lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Jabatan Pertanian Aktif Beri Insentif Pada Petani
Jabatan Pertanian Aktif Beri Insentif Pada Petani
Oleh: Fatimah Din  MARANG , 11 Julai - Pejabat Pertanian Daerah Marang aktif memberi pelbagai insentif kepada petani. Pegawai Pertanian Daerah Marang, Nik Mohd Haizul Nik Supian berkata, insentif berkenaan bagi merangsang aktiviti pertanian dan dilaksanakan dalam pelbagai bentuk. "Termasuk khidmat nasihat pertanian, pasukan teknikal bagi penyakit tanaman, kesuburan tanah, selain insentif infrastruktur melalui peralatan pertanian, benih, dan pembersihan kawasan tanah terbiar bagi pembangunan projek pertanian. "Terdapat juga bantuan dalam bentuk geran pemadanan daripada pihak kementerian serta bantuan bencana bagi membantu meringankan beban petani menghadapi musibah kerosakan tanaman akibat bencana banjir dan kemarau," ujarnya. Menurut beliau,jenis tanaman yang menyumbang kepada pengeluaran daerah ini adalah tanaman kontan seperti tembikai, jagung dan labu manis yang banyak diusahakan di kawasan Marang pantai.  "Manakala di kawasan darat lebih fokus kepada tanaman sayuran dan buah-buahan seperti durian dan duku," ujarnya. Tambah beliau, Jabatan Pertanian juga menyediakan bantuan peralatan kepada para pengusaha industri asas tani seperti pemprosesan cili boh, rempah ikan, kerepek, nisan dan lain-lain lagi yang turut menjadi penyumbang pengeluaran hasilan pertanian di Terengganu. "Jabatan ini juga turut aktif mengadakan pelbagai program kepada masyarakat seperti Pertandingan Durian Kampung Premium Terbaik dan program gotong-royong bersama petani untuk membasmi musuh tanaman serta pelbagai lagi program berkaitan. "Antara program terdekat yang bakal diadakan adalah program penyasaran diesel subsidi dengan menyediakan promosi pada Hari Terbuka Budi Madani pada 22 Julai nanti, " ujarnya.
11 Jul 24
242
Taman Permint Perdana Juara Piala YB Adun Seberang Takir
Taman Permint Perdana Juara Piala YB Adun Seberang Takir
KUALA NERUS, 9 Julai - Pasukan Taman Permint Perdana (Miami FC) mewakili Cawangan Taman Permint Perdana muncul juara Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang berlangsung di Kompleks Sukan Gong Badak. Dalam aksi akhir itu, TPP (Miami FC) menewaskan Taman Perumahan Telaga Daing dengan jaringan 2-0. ​​​Selaku juara, TPP (Miami FC) membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM2,000 dan piala serta medal. Salah seorang pemain TPP, Muhammad Taufiq, 27, berkata, momentum beberapa siri perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan sebelum kejohanan bolah dijadikan asbab keserasian pemain. “Bulan lepas pasukan telah menyertai kejohanan Bolasepak Belia 9 Sebelah dan berjaya sampai ke peringkat suku akhir. Dari situ kita lihat kekurangan dan segera memperkemaskan pasukan. "Alhamdulillah, memang tak sangka menjadi juara, kita sasarkan kita boleh ke suku akhir sahaja tapi semangat juang semua pemain berjaya ke akhir. "Persiapan ke kejohanan parlimen akan datang insya-Allah kita akan meneruskan latihan seperti biasa juga kita akan sasarkan ke suku akhir," ujarnya. Katanya, beliau sangat berpuas hati sepanjang perlawanan dan memuji kelancaran penganjuran.  “Perlawanan kedua-dua pasukan sangat baik, tidak ada kontroversi dan semua menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi,” ujarnya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat yang ditemui selepas perlawanan merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan TPP (Miami FC) yang menjuarai kejohanan pada kali ini. “Tahniah kepada pasukan TPP (Miami FC) yang telah menjadi juara Piala ADUN Seberang Takir, Insya-Allah pasukan ini bersama tiga pasukan terbaik lain akan mewakili Seberang Takir ke peringkat Daerah Kuala Nerus," katanya.  
