lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

30 Unjam Dilabuhkan Di Pesisiran Pantai Kijal
30 Unjam Dilabuhkan Di Pesisiran Pantai Kijal
KEMAMAN, 18 Ogos - Sebanyak 30 unit unjam telah dilabuhkan bersama pemberat di pesisiran Pantai Kijal bagi memperkayakan sumber laut di kawasan zon tangkapan nelayan pantai dan zon larangan pukat tunda tersebut. Hasil tangkapan nelayan yang agak berkurangan sejak kebelakangan ini terutama bagi nelayan di Kampung Penunjuk Kijal mencetuskan usaha kerajaan negeri melabuhkan unjam di kawasan yang dikenal pasti. Ianya dapat berjalan lancar dengan usaha sama di antara Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Kemaman, Persatuan Nelayan Kijal dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kemaman. Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh mengharapkan usaha itu dapat membantu meningkatkan hasil tangkapan para nelayan. "Dengan usaha yang dilakukan ini kita mengharapkan ianya dapat membantu meningkatkan hasil tangkapan para nelayan di Kijal ini. "Seterusnya menambah pendapatan harian mereka dan mengembangkan sosial ekonomi masyarakat di tepi pantai ini," ujarnya kepada pemberita pada sesi gimik penyerahan unjam dan doa selamat program tersebut di Pantai Penunjuk Kijal, baru-baru ini. Hadir sama dalam majlis itu, Penyelia PKM Parlimen Kemaman, Mohd Hafiz Adam mewakili Ahli Parlimen Kemaman, Pengurus Persatuan Nelayan Kijal, Mohd Suhardi Jusoh dan Ahli Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Zabidin Awang. Sebanyak lapan buah bot fiber dan tiga buah bot kayu kelas A digunakan bagi melabuhkan unjam sejauh tiga batu nautika dari Pantai Penunjuk Kijal.
17 Aug 20
1491
TADC Fresh Mart Pasarkan Hasil Tani Dengan Harga Berpatutan
TADC Fresh Mart Pasarkan Hasil Tani Dengan Harga Berpatutan
  KUALA TERENGGANU, 17 Ogos -  TADC Fresh Mart milik anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) bakal merancakkan sektor ekonomi  setelah mula beroperasi hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata TADC Fresh Mart kini mula memasarkan hasil pertanian keluaran petani, penternak dan nelayan negeri ini dengan harga yang lebih berpatutan. “Ini merupakan antara tiga manfaat penubuhan TADC Fresh Mart kerana ia menyediakan kemudahan untuk warga petani, penternak dan nelayan serta industri asas tani  untuk  pasarkan hasil mereka tanpa melalui rantaian orang tengah. ‘’Orang ramai disekitar Menara Permint dan Kompleks Paya Bunga pula boleh mendapatkan bekalan bahan mentah secara mudah, segar dan harga yang lebih rendah sedikit dari pasaran di samping menyediakan peluang pekerjaan,” ujarnya .  Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan TADC Fresh Mart di bangunan PB Square di sini hari ini. Tambah Dr Azman, TADC Fresh Mart bakal dikembangkan ke daerah-daerah secara tersusun bagi memperluaskan lagi peluang perniagaan untuk menerajui ruang pasaran hasil-hasil pertanian negeri.
17 Aug 20
3190
Turun Padang Rasai Denyut Nadi Pengusaha Resort- Ariffin
Turun Padang Rasai Denyut Nadi Pengusaha Resort- Ariffin
DUNGUN, 17 Ogos - “Kita sentiasa turun ke lapangan dan bertemu dengan pengusaha chalet dan resort untuk merasai denyut nadi mereka terutama yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19," kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman. Katanya, kebanyakkan pengusaha chalet dan resort di negeri ini terutama di pulau mengalami kerugian ketika pandemik COVID-19 melanda negara.  “Pelancong asing tidak dibenarkan masuk sehingga sekarang ke negara ini menyebabkan pendapatan mereka terjejas namun mereka akur dengan situasi sukar ketika ini," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa membuat lawatan kerja rasmi ke Pulau Tenggol.  Sementara itu katanya, kerajaan negeri sentiasa membantu mempromosikan produk pelancongan yang ada di Negeri Terengganu ini.  “Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita sentiasa giat membuat hebahan dan promosi berkaitan pelancongan supaya apabila sektor ini dibuka, kita bersiap sedia menerima pelanggan yang telah membuat tempahan awal,” katanya.  Dalam pada itu, ramai pengusaha yang memberitahu selepas kerajaan membenarkan sektor pelancongan beroperasi, sambutan orang ramai sangat positif.  “Kita mendapat maklum balas yang positif dari mereka ini apabila bilik-bilik hampir habis ditempah.  "Ada yang menempahnya untuk percutian seisi keluarga, hari keluarga syarikat dan seumpamanya,” tambah beliau. 
