lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Anugerah Syawal Buat Para Nelayan Di Muara Kuala Ibai
Anugerah Syawal Buat Para Nelayan Di Muara Kuala Ibai
Oleh : Akid Hafriz KUALA TERENGGANU, 3 Jun – Proses pendalaman secara sementara muara Sungai Kuala Ibai untuk membuka laluan baharu akhirnya selesai dan memudahkan para nelayan turun ke laut. Ketua Jaringan Perikanan, Mohd Din Arifin, kerja-kerja pengorekkan pasir tersebut merupakan proses sementara sebelum memulakan proses penuh yang melibatkan penggunaan mesin ‘Hydraulic Pump’ untuk menyedut pasir-pasir bagi mengekalkan kedalaman muara tersebut. “Saya mengucapkan terima kasih atas komitmen yang diberikan oleh semua pihak dalam menjaga kebajikan para nelayan di sini. “Dengan adanya laluan baharu ini, laluan menjadi lebih dekat dan kami para nelayan tidak perlu lagi ‘liung’ (pusing jauh) untuk pergi ke laut,” katanya ketika ditemubual oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini di lokasi tersebut. Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi bersama wakil pegawai daripada Parlimen Kuala Terengganu, Zulkifli Wahab telah hadir ke lokasi tersebut bagi melihat sendiri keadaan muara di sana yang kian cetek. Wakil rakyat itu memutuskan proses pengorekkan pasir dilaksanakan pada 16 Mei yang lalu sebagai langkah penyelesaian jangka pendek kepada nelayan setempat.
01 Jul 20
353
Kematian Pertama Akibat Keracunan Puding Buih
Kematian Pertama Akibat Keracunan Puding Buih
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Mangsa keracunan puding buih yang dibeli secara atas talian pada 22 Mei lalu dilaporkan meninggal dunia pukul 10.40 pagi tadi. Gadis berusia 25 tahun dari Marang itu menghembuskan nafas terakhir selepas menerima rawatan selama 10 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Kematiannya dipercayai berpunca daripada kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis. Difahamkan beberapa ahli keluarganya turut dirawat di HSNZ kerana mengalami keracunan makanan yang sama. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak yang dihubungi sebentar tadi mengesahkan kematian pertama akibat puding terbabit. Katanya, siasatan terperinci dan tindakan lanjut telah dikenakan ke atas peniaga puding buih berkenaan. “Bagi pihak kerajaan negeri kami bersimpati dengan tragedi terbabit dan kita harap mereka tabah dan sabar. “Kita ingatkan kepada orang ramai terutama peniaga dan pengendali makanan agar lebih berhati-hati kerana ia melibatkan keselamatan dan boleh mengancam nyawa,” katanya. Tegas beliau, kerajaan juga telah merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada peniaga yang menjual makanan dari rumah supaya lebih menitikberatkan aspek kebersihan kerana ia membabitkan nyawa. “Walaupun ia merupakan kes yang berisiko kepada sesiapa sahaja ia juga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya lagi. Minggu lalu, seramai 99 mangsa dikejarkan ke HSNZ apabila mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli secara atas talian.
