Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Umum RM400 Bonus Raya Penjawat Awam
Program Beyond The Moon pupuk minat pelajar terhadap sains dan teknologi.KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Kerajaan Terengganu mengumumkan bonus raya sebanyak RM400 bagi 12,700 penjawat awam negeri tersebut.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5.1 juta bagi tujuan berkenaan."Pemberian bonus melibatkan semua kakitangan awam daripada Gred 54 dan ke bawah, kakitangan kontrak serta lantikan ad hoc," katanya ketika ditemui pemberita.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Beyond The Moon: Ulang Tahun ke-50 Pendaratan Di Bulan di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), hari ini.Program kerjasama kedutaan Amerika Syarikat dan agensi kerajaan negeri itu bertujuan menanam minat berkenaan sains dan teknologi kepada pelajar-pelajar sekolah.Dean Thompson menyerahkan cenderahati kepada Dr. Samsuri.Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Dean Thompson dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil.Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Rosman Roslan, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin dan Eksekutif Senior, Mydigitalmaker Nurturing & Grooming Young Talents MDEC, Victor Lam.Menurut Dr. Samsuri, kerajaan negeri amat mengalu-alukan program sebegini kerana ia membantu mendidik generasi baharu tentang sains dan teknologi."Program hari ini adalah salah satu kaedah pembelajaran supaya anak-anak kita tidak takut kepada sains dan teknologi," katanya.Program berkenaan dihadiri 200 peserta terdiri daripada pelajar dan guru-guru sekitar Kuala Terengganu.Dr. Samsuri melancarkan 'roket angin' dalam lawatannya ke PSKT.
21 May 19
71
MPKK Perlu Telus Agih Dana Raya
Dr Azman Ibrahim.Oleh: Hidayah AzlinSETIU, 21 Mei - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dinasihatkan agar bersikap telus dan berlapang dada dalam mengagihkan borang permohonan Dana Raya kepada penerima yang betul-betul layak.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kebijaksanaan MPKK dalam menguruskan hal itu amat ditagih berikutan kuota Dana Raya yang terhad iaitu sebanyak 2,500 penerima di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).Jelasnya, sikap bertolak ansur dan cermat dalam mengagihkan kuota jumlah penerima bagi setiap kampung akan dicapai melalui perbincangan secara penuh kematangan dan semangat berjemaah.“Di Jabi ada 37 MPKK dengan saiz kampung yang berbeza. Kampung besar mempunyai lebih 300 buah rumah sementara kampung kecil mengandungi sekitar 30 buah rumah. Majoriti kampung memiliki antara 150 hingga 250 buah rumah.“Kampung paling besar mendapat sekitar 90 orang lebih kuota sementara yang paling sedikit mendapat sekitar 40 orang kuota. Alhamdulillah, semua MPKK berlapang dada,” katanya lagi menerusi catatan di Facebook rasminya, semalam.Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, walaupun keputusan yang dicapai hasil perbincangan bersama, pastinya ia tidak dapat memuaskan hati semua orang. Namun, bebanan tanggungjawab ini seharusnya dipikul bersama tanpa menuding jari antara satu sama lain demi kepentingan rakyat dan juga kemakmuran negeri.“Dengan jumlah kuota yang ada, setiap MPKK bermesyuarat menentukan siapakah penerima yang lebih layak di kalangan yang layak. “Pemilihan dibuat secara mesyuarat. Bukan keputusan Pengerusi MPKK seorang diri. Jadi, beban tanggungjawab dari keputusan ini haruslah dipikul bersama.“Begini cara kita di Jabi. Sedikit sama dirasa, berat sama dipikul. Saya sangat yakin pada setiap kesukaran itu akan ada kelapangan,” tambah beliau lagi.
