lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Rezeki Berganda Menanti Nelayan Darat
Rezeki Berganda Menanti Nelayan Darat
Oleh: Syahida Nur Izzah Ariffin DUNGUN, 3 September- Jabatan Perikanan Negeri Terengganu melepaskan sebanyak 28,000 benih ikan ke Sungai Paka, Kampung Durian Mentangau di sini bagi memulihara dan meningkatkan sumber perikanan darat. Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, selain memastikan keterjaminan makanan, ia juga bertujuan menggalakkan aktiviti perikanan rekreasi dan eko-pelancongan di kawasan tersebut. “Pelepasan benih ikan yang dilakukan pada hari ini melibatkan tiga jenis spesies utama iaitu benih udang galah sebanyak 15,000 ekor, benih ikan lampam sungai sebanyak 10,000 ekor, dan benih ikan baung sebanyak 3,000 ekor.  “Keseluruhan kos untuk program ini adalah sebanyak RM12,350. Pelepasan ini diharapkan dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada nelayan darat yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan, penduduk setempat, serta pengusaha eko-pelancongan,” ujarnya. Beliau yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program tersebut, semalam. Sempena program berkenaan, seramai 46 orang nelayan darat di daerah Dungun yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan turut menerima bantuan berupa dua unit pukat tangsi daripada kerajaan negeri. Mengulas lanjut katanya, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu amat memandang serius terhadap isu pembanjiran ikan asing di perairan Malaysia. “Ikan asing ini dilihat sebagai ancaman yang mengganggu ekosistem semula jadi dan perlu ditangani dengan segera,” ujarnya. Justeru katanya, inisiatif tersebut diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh nelayan darat dan masyarakat setempat.   
03 Sep 24
469
Himpunan Pahlawan Melayu Platform Promosi Seni Silat
Himpunan Pahlawan Melayu Platform Promosi Seni Silat
Oleh: Che Wan Muhammad Abdul Hanis DUNGUN, 2 September- Himpunan Pahlawan Melayu yang berjaya mengumpulkan 60 persatuan perguruan silat dari seluruh daerah di negeri ini berupaya menjadi platform mempromosikan seni bela diri itu terutama kepada generasi muda. Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, himpunan tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk pesilat menunjukkan kemahiran mereka, tetapi juga sebagai usaha menggalakkan generasi muda memahami dan menghargai seni warisan bangsa. "Semoga generasi muda terus menghayati dan meneruskan legasi yang penuh dengan nilai-nilai murni, keberanian, dan jati diri ini.  "Bersama kita martabatkan silat, warisan agung bangsa kita," ujarnya ketika berucap merasmikan program tersebut yang diadakan sempena Karnival Smart Sura di Dewan Arena Merdeka di sini, baru-baru ini. Mengulas lanjut katanya, selain menjadi platform untuk mempamerkan keunikan dan kehebatan seni silat dari pelbagai perguruan, himpunan tersebut sebagai medium untuk memperkukuhkan ikatan persaudaraan di kalangan pesilat.  Pengajuran Himpunan Pahlawan Melayu oleh Pusat khidmat masyarakat DUN Sura itu dimeriahkan dengan pelbagai pertunjukan silat yang dipersembahkan oleh semua perguruan yang hadir, menampilkan variasi teknik dan gaya yang mencerminkan kekayaan seni mempertahankan diri Melayu. Antara yang hadir sebagai jemputan khas ialah Ruzaidi Abd Rahman, lebih dikenali sebagai Wak Didi yang terkenal dalam dunia persilatan.  Wak Didi juga berkesempatan mempersembahkan kebolehannya dalam silat, memukau penonton dengan kecekapan dan kemahiran beliau.
02 Sep 24
344
Projek Tebatan Banjir, Pemuliharaan Sungai Bernilai RM141.27 Juta Siap
Projek Tebatan Banjir, Pemuliharaan Sungai Bernilai RM141.27 Juta Siap
Kerajaan Negeri Terengganu pada hari ini menerima tiga projek siap membabitkan dua tebatan banjir serta satu pemuliharaan muara sungai bernilai RM141.27 juta.