09 Jul 24
191
Tradisi Wau Bulan Tarik Lebih 300 Penyertaan
Tradisi Wau Bulan Tarik Lebih 300 Penyertaan
KUALA TERENGGANU, 9 Julai - Lebih 300 wau diterbangkan oleh penduduk kampung yang menyertai pertandingan di Padang Bola SMK Sultan Sulaiman baru-baru ini. Pertandingan tersebut dianjurkan Majlis Belia Negeri Terengganu bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu dengan kerjasama Persatuan Penggiat dan Pemain Wau Negeri Terengganu, Persatuan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta Daerah Kuala Terengganu dan SMK Sultan Sulaiman. Menurut Ketua Penyelaras pertandingan, Mohd Ramzi Ramli berkata, tujuan utama pertandingan tersebut diadakan adalah untuk memelihara dan mempromosikan seni pembuatan dan permainan wau yang merupakan warisan budaya negeri. “Kami berharap acara ini dapat menarik minat generasi muda untuk lebih mengenali dan mencintai budaya tradisional kita,” ujarnya. Sementara itu, Ketua Pengadil pertandingan wau tersebut, Amidi Muhammad, menyatakan bahawa permakahan dilakukan berdasarkan tiga kriteria utama iaitu ketinggian, ketahanan udara, dan bunyi busur pada wau terbang. "Pertandingan ini bukan sahaja menunjukkan kecantikkan dan keunikan Wau Bulan, tetapi juga memperlihatkan kreativiti dan kemahiran peserta dalam membuat dan menerbangkan wau. "Pemenang pertama membawa pulang wang tunai bernilai RM 1200 manakala Naib Johan RM 800, tempat Ketiga RM 600, dan tempat Ke-4 hingga Ke-8 menerima RM 100 setiap satu. Peserta yang berada di kedudukan Ke-9 hingga Ke-16 masing-masing membawa pulang RM 50," ujarnya. Katanya, selain pertandingan wau, pelbagai acara lain juga dipertandingkan seperti sepak penalti dengan penglibatan 48 pasukan dan mengira biji betik, menjadikan acara ini meriah dengan aktiviti menarik.
07 Jul 24
376
16 Pasukan Berentap Rebut Piala ADUN Seberang Takir
16 Pasukan Berentap Rebut Piala ADUN Seberang Takir
KUALA NERUS, 3 Julai - Sebanyak 16 pasukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir bakal berentap bagi merebut piala YB ADUN Seberang Takir 2024 bagi Kejohanan Bolasepak 9 sebelah yang dijadualkan berlangsung 5 dan 6 Julai ini. Pengarah Program, Mohd Ariffin Abd. Ghafor berkata, kejohanan dianjurkan bersama Pusat Khidmat DUN Seberang Takir dengan NGO sukan setempat itu akan diadakan di Padang Sintetik Kompleks Sukan Gong Badak. "Kejohanan yang dinantikan ini merupakan temasya tradisi yang diadakan setiap tahun. "Antara syarat utama yang dikenakan adalah berumur 18 tahun ke atas, 1 cawangan 1 pasukan dan paling penting wajib menutup aurat dan alhamdulillah setakat ini kita menerima maklum balas positif daripada kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita. Menurut Mohd Ariffin, juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 beserta piala dan medal, naib johan RM1,000 manakala tempat ketiga dan keempat RM500 serta medal. "Harapan saya agar kejohanan ini akan berlangsung dengan lancar dan tanpa berlaku kejadian yang tidak diingini," ujarnya. Sementara itu, salah seorang pengurus pasukan, Muhammad Baihaqy Harun berkata, kejohanan tersebut amat wajar diadakan bahkan lebih besar pada masa akan datang. "Pertandingan seperti wajar diadakan demi mencungkil bakat-bakat muda bagi mewakili negeri. "Kita sedia maklum bahawa Negeri Terengganu sentiasa melahirkan bakat-bakat baru sehingga mewakili negara," ujarnya. Sepak mula kejohanan akan disempurnakan oleh ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat.  
