Artikel "Ekonomi" Terkini
Rakyat Terengganu Diseru Isi PRT20
KUALA TERENGGANU, 25 September – Semua warga Terengganu diseru untuk mengisi dan melengkapkan data Profil Rakyat Terengganu (PRT20) bagi mengelakkan sebarang keciciran dalam pelbagai sektor di masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, PRT20 telah diwujudkan pihaknya bagi mengumpul data penduduk supaya pentadbiran kerajaan dan kebajikan masyarakat dapat diperkasa.
Katanya, PRT20 adalah rujukan kerajaan dan ‘platform’ untuk menyusun strategi yang berkait sosioekonomi, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, aktiviti-aktiviti pelancongan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Sistem ini turut berperanan untuk memastikan rakyat tidak tercicir dalam menerima bantuan disebabkan tiada data penduduk.
“Bagi fasa pertama, sasaran 30 peratus jumlah penduduk di seluruh Terengganu melibatkan lebih 1,000 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam tempoh September hingga Disember 2020, pengumpulan data kaedah manual secara rumah ke rumah memerlukan penduduk mengisi borang iaitu jenis pertama PRT20A (kad maklumat keluarga) dan PRT20B (borang individu).
“Fasa kedua pula dijangka pada Januari hingga 2021 sasarkan 50 peratus jumlah penduduk, dan Fasa ketiga pada tahun 2022 dalam 20 peratus.
“Proses pengumpulan data dijalankan oleh MPKK seluruh Terengganu, kemudian 16 orang petugas di pejabat pusat khidmat masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di 32 DUN terus ‘key in’ dalam sistem PRT20," katanya ketika bersiaran di Studio TVDI semalam.
Tambah beliau, PRT20 menjadikan Terengganu sebagai negeri yang pertama mempunyai sistem dan data profil secara berpusat di dalam satu pangkalan data.
Katanya, maklumat itu hanya boleh diguna dan diakses oleh kerajaan negeri untuk perangkaan strategi dan bantuan secara lebih terperinci tanpa penglibatan pihak ketiga.
“Buat masa sekarang, pihak kerajaan masih melihat keperluan bagi 300 hingga 400 ribu rakyat Terengganu di luar atau perantau dan kaedah pengisian borang secara online melalui aplikasi seperti Telegram.
“Saya berharap agar semua rakyat negeri Terengganu memberi kerjasama dengan mengisi borang yang disediakan pihak MPKK demi membantu kerajaan negeri dalam menguruskan program berbentuk kebajikan dan bantuan kepada rakyat Terengganu," tambah beliau.
24 Sep 20
36379
TDM Berhad Kongsi RM1 Juta Keuntungan Kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 September - Kumpulan TDM Berhad telah membuat pembayaran perkongsian keuntungan sebanyak RM1,048,928 untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) hari ini di Wisma Darul Iman.
Cek pembahagian keuntungan telah diserahkan kepada Setiausaha LTAWNT, Abd Razak Abd Rahman oleh Pengarah TDM Berhad, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun dan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar.
Pembayaran keuntungan itu adalah hasil daripada usaha sama syarikat tersebut.
Pendapatan perniagaan bahagian perladangan mendatar pada RM188.4 juta tetapi mencatatkan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) dan isirong sawit (PK) yang lebih tinggi pada tahun 2019 berbanding tahun 2018, di mana masing-masing adalah sebanyak 15 peratus dan 13 peratus.
Walau bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi dengan harga jualan purata CPO dan PK yang lebih rendah iaitu sebanyak 8 peratus dan 32 peratus.
Pengerusi TDM, Yang Mulia Raja Dato’ Haji Idris Raja Kamarudin berkata, pembayaran keuntungan adalah bagi membuktikan komitmen syarikat untuk memberikan sumbangan yang berterusan kepada pemilik tanah, hasil daripada tanah yang diuruskan.
"LTAWNT memiliki 1,336 hektar ladang kelapa sawit yang dibangunkan oleh TDM Berhad melalui usaha sama yang ditubuhkan sejak tahun 1996," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan, dan kumpulan pengurusan TDM.
TDM Berhad menjalankan perniagaan mengikut garis panduan Pematuhan Syariah untuk mengekalkan tahap operasi dan produk yang tinggi serta akan terus memberikan nilai, kualiti, dan kecemerlangan kepada semua pihak yang berkepentingan.
"Syarikat kami menjangkakan akan kembali dalam status Pematuhan Syariah berdasarkan metodologi saringan Pematuhan Syariah dalam penilaian seterusnya pada bulan November 2020," jelasnya.
23 Sep 20
2044
Jebat Coffee Mula Beroperasi
Foto oleh : Jebat Photograpicker
KEMAMAN, 20 September - Seperti menjadi ikutan pada hari ini, semakin banyak kedai kopi telah dibuka. Terbaru, sebuah kedai kopi yang dinamakan "Jebat Coffee" mula beroperasi sejak 14 September yang lalu.
