lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Ajar Ibu Ucap Syahadah Sebelum Tidur
Ajar Ibu Ucap Syahadah Sebelum Tidur
Oleh : Aziz Hambali MARANG, 21 – Menjadi rutin bagi Ahmad Hakim Mohamad, 25, menjenguk, mengajak bersembang dan mengajar ibunya mengucapkan kalimah syahadah hampir setiap masa. Pada masa sama, dia sanggup berjaga sehingga lewat malam demi menjaga ibunya yang sedang terlantar akibat sakit strok otak lebih tiga tahun lalu. Ahmad Hakim berkata, dia akan berjaga malam sehingga 2 pagi bagi memastikan lampin ibu sentiasa kering, selain menyediakan minuman susu khas. “Saya buat semua itu kerana sedar, ia adalah tanggungjawab sebagai anak, saya tidak mahu berjauhan dengan ibu yang memerlukan saya pada setiap masa. “Kerana ibu, saya turut memilih untuk berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual burger dan minuman di kawasan kampung,” katanya. Ahmad Hakim berkata demikian ketika ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman ketika Program Ziarah Bersama isteri Ahli Parlimen Marang (YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang), Y.Bhg To’ Puan Seri Hajjah Zainab Awang, kelmarin.
02 Jul 20
174
Pejabat Kesihatan Setiu Lancar Program Perangi Aedes
Pejabat Kesihatan Setiu Lancar Program Perangi Aedes
Oleh : Fahmi Izzuddin SETIU, 22 Jun – Pejabat Kesihatan Daerah ini melancarkan Program Gotong Royong bagi memerangi pembiakan nyamuk aedes walaupun Setiu hanya mencatatkan tiga kes denggi tahun ini berbanding tahun sebelumnya. Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Pejabat Kesihatan Daerah Setiu, Zainurin Abdullah berkata, meskipun berlaku penurunan terhadap kes demam denggi di Terengganu, pihaknya tetap mahu semua rakyat mengambil langkah berjaga-jaga. “Kempen amalan kebersihan norma baharu yang dijalankan ketika ini memfokuskan kepada tempat pembiakan nyamuk aedes di persekitaran rumah masing-masing. “Pejabat Kesihatan Daerah Setiu dan Majlis Daerah Setiu (MDS) bekerjasama sepenuhnya dalam memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes di setiap kampung, sampah sarap dikumpulkan dan pihak MDS akan melakukan kutipan,” katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman di Kampung Mangkok kelmarin. Menurutnya, program yang dijalankan secara berjadual merangkumi semua kampung itu amat penting dalam mengelakkan kes denggi menular di saat rakyat juga berdepan COVID-19. Penduduk disarankan untuk mengambil tindakan kendiri dalam memastikan tahap kebersihan di tahap yang terbaik. “Peranan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) digerakkan bagi menyebar luas maklumat dan hebahan semasa mengenai amalan kebersihan dalam memerangi aedes dan demam denggi,” tambah beliau. Untuk rekod, setakat bulan Jun tahun ini, sebanyak 176 kes denggi direkodkan berbanding 318 kes dalam tempoh sama tahun lalu dengan penurunan sebanyak 44.5 peratus. Kuala Terengganu merekodkan jumlah tertinggi dengan 99 kes diikuti Kemaman (19 kes), Kuala Nerus (17), Besut (14), Dungun (11), Marang (lapan) dan Hulu Terengganu (lima).  
02 Jul 20
406
ADUN Batu Buruk Santuni Para Nelayan
ADUN Batu Buruk Santuni Para Nelayan
Oleh: Akid Hafriz KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyertai aktiviti gotong-royong dan memasang unjang ikan di muara sungai Kuala Ibai bersama nelayan bot kecil di kawasan itu, semalam. Jelasnya, kunjungan beliau ke Jeti Kuala Ibai tersebut sebenarnya bagi mendengar sendiri isu-isu berbangkit berkenaan muara sungai dan masalah yang dihadapi para nelayan disana. Selain daripada beramah mesra bersama mereka, para nelayan disitu turut menerima sumbangan makanan keperluan asas daripada pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk serta Parlimen Kuala Terengganu. Ketua Jaringan Perikanan, Mohd Din Arifin mengucapkan terima kasih atas kecaknaan wakil rakyat itu terhadap kebajikan para nelayan bot kecil. "Ia sedikit sebanyak membantu memudahkan urusan dan permasalahan kami," katanya. Turut hadir, wakil pegawai Parlimen Kuala Terengganu, Zulkilfi Wahab dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Hujung Jambatan, Wan Mohd Danin Wan Ibrahim.
