Artikel "agama" Terkini
Masyarakat Islam Perlu Kenang, hayati Sirah Perjuangan Nabi
HULU TERENGGANU, 30 Oktober – Masyarakat Islam perlu menghayati makna di sebalik sambutan Maulidur Rasul dan sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Ajil, Maliaman Kassim berkata renungan dan peringatan zahir sahaja tidak memadai jika tiada pengisian penting dan penghayatan untuk mentafsirkannya dalam bentuk akidah dan amalan.
"Majlis seumpama ini penting bagi memperingati kisah perjuangan dan pengorbanan baginda berdakwah dan memartabatkan Islam.
"Ini juga merupakan kaedah penyatuan ummah dan permuafakatan paling berkesan bagi menyatupadukan masyarakat Islam daripada pelbagai perbezaan pendapat dan ideologi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi Tazkirah sempena sambutan Maulidur Rasul Dewan Masjid Kampung Menerong dekat sini, semalam yang disertai kira-kira 150 penduduk.
“Rabiul Awwal merupakan bulan yang sangat dimuliakan oleh orang Islam khususnya di seluruh pelosok dunia kerana pada tanggal ke-12 bulan tersebut merupakan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W," ujarnya.
Tambahnya lagi, dalam menyingkap tabir sirah Rasulullah, terdapat banyak peristiwa bersejarah yang berlaku dalam bulan tersebut sebelum kelahiran Baginda, antaranya ialah kegagalan tentera bergajah dalam cubaan untuk menghancurkan Kaabah.
“Setiap tahun hari kelahiran Rasulullah SAW diraikan supaya setiap umat Islam dapat mengambil iktibar daripada setiap sesuatu yang dilakukan dan diamalkan baginda untuk dijadikan panduan dan pedoman.
"Rasulullah SAW merupakan contoh yang terbaik kepada setiap umat Islam dalam segala aspek kehidupan," katanya.
30 Oct 20
743
Bulan Dakwah 2020, Ikhtiar Melestarikan Dakwah Dan Kebajikan
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Sambutan Bulan Dakwah 2020 peringkat negeri Terengganu yang julung kali dianjurkan, dimulai dengan program I-Khidmat Cuci-cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19, dalam usaha melestarikan gerakan dakwah dan kebajikan di negeri ini.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau berharap program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dapat mencapai objektif dalam meringankan beban masyarakat B40 dan miskin yang terkesan dengan musibah COVID-19.
“Pihak negeri mengucapkan terima kasih kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan pihak YADIM dalam menganjurkan bulan dakwah di peringkat negeri.
“Pelaksanaan ini wajar khususnya pada bulan Rabiulawal, bulan lahirnya Rasullulah SWT, yang membawa dakwah untuk mendidik masyarakat.
“Bagi program Musa’adah COVID-19, melibatkan pemberian bantuan makanan dan asas keperluan dapur kepada 30 golongan asnaf Qariah Kampung Gong Tok Nasek,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program I-Khidmat Cuci-cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19 di Masjid Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, pagi tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said.
Sementara itu, Penolong Pengarah YADIM negeri, Nasrul Hadi Saidin berkata, bulan dakwah dilaksanakan di seluruh negara dari 4 Oktober sehingga 30 Disember melibatkan kira-kira 2,000 program bersifat kebajikan dan dakwah kepada masyarakat setempat.
“Program Cuci-cuci Masjid di Masjid Gong Tok Nasek pula melibatkan hampir 20 orang sukarelawan YADIM dan Rakan Siswa YADIM.
"Kita menyambut mereka yang ingin menyertai dan 300 sukarelawan lagi dijangka menyertai. Program dalam perancangan seterusnya adalah Is’ad Al Usrah iaitu inisiatif untuk melaksanakan kerja pembaikian di kediaman asnaf,” ulasnya.
Mengulas tentang kesan gelombang ketiga pandemik, beliau berkata, isu tersebut bukan kekangan tetapi cabaran untuk melaksanakan program dakwah secara kreatif dengan kapasiti dan peserta yang ada.