Selain rasa kopinya yang enak, Jebat Coffee mempunyai keunikan tersendiri dengan mengekalkan tradisi melayu dengan kakitangan lelakinya yang diwajibkan untuk "Bertanjak" sebagai tema bagi kedai kopi itu.
Pemiliknya, Mohd Hafiz Mahari, 33 tahun memanjat kesyukuran kehadrat Ilahi di atas pembukaan kedai kopinya itu.
"Alhamdulillah, kedai sudah mula beroperasi dan dibuka untuk orang ramai. Saya mengharapkan semua pihak dapat datang ke kedai kami bagi memberi sokongan pada perniagaan yang diusahakan oleh anak muda," ujarnya.
Katanya lagi, pelbagai jenis minuman kopi istimewa yang ada di kedainya seperti kopi jebat, tuah, lekir, lekiu dan kasturi. Manakala makanan yang istimewa iaitu "Char Kuew Teow".
"InsyaAllah untuk masa akan datang kami akan menyediakan dan menambah lebih banyak menu makanan dan minuman.
Semoga ianya memenuhi citarasa pelanggan yang hadir ke kedai kopi kami, seterusnya tidak jemu-jemu untuk terus berkunjung bagi menikmati keistimewaan makanan dan minuman yang ditawarkan di sini," ujarnya ketika ditemui pemberita, semalam.
Beliau yang pernah merangkul pingat emas Sukan SEA ke-25 bagi acara silat olahraga kelas A Putra yang berlangsung di Laos pada tahun 2009 itu turut membuka perniagaan tersebut bersama empat lagi rakan kongsinya.
Kepada peminat kopi yang ingin menikmati keenakan kopi di kedai beliau boleh berkunjung di No 90, Bandar Baru Putra, Kampung Mak Lagam.
22 Sep 20
2874
Wanita B40 Teruja Mulakan Kelas Jahitan Sulam Tampal
KUALA TERENGGANU, 15 September – Para peserta kursus jahitan sulam tampal yang terdiri daripada wanita berpendapatan rendah (B40) di sekitar daerah ini sudah tidak sabar untuk memulakan pembelajaran mereka.
Kursus anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Nor itu dilaksanakan di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Negara ‘Human Resources Development Fund’ (PENJANA HRDF) dan akan memberi manfaat kepada individu untuk jualan secara atas talian.
Wakil Richmind Legacy Sdn Bhd (penyedia latihan), Zuraina Ahmad berkata program ini dinamakan sebagai program jahitan ‘patchwork’ ataupun tampal cantum yang tidak memerlukan sebarang modal.
Zuraina Ahmad.
“Kita hanya menggunakan kain perca yang sedia ada seperti lebihan-lebihan kain jahitan dan kemudian dijadikan satu produk yang baru seperti beg ataupun kotak pensil, beg sandang, bakul dan sebagainya.
“Produk-produk ini boleh dijual dengan harga yang sangat tinggi, jadi kita berharap kemahiran baharu yang dipelajari oleh wanita B40 Kuala Terengganu ini dapat digunakan untuk menjana pendapatan dengan lebih lumayan kerana produk-produk ini dapat dijual dengan harga yang jauh lebih tinggi walaupun tanpa menggunakan modal.
“Wanita-wanita ini asalnya sudah mempunyai kemahiran menjahit, jadi apa yang dilakukan ialah menambah kemahiran menjahit ke satu tahap yang baru,” ujarnya.
Zuraina berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas Majlis Perasmian Kursus Jahitan Sulam Tampal Untuk Jualan Secara Online Bagi Program Pembangunan B40 Daerah Kuala Terengganu di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Wakaf Mempelam semalam.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah, serta Pengarah Urusan Richmind Legacy Sdn Bhd, Ahmad Jafny Jusoh.
Menurut Zuraina lagi, daerah Kuala Terengganu adalah ‘pilot programme’ (program pertama) yang dijalankan.
Katanya, kejayaan program tersebut akan menjadi kayu ukur untuk dipertimbang dan dikembangkan ke daerah-daerah dan negeri lain.
ADUN Wanita bersama sebahagian peserta.
“Kami menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu terutamanya kepada ADUN Wanita yang menyambut baik program ini dan sebenarnya idea ini sudah lama, tetapi tidak dapat dilaksanakan sebaliknya kali ini, ADUN Wanita telah membantu merealisasikannya.
“Pihak mereka banyak membantu kami dari segi untuk mendapatkan dan mengenal pasti peserta yang layak sebab kita tahu, golongan B40 ini ramai tapi kita sasarkan golongan yang betul-betul memerlukan untuk dibantu, tambahnya lagi.