17 Aug 20
437
Pulau Tenggol Syurga Para Penyelam Skuba
Pulau Tenggol Syurga Para Penyelam Skuba
DUNGUN, 17 Ogos - Pulau Tenggol umpama 'syurga' kepada penyelam dasar laut di seluruh dunia.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, di Terengganu terdapat 13 buah pulau dan Pulau Tenggol adalah yang terbaik untuk mereka yang inginkan ketenangan dan sangat sesuai kepada pencinta hidupan dasar laut. Katanya, Pulau Tenggol juga telah diiktiraf oleh dunia bahawa salah satu tempat yang wajib dikunjungi oleh para penyelam.  “Umum mengetahui di sini ada hampir 20 tempat yang menjadi tumpuan para penyelam sama ada dari luar negara mahupun dalam negara.  "Saya sendiri turun menyelam merasai keindahan warna-warni ‘coral’ yang menjadikan Pulau Tenggol ini unik dari pulau-pulau lain," ujarnya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke pulau tersebut. Katanya, bagi yang ingin ke Pulau Tenggol dari luar Terengganu boleh datang dengan penerbangan dan terus ke Dungun atau melalui jalan darat  yang mana perjalanan ke pulau memakan masa hampir 45 minit. 
17 Aug 20
1095
Apakah Perancangan Kerajaan Negeri Terhadap Pembangunan Ekonomi & Kaitan Dengan PITAS?
Apakah Perancangan Kerajaan Negeri Terhadap Pembangunan Ekonomi & Kaitan Dengan PITAS?
Apakah sebenarnya perancangan Kerajaan Negeri Terengganu dari segi pembangunan ekonomi negeri, selain pelancaran slogan Maju, Berkat, Sejahtera dan pelancaran Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030? Jawapan YAB MB : PITAS 2030 merupakan pelan jangka panjang yang merangkumi semua aspek termasuk sosial dan ekonomi. Ia bermatlamat Terengganu menjadi negeri maju menjelang 2030 dengan perancangan yang lebih menyeluruh dan komprehensif kepada rakyat berpandukan prinsip Islam. Antara objektif umum yang ingin dicapai ialah meningkatkan peluang pekerjaan dan menghasilkan pendapatan kerajaan negeri yang mampan tanpa bergantung sepenuhnya kepada royalti.
11 Aug 20
535
Kenapa Parkir Diswastakan Sedangkan Kutipan Pada Tahun 2015 RM4 Juta Berbanding RM110 Ribu Sebulan?
Kenapa Parkir Diswastakan Sedangkan Kutipan Pada Tahun 2015 RM4 Juta Berbanding RM110 Ribu Sebulan?
YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Bin Said (soalan tambahan) adakah YB sedar kutipan pada tahun 2015 adalah sebanyak RM4 juta untuk MBKT hasil daripada tempat letak kereta ini, berbanding hanya sekitar RM110,000 sebulan jika menggunakan sistem baharu, saya juga mendapat makluman perjanjian belum ditandatangani tetapi kutipan telah dibuat di tempat utama seperti Pasar Payang dan bahu jalan. Dan kenapa syarikat daripada Kelantan yang dipilih? Jawapan – Proses untuk dikemukakan ‘proposal’ ada enam syarikat, yang mempunyai pengalaman dua syarikat termasuk Vista Summerose. Syarikat daripada Terengganu tiada yang menghantar ‘Proposal’.
