lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

100 Penduduk Terima Bantuan Kaca Mata Percuma
100 Penduduk Terima Bantuan Kaca Mata Percuma
Hulu Besut, 2 November - Seramai 100 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut yang kurang berkemampuan menerima bantuan kaca mata percuma. Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut, Mat Daik Mohamad berkata, bantuan yang disumbangkan kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu menyasarkan golongan warga emas serta kategori B40.  "Alhamdulillah program sumbangan seperti perlu diteruskan untuk membantu bagi mereka yang memerlukan. "Ianya nampak biasa tetapi besar bagi mereka yang kurang berkemampuan serta dapat meringankan beban mereka terutamanya golongan warga emas yang tidak mempunyai pendapatan tetap," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pemeriksaan mata bertempat di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Besut. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan usaha murni tersebut. "Terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang mengenal pasti mereka yang layak serta mereka yang memerlukan," jarnya.
01 Nov 20
539
Kubur Usia Lebih 100 Tahun Dibina Pagar
Kubur Usia Lebih 100 Tahun Dibina Pagar
KEMAMAN, 1 November - Tanah Perkuburan Islam Lama Kampung Tengah Chukai yang berusia melebihi 100 tahun telah dibina pagar yang baharu. Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tengah Chukai, Muhammad Azizi Zakaria memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas pembinaan pagar kubur itu. "Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat kerana memberikan sumbangan sekali gus menjayakan pembinaan pagar di tanah perkuburan di sini. "Terima kasih juga kepada Abdul Halim Embong (Pak Wang Che Ta) dan Mohamad Kolid Abu Bakar (Timbalan Pengerusi MPKK) yang telah banyak berjasa menjaga kubur ini secara sukarela," ujarnya. Katanya lagi, walaupun kubur berkenaan tidak digunakan lagi untuk pengebumian, namun kebersihan di kawasan itu perlu dijaga dengan sebaiknya. "Harapan saya semoga dengan pembinaan pagar ini dapat menjamin kebersihan kawasan kubur ini daripada pembuangan sampah, laluan motosikal dan sebagainya," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Pembinaan pagar itu telah menelan belanja sebanyak RM20,000. Beliau yang juga Setiausaha Kelab Anak Muda Prihatin Kampung Tengah Chukai turut mengharapkan sumbangan daripada orang ramai untuk memasang beberapa papan tanda berkaitan tanah perkuburan yang dianggarkan berjumlah hampir RM3,000. Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Muamalat Bank 13020000043713 (Kelab Anak Muda Prihatin Kampung Tengah) atau terus hubungi 01119313317 (Isa Abdullah) dan 01114952408 (Muhammad Azizi Zakaria).
01 Nov 20
1624
i-MiTS Bukit Besi Santuni Anak Muda
i-MiTS Bukit Besi Santuni Anak Muda
DUNGUN, 2 November- Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi sentiasa menyantuni anak muda bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan terbela. Pembantu Penyelia Hal Ehwal Belia i-MiTS DUN berkenaan, Che Wan Mohd Fikri Che Wan Mubin berkata, pihaknya mengadakan program ziarah mengikut beberapa kriteria dan kategori "Dimana keutamaan kita adalah menziarahi anak muda yang dikategorikan sebagai kurang berkemampuan, sakit , hilang punca pendapatan disebabkan pandemik COVID-19, mempunyai tangunggan yang ramai dan sebagainya yang kita fikir wajar untuk kita ziarahi. "Dengan cara berkenaan kita dapat menyelami keperitan mereka yang dikategorikan sebagai generasi kedua untuk kita caknai dan cuba memberi bantuan serta memberikan maklumat atau saluran yang mereka boleh manfaatkan daripada Kerajaan Negeri Terengganu, kita bertindak sebagai pemudahcara untuk membantu mereka samada ingin mendapat bantuan bulanan, memulakan perniagaan dan sebagainya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, ketika menziarahi generasi kedua, Felda Jerangau baru-baru ini. Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman "Semoga dengan kecaknaan dan keprihatinan ini membantu kerajaan bagi memastikan setiap agenda kebajikan kearah memastikan Terengganu mencapai sebagai sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera dengan mana seluruh penduduk dapat diberikan perhatian,"ujarnya.
