Artikel "Komuniti" Terkini
Khairunnisa' Dekati Ibu Tunggal
KEMAMAN, 1 Oktober - Persatuan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO) telah mengadakan pelbagai program termasuklah Ramah Mesra Bersama Ibu Tunggal Peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) Cukai yang diadakan di Restoran Cahaya Mesra, Kampung Besut, hari ini.
Ahli Jawatankuasa Khairunnisa' Terengganu, Zahiyah Rahman berkata program tersebut diadakan untuk mendekati golongan ini serta merapatkan ukhwah di antara satu sama lain.
"Saya faham, meneruskan kehidupan dan membesarkan anak bersendirian tanpa suami bukanlah satu pilihan. Namun ianya satu takdir yang telah diatur oleh Allah SWT untuk dijalani. Ibulah yang menjadi ibu, ibu jualah yang menjadi bapa," ujarnya.
Katanya lagi, membesar anak sendirian bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Ianya memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang cukup kuat.
"Saya memahaminya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun saya yakin muslimat sekalian sangat kuat dan tabah dalam menghadapi perkara ini," katanya.
Beliau turut mengingatkan agar golongan ibu tunggal ini haruslah meletakkan sepenuhnya keyakinan dan meminta pertolongan kepada Allah S.W.T.
"Janganlah berputus harap dan sentiasalah berdoa meminta kekuatan serta kesabaran terutama ketika dalam setiap solat kita."
Beliau yang juga merupakan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata demikian ketika berucap di hadapan 80 orang ibu tunggal yang hadir dalam majlis itu.
Mereka yang hadir turut dijamu makanan dan minuman serta setiap seorang menerima cenderahati sebelum bersurai.
Turut hadir dalam majlis tersebut iaitu Penolong Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) DUN Cukai, Fainah Mat dan Pengerusi Kelab Ibu Tunggal DUN Cukai, Norhamiza Mohd Nor.
Khairunnisa' Terengganu merupakan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu.
01 Oct 20
685
JPJ Terengganu Rintis Kempen Advokasi Untuk Kesedaran Food Rider
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menjadi perintis bagi Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Kepada Penunggang Pesanan Makanan 'Food Rider' di negeri ini.
01 Oct 20
758
JPV Terengganu Bantu Penternak Tangani Masalah Haiwan
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu (JPV) sentiasa mengadakan pelbagai inisiatif bagi membantu penternak dalam menyelesaikan masalah berkaitan kesihatan haiwan ternakan di negeri ini.
01 Oct 20
313
‘Barisan Hadapan’ Komuniti Dun Batu Buruk Diraikan
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menjelaskan, jawatankuasa samada di peringkat cawangan mahupun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) adalah barisan hadapan masyarakat yang menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan kebajikan kepada rakyat sepanjang negara berdepan pandemik Covid-19 yang lalu.
“Alhamdulillah, kita berjaya mengadakan majlis makan malam ini bagi memberikan penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan walaupun mungkin ia tidak mampu membalas jasa dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan, namun anggaplah ia sebagai tanda ingatan.
“Kalau dilihat bangunan yang kukuh dan besar, tidak akan terjadi tanpa pasir-pasir yang halus dan paku-paku yang kecil. Begitulah jika dilihat kerajaan Negeri Terengganu ini, kejayaan tidak akan terhasil tanpa jasa dan pengorbanan daripada pimpinan di peringkat komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim yang diadakan di Hotel Primula, semalam.
Turut hadir dalam majlis yang melibatkan 36 MPKK dalam Dun Batu Buruk tersebut ialah mantan ADUN Batu Buruk, Dato’ Hj Wan Abdul Mutalib Embong.
01 Oct 20
506
Raikan Budaya Masyarakat Majmuk
DUNGUN, 1 Oktober - Parti Islam SeMalaysia(PAS) sentiasa meraikan budaya masyarakat majmuk pelbagai agama yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dungun, Serena Lim Abdullah berkata pendekatan tersebut berjaya menghilangkan rasa kurang selesa di kalangan mereka terhadap parti tersebut.