11 Aug 20
156
Ta Win-PMINT Bangun Kawasan Industri Logam Bukan Ferus Pertama Di Asia Tenggara - MB Terengganu
Ta Win-PMINT Bangun Kawasan Industri Logam Bukan Ferus Pertama Di Asia Tenggara - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Ta Win Holdings Berhad (Ta Win) hari ini mengadakan usaha sama perjanjian dengan kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bagi membangunkan kawasan perindustrian logam bukan ferus pertama di Asia Tenggara (Terengganu Ecocyle). Majlis memeterai perjanjian antara pengilang terkemuka produk tembaga Malaysia dan PMINT itu disaksikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Ta Win diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulannya, Dato’ Sri Ngu Tieng Ung manakala PMINT diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Wan Adnan Wan Derahman. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar menyifatkan pemeteraian tersebut merupakan suatu pencapaian yang besar buat kerajaan negeri. "Kita sangat berbesar hati Ta Win memilih negeri Terengganu bagi projek seumpama ini. Ianya adalah suatu pencapaian yang besar bagi kerajaan negeri terutama dalam keadaan COVID-19 yang belum reda. "Kerajaan negeri berterima kasih dan sangat mengalu-alukan minat dan kerjasama pelabur-pelabur luar. Dijangkakan sebanyak 7,000 peluang pekerjaan akan dibuka kepada rakyat dalam tempoh sembilan tahun melalui usaha sama Ta Win dan PMINT ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU (Memorandum Persefahaman) PMINT Bersama Ta Win di Primula Beach Hotel di sini hari ini. Hadir sama menyaksikan MoU tersebut, Pengarah Eksekutif Ta Win, Tan Poo Chuan dan Pengarah Bersekutu Ta Win, Dato' Dr Rashdan Salleh. Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win Holdings Berhad, Dato’ Sri Ngu Tieng Ung berkata, Terengganu Ecocycle akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan kira-kira 500 hektar. "Seluas kira-kira 500 ekar tanah yang terletak di Kawasan Lembah Perasing, Mukim Hulu Jabor, Kemaman, Terengganu Darul Iman akan dibangunkan bagi projek ini. Terengganu Ecocycle akan dikembangkan dalam empat fasa dalam tempoh sembilan tahun, dengan jumlah kos pembangunan yang dianggarkan berjumlah RM2.4 bilion. "Ia akan merangkumi zon teknologi teras, zon teknologi sub-teras dan sokongan zon teknologi, di mana masing-masing berukuran kira-kira 85 ekar, 250 ekar dan 165 ekar. "Kami dengan senang hati memulai usaha sama ini dengan Kerajaan Negeri Terengganu. Dengan Terengganu Ecocycle akan menjadi yang pertama seumpamanya di Rantau Asia Tenggara, kita akan dapat mendorong perkembangan industri logam bukan ferus," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. Untuk rekod, Terengganu Ecocycle diilhamkan oleh Projek Eco-Town Kitakyushu Jepun, yang berjaya menggabungkan pemuliharaan alam sekitar, promosi industri dan dasar kesejahteraan masyarakat tempatan, ke arah tujuan negara mewujudkan masyarakat berasaskan kitar semula sumber yang mampan.
29 Jul 20
6589
Kerajaan Negeri Ambil Tindakan 776 Pemilik Tanah Perindustrian Tidak Diusahakan
Kerajaan Negeri Ambil Tindakan 776 Pemilik Tanah Perindustrian Tidak Diusahakan
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap 776 pemilik tanah perindustrian di seluruh Terengganu yang telah dikenal pasti tidak mengusahakan tanah tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, antara tindakan yang bakal dikenakan termasuk merampas kembali tanah tersebut untuk diberikan kepada pengusaha industri yang benar-benar layak. Menurutnya, sehingga kini pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 776 pemilik tanah yang tidak melakukan sebarang aktiviti perindustrian di tanah milik mereka. "Melalui Kanun Tanah Negara, kerajaan berhak mengambil balik, atau merampas (tanah), kalau tidak diusahakan dalam tempoh yang telah diberikan. "Jadi, sekarang kita sedang meneliti untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang gagal untuk mematuhi syarat ini, supaya boleh diberi peluang kepada orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Terdahulu Tengku Hassan menghadiri Majlis Menandatangani MoU (Memorandum Persefahaman) Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Bersama Ta Win Holdings Berhad di Primula Beach Hotel di sini. Majlis memeterai perjanjian itu adalah untuk memperingati usaha sama bagi pembangunan Terengganu Ecocyle dan disaksikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win Holdings Berhad, Dato’ Sri Ngu Tieng Ung dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman. Justeru, beliau mengingatkan kepada pemilik tanah agar mengusahakan industri di tanah milik mereka atau berdepan tindakan dilucutkan hak terhadap pemilikan tanah.