03 Jul 24
375
98 Pelajar Cemerlang Dirai di Dewan Tok Guru
98 Pelajar Cemerlang Dirai di Dewan Tok Guru
MARANG, 3 Julai- Seramai 98 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2023 bagi mengiktiraf pencapaian mereka dalam akademik di Dewan Tok Guru, Rusila di sini, baru-baru ini. Majlis berkenaan disempurnakan isteri Menteri Besar Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, To’ Puan Seri Tuan Faizah Binti Tuan Ab Rahman. Kataya, kejayaan pelajar berkenaan merupakan suatu perkara yang membanggakan. "Saya melihat dan merenung wajah anak-anak, inilah kilauan mutiara yang suatu hari nanti akan menjadi kebanggaan khususnya kepada DUN Rhu Rendang, Negeri Terengganu dan negara. “Saya memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dengan nikmat dan limpah kurniaNya kita dapat bersama-sama pada hari ini untuk meraikan Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2023 peringkat DUN Rhu Rendang. “Saya juga melihat wajah kebanggaan para ibu bapa yang turut hadir meraikan kejayaan anak-anak kita pada pagi ini. “Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua anak pelajar yang berjaya mencapai keputusan yang cemerlang di dalam SPM tahun lepas dan juga tidak lupa kepada ibu bapa yang memberi sumbangan amat besar serta sokongan dalam kejayaan anak-anak," ujarnya. Dalam Majlis berkenaan,penghargaan dan sumbangan wang tunai telah disampaikan oleh beliau kepada semua pelajar cemerlang bermula dari 6 A dan ke atas. “Saya dimaklumkan bahawa dalam majlis ini seramai 98 penerima anugerah pada pagi ini, alhamdulillah ianya suatu jumlah yang sangat ramai pelajar cemerlang yang berada di DUN Rhu Rendang.” “Seingat saya dahulu, majlis seperti ini tidak banyak untuk memberi penghargaan kepada pelajar cemerlang tetapi alhamdulillah bermula pada tahun 2019 dibawah Kerajaan Negeri Terengganu sehingga  sekarang pasti mengadakan majlis seperti ini pada setiap tahun. "Bagi memberi penghargaan dan semangat kepada anak-anak dalam kejayaan serta menghargai usaha penat lelah mereka,"ujarnya. Tambahnya lagi, keputusan SPM inilah yang akan menentukan arah perjalanan seterusnya untuk melangkah alam universiti sama ada Pra – Universiti, Matrikulasi atau seumpamanya. "Jadi saya berpesan kepada anak-anak untuk meletakkan satu sasaran dan matlamat yang jelas, janganlah jadi pelajar yang biasa tetapi mestilah menjadi pakar dalam bidang yang diceburi. “Saya juga berpesan, bilamana melangkah ke alam menara gading pilihlah kawan-kawan yang boleh membimbing kita ke arah kebaikan dan menegur kesalahan kita disebabkan sekarang ini dunia yang semakin mencabar. "Antaranya berhadapan ancaman liberaliasi yang cuba merosakkan kefahaman dan fikiran kita. Justeru itu, besar harapan saya untuk melihat anak-anak menjadi seorang yang pakar dalam bidang masing-masing dan teruskan melakar kecemerlangan dalam bidang diceburi. "Serta menjadi anak yang beriman kepada Allah SWT, soleh dan solehah yang tidak meninggalkan agama di samping mengejar kecemerlangan Jadikan pengiktirafan hari ini sebagai pendorong untuk mengejar cita-cita yang terbaik. "Zaman sekarang sudah berbeza, ibu bapa mesti memberi ruang kepada anak-anak untuk memilih bidang yang diminati," ujarnya. Jadikan pengiktirafan hari ini menjadi pendorong untuk mengejar cita-cita yang terbaik. Zaman sekarang sudah berbeza, ibu bapa mesti memberi ruang kepada anak-anak untuk memilih bidang yang diminati,” ujarnya. Akhir sekali, saya mengucapkan tahniah kepada semua yang hadir dalam merealisasikan majlis kita pada pagi ini.  
02 Jul 24
261
Terengganu Fokus Tiga Jenis Sisa Buangan
Terengganu Fokus Tiga Jenis Sisa Buangan
KEMAMAN, 28 Jun - Terengganu memberi fokus kepada tiga jenis buangan iaitu minyak masak terpakai, plastik dan tekstil.  Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, secara keseluruhannya 100 orang peserta daripada komuniti yang terpilih telah mengikuti siri bengkel latihan di mana mereka telah diajar tentang pengenalan dan pengasingan bahan buangan terpakai serta penghasilan produk daripada bahan buangan. Katanya, beberapa siri bengkel latihan untuk tekstil dan bengkel latihan ‘precious plastics’ akan berjalan sehingga awal Julai. "Melalui inisiatif ini, kami berharap akan muncul lebih banyak peluang yang berpotensi untuk membantu komuniti dalam menjana pendapatan sampingan melalui penjualan produk yang berjaya dihasilkan. "Untuk aktiviti terakhir, pihak kami akan mengadakan program kesedaran alam sekitar di sekolah-sekolah yang terpilih mulai dari bulan Julai,"ujarnya. Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Program Ekonomi Kitaran (Minyak Masak Terpakai) 2024 yang telah berlangsung di 3R Centre, Jalan Feri Lama, hari ini. Katanya lagi, bengkel yang telah diadakan itu merupakan salah satu kempen kesedaran kepada semua bagi menjaga kebersihan persekitaran yang melibatkan rakan strategik, rakan kongsi dan komuniti. Tambahnya, pengisian program tersebut berkait rapat dengan aktiviti masyarakat setempat. "Semua usaha murni ini mestilah dijalankan secara berterusan dengan kerjasama semua pihak yang terlibat. "Penglibatan semua pihak dalam menyumbang barang buangan terpakai seperti sumber plastik, minyak masak terpakai dan tekstil secara berterusan bagi kegunaan komuniti untuk menghasilkan produk amatlah dialu-alukan," ujarnya lagi. Program tersebut merupakan anjuran oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Yayasan Hijau Malaysia(YHM) dan Impaclution Sdn. Bhd. dan telah disambut baik oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).  