20 May 19
35
Ayam Payang Dalam Kenangan Tarik Perhatian Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Setiap kali Ramadan menjengah, pasti ada satu perasaan unik yang sukar digambarkan berbanding bulan sebelumnya, di samping kemeriahan berpuasa dan solat sunat tarawih, kewujudan bazar Ramadan juga mewarnai suasana.Namakan saja apa jenis makanan yang anda idamkan, baik tradisional ataupun barat, semuanya sedia dijual dengan ratusan deretan peniaga di bazar Ramadan, sehingga anda jadi rambang mata memilihnya, hanya sediakan duit sahaja tetapi jangan sampai membazir.Antara hidangan lazat yang menjadi buah mulut orang ramai ialah ayam payang (tempayan). Malah menu istimewa itu mempunyai peminatnya sendiri dan mendapat permintaan yang tinggi.Pemiliknya, Mohd Shaharudin Shafie, 26, berkata, ayam yang dibakar di dalam tempayan mendapat sambutan penduduk setempat kerana aroma dan kelainan rasanya berbanding ayam lain.Mengenai keistimewaan ayamnya, Mohd Shaharudin sempat berkongsi rahsia bahawa ayamnya akan diperap dengan ramuan rempah ratus khas selama lapan jam sebagaimana yang dipelajari di Thailand dan di Malaysia sendiri tujuh tahun lalu sebelum dipanggang di dalam tempayan besar."Ia dimasak menggunakan bara arang sehingga menghasilkan isi yang lebih lembut berbanding ayam yang digoreng malah tempayan baharu yang digunakan itu mampu memuatkan 25 ekor ayam dalam satu-satu masa dan dapat dimasak dengan lebih cepat iaitu kira-kira satu jam berbanding sebelum ini tiga jam.“Rata-rata pelanggan memberi komen yang positif dengan rasa ayam yang berjus, lembut dan terasa rempah sehingga ke tulangnya dan setiap hari kami memperuntukkan 150 hingga 250 ekor ayam yang dijual pada harga RM24 seekor serta setiap pembelian percuma dengan sebotol air jus buah,” katanya.Mohd Shaharudin.Jelasnya lagi, kawalan api melalui kayu arang yang sempurna sepanjang proses memanggang penting bagi memastikan ayam tidak hangus hingga mengubah rasa, warna dan kualiti.Jika sebelum ini mereka berniaga di tujuh lokasi berbeza setiap tahun, tetapi untuk tahun ini hanya fokus di Bazar Ramadan Batu Burok dengan menyewa enam lot tapak dan pada tahun ini mereka menambah tiga tempayan lebih besar menjadikan kesemuanya 15 tempayan digunakan.“Bagi memenuhi permintaan pelanggan yang ingin merasai ayam payang selepas Ramadan, kini kami dalam proses membuka sebuah kedai di Kuala Ibai selepas raya nanti dan insya-Allah tidak ada masalah lagi jika pelanggan nak membelinya serta tidak perlu menunggu tahun depan,” ujarnya lagi.Perniagaan mereka bukan semata-mata untuk tujuan kewangan, tetapi juga menyimpan simbolik dan kenangan tersendiri demi sahabat tercinta, Allahyarham Mohd Lukman Riduan yang telah pulang ke rahmatullah dua tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.“Arwah adalah antara orang yang mencetus perniagaan ini termasuk memberi dorongan dan idea dalam perniagaan ayam payang. Bila arwah pergi, kami mengambil keputusan untuk menukar nama perniagaan kami kepada Ayam Payang Dalam Kenangan sebagai tanda ingatan kami yang tidak pernah pudar kepadanya.“Malah sebahagian hasil keuntungan daripada perniagaan ini akan kami salurkan kepada keluarga arwah dan juga rumah anak yatim terpilih,” katanya ketika ditemui di Tapak Bazar Ramadan Batu Buruk, di sini baru-baru ini.Mohd Shaharudin berkata, beliau bersyukur kerana perusahaan Ayam Payang Dalam Kenangan Bazar Ramadan Batu Buruk itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengunjung dan memberi pulangan lumayan kepada mereka.