29 Jul 20
6233
Kerajaan Kukuhkan Semula Industri Start-Up
Kerajaan Kukuhkan Semula Industri Start-Up
Oleh : Ahmad Luqman Kamal KUALA LUMPUR, 16 Julai - Kerajaan Pusat akan membangun serta mengukuhkan semula industri 'start-up' (syarikat pemula teknologi) tempatan bagi memulihkan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19 dengan membuka peluang terutamanya kepada warga belia. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, melalui Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), satu tinjauan telah dilaksanakan untuk memastikan kelestarian perniagaan sepanjang tahun 2020 bagi merancakkan semula inisiatif ini. “Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah bersetuju memberi peruntukan bagi membiayai program pembiayaan Technology Start-Up Funding Relief Facility (TSFRF) dalam usaha membantu syarikat start-up teknologi yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19. “TSFRF ini terbuka kepada semua syarikat start-up teknologi milikan rakyat tempatan atau tenaga kerja majoriti rakyat tempatan atau majoriti pendapatan dijana dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. “Dana RM100 juta untuk TSFRF ini adalah tambahan kepada peruntukan yang telah disalurkan kepada agensi-agensi 'tech-funding' di bawah MOSTI iaitu Malaysia Debt Ventures Bhd, Cradle Fund Sdn Bhd, Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP), Kumpulan Modal Perdana dan Malaysian Technology Development Corporation sebelum ini. "Ia menjadikan keseluruhan peruntukan yang disalurkan kepada syarikat-syarikat start-up dalam bentuk pinjaman, geran, inisiatif pembangunan kapasiti, sokongan operasi, akses kepada pasaran dan lain-lain lagi berjumlah sebanyak RM315 juta,” katanya. Beliau berkata demikian menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini. Mengulas lanjut, Amzad berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM100 juta bagi inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). “NTIS dapat memberi manfaat yang besar kepada industri start-up negara dalam mengharungi cabaran ekonomi melalui pendekatan 'sandbox' (pengawalseliaan) untuk mempercepatkan penciptaan. "Dan juga sebagai usaha menyediakan laluan pengkomersialan pantas bagi teknologi serta inovasi merangkumi semua peringkat pembangunan teknologi," katanya. Kerajaan katanya, akan terus melaksanakan inisiatif pembangunan kapasiti melalui agensi di bawah MOSTI bagi menyokong kemampanan start-up secara atas talian serta mengembangkan kerjasama dan penglibatan daripada start-up antarabangsa.
16 Jul 20
623
Rakyat Terengganu Berpeluang Jadi Usahawan Coklat
Rakyat Terengganu Berpeluang Jadi Usahawan Coklat
KUALA NERUS, 10 Julai - Rakyat Terengganu berpeluang membina kerjaya sebagai usahawan pembuatan coklat melalui kursus yang ditawarkan Lembaga Koko Malaysia (LKM). Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan, peluang tersebut dapat membantu masyarakat terutama yang menerima kesan kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19. "Dikala banyak sektor membuang pekerja, sektor perusahaan, perladangan dan komoditi pula menyediakan peluang kerjaya. Sebagai contoh, kita kini memerlukan 30,000 tenaga kerja dalam bidang penuaian sawit. "Dalam industri pembuatan coklat pula, kita bersedia membantu seramai mungkin untuk menjadi usahawan coklat sebagai peluang berkerjaya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan anjuran LKM di Duyong Marina & Resort, hari ini. Jelasnya, pihak kementerian berusaha memperkasa industri hiliran koko dengan melahirkan lebih ramai usahawan coklat buatan tangan. Industri koko negara telah menyumbang sebanyak RM6.6 bilion kepada pendapatan eksport negara bagi tahun 2019. "Sememangnya sasaran kita adalah golongan B40 untuk mereka berdikari tanpa mengharapkan bantuan semata-mata. "Potensi pendapatan tahap pertama dalam bidang ini sahaja boleh mencapai sekitar RM2,000 hingga RM5,000 sebulan," katanya. Menurutnya, melalui peruntukan RM3 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), seramai 224 usahawan telah dibimbing LKM dengan perolehan pendapatan memuaskan. "Bagi Terengganu, ini yang pertama melibatkan 28 peserta dan kita sedang menunggu ahli-ahli parlimen kita memberi senarai calon-calon dari kawasan mereka untuk menyertai kursus ini pada masa akan datang. "Peruntukan kita adalah sebanyak RM3 juta untuk tahun ini dan kita harap ada lagi untuk tahun hadapan," katanya. Sektor pembuatan coklat mencatat peningkatan 17.3 peratus daripada jumlah pendapatan eksport koko dan produk-produknya pada tahun 2019.
13 Jul 20
287