lightning-solid
Berita :

Artikel "agama" Terkini

Cara Dakwah Perlu Seiring Perkembangan Semasa
Cara Dakwah Perlu Seiring Perkembangan Semasa
KUALA TERENGGANU, 1 September - Usaha dakwah  memerlukan ilmu, pendekatan yang lebih terkesan dan paling penting tanamkan keikhlasan dalam diri setiap individu agar ia menjadi wahana dalam penyemarakkan usaha dakwah secara keseluruhannya. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata ramai orang boleh berkata-kata tapi hanya sedikit yang boleh turun ke lapangan untuk berdakwah kepada pelbagai golongan masyarakat. “Ramai sasaran dakwah  pada hari ini terdiri dari  pelbagai golongan masyarakat dan sememangnya sangat sulit untuk sampai kepada mereka malah memerlukan cara berbagai bagai dalam menyampaikannya. “Ia juga sangat sukar pada masa sekarang untuk temui orang yang sanggup turun ke bawah untuk menyampaikan dakwah tersebut,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Semarak Dakwah 2020  ' Islam Itu Indah ' Negeri Terengganu Sempena Ambang Merdeka di Pantai Batu Buruk, di sini semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang dan Pengarah Akademi DUAT ,Ramlan Mahmood.  Mohd Nor juga berkata ummah yang paling baik adalah mereka yang mengerjakan kerja dakwah yang mudah disebut tapi sukar untuk dilaksanakan. “Walaupun Islam itu indah, ia tidak akan sampai ke manusia jika tiada orang bersedia mengikut sunnah Nabi SAW untuk menyampaikan agama ini. “Maka pendakwah mainkan peranan penting dalam menyampaikan dakwah terutamanya menyantuni generasi muda dengan kaedah komunikasi yang santai dan berkesan,”katanya.  
01 Sep 20
548
RM76 Juta Untuk Dua Masjid, Bangunan Persekutuan Di Hulu Terengganu
RM76 Juta Untuk Dua Masjid, Bangunan Persekutuan Di Hulu Terengganu
  HULU TERENGGANU, 27 Ogos - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM76 juta bagi pembinaan dua masjid baharu dan bangunan Persekutuan di kawasan Parlimen Hulu Terengganu. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid, berkata tender untuk pembinaan masjid baharu  Kampung Langgar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang dan Masjid Kampung Jak di DUN Ajil membabitkan peruntukan keseluruhan RM6 juta akan dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR). "Setakat ini reka bentuk masjid di Kampung Langgar yang boleh menampung kira-kira 1,000 jemaah dan masjid di Kampung Jak, yang boleh menampung kira-kira 200 jemaah sudah siap. “Pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan,”ujarnya. Terdahulu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu bersama Jurutera JKR Daerah Hulu Terengganu, Alif Zuwairi Baharuddin melawat tapak projek pembinaan masjid baharu di Kampung Langgar. Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu  juga berkata bagi kemudahan penduduk di Parlimen Hulu Terengganu berurusan, cadangan telah dikemukakan untuk menempatkan semua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di satu lokasi secara berpusat. Tambah beliau, kerajaan negeri telah meluluskan tapak seluas kira-kira 20 hektar bagi membolehkan projek pembinaan bangunan guna sama persekutuan dibina. Menurutnya lagi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada dasarnya bersetuju dengan cadangan tersebut untuk menempatkan semua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di lokasi itu. Justeru itu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri kini sedang membuat penilaian serta kajian terutamanya peruntukan yang dianggarkan melebihi RM70 juta. "Semua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di daerah Hulu Terengganu sudah diarah membuat kertas cadangan termasuk keluasan lantai diperlukan. "Jika projek bangunan usaha sama Persekutuan itu siap, masalah jabatan dan agensi kerajaan yang terpaksa menyewa bangunan persendirian serta menumpang jabatan lain selesai, selain mampu memberi keselesaan kepada penduduk membuat urusan," katanya.
27 Aug 20
444
Laksana Penguatkuasaan Terhadap LGBT Bukan Ancaman
Laksana Penguatkuasaan Terhadap LGBT Bukan Ancaman
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri menjelaskan pelaksanaan penguatkuasaan terhadap kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bukan merupakan satu ancaman kepada golongan ini.
