Artikel "Utama" Terkini
Penantian 40 Tahun Berakhir
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika merasmikan jalan Kampung Jebak Puyuh.SETIU, 14 Februari - Penantian selama 40 tahun penduduk Kampung Jebak Puyuh untuk mendapat jalan raya yang baik berakhir apabila infrastruktur baharu bernilai RM435,000 siap digunakan pertengahan bulan lalu.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keperluan asas yang penting dan menjadi nadi penghubung rakyat sekitar yang dibina sepanjang 1.5 kilometer itu memberi kelegaan dan keselesaan kepada penduduk selepas sekian lama menanti.Katanya, kerajaan negeri akan berusaha sebaik mungkin untuk menunaikan tanggungjawab memastikan setiap rakyat mendapat kemudahan yang sepatutnya.“Menjadi satu tugas besar dan penting bagi kepimpinan kerajaan untuk melaksanakan amanah.“Supaya rakyat yang ada di bawah negeri Terengganu ini berada dalam keadaan baik dan sempurna, dapat menikmati kemudahan dengan baik,” jelasnya.Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) menyerahkan jadual 5A kepada peserta RTB sambil diperhatikan oleh Dr Azman (kanan).Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jalan Kampung Jebak Puyuh dan Penyerahan Jadual 5A kepada peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kawasan Petai Patah mukim Kerandang, di Jebak Puyuh, Jabi, di sini, hari ini.Hadir sama dalam majlis ini ialah Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Dato' A. Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Khuzaini Ab. Rahman, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.Beliau turut berkata, kerajaan negeri akan terus memantau keperluan asas yang menjadi keperluan dan menimbulkan masalah kepada rakyat di setiap tempat seluruh Terengganu.Dalam masa yang sama menteri besar juga berharap agar rakyat turut membantu pihak kerajaan untuk melaporkan sebarang kekurangan kepada kemudahan yang ada untuk diambil tindakan segera oleh kerajaan."Ini adalah usaha kecil, permulaan setakat ini dan yang mampu, selebihnya kami akan kenal pasti (kekurangan) di tempat lain."Saya juga menyeru kepada rakyat Terengganu yang berada dalam situasi yang sama, sekiranya ada keperluan (yang kurang) agar melaporkan kepada pihak terbabit untuk tindakan lanjut ," tambah beliau.Gimik perasmian dengan melepaskan 4 ekor burung puyuh menandakan penantian 40 tahun berakhir.
14 Feb 19
149
Abdul Bari, Kematianmu Dicemburui
Yahaya (tengah) mendengar cerita tentang arwah Abdul Bari dari ayahnya, MohdKUALA TERENGGANU, 14 Februari- Subhanallah. Tiada apa yang lebih membahagiakan apabila dijemput Ilahi di dalam keadaan mati syahid sehinggakan pemergian itu dicemburui ramai.Bapa kepada arwah Abdul Bari Asyraf, Mohd Mustafa, 66, berkata dia tidak pernah terfikir bahawa kematian anak ketiga daripada lapan beradik itu akan diratapi dan disanjung begitu hebat termasuk oleh pemimpin kerajaan negeri.Jelasnya, beliau cukup sebak ketika dimaklumkan bahawa kerajaan negeri akan memberi anugerah Wira Darul Iman kepada arwah Abdul Bari yang lemas semasa membantu menyelamatkan lima sekeluarga yang terperangkap dalam kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan, Jumaat lalu."Saya nak cakap apa pun dok tau (tidak tahu), memang dok terucap dengan kata-kata dan kalaulah dia (arwah) masih hidup tentu ianya berbeza."Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya untuk arwah, saat bermulanya pencarian sehinggalah ke liang lahad dan majlis tahlil... cukup sempurna dan luar jangkaan."Orang ramai yang datang dok tau dari mana, cukup ramai dan tidak putus-putus beri penghormatan kepada arwah... sampai saya sebak melihat keajaiban yang terjadi di depan mata,"ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebaik menerima kunjungan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali di rumahnya, di Kampung Panji, di sini, hari ini.Yahaya yang ditemani isteri, Zarani Othman sempat meluangkan masa kira-kira setengah jam bertanyakan khabar keluarga arwah.Mohd berkata, arwah seolah-olah orang kenamaan apabila kematiannya mendapat perhatian ramai pemimpin dan ketua jabatan."Arwah macam orang popular dan terkenal waktu hidup sebab ramai orang yang datang ziarah yang saya dok kenal langsung dan bila tanya..mereka jawab nak bagi penghormatan kat wira yang berani korbankan nyawa demi orang lain."Malah, waktu di tanah perkuburan, saya didatangi oleh seorang lelaki