Artikel "Komuniti" Terkini
19 Buah Rumah Untuk Golongan Tidak Berkemampuan
DUNGUN, 11 Oktober - Sebanyak 19 buah rumah telah dan sedang dibina sepanjang tahun ini untuk diduduki mereka yang tidak berkemampuan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, kebanyakan penerima terdiri daripada ibu-ibu tunggal.
"Ada juga yang ada suami tetapi memandangkan suaminya sakit dan isteri yang bekerja untuk menyara keluarga, itu juga diistilah sebagai ibu tunggal," ujarnya.
Alias berkata demikian ketika dihubungi selepas meninjau kerja-kerja menyiapkan rumah untuk seorang ibu tunggal di Pulau Serai, baru-baru ini.
Menurut Alias, kos setiap buah rumah adalah RM56,000. Untuk yang memiliki tanah, mereka diberi hak milik rumah tersebut di bawah Projek Perumahan Ku Sayang.
"Manakala jika sebaliknya mereka dibiaya di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)," ujarnya.
10 Oct 20
1470
Katil Wakaf Bantu Pesakit
DUNGUN, 10 September - Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka sentiasa peka terhadap kebajikan penduduk memerlukan termasuk menerusi program wakaf katil.
Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Mohd Wirdan Shahidan berkata, sesiapa yang berhajat untuk mendapatkan katil wakaf hasil sumbangan orang ramai boleh berhubung dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.
"Pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Paka akan menghantar katil ini setelah mendapat maklumat daripada MPKK.
"Semua orang diharap bersabar dan mereka berhak menggunakannya jika ada kekosongan," ujarnya ketika dihubungi pemberita, semalam.
Mohd Wirdan berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan orang ramai bersama-sama mencari pahala berwakaf untuk membantu golongan memerlukan tanpa sangsi.
"Kita akan uruskan penghantaran katil wakaf terutamanya kepada pesakit kronik dan terlantar yang tidak mampu bergerak.
"Ia akan berpindah milik apabila seseorang telah kembali sembuh atau menghadap ilahi," katanya.
10 Oct 20
610
Burung Helang Daripada Sabut Kelapa
SETIU , 10 Oktober - Kreativiti seorang petani yang mencipta 'burung helang' daripada sabut kelapa mengundang rasa kagum segelintir masyarakat di sini.
Petani tersebut, Bidin Salleh, 50, berkata ia bagi menghalau haiwan ternakan memakan padi yang dijemur di halaman rumahnya.
Katanya, dia hanya memanfaatkan idea yang terlintas di kepala tambahan pula ia tidak melibatkan sebarang kos.
"Hanya menggunakan ranting pokok rambutan, sabut kelapa, tali, dan polisterin, ia dapat menghasilkan seakan-akan seekor burung helang. Matanya pula dicucuk dengan api lidi sahaja,
"Kalau 'orang-orang', mungkin sudah menjadi perkara biasa kita lihat. Dalam buku pun ade. Yang ni tiada dalam buku ni,
"Burung-burung ini digantung pada tali, diserikan lagi dengan bunyi batu yang diletakkan ke dalam botol. Bila bunyi, ayam itik pun tak berani nak masuk dekat," katanya kepada pemberita ketika dihubungi semalam.
Kaedah ini juga turut digunakan di sawah padi untuk menakutkan tikus.
09 Oct 20
919
Penantian 15 Tahun Miliki Rumah Sendiri Tercapai
DUNGUN, 9 Oktober - Hasrat seorang ibu tunggal untuk memiliki rumah sendiri tercapai selepas 15 tahun mengharapkan impiannya itu termakbul.
Maimun Alla Pichay berkata, selepas kematian suami, dia cuba memohon rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan bersyukur apabila permohonan tersebut diluluskan.
"Saya sudah lama berhasrat untuk memiliki rumah sendiri.
"Terima kasih kerajaan negeri untuk rumah ini, sangat terharu kerana ini rumah pertama saya walaupun agak sedih arwah suami tidak sempat merasainya," ujarnya.
Maimun ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPRT di Kampung Kubang Miang, hari ini.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik turut serta MPKK Kampung Kubang Miang.
Sementara itu, Wan Hapandi mengucapkan tahniah kepada penerima rumah ini.
"Tahniah saya ucapkan kepada keluarga arwah Mohamed Ibrahim Sini Mohamed kerana layak menerima rumah baharu ini.
"Dengan penuh rasa syukur saya bersama Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan menyerahkan kunci rumah setelah hampir tiga bulan masa yang diambil untuk menyiapkannya," katanya.