"Kali ini Lembaga Perpaduan Nasional dengan kerjasama Ahli Parlimen Dungun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Penyelaras DUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) di Daerah Dungun bersama-sama mengedarkan kuih bulan ke setiap rumah dan kedai milik kaum Tionghua di sini," katanya ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.
Menurut beliau yang juga berbangsa cina itu, pihaknya juga turut mengedarkan tanglung ke tiga buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina yang terdapat di Dungun.
" Hampir 300 lebih tanglung kita edarkan kepada setiap orang murid di sekolah rendah cina dan kita serahkan kepada pihak sekolah untuk diedarkan kepada mereka kerana kita mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)," katanya lagi.
01 Oct 20
400
Terengganu Naikkan Jumlah Bantuan Mangsa Kebakaran
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Bantuan musibah mangsa kebakaran rumah dinaikkan daripada jumlah asalnya bagi membantu meringankan beban mereka yang kehilangan tempat tinggal dalam negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, jumlah asal bagi sebuah rumah berbentuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibiayai oleh Tabung Darul Iman (TDI) adalah sebanyak RM40,000.
“Jumlah terbaharu yang telah diluluskan adalah sebanyak RM56,000 bagi bantuan sebuah rumah PPRT. Proses pengisian borang pemohonan juga sudah tidak memerlukan pengesahan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di mana proses lama mengambil masa 12 bulan untuk disiapkan rumah baharu berkenaan.
“Terkini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertindak sebagai urusetia bencana akan terus menyediakan laporan dan pengesyoran kepada TDI bagi mempercepatkan proses bantuan.
“Turut dijanjikan, tempoh penyiapan pembinaan rumah baharu bagi mangsa kebakaran dalam tempoh 3 hingga 4 bulan, di mana bermula tahun 2019 sehingga sekarang hampir 20 buah rumah bagi mangsa terbabit siap dibina," katanya dalam sesi dialog maya bersama penonton secara langsung melalui Tv Darul Iman, semalam.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) juga terlibat dalam pembiayaan sewa rumah sementara selama enam bulan bagi mangsa miskin sehingga rumah baharu dibina siap.
”Syarat bagi mendapat bantuan ini hanya tertakluk kepada tuan rumah yang terkena kebakaran di tanah sendiri.
“Bagi mereka yang ditimpa bencana tersebut di rumah sewa, kerajaan akan memberi imbuhan bantuan keperluan asas seperti peralatan rumah dan dapur untuk mulakan hidup baru," tambahnya lagi.
30 Sep 20
4647
TNB Galak Eko Pelancongan Di Sungai Yak Yah
KEMAMAN, 1 Oktober - Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Bahagian Hal Ehwal Korporatnya memperuntukkan sejumlah dana bagi menggalakkan eko pelancongan di Kampung Yak Yah, Ibok terutama di sungainya yang kaya dengan pelbagai habitat.
Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat TNB Datuk Omar Sidek berucap didalam lawatan kerjanya di kampung berkenaan kelmarin mengharapkan limpahan dari pembangunan eko pelancongan ini nanti bukan sahaja bakal dinikmati oleh kerajaan negeri malah boleh juga dirasai oleh komuniti setempat.
Tapak semaian Pokok Berembang
"Tujuan kita adalah untuk memulihkan ekosistem di sungai kampung ini yang ditelan arus pembangunan terutama pemuliharaan habitat kelip-kelip yang menjadi ikon TNB," katanya.
"Sebagai contohnya Kampung Kuantan di Kuala Selangor yang dijadi kampung angkat oleh TNB, kini telah menjadi satu pusat eko pelancongan yang utama di Selangor," ujarnya lagi.
Ketua Pengawalseliaan dan Alam Sekitar TNB Research Shahril Mod Husin yang turut berucap dimajlis tersebut menjelaskan bahawa program kelip-kelip ini juga boleh menjana kewangan yang agak besar dan boleh memperkasakan ekonomi masyarakat diradius ini.
"Satu kejayaan TNB yang telah dikecapi adalah kita telah berjaya memperkasakan komuniti di Kampung Kuantan itu untuk berdikari, disamping pemuliharaan ekosistem sungainya mereka juga berjaya menjana ekonomi mereka sendiri," ucapnya.
