejab ini bulan peristiwa Israk Mikraj, bulan mengingati ibadah solat. Jangan lupa hubungan kita dengan Allah, utamakan solat dalam setiap urusan yang kita lakukan.
"Saya harap insya-Allah anak muda berada di hadapan saya, para penonton dan para pemain agar dapat juga meluangkan masa bersama untuk kita singgah dan beriktikaf di masjid dan surau," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Piala YB ADUN Bukit Payung, dekat sini, baru-baru ini.
Menurutnya, pelaksanaan BPIS ini tertumpu kepada Kempen Solat Secara Berjemaah di masjid atau surau disamping seruan menghayati solat sebagai benteng daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.
Beliau menyeru agar anak muda bijak mengimbangkan tuntutan agama dan diri dengan utamakan mencari ilmu di masjid atau surau sebagai bekalan kita untuk bertemu dengan Allah SWT.
23 Feb 22
409
Tangki Statik Elak Masalah Air Taman Bukit Bayas Indah
KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Beberapa tangki statik akan ditempatkan di Taman Bukit Bayas Indah sebagai langkah awal untuk menyelesaikan isu masalah krisis air di taman tersebut.
Menurut Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Timur, Azamy Abdul Aziz Abdul Aziz berkata tangki tersebut akan diletakkan secepat mungkin oleh Syarikat Air Terengganu (SATU).
“Kita akan cuba berhubung dengan pihak penduduk untuk memastikan lokasi yang sesuai bagi meletakkan tangki tersebut.
“Manakala, satu kajian akan dijalankan beserta pembinaan Loji Air Kuala Terengganu Utara (KTU) ialah penyelesaian jangka masa panjang kepada masalah ini,” kata Azamy ketika ditemui pemberita hari ini.
Perjumpaan SATU dan SPAN bersama penduduk Taman Bukit Bayas Indah
Menurut beliau, bantuan bekalan air tangki statik tersebut akan dihantar secara berterusan sehingga krisis air ini selesai.
Tambahnya, punca berlakunya krisis air ini kerana pembangunan yang pesat di kawasan sekitar telah menyebabkan tekanan air menjadi rendah di kawasan taman tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Taman Bukit Bayas Indah, Che Zulkarnain Abdul Wahab mengucapkan terima kasih kepada pihak SPAN dan SATU atas keprihatinan dalam isu ini.
“Setelah mendengar penerangan dan penyelesaian yang diberikan pihak SATU dan SPAN, saya berasa sedikit lega kerana ia dapat membantu kami untuk menjalani aktiviti harian,” ujar beliau.
Satu pertemuan antara wakil penduduk Taman Bukit Bayas Indah bersama pihak SPAN dan SATU telah diadakan pada 21 Februari lalu di sebuah kedai makan sekitar taman tersebut.
23 Feb 22
473
Colek Kaki Ayam Murni Jadi Tumpuan Ramai
MARANG, 23 Februari - Colek kaki ayam yang menjadi menu istimewa di Warung Mee Sup Cik Murni, Kampung Bukit Kulim mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.
Pemilik kedai, Norazlimah Malik, 35, berkata, usahanya kini mula membuahkan hasil selepas ramai pengunjung menggemari menu tersebut.
Katanya, dia membuka perniagaan tersebut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan bagi menyara keluarga.
"Alhamdulillah, setelah lima bulan kami beroperasi, kini menu ini sangat mendapat sambutan daripada pelanggan.
"Purata jualan untuk set kaki ayam ini lebih kurang dalam 80 hingga 100 pek sehari sama ada makan di kedai mahupun bungkus," jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di kedainya baru-baru ini.
Meja Warung Mee Sup Cik Murni yang dipenuhi pelanggan.
Norazlimah atau lebih dikenali Murni, turut menjelaskan bahawa terdapat juga menu-menu lain selain daripada colek kaki ayam itu
"Selain daripada colek kaki ayam, kita juga menyediakan menu-menu lain seperti masakan panas dan juga mi celup pelbagai jenis," ujarnya lagi.
Kedai makan yang diberi nama Warung Mee Sup Cik Murni itu beroperasi dari jam 3.00 petang sehingga 11.00 malam dan ditutup setiap hari Isnin.
23 Feb 22
989
Kukuhkan Institusi Perkahwinan Dan Kekeluargaan
DUNGUN, 21 Februari - Antara fokus kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri adalah memperkukuhkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan.
