Artikel "Ekonomi" Terkini
Aputirich Venture Plt Yakin Jualan Terus Meningkat
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober— Ketika pandemik COVID-19 terus mengganas, banyak industri di seluruh dunia terjejas teruk akibat daripada kelembapan berterusan ekonomi, Aputirich Venture Plt, sebuah syarikat pengeluar produk berasaskan herba dan perunding kesihatan mampu meningkatkan hasil jualan mereka sehingga mencapai RM370,000 dalam tempoh berkenaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Rais Abdullah, beliau kini optimis untuk menyasarkan jualan sebanyak RM500,000 menjelang akhir tahun ini berdasarkan pendapatan yang telah diperolehi.
“Walau banyak perniagaan lain terjejas disebabkan wabak ini, jualan syarikat kami masih memuaskan kerana pelanggan yang gembira dengan perubahan kesihatan mereka melakukan promosi mulut ke mulut secara sukarela.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas sehingga kini jualan kami meningkat hampir empat kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas, dan merupakan hasil luar jangkaan,”ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.
Justeru itu katanya, syarikat yang memfokuskan penerangan pemakanan sihat, pengurusan psikologi serta penggunaan sumber bahan semulajadi seperti herba kepada orang ramai juga akan memperluaskan pasaran produk ke Singapura, Indonesia, Brunei dan Dubai bermula tahun depan.
“Penggunaan serta perubahan herba dalam kehidupan makin diterima pada hari ini kerana khasiatnya telah diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya yang memilih Terengganu sebagai tempat mencari rezeki setelah merantau di negera luar.
Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2011 itu kini mempunyai tiga jenis produk iaitu RS24 (kapsul nutrisi semulajadi untuk ketahanan sistem imun badan), RS08 (minuman koko untuk masalah sembelit) dan RS04 (serbuk untuk masalah saraf serta angin dalam badan) yang berharga lingkungan RM139 hingga RM249 setiap satu.
Jelas anak kelahiran Kedah itu, semua produk keluaran syarikatnya mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan pengesahan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
“Syukur dengan semua kemudahan ini termasuklah bantuan dari Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu kerana memberi bantuan sebanyak RM1,500 untuk pelabelan dan pembungkusan produk pada tahun 2014," katanya.
Lulusan Ijazah Sarjana (M.D) Psikologi di Universiti Andalas, Padang, Indonesia itu juga berhasrat untuk melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang sihat berasaskan sumber semulajadi termasuk melahirkan usahawan-usahawan dalam bidang ini.
Berpengalaman selama 17 tahun dalam bidang perniagaan peringkat antarabangsa terutama di Singapura dan Indonesia sebelum berpindah balik ke Malaysia pada 2008, Dr Rais juga merupakan pengasas kelab bola sepak iaitu Lion FC yang ditubuhkan pada tahun 2018.
“Sukan adalah satu platform terbaik bagi membuat promosi dan pengiklanan sesuatu produk dan sebab itu saya memilihnya sebagai salah satu strategi pemasaran yang berpotensi bagi memperkenalkan produk saya.
“Setiap kali perlawanan diadakan, secara tidak langsung lebih ramai yang akan mengenali produk yang saya hasilkan dan itu merupakan satu kelebihan dalam pemasaran Aputirich Venture Plt,”ujarnya .
Beliau turut menasihatkan agar usahawan lebih kreatif mengiklan produk mereka melalui pelbagai medium untuk terus bertahan dalam perniagaan.
22 Oct 20
1581
Bakar Guna Sabut Rahsia Keenakan Roti Sekaya Dapur Kayu
HULU TERENGGANU, 19 Oktober - Keunikan roti dengan inti kaya yang padat dan dibakar menggunakan sabut kelapa di dalam tin minyak menyebabkan Roti Sekaya Dapur Kayu cukup dikenali penduduk Kampung Bukit Gemuruh dan kawasan sekitarnya.