20 Aug 24
267
Projek Tebatan Banjir, Pemuliharaan Sungai Bernilai RM141.27 Juta Siap
Projek Tebatan Banjir, Pemuliharaan Sungai Bernilai RM141.27 Juta Siap
DUNGUN, 19 Ogos - Kerajaan Negeri Terengganu pada hari ini menerima tiga projek siap membabitkan dua tebatan banjir serta satu pemuliharaan muara sungai bernilai RM141.27 juta Pelaksanaan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu merangkumi projek Tebatan Banjir Gong Kiat, Kuala Terengganu bernilai RM5.8 juta yang siap pada Januari 2022, manakala projek Tebatan Banjir Guntung Luar, Setiu bernilai RM3.22 juta pula siap Mei 2022. Sementara itu Projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka, Dungun yang menelan kos RM132.5 juta siap pada Mac lalu. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Mohd Zawawi Ismail berkata, mewakili kerajaan negeri beliau berterima kasih kepada kementerian terlibat serta JPS negeri yang telah berjaya menyiapkan tiga projek berimpak tinggi terbabit. "Alhamdulillah, dengan terlaksananya projek tebatan banjir di Kuala Terengganu dan Setiu, risiko kejadian banjir di kawasan yang itu dapat dikurangkan dan memberi keselesaan kepada penduduk setempat serta aktiviti mereka tidak lagi terjejas," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Perseketuan Kepada Kerajaan Negeri Terengganu di Rumbia Resort Villa Paka, di sini, hari ini. Terdahulu, mewakili Kerajaan Persekutuan, Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Mohd Zawawi telah menyaksikan majlis penyerahan tiga projek siap itu. Mengulas lebih lanjut, Zawawi berkata dengan projek pemuliharaan Sungai Paka pula risiko kerosakan bot-bot nelayan akibat dari muara cetek serta pukulan ombak dapat dikurangkan. "Selain daripada itu, penduduk di sekitar kawasan pantai berkenaan juga tidak lagi perlu risau dengan risiko hakisan pantai. "Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pihak terutama pihak kontraktor yang terlibat kerana telah berjaya menyiapkan projek-projek ini. "Ucapan terima kasih juga kepada semua yang turut menyumbang dan bekerjasama secara langsung atau tidak langsung dalam pelaksanaan projek-projek ini. "Semoga projek-projek yang diserahkan ini akan dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada penduduk sekitar dan saya yakin penduduk sekitar akan lebih selesa dan selamat berbanding dengan keadaan sebelum ini," kata beliau.   
19 Aug 24
992
28 Peserta Hadir Kursus Pemantapan Kemahiran Refleksologi
28 Peserta Hadir Kursus Pemantapan Kemahiran Refleksologi
Oleh : Ammaarsalehudin KUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Seramai 28 peserta telah terlibat dalam kursus Pemantapan Kemahiran Refleksologi kaki, Tangan dan Telinga dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dengan kerjasama Persatuan orang-orang Cacat Penglihatan (PERTIS) dan DQaseh Skill Academy. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, kursus yang diadakan selama dua hari itu sangat memberi manfaat untuk para peserta dalam meningkatkan kemahiran berkenaan. "Dengan kehadiran para peserta ini, pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program berlangsung termasuk latihan amali bagi memantapkan kemahiran masing-masing. "Tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya menamatkan kursus ini dan semoga dapat mengambil manfaat sepenuhnya." ujarnya ketika berucap semasa perasmian penutup program berkenaan, di sini, semalam. Turut hadir. ketua Pegawai Eksekutif YPU negeri, Afnida Aini Alwi, Pengerusi PERTIS, Mohd Fauzi Mansor, Pengarah Urusan DQaseh Skill Academy, Junaimaslinda Othman dan Pengerusi Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT, Fakhruddin Zakaria.  
