lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Empty Image
Terengganu Tekad Teruskan Kecemerlangan Sukan
Hishamuddin Abdul Karim.KUALA NERUS, 31 Mac - Kerajaan Terengganu bertekad untuk meneruskan kecemerlangan sukan negeri itu dengan melaksanakan beberapa langkah awal terhadap setiap persatuan dan badan yang terbabit.Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, keseriusan kerajaan dapat dilihat melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) apabila perbincangan dan program bersama telah diatur awal bagi menghasilkan keputusan yang lebih cemerlang.Jelasnya, usaha tersebut bagi memastikan keupayaan semua pihak  dalam menguruskan sukan dan atlet dapat dioptimumkan sebaik mungkin untuk terus mara ke hadapan bagi mencapai keputusan yang gemilang.“Inilah yang telah dibuktikan, apabila selesai sahaja Sukan Malaysia (SUKMA) tempoh hari, kita dapat lihat usaha gigih MSNT terus mengorak langkah bagi menghadapi SUKMA 2020, walaupun kita masih di tahun 2019,” ujarnya.“Tuan-tuan juga dapat menyaksikan, dalam suasana Institut Sukan Negara (ISN) ditutup, kerajaan negeri menyambut saranan yang dikemukakan oleh MSNT untuk mengekalkan kewujudan Institut Sukan Negeri di peringkat negeri Terengganu,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Pemantapan Tadbir Urus Badan Sukan Negeri Terengganu di Dewan Banquet, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di sini hari ini. Persatuan dan badan sukan bertekad terus julang nama Terengganu.Turut hadir, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Dato' Seri Mohamad Norza Zakaria, Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu, Naib Presiden MOM, Prof. Datuk Dr Shamala Subramaniam, Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dr Suhardi Alias serta Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan, Asmadi Mohamad.Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) turut memberi peringatan bahawa hasrat murni daripada pentadbiran tertinggi itu akan terhalang sekiranya tidak disambut oleh semua persatuan sukan.Jelasnya, semua pihak harus berganding bahu dengan semangat ‘we bleed black and white’ walaupun wujud perbezaan agama, bangsa mahupun fahaman politik.“Usaha MSNT ini tidak akan tercapai jika persatuan-persatuan sukan negeri Terengganu membawa hala tuju yang tidak jelas untuk memimpin dan mengurus persatuan.“Dalam masa yang sama, kita juga akan gagal kalau kita sibuk untuk bergaduh dan bersaing dengan tidak sihat. Kekuatan kita mestilah melihat atas nama hitam dan putih.“Lupakan semua perbezaan, fokus ke mana tujuan kita, kita ingin membawa hari ini, Terengganu yang cemerlang,” tambah beliau.
31 Mar 19
138
Empty Image
Terengganu Bike Week 2019 Hangatkan Industri Pelancongan Negeri
KUALA TERENGGANU, 31 Mac – Terengganu Bike Week  2019 (TBW 2019) memberi pulangan positif kepada industri pelancongan negeri dan secara tidak langsung menjana ekonomi setempat.Kerajaan negeri juga mengalu-alukan penyertaan itu kerana ia mampu memberi impak kepada promosi pelancongan berdasarkan ‘participation event’  dan 'spectators event’ yang boleh menarik penyertaan pemilik motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, penyertaan termasuk dari luar negara seperti Singapura, Thailand, Brunei, Indonesia dan Singapura."Kerajaan negeri juga amat mengalu-alukan usaha badan bukan kerajaan (NGO) permotoran dalam menganjurkan pelbagai acara tanpa keperluan peruntukan yang besar daripada kerajaan negeri.“Program sebegini bukan sahaja merapatkan ukhuwah antara rakan permotoran dan secara tidak langsung bertindak sebagai duta pelancongan dalam membantu memperkenalkan produk dan destinasi pelancongan di Terengganu.