01 Nov 20
305
Gara-Gara Kritikan, Faiz Kini Kuasai Pasaran Dim Sum Halal
Gara-Gara Kritikan, Faiz Kini Kuasai Pasaran Dim Sum Halal
Foto : Atika Hussin BESUT, 1 November - Walaupun berdepan pelbagai dugaan, dan pernah dikatakan melakukan kerja  'gila' ketika memulakan perniagaan dim sum di sebuah kampung dalam Daerah Besut Che Faiz Man kini menguasai pasaran dim sum halal. Pemilik LeBest Dim Sum itu berkata hasil yang dikecapinya hari ini memerlukan usaha keras dan pengorbanan yang memakan masa hampir tiga tahun. Beliau yang bermula dengan menjual dim sum frozen (sejuk beku), menerima kritikan daripada rakan-rakannya yang mengatakan makanan tersebut hanya sesuai untuk orang-orang di bandar besar dan ditambah pula dengan harganya yang agak mahal berbanding dengan makanan biasa. Bekas pelajar kejururawatan ini sebaliknya menjadikan kritikan tersebut sebagai pembakar semangatnya dan selepas yakin dengan sambutan yang diterima, beliau mengorak langkah dengan mula membuka kedai kecil di tepi jalan raya dan pada 2019,  membuka premis di Dataran Limbongan, Kampung Raja. “Saya asalnya bekerja di sebuah training company (syarikat latihan) di Shah Alam kemudian pulang ke Besut dan rasa mahu mengusahakan sebuah kedai makanan tetapi masalah saya pada masa itu, di Besut sudah banyak kedai makanan. “Pada masa yang sama kedai makan ini banyak masalah, nak kena ada tukang masak dan sebagainya lagi pula, saya bukan daripada bidang makanan. Jadi saya boleh kata, saya ni terjebak secara tidak sengajalah. “Saya lihat dim sum ini satu benda yang tak ada orang buat lagi di Besut, jadi pada masa itu saya fikir mahu jadi perintis dan biasanya market (pasaran) tu lagi luas lah apabila benda baru cuma atas berani atau tidak sahaja untuk ambil risiko,” ujarnya. Che Faiz berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di premisnya di Dataran Limbongan, baru-baru ini. Anak jati Besut itu turut mengakui bahawa dia tidak percaya dengan sambutan yang diterimanya dan apa yang telah diperolehinya hari ini, selepas mengharungi detik sukar untuk bertahan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, awal tahun lalu.  “Pesanan saya untuk anak muda yang mahu memulakan perniagaan, paling utama kita kena ada ilmu sebab kita tak boleh semata-mata nak ikut orang, orang boleh arah kita untuk buat begini, begini tetapi kadang-kadang tahap pemahaman berbeza. “Jadi sebelum kita nak terjun sesuatu bidang tu kita kena ada ilmu dalam bidang tersebut, saya sendiri bila saya nak masuk bidang makanan, saya memang tanya orang dulu, belajar, tanya, apabila kita dapat maklumat yang cukup baru kita buat. “Kemudian satu lagi kita kena rancang, bila kita tidak merancang, kita tak tahu perniagaan kita nak pergi sampai ke tahap mana dan yang paling penting, kena berani ambil risiko serta kena pandai urus risiko jangan ambil risiko saja tapi tak pandai urus,” katanya. Perniagaan ini turut menerima suntikan dana daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga Nasional (TEKUN Nasional) pada tahun 2009 dan telah terpilih untuk Program Dana Usahawan Belia Sejahtera (UBES) di bawah kendalian Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU). LeBest Dim Sum pernah tular dalam kalangan penduduk sekitar Besut kira-kira dua tahun yang lalu sebelum melangkau jauh dan mampu menyewa sebuah premis khas di Dataran Limbongan, bersebelahan dengan Masjid Al-Islah, Limbongan. Dim sum merupakan makanan yang berasal daripada masyarakat Cina, iaitu sejenis makanan yang menggunakan tepung sebagai kulitnya dan diisi dengan ayam, daging atau bahan-bahan lain dan kemudian dimasak dengan cara kukus atau goreng.