21 Jul 20
145
Kekal Solat Jumaat Hanya Satu Sesi
Kekal Solat Jumaat Hanya Satu Sesi
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kekal dengan keputusan hanya satu sesi solat Jumaat diadakan, termasuk di Wilayah Persekutuan. Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, berikutan itu, jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dalam ruang yang lebih besar. "Ini termasuk ruang tepi masjid dan kawasan yang sesuai dengan SOP (prosedur operasi standard) penjarakan sosial. Kalau ada khemah yang disediakan oleh pihak masjid jemaah boleh solat di situ dengan bawa sejadah dan patuhi garis panduan yang ditetapkan. "Bagaimanapun ia tertakluk kepada pentadbiran agama negeri. Saya difahamkan setakat ini seluruh negeri menjalankan keputusan satu sesi solat Jumaat sahaja," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Program YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) Peduli : Pasca Musa'adah Covid-19 Warga Nelayan Terengganu di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini hari ini. Melalui program itu, seramai kira-kira 120 orang nelayan yang terjejas pendapatan harian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu menerima sumbangan 'food basket' daripada YADIM. Kesemua mereka turut menerima bantuan berupa sejumlah wang tunai yang disampaikan sendiri oleh Zulkifli termasuk sumbangan berjumlah RM10,000 kepada seorang warga nelayan yang menghadapi musibah kebakaran rumah baru-baru ini. Beliau memuji usaha YADIM menyantuni para nelayan sebagaimana tema YADIM Peduli dan mengharapkan agar bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka, sekurang-kurangnya untuk meneruskan kehidupan dengan sebaiknya. Hadir sama dalam program tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Hilmi Harun, Yang Dipertua (YDP) YADIM, Nasruddin Hassan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang. Nasruddin Hassan. Sementara itu, menurut Nasruddin Hassan, YADIM bertindak sebagai agensi prihatin dan bertanggungjawab menggerakkan aktiviti dakwah bahkan kebajikan. "Itulah hasrat kita untuk meringankan beban mereka. Malah nelayan juga adalah 'frontliner' yang membawa pulang sumber bekalan hasil laut ke tanah besar bagi keperluan 'food security' kepada kita umumnya," ujarnya yang dilantik sebagai YDP yang baharu menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz, baru-baru ini. Untuk rekod, sebanyak kira-kira RM80,000 diperuntukkan YADIM bagi membantu 1,000 nelayan di 10 kawasan di Terengganu.
19 Jul 20
1021
Pencegahan Berterusan, Gerunkan Pelaku Maksiat
Pencegahan Berterusan, Gerunkan Pelaku Maksiat
Oleh : Aslam Wira KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Pencegahan berterusan terhadap aktiviti kurang sopan di kawasan-kawasan tumpuan mendatangkan kesan positif berikutan tiada tangkapan dibuat dalam operasi di Drawbridge semalam. Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar), Nasaruddin Samsudeng berkata, perubahan baik yang berlaku itu memberi isyarat bahawa orang ramai mula sedar tentang kesalahan jenayah syariah. "Walau bagaimanapun, operasi dan pemantauan secara berterusan akan sentiasa dilakukan bagi membendung aktiviti tidak bermoral di sini. "Sekali gus menjayakan hasrat kerajaan negeri untuk menyifarkan aktiviti tidak sihat dalam masyarakat," tambahnya lagi. Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas melakukan operasi yang dibuat di perkarangan Drawbridge, semalam. Dalam operasi berkenaan, Skuad Amar Wanita turut digerakkan bagi membantu pemantauan. Menurutnya, pendedahan skuad Amar Wanita adalah sebagai pendekatan dakwah kepada kaum ibu terutamanya berkaitan penutupan aurat dengan sempurna mengikut tatacara Islam yang sebenar. "Langkah ini juga untuk menyambut seruan kempen indahnya hidup bersyariat yang sedang berjalan dalam negeri," ujarnya. Seramai 45 orang sukarelawan yang terdiri daripada Skuad Amar, Pegawai Penguatkuasa Syariah dan sukarelawan Syariah Kuala Terengganu serta Kuala Nerus terlibat dalam operasi berkenaan. Operasi yang bermula sekitar jam 8 malam sehingga 1.00 pagi itu merupakan operasi kali kedua yang dijalankan di sekitar Drawbridge.
