Artikel "Komuniti" Terkini
Manfaatkan Kedatangan Bulan Ramadan
KEMAMAN, 28 Mac -Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid menyeru kepada seluruh umat Islam khususnya pengunjung dan peniaga di sekitar pusat beli beah Mesra Mall, Kerteh untuk manfaatkan kedatangan bulan Ramadan dengan sebaik-baiknya.
Katanya, bulan Ramadan merupakan bulan latihan umat Islam bagi melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah SWT.
"Taqwa dengan erti kata lain takut kepada Allah SWT, ambillah peluang untuk kita manfaatkan bulan mulia ini dalam meningkatkan amal ibadah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Semarak Ramadan D'Hati Parlimen Kemaman yang berlangsung di pusat beli belah itu.
Program tersebut anjuran Akademi Didik Ulama Amilin Kemaman dengan kerjasama Pejabat Khidmat Masyarkat (PKM) Ahli Parlimen Kemaman, PKM DUN Kemasik, PKM Penyelaras DUN Kijal, PKM ADUN Cukai dan PKM ADUN Air Putih.
Taqwim Ramadan dan beberapa cenderahati telah diagihkan kepada para peniaga dan pengunjung sejurus selesai pelancaran program.
Sementara itu, beliau turut melahirkan rasa syukur di atas pelaksanaan solat tanpa penjarakan sosial di masjid-masjid dan surau di Terengganu selaras dengan negara memasuki Fasa Peralihan Pandemik pada 1 April ini.
"Saya mengharapkan supaya kita dapat memanfaatkan peluang yang diberikan daripada awal sehingga akhir Ramadan tahun ini.
"Sebuah hadis menyebutkan: Bulan Ramadhan, awalnya rahmah, tengah-tengahnya maghfirah dan akhirnya adalah pembebasan dari neraka," ujarnya.
28 Mar 22
169
Individu Islam Bertanggungjawab Seru Laksana Solat
DUNGUN, 24 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik menegaskan, umat Islam mesti mengambil perhatian dalam menyeru masyarakat menunaikan solat secara berjemaah di masjid.
Wan Hapandi berkata, perkara ini perlu dilazimi umat Islam untuk mendidik generasi akan datang mendekati masjid.
"Kita perlu memenuhi ruang saf masjid setiap kali tiba waktu solat dan perkara ini perlu menjadi satu kelaziman supaya generasi akan datang menjadikan solat jemaah ini suatu kewajipan dan kebiasaan," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) peringkat DUN Sura, baru-baru ini.
Pelancaran majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahri Mamat.
Wan Hapandi turut berpesan supaya setiap tempat dihidupkan dengan suasana solat kerana solat itu mencegah kemungkaran dan ia pastinya memberi kesan kepada akhlak setiap individu.
"Solat ini mestilah dilaksanakan dimana sahaja kerana ia mempengaruhi akhlak setiap individu. Kerana itulah kerajaan negeri Terengganu mengambil pendekatan menganjurkan BPIS bagi membentuk akhlak yang baik dikalangan masyarakat.
"Dengan pelancaran program ini, kita dapat menghayati dan memenuhi hasrat kerajaan negeri Terengganu serta menyokong program BPIS ini agar ia berterusan dan diamalkan," ujarnya.
25 Mar 22
405
DUN Sura Buka Kaunter Permohonan Bantuan i-Fitri
DUNGUN, 23 Mac - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura mengambil inisiatif membuka kaunter permohonan bantuan i-Fitri untuk memudahkan masyarakat setempat yang tiada kemudahan internet membuat permohonan.
Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera DUN Sura, Mohd Hanafiah Hitam berkata, pihaknya melihat kepentingan membuka kaunter perkhidmatan tersebut setelah mendapat aduan serta maklum balas awam.
"Kami meneliti keperluan untuk membuka kaunter permohonan ini berdasarkan maklum balas awam yang masih keliru tentang kaedah pelaksanaan serta prosedur yang betul membuat permohonan Bantuan i-Fitri ini yang perlu dilakukan secara maya", katanya kepada pemberita.
