lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Waspada Penyakit Tidak Berjangkit
Waspada Penyakit Tidak Berjangkit
HULU TERENGGANU, 27 September - Masih ramai rakyat Malaysia termasuk individu di Terengganu yang tidak sedar serta memandang remeh tentang penyakit tidak berjangkit dan risiko penyakit tersebut terhadap kesihatan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, rakyat perlu membuka mata bahawa pencegahan penyakit tidak berjangkit memerlukan komitmen yang tinggi daripada diri sendiri memandangkan peningkatan jumlah kes penyakit tidak berjangkit sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. “Antara penyebab kematian utama di Malaysia yang berpunca daripada penyakit tidak berjangkit ialah penyakit jantung dengan jumlah kes kematian sebanyak 18,267 pesakit mengikut data yang telah dikeluarkan oleh ‘’Ischaemic heart diseases (IHD). Beliau berkata demikian semasa membaca teks perasmian mewakili ucapan Timbalan Menteri Kesihatan 1, Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Haji Noor Azmi Bin Ghazali dalam Program Sukarelawan KOSPEN & Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat Kebangsaan 2020 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu semalam. Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr. Nor Azimi Binti Yunus dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, YB Dr. Mamad Puteh. Tambah beliau, peningkatan jumlah pesakit bagi penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti, berkait rapat dengan budaya pemakanan dan gaya hidup masyarakat yang tidak baik dan kurang bersenam. ‘’Dengan pengamalan gaya hidup sihat, penyakit jantung dapat dikawal dan dicegah,sekaligus mengurangkan risiko kematian pra-matang akibat penyakit jantung dan strok dalam kalangan rakyat Malaysia. “Sebagai rakyat prihatin terhadap kesihatan diri, kita hendaklah sentiasa mempraktikkan amalan pemakanan dan cara hidup sihat bagi mencegah penyakit-penyakit tersebut,”ujarnya. Menurutnya lagi, rakyat perlu menyahut seruan membuat pemeriksaan kesihatan bagi mengukur tahap kesihatan serta melibatkan diri dalam program-program yang khusus untuk mendapat kemahiran tentang pengamalan gaya hidup sihat.
27 Sep 20
433
Dua Keluarga Terharu Terima Sumbangan Barangan Elektrik
Dua Keluarga Terharu Terima Sumbangan Barangan Elektrik
DUNGUN, 27 September- “Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sura Gate, dan semua pihak yang membantu kami. Saya akan guna dan jaga barangan ini dengan sebaik mungkin,” kata Ahmad Fauzi Abd Halim, 32, yang menerima sumbangan di Kampung Sura Gate, baru-baru ini. Sumbangan barangan eletrik dan keperluan rumah itu adalah pemberian Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura dan disampaikan sendiri oleh ADUN berkenaan, Wan Hapandi Wan Nik. Ahmad Fauzi berkata, dia tidak menjangka dan begitu gembira apabila terpilih untuk menerima sumbangan tersebut yang dianggap terlalu bermakna. Seorang lagi penerima, Rohaini Awang, 59, begitu terharu atas sumbangan itu kerana ia membantunya menyelesaikan masalah untuk menyimpan barangan basah. “Kami terharu dan sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat apabila tahu akan mendapat peti sejuk.  Kalau dulu kami tiada peti sejuk, sekarang bila dah ada, barang basah dapat disimpan lebih lama,” ujarnya. Sementara itu, Wan Hapandi berkata, masalah yang dihadapi oleh setiap ahli qaryah akan cuba diselesaikan dengan sebaik mungkin.  “Kita sudah dapat maklumat berkaitan mereka yang memerlukan sumbangan seperti barang eletrik, tilam, almari dan lain-lain lagi. Kita akan turun ke setiap kampung untuk menyampaikan bantuan tersebut” katanya.  “Saya berharap dengan sumbangan ini akan meringankan beban atau urusan keluarga serta memudahkan kerja harian mereka,” ujarnya. 