19 Aug 24
95
18,600 Benih Spesis Ikan Asli Dilepaskan ke Sungai Dusun
18,600 Benih Spesis Ikan Asli Dilepaskan ke Sungai Dusun
Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) melepaskan 18,600 ekor pelbagai spesis benih ikan asli di perairan umum Sungai Terengganu, di Kampung Dusun, Telemong.
15 Aug 24
77
Jangan Jadikan Sidang Dewan Rakyat Platform Berpolitik
Jangan Jadikan Sidang Dewan Rakyat Platform Berpolitik
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Setiap Ahli Parlimen dalam negara ini diingatkan agar tidak menjadikan Persidangan Dewan Rakyat sebagai platform untuk berpolitik murahan sebaliknya kepentingan rakyat perlu diberikan tumpuan dan keutamaan. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, apa yang ingin didengari rakyat adalah perkara yang mendatangkan manfaat serta kebaikan buat mereka. "Sebenarnya saya sedar dan faham mereka (Ahli Parlimen) seramai 222 merupakan orang politik... Tetapi apabila masuk ke dalam dewan berbahas dengan baik jangan jadikan ia sebagai platform untuk menyampaikan modal politik. "Politik itu kita main di luar, yang kita hendak bincangkan dalam parlimen ini adalah isu rakyat yang seharusnya diutamakan," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya sempena Program Jelajah Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke Dewan Undangan Negeri di Semenanjung, di Wisma Darul Iman di sini, semalam. Turut hadir, Yang di-Pertua DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah dan Timbalannya, Khazan Che Mat. Mengulas lebih lanjut Johari berkata, cadangan memendekkan tempoh perbahasan di Parlimen dengan dihadkan kepada tiga minit pada pandangan beliau ia relevan bagi memastikan setiap perkara yang dibahaskan tidak meleret panjang. "Sebenarnya kalau pergi ke parlimen-parlimen luar negara seperti Eropah masa yang diberikan hanya tiga minit, di England tanpa ada kerusi dan meja dia boleh bercakap dalam masa seminit. "Tidak bermakna tidak boleh berucap, ketika dibincangkan tentang bajet setiap orang saya pernah bagi sampai 15 minit begitu juga dengan waktu-waktu tententu khususnya yang berhubung di peringkat jawatankuasa atau ada isu-isu tertenu saya maksimumkan kepada lima minit. "Jangan berbunga-bunga dengan pantun sehingga berpantun sahaja cecah 20 minit, jadi jenuhlah kita kena ingat setiap minit kita berada dalam dewan itu merupakan masa rakyat," ujarnya.  
13 Aug 24
193
Jangan Biar Anak Terlalu Bebas, Dikhuatiri Terperangkap 'Dadah Sintetik'
Jangan Biar Anak Terlalu Bebas, Dikhuatiri Terperangkap 'Dadah Sintetik'
SETIU, 13 Ogos- Ibu bapa di negeri ini disaran agar tidak memberikan kebebasan kepada anak remaja terutama yang masih berada di bangku sekolah kerana dikhuatiri akan terlibat dengan gejala penagihan dadah sintetik yang kini kian menular dan menjadi trend. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, sikap sambil lewa dan mengabaikan anak-anak menjadi punca remaja mudah terlibat dengan perkara itu. Katanya, masalah itu bolrh menjadi faktor kepada keruntuhan institusi kekeluargaan. "Kesan kepada penglibatan remaja dalam gejala penagihan dadah jenis sintetik (tiruan) ini boleh menyebabkan kemusnahan bukan hanya kepada diri dia sahaja, tetapi akibat akal yang rosak pelaku akan bertindak lebih ganas termasuk sanggup membunuh dan membawa kepada bencana lain. "Jadi gangguan ini akan menyebabkan kemusnahan dalam institusi keluarga, masyarakat dan akan menghakis kebahagian. "Jadi anak-anak ini perlu dibentuk dari awal oleh ibu dan ayah kerana mereka membesar dari bayi sehingga remaja adalah dalam keluarga, jadi ahli keluarga mesti memainkan peranan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa Program Jelajah Kebajikan 'Jalinan Kasih Tautan Budi' Peringkat Daerah Setiu, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, hilang pantauan daripada ibu bapa akan lebih memburukkan keadaan untuk terlibat dengan gejala yang tidak bermoral itu. "Saya suka nasihatkan kepada semua jangan beri kebebasan kepada anak-anak, jagalah mereka. "Kerana apabila anak-anak terlalu bebas jadi mereka akan mengisi kelompongan masa dengan pengisian yang akan merosakkan diri. "Adalah lebih baik jika kita pastikan anak-anak kita ini luangkan waktu bersama kita dan keluarga dengan melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan suka menghabiskan masa di rumah demi kebahagian bersama," ujarnya.