"Di Kinabatangan, Koperasi Pelancongan Kampung Batu Putih berjaya menjana kira-kira RM1.6 juta pendapatan setahun dengan menanam semula sejenis pokok dimana buahnya menjadi makanan Monyet Belanda. Ianya boleh menjadi contoh kepada komuniti disini," jelasnya.
Datuk Omar dan deligasinya dibawa melawat tapak semaian habitat kelip-kelip iaitu Pokok Berembang di Balai Raya Kampung Yak Yah. Gimik menanam pokok tersebut juga dilakukan oleh pengurus besar itu dan pada sebelah malamnya pula mereka turut dibawa menyusuri Sungai Yak Yah untuk melihat kelip-kelip
.
30 Sep 20
817
DUAT Terengganu Turun Dekati Masyarakat
KEMAMAN, 1 Oktober - Akademi Didik Ulama AMILIN Terengganu (DUAT) turun mendekati masyarakat dengan program-program yang dianjurkan termasuk program DUAT Bersama Komuniti Harmoni, semalam.
Pengarah DUAT, Ustaz Ramlan Mahmood memanjat kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas limpah rahmat dan keizinan-Nya, program tersebut berjaya diadakan dalam suasana penuh ceria.
"Kami di Akademi DUAT sedang giat memperkasakan dan membentuk para pendakwah dan rakyat Terengganu dengan membawakan program-program dalam bermacam variasi kaedah dan uslub.
Seseorang pendakwah perlu mengetahui feqah dakwah yang berbeza pendekatannya dengan fekah hukum betul dan salah, halal dan haram," ujarnya.
Tegas beliau, tugas pendakwah itu lebih bertujuan menyelamatkan manusia bersama petunjuk Islam, termasuk terhadap umat Islam sendiri yang tenggelam dalam kejahilan agama yang diyakini dan disayanginya.
"Secara umumnya, penting bagi negeri darul iman ini untuk terus melahirkan modal insan yang seimbang yang memiliki penguasaan ilmu yang menyeluruh yang mana bakal menjadi pewaris kepada kepimpinan kerajaan negeri di masa hadapan," katanya lagi ketika berucap merasmikan program tersebut yang berlangsung di Dewan Sivik Kampung Gong Puh.
Program tersebut diserikan dengan ceramah yang disampaikan oleh Pendakwah Bebas, Ustaz Aidiladha Tahir. Manakala, ianya turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai yang menyumbang beras dan barangan dapur kepada 100 orang fakir miskin.
Program itu juga turut mendapat kerjasama oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Perumahan Gong Pauh, Kampung Gong Pauh, Kampung Jaya dan Jalan Dato'.
30 Sep 20
1509
TDM Berhad Berbasikal Rentasi Lokasi Bersejarah
TDM Berhad meneruskan aktiviti berbasikal dengan menjelajah pelbagai tempat bersejarah dalam Program Gateh Jejak Sejarah siri kedua di Kuala Terengganu.
30 Sep 20
280
Sehari Bersama Pelanggan Di Setiap Kawasan MPKK
DUNGUN, 29 September- Program sehari bersama pelanggan akan diadakan disetiap kampung mengikut kawasan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sekitar Sura.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, program seperti ini sangat penting kepada rakyat.
“Sebelum ini kita buat program sehari bersama pelanggan di pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Sura.
Selepas kita bermesyuarat, keputusan sebulat suara, kita akan menjelajah di setiap kawasan MPKK,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Sehari Bersama Pelanggan di Perkarangan Surau Ashabul Kahfi, Kampung Nibong.
Katanya, melalui program sebegitu rakyat boleh mengadu pelbagai masalah.
“Warga Sura boleh terus mengadu, berjumpa dengan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Maidam, Pejabat Kesihatan Dungun, I-MiTS, Pusat Khidmat Masyarakat dan lain-lain lagi.
"Saya juga akan turut berada bersama sepanjang program berlangsung,” ujarnya.
29 Sep 20
344