27 Sep 20
1189
Kursus Pra Perkahwinan Perdana Manfaatkan Belia Dan Beliawanis
Kursus Pra Perkahwinan Perdana Manfaatkan Belia Dan Beliawanis
HULU TERENGGANU, 27 September - Seramai 131 peserta menghadiri Kursus Pra Perkahwinan Perdana peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Harun berkata, program yang diadakan selama dua hari mampu memberi pendedahan terbaik kepada peserta sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Katanya lagi, peserta hanya perlu membayar yuran penyertaan berjumlah RM50, manakala lagi RM30 ditanggung penganjur yang mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Belia dan Beliawanis DUN bagi menjayakannya. "Saya berpuas hati dengan sambutan yang diterima pada kursus kali ini, golongan belia di daerah ini ternyata bijak mengambil peluang disediakan. "Tujuan utama juga ialah untuk memberi kemudahan dan meringankan beban golongan muda yang belum berkahwin mendapatkan sijil perkahwinan dengan hanya mengeluarkan sebahagian bayaran. “Semoga dengan penganjuran ini mampu membimbing peserta bagi menempuh hidup cabaran berumah tangga dengan berpandukan ilmu dan panduan yang dicurahkan sepanjang kursus ini,"katanya pada Majlis Perasmian Penutup kursus tersebut di Dewan Tuan Guru Harun Taib (KUDQI) Kubang Lembek.      Tambah beliau lagi, golongan muda yang ingin mendirikan rumah tangga juga perlu mencari pengetahuan tambahan di majlis-majlis ilmu agama bagi memastikan mahligai dibina diberi keberkatan Allah SWT. dan mendapat keluarga ‘sakinah’, ‘mawaddah’, dan ‘rahmah’.  “Pihak kami akan merancang pelbagai penganjuran program bermanfaat seperti ini pada setiap tahun agar lebih banyak ilmu mampu dicapai oleh masyarakat kawasan ini,” ujarnya.
27 Sep 20
743
Peruntukan RM1.1 Juta Untuk Pemantapan Pertubuhan Belia Negeri
Peruntukan RM1.1 Juta Untuk Pemantapan Pertubuhan Belia Negeri
KUALA TERENGGANU, 27 SEPTEMBER – Peruntukan sebanyak RM1.1 juta disalurkan kepada pertubuhan belia di negeri ini bagi merancakkan perkembangan golongan itu sebagai pelapis di masa depan. Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, usaha yang digerakkan Pejabat Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Terengganu serta Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) mampu membina anak muda berkualiti dengan lebih mampan. "Saya berharap, melalui bantuan ini, pertubuhan-pertubuhan belia mampu merencana aktiviti-aktiviti sihat kepada golongan belia samada di peringkat kampung, daerah atau negeri. "Semoga semangat dan mesej penting dalam sambutan hari belia negara pada tahun ini sentiasa dihayati dan diterjemahkan dalam setiap usaha kita selaras dengan tema ‘Dekad Ini Dekad Anda'," ujarnya yamg mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Beliau berkata demikian semasa ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2020 di Dewan Duyong Convention Centre, Duyong Marina & Resort di sini, malam semalam. Turut Hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail dan Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Amirulllah Othman. Sementara itu, Wan Sukairi memaklumkan, bantuan tersebut adalah kesinambungan daripada tahun lepas dan ia bergantung kepada peringkat persatuan mengikut status.  Dalam perkembangan lain, Wan Sukairi berkata kerajaan sedang merangka Pelan Pembangunan Generasi Muda Terengganu Sejahtera 10 Tahun (2020-2030). "Pelan Pembangunan Generasi Al-Fateh Terengganu pula melibatkan penerapan modul seawal 11 tahun untuk membina asas kecemerlangan belia," jelasnya.
27 Sep 20
1025
Wakil Rakyat Suatu Amanah
Wakil Rakyat Suatu Amanah
KUALA TERENGGANU, 27 September - Memikul tugas sebagai wakil rakyat adalah suatu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan tanpa sebarang alasan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah mengakui  tidak terkecuali untuk turut bersama rakyat, mengambil tahu denyut kehidupan mereka di DUN tersebut.  "Seminggu sekali iaitu Khamis adalah hari 'YB bersama rakyat', sakit pening, susah senang rakyat perlu dijenguk, saya tolong sekadar mampu, selebihnya mesti ada caranya untuk kita bantu melalui saluran yang ada seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), Tabung Darul Iman(TDI), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan banyak lagi agensi lainnya yang berkaitan. " ujarnya. Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu ditemui ketika program ziarah bersama 'Team Ziarah Yang Berhormat (YB) Wan Sukairi' di DUN tersebut, baru-baru ini. 'Team' tersebut diketuai oleh Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN,  Radzali A. Ghani. Menurut Radzali, program ziarah bersama Wan Sukairi diadakan sekurang-kurangnya seminggu sekali.  "Jika YB ada lapang akan jadi dua atau tiga kali seminggu dan 'team' kami kena sentiasa bersedia dengan nama-nama dan rumah yang perlu kami ziarah," jelasnya.
