Artikel "Komuniti" Terkini
Terengganu Agih RM1.082 Juta Insentif Kemenangan SUKMA, Para SUKMA
Sebanyak RM1.082 juta disampaikan kerajaan negeri hari ini, sebagai insentif kemenangan bagi menghargai sumbangan atlet dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan (Skan Para (Para) SUKMA pada tahun 2024.
23 Mar 25
85
500 Asnaf DUN Wakaf Mempelam Terima Sumbangan Zakat Menjelang Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Seramai 500 asnaf dari 35 buah kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam menerima sumbangan zakat berupa wang tunai RM100 serta sekampit beras seberat lima kilogram dalam majlis yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata program ini merupakan tradisi Pusat Khidmat Masyarakat yang diadakan setiap tahun menjelang lebaran bagi memastikan golongan asnaf dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria dan sejahtera.
Menurut beliau, sumbangan ini adalah hasil kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk individu perseorangan, syarikat-syarikat swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang prihatin terhadap kebajikan golongan yang memerlukan bagi membantu meringankan beban menjelang sambutan Aidilfitri.
“Kami amat berterima kasih kepada semua penyumbang yang sudi menghulurkan bantuan demi meringankan beban golongan asnaf di kawasan ini. Dengan adanya sumbangan ini, diharapkan mereka dapat membuat persiapan raya dengan lebih baik,” katanya.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa satu lagi program sumbangan seumpama ini akan diadakan pada 27 Mac nanti dengan kerjasama syarikat korporat bagi memperluaskan lagi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
Sementara itu, seorang penerima, Ariani Amzah, 47, dari Kampung Losong yang merupakan ibu tunggal, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan.
Katanya, sumbangan tersebut sedikit sebanyak membantu persiapan Aidilfitri, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
“Setiap kali menjelang Aidilfitri, saya hanya membuat persiapan ala kadar sahaja kerana masih terasa kehilangan ibu yang meninggal dunia pada malam raya dua tahun lalu. Namun, dengan adanya sumbangan ini, sedikit sebanyak meringankan beban saya dan anak-anak,” katanya.
Seorang lagi penerima, Mohamad Jusoh, 66, dari Kampung Che Long, turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
“Saya mempunyai 10 orang anak, dan dengan adanya sumbangan ini, dapatlah saya menampung keperluan keluarga terutama dalam membuat persiapan Aidilfitri.
"Beras yang diterima ini pun boleh digunakan untuk memasak pada hari raya nanti. Saya juga lihat proses pemberian sumbangan pun berjalan lancar,” katanya.
22 Mar 25
221
979.76 Kilogram Lebihan Makanan Bazar Diagih Ke Masjid
Oleh: Nooreni Abu Bakar
HULU TERENGGANU, 22 Mac - Sebanyak 979.76 kilogram (kg) lebihan makanan yang tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar telah berjaya dikumpul dan diagihkan ke beberapa buah masjid di daerah ini.
Jurucakap Unit Korporat dan Komunikasi, Politeknik Hulu Terengganu memberitahu,
ia merupakan satu inisiatif pengurusan lebihan makanan “Food Waste Management” di Bazar Ramadan Rahmah (BRR), Kuala Berang dalam usaha menyelamatkan makanan dan minuman yang tidak habis dijual oleh peniaga bazar.
"Agihannya adalah ke Masjid Al-Hijrah Kampung Tengkawang, Masjid Kampung Kuala Jeneris, Masjid As-Syakirin Kuala Ping, Masjid Seri Mulia Kampung Kepah dan juga pelajar - pelajar Politeknik Hulu Terengganu," ujarnya dalam satu kenyataan.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Terengganu (KPDN) dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) yang melibatkan 29 orang ahli Gerakan Pengguna Siswa Politeknik Hulu Terengganu (GPSPHT) sebagai sukarelawan diadakan selama empat hari iaitu pada 12, 13, 16 dan 17 Mac 2025.
"Program ini selaras dengan Matlamat Kedua (SDG2) Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) iaitu Kelaparan Sifar (Zero Hunger) dan Matlamat Ke-12 (SDG12) iaitu Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab (Responsible Consumption and Production).
"Ianya disambut baik oleh peniaga dan berhasil memberikan pengalaman berharga kepada semua sukarelawan," ujarnya lagi.
22 Mar 25
278
125 Asnaf Dirai, Terima Sumbangan
BESUT, 24 Mac – Seramai 125 golongan asnaf menerima sumbangan dalam Majlis Iftar Perdana Parlimen Besut yang berlangsung di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah baru-baru ini.
Program itu dianjurkan bagi membantu mereka yang memerlukan serta mengeratkan ukhuwah antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Sumbangan disampaikan oleh Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, bersama Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman.
Menurut Che Mohamad Zulkifly, inisiatif tersebut merupakan tanda keprihatinan kepada golongan yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban mereka serta membawa kegembiraan dalam menyambut Ramadan,” katanya.
Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada asnaf, diikuti tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Adam Said bagi memberikan peringatan rohani kepada para hadirin.
Acara diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa, sebelum majlis berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah.
Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan majlis tersebut.