Pemiliknya, Maziah Abd Rahman, 32, berkata roti berkenaan cukup istimewa kerana dihasilkan dengan menguli tepung dan memproses sekaya menggunakan tangan selain membakarnya dengan kayu api dan sabut yang membangkitkan aroma tersendiri yang sentiasa menjadi rebutan peminat tegarnya sejak 26 tahun lalu
Rasa intinya yang lemak manis selain kelembutan roti bakarnya terutama apabila dimakan ketika masih panas membuatkan roti bakar Maziah habis lebih kurang sejam selepas ia mula dijual.
Jelas Maziah, ramuan roti dan sekaya tersebut merupakan resipi turun temurun milik keluarga sejak tiga dekad lalu.
Bagaimanapun, katanya, resipi tersebut baru sahaja dikomersialkan untuk memulakan perniagaan pada Februari tahun lalu selepas ayahnya, Jusoh@ Yunus Mamat dan ibu, Fatimah Salleh berhenti menjualnya sejak 26 tahun lalu.
Menurutnya, cubaannya meniaga kembali roti berkenaan bermula secara suka-suka untuk memenuhi hidangan keluarga namun ia mendapat permintaan dalam kalangan penduduk setempat.
“Segalanya berlaku tanpa dirancang, dari nak buat untuk makan bersama keluarga tetapi mendapat sambutan dan permintaan menggalakkan selepas mak menghantarnya untuk dikongsikan dengan jiran-jiran terdekat.
“Saya tidak pernah merancang untuk berniaga roti semula tapi rata-rata mereka yang pernah merasai dan merindui roti mak saya meminta saya menjualnya kembali,’’ tambah ibu kepada dua anak itu.
Menariknya, ada dalam kalangan pelanggan memberitahu roti dihasilkan Maziah sama rasanya dengan roti yang dihasilkan oleh ibu dan ayahnya.
“Ramai pelanggan berpuas hati dan membeli kembali selepas mencuba untuk kali pertama malah ada antara mereka teruja apabila memakannya kerana mengimbau kembali zaman kanak-kanak satu ketika dahulu,” katanya
Dalam pada itu, katanya, penjualan roti berkenaan juga meningkat didorong oleh promosi dari mulut ke mulut pembeli.
Tambahnya, permintaan roti turut meningkat ketika Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) berikutan penularan koronavirus (Covid-19) sejak 18 Mac lalu.
“Boleh dikatakan secara purata saya menghabiskan 35 hingga 50 kilogram sehari untuk membuat 200 bekas roti dan 100 biji telur serta 20 biji kelapa untuk menghasilkan sekaya yang mampu bertahan untuk dua hari.
“Alhamdulillah, pada bulan Ramadan tahun ini, permintaan Roti Sekaya Dapur Kayu meningkat berbanding pada bulan puasa tahun lalu dan hari-hari biasa.
Maziah berkata, roti kami dijual pada harga RM5 sebekas mengandungi 10 biji roti berintikan sekaya dan pilihan terbaharu kelapa atau kacang.
“Saya buat roti sehari selepas pelanggan membuat tempahan dan kemudian suami saya akan menghantar kepada pelanggan dan ada juga yang membelinya sendiri di rumah kami.
“Setakat ini saya menggunakan platform media sosial sahaja untuk mempromosi dan menjual roti ini,” katanya.
Sehingga kini, roti bakar sekaya masih menerima sambutan yang luar biasa dan tempahan bukan sahaja dari kawasan setempat malah turut diperoleh dari luar.
Bagi sesiapa yang ingin membuat tempahan bolehlah menghubungi Maziah ( 0167870017) atau membuka laman sosial facebook Roti Sekaya Dapur Kayu untuk maklumat lebih lanjut.