02 Jul 20
249
PKM Parlimen Kuala Terengganu Tempatkan Pegawai Urus 'Non-Muslim'
PKM Parlimen Kuala Terengganu Tempatkan Pegawai Urus 'Non-Muslim'
Oleh : Akid Hafriz KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah memperluas organisasi dengan menambah beberapa pegawai-pegawai bukan Islam dari kaum Cina dan India bagi menjaga hal kebajikan berkaitan masyarakat bukan Islam pelbagai kaum di kawasan berkenaan. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, pembaharuan tersebut bagi melicinkan pengurusan serta gerak kerja PKM di samping mencakupi ruang toleransi lebih luas antara kaum. “Jadi kita tidak perlu sering ke sana-sini untuk berbincang tentang kaum Cina, kita tidak perlu sana-sini untuk berbincang keperluan kaum India, semuanya ada di sini,” katanya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata demikian pada sidang media sejurus merasmikan Majlis Perasmian dan Solat Hajat bersempena pembukaan tambahan pejabat baharu bagi PKM Ahli Parlimen Kuala Terengganu, semalam. Turut hadir, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said. Jelasnya, banyak bantuan diproses dan disalurkan sepanjang kemelut COVID-19 menyebabkan kesesakan dalam ruang pejabat sedia ada dan kekurangan itu perlu diperkemaskan. "Kita rasakan satu keperluan untuk memperbesarkan Pejabat Pusat Khidmat ini supaya urusan lebih lancar. "Sebentar tadi kita telah mengadakan solat hajat bagi memohon keberkatan daripada Allah SWT agar gerak kerja di Pusat Khidmat ini berjalan dengan sempurna dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat khususnya di Kuala Terenganu,” katanya. Hadir sama dalam Majlis Perasmian serta Solat Hajat tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah dan ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.  
02 Jul 20
346
Pembinaan Rumah Mampu Milik Tempinis Kembali Rancak
Pembinaan Rumah Mampu Milik Tempinis Kembali Rancak
Oleh : Hidayah Azlin SETIU, 14 Jun - Projek pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Tempinis, Jabi kini kembali aktif setelah tertangguh sejak beberapa bulan lalu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek pembinaan itu mensasarkan 100 unit RMM dalam bentuk rumah teres yang bernilai RM80,000 seunit. “Projek yang dilaksanakan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menelan kos RM140 ribu seunit tetapi dijual kepada rakyat dengan harga hanya RM80,000 sahaja seunit. “Ini bermakna setiap unit diberikan subsidi sebanyak RM60,000 oleh kerajaan negeri. Ia merupakan satu jumlah yang agak besar,” katanya selepas melawat tapak projek RMM berkenaan semalam. Menurut beliau, idea projek rumah bercirikan mesra syariah pertama di Terengganu itu dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Januari lalu dan ia dibina di atas tanah berkeluasan 9.5 ekar. “Inilah antara isu dan cabaran terbesar kerajaan negeri iaitu bagi menyediakan kemudahan rumah mampu milik kepada rakyat. Keperluannya adalah sangat mendesak. “Kita tidak mahu bina rumah mampu lihat. Dimaklumkan ratusan ribu permohonan rumah mampu milik daripada rakyat telah diterima kerajaan,” jelasnya lagi. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, terdapat beberapa lokasi tapak RMM di Jabi sedang dalam proses pemwartaan tanah dan akan dilaksanakan pembinaan melalui konsep penswastaan. “Melihat kepada terhadnya tanah kerajaan yang boleh dijadikan tapak RMM di Jabi, saya telah mencadangkan kepada pemaju yang berminat untuk membina RMM secara bertingkat agar lebih ramai rakyat mendapat manfaat. “Apabila dibuat tinjauan, nampaknya idea untuk orang Jabi duduk rumah pangsa tiga atau empat tingkat boleh diterima umum. Yang penting kita ada rumah. “Saya berharap usaha ini dipermudahkan Allah dan doakanlah semoga kerja besar ini berjaya,’’ tambahnya.
02 Jul 20
1243
Pusat Khidmat DUN Batu Buruk Agih 4,500 Lauk Berbuka
Pusat Khidmat DUN Batu Buruk Agih 4,500 Lauk Berbuka
Oleh: Akid Hafriz KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Sebanyak 4,500 pek lauk berbuka puasa diagihkan  Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk kepada masyarakat setempat melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat. Menurut ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi agihan tersebut merupakan antara program kebajikan yang dirancang sempena Ramadan tahun ini. "Peringkat pertama kita telah agihkan barangan dapur, manakala di peringkat kedua, kuih raya dan kali ini kita agihkan lauk. "Saya mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang terutama pihak masjid di dalam DUN ini yang sudi bersama dalam program kebajikan ini," katanya ketika ditemu bual Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di kediamannya, semalam. Jelasnya, sebanyak lima ekor lembu dan seekor kerbau telah disembelih bagi menjayakan program itu.
