lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

28 Guru PASTI Kuala Besut Terima Sumbangan
28 Guru PASTI Kuala Besut Terima Sumbangan
BESUT, 10 Mac - Dalam meraikan bulan Ramadan yang diberkati, seramai 28 orang guru Pusat Asuhan Tunas Islam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut telah menerima sumbangan daripada ADUN setempat, Azbi Salleh. Menurutnya sumbangan itu disampaikan dalam satu majlis iftar yang diadakan di Kedai Makan Rumbia, Kampung Raja, semalam sebagai menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru yang berkhidmat di lapan buah PASTI dalam kawasan terbabit. "Sumbangan yang diberikan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru yang telah berusaha keras dalam mendidik anak-anak di DUN Kuala Besut. "Majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk berbuka puasa bersama, tetapi ia juga merupakan ruang untuk berkumpul dan saling bertukar pandangan mengenai perkembangan pendidikan PASTI. "Kita melihat para guru begitu teruja dan bersemangat menerima sumbangan ini, yang diharapkan dapat membantu mereka dalam menjalankan tugas mendidik dengan lebih baik,"katanya. Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis iftar ini  yang turut dihadiri oleh Pegawai Khas ADUN Kuala Besut,Mohd Sulaiman, Pengerusi PASTI Kawasan Besut, Muhammad Himli Hamdan di sini semalam. Dalam pada itu, Azbi mengharapkan agar guru-guru PASTI akan terus bersemangat menjalankan amanah dengan penuh dedikasi. "Demi mendidik anak-anak bangsa serta memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan pendidik di kawasan ini,"ujar beliau.  
10 Mar 25
264
ADUN Wakaf Mempelam Teruskan Tradisi Berbuka Puasa di Rumah Penduduk
ADUN Wakaf Mempelam Teruskan Tradisi Berbuka Puasa di Rumah Penduduk
KUALA TERENGGANU, 9 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah meneruskan tradisi berbuka puasa di rumah penduduk dengan memilih kediaman Ahmad Abd Rahman di Kampung Pak Pa sebagai lokasi pertama kunjungannya sempena Ramadan tahun ini. Ahmad, 64, yang mempunyai 12 orang anak, meluahkan rasa terharu kerana ini merupakan kali pertama seorang wakil rakyat datang berbuka puasa di rumahnya. “Saya tidak pernah menyangka Yang Berhormat (YB) sudi datang ke rumah kami untuk berbuka puasa. Bila dimaklumkan tentang perkara ini, saya dan keluarga sangat mengalu-alukan kehadiran beliau. Saya juga terkejut apabila diberitahu bahawa kami tidak perlu menyediakan apa-apa juadah kerana semuanya telah disediakan termasuk makanan dan minuman,” katanya. Dalam kunjungan tersebut, Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri membawa tiga set nasi beriani untuk dikongsi bersama tuan rumah serta menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan dapur dan wang tunai kepada keluarga Ahmad. Menurut beliau, tradisi berbuka puasa bersama rakyat yang telah diamalkan sejak empat tahun lalu ini bukan sekadar untuk menikmati juadah bersama masyarakat, tetapi juga sebagai usaha untuk mendekati dan memahami kehidupan seharian mereka dengan lebih dekat. “Saya sangat menyukai cara ini kerana ia memberi peluang untuk merasai pengalaman berbuka puasa di rumah rakyat. Ia bukan sahaja satu cara meraikan mereka, tetapi juga meninggalkan kenangan manis buat tuan rumah serta diri saya sendiri,” katanya. “Pengalaman saya sebelum ini bila turun berbuka di rumah penduduk, saya bukan sahaja dapat menikmati juadah bersama mereka, tetapi juga berpeluang melihat sendiri jika ada dalam kalangan ahli keluarga mereka yang kurang sihat dan memerlukan bantuan,” tambahnya. Beliau memaklumkan bahawa sebanyak 12 rumah akan dikunjungi sepanjang bulan Ramadan ini, dengan keutamaan diberikan kepada keluarga kurang berkemampuan dan yang mempunyai anak ramai. Turut mengiringi beliau dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pak Pa, Jafri Mohamad. Sebelum berbuka puasa, Wan Sukairi turut meluangkan masa bertemu dengan kira-kira 50 penduduk kampung bagi bertanya khabar dan berkongsi rezeki dengan menyampaikan kuih-muih sebagai juadah berbuka puasa.