Mohd Hanafiah berkata, kaunter itu dibuka selama empat hari bermula hari ini dan dilakukan secara berpusat mengikut zon.
"Ia dibuka pada 23, 24 , 27 dan 28 Mac ini secara berpusat mengikut zon yang ditetapkan iaitu melibatkan 23 Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK)
"Kesemua kaunter beroperasi bermula jam 9 pagi sehingga 12 tengahari dan lokasinya adalah seperti yang ditetapkan mengikut zon," katanya.
Permohonan bantuan i-Fitri untuk seluruh rakyat Terengganu mula dibuka semalam (22 Mac).
Pemohon yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan boleh memohon melalui portal
https://ibantuan.terengganu.gov.my
23 Mar 22
1209
Kari Daging Buat 300 Keluarga Di Tok Kah
DUNGUN, 21. Mac- Sebanyak 300 keluarga di Kampung Tok Kah menerima gulai kari daging buah tangan 'Soup Kitchen' daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun.
Edaran yang dilakukan dari rumah ke rumah itu merupakan acara rutin di setiap Program YB DUN Rantau Abang Bersama Rakyat.
"Tok Kah merupakan lokasi ketujuh saya bersama rakyat yang mengikut Unit Daerah Mengundi (UDM) iaitu Gong Pasir, Pulau Serai, Padang Pulut, Pinang Mas, Delong dan Seberang Pintasan," katanya.
Menurutnya, Slot YB Bersama Rakyat, selain 'Soup Kitchen' ialah Tukor Minyak Hitam Muto, Sumbangan Seekor Ayam dan Sekampit Beras dan Ziarah.
"Bagi Sumbangan Sekampit Beras Seekor Ayam, 50 orang penduduk yang kurang berkemampuan telah menerima bantuan tersebut.
"Kita terpaksa bahagi-bahagikan peruntukan yang ada untuk bantuan yang kurang mampu dan juga mereka yang dikuarantin, jadi ini sahaja yang kita mampu membantu," katanya di dalam ucapan ringkas sebelum agihan dilakukan di perkarangan Surau Haji Din, Tok Kah di sini baru-baru ini.
"
21 Mar 22
253
Pembangunan Rohani Jadi Keutamaan
KEMAMAN, 19 Mac - Selain pembangunan material untuk rakyat, pembangunan jiwa amat penting dalam membangun sesebuah negeri mahupun negara.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh berkata, dalam memajukan masyarakat dengan kebendaan duniawi jangan tertinggal kemajuan akhirat.
"Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) adalah salah satu platform awal yang baik dalam pembentukan jiwa, insan dan akhlak kepada anak-anak kita.
"Dengan sedikit kuasa pemerintah yang ada ini, alhamdulillah kita permudahkan urusan pembinaan pusat pendidikan Islam dalam membentuk generasi yang menyuburkan agama,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian PASTI Bestari Nur Iman di Kampung Payoh, Kijal kelmarin.
Hazri juga berharap agar akan terbina lagi PASTI dikampung lain dalam menampung keperluan pembelajaran awal islam yang menjadi satu kemestian dan perhatian para ibubapa kebelakangan ini.
"Persepsi masyarakat kita perlu diperbetulkan. Soal pembangunan, menyelesaikan masalah tanah, masalah jalan dan sebagainya adalah menjadi tanggungjawab kepada pemerintah sesebuah negeri.
"Malah kerajaan komunis atau kapitalis sekalipun memenuhi tanggungjawab mereka terhadap rakyatnya.
"Yang lebih penting lagi adalah tanggungjawab kita dalam memastikan seluruh masyarakat beriman dengan ajaran islam, bertaqwa dan pergantungan hanyalah kepada Allah.