29 Oct 20
460
200 Hadiri Kursus Tahsin Al-Quran
BESUT, 4 Oktober - Seramai 200 orang hadir mengikuti Kursus Tahsin Al-Quran bersama johan qari antarabangsa 2003, Dato' Ahmad Faizul Ghazali, yang berlangsung di Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja.
Pegawai Penyelaras Parlimen Besut, Dr. Riduan Mohamad Nor menyeru hadirin agar berusaha belajar dan mendalami al-Quran.
"Saya menyeru tuan-tuan dan puan-puan, dalamilah al-Quran kerana Nabi SAW bersabda, "sebaik baik kamu adalah barangsiapa yang mengajarkan dan belajar al-Quran".
"Nabi juga menunjukan bagaimana cara mengajar dan belajar al-Quran melalui malaikat Jibril. Dengan erti kata, ada ruang hubungan, 'musyafahah', 'talaqi' di antara kita dengan pendidik dan para alim al-Quran untuk kita mudah faham tentang al-Quran," katanya ketika berucap merasmikan kursus tersebut di sini.
Hadir sama dalam kursus anjuran Pejabat Daerah Besut itu, para imam, bilal dan masyarakat setempat dengan kehadiran yang ditetapkan adalah terhad.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan kerana pesakit wabak COVID-19 sudah melebihi angka tiga juta di seluruh dunia sekarang.
03 Oct 20
490
210 Imam, Bilal Dimantapkan
KEMAMAN, 26 September - Seramai 210 peserta melibatkan imam dan bilal di daerah ini menjalani Seminar Tahsin Imam dan Bilal Peringkat Daerah Kemaman yang berlangsung di Dewan Darul Iman Terengganu Centre (DITC), kelmarin.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkiply Muda melihat seminar yang diadakan ini mempunyai tujuan yang tersendiri dan ianya penting bagi seseorang yang bergelar imam dan bilal.
"Seminar ini lebih membincangkan kepada soal peranan imam dan bilal kerana sebenarnya mereka ini merupakan salah satu yang tergolong dalam kalangan pemimpin masyarakat.
Seminar ini juga dapat meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan soal hukum dan sebagainya," ujarnya.
Katanya lagi, selain daripada itu, seminar ini dapat meningkatkan kefahaman berkaitan Al-Quran.
Beliau yang dijemput sebagai salah seorang penceramah turut berterima kasih kepada penganjur yang sudi menjemputnya bagi berkongsi ilmu dan sebagainya kepada peserta yang hadir.
"Semoga apa yang dikongsi pada hari ini membuahkan hasilnya," ujarnya ketika ditemui pemberita.
Seminar anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu itu turut menjemput Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Dr. Azizul Hassan sebagai penceramah.
Seminar itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Turut bersama, Pegawai Hal Ehwal Agama Pejabat Menteri Besar Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek.
24 Sep 20
721
YADIM, Terengganu Mahu Lahirkan Pendakwah Penuhi Pasaran Sabah, Sarawak
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan kerajaan Terengganu bakal menjalinkan kerjasama strategik bagi melahirkan lebih ramai pendakwah berkaliber untuk memenuhi keperluan di Sabah dan Sarawak terutamanya kawasan pedalaman.
17 Sep 20
134
200 Sukarelawan Syariah Kuala Terengganu Bantu Cegah Maksiat
Kerajaan negeri mengalu-alukan penglibatan seramai kira-kira 200 orang sukarelawan syariah bagi daerah Kuala Terengganu yang akan bertugas membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membanteras maksiat di seluruh negeri.
09 Sep 20
307
JHEAT Siasat Penyebaran Fahaman Liberal
Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sedang giat menyiasat dan memantau aktiviti pihak tertentu yang disyaki menyebarkan fahaman liberal di negeri ini.
08 Sep 20
110
Perketatkan Penguatkuasaan Syariah Di Daerah Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 7 September -
Kerajaan negeri melalui pejabat agama daerah akan melaksanakan penguatkuasaan syariah secara menyeluruh dan lebih kerap pada masa akan datang
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, ia menjadi harapan pihaknya kerana penekanan nilai Islam juga mestilah diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat.