20 May 19
1098
Terengganu Beri Kerjasama Penuh Bina PLVTI Di Kijal
Dr Alias (empat dari kanan) dan Hajah Zuraida (tengah) dibawa melawat kilang SANY sebagai tapak PLVTI di Kijal. KEMAMAN, 20 Mei - Kerajaan Terengganu amat berbesar hati kerana dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi pembinaan Pusat Latihan Vokasional dan Teknikal Sistem Bangunan Perindustrian (IBS) (PLVTI), melibatkan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), CIDB IBS Sdn Bhd (CIDB IBS) dan Sany Construction (SANY).Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembinaan pusat latihan itu adalah satu usaha bersepadu antara tiga komponen penting negara termasuk dari pihak Kerajaan Pusat (KPKT), agensi kerajaan Malaysia (CIDB), anak syarikat kerajaan (CIDB IBS) dan pihak swasta (SANY).Kerajaan negeri katanya akan memberi kerjasama penuh untuk menjayakan usaha murni ini."Kerajaan negeri sangat bertuah kerana SANY telah memilih negeri Terengganu sebagai pusat latihan untuk industri pembinaan terbaharu berteraskan IBS."Kerajaan negeri amat berharap industri pembinaan rumah untuk rakyat dapat dipercepatkan, lebih murah dan diperbanyakkan," jelas beliau.Teks Ucapan Dr Ahmad Samsuri dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak sebagai mewakili beliau di Majlis Pelancaran Pusat Latihan Vokasional dan Teknikal IBS di Kijal hari ini.Turut hadir, Menteri KPKT, Hajah Zuraida Kamaruddin, Pengarah Eksekutif SANY, Chang Bar Kuei dan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Dato' Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid.Dr Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, penilaian kejayaan untuk sesuatu negeri dan negara tidak hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi semata-mata sebaliknya kesejahteraan hidup penduduk dan kelestarian alam perlu diutamakan.Menurut Dr Ahmad Samsuri, industri IBS dalam bidang pembinaan bukan sahaja lebih produktif dan mampu mengurangkan kos pengeluaran, bahkan ia juga lebih mesra alam melalui pengurangan pembaziran bahan-bahan binaan."Semoga budaya kerja binaan yang bersih dapat diterapkan dalam budaya kerja pembinaan negeri dan negara ini di masa akan datang," ujarnya.Katanya, penggunaan IBS untuk projek perumahan dan binaan amnya di negeri Terengganu selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 bagi manfaat pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri tersebut.Menurut Dr Samsuri, inisiatif kerjasama latihan IBS berdasarkan reka bentuk pengeluaran dan pemasangan akan memberikan banyak manfaat kepada rakyat negeri Terengganu khususnya dan Malaysia amnya."Justeru, kerajaan negeri mengalu-alukan usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan hasil dari program latihan pembangunan kerja pengeluaran dan pemasangan IBS serta program pembangunan IBS."Ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menyediakan 20 ribu peluang pekerjaan dalam masa empat tahun seperti mana manifesto pilihan raya yang lalu," jelas beliau lagi.Dr Alias (kiri) menerima cenderahati dari Chang. Inisiatif kerjasama IBS ini juga katanya, boleh membantu menjayakan beberapa program di bawah Bajet 2019 Negeri Terengganu.Justeru katanya, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama sewajarnya bagi menjayakan hasrat kerajaan dan rakyat ini.
20 May 19
853
Sultanah Terengganu Sampaikan Sumbangan Raya Kepada Asnaf
KUALA TEREGGANU, 20 Mei - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mengurniakan sumbangan Aidilfitri Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) 2019 kepada 300 asnaf serta penenun songket, hari ini.Baginda yang turut diiringi anakanda Nur Nadhirah Zahrah Sultan Mizan Zainal Abidin dan isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Abul Rahman menyempurnakan majlis berkenaan di Istana Syarqiyyah, Chendering.Pengerusi YTNZ , Datuk Ridzuan Radziwill berkata, tradisi menyampaikan sumbangan termasuk wang tunai itu bertujuan meringankan beban dan menambahkan keriangan menyambut Aidilfitri khususnya kepada golongan yang kurang bernasib baik.Katanya, YTNZ turut menyumbang 300 pasang baju baharu untuk diagihkan kepada beberapa buah rumah anak yatim di negeri ini.Sementara itu, Ridzuan mengakui sukar untuk mencari pelapis penenun songket kerana anak muda kini tidak berminat untuk menjadi penenun.“Kalau kita tengok sekarang ini kebanyakan penenun kita sudah warga emas. Generasi muda tak nak pegang songket, lebih suka bermain dengan telefon.“Yayasan sekarang patut mencari pelapis, ataupun kita mungkin buat program untuk sekolah-sekolah di Terengganu yang mana antara kokurikulumnya adalah kraftangan supaya budak-budak sekolah ini mengenali, tahu asal usul serta timbul minat dan kecintaan terhadap kraf.“Ianya termasuk mewujudkan salah satu kokurikulum pembelajaran di sekolah berkaitan mengenali tenun warisan budaya kita sendiri,” ujarnya.