26 Sep 20
190
Satu Lagi Pusat Pengajian Al-Quran OKU Penglihatan Terengganu Beroperasi
Satu Lagi Pusat Pengajian Al-Quran OKU Penglihatan Terengganu Beroperasi
Kerajaan Terengganu menempa kejayaan terbaharu apabila berjaya menubuhkan satu lagi Pusat Pengajian Al-Quran Braille dan telah beroperasi di Pejabat Yayasan Islam Besut, sejak dua bulan lepas.
26 Sep 20
222
Penduduk Bimbang Binatang Liar Berkeliaran
Penduduk Bimbang Binatang Liar Berkeliaran
DUNGUN, 26 September - Kehadiran  pelbagai binatang liar yang berkeliaran tanpa mengira masa membimbangkan penduduk di Taman Rakyat Jaya, di sini. Seorang penduduk, Jafri Jaafar bimbang kerana kelibat babi yang kelihatan jinak tetapi sebenarnya membahayakan. "Budak-budak tak tahu pasal resmi babi ni... nampok jinak... kan (nanti) bila dia marah jadi cerita lain pula," katanya dengan nada serius.  Manakala seorang ibu, Rohaida Ghani yang tinggal di Jalan Intan juga bimbang dengan anjing yang kadang-kadang masuk ke dalam kawasan rumahnya dan jiran walaupun berpagar.  "Aduan sudah dibuat dan sudah dalam pengetahuan agensi berkaitan," katanya kepada pemberita.  Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Rakyat Jaya, Hisham Aziz memberitahu, pihaknya sudah membuat laporan kepada pihak berwajib.  "Kita sudah adukan kepada pihak berkuasa, itu sudah dalam pengetahuan mereka," katanya.
26 Sep 20
908
Gotong-royong Bersih Kubur Terbitkan Keinsafan
Gotong-royong Bersih Kubur Terbitkan Keinsafan
DUNGUN, 26 September - Aktiviti membersih kubur bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, bahkan mampu menerbitkan rasa keinsafan di kalangan umat Islam yang masih hidup. Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Kerteh 4A, Mohd Norizan Othman berkata, atas rasa tanggungjawab Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka menganjurkan program gotong-royong membersih kubur yang sekali gus berjaya menarik golongan muda untuk menyertai program ini. "Di samping mereka (pemuda) dapat mengeratkan ukhuwah bersama masyarakat,  pada masa sama keterujaan dan terbit keinsafan sepanjang membersihkan kubur ini. “Tugas ini menerbitkan kesedaran tinggi bahawa setiap yang hidup pasti akan meninggal dunia," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas aktiviti Gotong-royong Membersih Kubur Tanah Perkuburan Felda Kerteh 4, hari ini. Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS DUN Paka, Fauzan Ramli menggesa agar masyarakat meneruskan program sebegini pada masa-masa akan datang. "Hari ini kita berganding bahu bersama MPKK, Jabatan Amal, agensi-agensi dan masyarakat menganjurkan program ini," ujarnya. Fauzan berkata, program ini dapat mendidik jiwa untuk sentiasa berbakti dan menolong orang lain walau di mana-mana. "Teruslah melakukan amal kebaikan sekalipun bukan waris mahupun saudara sendiri tanpa mengira tempat termasuk di tanah perkuburan," ujarnya.