"Penguatkuasaan syariah di daerah ini mestilah diperketatkan pada masa akan datang kerana ini merupakan tanggungjawab yang kita akan jawab di hadapan Allah nanti.
"Salah satu langkah yang telah diambil dalam masa terdekat ialah pelancaran Penguatkuasa Sukarelawan Syariah di daerah ini yang telah dirasmikan oleh Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abd Rashid pada Ogos lalu dan ia merupakan salah satu langkah kerajaan negeri bagi mencegah kemungkaran yang berlaku di daerah ini,"ujarnya.
Beliau yang turut memegang salah satu portfolio EXCO Kerajaan Negeri Terengganu berkata demikian ketika kunjung hormat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) ke Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, pagi semalam.
Menurut beliau, kunjung hormat ke pejabat agama daerah bertujuan mendapatkan perkembangan dan maklumat secara terus mengenai kerja-kerja dan permasalahan yang berkaitan dengan pejabat agama daerah.
"Saya mengadakan kunjung hormat pada hari ini (semalam) bertujuan untuk mengetahui perkembangan dan penambahbaikan dari sudut syariah selepas kerajaan negeri memerintah selama setengah penggal ini.
"Saya juga ada bertanya mengenai perkembangan masjid di seluruh daerah Hulu Terengganu dan juga ingin mengetahui jika ada apa-apa yang pihak kami boleh bantu. Alhamdulillah, pihak pejabat agama daerah menyambut baik dan rasanya tidak ada masalah untuk kita bekerjasama pada masa akan datang," jelasnya.
Turut hadir, Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu, YM Engku Omar Amiruddin Engku Ali, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Penguatkuasaan), Mohd Shafie Endut, Ketua Penyelia IMITS Dun Kuala Berang, Mohamed Abdullah, dan Pegawai Khas ADUN Kuala Berang, Mohd Ariff Azlan.
07 Sep 20
605
Batalkan Hasrat Wahai Pelaku Maksiat - Skuad Cegah Dun Sura
DUNGUN, 5 September - Skuad Nahi Munkar (Skuad Cegah) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura memberi amaran keras kepada mana mana-mana individu yang berniat melakukan maksiat agar membatalkan hasrat tersebut.
Ketuanya, Mahdi Hassan berkata, pihaknya sentiasa mengadakan rondaan bagi membanteras aktiviti yang tidak bermoral daripada terus berleluasa.
"Kita mendapat kerjasama baik dari Pejabat Agama Dungun untuk bergerak dan ronda disekitar kawasan bandar.
"Hampir setiap malam anggota kita akan buat rondaan di beberapa kawasan panas," katanya kepada pemberita.
Menurutnya lagi, beberapa tempat yang sering menjadi tumpuan anak muda akan terus diawasi di samping akan diperluaskan lagi ke tempat lain.
"Kita dapat maklum balas yang positif daripada masyarakat. Ada yang hantar kepada kita lokasi ‘hotspot’ supaya kita pergi pantau.
"Dalam perancangan kami juga untuk memperluaskan kawasan rondaan agar berjaya mencapai tujuan penubuhan," ujarnya.
Mahdi Hassan turut memaklumkan bahawa pihaknya ingin melihat daerah Dungun bebas daripada anasir-anasir anasir tidak sihat.
“Kami ingin menasihati kepada mereka yang datang ke Dungun agar tidak membuat sebarang masalah terutama aktiviti yang tidak bermoral kerana kami sedang mengawasi anda.
"Keluarga yang ingin bersantai juga tidak perlu bimbang lagi akan permandangan yang menggelikan kerana kita sedang berusaha ke arah zon bebas maksiat," tegasnya.
05 Sep 20
3167
Cara Dakwah Perlu Seiring Perkembangan Semasa
Usaha dakwah memerlukan ilmu, pendekatan yang lebih terkesan dan paling penting tanamkan keikhlasan dalam diri setiap individu agar ia menjadi wahana dalam penyemarakkan usaha dakwah secara keseluruhannya.
01 Sep 20
150