09 Mar 25
294
ADUN Kuala Besut Agih 8000 Kotak Kurma Semarakkan Ramadan
ADUN Kuala Besut Agih 8000 Kotak Kurma Semarakkan Ramadan
BESUT,6 Mac  – Bagi memaknai Ramadan pada kali ini sekali gus menyemarakkan bulan yang penuh keberkatan ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh telah mengagihkan sebanyak 8000 kotak kurma kepada 37 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat. Katanya, inisiatif yang dijalankan itu bagi memastikan kurma itu dapat diagihkan kepasa setiap penduduk kampung di Kuala Besut bagi memastikan Ramadan dapat disambut dengan penuh keberkatan. "Buah kurma adalah simbolik kepada bulan puasa dan diharapkan dengan pengagihan ini akan dapat membantu meringankan beban penduduk kampung dalam menyediakan juadah untuk berbuka puasa. "kami ingin memastikan setiap keluarga di Kuala Besut ini dapat menikmati bulan yang penuh keberkatan ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran,"ujarnya. Beliau berkara demikian pada majlis pengagihan kurma tersebut di Dewan Sivik Kampung Baharu, di sini, hari ini. Dalam pada itu Azbi turut menekankan akan pentingnya jalinan kerjasama antara pihak kerajaan dan masyarakat agar apa jua yang dirancang untuk manfaat rakyat akan dapat dilaksanakan dengan sempurna. "Dengan langkah ini, diharapkan semangat kebersamaan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat dapat diperkukuhkan, serta menjadikan bulan Ramadan sebagai waktu untuk memperbanyakkan amal dan kebaikan. "Saya berjanji akan terus berusaha untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga dan akan melaksanakan lebih banyak program seumpama ini di masa hadapan,"ujarnya.
06 Mar 25
162
Bil Hospital Percuma, Terima Kasih Kerajaan Terengganu
Bil Hospital Percuma, Terima Kasih Kerajaan Terengganu
MARANG, 5 Mac - Seorang penduduk Kampung Bukit Cempedak pada mulanya runsing memikirkan kos rawatan isterinya yang melalui pembedahan Cyst perlu dibayar, tetapi rupanya percuma untuk wad kelas ketiga. Rusdi Abdullah yang menetap di Kampung Bukit Cempedak berkata, isterinya yang melakukan pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah terpaksa tinggal dalam wad selama enam hari.  "Pada mulanya saya sangka dalam bab pembedahan ni ada jugalah kena bayaran, Alhamdulillah, setakat ni tidak dikenakan apa-apa bayaran. "Saya dengar kalau kerajaan Terengganu tak tanggung, mungkin kena dalam RM200 lebih, tapi oleh kerana kerajaan tanggung, semuanya percuma. "Terima kasih kerajaan Negeri Terengganu kerana prihatin kepada rakyat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini. Difahamkan, hanya di Terengganu sahaja wad kelas ketiga percuma kerana bayarannya telah ditanggung oleh kerajaan negeri Terengganu berbanding negeri lain yang masih mengenakan bayaran di hospital kerajaan negeri masing-masing.    
06 Mar 25
302
35 Pengerusi JPKK DUN Wakaf Mempelam Terima Watikah Pelantikan
35 Pengerusi JPKK DUN Wakaf Mempelam Terima Watikah Pelantikan
KUALA TERENGGANU, 5 Mac- Seramai 35 pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Wakaf Mempelam bagi penggal 2025/2026 telah menerima watikah pelantikan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah dalam satu majlis rasmi yang diadakan hari ini. Dalam ucapannya, Wan Sukairi menegaskan bahawa JPKK memainkan peranan penting sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi. "Justeru, JPKK perlu memastikan setiap aduan serta keperluan penduduk dapat disampaikan kepada pihak berwajib bagi tindakan lanjut. "Kepimpinan JPKK perlu sentiasa bersikap proaktif, berfikiran terbuka serta mengutamakan semangat kerja berpasukan bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri turut berharap agar barisan JPKK yang dilantik dapat menjadi satu pasukan yang berdaya saing, efektif, dan bertanggungjawab dalam membangunkan komuniti setempat. "Tugas JPKK ini juga adalah sebagai wakil kepada saya selaku ADUN. Tidak semua keperluan penduduk kampung dapat saya bantu secara langsung. Namun, dengan adanya JPKK, urusan wakil rakyat akan menjadi lebih mudah. Jika sesuatu perkara tidak dapat diselesaikan di peringkat JPKK, barulah ia dirujuk kepada wakil rakyat," jelasnya. Beliau turut mengingatkan bahawa jawatan yang diamanahkan ini bukan sekadar tanggungjawab pentadbiran, tetapi juga satu bentuk ibadah. "Jawatan ini adalah ladang pahala yang perlu kita manfaatkan sebaik mungkin dengan membantu dan mempermudahkan urusan penduduk kampung," tambahnya. Selain majlis pelantikan, turut diadakan penyerahan kit jenazah kepada semua JPKK sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan peranan mereka dalam masyarakat serta meringankan beban keluarga yang kehilangan insan tersayang. "Kit jenazah ini merupakan pemberian tahunan pihak DUN. Walaupun tiada siapa yang menginginkannya kecuali mereka yang benar-benar memerlukan, hakikatnya inilah pakaian terakhir kita nanti. Saya berharap sumbangan sebanyak lima unit kit jenazah ini dapat membantu keluarga yang menghadapi kesulitan, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos pengurusan jenazah yang semakin meningkat,"katanya.    