“Selain itu, deruman enjin motosikal berkuasa tinggi membuatkan golongan belia teruja dan program sebegini mampu membuka minda golongan ini untuk menghayati sendiri kepelbagaian motosikal berkuasa tinggi,”ujarnya.Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian dan Makan Malam Terengganu Bike Week 2019 anjuran Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong, di sini, semalam.Turut hadir, Presiden Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu (PGPNT), Tengku Seri Temenggong Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud dan Gabenor Phatthalung, Thailand, Mr Kukiat Wongkrapunt.Tambah Ariffin lagi, program itu juga mampu menjadi satu platform pengendalian kenderaan bermotor secara positif yang boleh memberi manfaat terutama kepada generasi muda yang meminati permotoran.“Anak muda yang meminati bidang ini boleh menjadikannya sebagai karier atau mengambil peluang keusahawanan di dalam industri permotoran,”katanya.Sementara itu, Presiden PGPNT, Tengku Seri Temenggung Raja, berkata TBW2019 itu mendapat sambutan kira-kira 3,000 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.Katanya, pada penganjuran kali kelapan itu, PGPNT bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu untuk mempromosikan Beautiful Terengganu dengan mengadakan pelbagai program seperti persembahan kebudayaan, konvoi muhibbah dan sebagainya.
30 Mar 19
182
Empty Image
Kejohanan Golf Amal MB Terengganu Raih Dana RM100,000
Dr. Samsuri ucap terima kasih atas sumbangan penaja dalam kejohanan golf amal.PUTRAJAYA, 31 Mac - Penganjuran Terengganu Inc Classic: Golf Amal Menteri Besar Terengganu berjaya meraih dana sebanyak RM100,000 melalui penyertaan lebih 50 syarikat dalam acara tersebut.Kejohanan yang julung kali diadakan itu berjalan lancar dengan penyertaan 144 peserta terdiri daripada agensi kerajaan negeri, swasta dan individu perseorangan dari seluruh negara.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan terima kasih kepada penyumbang dan berbesar hati dengan penganjuran kejohanan berkenaan."Objektif kejohanan amal kali ini adalah untuk mengumpul dana bagi menterjemahkan tanggungjawab sosial kita yang akan diagihkan kepada badan-badan yang layak dan sesuai.Firdaus Ahmad menerima piala juara keseluruhan."Saya percaya walaupun dengan aktiviti sosial yang santai, tetapi sumbangan kita amat besar dan kita menyumbang kepada masyarakat yang lebih baik dengan cara masing-masing," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam sempena kejohanan itu di Palm Garden Golf Club, IOl Resort, di sini, semalam.Turut hadir menyertai kejohanan itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar dan mantan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said.Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak serta wakil-wakil penaja terlibat.Mantan MB, Ahmad Said turut sertai kejohanan.Dr. Samsuri yang merasmikan program itu awal petang semalam turut memaklumkan kemungkinan penganjuran kejohanan tersebut pada masa akan datang."Apa pun, ini adalah satu permulaan dan kita menerima respon yang baik atas penganjuran ini."Sekiranya ada permintaan lagi, mungkin kita boleh adakannya pada masa akan datang," katanya.Pada malam berkenaan, Mohd Firdaus Ahmad yang mewakili WRA Resources Sdn. Bhd dinobatkan sebagai juara keseluruhan Terengganu Inc Classic.Beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000, dua tiket penerbangan pergi balik ke Jakarta dan piala kejuaraan.Manakala, Roslan Ismail daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) memenangi cabutan bertuah utama berupa sebuah motosikal SYM Sport 110R.Roslan bertuah bawa pulang motosikal.