Timbalan Pengerusinya, Alias Harun berkata, untuk mencapai matlamat tersebut kerajaan turut memperkasa wanita bagi kesejahteraan bersama, menjamin hak dan kesejahteraan kanak-kanak disamping meningkatkan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan untuk sistem sokongan yang berkesan dan menyeluruh.
"Jadi wanita adalah sebahagian daripada agenda sumber manusia yang tidak pernah diketepikan dan Program Suara Hati Wanita sebegini sangat baik untuk rakyat Terengganu menimba ilmu pengetahuan dari pelbagai sudut pengetahuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Suara Hati Wanita bertajuk ' Bangkit Dari Sakit, I Am OK,' di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, di sini hari ini.
Program bual bicara yang membincangkan cara mengawal tekanan anjuran Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(i-MiTS) DUN Sura itu turut dihadiri Pengarah USWa, Wan Sakinah Din.
Menurut Alias, pengetahuan dan kefahaman dari pelbagai aspek kehidupan yang mantap dapat menyelesaikan banyak perkara kerana agama meletakkan wanita di satu tempat yang istimewa.
"Wanita mestilah sentiasa mencari ilmu dan bersedia menerima ilmu supaya setiap tindakan yang dilakukan terhadap wanita adalah berlandaskan hukum agama," katanya.
21 Feb 22
340
JPKK Wanita Ejen Kerajaan Negeri Bantu Kaum Ibu
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 21 Februari - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Biro Wanita memainkan peranan penting sebagai ejen kerajaan negeri untuk mendekati dan membantu golongan terbabit di kampung masing-masing.
Ketua Hal Ehwal Wanita Pejabat Menteri Besar, Khairiah Mokti berkata, biro berkenaan harus peka dengan setiap inisiatif dan insentif yang dilaksanakan kerajaan untuk disampaikan kepada kaum wanita.
"Contohnya kerajaan Terengganu ada menyediakan Tabung Siti Khadijah khas untuk wanita yang nak menceburi bidang perniagaan, ini membolehkan mereka ini tidak perlu bersaing dengan lelaki untuk mendapatkan pinjaman.
"Jadi, perkara sebegini wajib dihebahkan sehingga ke akar umbi," ujarnya.
Khairiah berkata demikian ketika berucap di Program Tautan Kasih Bersama ADUN Wanita di Anggulia Beach Resort baru-baru ini.
Katanya, JPKK yang 'bergelumang' di kampung sepatutnya membina hubungan lebih rapat dengan orang kampung supaya setiap permasalahan mereka dalam makluman agensi berkuasa.
"JPKK wanita sepatutnya menjadi penghubung pada masyarakat, pencetus idea, ada 'supporting group' untuk wanita kampung, biar wanita ni rasa lain apabila PAS memerintah Terengganu iaitu rasa lebih tenang," tambahnya lagi. Foto oleh - IMITS DUN Rhu Rendang.
21 Feb 22
634
20 Pasukan Rebut Piala ADUN Bukit Payong
MARANG, 20 Februari - Sebanyak 20 pasukan bakal berentap dalam Kejohanan Bola Sepak Piala ADUN Bukit Payong tahun ini.
Perkara itu diumumkan ketika perlawanan pembukaan Titian Baru FC melawan Kampung Bukit FC di Padang Bola Seri Payong, disini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah berkata, tujuan utama dianjurkan kejohanan tersebut adalah bagi mengeratkan lagi ukhwah di antara anak muda.
“Matlamat tidak menghalalkan cara malah Islam tidak menghalang untuk bersukan. Namun ikutilah garis panduan dan bertandinglah dengan penuh semangat kesukanan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perlawanan Pembukaan Kejohanan Bola Sepak Piala ADUN Bukit Payong di Padang Bola Seri Payong, semalam.
Sementara itu, katanya kejohanan yang berlangsung kali ini berjalan dalam suasana baru dan lebih meriah dengan tidak tertumpu pada satu padang bola sahaja supaya dapat menghidupkan kembali padang-padang bola di seluruh DUN Bukit Payong.
Ujarnya, antara veneu terlibat ialah padang bola Kampung Atas Tol, Surau Haji Daud, Sena Rendang dan Bukit Payung.