19 Oct 20
11363
Bangkit Semula , Permint Plywood Sasar Keuntungan Dalam Tempoh Lima Tahun
KUALA TERENGGANU, 18 Oktober -SEBUT sahaja perniagaan papan lapis atau ‘plywood’, pastinya ramai tidak mengetahui industri itu sebenarnya telah dikuasai usahawan melayu bumiputera di negeri ini sejak 1983 dan pernah berdiri setanding dengan syarikat bukan bumiputera yang lain sebelum ‘berehat buat seketika’ untuk satu tempoh yang agak panjang.
Anak syarikat Golden Pharos Bhd (GPB), Kilang Papan Lapis Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB) kini kembali bangkit dan menyasarkan keuntungan yang bakal dicapai sebanyak RM5 juta dalam tempoh tiga hingga lima tahun dan tanpa sebarang kerugian.
Pegawai Bertugas PPSB, Ahmad Bazli Razali berkata, kepimpinan yang sedang mentadbir kini telah menyediakan satu asas yang kukuh bagi mencapai sasaran berkenaan sekaligus merangka beberapa strategi untuk mencapainya.
Katanya, Permint Plywood hari ini mengumumkan strategi pemulihan utama bagi mengembangkan kembali sektor perniagaan berasaskan venir untuk pasaran tempatan dan juga antarabangsa.
“Kita telah menyediakan asas yang kukuh untuk kepimpinan baru pada masa akan datang terutamanya kepada kepada kilang di mana akan ada pulangan yang besar dan ianya salah satu ikhtiar yang dilakukan pada hari ini.
“Apa yang kita mahu dan impikan, Permint Plywood kembali kepada zaman kegemilangannya sejak ia mula beroperasi pada Mei 1983 malah pernah menjadi salah satu penyumbang kepada ekonomi kerajaan negeri sebelum ditutup pada 2005 dan kembali beraksi pada 2018,”ujarnya.
Justeru itu katanya, pelbagai perancangan telah dibuat termasuk menambahbaik hasil keluaran dan mencipta beberapa idea baharu seperti menghasilkan minyak gaharu dengan pokok Karas bagi menjana pendapatan kilang dan bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.
“Karas dikenal pasti sebagai tumbuhan yang mampu menjadi komoditi perdagangan yang amat mahal dan boleh memberikan pulangan lumayan kepada pengusahanya.
“Oleh itu pengusaha tempatan perlu merebut potensi ini sebagai sumber pendapatan tambahan sambil membantu menjadikan Terengganu sebagai negeri yang bersaing dalam pengeluaran produk utama dalam penghasilan minyak gaharu.
Dalam pada itu sebagai langkah permulaan untuk berdiri setanding dengan syarikat lain setelah lama berehat suntikan dana perlu untuk Permint Plywood bangkit bagi mengembangkan kembali sektor perniagaan berasaskan venir untuk digunakan untuk merekatkan permukaan berbagai jenis kayu perindustrian seperti kayu MDF, papan zarah, kayu berlapis untuk produk perabot atau tujuan lain bergantung pada kualiti kayu.
Pengerusi Lembaga Pengarah PPSB, Maliaman Kassim, yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi berkata, venir kayu di Permint Plywood diperbuat daripada kayu semula jadi dan juga kayu terbaik.
“Dari sebatang kayu, kita mengupas banyak lapisan venir nipis, biasanya ketebalan dari 0.5mm ke 3.0 mm, ia dipanggil venir.... majoriti spesifikasi produk venir adalah bersaiz 4x8 kaki untuk pasaran tempatan dan antrabangsa.Daripada sebatang kayu balak ia mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 1m3 (Cubic Meter) venir bergantung pada ketebalan venir yang ditempah oleh pembeli.
“Sehingga kini banyak permintaan produk Face dan Back venir yang telah diterima oleh PPSB. Kemampuan mesin mengupas sedia ada mampu mengeluarkan gred yang terbaik seperti B/BB dan BB/CC untuk venir daripada PPSB yang mampu untuk menembusi pasaran Australia, India dan Taiwan sehingga hari ini.