05 Mar 25
366
200 Bekas Gulai Kawah Diagih Hidupkan Ramadan
200 Bekas Gulai Kawah Diagih Hidupkan Ramadan
BESUT, 5 Mac – Sebanyak 200 bekas gulai kawah telah diagihkan kepada penduduk Kampung Lay Out Tok Has sempena Ramadan ini bagi menghidupkan bulan yang penuh keberkatan itu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, selain mengambil semangat bulan tersebut ia juga bagi meneruskan tradisi mengagihkan lauk pauk atau juadah berbuka puasa ke setiap rumah penduduk bagi mengeratkan silaturrahim. Ujarnya, program tersebut dijalankan oleh pihaknya dengan kerjasana Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lay Out Tok Has. “Bulan Ramadan adalah waktu yang tepat untuk kita saling membantu dan berkongsi rezeki. "Dengan agihan gulai kawah ini, saya berharap setiap penduduk dapat merasai nikmat berbuka puasa bersama keluarga. Semoga kita semua diberkati dan dipermudahkan dalam menjalani ibadah puasa,” katanya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, ketika hadir program berkenaan, di sini semalam. Mengulas lebih lanjut, beliau berkata gulai kawah yang lazat dan berkualiti itu dapat disediakan melalui kerjasama dengan sukarelawan kampung "Setiap bekas gulai kawah yang diagihkan telah disediakan dengan penuh kasih sayang dan perhatian, memastikan ia sesuai untuk dinikmati oleh semua penduduk. "Penduduk kampung meluahkan rasa syukur  atas inisiatif yang sangat bermakna ini. Mereka berharap agar lebih banyak program seumpama ini dapat diadakan pada masa akan datang, terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini,"jelasnya. Menurutnya, program berkenaan berkahir dengan suasana penuh ceria dengan penduduk ketika ditemui saling bertukar cerita dan pengalaman juga berkongsi pandangan dan memberikan cadangan untuk diadakan aktiviti-aktiviti seterusnya demi kebaiki bersama. "Inisiatif ini jelas menunjukkan komitmen pihak kita dalam memastikan kesejahteraan dan kehamorniaan masyarakat kampung dalam dikekalkan serta dipereratkan dalam bulan yang penuh bermakna ini,"ujar beliau.  
05 Mar 25
185
'Sepakat Bersih, Tambun Tanah Supaya Tak Jadi Masalah'
'Sepakat Bersih, Tambun Tanah Supaya Tak Jadi Masalah'
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat mengesyorkan para peserta yang menerima Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) supaya bekerjasama dan sepakat ketika membersihkan dan menambun tanah mereka supaya masalah kemudian hari dapat dielakkan.