26 Sep 20
2309
Impian Ibu Tunggal Miliki Rumah Jadi Kenyataan
Impian Ibu Tunggal Miliki Rumah Jadi Kenyataan
DUNGUN, 26 September - Impian seorang ibu tunggal untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan. Siti Diwi Musa, 46, berkata selama ini tiada yang lain diimpikan hanya ingin memiliki rumah sendiri. "Terima kasih banyak-banyak pada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Pejabat Daerah Dungun, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) Taman Rakyat Jaya dan kerajaan negeri  kerana menyediakan sebuah rumah untuk saya dan keluarga," ujar ibu kepada lima orang anak itu.  Alias memasang plak nama rumah sambil diperhatikan Siti Diwi  Siti Diwi yang dihubungi pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin(PPRT) di Kampung Pinang Baru di sini sangat terharu dengan bantuan tersebut. Dia yang sebelum ini menyewa di Taman Rakyat Jaya terpaksa melakukan dua kerja untuk meneruskan kehidupan.  Sementara itu, Alias berharap dengan penyerahan sebuah rumah PPRT di atas tanah pemilik, Siti Diwi di Kampung  Pinang Baru ini, dapat meringankan beban  yang terpaksa menyewa sebelum ini.  "Alhamdulillah rumah di bawah Projek Perumahan Ku Sayang, yang diseliakan di bawah Pejabat Daerah ini siap dibina dalam masa lebih kurang enam bulan," ujarnya.
26 Sep 20
607
Ahli Majlis Wanita Sebagai Semak Dan Imbang Kerajaan Tempatan - Dr. Alias
Ahli Majlis Wanita Sebagai Semak Dan Imbang Kerajaan Tempatan - Dr. Alias
KUALA TERENGGANU, 25 September - Kerajaan negeri mengiktiraf peranan ahli majlis wanita sebagai semak dan imbang kepada setiap majlis perbandaran agar setiap dasar dan perancangan kerajaan dapat dicapai dengan jayanya. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, usaha mewujudkan sebuah kerajaan tempatan yang terbaik untuk rakyat memerlukan sentuhan wanita di semua peringkat termasuk penggubalan undang-undang dan polisi serta pelaksanaan. "Kerajaan tempatan adalah kerajaan yang paling hampir dengan rakyat kerana ia mengandungi bidang kuasa berkaitan perancangan bandar termasuk pengurusan sampah, sisa pepejal, parit, longkang, penyelenggaran bangunan dan sebagainya. "Isu-isu ini sememangnya dekat di hati rakyat kerana melingkari kehidupan seharian mereka. Sangat penting ahli majlis wanita berperanan sebagai semak dan imbang kepada setiap majlis perbandaran agar setiap dasar dan perancangan sebagai sebuah kerajaan Islam serta hasrat rakyat dapat dicapai dengan jayanya. "Kita juga masih ada banyak isu berkaitan wanita di peringkat kerajaan tempatan iaitu bagaimana ingin mewujudkan sebuah kerajaan tempatan yang mesra wanita, kanak-kanak dan keluarga," katanya. Dr. Alias Razak. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pemerkasaan Penggubal Undang-Undang Wanita Peringkat Negeri Terengganu di Paya Bunga Hotel (PB Hotel) di sini semalam. Hadir sama dalam majlis tersebut, Timbalan Pengerusinya, Ahmad Shah Muhamed, Ahli Dewan Negara (Terengganu), Nuridah Salleh, Ahli Dewan Negara (Kelantan), Asmak Husin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor. Seramai kira-kira 60 orang ahli majlis wanita dari tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Perak menghadiri seminar berkenaan. Dalam pada itu, tambah Alias, isu perancangan bandar termasuk penyelenggaran kebersihan dan sisa pepejal sememangnya memerlukan sentuhan wanita. "Sebagai ahli majlis wanita, sangat penting pemerkasaan hari ini dilakukan agar memahami peranan masing-masing sehingga mampu menjadi penyampai perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat. "Justeru besar hasrat saya untuk memastikan wanita diperlengkapkan dengan asas kemahiran dan latihan yang sistematik ke arah menjadi ahli majlis yang berdaya saing. "Serta dalam masa yang sama berusaha dan menggunakan bidang kuasa yang ada untuk merealisasikan dasar-dasar Islam khususnya menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera difahami dan dirasai oleh rakyat jelata," jelasnya.  
25 Sep 20
1012