“Namun kita ada permasalahan utama anak syarikat di bawah GPB itu adalah kesemua mesin pengeringan venir mengalami kerosakan dan kos pembaikian dan pembelian ‘steam boiler’ membabitkan kira kira RM 2.4 juta,”ujar beliau.
Tambahnya, buat masa sekarang operator kilang terpaksa menggunakan pengeringan secara manual dan ini menyebabkan produk pengeluaran terlalu sedikit kerana faktor cuaca dan proses pengeringan secara manual mengambil masa yang agak lama.
“Jika venir tidak dikeringkan dengan secara betul, produk venir akan mengalami kerosakan dimana kulat atau fungus akan melekat di permukaan venir seterusnya menjadikan harga produk ini jatuh atau pembeli tidak akan berminat untuk membelinya dengan kuantiti yang banyak
“Sekiranya pembaikian serta pembelian mesin-mesin pengeringan venir ini dapat beroperasi semula,saya yakin hasil pengeluaran produk akan meningkat berkali ganda dan mencipta nilai tambah baharu kepada pelanggan serta membolehkan mereka meningkatkan lagi jumlah kapasiti pembelian yang lebih banyak,” jelas Maliaman.
18 Oct 20
4894
COVID-19 : RM4.38 Juta Bantu Peniaga Terjejas
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober— Kerajaan negeri melalui Tabung Pemulihan PKS Terengganu Covid-19 menyalurkan peruntukan sebanyak RM4.38 juta dibawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) kepada 333 usahawan di negeri ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata peruntukan melalui Tabung Pemulihan PKS Terengganu COVID 19 ini merupakan pinjaman patuh syariah tanpa riba yang mana bayaran balik adalah dalam tempoh lima tahun.
“Pembiayaan pinjaman adalah antara RM5,000 hingga RM50,000 setiap usahawan bergantung kepada tahap kerugian yang dialami dan prosesnya dipermudahkan tanpa memerlukan penjamin dari pihak peminjam
"Pinjaman khas ini diharap dapat memberi ruang untuk usahawan menyusun semula strategi perniagaan yang telah terjejas agar mampu bertahan dan bangkit semula bagi tempoh pasca COVID-19," katanya.
Sementara itu, Ahmad Farhan berkata YPU terpaksa membatalkan beberapa program yang melibatkan kempen promosi perniagaan usahawan Terengganu berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 sejak akhir-akhir ini.
Jelasnya, program-program yang berskala kecil masih diteruskan bagi membantu usahawan-usahawan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Contohnya seperti yang berlangsung baru-baru ini iaitu Program Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia Terengganu yang berlangsung pada 24 hingga 27 September lepas.
"Jualan melibatkan 41 usahawan itu berjaya merekodkan jualan sebanyak RM87,720.20 bagi tempoh empat hari,”ujarnya.
15 Oct 20
2139
Meathos Malaysia Kini Di Kemaman Terengganu
KEMAMAN, 15 Oktober - Meathos Malaysia merupakan satu perniagaan yang menyediakan produk daging lembu dan bebiri yang berkualiti. Sebelum ini ianya hanya boleh didapati di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Kini, penggemarnya yang tinggal di negeri Terengganu ini boleh tersenyum dan mendapatinya dengan mudah apabila sebuah lagi cawangannya mula dibuka di sini sejak 5 September yang lalu.
Pemilik Meathos Malaysia Cawangan Kemaman, Efdzal Malaid, 39, bersyukur ke hadrat Ilahi di atas pembukaan kedainya ini.
"Pada mulanya saya bersama rakan niaga, Zulkarnain Ismail, 39, menerima banyak permintaan daripada kawan-kawan agar membuka sebuah cawangan di sini.
Kami ingin melihat masyarakat di negeri Terengganu ini khususnya di Kemaman dapat merasai keenakan "Premium Meat" ini dengan harga yang murah dan berpatutan berbanding di tempat lain".