“Kehadiran ramai penduduk menyemarakkan lagi majlis ini. Terima kasih kepada semua petugas dan sukarelawan yang bekerja keras. Semoga usaha ini diberkati,” katanya.
22 Mar 25
46
Cuti Raya Tambahan : Dr. Sam Umum Minggu Depan
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, sebarang keputusan tentang cuti tambahan Aidilfitri akan dimaklumkan kemudian.
20 Mar 25
171
100 Anak Yatim Terima Sumbangan Kasih Sempena Ramadan
HULU TERENGGANU, 20 Mac – Dalam menyemarakkan keberkatan akhir Ramadan dan syawal yang bakal tiba, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir melaksanakan amanah menyantuni 100 anak yatim melalui program agihan 'Sumbangan Kasih'.
ADUN Manir, Hilmi Harun berkata, menyantuni anak yatim adalah amalan mulia yang sangat dituntut dalam Islam.
"Memberi kegembiraan kepada anak yatim adalah amalan yang sangat besar pahalanya. Semoga sumbangan ini mampu mengukir senyuman di wajah mereka dan memberi keceriaan dalam menyambut Aidilfitri," ujar beliau ketika berucap menyempurnakan majlis tersebut di Dewan Al-Kawthar Kubang Lembek, di sini, baru-baru ini.
Beliau turut mengajak masyarakat agar sentiasa mengambil peluang untuk berbuat kebaikan, lebih-lebih lagi di bulan yang penuh berkat ini.
Majlis yang diadakan dengan penuh sederhana namun bermakna itu menyaksikan anak-anak yatim menerima sumbangan berupa keperluan asas dan duit raya sebagai persiapan keluarga mereka menyambut Aidilfitri.
Majlis diakhiri dengan sesi penyerahan sumbangan bergambar serta jamuan berbuka puasa bersama, simbolik kepada jalinan ukhuwah yang terjalin antara masyarakat dan anak-anak bertuah itu.
"Semoga usaha murni ini menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyemai kasih sayang, keprihatinan, dan empati terhadap golongan yang memerlukan, seiring dengan tuntutan Islam untuk memelihara dan menyantuni anak yatim," ujarnya.
19 Mar 25
119
Nikmati Kemeriahan Moreh Secara Beradab
Oleh: Mohamad Farhan Anam
KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Umat Islam yang mengunjungi lokasi moreh yang tumbuh bak cendawan di negeri ini diingatkan agar memelihara adab dan menjaga kesopanan sepanjang bulan Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mengakui, sokongan terhadap aktiviti moreh bukan sahaja membantu meningkatkan ekonomi rakyat tetapi juga mampu menarik pelancong ke Terengganu.
"Kak Da sangat berharap agar suasana moreh ini dihiasi dengan adab yang baik.
“Tidak perlu hiburan keterlaluan, hormatilah kemuliaan Ramadan. Jagalah aurat dan batas pergaulan agar program yang baik ini tidak tercemar dengan perkara yang merosakkan keindahan bulan yang penuh berkah," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang mengimarahkan suasana disamping mengadakan program dakwah di salah satu lokasi moreh dengan pengisian ‘Chit Chat Ramadan’ bersama penceramah tersohor negara, Datuk Dr. Norhafizah Musa.
Mengulas lanjut, dengan berbaki kurang dua minggu sebelum Ramadan melabuhkan tirai, beliau menyeru orang ramai agar terus memanfaatkan bulan penuh kemuliaan ini dengan memperbanyakkan ibadah dan menikmati kemeriahan moreh secara beradab serta bermaruah.
"Alhamdulillah, ramai yang hadir bukan sekadar untuk membeli juadah, tetapi juga untuk menadah ilmu. Dalam masa yang sama, mereka turut menyokong para peniaga tempatan," ujarnya.
Katanya, keunikan suasana moreh di Terengganu dapat dilihat apabila kawasan jualan menjadi tumpuan selepas solat tarawih, malah ada dalam kalangan wanita yang masih mengenakan telekung solat ketika membeli juadah untuk mengalas perut selepas beribadah.
19 Mar 25
172
140 Golongan Asnaf Kampung Tengah Terima Agihan Zakat
BESUT, 19 MARCH 2025 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Azbi Salleh yang juga pemilik Kedai Emas Sri Ayu, telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan memberikan sumbangan zakat kepada 140 golongan asnaf dalam satu majlis yang diadakan di Surau Al-Amin, Kampung Tengah.
Menurut beliau, agihan zakat ini melibatkan tujuh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terdiri daripada Kampung Tengah, Kampung Pantai, Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Bayu, Kampung Pekan Lama, Kampung Pekan Baru, dan Kampung Nail.
Azbi berkata, zakat merupakan platform yang tepat untuk membantu golongan yang memerlukan sebagaimana yang dituntut di dalam ajaran Islam, terutamanya menjelang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Zakat adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka dan memberikan sedikit kegembiraan dalam menyambut bulan yang mulia ini,” ujarnya ketika ditemui.
Setiap penerima zakat menerima bantuan kewangan yang diharapkan dapat digunakan untuk mendapatkan keperluan harian dan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
"Penerima sumbangan, terdiri daripada kalangan ibu tunggal dan keluarga yang terjejas serta mereka yang tergolong sebagai golongan asnaf.