01 Nov 20
6404
Cegah Jenayah Tanggungjawab Bersama
Cegah Jenayah Tanggungjawab Bersama
BESUT, 2 November - Orang ramai perlu menjadi 'mata dan telinga' polis dalam usaha mencegah jenayah yang berlaku di sekitar kawasan mereka. Pegawai Penyelaras Dun Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, tidak dinafikan tanggungjawab memerangi jenayah adalah tugas utama PDRM, namun tanpa kerjasama dan sokongan masyarakat, usaha itu sukar dipenuhi. "Setiap kelompok masyarakat harus bertanggungjawab mengatasi masalah jenayah ditempat sendiri kerana tanggungjawab bagi membendung masalah jenayah yang berlaku adalah tanggungjawab bersama. "Masyarakat juga bertanggungjawab untuk menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat dimana mereka perlu bergerak bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang fokus membantu mencegah jenayah dan tampil ke hadapan dalam pelbagai kaedah ke arah mewujudkan persekitaran yang selamat," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia Daerah Besut yang berlangsung di Dewan Sivik Gong Nering, Jerteh, baru-baru ini. Sementara itu, Wan Azhar berharap persatuan itu terus maju ke hadapan dan saling berdaya saing bagi membentuk persekitaran yang harmoni.    
31 Oct 20
1117
Terengganu Dan Norma Baru
Terengganu Dan Norma Baru
HULU TERENGGANU, 1 November - Masyarakat di Terengganu mulai terbiasa dengan pengamalan norma baharu yang diarah oleh kerajaan dalam setiap aktiviti harian. Dalam tinjauan baru-baru ini di lokasi Pasar Pagi Jumaat di Kampung Bukit Diman, Ajil, boleh dikatakan semua pengunjung mengenakan pelitup muka sebagai usaha mengurangkan keberjangkitan virus COVID-19. Pengunjung Pasar Pagi Jumaat di Kampung Bukit Diman. Seorang pengunjung yang ditemui, Wan Fauziah Wan Ali 48, berkata, ianya perlu dilakukan walaupun pada mulanya agak merimaskan bila ditanya tentang norma baharu ini. "Ianya perlu dilakukan dan diamalkan walaupun sedikit merimaskan demi mengurangkan jangkitan virus ini. "Kalau kita tengok pada pagi ini semua orang memakai pelitup muka, ini bermakna kesedaran oleh masyarakat sudah di tahap terbaik. "Tapi yang masih meresahkan saya adalah jarak selamat iaitu jarak satu meter di antara setiap pengunjung masih belum dapat diamalkan," katanya. Wan Fauziah mengharapkan agar perkara ini dapat diberi sedikit perhatian oleh pihak berkuasa dalam memerangi virus ini dan juga berharap agar pandemik itu segera berakhir. "Kalau kita sama-sama menjaga dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan insya-Allah ianya dapat diatasi dan perbanyakkan doa semoga ianya cepat berakhir, kita jaga kita," ujarnya.
31 Oct 20
1522
AGRO Bank Tawar Pinjaman Sehingga RM50 Ribu
AGRO Bank Tawar Pinjaman Sehingga RM50 Ribu
KEMAMAN, 1 November - AGRO Bank menawarkan pinjaman atau pembiayaan mudah maksima sehingga RM50 ribu bagi setiap permohonan dengan bayaran balik selama lima tahun tanpa cagaran dan penjamin. Pengarah Agro Bank Wilayah Timur, Syed Ibrahim Syed Mohd menjelaskan, pembiayaan ini disasarkan kepada petani, nelayan, penternak dan pemain yang berkaitan dengan asas tani. Syed Ibrahim sedang berucap, Hazri Jusoh (dua dari kanan). "Kami menyasarkan pembiayaan mudah ini kepada petani, penternak, nelayan dan individu, koperasi atau syarikat yang mengeluarkan produk makanan berasaskan pertanian sama ada yang berskala kecil mahupun besar. "Justeru itu, saya menyeru kepada semua supaya dapat menghebahkan perkara ini kepada mereka yang memerlukan dan mengambil peluang ini untuk dimanfaatkan. Siapa cepat dia dapat," katanya. Syed Ibrahim berucap ketika sesi taklimat di Balai Raya Kampung Jong Belaboh pada 27 Oktober lalu. Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kijal, Ustaz Hazri Jusoh yang turut berucap sebagai tuan rumah menyarankan kepada belia dan beliawanis supaya merebut peluang yang ada ini. "Kepada para pemuda dan pemudi yang beminat di dalam sektor ini, rebutlah peluang yang terbuka ini. "Banyak aduan dan rintihan yang diterima sebelum ini kebanyakannya ketiadaan modal bagi memulakan projek sama ada pertanian maupun penternakan. Inilah masanya," ucapnya. Sesi taklimat itu dianjurkan oleh urusetia Koperasi Jong Belaboh bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung tersebut. Sebanyak RM350 juta yang diperuntukkan kepada AGRO Bank oleh Kerajaan Malaysia di bawah skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk diagihkan ke seluruh negara.