Pada perlawanan pembukaan tersebut, perlawanan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Ttian Baru FC dengan jaringan tiga gol tanpa balas dari Kampung Bukit FC.
Kejohanan itu akan selama dua bulan dengan menawarkan hadiah sebanyak RM3,000 untuk johan, RM2,000 naib juara dan tempat ketiga serta keempat RM1,000.
20 Feb 22
658
Kesedaran Islam, Suasana Tenang Faktor Terengganu Digemari Siswa Antarabangsa
KUALA NERUS, 20 Februari – Tahap Kesedaran Islam yang baik serta suasana tenang adalah diantara faktor utama mengapa Terengganu digemari sebagai destinasi pembelajaran dan tempat tinggal, menurut pendapat mahasiswa-mahasiswi antarabangsa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Doktor Falsafah (PhD) Ekonomi, Dr Umar Muhammad Dabachi Bida, 38, yang menyifatkan penghayatan Islam di negeri ini amat berprinsip termasuk semangat Ukhwah tinggi setiap kali beliau berkunjung ke masjid di sekitar universiti.
“Bila lihat di sekitar Kampus Gong Badak dan Kuala Nerus, ini adalah tempat yang sangat aman, tahap jenayah di sini sangat rendah berbanding Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, keselamatan memuaskan ada disini.
“Anda jarang melihat mana-mana orang Islam berpakaian menjolok mata, Masjid di mana-mana, malah dalam masyarakat orang menghormati integriti dan kemanusiaan.Semuanya di sini amat sederhana dan mudah. Sebagai seorang Muslim daripada Nigeria, saya berada di tempat yang selamat.
“Dari segi ekonomi, kos sara hidup di sini juga agak murah, dengan dua ringgit anda boleh membeli makanan di luar, sesiapa sahaja terutama pelajar asing mampu tinggal di sini,” kata ilmuwan Nigeria itu.
Selain itu, Umar turut menasihatkan penduduk setempat agar terus memperkasakan cara hidup beragama dengan ilmu, mempelajari bahasa Inggeris, bahasa Arab sambil menyarankan kerajaan tempatan dan ibu bapa mengajar al-Quran dan Hadis untuk generasi akan datang.
Beliau juga menyifatkan UniSZA sebagai Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang bermutu tinggi, dilengkapi kemudahan dan tenaga pengajar bertaraf dunia yang membolehkannya menguasai bidang pembangunan, alam sekitar dengan minyak dan gas.
Seorang lagi pelajar yang turut berkongsi pengalaman positifnya mengenai persekitaran Islamik ialah Fatimah Abdullah (Xu Jing), 38, berkata UNISza bahawa adalah tempat yang lebih mudah baginya untuk mengamalkan agama Islam.
“Sejak pertama kali datang ke sini pada 2013, surau dan masjid adalah perkara biasa dan mudah didapati, saya boleh memakai hijab dan mencari makanan halal dengan mudah, pengalaman yang sama sekali berbeza berbanding di China.
“Selain itu, saya berasa lebih selesa tinggal di sini dengan tempat-tempat yang indah untuk dikunjungi dan orang-orang serta rakan-rakan yang mesra sepanjang perjalanan,” kata guru bahasa Mandarin itu.
Jelas seorang pula mahasiswa PhD dalam Pemasaran Pelancongan dari Pakistan, Asif Sanaullah Balti, sifat aktif dan kecantikan masjid tempatan juga diantara faktor kenapa beliau serta anaknya meminati Terengganu.
Bapa berusia 35 tahun yang tinggal di Tok Jembal itu berkongsi rasa cintanya rumah ibadat tersebut yang indah dan banyak di sekitar Kuala Nerus, berkata khutbah dan bacaan al-Quran setiap hari membuatkan dia merasa tenang.
Sementara itu, Pengarah Pusat Antarabangsa UniSZA, Anuar McAfee menyebut bahawa persekitaran majoriti Islam disamping perkhidmatan pendidikan kualiti tinggi, memainkan pengaruh besar dalam membawa masuk pelajar asing baru datang dan tinggal di sini.
“Berbanding cabaran dan dugaan di luar pantai timur, Terengganu mampu menjadi ‘kampung’ buat mereka, kami pada mulanya bimbang sama ada warga luar ini akan menyesuaikan diri di sini atau tidak, tetapi nampaknya mereka sebati dengan baik dan diterima masyarakat,” katanya.