30 Mar 19
49
Empty Image
Payungi Khazanah Alam Tanggungjawab Bersama
Oleh: Hidayah AzlinSETIU, 30 Mac - Khazanah alam Terengganu adalah kurniaan Tuhan yang tidak ternilai. Kehilangan khazanah ini bukan sahaja bermakna kehancuran ekosistem, malah kehilangan sumber pendapatan daripada sektor pelancongan.Terengganu merupakan salah satu negeri yang mempunyai muka bentuk muka bumi geografi  unik dengan adanya pesisir pantai, muara sungai, kawasan tengah dan bukit bukau.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata tanggungjawab untuk menjaga anugerah yang tidak ternilai ini adalah peranan bersama sebagai pengurus dan pentadbir untuk memelihara sebaiknya.“Dari laut dan juga bukit, semua yang dijadikan Allah untuk kita menumpang hidup di atas muka bumi ini dalam keadaan saling memerlukan yang dinamakan sebagai hubungan 'sembiosis'.“Dengan menjaganya, bukan sahaja menjadi satu sumber sosioekonomi yang berpanjangan kepada rakyat malah kita mengharapkan ganjaran dan balasan pahala daripada Allah kerana apa yang kita buat atas muka bumi ini, tidak akan lepas setakat kehidupan dunia sahaja malah kita akan jawab persoalan di hari kita mengadapNya suatu hari nanti.”jelasnya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa (HHA) Peringkat Negeri Terengganu 2019 ‘’Hutan dan Pendidikan” di Dewan University College Bestari (UCB), di sini, semalam.Katanya lagi, kemenangan tidak akan berpihak kepada manusia sekiranya ‘berlawan’ dengan alam malah ia akan menunjukkan protes sebagaimana kejadian bencana alam yang berlaku sebelum ini.Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, sebarang permohonan yang berkaitan dengan pembangunan terutama pembangunan pertanian akan dirujuk Jabatan Perhutanan dalam mesyuarat penimbang bagi menjaga kawasan hutan simpan kekal.“Apa jua projek pertanian yang terlibat dengan kawasan hutan simpan kekal mesti dikeluarkan dan diangkat permohonan semula ke dalam kawasan yang tidak terlibat dalam hutan simpan. Kita mesti jaga kerana di dalamnya ada khazanah yang tidak ternilai.“Nak membina ia memerlukan satu tempoh masa yang sangat panjang tetapi untuk kita musnahkan hanya beberapa jam sahaja. Maka, kekalkanlah apa yang menjadi khazanah negeri kita ini,"ujarnya.
30 Mar 19
74
Empty Image
MB Rasmi Golf Amal Terengganu Inc Classic
Para peserta bergambar bersama Menteri Besar dan penaja sebelum kejohanan berlangsung.PUTRAJAYA, 30 Mac - Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hadir merasmikan Kejohanan Terengganu Inc Classic: Golf Amal Menteri Besar Terengganu yang berlangsung di Palm Garden Golf Club, IOl Resort, di sini, hari ini.Beliau menyempurnakan perasmian berkenaan dengan melakukan pukulan Tee Off disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.Hadir sama dalam acara berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Zainal Abidin Mohamed serta Presiden Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.Naib Presiden Komunikasi Strategik Terengganu Inc, Suridah Supian memaklumkan, kejohanan tersebut julung kali diadakan bagi mengumpul dana amal untuk disalurkan kepada 10 badan kebajikan melalui pertubuhan Persatuan Isteri Wakil Rakyat & Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa').Dr. Samsuri melakukan Tee Off sebagai gimik perasmian."Alhamdulillah, program ini sebenarnya sangat berjaya dari segi sambutan dan kami menerima penyertaan seramai 144 peserta terdiri daripada agensi kerajaan negeri, swasta dan individu perseorangan."Kejohanan ini turut mendapat tajaan lebih 50 penaja, antaranya PETRONAS, Concorde Group dan syarikat anak negeri seperti Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU), Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dan Golden Pharos Berhad," katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman.Katanya, selain mengumpul dana, acara berkenaan turut menjadi platform menjenamakan Terengganu Inc di kalangan pemain korporat besar negara. Kejohanan golf amal itu berlangsung selama sehari dan akan berakhir malam ini.Dato' A. Rahman Yahya turut tunjuk kehebatan bermain golf dalam kejohanan amal Terengganu Inc Classic.