01 Jul 20
125
Cakna Keberadaan Anak-Anak Dalam Tempoh PKPB – Zuraida
Cakna Keberadaan Anak-Anak Dalam Tempoh PKPB – Zuraida
Oleh : Syazwana M.Zohir KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Ibu bapa disaran untuk mengambil tahu keberadaan anak-anak mereka terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, pandemik COVID-19 telah mengakibatkan penutupan pusat pengajian seperti institut pengajian tinggi dan sekolah. Menurutnya, keadaan ini menyebabkan kesemua anak-anak pulang berkumpul di kediaman keluarga masing-masing. “Disebabkan PKPB ini, anak-anak kita tidak dapat meneruskan sesi pembelajaran dan apabila tidak ke sekolah maka banyaklah masa terluang mereka. “Kita khuatir sekiranya anak-anak ini menyalahgunakan masa lapang mereka untuk perkara yang tidak bermanfaat dan lebih teruk sekiranya perkara tersebut mendatangkan kemudaratan kepada mereka,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin. Zuraida turut menzahirkan kesedihannya atas pemergian seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, Nur Nazihah Mohd Sabri yang meninggal dunia akibat disengat tebuan di Dungun serta atas pemergian tiga beradik, Khalif Naim Mohd, Khairil Firdaus dan Umar Iskandar yang lemas di Kuala Telemong. “Sedih dan pilu apabila mengenangkan anak-anak yang susah-payah kita besarkan, tiba-tiba terbujur kaku, pergi menghadap penciptanya dalam sekelip mata. “Memanglah sudah begitu takdir yang disuratkan untuk mereka tetapi kita yang masih hidup ini, kenalah ambil pengajaran. Jangan biarkan anak-anak kita pergi ke mana-mana tanpa pengawasan orang dewasa,” katanya. Zuraida mengingatkan ibubapa bahawa tragedi kehilangan nyawa seperti ini boleh dielakkan sekiranya mereka sentiasa peka akan lokasi dan aktiviti anak-anak. Beliau yang berkesempatan menziarahi keluarga mangsa lemas berkenaan turut menyampaikan sedikit sumbangan dan  hadir sama dalam ziarah tersebut juga ialah Ahli Dewan Negara, Senator Nuridah Mohd Salleh.
01 Jul 20
74
20 Unit Rumah PPTS Bakal Dibina Di Taman Rahmat Tahun Ini
20 Unit Rumah PPTS Bakal Dibina Di Taman Rahmat Tahun Ini
MARANG, 2 Jun – Sebanyak 20 unit rumah di bawah Skim Projek Perumahan Terengganu-ku Sejahtera (PPTS) bakal dibina di Perkampungan Taman Rahmat di sini, tahun ini. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Samiun Salleh berkata, pembinaan perumahan secara berkelompok yang lebih selesa di kawasan tersebut bertujuan menjamin kehidupan golongan yang kurang bernasib baik dan mempunyai masalah tempat tinggal seperti orang miskin, orang kelainan upaya (OKU) serta ibu tunggal bermasalah. Katanya, projek pembinaan rumah baharu di Taman Rahmat seperti yang dirancang adalah sebanyak 50 buah unit rumah secara berperingkat. “Fasa pertama pembinaan pada tahun 2014 dimana 10 buah rumah kayu telah dirobohkan dan telah dibina rumah model Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di tapak asal. “Majlis penyerahan kunci hari ini pula adalah binaan 10 unit rumah model PPRT fasa kedua di tapak baru yang mula dibina pada tahun 2018 dan dikenali sebagai PPTS dan tahun ini, kita akan laksanakan pembinaan 20 unit rumah lagi,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah PPTS Taman Rahmat yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pulau Kerengga, hari ini. Sementara itu, seorang penerima, Puteh Embong, 60, tidak menduga dapat tinggal bersama dua anaknya di rumah yang lebih selesa. “Saya sangat gembira dan bersyukur dengan rezeki ini memandangkan rumah lama telah uzur serta banyak kerosakan. “Jika tidak ada program seumpama ini, mana mungkin golongan tidak berkemampuan seperti saya dapat tinggal di rumah yang lebih selesa," ujarnya yang merupakan OKU fizikal yang telah kematian suami empat tahun lalu.