09 Oct 20
320
Nelayan Terharu Terima Mesin Basuh
DUNGUN, 9 Oktober - Seorang nelayan laut dalam terharu apabila menerima sumbangan mesin basuh.
Jusin Ali melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diterimanya itu.
“Saya sangat bersyukur, gembira dan terharu dengan pemberian barang -barang rumah ini.
"Terima kasih atas keperihatinan Yang Berhormat (YB) Sura dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung disini,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, beliau sangat gembira apabila dapat membantu rakyat.
“Kami dapat aduan dari MPKK disini (Kampung Tembesu Akar), ada seorang nelayan perlukan mesin basuh.
"Dengan syarat-syarat yang dipenuhi, kami menyerahkan sebuah mesin basuh untuk kegunaan hariannya sekeluarga,” katanya.
Wan Hapandi ditemui pemberita ketika program ziarah sebagai usaha menyantuni golongan memerlukan.
“Selain dari mesin basuh, kita bagi satu set meja makan dan juga basikal.
"Saya berharap dengan sumbangan ini akan meringankan beban atau urusan keluarga,” ujarnya.
09 Oct 20
1882
Mangsa Kebakaran Terima Bantuan Segera
DUNGUN,9 Oktober - Kegembiraan jelas terpancar di wajah Noorlida Abd Wahab, yang menerima bantuan segera setelah rumahnya hangus dijilat api dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi Selasa lalu di Kampung Sura Hujung.
Sumbangan wang tunai serta pakaian itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
Wan Hapandi berkata, sumbangan berkenaan adalah salah satu daripada tanggungjawab sosial dan sebagai tanda prihatin kepada rakyat.
“Hari ini, kita menyumbang bantuan kewangan dan baju baharu kepada mangsa dan berharap ia dapat meringankan sedikit beban mereka.
Biarpun sedikit, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberikan semangat baharu kepada mereka sekeluarga,” katanya selepas menyerahkan sumbangan itu.
Beliau turut melahirkan rasa simpati dan sedih terhadap musibah dialami Noorlida dan berharap mereka sekeluarga tabah meneruskan kehidupan.
09 Oct 20
152
Dua Keluarga Teruja Terima Sumbangan Kelengkapan Rumah
DUNGUN, 9 Oktober - Dua buah keluarga di sini terharu apabila menerima sumbangan berupa kelengkapan rumah dan barangan eletrik.
Salah seorang penerima Abd Halim @ A.Ghofur As'sayaar Mohamad, berkata dia tidak menyangka akan mendapat sumbangan ini.
“Saya dan isteri sangat teruja apabila dapat tahu Yang Berhormat (YB) nak datang dan serah sumbangan.
"Saya sangat berterima kasih kepada pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kubang Miang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan semua pihak yang membantu kami,” katanya.
Sementara itu, Anuar Wan Yahya pula terkejut menerima sumbangan tersebut
“Kami terharu dan sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat apabila tahu akan mendapat barang-barang kelengkapan rumah,” ujarnya.
Sementara itu, Wan Hapandi berkata, setiap MPKK perlu telus dalam membuat pemilihan agar hanya mereka yang layak menerima sumbangan.
“Kita sudah dapat maklumat berkaitan mereka yang memerlukan sumbangan seperti barang eletrik, tilam, almari dan lain- lain lagi dan berharap nama-nama yang tersenarai ini adalah yang layak sahaja.
"Kita akan turun ke setiap kampung untuk menyampaikan bantuan tersebut” katanya.
Wan Hapandi ditemui pemberita ketika program serahan bantuan barang keperluan rumah di Kampung Kubang Miang.
“Saya berharap dengan sumbangan ini akan meringankan beban atau urusan keluarga serta memudahkan kerja harian mereka,” ujarnya.
09 Oct 20
115
Patuhi SOP Dan Teruskan Berdoa
BESUT, 8 Oktober- Orang ramai diharap terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19 memandangkan angka positif jangkitan wabak itu semakin meningkat.
Pegawai Penyelaras Dewan Udangan Negeri (DUN) Hulu Besut, Mat Daik Mohamad berkata,sebagai rakyat kita perlulah ikuti peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan dan bersama-sama membendung wabak ini.
"Sebagai umat Islam perlulah sentiasa berdoa, memperbanyakkan solat hajat serta menjaga kebersihan diri setiap masa.