30 Mar 19
528
Empty Image
Maahad Tahfiz Asy-Syatibi Terbangun Hasil Sumbangan Orang Ramai
Abdul Hadi Awang (kanan) menyerahkan sumbangan beliau kepada Maahad Tahfiz Asy-Syatibi.MARANG, 29 Mac - Pelbagai sumbangan diperuntukkan oleh orang ramai yang prihatin untuk tujuan pembangunan dan aktiviti kemasyarakatan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi.Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang berkata, maahad itu yang dibina dengan kos RM1.63 juta merupakan antara institusi yang bakal memahamkan orang ramai tentang konsep Islam sebenar.Jelasnya, ada sekumpulan generasi dan masyarakat hari ini memahami Islam dengan fahaman songsang yang jauh dari konsep asal dalam al-Quran. Berucap merasmikan bangunan maahad tahfiz.“Kerja kita adalah untuk ajak manusia balik kembali pada Islam, maka kita buka sekolah seperti ini (maahad tahfiz), untuk anak didik kita dekat dengan al-Quran, hafal dan beramal dengannya,” katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi di Kampung Alor Lit, Bukit Payung, di sini semalam.Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mat Ghani Jusoh serta Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Maahad Tahfiz Asy-Syatibi, Mohd Nasir Ismail.Beliau turut berkata, penganut Islam yang sudah mula memahami agama dengan betul kini mula menjadi serangan musuh.Justeru, orang Islam seharusnya meneruskan kebangkitan itu dan tidak terpengaruh atau takut dengan ancaman pembenci Islam.“Sekarang ini, musuh-musuh Islam berada dalam keadaan yang gelabah, huru-hara, takut orang Islam balik kepada Islam.“Berlaku pembunuhan orang Islam di sana sini, takutnya mereka kepada kebangkitan Islam,” tambah beliau..
30 Mar 19
1164
Empty Image
Kerjasama Dengan MIC Adalah Kejayaan DHPP - Abdul Hadi
Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.MARANG, 30 Mac - Parti Islam Semalaysia (PAS) menyifatkan kerjasama dengan MIC adalah kejayaan sayap parti iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam mendekati kaum bukan Islam.Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, hubungan politik itu berlaku selepas mereka memahami bahawa pemerintahan Islam, terutama di Terengganu dan Kelantan sama sekali tidak menganiaya kaum dan agama lain.Jelasnya, hubungan dengan MIC yang keruh sebelum ini adalah disebabkan berlakunya salah faham antara kedua-dua parti pembangkang itu.“Ini yang mengejutkan mereka kerana sebelum ini mereka baca mengenai Islam melalui tulisan orang bukan Islam, jadi timbul kekeliruan (mengenai Islam).“Kerjasama dengan MIC ini lebih bersifat perkenalan dengan lebih dekat. Penjelasan kita mendapat respon yang baik dan mereka faham hak beragama itu dijamin oleh Islam dan perlembagaan.Bersalaman dengan anak tahfiz.Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Bangunan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi di Kampung Alor Lit, Bukit Payong, di sini semalam.Hadir sama dalam majlis itu ialah Yang Dipertua (YDP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mat Ghani Jusoh serta Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Maahad Tahfiz Asy-Syatibi, Mohd Nasir Ismail.Mengulas tentang kerjasama dengan MCA, beliau yang juga Presiden PAS berkata, pihaknya akan meneliti semua perkara terlebih dahulu sebelum mengadakan hubungan politik dengan parti itu.Tambah beliau, PAS mempunyai pengalaman yang luas dalam mendepani lapangan politik semasa dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti demi kepentingan rakyat.Ahli Lembaga Pengarah Maahad Tahfiz Asy-Syatibi.Katanya, dalam suasana masyarakat majmuk di negara ini, PAS bukanlah sebuah parti bersikap jumud dan rasis seperti yang dimomokkan oleh sesetengah pihak.“Itu kita tunggu (kerjasama dengan MCA). PAS mempunyai pengalaman yang banyak dan panjang kerana kita bukan sahaja pernah bekerjasama dengan MIC dan UMNO, tetapi terlebih dahulu dengan DAP, PKR dan parti lain.“Politik ini fleksibel. Kita tak boleh beku atau jumud, apa lagi dalam suasana masyarakat majmuk dan Islam menerima wujudnya masyarakat majmuk, Islam itu (membolehkan) orang bukan Islam (terbabit) dalam kerajaan,” jelasnya.