yang datang dari Kuala Lumpur semata-mata ingin memberi sumbangan dan ketika majlis tahlil, orang ramai melimpah ruah termasuk dari Kedah pun ada,"katanya.Menurut Mohd lagi, sebagai ayah yang kehilangan anak secara tiba-tiba mungkin agak sukar menyesuaikan diri dengan suasana ini namun dia dan keluarga redha dengan ketetapan Ilahi."Mana ada ayah yang dok sedih, tipu kalu (kalau) kata dok nangis. Ada juga masanya saya teringat pada dia dan tersasul panggil nama arwah sebab dia ni memang banyak bantu saya tika hayatnya."Tapi saya terima hakikat dan letak dalam hati kami sekeluarga bahawa dia pergi dengan kemuliaan, disanjung dan dipuja dengan penuh kehebatan yang tak terjangka oleh saya sendiri,"ujarnya lagi.Mayat pemuda berusia 31 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan terapung di kawasan muka kuala Kampung Tanjung, Sungai Terengganu iaitu kira-kira 2.5 km dari lokasi kejadian kira-kira pukul 7.24 pagi Ahad.Jenazah Abdul Bari Asyraf selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah, kira-kira jam 2.30 petang, Ahad lalu.Dalam pada itu, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, anugerah Wira Darul Iman itu juga akan diberikan kepada lima lagi individu atas jasa mereka yang turut sama menyelamatkan mangsa.
13 Feb 19
142
Halal Haram Dalam Pengamalan Siber
Oleh : Aziz HambaliMARANG, 13 Februari - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan pengamal siber supaya mempunyai batas sempadan untuk menyebarkan sesuatu yang benar dan tidak menyebarkan perkara yang tidak benar."Sebar fitnah, orang tak mati kata mati. Macam-macam berlaku, pembohongan itu. Merosakkan masyarakat. Jadi kita mahu beritahu batas-batas sempadan. Dalam Islam ada halal haramnya" katanya selepas sidang media di Majlis Ramah Mesra bersama Komuniti Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Sungai Kerak, di sini, semalam.Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden PAS menyeru kepada semua pengamal media untuk sama-sama hadir ke Ijtimak Siber Malaysia 2019 yang bakal berlangsung pada 16 Februari ini bertempat di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, dekat sini.Beliau menyeru kepada pengamal media mengambil kesempatan itu supaya semua peserta memperolehi ilmu dan juga petunjuk serta keberkatan daripada Allah SWT dalam semua kerja yang dilaksanakan."Bersempena dengan himpunan yang dianjurkan ini, adalah baik bagi pengamal media untuk mengilmukan diri mereka, mengetahui batas sempadan bagi orang Islam dalam kehidupan di dunia ini kerana setiap gerak geri kita dalam dunia ini sama ada amalan, perkataan, tulisan dihisab oleh Allah swt pada hari kiamat. "Jangan kita lalai dan leka. Jadikan teknologi maklumat sebagai alat untuk mengerjakan kebajikan, bukan alat untuk menambah dosa dan maksiat," tambahnya lagi.Nota : Kepada mereka yang ingin menyertai Ijtima Siber ini, dijemput mendaftar secara 'online' di https://ijtimaksiber.com/
13 Feb 19
55
Tangan Ajaib Warga Emas Terengganu
KUALA TERENGANU, 14 Februari - Daripada sekadar suka-suka mewarna batik untuk mengisi masa lapang, seorang warga emas jatuh cinta terhadap pekerjaan tersebut.Walaupun Hitam Taib, 74, mula belajar mewarna batik ketika usianya sudah lanjut, namun bakat dan kemampuannya ‘bermain’ berus bagi menghidupkan corak batik yang siap dicanting sangat mengagumkan.Semuanya bermula kira-kira 20 tahun lalu apabila dia menyatakan minat untuk mendalami ilmu mewarna kepada anaknya, Noor Hayati Said, 46, yang mengusahakan pembuatan batik di kediamannya yang terletak di Kampung Kubang Machang, Kepong.Ibarat memiliki tangan ajaib, sentuhan tangan warga emas itu setanding mereka yang pakar dan mampu mewarna batik pada kualiti yang bermutu tinggi.Noor Hayati berkata, dia tidak pernah memaksa ibunya dan semuanya atas kerelaan warga emas yang suka mencuba itu.“Mak selalu lihat saya mewarna batik di bengkel dan dia pun berminat untuk lakukan perkara yang sama dan saya tidak pernah menghalangnya.“Dia terus mencuba sehingga mampu mewarna dengan baik dan lebih menakjubkan mata mak masih cerah macam orang muda,” ujarnya ketika ditemui di bengkel tersebut, baru-baru ini.Menurut Noor Hayati, seni mewarna batik sememangnya telah sebati dengan diri ibunya dan tidak hairanlah walaupun menghidapi kencing manis dan kadang-kala diserang asma, ibunya itu tetap akan turun ke bengkel selagi kesihatannya mengizinkan.