20 Feb 22
534
PAYUNG Santuni Anak Yatim, Beli Barang Keperluan Sekolah
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Pertubuhan Anak-Anak Yatim DUN Sura (PAYUNG) menjadikan sesi persekolahan tahun ini satu kegembiraan buat 69 anak yatim di DUN tersebut apabila dibawa membeli barang kelengkapan persekolahan sekitar bandar Kuala Terengganu semalam.
Pengerusinya, Zakariah Yusof berkata, ianya merupakan satu tanggungjawab sosial bagi memastikan anak-anak ini dapat meneruskan sesi persekolahan dengan sempurna.
"Langkah ini merupakan tanggungjawab pihak kami memastikan anak-anak yatim ini tidak terasa terpinggir dan memberi mereka peluang untuk belajar dalam keadaan lengkap seperti pelajar yang lain," ujarnya kepada pemberita.
Tambahnya, anak-anak yatim ini sangat gembira setelah dibawa membeli belah dan makan di Restoran DeeLight.
"Saya lihat respon anak-anak ini sangat ceria. Mungkin ada dikalangan mereka tidak pernah dibawa melancong dengan menaiki bas, selain dijamu dengan makanan yang mewah dan sukar didapati," ujarnya.
Program ini ditaja kira-kira 40 orang penyumbang dari pelbagai latar belakang untuk digunakan membeli barang keperluan persekolahan.
Zakariah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang dan terlibat menjayakan program tersebut.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih buat semua penyumbang dan juga setinggi penghargaan atas kerjasama semua pihak yang terlibat memastikan kelancaran program ini," ujarnya.
20 Feb 22
655
Sawah Tenggelam, Pesawah Ambil Peluang Memukat Ikan
MARANG, 19 Februari - Beberapa hari lepas kebanyakan sawah di negeri Terengganu ditenggelami air akibat hujan lebat, namun di sebalik musibah itu ada pesawah mengambil peluang memukat ikan untuk dijadikan santapan keluarga.
Salah seorang petani di Pengkalan Berangan, Shahrul Azmi Othman berkata, biarpun masih sedih dengan ujian menimpanya, dia akur dan mencari peluang lain untuk kebaikan keluarga.
"Sawah padi tenggelam, itu takdir yang diluar jangka kita, saya redha dengan ketetapan itu, tapi disebalik kejadian bencana itu saya suka melakukan aktiviti desa seperti ini, mesti ambil peluang untuk memanfaatkannya.
"Walaupun demikian, saya tetap cuba memohon dan mengharapkan suntikan bantuan kepada kami, sekurang-kurangnya dapat pulangan modal kembali walaupun tiada keuntungan," katanya kepada UPDI ketika ditemui di sawah miliknya kelmarin.
Shahrul Azmi Othman sedang memeriksa pukatnya.
Menurut Shahrul Azmi, hasil yang diperolehi daripada memukat di sawah Bukit Gading itu akan menjadi santapan keluarga dan dikongsi dengan jiran yang lain.
"Alhamdulillah, hasil yang dapat ini akan dimasak asam pedas kampung, dan dijadikan juadah keluarga, dan sekiranya ia berlebihan, insya-Allah akan dikongsi juga dengan kawan-kawan serta jiran-jiran yang lain bagi yang berhajat," ujarnya.
Ikan Haruan antara hasil yang diperolehi.
Sementara itu, beberapa hari lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong menggesa pesawah yang terjejas membuat permohonan bantuan melalui Jabatan Pertanian Negeri.
"Akibat hujan yang turun dengan lebat semenjak beberapa hari yang lepas, ia mengakibatkan tanaman padi di kawasan Kampung Bukit Kulim, Bukit Gading, Kampung Tuman, Bukit Jejulong dan kawasan sekitarnya tumbang musnah.
"Alhamdulillah, kita turun untuk berjumpa dengan mangsa dan kita mencadangkan kepada mereka untuk menyegerakan laporan dan permohonan bagi memudahkan proses bantuan.
"Di peringkat Kerajaan Negeri telah mengumumkan bahawa Tabung Bencana Pertanian telahpun diaktifkan, jadi kami berharap ia dapat dilaksanakan dan sekurang-kurangnya meringankan sedikit beban mereka yang menjadi mangsa," tambah beliau.
19 Feb 22
684