30 Mar 19
246
Empty Image
Calon Saintis Islam Terengganu Sudah Dikenal Pasti
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) menyaksikan penyerahan sumbangan untuk program pendidikan Terengganu.KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Terengganu sudah mempunyai calon sesuai dan berkelayakan bagi melanjutkan pelajaran dalam Program Saintis Islam Terengganu yang bakal diumumkan tidak lama lagi.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program yang ditaja oleh kerajaan negeri itu memilih pelajar yang paling cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).Jelasnya, pelajar yang berjaya mencapai keputusan yang baik dalam SPM berkenaan berjaya melalui beberapa proses dan saringan yang ketat.“Sebagaimana komitmen kita dalam Bajet 2019, kita memperuntukkan RM15 juta bagi program biasiswa untuk anak-anak Terengganu, termasuk Program Saintis Islam Terengganu ini.“Kita sudah ada calon, jika calon itu bersetuju menerimanya, kita akan buat pengumuman, namun jika dia menolaknya atas sebab-sebab tertentu, kita akan pilih calon lain,” ujarnya.Ahmad Samsuri berucap merasmikan majlis.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ExxonMobil 2018 & Sumbangan Program-Program Pendidikan 2019 di Dewan Auditorium, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini hari ini.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Naib Presiden & Pengarah Kewangan ExxonMobil Exploration and Production, Ernest Miller, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Rosman Roslan.Kerajaan Terengganu akan menaja pelajar yang cemerlang dan terpilih dengan tajaan biasiswa penuh bermula daripada peringkat ijazah sarjana muda hingga doktor falsafah (PhD) melalui Program Saintis Islam Terengganu itu.Program yang sudah memasuki edisi kelima itu bertujuan untuk melahirkan saintis Islam yang hafaz 30 juzuk al-Quran, mendalami ilmu Islam dan pakar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).Pelajar bangsa Cina antara yang menerima anugerah pelajar cemerlang STEM 2018.
28 Mar 19
44
Empty Image
Terengganu Lepasi Sasaran Tanam Semula 1.2 Juta Pokok
SETIU, 28 Mac - Terengganu berjaya menanam 1.2 juta batang pokok dalam program inisiatif penanaman lima juta pokok sekali gus melepasi sasaran untuk menanam sebanyak 800,000 batang pokok setahun di seluruh negeri pada 2018.Pengarah Perhutanan negeri, Mohd Rahim Rani berkata, Kempen Menanam 26 Juta Pokok yang telah dilancarkan pada April 2010 terbukti telah berjaya apabila hampir 42.7 juta pokok telah ditanam di seluruh Semenanjung Malaysia."Daripada jumlah itu, Terengganu berjaya menyumbang hampir 261 ribu pokok sepanjang ia mula dilaksanakan bermula 2010."Kita berjaya melepasi sasaran pada tahun lepas melalui kerjasama semua pihak termasuklah agensi-agensi awam, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar-pelajar sekolah dan universiti serta masyarakat setempat," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa (HHA) Peringkat Negeri Terengganu 2019 "Hutan dan Pendidikan" di Dewan Universiti College Bestari (UCB), di sini hari ini.Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.Pada majlis yang sama, sebanyak 1,000 anak pokok yang terdiri daripada pokok buah-buahan seperti durian belanda, jambu bertih dan manggis diberikan kepada ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daerah Setiu untuk dibawa balik dan seterusnya ditanam di kawasan awam seperti kawasan balairaya, masjid dan sebagainya.Mengenai isu pembalakan haram, Mohd Rahim berkata, pihaknya juga meningkatkan penguatkuasaan termasuk pemantauan berkala bagi mengawal kegiatan pembalakan haram di kawasan hutan simpan di negeri ini.Tambahnya, Terengganu mempunyai seluas 542 ribu hektar Hutan Simpan Kekal untuk dipulihara dan dikekalkan sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya."Pihak kami sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam memastikan hutan simpan yang ada harus dilindungi sepenuhnya."Ia demi menjaga kelestarian, kepelbagaian biologi hutan, di samping potensi untuk pendapatan daripada sektor eko-pelancongan berasaskan alam sekitar," katanya lagi.Sementara itu, Dr. Azman berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM8.87 juta kepada Jabatan Perhutanan negeri untuk melaksanakan sepuluh program utama pembangunan hutan secara berkekalan di Terengganu pada tahun 2019."Ia bagi memastikan usaha-usaha pembangunan dan pemuliharaan hutan yang berkesan selaras dengan konsep pengurusan hutan secara berkekalan supaya khazanah ini sentiasa terpelihara," katanya.
28 Mar 19
130
Empty Image
30 Pelajar Terengganu Terima Anugerah Cemerlang STEM ExxonMobil 2018
Pelajar cemerlang STEM 2018.KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Seramai 30 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah harian di negeri ini menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ExxonMobil 2018.Masing-masing yang turut cemerlang dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, Fizik, Biologi dan Kimia melayakkan mereka menerima wang tunai RM1,500 seorang berserta sijil.Naib Presiden & Pengarah Kewangan ExxonMobil Exploration and Production, Ernest Miller berkata, anugerah itu adalah seiring dengan usaha syarikat untuk memupuk dan melahirkan bakat muda dalam bidang Sains, Matematik, teknologi dan inovasi.“Exxonmobil bergantung kepada teknologi dan inovasi bagi memenuhi keperluan tenaga semasa.“Jesteru, kami amat prihatin terhadap pentingnya usaha pembangunan pendidikan STEM serta aktif menyumbang dalam membentuk tenaga kerja mahir di masa hadapan dalam bidang ini,” katanya.Ernest Miller (empat dari kanan).Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian anugerah itu yang disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di sini hari ini.Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dato' Dr. Norazah Mohd Nordin, serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Rosman Roslan.Miller turut berkata, pada tahun ini ExxonMobil memperuntukkan dana kepada Terengganu bagi melaksanakan pelbagai program pendidikan dengan kerjasama rakan strategik yang lain seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).“ExxonMobil turut merasa berbesar hati kerana berpeluang untuk menyampaikan sumbangan berjumlah RM500,000 untuk menaja program-program kerjasama pendidikan,” tambah beliau.Pelajar cemerlang STEM dari SMK Lela Segara.Sempena dengan majlis itu juga, empat sekolah harian terbaik STEM yang memperoleh prestasi A turut menerima ganjaran sebanyak RM2,000 dan sijil.Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, SMK Bukit Sawa bagi subjek Fizik dan SMK Belara untuk mata pelajaran Kimia dan Biologi.Ini menyaksikan SMK Belara menerima Anugerah Sekolah Menengah Harian Terbaik Keseluruhan STEM 2018 dengan hadiah wang tunai RM3,000 manakala daerah Kemaman  dianugerahkan Daerah Peningkatan Peratusan Tertinggi Calon STEM 2018 serta menerima wang tunai RM2,000 dan sijil.
28 Mar 19
1497