13 Feb 19
843
Terengganu Lulus Satu Ekar Tanah Kepada Masyarakat Cina Kemaman
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Kerajaan negeri mahu melaksanakan pemerintahan yang baik, tulus dan budiman dan telah meluluskan sebidang tanah seluas satu ekar kepada masyarakat Cina Tionghua di Kemaman.Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, tanah tersebut telah diberikan kepada Dewan Perhimpunan Cina untuk pengurusan sebuah rumah mayat.“Ia telah dipohon semenjak lama dahulu. Tetapi tidak pernah diluluskan (oleh kerajaan sebelum ini). Ini menandakan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang sangat baik, tulus dan budiman.“Kerajaan pada hari ini kerajaan daripada rakyat dan kepada rakyat. Sebab itu kami akan jaga rakyat terutama kepada pembayar cukai dan kita akan jaga sebaik mungkin,” jelasnya.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata demikian dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri Terengganu di Kampung Cina semalam.Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa wakil rakyat dari DUN Air Putih telah naik ke Pejabat Tanah Daerah untuk memohon tanah lot perumahan yang tidak diluluskan.Katanya, setiap tanah lot tersebut akan dibuat 'layout' untuk diberikan geran kepada setiap orang dan dalam masa yang terdekat mereka akan mendapat geran daripada kerajaan negeri.“Kawasan perumahan (rakyat) yang minta tanah lot pun tidak diluluskan maka wakil rakyat dari DUN Air Putih memohon Pejabat Tanah Daerah buat ‘layout’ untuk diberikan geran kepada setiap orang.“Saya yakin dalam masa terdekat ini mereka akan dapat geran daripada kerajaan negeri,” ujarnya.Justeru itu, beliau berkata, ia menandakan Kerajaan Terengganu menjaga kebajikan kaum Tionghua. “Kita mahu berlaku adil kepada semua, pastikan negeri aman, orang Cina dapat berniaga dengan baik dan ekonomi bertambah baik serta hidup aman dan damai,” tambahnya.