30 Oct 20
2001
Manir Corp Juarai Kejohanan Futsal Tertutup Teluk Menara
Manir Corp Juarai Kejohanan Futsal Tertutup Teluk Menara
HULU TERENGGANU, 30 Oktober - Pasukan jemputan Manir Cops Polis PDRM Balai Manir muncul juara Kejohanan Futsal Padang Tertutup anjuran Kelab Belia Sahabat Sejahtera Teluk Menara yang diadakan semalam. Di perlawanan akhir, Manir Cops menewaskan KUDQI B 1-0 untuk membawa pulang hadiah wang tunai, KUDQI B akur dikedudukan naib johan, manakala tempat ketiga KUDQI A dan empat keempat Geng Ngutip FC. Hadir menyaksikan perlawan akhir dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato’ Harun. Turut hadir, Ketua Belia Sejahtera Manir Umar Abu Dardak Suhaimi dan Ketua DACS DUN Manir Zulkifli Ngah. Sebanyak 10 pasukan menyertai kejohanan kali ini dalam pusingan liga yang berentap pada sesi pagi dan petang sebelumnya bagi menentukan kelayakan ke pusingan akhir dan separuh akhir. Kejohanan tersebut diadakan di padang bola kampung Teluk Menara bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di antara para pemain disamping mengamalkan aktiviti ke arah gaya hidup sihat melalui bersukan.
30 Oct 20
694
MPKK Terima Binaan Papan Tanda Dari Ahli Parlimen
MPKK Terima Binaan Papan Tanda Dari Ahli Parlimen
KEMAMAN, 1 November - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Che Wan, Kijal menerima binaan papan tanda kampungnya daripada Ahli Parlimen Kemaman. Pengerusinya, Che Wan Rozlan CW Muda, 43, mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Alias Hamid menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kemaman di atas sumbangan tersebut. Che Wan Rozlan. "Ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Ahli Parlimen Kemaman di atas sumbangan yang amat bermakna ini. "Insya-Allah dengan papan tanda yang cantik ini semoga ianya menyuntik semangat kami untuk terus menceriakan dan memakmurkan lagi kampung ini. "Selain daripada binaan ini, kami juga telah menyiapkan beberapa tanda jalan dan tanda perlahankan kenderaan dengan peruntukan ini," ujarnya lagi. Che Wan Rozlan ditemui pemberita bersama ahli jawatankuasanya di tapak binaan papan tanda tersebut di sini baru-baru ini. Turut hadir dalam majlis itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kijal, Ustaz Hazri Jusoh dan Setiausaha Kerja Parlimen, Shafiee Embong.
30 Oct 20
550
Rumah dan Kilang Keropok Rosak Teruk Dilanda Ribut
Rumah dan Kilang Keropok Rosak Teruk Dilanda Ribut
BESUT, 29 Oktober- Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut berdepan ujian apabila ribut kuat dan hujan lebat melanda petang semalam yang mengakibatkan banyak kerosakan rumah penduduk di sini. Selain rumah penduduk, kilang keropok juga menerima nasib yang sama apabila dua buah kilang keropok di Kampung Kayu Kelat, Besut runtuh dilanda ribut yang sangat kuat. Terdapat rumah penduduk di Kampung Lay Out Tok Saboh ditimpa pokok besar yang tumbang sehingga menyebabkan kerosakan teruk ke atas rumah tersebut. Seorang mangsa Mohamad Noor Drahman, 71 ketika ditemui berkata kesemua atap rumahnya tercabut dan hanya tinggal syiling sahaja. Musibah yang menimpa penduduk itu mendapat perhatian Pegawai  Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh yang meluangkan masa melawat mangsa ribut di Kampung Tok Saboh, Lay Out Tok Saboh, Kayu Kelat dan Alor Jejawi. Katanya, Kampung Lay Out Tok Saboh, Kayu Kelat dan Tok Saboh antara yang terjejas teruk. "Kepada manga-mangsa ribut sila laporkan kepada Pengerusi  Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing untuk pihak Pusat Khidmat DUN mengambil tindakan segera. "Kita akan mengutamakan rumah-rumah penduduk terlebih dahulu untuk dibaiki supaya penduduk mempunyai tempat untuk berlindung. "Saya berharap semua mangsa bersabar dengan ujian Allah ini dan kita sama-sama menyelesaikan dengan secepat mungkin", ujarnya.  
29 Oct 20
1021