01 Jul 20
425
Medan Selera Jerteh Mula Beroperasi
Medan Selera Jerteh Mula Beroperasi
Oleh : Muhd Afiq Zohir BESUT, 1 Jun - Medan Selera Jerteh mula beroperasi pada hari ini setelah mendapat kebenaran oleh pihak kerajaan negeri semalam. Pengurus Medan Selera Jerteh, Wan Asriazwa Wan Husain berkata, sebelum ini ramai peniaga menghadapi kesukaran dan dugaan untuk mencari rezeki akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac yang lalu. “Kebenaran untuk semua premis makanan beroperasi oleh pihak kerajaan memberi rasa lega kepada peniaga yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19. "Pengumuman dan usaha oleh pihak kerajaan negeri Terengganu disambut baik peniaga iaitu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, di sini, pada hari ini. Menurutnya, Medan Selera Jerteh merupakan tumpuan orang awam kerana kedudukannya terletak ditengah-tengah Bandar Jerteh. Wan Asriazwa juga menyarankan agar semua pengunjung medan selera mematuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak pengurusan. “Orang awam diingatkan agar sentiasa menjaga jarak sosial antara satu sama lain dan sentiasa memakai topeng pelindung hidung dan mulut bagi memastikan penularan wabak tidak tersebar," tambah beliau.
01 Jul 20
449
200 Penerima Terima Bantuan Keperluan Asas
200 Penerima Terima Bantuan Keperluan Asas
Oleh: Norekwan Mamat BESUT, 1 Jun - Seramai 200 rakyat di Mukim Tenang dan Hulu Besut yang kurang berkemampuan telah menerima keperluan asas sempena Hari Raya Aidilfitri. Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut Ustaz Mat Daik Mohamad berkata, sumbangan itu telah disampaikan kepada mereka sebelum Aidilfitri, minggu lalu. "Terima kasih kepada penyumbang, sumbangan ini adalah amat bermakna kepada mereka yang memerlukan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita semalam, 31 Mei. Turut hadir ialah wakil daripada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap pimpinan NGO Pekerti Ustaz Zamani Al Besuty dan Pegawai Penyelaras Dun Jerteh Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad. Menurutnya, sumbangan itu diagihkan kepada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing sebanyak 10 bungkusan barangan untuk dibahagikan kepada penerima. "Alhamdulillah, saya percaya selama ini setiap apa sumbangan yang diterima oleh MPKK, akan diagihkan kepada mereka yang betul-betul layak menerima," ujar Mat Daik. Sumbangan keperluan asas itu telah disumbangan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan serta Ekonomi Rakyat Terengganu (PEKERTI).  
01 Jul 20
167
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Lafaz syukur itu diluahkan pesakit yang sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Azura Sulong, ketika menerima bantuan keperluan dan wang tunai daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, di kediamannya semalam. Beliau merupakan antara penduduk DUN berkenaan yang mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, untuk menerima bantuan bagi meringankan kos rawatannya. Pegawai Khas ADUN Ladang, Zaim Azfar mewakili wakil rakyat itu bersama beberapa orang pegawai Pusat Khidmat DUN hadir menziarahi Azura serta menyampaikan bantuan sempena Ramadan kepada individu-individu terpilih yang memerlukan. "Rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) memerlukan kos yang tinggi dan semoga sumbangan ini dapat membantu menampung kos rawatan tersebut. “Sebagai Muslim, kita harus saling membantu kerana perumpamaan orang-orang Islam dalam berkasih sayang dan bersaudara adalah seperti tubuh. Jika salah satu anggota tubuhnya mengadu kesakitan maka anggota-anggota lain juga akan ikut merasakan panasnya dan tidak tidur malam," katanya. Dalam pada itu, Pusat Khidmat DUN turut menyampaikan sumbangan kepada tiga lagi individu yang diuji oleh Allah dengan kesakitan sebagaimana yang diamanahkan Tengku Hassan bagi membantu masyarakat di kawasannya.