13 Aug 24
189
Usaha Mencari Dua Lagi Mangsa Bot Karam Dipertingkatkan
Usaha Mencari Dua Lagi Mangsa Bot Karam Dipertingkatkan
KEMAMAN, 12 Ogos - Pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk keberadaan dua mangsa bot karam yang masih hilang dalam tragedi yang melibatkan bot nelayan dan sebuah tongkang di perairan Kemaman di sini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, beliau telah menerima makluman dimana pihak agensi kerajaan seperti Polis, Bomba dan Maritim telah menggandakan usaha bagi mengesan dua lagi mangsa yang hilang termasuk di lokasi bot karam. "Setakat ini kita belum menemukan petunjuk mangsa yang hilang dan pihak berwajib sedaya upaya akan mencari cara terbaik untuk mengesan dua lagi mangsa yang belum dijumpai. "Untuk pencarian hari ini, saya difahamkan pihak bomba turut menggunakan unit udara untuk membuat tinjauan di lokasi kejadian dan sekitarnya," ujarnya kepada pemberita. Katanya lagi, perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Sebelum ini, dua mangsa ditemukan lemas manakala dua lagi masih hilang apabila bot dinaiki sembilan penumpang termasuk dua tekong karam dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi Ahad.  
12 Aug 24
182
Nahas Bot Karam, Kerajaan Negeri Hulur Bantuan
Nahas Bot Karam, Kerajaan Negeri Hulur Bantuan
KEMAMAN , 11 Ogos - Kerajaan negeri turut membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian bot nelayan berlanggar dengan tongkang, pagi tadi. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata beliau telah memastikan semua agensi kerajaan yang terlibat seperti Polis, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Maritim dan Pejabat Daerah Kemaman dapat melaksanakan tugasan masing-masing dengan baik. "Pihak kami telah menyediakan beberapa bentuk bantuan kepada mangsa yang ditemui. Pertama, kami telah menyediakan sebuah rumah tumpangan untuk mereka tinggal sementara waktu. "Kita juga telah menyediakan pakaian baru, peralatan mandian, selipar dan sebagainya. Dalam masa yang sama, kami juga turut menyediakan makanan kepada mereka. "Dalam masa sama memastikan keperluan mereka mencukupi sementara menunggu pihak berwajib dapat menyelesaikan perkara ini dengan sebaiknya," ujarnya ketika ditemui di lokasi. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian sekitar jam 6.30 pagi itu berlaku pada jarak tujuh batu nautika atau 13 kilometer (km) dari kawasan perairan Kuala Kemaman. Menurutnya, bot tersebut dikatakan membawa sembilan penumpang termasuk tekong, kru dan pelancong berusia lingkungan 23 hingga 79 tahun untuk memancing. "Penumpang bot terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan berasal dari Raub, Pahang dan Gombak, Selangor. "Setakat ini, lima mangsa selamat, dua ditemui lemas dan dua lagi masih belum ditemui," ujarnya. Operasi pencarian mangsa yang masih hilang dihentikan jam 7.00 malam dan akan bersambung esok.
12 Aug 24
831