17 Jul 20
5605
Anda Diperhati, Amaran Keras Kepada Pelaku Maksiat!
Anda Diperhati, Amaran Keras Kepada Pelaku Maksiat!
Oleh : Aslam Wira KUALA TERENGGANU, 11 Julai - Individu yang mempunyai niat untuk melakukan maksiat di bumi Terengganu termasuk di sekitar jambatan angkat di sini disaran supaya membatalkan hasrat tersebut. Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad AMAR), Nasaruddin Samsudeng menegaskan, pihaknya akan sentiasa mengadakan operasi pencegahan bagi mengekang aktiviti tidak bermoral terus berleluasa. Katanya, dalam operasi di Drawbridge semalam, 15 pasangan telah diberikan amaran keras manakala satu pasangan ditahan dan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu. "Pasangan yang dibawa ke Pejabat Agama Kuala Terengganu itu akan disiasat untuk kesalahan di bawah seksyen 36, Mewatie, enakmen kesalahan jenayah syariah (Takzir) (Terengganu) 2001. "Jika disabitkan kesalahan, mereka akan didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas operasi berkenaan. Menurut beliau, pemantauan itu tertumpu di beberapa lokasi mencurigakan, kawasan gelap dan mereka yang berdua-duaan di dalam kereta atau sebagainya. "Skuad Amar juga akan membuat cegahan secara berterusan, malah bunting-bunting penerangan tentang kesalahan jenayah syariah serta perbuatan tidak sopan di tempat awam turut digantung di setiap lokasi tertentu," ujarnya. Katanya lagi, ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa memantau anak-anak terutamanya anak perempuan lebih-lebih lagi pada waktu malam "Jangan sampai mereka terikut-ikut dengan hawa nafsu, dan terjerumus dalam pemikiran yang menyebabkan mereka terlanjur atau mendekatkan diri ke arah pengzinaan," jelasnya. Operasi yang bermula 8.00 malam itu mendapat kerjasama penuh daripada Pegawai Penguatkuasa Syariah serta Sukarelawan Amar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan penglibatan seramai hampir 60 orang. Terdahulu, pada 8 Julai, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu memaklumkan penubuhan skuad khas bagi memantau setiap kelakuan pengunjung di sekitar jambatan angkat bagi mengelakkan kejadian tidak bermoral berlaku
13 Jul 20
910
Skuad Khas Cegah Perbuatan Maksiat Di Drawbridge
Skuad Khas Cegah Perbuatan Maksiat Di Drawbridge
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu telah menggerakkan skuad khas bagi memantau setiap kelakuan pengunjung di sekitar jambatan angkat susulan dakwaan orang ramai mengenai kewujudan aktiviti tidak bermoral di kawasan terbabit. Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Shukri Faiz Jusoh berkata, dakwaan tersebut dipandang serius pihaknya kerana boleh mendatangkan pelbagai masalah termasuk persepsi daripada masyarakat luar. “Pasukan ini bagi meninjau orang ramai selepas penularan terdapat beberapa kondom di sekitar tapak pembinaan bangunan baharu Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) dan tempat parkir kereta sekitar Drawbridge. “Ketua Unit bersama enam anggota Pegawai Penguatkuasa Syariah Daerah Kuala Terengganu telah dan akan sentiasa membuat rondaan dan pemantauan di tempat yang disyaki itu,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Mengulas lanjut, sepanjang rondaan yang bermula jam 10 malam sehingga 6pagi di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu baru-baru ini, pihaknya tidak mengesan sebarang sebarang kes kesalahan jenayah syariah. “Bagaimanapun rondaan ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan rakyat Terengganu tidak melakukan aktiviti yang tidak bermoral. “Kami akan tinjau di beberapa lokasi berbeza dan akan dilakukan setiap hari,” tambah beliau.