28 Jun 24
406
400 Sertai Program Agensi Bersama Rakyat
400 Sertai Program Agensi Bersama Rakyat
Oleh : Azizah Mahmood  KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Hampir 400 orang penduduk  dalam DUN Wakaf Mempelam telah menyertai Program Agensi Kerajaan Bersama Rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kerajaan menawarkan pelbagai inisiatif dan bentuk-bentuk bantuan bersifat kebajikan kepada rakyat namun masih ramai  yang masih belum tahu mengenainya.  "Hari ini bila agensi turun, contohnya PERKESO yang menawarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sekiranya berlaku kemalangan luar jangka, ambiklah peluang  yang ada di depan kita hari ini untuk kita bersama menjaga diri kita dan keluarga, "KWSP sendiri menawarkan i-Suri  untuk suri rumah mendapat manfaat daripada caruman, " ujarnya.  Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian ketika merasmikan program tersebut yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN  Wakaf Mempelam di Kubang Parit di sini, baru-baru ini.  Program berkenaan diadakan dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(IMITS) dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja(KWSP). Turut di sertai agensi kerajaan lain saperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Agensi  Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Lembaga  Tabung Haji (TH), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). "Kami cukup berbesar hati menerima kunjungan dari pelbagai agensi kerajaan bagi memberi penerangan tentang inisiatif bagi setiap agensi begitu juga membantu untuk membuka akaun.  "Agensi -agensi ini bertindak sebagai pemberi maklumat kepada masyarakat tentang  peranan masing-masing  kerana banyak maklumat tidak sampai kepada golongan sasar terutamanya suri rumah," katanya lagi.
08 Jun 24
235
Program Pendidikan Kesihatan Tingkat Kesedaran Awal Masyarakat
Program Pendidikan Kesihatan Tingkat Kesedaran Awal Masyarakat
KUALA NERUS, 1 Jun-  Program pendidikan berkaitan kesihatan amat penting dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat agar mereka berusaha mencegah sesuatu penyakit dari peringkat awal. Ahli Parlimen Kuala Nerus yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Dato' Dr Alias Razak berkata, sebagai contoh risiko penyakit kronik dan tidak berjangkit (NCD) seperti sakit jantung, strok dan kencing manis perlu didedahkan kepada umum.  "Penyakit yang lambat dikesan akibatnya boleh menjadi sangat parah, menyebabkan rawatannya lebih rumit serta mengurangkan peluang untuk pulih sepenuhnya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Keluarga Sihat Komuniti Sejahtera peringkat Kuala Nerus yang berlangsung di Kompleks Tarbiyah At Takwa (KOMTAQ), di sini, hari ini. Program anjuran Lajnah Kesihatan Kuala Nerus dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) itu turut dimeriahkan dengan acara senamrobik, gotong-royong basmi aedes, pemeriksaan kesihatan dan ceramah kesihatan oleh Dr Nur Amirah Fazira Zulkifli ( Pegawai Perubatan Bahagian Sakit Puan) Hospital Sri Aman, Sarawak. Mengulas lanjut katanya, pemeriksaan kesihatan tahunan yang merangkumi ujian darah untuk kesihatan kardiovaskular, gula dalam darah serta ujian tekanan darah adalah penting. "Ujian darah membantu mengesan petanda dengan lebih awal, membolehkan seseorang mengetahui keadaan kesihatan dan menyiapkan diri, mengubah cara hidup termasuk mengamalkan pemakanan seimbang dan kerap bersenam bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit tertentu selain membolehkan doktor merawat tanda-tanda awal sebelum terlambat," katanya. Tambah beliau, pemeriksaan kesihatan juga perlu dilakukan bagi memantau dan mengesan masalah kesihatan sebelum menjadi lebih teruk, walaupun tanpa gejala kerana pemeriksaan dilakukan memungkinkan pengesanan awal serta intervensi. "Antara ciri penting saringan kesihatan pencegahan ialah maklumat yang diberikan. Apabila pesakit memahami keadaan kesihatan mereka serta risiko yang berkaitan, mereka menjadi lebih peka terhadap kesejahteraan sendiri," katanya.
01 Jun 24
214
35 Pelayar Antarabangsa Berlabuh di Kuala Terengganu
35 Pelayar Antarabangsa Berlabuh di Kuala Terengganu
23 May 24
106
Pasar Payang 1 Dijangka Buka Awal Julai
Pasar Payang 1 Dijangka Buka Awal Julai
Pasar Payang 1 dijangka akan mula beroperasi seawal bulan Julai, mengikut laporan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
20 May 24
139