Kami di sini turut bekerjasama dengan The Bollock Coffee untuk menarik minat pelanggan datang beramai-ramai bagi merasai keenakan kopi nisan yang tidak asing lagi beserta hidangan daging kami ini," ujarnya.
Meathos Malaysia menyediakan pelbagai menu istimewa seperti Aus Wagyu Steak, Aus Black Angus, Angus Tomahawk dan Wagyu Tomahawk. Pelbagai jenis menu lain turut disediakan di kedainya. Ianya boleh didapati dan dirasai dengan harga serendah RM60 dan ke atas.
Beliau turut mengharapkan agar perniagaannya yang dibuka dengan slogan "Hidangan Bangsawan, Harga Rakyat Jelata" ini sentiasa berada dalam keadaan baik dan berjalan lancar.
"Kita juga turut berhasrat mengembangkan lagi perniagaan ini dengan membuka serta menambah cawangan di Dungun dan Kuantan, Pahang. InsyaAllah, tahun depan (2021)," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di kedainya itu, semalam.
Kepada pelanggan atau pengunjung yang belum pernah datang ke kedainya dan ingin merasai sendiri pelbagai keenakan makanan dan minuman di sana, bolehlah ke kedai makan The Bollock Coffee, Kampung Tuan. Ianya beroperasi pada hari Sabtu hingga Khamis, bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
15 Oct 20
1991
Permai Hotel Lancar Kempen Kesedaran Kanser Payudara
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Permai Hotel Kuala Terengganu, baru-baru ini telah melancarkan Bulan Kempen Kesedaran Kanser Payudara #PermaiPinktober 2020. Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang juga dikenali sebagai 'Pink October', bertujuan untuk meningkatkan perhatian dan sokongan bagi kesedaran awal penyakit tersebut.
Pengurus Besarnya, Noralizan Abd Rahman berkata, sebagai tanda sokongan, Permai Hotel Kuala Terengganu mengadakan acara pemakaian ‘Pink Ribbon’ kepada pihak pengurusan dan warga kerja hotel.
“Kami turut menggalakkan pihak pengurusan untuk memakai pakaian berwarna merah jambu pada setiap hari Rabu sepanjang bulan Oktober ini sebagai tanda sokongan terhadap Bulan Kempen Kesedaran Kanser Payudara 2020.
"Penyakit itu adalah musuh nombor satu kepada wanita seluruh dunia. Tanpa wanita, pincanglah sebuah rumah tangga. Wanita perlu kuat melawan penyakit dengan membuat saringan awal,” ujarnya.
Meskipun berdepan dengan wabak COVID-19 gelombang ketiga, Permai Hotel bagamaimanapun menyasarkan kempen ini kepada warga kerjanya dan tetamu hotel. Masih mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP), Majlis Pelancaran #PermaiPinktober dimeriahkan lagi dengan acara pembahagian kek cawan kepada para tetamu hotel.
12 Oct 20
1008
Terengganu Jadi Pusat Rujukan Model Ladang Buluh
KUALA NERUS, 1 Oktober – Terengganu akan membuka jalan bagi langkah awal pembangunan sektor perladangan buluh di Malaysia melalui pembinaan model ladang buluh di Pusat Latihan Industri Kayu Malaysia (TTITC), Kuala Berang.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC) , Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, majlis pecah tanah dan Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kementeriannya dengan Kerajaan Negeri Terengganu dalam bidang terbabit akan diadakan pada 4 Oktober ini.
“Penghasilan model ini adalah penting sebagai rujukan kepada pemain industri buluh dan para pengkaji supaya dapat membangunkan sektor perladangan buluh. Ini kerana, kepentingan buluh pada masa kini adalah sebagai industri yang berpotensi untuk ke peringkat dunia.
“Pasaran global untuk produk buluh kini dianggarkan bernilai USD68 bilion, dan digunakan dalam sektor bahan binaan, perabut, teksil, makanan dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu mulakan dengan kewujudan perladangan kerana kebergantungan kepada sumber hutan amat tidak stabil untuk masa depan.