19 May 19
1207
Hospital Pengajar UniSZA Buka Peluang Pekerjaan Buat Anak Terengganu - Dr Mamad Puteh
Dr Mamad Puteh meninjau pelan pembinaan hospital berkenaan.KUALA NERUS, 20 Mei - Pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2020 nanti akan membuka peluang pekerjaan buat anak Terengganu.Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, anak tempatan akan diberikan keutamaan untuk mengisi kekosongan apabila kerja-kerja pembinaan hospital setinggi enam tingkat di tapak seluas 12 hektar itu siap.Katanya, para pekerja terutamanya doktor-doktor dan pegawai perubatan akan dinilai berdasarkan kepakaran mereka sebelum ditawarkan untuk berkhidmat di situ.“Mereka (yang akan berkhidmat di hospital) ini akan mengajar pelajar-pelajar daripada pelbagai jurusan, yang memerlukan kepakaran yang tinggi dan pelbagai.“Jadi sekiranya tiada tenaga pakar dari Terengganu, memang kita terpaksa ambil dari luar negeri ataupun negara untuk jaga mutu pendidikan itu, tetapi kita akan beri keutamaan kepada pakar (rakyat) yang berada di Terengganu dahulu,” ujarnya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Hospital Pengajar UniSZA, Gong Badak, di sini hari ini.Beliau turut berkata, hospital yang telah siap 43.6 peratus itu bakal dijadikan model terbaik bagi hospital pintar berasaskan teknologi dalam negara apabila ia siap sepenuhnya nanti.Jelasnya, kebanyakan hospital sebelum ini dibina dengan kurang menekankan aspek insfrastruktur yang mesra kepada pesakit termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pelawat.“Kita lihat hospital ini agak canggih, ianya mesra kepada syariah, pelanggan dan kita cuba untuk bina hospital ini supaya ia bersifat Islamik dari segi susun atur bilik yang patuh syariah (menjaga privasi pesakit).“Hospital ini juga mesra kepada OKU, kalau lihat lihat kepada sesetengah hospital yang ada, ciri ini kurang dipraktikkan, jadi hospital ini ada disediakan kemudahan-kemudahan kepada golongan ini,” tambah beliau lagi.Untuk rekod, fasa pertama projek berkenaan yang menempatkan 200 katil menelan belanja kira-kira RM345 juta manakala fasa kedua juga akan menempatkan 200 katil dan dilengkapi dengan kemudahan terkini.
19 May 19
324
Bantuan Kebajikan Terhidang Untuk Rakyat Terengganu
Dr Azman Ibrahim.Oleh: Hidayah AzlinSETIU, 19 Mei - Bantuan untuk rakyat merupakan agenda terpenting Kerajaan Terengganu dalam usaha memastikan kebajikan golongan kurang berkemampuan terjaga.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pelbagai inisiatif disediakan antaranya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Tabung Darul Iman serta Bantuan Am Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).Jelasnya, kerajaan negeri juga tidak mengabaikan kebajikan rakyat apabila tibanya musim-musim tertentu, dana seperti bantuan bencana banjir, kelengkapan awal persekolahan, pendahuluan memasuki institusi pengajian tinggi, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan baiki rumah antara yang boleh dimohon oleh semua."Tentunya pada setiap kategori bantuan, tidak semua rakyat akan terima. Bantuan kelengkapan sekolah di Jabi pada awal tahun ini contohnya, kita sampaikan kepada lebih 3,200 orang murid."Tahun ini dengan peruntukan yang ada, sebanyak 72 buah rumah disenaraikan untuk dibaiki di Jabi termasuk tujuh buah yang akan dibina baru."Setiap bulan kita agihkan sekitar 20 keping cek bantuan Tabung Darul Iman kepada pesakit kronik. Mereka yang terima bantuan bulanan susu dan lampin pakai buang berjumlah ratusan orang di Jabi," ujarnya lagi.Beliau berkata demikian menerusi catatan di Facebook rasminya, hari ini.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi turut berkata, untuk Dana Raya tahun ini, seramai 2,500 orang penerima yang paling layak telah dikenal pasti walaupun ramai yang merasakan mereka layak."Penerima yang dah terima zakat MAIDAM, tentunya nama mereka tak ada lagi dalam senarai JKM. Yang dah terima Tabung Darul Iman, tak ada lagi senarai dalam penerima zakat. Begitulah secara sama rata kita cuba agihkan bantuan supaya sedikit sama merasa," katanya lagi.Tambahnya, sekiranya ada rakyat Jabi yang layak tetapi tercicir dari menerima sebarang bantuan kebajikan, beliau memohon agar perkara itu dimaklumkan segera kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau Pejabat ADUN Jabi."Dalam program jelajah turun ke MPKK, hal ini selalu saya ingatkan. Jangan sampai ada rakyat kita yang layak terima bantuan tercicir tanpa dapat apa-apa pun. Jika berlaku, ini adalah kecuaian yang perlu diperbaiki segera," tambah beliau.