19 Mar 22
492
Pasar Tani Kekal Chukai Mula Beroperasi
KEMAMAN, 18 Mac - Pasar Tani Kekal (PTK) Chukai yang bertempat di Kampung Dusun Nyiur telah memulakan operasi perniagaannya secara rasmi sejak semalam.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Terengganu, Che Ghani Che Wan berkata, PTK Chukai diwujudkan bagi menempatkan para peniaga di bawah satu bumbung dengan menyediakan premis kekal yang lebih kemas.
"PTK adalah kesinambungan projek pembangunan bagi menaiktaraf serta penambah baik operasi Pasar Tani Runcit.
"Peserta PTK akan ditempatkan di bawah satu bumbung dan akan menjalankan perniagaan setiap hari dalam suasana yang selesa dan kondusif. Situasi ini akan memberi persekitaran yang mampu meningkatkan "volume" urusniaga dan secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan dan mengurangkan masalah pemasaran hasil-hasil pertanian yang dikeluarkan setiap hari.
Katanya, PTK akan mengekalkan "positioning" Pasar Tani Runcit iaitu memberi tumpuan kepada produk segar dan berkualiti pada harga yang berpatutan," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, dengan adanya PTK Chukai ini memberi pilihan yang lebih luas buat masyarakat setempat untuk mendapatkan barangan keperluan mereka.
"Terima kasih FAMA yang menyediakan kemudahan ini," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan pembukaan PTK Chukai itu, semalam.
18 Mar 22
757
TDM Sumbang RM80,000 Kepada Asnaf
DUNGUN, 18 Mac- Sebanyak RM80,000 disumbangkan TDM Berhad kepada 400 penerima daripada kalangan asnaf memerlukan sempena Karnival Dakwah Penghayatan Islam.
Pengarah Eksekutifnya, Najman Kamaruddin berkata, pihaknya ingin berkongsi rezeki kurniaan Allah dengan harapan sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung.
"Ianya diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak pihak yang terlibat dalam membantu masyarakat," katanya.
Najman berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Festival SEDAYA (Seni, Dakwah dan Budaya) Vintage Dungun 2.0 di Dewan Arena Merdeka di sini, hari ini.
Festival yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Saiful Bahri Mamat itu akan diadakan selama tiga hari.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Berhad, Hamdan Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Dalam ucapan perasmian Saiful berkata, portfolio Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah tidak menghalang sebarang program asalkan mematuhi Syariah.
"Satu garis panduan 'Do and Don' t' , apa yang boleh dan tidak boleh dan sebagainya supaya dapat sentiasa mengambil kira perkara - perkara yang patuh syariah termasuklah iklan, billboard dan jika mereka ingin mengadakan program di sini, mereka sedia maklum perkara - perkara yang patuh syariah, " jelasnya.
17 Mar 22
326
600 Pemburu Kerja Hadiri Program Outreach
SETIU, 17 Mac : Program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan dan Keusahawanan Jamin Kerja peringkat Daerah Setiu mencatatkan penyertaan kehadiran lebih 600 orang pencari kerja.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, seharusnya peluang yang ditawarkan oleh kerajaan negeri Terengganu melalui Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) dimanfaat sebaik mungkin oleh rakyat terutama mereka yang sedang menganggur.
"Ada diantara mereka yang terus mendapat pekerjaan selepas menghadiri temuduga, mereka tidak perlu menunggu lama untuk mendapat jawapan." ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan dan Keusahawanan Jamin Kerja Rakyat Terengganu, Daerah Setiu.
Program yang berlangsung dua hari itu telah diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom yang turut disertai dengan kehadiran usahawan produk tempatan dan peniaga kecil.
Dalam program tersebut ,turut disampaikan faedah PERKESO dan inisiatif jamin kerja kepada mereka yang hadir serta terdapat beberapa syarikat tempatan dan luar yang menawarkan peluang pekerjaan antaranya TDM Plantation, McCORMICK, APTIV, Mybrush, Malaysia Rail Line dan Hartalega.