"Antara langkah pencegahan yang disyorkan termasuk membasuh tangan, memakai pelitup muka apabila berada ditempat awam, mengekalkan jarak dari orang lain, dan pengasingan diri selama 14 hari untuk orang yang disyaki dijangkiti," ujarnya kepada pemberita selepas mengadakan ziarah kebajikan di Kampung Gaung, Hulu Besut, baru-baru ini.
Katanya, jika seseorang itu mengalami simptom seperti batuk, sakit tekak dan sebagainya teruslah membuat ujian saringan COVID-19 di hospital berdekatan.
08 Oct 20
96
109 Ketua Isi Rumah Terima Bantuan Mangsa Bencana
KEMAMAN, 8 Oktober - Seramai 109 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan dalam satu Majlis Penyerahan Wang Ihsan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) Peringkat Daerah Kemaman Tahun 2019/2020 yang berlangsung di Dewan Sivik Kampung Gong Limau, hari ini.
Bantuan itu diberikan bertujuan membantu bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang terlibat semasa bencana banjir yang berlaku pada tahun 2019.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata bantuan ini diberikan kepada setiap KIR yang mewakili jumlah keseluruhan 503 mangsa banjir yang melibatkan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Air Putih (14 KIR) dan DUN Kijal (95 KIR).
"Peruntukan ini disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selaku sekretariat Pengurusan Bencana Peringkat Daerah untuk diagihkan kepada penerima bantuan mangsa banjir dengan kolaborasi Pejabat Daerah Kemaman," ujarnya.
Katanya lagi, jumlah bantuan yang diterima bagi setiap KIR adalah sebanyak RM500 dan melibatkan jumlah keseluruhan RM54,500.00.
"InsyaAllah, dalam bulan November nanti saya akan minta seluruh masjid di daerah ini untuk mengadakan solat hajat supaya kita semua dihindarkan daripada bencana banjir besar tahun ini," ujarnya ketika berucap merasmikan program tersebut.
Turut bersama dalam majlis tersebut, ADUN Air Putih, Abd Razak Ibrahim, Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad A.Rahman @ Othman, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kemaman, Kapt. (PA) Mohd Suhaimi Awang @ Muhammad dan Penolong Pengarah SPRM Cawangan Kemaman, Nurul Hafanah Ahmad.
08 Oct 20
957
Anak ‘Cleaner’ Derita Sakit Saraf Dapat Pembelaan
SETIU, 8 Oktober - Derita Nazmi Hazwan Kamal,14, yang mengalami sakit saraf sejak empat tahun lalu mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit apabila menerima bantuan kelmarin.
Menurut ayahnya, Kamal Abdullah, 55, menyifatkan tidak ada perkara yang paling membahagiakan selain diberi perhatian oleh kerajaan negeri.
Katanya, bantuan yang disalurkan serta kesungguhan kerajaan dalam meneyelesaikan status penerima bantuan Tabung Darul Iman (TDI) dalam kadar segera memberi kelegaan buat mereka sekeluarga.
“Kami tidak mempunyai mana-mana punca pendapatan tetap selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sebanyak RM200 sebulan untuk kegunaan mereka sekeluarga termasuk kos perubatan.
“Setakat ini hanya menerima bantuan JKM dan dulu pernah dapat bantuan Tabung Darul Iman, kemudian bantuan tersebut dihentikan seketika, sehinggalah pada hari ini, saya mendapat kembali bantuan tersebut,” ujarnya.
Dia berkata demikian ketika lawatan dan penyerahan bantuan TDI Pembantu Penyelia Hal Ehwal Masyarakat DUN Batu Rakit, Mohd Fadhol Ismail di Rumahnya Kampung Kubur Timah, semalam.
Katanya lagi, bekerja sebagai tukang sapu sekolah dengan gaji RM1,100 sebulan membuatkan keluarganya terbeban dengan kos kehidupan serta rawatan harian.
“Alhamdulillah, sudah banyak kali kami menerima bantuan pampers dari TDI, ianya dapat meringankan beban kewangan terutamanya harga pampers yang sangat mahal hari ini.
“Terima kasih kepada mewakili Pegawai Penyelaras Batu Rakit yang datang berkunjung ke rumah kami dan menyerahkan bantuan pampers hari ini,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Fadhol berkata, sumbangan itu akan memastikan rakyat yang berhak mendapat bantuan berkala atau bulanan sama ada daripada JKM, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Tabung Darul Iman atau bantuan langsung dari Pusat Khidmat Masyarakat.
“Hasrat kita ialah untuk memastikan tiada berlaku keciciran bagi yang berhak mendapat sebarang bantuan dan kita akan berusaha gigih ke arah pelaksanaannya,” katanya.
07 Oct 20
260