Beliau turut melahirkan harapan agar peserta dapat belajar dengan bersungguh-sungguh di samping dapat dilatih sebagai usahawan wanita yang boleh menjana pendapatan sendiri untuk keluarga tanpa perlu mengharapkan orang lain.
ADUN Wanita bergambar bersama peserta kursus.
15 Sep 20
933
Usahawan Perlu Peka Inisiatif Kerajaan Negeri
KUALA NERUS, 14 September - Para usahawan perlu peka dengan inisiatif kerajaan negeri berkenaan dana dan skim usahawan yang disediakan bagi menaikkan taraf sosio ekonomi rakyat Terengganu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, kebanyakan usahawan tidak mempunyai maklumat tentang skim-skim dan bantuan yang disediakan menyebabkan mereka terlepas peluang untuk mendapat manfaat tersebut.
"Sememangnya pihak kerajaan sangat prihatin dengan para usahawan kita khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Belanjawan Negeri Terengganu 2020 telah memperuntukkan sebanyak RM8 juta untuk Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS).
Usahawan yang hadir tidak melepaskan peluang mengajukan soalan kepada wakil YPU.
"Malah Skim Pembiayaan Atas Talian Terenganu (SPINT) khas untuk mereka yang berniaga 'online' selaras dengan keperluan perniagaan masa kini juga ada. Selain itu, Skim Dana Usahawan dan Industri Mikro Terengganu (DUIT), Tabung Siti Khadijah (TSK) dan tidak ketinggalan juga dana untuk Orang Kurang Upaya (OKU) yang disebut Dana Prihatin Terengganu - OKU (D-HATI) turut disediakan.
"Justeru boleh dikatakan segala segmen dalam dunia usahawan ini mendapat perhatian oleh pihak kerajaan," ujarnya ketika berucap pada Taklimat Dan Dialog IKS kepada para usahawan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Buluh Gading di sini kelmarin.
Usahawan yang hadir mendengar dengan penuh minat.
Ridzuan menegaskan, dalam dunia serba moden hari ini keupayaan mendapatkan maklumat sepatutnya tidak menjadi suatu halangan berikutan segala maklumat kini berada di hujung jari.
"Kesemua yang saya sebut adalah sebahagian daripada skim dan dana yang disediakan oleh kerajaan. Saya berharap agar selepas ini para usahawan kita pandai merebut peluang, lebih-lebih lagi dalam keadaan tekanan ekonomi yang dihadapi sekarang ekoran dari wabak COVID-19 ini,” tambah beliau lagi.
Beliau juga berpesan kepada MPKK yang hadir agar menghebahkan segala maklumat hasil taklimat dan dialog kepada penduduk kampung masing-masing supaya mereka tidak terlepas peluang untuk mendapat manfaat daripada bantuan yang disediakan.
Hadir sama dalam majlis itu, Pengurus Pembangunan Usahawan, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad dan Eksekutif Kanan (Program Jangka Pendek), Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), Mohd Sayati Abd Wahab.
13 Sep 20
276
Permint Granite Jalin Kerjasama Dengan CKY Sand Bangun Industri Silika
Permint Granite Sdn. Bhd hari ini menandatangani perjanjian usahama dengan Syarikat CKY Sand Sdn. Bhd bagi penubuhan syarikat usahasama Permint Granite CKY Sdn. Bhd.
10 Sep 20
1032
Ruane-TATI Dan TWI Jalin Kerjasama
Perjanjian persefahaman (MoU) di antara Ruane-TATI Sdn Bhd dan TWI Technology (S.E.Asia) Sdn Bhd membuka satu lembaran baharu dalam industri di Terengganu.
10 Sep 20
404
Bajet 2021: Kementerian Kewangan Teliti Cadangan Terengganu
Kementerian Kewangan (MoF) akan meneliti setiap cadangan dikemukakan pihak berkepentingan (stakeholder) di Negeri Terengganu bagi merangka Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada November depan.
06 Sep 20
531
Abdul Hadi Serah Kertas Cadangan Pemulihan Ekonomi Kepada Menteri Kewangan
Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyerahkan kertas cadangan langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan bagi memulihkan ekonomi pasca Covid-19 khususnya melalui peluang kerjasama dengan negara-negara Islam di rantau Timur Tengah.
06 Sep 20
385
Sabasun Lambang Kejayaan Anak Melayu Tempatan
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos- Siapa yang tak kenal sabasun yang merupakan salah satu pasaraya hyperuncit terbesar milik anak melayu di Terengganu.Namun setiap kejayaan pasti ada pengorbanan serta cabaran tersendiri dan bagi setiap yang di atas, pasti bermula dari bawah.