19 May 19
102
Fun Ride Sahur, Beriadah Sambil Beramal - Mohd Nor Hamzah
'Fun Ride Sahur' yang bermula selepas tarawih.MARANG, 18 Mei - 'Fun Ride Sahur' yang julung-julung kalinya diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong berjaya menarik golongan muda untuk beriadah sambil beramal.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, program santai itu adalah inisiatif terbaharu pihaknya dalam menggalakkan anak muda melakukan aktiviti berfaedah.Jelasnya, dalam aktiviti berbasikal itu, acara penyampaian sumbangan untuk fakir miskin di sekitar Kampung Paya Resak turut dijalankan bagi meringankan beban mereka dan secara tidak langsung berjaya mendekatkan diri antara pihak pentadbiran dan rakyat.“Program-program seumpama ini boleh diteruskan pada masa-masa akan datang untuk menarik anak muda agar mereka terus menghidupkan malam Ramadan dengan beriadah (selain ibadah tarawih dan tadarus) supaya tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat.“Program ini juga memberikan manfaat kepada 10 orang fakir miskin di Kampung Paya Resak yang menerima sumbangan dan merapatkan hubungan sesama kami,” ujarnya.Mohd Nor Hamzah.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengagihkan bantuan untuk fakir miskin di Balai Raya Paya Resak, di sini semalam.Turut hadir dalam Program ‘Fun Ride’ Sahur itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri, Dato' Tengku Farouk Hussain Tengku Abdul Jalil, Pegawai Daerah marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Paya Resak.Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong turut menaruh harapan agar program seumpama itu dijalankan di kawasan-kawasan lain.“Saya dimaklumkan bahawa program ‘Fun Ride Sahur’ ini akan diperluaskan di setiap DUN, saya mengalu-alukan untuk diadakan program ini di setiap DUN,” tambah beliau.Aktiviti yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Marang serta Pejabat DUN itu melalui jarak sepanjang 13km dan menjadikan Balai Raya Paya Resak sebagai tempat persinggahan untuk acara penyampaian sumbangan.Program yang bermula pada 10.30 malam itu berjaya menghimpunkan lebih 100 peserta termasuk daripada kakitangan pejabat daerah dan ia berakhir sekitar jam 12.00 malam.Sumbangan yang diagih kepada 10 fakir miskin.
17 May 19
140
500 Solat Jumaat Bersama Sultan Mizan Di Masjid Kubang Parit
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) menyambut keberangkatan Sultan Mizan hari ini. Foto oleh - Media MBKUALA TERENGGANU, 17 Mei - Hampir 500 jemaah menunaikan solat Jumaat bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Masjid Kubang Parit, Kuala Terengganu, di sini hari ini.Sultan Mizan, yang tiba jam 1.03 tengah hari, turut diiringi Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.Sultan Mizan sempat meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat jelata selepas selesai menunaikan solat Jumaat.
17 May 19
1194
Sultan Mizan Kurnia Bantuan Fakir Miskin Dan Pelajar Sekolah Sempena Aidilfitri
Sultan Mizan mengurniakan bantuan kepada pelajar sekolah terlibat.KUALA TERENGGANU, 17 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin dan Pelajar Sekolah Sempena Hari Raya Aidilfitri 1440H Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) di Dewan Az-Zahra',Istana Syarqiyah, di sini semalam.Keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah disambut oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato A. Rahman Yahya dan isteri, To' Puan Kamsiah Dollah.Turut menyambut, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan merangkap pengerusi majlis, Dato' Mohd Fadzli Yusof.Sultan Mizan berkenan mengurniakan bantuan kepada 200 fakir miskin terpilih dari seluruh daerah Terengganu berupa wang tunai RM500 selain hamper barangan keperluan bernilai RM150.Di samping itu, seramai 210 pelajar daripada keluarga miskin dari tujuh buah sekolah dipilih menerima kurniaan berupa wang tunai RM200 setiap seorang.Pada tahun ini juga, sebanyak tiga buah madrasah dan pusat pengajian Islam turut dianugerahkan kurniaan sama yang melibatkan sejumlah 30 pelajar bagi setiap madrasah.YDSM juga telah mendapat kerjasama yang baik daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dengan penamaan 30 bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negeri di persada kebangsaan dan antarabangsa untuk menerima kurniaan.Selain itu, Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan replika kunci kepada sembilan penerima bantuan rumah di bawah Program Baiti Jannati kolaborasi YDSM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).Para pelajar menunjukkan bantuan kurniaan YDSM.
17 May 19
242