“Kempen memperkasakan buluh di peringkat perladangan dalam skala besar disahut oleh Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perak. Langkah awal bermula dengan pembinaan model di Terengganu dan sekarang penilaian cadangan pelbagai syarikat sedang dibuat untuk meluluskan pinjaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Syarahan Perdana YB Menteri di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin Kampus (UniSZA) Kampus Gong Badak, Kuala Nerus malam semalam.
Hadir sama, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, sasaran adalah untuk tiga tahun kehadapan supaya negara mempunyai industri buluh yang mampu membekalkan hasil bagi memenuhi keperluan pasaran seperti ke kilang pulpa kertas berasaskan buluh, kilang arang dan kilang tekstil.
“Cabaran buat masa kini dari segi perladangan kerana para pelabur memerlukan sumber pengeluaran yang stabil.
“Oleh itu, dalam fasa ketiga tahun 2020 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) termasuk Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2021-2025, kita berharap agar ia berjaya bergerak di peringkat sumber,” ulasnya.
01 Oct 20
936
Karnival Penjana Pekerjaan Tawar Lebih 7,000 Jawatan Kosong
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Karnival Penjana Pekerjaan Negeri Terengganu 2020 yang dijadualkan berlangsung 10 hingga 11 Oktober ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri bakal membuka lebih 7,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program tersebut adalah satu inisiatif kerajaan Terengganu dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memulihkan kembali ekonomi negara dan negeri.
Katanya, ia juga diyakini mampu memperkukuh pasaran buruh Malaysia pasca COVID-19.
''Penjana Pekerjaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bertujuan untuk merangsang permintaan pekerjaan di kalangan majikan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpekerjaan di kalangan pencari pekerja tempatan," ujarnya dalam wawancara di Wisma Darul Iman semalam.
Jelasnya. proses temuduga dan pengambilan pekerja akan berlangsung pada Karnival Penjana Pekerjaan itu dengan banyak penawaran jawatan kosong yang menanti.
"Suka saya nyatakan bahawa, karnival ini adalah yang terbesar pernah dianjurkan dalam PASCA COVID-19 di mana lebih 7,000 jawatan ditawarkan oleh 100 majikan dari pelbagai bidang," tambah beliau.
01 Oct 20
1246
Kopi Tokkikiter, Minum Secawan Pasti Jatuh Cinta
Bagi peminat kopi panas, yang dibancuh pekat, dinikmati pula dengan biskut kering di petang hari sambil duduk di pangkin bawah pokok, dalam tidak sedar mungkin mampu menghabiskan lebih dari dua cawan kopi dihadapan mata.
Kata sesetengah orang pula, kopi mampu menghilangkan ketegangan di kepala dan penolong disaat menghadapi bebanan tugas di rumah atau di pejabat.
Justeru itu, bagi penggemar Kopi Tokkikiter pasti telah menikmati aroma rasa secawan kopi pertama mereka dan sudah tentu terjatuh cinta dengan kehalusan, haruman semerbak dan kepekatannya. Selain jenama, keunikan serbuk campuran kopi yang telah berada di pasaran tempatan sejak 1986 pada kesegarannya.
Pengurusnya, Humairah Mohd Nasir, 34 memberitahu, biji kopi yang digunakan beliau adalah jenis robusta dari Indonesia kerana rasanya adalah lebih menepati citarasa tempatan.
“Datuk saya, Seman Ibrahim, 86, membuat kopi sejak sedekad lalu, ramuan membuat kopi diwarisi secara turun temurun dan sejak saya ambil alih pada 2016, kami akan terus pertahankan warisan ini selagi masih diberi kesihatan.
“Dahulu pada tahun 1986, datuk membuat kopi mengunakan kaedah tradisional iaitu membakar biji kopi menggunakan kayu api, tumbuk menggunakan lesung sebelum mengadunkannya dengan bahan lain bagi menghasilkan kopi pracampuran yang lazat,”ujarnya yang dibantu oleh suami tersayang Mohd Mustakim Mohd Kasturi, 35.