Begitu juga Sabasun, bermodalkan lebih RM100 ribu hasil simpanan keluarga, dengan ruang jualan berkeluasan 3,000 kaki persegi dan dua unit kaunter pembayaran KONSEP HALALAN TAYYIBA pasaraya anak tempatan ini mampu mengembangkan perniagaan sehingga memiliki lima cawangan di seluruh negeri.
Pemilik rangkaian Pasaraya Sabasun Hyperruncit Sdn Bhd, Che Salmi Ibrahim, 52, berkata segala kejayaan ini bermula dari bawah dengan hasil usahasama dan kesepakatan keluarga yang telah melakukan pengorbanan wang ringgit dan juga masa.
“Pasaraya ini mula beroperasi pada 2 April 1995, dimana usia Sabasun sekarang menjangkau lebih dari 25 tahun dan pada waktu itu, kami bermula dgn tiga orang pekerja dengan dibantu oleh ahli keluarga yang lain dan perkataan Sabasun Hyperuncit bermakna sabasun tu akronim daripada dua perkataan iaitu sabar dan bersungguh-sungguh, manakala hyperruncit pula merupakan satu konsep yang berpaksikan pada glocal iaitu ‘’global technology local application’.
“Secara amnya, Sabasun masih lagi mengekalkan 100 peratus tenaga kerja yang terdiri dari anak tempatan, menjadikannya satu-satunya Peruncit berskala besar yang tidak menggunakan tenaga pekerja asing dan memakai resepi utama iaitu ‘ Pelanggan Adalah Majikan’.
“Sebenarnya, di sini kami tidak ada gelaran khusus untuk apa-apa jawatan, kita hanya menggunakan gelaran abang dan kakak malah semua kakitangan dan semua pembekal-pembekal panggil saya abang long sebab nak kurangkan barrier, tembok, pemisah antara pekerja dengan kita,” ujarnya.
Bapa kepada tujuh orang anak yang juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana daripada California State Universiti dalam bidang Psycho Linguistik berkata, pasaraya Sabasun membuka peluang pekerjaan kepada hampir 500 penduduk setempat, 350 orang usahawan muslim tempatan dengan 2200 produk industri kecil sederhana (IKS) dan mempunyai pilihan hampir 30,000 barangan yang menjana pendapatan lebih RM2.5 juta sebulan.
Tidak kedekut ilmu dan mengamalkan konsep sentiasa membantu anak melayu, Sabasun telah menubuhkan Unit Pembangunan Usahawan Sabasun Hyperuncit (UPUSH) bagi memperkasakan perniagaan anak tempatan .
“UPUSH adalah antara bentuk bantuan untuk anak-anak tempatan yang ingin menceburkn diri dalam bidang peruncitan / pembekalan yang mana mereka mempunyai modal tetapi tidak mmpunyai ilmu atau pengetahuan dan disitu unit ini mengambil penekanan untuk sama-sama membantu , beri ilmu , sokongan dan tunjuk ajar serta adakan seminar untuk peserta-peserta bawah bimbingan kita ni, dua hingga tiga bulan sekali secara percuma.
“Sebab untuk pastikan suatu program berjaya kepada Islam, anak melayu, Malaysia kita, kita jangan letakkan kepentingan duit didepan.
“Kalau yang baru nak mula ini, kebanyakan anak melayu bukan datang dari keluarga yang berada jadi, dalam bisnes biar tak bergaya asal tak papa. Fokus pada bisnes, tolak kepentingan diri kerana ada dua perkara disini apabila kita buat bisnes samada nak bina bisnes atau nak buat bisnes. Kalau buat bisnes, rumah semakin besar, kereta semakin banyak tapi perniagaan kekal macam tu je, tapi yang bina bisnes, bisnes dia berkembang walaupun kereta tak besar,” tambah Che Salmi lagi.
Menurutnya, untuk meningkatkan lagi kedudukan Sabasun sebagai pusat jualan untuk orang melayu dan IKS, beliau berhasrat dalam tempoh dua tahun akan datang untuk memastikan bahawa semua cawangan Sabasun berada di seluruh daerah di negeri Terengganu dan perancangan masa sederhana diantara dua hingga lima tahun untuk berkembang keluar ke negeri lain.
“Ini termasuk perancangan jangka panjang lima tahun keatas untuk mengadakan outlet Sabasun di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
“Di luar Terengganu, boleh dikatakan pesaing-pesaing majoritinya terdiri daripada yang bukan Islam dan disitulah kami nampak ada ruang dan peluang kerana apabila Sabasun dapat menawarkan produk-produk halal dan toiyiba yang belum pernah ditekankan oleh mana-mana supermarket bukan Islam sebelum ini dan Alhamdulillah insyaAllah pengguna Islam akan dapat membuat pembelian yang lebih meyakinkan,” ujarnya.
19 Aug 20
6518