Program berkenaan turut diserikan dengan pelbagai acara termasuklah Master Chef of Setiu, 'Fun Run', cabutan bertuah, sukan rakyat dan costplay transformer.
"Melalui program ini Kita akan cuba permudahkan urusan rakyat agar peluang yang ada ini dimanfaatkan sebaik mungki insyaa- Allah," tambahnya lagi.
17 Mar 22
477
Festival Sedaya Vintage Dungun 2.0 Bakal Gegarkan Bandar Dungun
DUNGUN, 16 Mac- Penganjuran Festival Seni, Dakwah dan Budaya (Sedaya) Vintage Dungun 2.0 pada 17 hingga 19 Mac ini dijangka akan menggegarkan warga Dungun dengan menyediakan pelbagai aktiviti dan acara menarik untuk semua lapisan masyarakat.
Pengarah program, Dr. Tengku Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, bertemakan "Gallok gallok jugok, semayang jangan lupe”, festival tersebut mengajak masyarakat berhibur dengan hiburan yang sihat.
"Antara aktiviti yang disediakan untuk para pengunjung termasuk liga penalti, nyanyian dakwah, ayam ratu, mewarna, puding berhias, doodle dan explore race serta hadiah hadiah yang menarik menanti semua.
"Kita juga menampilkan 'otai' rock, Ramli Sarip, yang dibawa dari Singapura untuk mengubat kerinduan peminatnya dengan lagu - lagu berunsur nasihat dan ketuhanan, pada 19 Mac jam 9 malam bertempat di Dewan Arena Merdeka, disini.
"Juga 'otai - otai' dari seluruh Malaysia antaranya Yen SK, Hatu Guni, Piji LOKIEN dan ramai lagi serta tidak ketinggalan kumpulan - kumpulan nasyid kesayangan ramai, " jelasnya ketika dihubungi.
Menurutnya, program anjuran bersama Persatuan Belia Sahabat Sejahtera Daerah Dungun dan TDM Berhad itu merupakan program anjuran GLC) itu di setiap daerah di Terengganu, tetapi di Dungun ada sedikit kelainan.
"Hasil perbincangan bersama program yang sepatutnya hanya sehari di daerah lain tetapi di Dungun, kita adakan selama tiga hari," jelasnya.
Disamping itu, tambahnya lagi, sempena festival terbesar itu, banyak peluang untuk menjana pendapatan disediakan kepada warga tempatan dan juga bagi sesiapa yang berminat untuk membuka gerai-gerai perniagaan.
16 Mar 22
613
Proses Bina Tapak Parkir Masjid Gong Tok Nasek Dimulakan
KUALA TERENGGANU, 14 Mac – Pembinaan tapak parkir Masjid Gong Tok Nasek (MGTN) telah dimulakan pada semalam dengan kerja-kerja pembersihan kawasan tersebut.
Pembinaan tapak parkir berkeluasan setengah ekar itu dibuat bagi menyelesaikan isu parkir di masjid tersebut yang terhad dan kos pembinaan akan dibiayai melalui hasil sumbangan orang ramai dengan anggaran RM30,000.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Terengganu telah menyelesaikan pembayaran pengambilan tanah kepada penduduk yang terlibat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dibawah kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang telah meluluskan pengambilan tanah bagi pembinaan ini dan disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
“Harapan saya agar ianya dapat memberikan keselesaan dan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat bagi sama-sama hadir mengimarahkan lagi masjid ini,” kata Pengerusi MGTN, Ustaz Mohd Soud Said kepada pemberita.
Pengerusi MGTN, Ustaz Mohd Soud Said
Menurut beliau lagi, kerja-kerja pembinaan tersebut dijangka akan memakan masa selama 2 minggu.
“Insya-Allah, pembinaan ini dapat memberikan manfaat kepada jemaah masjid khususnya menjelang ketibaan bulan Ramadan nanti yang kebiasaannya akan menjadi tumpuan penduduk setempat,” tambahnya.
13 Mar 22
861