Tambah ibu kepada dua anak ini, memproses biji kopi menjadi serbuk memerlukan kemahiran terutamanya dalam menentukan sukatan setiap adunan yang perlu dimasukkan.
“Biji-biji kopi pada mulanya dipanggang sehingga sempurna dan selepas itu, proses karamel biji kopi menggunakan resepi turun temurun tokki kemudiannya dikeringkan sebelum dimasukkan ke dalam mesin pengisar untuk dihancurkan dan dibungkus,”jelasnya lagi yang turut mempunyai Ijazah dan Sarjana Bioteknologi dari Universiti Malaysia Terengganu(UMT).
Kini setelah 30 tahun bertapak di pasaran, diberi nafas baharu dari segi pembungkusan dan penjenamaan semula, kopi Tokkikiter terus mengorak langkah ke hadapan untuk menembusi pasaran-pasaran dengan menu baharu seiring dengan permintaan semasa.
Bagi Humairah, adalah menjadi impiannya untuk memperluaskan pasaran produknya ke seluruh negara pada masa hadapan.
“Kini kopi kami boleh boleh didapati di seluruh pasaraya Sabasun, kedai runcit di seluruh Terengganu dan juga di Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Kedah termasuk melalui agen-agen yang yang dilantik.
“Impian saya untuk tahun depan, pasaran kopi Tokkikiter akan lebih meluas dan yang terbaharu kami berjaya memasuki pasaraya Lesung Mart,” tambahnya yang turut dibantu oleh dua orang pekerja.
Beliau juga berkata, kopi Tokkikiter mampu mencapai kadar pengeluaran kopi sebanyak 200 kilogram sebulan termasuk yang dipasarkan dalam bentuk biji kopi, serbuk dan uncang yang mampu menjana pulangan sehingga RM8,000 sebulan.
Katanya, selain usaha keras, kejayaan mereka hari ini adalah hasil sokongan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Yayasan pembangunan Usahawan (YPU) yang memberi bantuan mesin dan sebagainya,
Humairah dan suami turut berhasrat mewujudkan pusat sehenti kopi yang dilengkapi ladang, pusat pemprosesan, pusat jualan dan kafe pada masa akan datang.
Jelasnya, ia bagi membolehkan pengunjung mempelajari proses pembuatan kopi di samping menikmati kopi yang dihasilkan syarikat itu
30 Sep 20
905
Kerajaan Negeri Bantu Promosi Produk Anak Syarikat
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kerajaan negeri membantu mempromosikan produk anak syarikatnya untuk industri pembinaan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata, pihak Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan akan membuat satu polisi di mana kontraktor atau pemaju projek perumahan mestilah membeli produk berasaskan cermin dan aluminium ini dgn kilang Golden Pharos (GP) Glass.
"Satu mekanisma dan garis panduan akan dibincang dan dimuktamadkan di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu. Menerusi lawatan ini secara tidak langsung akan dimanfaatkan kepada usahawan ataupun pembekal tempatan yang akan bernaung di bawah kilang GP Glass ini," ujarnya.
Lawatan kedua ke kilang IBS Acotec bagi membuka minda kontraktor dan perunding pembinaan rumah berkenaan beberapa teknologi yang lebih maju dan efisien dimana dengan menggunakan teknologi IBS ini proses pembuatan rumah lebih cekap dan kos lebih murah daripada kaedah biasa.
Beliau berkata, teknologi ini akan diguna pakai bagi projek perumahan Taman Putera Rahman di Tembila yang dimajukan oleh pihak Wanland Metro Sdn Bhd.
Lawatan bermaklumat itu turut dihadiri pemaju dan kontraktor perumahan Negeri Terengganu serta pasukan perunding projek yang terdiri dari arkitek dan juru ukur bahan.
27 Sep 20
2274