13 Feb 19
413
Abdul Bari Terima Anugerah Wira Darul Iman 22 Februari ini - MB Terengganu
Dr Ahmad Samsuri ketika di sidang media di Wisma Darul Iman Kuala Terengganu hari ini.KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Kerajaan Terengganu akan menganugerahkan gelaran Wira Darul Iman kepada almarhum Abdul Bari Asyraf dan empat penyelamat yang lain bagi mengenang jasa menyelamatkan mangsa pacuan empat roda yang terjunam ke dalam sungai baru-baru ini.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sijil anugerah dan insentif kewangan kepada mereka yang terbabit akan disampaikan dalam satu majlis khusus di Stadium Negeri pada 22 Februari ini."Majlis mesyuarat kerajaan negeri sudah berbincang tadi (hari ini) untuk memberi anugerah Wira Darul Iman kepada lima orang wira penyelamat mangsa kejadian pacuan empat roda yang terjunam ke sungai itu."Anugerah itu bukan sahaja kepada Abdul Bari Asyraf tetapi kepada empat orang lain lagi yang turut sama membantu turun ke dalam air untuk menyelamatkan mangsa."Semuanya akan digelar sebagai Wira Darul Iman, cuma untuk arwah itu (Abdul Bari Asyraf) akan diberi insentif kewangan lebih dari yang lain," ujarnya.Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kit Pengurusan Jenazah kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Terengganu di Tingkat U2, Wisma Darul Iman di sini hari ini.Turut hadir di sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A Rahman Yahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Haji Mohd Zahari Md Azahar.Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata, apa yang kerajaan negeri laksanakan itu akan menjadi satu contoh dorongan untuk orang ramai, membantu masyarakat yang memerlukan ketika kecemasan dan sebagainya.Katanya, majlis mesyuarat kerajaan negeri juga hari ini membincangkan mengenai cara untuk meningkatkan langkah-langkah keselamatan di kawasan berkenaan.Menurut beliau, antara isu yang timbul adalah ketiadaan tandas awam di kawasan berkenaan menyebabkan berlaku insiden yang tidak diingini itu."Kita juga telah bersetuju dan telah mengarahkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bahagian infrastruktur, Dr Alias Razak untuk mengambil beberapa langkah antaranya untuk menyediakan tandas awam."Kita mendengar keluhan daripada pengunjung bahawa kawasan berkenaan tidak ada tandas awam dan orang ramai terpaksa menumpang kedai-kedai berhampiran yang dikatakan ianya tidak selesa digunakan," jelasnya.Beliau berkata, kerajaan akan menyediakan tandas tersebut selain daripada memasang papan tanda amaran dilarang mandi manda di samping memasang penghadang di kawasan terbabit supaya tidak ada kenderaan yang boleh terlajak sehingga masuk sungai.Terdahulu dari itu empat sekeluarga terselamat dari lemas berhampiran Pulau Warisan di muara sungai Terengganu di sini apabila lima orang pemancing terjun menyelamat mereka dari tenggelam dalam air sungai bersama pacuan empat roda yang dinaiki mereka di kawasan pulau berkenaan baru-baru ini.
13 Feb 19
354
Kerajaan Negeri Tidak Pinggir Mana-Mana Kaum
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Kerajaan Terengganu menjadikan Islam sebagai dasar pentadbirannya tanpa meminggirkan mana-mana kaum yang berada di negeri tersebut.Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali berkata, semua rakyat di negeri Terengganu mestilah dilayan secara adil dan saksama.“Program kita pada hari ini merupakan satu mesej jelas, yang kita ingin tunjukkan kepada masyarakat di seluruh negara, bahawa Islam sangat menitikberatkan soal keharmonian dan kesejahteraan masyarakat majmuk.“Negeri dan negara yang kita sayangi ini dibangunkan atas asas keharmonian masyarakat majmuk. Kontrak sosial yang diwarisi oleh nenek moyang kita telah membawa negeri dan negara ini merdeka dan membangun dengan pesatnya,” jelasnya.Beliau yang mewakili Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri Terengganu di Kampung Cina semalam.Menurutnya, impian untuk melihat Terengganu menjadi negeri yang maju dan diuruskan dengan penuh keberkatan serta rakyatnya memperoleh kesejahteraan akan menjadi realiti sekiranya semua pihak bersatu hati dan boleh duduk berbincang bersama.“Saya berharap sama-sama kita berganding bahu bagi menjayakan dasar Terengganu Maju Berkat Sejahtera. Perkara yang besar ini sudah pasti memerlukan kerjasama daripada semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa.“Islam telah menganjurkan untuk umat manusia saling kenal mengenal antara kaum dan suku yang ada di atas muka bumi ini dan akan mewujudkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.“Dan dari perkenalan juga membolehkan kita mengetahui perkara-perkara sensitif dalam setiap kaum dan bangsa,” ujarnya.Justeru beliau berharap agar rakyat negeri Terengganu memasang tekad yang baharu untuk kehidupan yang lebih baik pada tahun ini dan tahun-tahun yang mendatang.