02 Jul 20
139
Singgah Sahur Rai 60 'Pak Guard'
Singgah Sahur Rai 60 'Pak Guard'
Oleh: Izzat Al-Qushairi SETIU,15 Mei - Program singgah sahur yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit semalam meraikan 60 pengawal keselamatan atau 'Pak Guard' yang bersengkang mata menjaga keselamatan premis awam. Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, antara destinasi yang dikunjungi adalah sekolah, kawasan tangki air, kuari, Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).  "Jika sebelum ini, edaran pek makanan sahur diagihkan kepada petugas dan anggota di balai polis dan balai bomba, namun pada kali ini sedikit kelainan dibuat dengan meraikan mereka yang bertugas di belakang tabir dalam menjaga keselamatan syarikat dan masyarakat. "Ini merupakan kali keenam kami mengagihkan juadah sahur dan berharap program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang agar hubungan di antara pemimpin DUN dengan penjaga keselamatan di sini dapat dieratkan lagi," katanya kepada media. Program turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS DUN Batu Rakit, Mohd Khairul Nizam Mohd Rozali dan Timbalannya, Hadiyallah Alias@Manaf. Sementara itu, Shafizi berkata, program itu adalah salah satu tanggungjawab Pusat Khidmat Masyarakat DUN berkenaan untuk menjaga kebajikan rakyat setempat. "Semoga sedikit usaha ini juga mampu memberi kemudahan kepada mereka untuk bersahur. "Kita bantu sekadar yang termampu agar semua yang berada di Batu Rakit dapat berpuasa dengan baik," tambah beliau.
02 Jul 20
85
Hanafiah Rai 597 Jururawat
Hanafiah Rai 597 Jururawat
Oleh: Ahmad Ezani Razali KEMAMAN, 14 Mei - Seramai 597 orang jururawat yang bertugas di seluruh Kemaman melibatkan jururawat di Hospital Besar Kemaman, Klinik Kesihatan dan Klinik Desa diraikan, kelmarin. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat turut menyampaikan kek dan cenderahati untuk diagihkan kepada semua jururawat. Katanya, ia bertujuan meraikan mereka yang juga barisan hadapan dalam perjuangan membendung wabak COVID-19 seiring sambutan Hari Jururawat 2020 yang disambut pada 12 Mei. "Hari ini saya hadir sebagai tanda menghargai kecaknaan, komitmen dan kesabaran yang sangat tinggi oleh seluruh jururawat. "Mereka telah menghabiskan banyak waktu di hospital setiap hari bagi merawat serta melayani kerenah pesakit," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan semua jururawat di Hospital Besar Kemaman dan Klinik Kesihatan Batu 2 1/2. "Bertugaslah dengan ikhlas kerana Allah SWT dan saya mendoakan agar semua diberikan ganjaran serta kebaikan di atas segala yang telah mereka kerjakan," ujarnya lagi.
02 Jul 20
45
Ibu Akur Anak Tidak Dapat Pulang Disebabkan PKPB
Ibu Akur Anak Tidak Dapat Pulang Disebabkan PKPB
Oleh: Amirullah / Adli DUNGUN, 14 Mei - Seorang ibu, Munah Kassim, 66, terpaksa menanggung rindu apabila anak yang bekerja di ibu kota tidak dapat pulang seperti selalu kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Namun begitu, dia akur dengan larangan rentas negeri dilaksanakan kerajaan itu bagi mengekang berlakunya penularan wabak COVID-19. "Pada kebiasaan anak-anak makcik balik apabila tibanya Ramadhan dan hari raya, pada tahun ini terpaksa akur dengan norma baharu. "Memang perasan rindu itu amat mendalam, tetapi makcik tahanlah, semoga Allah panjangkan umur makcik dapatlah bertemu lagi anak-anak makcik dimasa akan datang, tidaklah makcik pergi (meninggal) menahan perasaan rindu," ujarnya kepada pemberita selepas menerima sumbangan oleh pelaksana agihan bantuan, Skuad Kebajikan Ahli Parlimen Dungun. Munah merupakan diantara 112 penerima sumbangan di Hulu Dungun. Turut serta dalam program agihan itu Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
02 Jul 20
40
Rumah Terbakar, Hanya Sempat Alihkan Motor
Rumah Terbakar, Hanya Sempat Alihkan Motor
Oleh: Adli Mohamad DUNGUN, 14 Mei - "Saya cuma sempat alihkan sebuah motor, semua harta benda lain musnah tidak dapat diselamatkan," ujar Mohd Farhan, 25. Dalam kejadian yang berlaku di Kampung Dendang petang semalam, Mohd Farhan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah keluarganya musnah terbakar dijilat api. Menurut Mohd Farhan, ketika kejadian dia sedang berehat di dalam rumah dan tersedar apabila api mula marak. "Saya panik dan segera keluar rumah menyelamatkan diri, hanya saya seorang yang berada di rumah ketika kejadian kerana ayah pergi ke Dungun. "Jiran-jiran segera datang dan menghulurkan bantuan, saya ketika itu tidak dapat menghubungi sesiapa pun kerana telefon tertinggal didalam rumah yang terbakar," ujar yang merupakan salah seorang anak kepada pemilik kediaman, Maznon Abdul Rani. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di tapak kebakaran, hari ini. Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ketika dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan, beliau baru keluar dari pejabat. "Saya segera bergegas ke tempat kejadian dan membuat panggilan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat. "Kita turut adukan perkara ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta tindakan segera pihak kita dengan mewujudkan tabung  bencana kilat," ujarnya. "Buat sementara waktu ini, mereka sekeluarga ditawarkan untuk tinggal di rumah Timbalan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dendang, Ibrahim Omar. Dalam pada itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Zulhusni Abdul Rahman mengesahkan  mengenai kebakaran yang berlaku.
02 Jul 20
58