02 Mar 25
65
400 Keluarga di DUN Wakaf Mempelam Terima Sumbangan Ramadan
400 Keluarga di DUN Wakaf Mempelam Terima Sumbangan Ramadan
KUALA TERENGGANU, 28 Februari – Seramai 400 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam menerima sumbangan barangan keperluan asas sempena Ramadan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebanyak RM24,000 diperuntukkan bagi menjayakan program berkenaan yang bertujuan membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan.  "Program ini telah menjadi rutin tahunan kita dan jumlah penerima tahun ini meningkat. "Situasi ekonomi yang semakin mencabar menyebabkan ramai yang berdepan kesukaran dalam mendapatkan keperluan bekalan makanan yang mencukupi. “Apa yang disediakan hari ini mungkin tidak bertahan lama sekitar seminggu berpuasa barang-barang ini sudah habis digunakan, tetapi inilah komitmen kita untuk memastikan rakyat dapat merasai sedikit rezeki yang dikongsi bersama,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut. Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim yang turut menyampaikan sumbangan serta menzahirkan harapan agar bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban para penerima. “Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diberi perhatian, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan yang menuntut kita agar lebih prihatin terhadap golongan yang memerlukan,” ujarnya. Dalam pada itu, Wan Sukairi turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Kebajikan DUN Wakaf Mempelam yang terdiri daripada 20 sukarelawan atas usaha mereka dalam menjayakan program ini dengan penuh dedikasi. “Semoga sumbangan ini memberi manfaat dan keberkatan kepada semua penerima serta membolehkan mereka menjalani ibadah puasa dengan lebih selesa dan tenang,” ujarnya. 
28 Feb 25
1230
20,000 Benih Ikan Dilepaskan Ke Sungai Kampung Titian Baru
20,000 Benih Ikan Dilepaskan Ke Sungai Kampung Titian Baru
MARANG, 27 Februari- Sebanyak 20,000 benih ikan telah dilepaskan ke Sungai Kampung Titian Baru melalui program pemuliharaan sumber perikanan yang berlangsung hari ini.  Program yang dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu itu menyaksikan pelepasan 10,000 benih ikan baung dan bakinya benih ikan lampam sungai dengan nilai keseluruhan berjumlah RM8,500. Majlis pelepasan benih ikan tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Dato’ Mohd Nor Hamzah.  Program tersebut bertujuan memulihara ekosistem sungai, menambah populasi ikan air tawar serta memberi manfaat kepada komuniti setempat khususnya golongan nelayan darat. Dalam ucapannya, Mohd Nor menekankan kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan peranan masyarakat dalam menjaga sumber perikanan demi keseimbangan ekosistem. “Pelepasan benih ikan ini bukan sekadar usaha meningkatkan sumber perikanan, tetapi juga untuk memastikan kelangsungan ekosistem sungai bagi generasi akan datang. "Saya menyeru agar masyarakat bersama-sama menjaga kebersihan sungai dan mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang lestari,” ujarnya. Katanya, program terbabit turut disertai oleh penduduk setempat, agensi berkaitan dan pemimpin masyarakat yang sama-sama menyokong inisiatif pemuliharaan sungai. "Dengan usaha berterusan seperti ini, diharapkan Sungai Titian Baru akan terus menjadi habitat semula jadi bagi spesies ikan air tawar, sekali gus membantu meningkatkan sumber ekonomi penduduk sekitar, " ujarnya. 
27 Feb 25
115
Restoran Bukan Islam Dibenar Beroperasi Seperti Biasa Sepanjang Ramadan
Restoran Bukan Islam Dibenar Beroperasi Seperti Biasa Sepanjang Ramadan
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Restoran bukan Islam dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa sepanjang Ramadan. Menurut Kenyataan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), namun begitu pengusaha dan pemilik perniagaan makanan dan minuman bukan Islam diberi peringatan agar tidak membenarkan pelanggan beragama Islam makan serta minum di premis mereka sepanjang siang hari Ramadan. "Manakala bagi pengusaha dan pemilik perniagaan makanan serta minuman beragama Islam tidak dibenarkan memulakan operasi perniagaan mereka sebelum jam 3 petang. "Mana-mana pengusaha dan pemilik perniagaan makanan dan minuman yang gagal mematuhi peraturan ini menjadi satu kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (Penubuhan Makanan) MBKT 1991. "Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenankan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan tersebut, di sini, semalam. Mengulas lanjut, menurut kenyataan itu, kedai kek, bakeri dan kedai keropok serta restoran milik peniaga Islam dibenarkan beroperasi bermula jam tiga petang dengan aktiviti jualan hanya secara bungkus sahaja. "Manakala untuk penggunaan ruang makan serta aktiviti penyediaan makanan dibenarkan beroperasi pada jam 7 petang. "Kedai serbaneka mengikut waktu operasi biasa dan dihadkan kepada aktiviti peruncitan sahaja. "Manakala bazar Ramadan serta kedai jualah kuih muih untuk aktiviti jualan secara bungkus akan bermula jam 3 petang," ujar kenyataan itu. Tambah kenyataan itu, untuk kedai makanan segera pula dibenarkan beroperasi pada jam 12 tengah hari dan hanya melibatkan aktiviti jualan secara bungkus sahaja.  
27 Feb 25
221