13 Feb 19
39
Rebana Besut Ke Sukan Komanwel
Pak Su harap ilmu menghasilkan alat muzik tradisional dapat diwarisi generasi muda.BESUT, 12 Februari - Nostalgia rebana dikir bersaiz besar buatan bapanya, Abdul Ghani Yusof yang dipalu pada acara pembukaan temasya sukan terulung, Sukan Komanwel 1998 masih terbayang di mata Mohamad Abdul Ghani, 55, atau lebih dikenali sebagai Pak Su Mad.Tidak tergambar betapa bangga perasaannya ketika menyaksikan hasil tangan tersebut menjadi tumpuan dalam acara sukan kedua terbesar di dunia itu."Ketika itu, ayah bersama abang, Hussin Abdul Ghani, 59, menyelesaikan tugas yang diberikan kerajaan ketika itu hanya dalam masa dua hari dengan bayaran sebanyak RM3,000," katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di kediamannya di Kampung Gong Ubi Keling, Jerteh, di sini, baru-baru ini.Pembuat rebana dikir tradisional itu menyatakan dia dan isteri hanya mula berjinak-jinak dalam bidang tersebut setelah bapanya meninggal dunia."Mula-mula buat gendang ini selepas allahyarham ayah meninggal dunia pada 2003 iaitu ketika saya berusia 63 tahun. "Di akhir hayatnya, ayah sempat berpesan supaya anak-anaknya memanfaatkan alat-alat pertukangannya yang ditinggalkan beserta bengkel mini yang dibina di tepi rumah. “Jadi, kini saya dan abang meneruskan perusahaan yang dibangunkan ayah suatu masa dahulu,” katanya yang turut membuat gendang silat dan kompang jika terdapat permintaan. Isterinya, Rozinah Yusuf, 53, pula turut membantu Pak Su Mad menghasilkan rebana serta gendang bersaiz kecil untuk perhiasan.Menurutnya lagi, lazimnya, hasil kerja mereka akan dijual di Bazar Tok Guru, Kota Bharu, selain ada pelanggan yang membelinya di rumah. “Paling banyak mendapat sambutan ialah rebana dikir dan gendang silat. Perhiasaan replika rebana juga banyak permintaan jika kena pada musimnya,” kata Rozinah sambil menyifatkan usaha suaminya itu lebih bertujuan memelihara warisan tradisi Melayu daripada hilang ditelan zaman.Di Besut, hanya tinggal Pak Su Mad dan abangnya yang masih aktif mengusahakan alat muzik tradisional itu. Dalam kunjungan itu, Pak Su Mad sempat menunjukkan proses pembuatan rebana dikir yang memerlukan ketelitian dan kemahiran tinggi.Buatan tangannya halus dan kemas terlihat menarik ditambah ikatan dan jalinan rotan yang kukuh, menjadikan rebana Pak Su Mad sentiasa menjadi pilihan peminat alat muzik tradisional di Pantai Timur.Beliau juga kerap kali mengungkapkan untuk mewariskan ilmu pertukangannya itu kepada anak-anak dan sesiapa sahaja yang ingin mendalaminya.“Kalau boleh, saya harap anak-anak dapat menggantikan saya suatu masa nanti. Tetapi, setakat ini hanya anak keempat, Muhammad Faris yang dilihat minat untuk memperlajarinya.Hasil tangan Pak Su kemas dan berkualiti. “Kalau ada orang lain yang datang hendak belajar, saya boleh juga ajarkan kerana apa yang penting ilmu yang ada ini dapat dikekalkan,” ujarnya sayu.Beliau turut berharap pihak kerajaan mengambil perhatian terhadap tradisi dan budaya yang semakin pudar lantaran generasi muda kurang meminati untuk meneruskan kelangsungan tradisi itu kini.“Ilmu-ilmu berkenaan tradisi ini perlu diambil perhatian kerana jika bukan kita, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk buat. Mungkin, jika tidak dijaga, esok lusa tiada lagi yang hendak mengekalkan benda lama ini,” katanya.