"Majlis ini juga disertai oleh Pengerusi-Pengerusi dari JPPK yang terlibat, yang turut membantu dalam proses pengagihan zakat,"ujarnya.
18 Mar 25
209
200 Asnaf Terima Zakat Perniagaan Emas Dimiliki ADUN
BESUT 18Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut,Azbi Saleh telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan memberikan sumbangan zakat dari Kedai Emas Sri Ayu dimilikinya kepada 200 orang golongan asnaf.
Majlis agihan sumbangan tersebu telah diadakan semalam di Masjid Haji Daud, Alor Teratai, dan melibatkan 10 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat.
Penerima terdiri daripada penduduk Kampung Alor Teratai, Kampung Alor Jejawi, Kampung Tok Saboh, Kampung Sri Kemunting, Kampung Taman Sri Seratus, Kampung Pachakan, Kampung Gertak Seratus, Kampung Kayu Kelat, Kampung Alor Pisang, dan Kampung Taman Tasik.
Menurut Azbi penerima terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk ibu tunggal, warga emas dan keluarga yang kurang berkemampuan.
"Setiap penerima menerima bantuan kewangan yang diharapkan dapat meringankan beban mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.
“Sumbangan ini adalah salah satu cara untuk kita membantu golongan yang memerlukan. Saya berharap bantuan ini dapat memberikan sedikit kegembiraan dan meringankan beban mereka dalam persiapan menyambut hari raya,"ujarnya.
Tambah beliau, melihatkan penduduk menerimanya dengan perasaan penuh syukur dan memahami ramai yang berharap agar agar lebih banyak inisiatif seperti itu akan terus dilaksanakan pada masa akan datang.
"Semoga majlis seumpama ini akan menggalakkan pelbagai pihak untuk tampil membantu dalam kalangan penduduk setempat serta melahirkan semangat kebersamaan,"ujarnya.
18 Mar 25
327
Ladang Rakyat Salur Zakat kepada Asnaf, Sekolah
KEMAMAN, 17 Mac – Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd (LRTSB) terus komited membantu masyarakat dengan meningkatkan sumbangan zakat tahunan kepada golongan asnaf dan institusi pendidikan, selaras dengan prestasi kewangan syarikat yang semakin kukuh.
Ketua Eksekutif LRTSB, Che Ku Hafeez Che Ku Denang berkata, pendapatan syarikat meningkat daripada RM9.58 juta pada tahun 2023 kepada RM37.18 juta pada tahun 2024, membolehkan syarikat menyalurkan zakat sebanyak RM1,373,332 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), termasuk RM343,333 yang diperuntukkan kepada golongan memerlukan.
“LRTSB turut memperluaskan bantuan kepada lebih banyak sekolah dalam usaha menyokong sistem pendidikan dan kebajikan pelajar.
"Pada tahun 2023, sebanyak 10 sekolah dengan 1,524 pelajar menerima bantuan, lebih membanggakan jumlah ini meningkat kepada 14 sekolah yang melibatkan 1,584 pelajar pada tahun 2024,” ujarnya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Zakat Kepada Asnaf & Sumbangan Aidilfitri Kepada Pekerja LRTSB 2025 di Cheneh Recreation & Resort.
Katanya, sekolah-sekolah yang menerima bantuan ini terdiri daripada institusi pendidikan di sekitar kawasan operasi syarikat, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ceneh Baru, SMK Cerul, SMK Seri Ceneh, SMK Durian Mas, Sekolah Kebangsaan (SK) Cheneh Baru, SK Felda Cherul, SK Pecah Rotan, SK Simpang Rawai, SK Pagar Besi, SK Bukit Wan, SK Durian Mas 1, SK Durian Mas 2, dan SK Lembah Bidong.
Selain itu, LRTSB turut mengagihkan zakat kepada beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk DUN Wakaf Mempelam, DUN Air Putih, DUN Chukai, DUN Kemasik dan DUN Batu Rakit sebagai sebahagian daripada usaha memastikan bantuan sampai kepada lebih ramai penerima yang layak.
Che Ku Hafeez turut berharap sumbangan ini dapat meringankan beban golongan asnaf serta membantu sekolah dalam menyediakan pendidikan yang lebih baik kepada pelajar.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah LRTSB, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemberian zakat ini bukan sekadar memenuhi kewajipan, tetapi turut menjadi bukti keprihatinan syarikat dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan, terutama dalam menyambut Syawal yang bakal tiba.
“Saya percaya bahawa setiap rezeki yang dikongsi akan membawa keberkatan, bukan sahaja kepada penerima, tetapi juga kepada seluruh organisasi.
"Semoga bantuan ini dapat meringankan beban golongan asnaf serta kakitangan LRTSB sempena Aidilfitri ini,” katanya.
Beliau yang hadir bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan ini turut menyeru semua pihak bersama-sama mendoakan agar LRTSB terus maju, berkembang dan mencapai keuntungan lebih besar supaya syarikat dapat terus menyalurkan lebih banyak sumbangan serta berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
17 Mar 25
290