30 Jun 20
36
Dakwaan Kes Positif COVID-19 Di Pasar Gong Pauh Palsu
Dakwaan Kes Positif COVID-19 Di Pasar Gong Pauh Palsu
KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Cerita tular di media sosial, Facebook dan aplikasi Whatsapp berhubung satu kes terbaharu positif COVID-19 di Pasar Borong Gong Pauh di sini adalah tidak benar. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Azimi Yunus menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menafikan kes yang didakwa membabitkan pemandu lori sayur dari Selayang itu. Sebaliknya kata beliau, saringan yang diadakan di pasar tersebut hari ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga dan proaktif Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk membendung wabak. “Pasar Borong Gong Pauh dipilih sebagai lokasi saringan kerana berisiko sebagai pusat penularan memandangkan ia adalah tempat tumpuan orang ramai dan bersesak dengan pengunjung,” tegasnya. Sehubungan dengan itu, Dr Azimi menasihatkan agar orang awam tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih kerana boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat. “Pihak jabatan juga menasihatkan orang ramai agar terus kekal di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun serta sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi “Di samping mengelakkan 3C iaitu ‘crowded places’, ‘confined spaces’ dan ‘closed conversations’ bagi memutuskan penularan COVID-19,” tambah beliau.
30 Jun 20
157
Semua Turun Padang Agih 700 Pek Sinar Ramadan
Semua Turun Padang Agih 700 Pek Sinar Ramadan
Oleh: Aslam Wira MARANG, 14 Mei - Beberapa jabatan dan agensi turut serta dalam satu program turun padang atau Sinar Ramadan yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang kelmarin. Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, beliau amat teruja dan seronok melihat kerjasama yang diberikan oleh jabatan-jabatan yang terlibat sepanjang program tersebut. “Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang telah menjemput beberapa jabatan seperti Pejabat Daerah Marang, Pejabat Polis Daerah Marang, Jabatan Kebajikan Daerah Marang dan Majlis Daerah Marang untuk bersama-sama mengagihkan barang sumbangan kepada mereka yang layak. “Kerjasama yang berlaku ini, menunjukkan kami sama-sama cakna lebih-lebih lagi melibatkan aktiviti seperti ini bagi menyelami kehidupan rakyat yang kurang berkemampuan,” ujarnya semasa ditemui pemberita. Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zaid Mat Dris, Pegawai Kebajikan Daerah Marang, Mardiah Mohamed, dan Setiausaha Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Nadia Zahira Zakaria. Menurut Wahad, program berkenaan merupakan program tahunan bersempena bulan Ramadan dan ia ditaja oleh Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Katanya, pek keperluan harian diagihkan kepada 700 orang penduduk yang layak di sekitar DUN Rhu Rendang mendapat kerjasama daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing. “Walaupun sambutan Ramadan dalam kekurangan kerana berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19, sumbangan ini tetap diteruskan bagi membantu mereka yang memerlukan. “Diharap sedikit sumbangan yang diagihkan ini dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan dalam menghadapi bulan Ramadan,” tambahnya lagi.
30 Jun 20
46
Terima Kasih Jururawat
Terima Kasih Jururawat
Oleh: Izzat Al Qushairi SETIU, 14 Mei - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit menghargai sumbangan besar barisan jururawat yang bertugas tanpa henti terutamanya ketika negara berdepan wabak COVID-19. Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, menyedari penat lelah mereka pihaknya telah memberikan sedikit penghargaan. "Sebanyak enam buah klinik di sini menerima kek sebagai tanda penghargaan atas usaha dan pengorbanan mereka. "Antaranya, Klinik Desa Bukit cempaka, Gong Lingai, Mengabang Telipot, Padang Polis, Wakaf Tengah dan klinik Hemodialisis Maras. "Ia juga sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Jururawat Sedunia kepada semua jururawat di Malaysia," katanya kepada pemberita semalam. Menurut beliau, sambutan Hari Jururawat di seluruh dunia juga pastinya memberikan motivasi kepada mereka untuk terus berjuang memerangi wabak pandemik. "Semoga sambutan Hari Jururawat Sedunia ini menjadi pemangkin semangat jururawat untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia," tambah beliau.
30 Jun 20
80