13 Jul 20
636
Asing Penonton Pawagam Untuk Mendidik - MB Terengganu
Asing Penonton Pawagam Untuk Mendidik - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Pengasingan penonton lelaki dan wanita bukan mahram di pawagam Terengganu lebih kepada proses mendidik masyarakat bukan bertujuan untuk menghukum. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan zon pengasingan yang dibahagikan kepada lelaki, wanita dan keluarga di Terengganu mulai 4 Julai adalah bertepatan. Katanya, ia selaras dengan garis panduan hiburan yang dikeluarkan Kerajaan Terengganu sebelum ini. “Pelaksanaan peraturan ini lebih kepada proses mendidik masyarakat terutama kepada mereka yang belum berkahwin untuk mengamalkan apa yang disyariatkan Islam dalam apa jua urusan. “Sekiranya ada yang melanggar peraturan atau garis panduan ini, kita tidak terus hukum sebaliknya akan menasihati mereka. “Bagi yang telah berkahwin dan berkeluarga tidak ada masalah untuk duduk bersama ketika menonton wayang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Penerima Skim Pelajar Terengganu 2020 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri tetap meneruskan pengasingan tempat duduk bagi penonton bukan mahram di Terengganu walaupun mendapat kritikan daripada segelintir pihak. “Terima kasih atas suara dan kecaknaan terhadap Kerajaan Terengganu. Mereka boleh bercakap atau mengkritik sebab itu adalah hak mereka dalam perlembagaan. “Bagi saya segelintir pihak yang memberikan pandangan berbeza berkenaan pelaksanaan peraturan baharu ini tidak mendapat maklumat lengkap mengenai pelaksanaannya di mana ia memisahkan antara penonton lelaki dan wanita bukan mahram atau belum berkahwin. Yang mempunyai ikatan sah tiada masalah," katanya.
13 Jul 20
154
Usah Biar Palestin Lenyap Daripada Peta Dunia
Usah Biar Palestin Lenyap Daripada Peta Dunia
Selepas sekian lama, akhirnya Israel dengan sokongan penuh Amerika Syarikat (AS) berjaya mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya. Kini, langkah seterusnya adalah memperluaskan negaranya ke tanah milik Palestin di sekeliling secara haram dan kuku besi. Negara Islam tidak harus membiarkan hal itu. Namun, apa yang mendukacitakan, ada sebahagian negara Islam bertolak ansur dengan regim Yahudi dan kuasa AS yang amat gelojoh itu, demi muslihat sendiri. Dunia Islam sepatutnya bersatu menentang penaklukan haram itu, mengambil kira beberapa fakta dan hakikat sebenar Palestin serta kesucian Masjid al-Aqsa selaku kiblat pertama umat Islam. Kerajaan dan umat Islam harus sedar bumi Palestin amat penting dari segi fizikal serta spiritual kepada kesucian Islam dan misinya kepada keseluruhan umat manusia. Kepentingannya juga mempunyai hubungan dengan kesucian bumi ini dan sejarahnya dalam konteks Nabi Muhammad SAW diutuskan Allah SWT untuk membawa rahmat serta kesejahteraan kepada manusia dan dunia. Al-Quran menyatakan Nabi yang turun dan mendiami bumi suci Palestin ini dengan jelas seperti Nabi Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Yaaqub, Yusuf, Salih, Daud, Sulaiman dan Isa AS. Nabi dan Rasul terakhir, Muhammad SAW diberikan penghormatan amat mulia oleh Allah SWT dengan pengembaraannya ke bumi suci ini dan persinggahannya pada malam Israk di Masjid al-Aqsa dalam peristiwa Israk dan Mikraj, iaitu mukjizat besar disebutkan al-Quran. Masjid al-Aqsa terletak di Palestin. Seperti dijelaskan, ia kiblat pertama umat Islam dan antara masjid suci, di samping Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Umat Islam kini bebas melawat dan beribadah di kedua-dua masjid itu. Namun, amat malang apabila masjid suci yang juga kiblat pertama, iaitu Masjid al-Aqsa kini dikuasai rejim Israel, selepas kekalahan Arab dalam Perang Lima Hari pada Jun 1967. Sejak penaklukan Zionis itu, mereka melakukan pelbagai aktiviti merosakkan Masjid al-Aqsa. Hanya beberapa hari selepas penaklukan, mereka merobohkan dinding Al-Magharibah di sebelah barat masjid dan diratakan untuk menjadi tempat ibadat bagi orang Yahudi. Dalam usaha mencari bukti sejarah mengenai kehadiran apa yang dipanggil Kuil Solomon di kawasan utara dan barat kota Baitulmaqdis, mereka menjalankan kerja galian dan pembongkaran besar di kawasan