13 Feb 19
1355
Kerajaan Negeri Angkat Pendidikan Elemen Penting
Satiful menandatangani plak simbolik merasmikan Bangunan Koperasi Idun Quranic Centre (KIQC).DUNGUN, 12 Februari - Kerajaan Negeri Terengganu meletakkan pendidikan sebagai satu elemen penting dengan memperuntukkan sejumlah besar dana negeri untuk meningkatkan ilmu di kalangan masyarakat .Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, peruntukan perbelanjaan yang dibentangkan dalam Bajet 2019 lalu memperlihatkan bidang pendidikan mendapat dana tertinggi antara bidang-bidang yang lain."Berbekalkan peruntukan ini, kita akan terus alirkan dana kepada rakyat negeri Terengganu melalui pelbagai program dan aktiviti kelimuan yang dirancang.“Bagaimanapun, ia akan mengambil masa untuk kita lihat hasilnya," katanya di Dewan Ulul Albab Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu (Atas) Dungun, baru-baru ini. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali keenam sempena Anugerah Kecemerlangan Akademik 2018 & Majlis Perasmian Koperasi SM Imtiaz Dungun Berhad.Dalam majlis berkenaan, beliau turut menandatangani plak simbolik merasmikan Bangunan Koperasi Idun Quranic Centre (KIQC) yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik selaku Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan.Satiful memaklumkan, keutamaan yang diberikan kerajaan negeri itu bertujuan melahirkan insan- insan yang bakal menjadi pelapis kepimpinan kerajaan dalam usaha mencapai gagasan.“Ibu bapa perlu sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak mereka sejak dari awal lagi. Ibu bapa hari ini kebanyakannya berpelajaran tinggi, jadi mereka mahukan anaknya lebih baik daripada mereka. "Sedangkan konsep pendidikan dalam Islam, kita perlu mendidik 'minal mahdi ilal lahdi' yakni daripada buaian sampai ke liang lahad," katanya.Beliau turut mengulas tanggapan buruk sebahagian masyarakat tentang ibu bapa yang menghantar anaknya ke pusat hafazan al-Quran dikatakan tidak mempunyai masa depan yang cerah. "Apabila kita menghantar anak ke pusat hafaz al-Quran, bukan bermakna kita menutup masa depan mereka. Sebaliknya, kita menambah kefahaman dan ilmu keduniaan mereka dengan ilmu akhirat," katanya.
12 Feb 19
189
Penjawat Awam Diminta Ikuti Kursus Adab Layan Pelanggan
KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Penjawat awam, terutama yang bertugas di kaunter khidmat pelanggan di jabatan kerajaan dan anak syarikat kerajaan negeri di Terengganu diminta mengikuti kursus adab dan tatasusila layanan pelanggan.Langkah itu susulan daripada aduan tidak puas hati seorang pelanggan yang berurusan dengan kakitangan di bahagian kaunter khidmat pelanggan Yayasan Terengganu (YT), semalam dengan menganggapnya sebagai tidak beradab.Perkara itu menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi dan komen negatif daripada pengikut laman sosial Facebook.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dia ada menerima maklumat mengenai perkara itu dan sudah meminta pegawai dan kakitangan YT termasuk individu berkaitan memberi penjelasan.Katanya, kerajaan negeri mewakili YT memohon kemaafan di atas kejadian yang berlaku dan akan berusaha menyelesaikannya sebaik mungkin supaya perkara sama tidak berulang.“Perkara ini sudah dipanjangkan kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai tindakan untuk melatih, memberi kursus khas kepada mana-mana kakitangan yang bertugas di kaunter perkhidmatan.“Pendekatan itu tidak terhad kepada kakitangan YT sahaja malah turut melihatkan jabatan dan agensi bukan kerajaan seperti Syarikat Air Terengganu atau dengan kata lain mana-mana agensi yang saling berhubung dan berdepan dengan masyarakat luar,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Sarjana Terengganu 2018 di Duyong Marina, Kuala Terengganu hari ini.Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abd Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.Seramai 183 penerima Anugerah Sarjana Terengganu di mana 33 daripadanya pelajar ikhtisas, masing-masing menerima RM4,000 manakala selebihnya 150 pelajar bukan ikhtisas (RM2,000) hadir menerima sumbangan.Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri membelanjakan RM432,000 untuk diagihkan kepada 183 penerima anugerah itu.“Program ini diadakan bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda yang mendapat kepujian kelas pertama dan setara,” katanya.
12 Feb 19
672