berkenaan, tetapi tidak menemui bukti yang dicari. Malah, bukti sejarah yang mereka temui menunjukkan bandar dan kota ini ialah kota suci umat Islam. Sekurang-kurangnya tiga faktor menjadikan Palestin penting kepada umat Islam - kesucian Masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama, kekejaman hebat rejim Israel dan gerakan Zionis antarabangsa terhadap umat Arab serta Islam dan serangan mental serta fizikal dilakukan AS dan Eropah hingga memecahbelahkan tanah Palestin dan rakyatnya serta seluruh umat Islam. Negara Zionis itu ditubuhkan pada 14 Mei 1948 di atas sekeping tanah kecil sahaja, tetapi mereka merampas 77 peratus tanah Palestin dan mengusir kira-kira 800,000 penduduknya yang menjadi pelarian perang ketika Israel memenangi peperangan dengan Arab antara 1948 hingga 1967. Dalam peperangan Jun 1967, baki tanah Palestin dirampas, termasuk Tebing Barat, Timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza. Rejim ini juga menakluki Pergunungan Golan seluas 1,150 kilometer (km) persegi dari Syria dan Semenanjung Sinai (61,198km persegi) daripada Mesir. Akibatnya kira-kira 300,000 lagi rakyat Palestin menjadi pelarian perang, terpaksa meninggalkan tanah air mereka. Namun, Sinai dikembalikan kepada Mesir ketika negara berkenaan memenangi peperangan dengan Israel pada 1974 dengan beberapa syarat diletakkan termasuk perjanjian damai dengan Israel dan bantuan kewangan daripada AS selaku sekutu Israel. Kini, sebahagian besar kawasan yang pernah ditakluk itu akan dijadikan kawasan milik Israel seterusnya. Ini berdasarkan berita Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada 1 Julai lalu yang akan mengisytiharkan kawasan Lembah Jordan dan Lautan Mati Utara sebagai sebahagian milik negara Israel. Apakah umat Islam hanya akan berdiam diri dengan tindakan ini? Ahli Lembaga Pengarah Institut Intergriti Malaysia (IIM)
12 Jul 20
595
Pawagam Terengganu Asing Tempat Duduk Lelaki, Wanita Bukan Mahram
Pawagam Terengganu Asing Tempat Duduk Lelaki, Wanita Bukan Mahram
KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Bagi memastikan segala aktiviti yang dijalankan di negeri ini mengikut syariat Islam, pawagam di Terengganu melaksanakan pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita bukan mahram. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, garis panduan mengenai perkara tersebut telah dikeluarkan kepada semua premis terbabit sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Peraturan baharu melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu terpakai kepada semua panggung wayang atau pawagam yang beroperasi dalam negeri ini. “Ia dikuatkuasakan mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Pada 4 Julai lalu, Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang beroperasi di Paya Bunga (PB) Square mengasingkan tempat duduk bagi lelaki, wanita bukan mahram dan keluarga. Pengurus LFS, Mohd Zulmajdi Razali berkata, pihaknya menerima arahan daripada PBT untuk memperkenal dan melaksanakan peraturan itu kepada semua pelanggan. “Pelaksanaan peraturan baharu ini akan dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT),” katanya. Menurut beliau lagi, pihak pengurusan LFS juga bertanggungjawab melakukan pemantauan di dalam panggung wayang sekiranya berlaku situasi mencurigakan. “Bagi panggung wayang yang kecil, mereka yang berkeluarga boleh memilih untuk duduk di mana-mana tempat duduk yang disediakan manakala bagi dewan luas, kita telah bahagikan tempat duduk bahagian tengah panggung wayang untuk pasangan berkeluarga. “Namun, pengunjung lelaki atau wanita boleh juga ditempatkan di tempat duduk bahagian tengah sekiranya keadaan memerlukan asalkan batas antara satu sama lain terjaga,” katanya. Tambah Zulmajdi, penambahbaikan sedia dilakukan pihaknya bagi membolehkan ia dipatuhi dan memberi keselesaan kepada semua pelanggan. Katanya, ini adalah peraturan baharu dan mungkin hanya LFS Kuala Terengganu sahaja yang melaksanakan peraturan ini di Malaysia setakat ini. “Kami di peringkat pengurusan juga masih baharu dengan peraturan ini dan bersedia untuk memperbaiki sebarang kelemahan bagi memastikan kepuasan pengunjung yang datang ke sini,” ujarnya.
06 Jul 20
689