Artikel "Utama" Terkini
Pasaraya Tutup Hari Raya Pertama Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengarahkan semua pasaraya di daerah ini ditutup pada hari raya pertama Aidilfitri dan Aidiladha bermula tahun ini.Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran (MBKT), Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil berkata, tindakan tegas di bawah undang-undang majlis itu akan diambil jika arahan itu tidak dipatuhi termasuk tindakan membatalkan lesen.Beliau menegaskan demikian dalam sepucuk surat yang diedarkan kepada pemilik perniagaan tersebut di seluruh daerah itu bertarikh 28 Mei lalu.Salinan surat itu dihantar kepada Datuk Bandar, Haji Shahidan Embok, Jabatan Korporat dan Kemasyarakatan Bahagian Penguatkuasaan MBKT dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu, Mat Azmi Arshad.Che Wan Mohd Zulkifli berkata, merujuk kepada Pekeliling Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Bil. SUK. TR. 572/344 Jilid 5 - (44) menegaskan bahawa tidak dibenarkan semua pengusaha perniagaan pasaraya menjalankan sebarang aktiviti perniagaan pada hari pertama, di kedua-dua hari raya berkenaan."Sehubungan dengan itu pihak Majlis memohon kerjasama daripada pihak tuan atau puan untuk memastikan supaya sebarang aktiviti perniagaan pasaraya tidak beroperasi pada hari tersebut," tegasnya.Katanya, jika didapati pihak terbabit gagal mematuhi arahan itu, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka berpandukan undang-undang yang diguna pakai di Majlis dan diikuti dengan pembatalan lesen."Kerjasama daripada tuan atau puan amatlah kami hargai," ujar Che Wan Mohd Zulkifli.
30 May 19
1329
Kerajaan Negeri Perjelas Isu Dana Raya
Dato' A. Rahman Yahya.KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Kerajaan negeri menjelaskan kekeliruan berkaitan isu Dana Raya yang tular di media sosial, beberapa hari kebelakangan ini.Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya memaklumkan, sebahagian besar agihan Dana Raya sebenarnya telah diuruskan dengan lancar tanpa sebarang masalah.“Setakat ini, seramai 75,481 rakyat negeri ini terdiri daripada golongan yang layak menerima Dana Raya yang disalurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN). “Cuma, kita dapat kesan seramai 1,071 daripada mereka tidak memiliki sebarang akaun bank, jadi untuk mereka kita akan ikhtiar kaedah pembayaran berbeza dan ia memerlukan masa untuk diselesaikan,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Wisma Darul Iman, kelmarin.Menurutnya, pembayaran dana bagi pemohon yang mengalami masalah itu akan dibuat pada minggu pertama atau kedua Aidilfitri.Beliau turut menambah, kerajaan negeri juga telah memutuskan untuk membuka kembali permohonan Dana Raya bagi mencukupkan kuota penerima.“Kita telah sediakan kuota bagi 80,000 penerima dan kini masih ada baki kekosongan sekitar 4,000 permohonan.“Jadi, kerajaan negeri bersetuju untuk buka semula dan bagi rakyat yang layak serta belum memohon, boleh mendaftar segera,” katanya.
30 May 19
111
Operasi Bersepadu MBKT-PKD Selepas Aidilfitri Ini
Petugas MBKT menjalankan operasi membersih Sungai Hiliran berhampiran Pasar Chabang Tiga.KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Terengganu akan mengadakan operasi bersepadu di semua pasar di daerah ini bagi memastikan persekitaran bersih dan bebas dari pembiakan nyamuk.Datuk Bandar Kuala Terengganu, Haji Shahidan Embok berkata, operasi itu akan dilaksanakan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.Katanya, bagi masalah sampah di longkang Pasar Chabang Tiga, pihak MBKT telah membuat perbincangan dengan pihak PKD untuk menjalankan operasi bersepadu di semua pasar termasuk Pasar Chabang Tiga bagi memastikan kebersihan pasar sentiasa dijaga."Ini sekali gus bagi membanteras aktiviti pembiakan jentik-jentik di kawasan pasar dan operasi tersebut dijangka bermula selepas musim perayaan ini," katanya ketika dihubungi hari ini.Sementara itu menyentuh operasi pembersihan Sungai Hiliran di sini, beliau menjelaskan bahawa operasi pembersihan perangkap sampah di kawasan pasar itu telah dilakukan pada 28 dan 29 Mei lalu."Kerja-kerja pembersihan perangkap sampah sentiasa dijalankan apabila sampah yang terdapat di perangkap sampah tersebut telah banyak dan bukannya dilakukan berdasarkan kepada aduan yang diterima."Kerja-kerja pemantauan lokasi perangkap sampah yang terdapat di sekitar Kuala Terengganu sentiasa dilakukan bukan sahaja perangkap sampah di Pasar Chabang Tiga," jelasnya.Menurut Haji Shahidan, seramai 10 orang anggota dikerah dengan menggunakan masing-masing sebuah Bulldozer dan lori tiga tan serta peralatan yang berkaitan, setiap kali operasi pembersihan perangkap sampah dijalankan.Katanya, operasi itu dilakukan oleh 'Unit Flying Squad' di bawah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBKT."Jika sampah terlalu banyak, MBKT menggunakan lori enam tan untuk mengangkut sampah, kemudian dibuang ke tempat pelupusan sampah di Sungai Ikan, Kuala Nerus."Biasanya kita akan buat operasi semasa air menghala surut kerana semua sampah akan dibawa arus ke perangkap sampah," ujarnya lagi.
30 May 19
214
26 Anggota JPJ Menyamar Pantau Pemandu Bas
KUALA TERENGGANU, 30 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan taktik penyamaran dengan meletakkan 26 pegawainya sebagai penumpang bas sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang bermula semalam hingga 13 Jun depan.Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, kaedah itu adalah bagi mengenalpasti pemandu bas ekspres yang melakukan tujuh kesalahan utama.Menurut beliau, selain penyamaran, pihaknya juga menggunakan beberapa kaedah lain bagi mengesan kesalahan dilakukan pengguna jalan raya antaranya menerusi rakaman video daripada penguatkuasa, rondaan serta aduan daripada orang ramai."Saya nak ingatkan pemandu bas ekpress supaya berhati-hati dan berwaspada kerana kita dah kerah anggota untuk memantau pemanduan anda demi keselamatan orang ramai."Mereka akan ambil tindakan terutama bagi kesalahan utama seperti tidak patuh lampu isyarat, memotong garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan sebagainya," katanyaZulkarnainBeliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas melancarkan Ops HRA 2019 dan melakukan pemeriksaan bas di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, malam tadi.Jelasnya lagi, seramai 254 orang pemandu bas dari sepuluh buah syarikat telah diperiksa melibatkan 135 buah bas dan terdapat lapan kes aktif iaitu lima kes melibatkan pemilik bas dan tiga kes bagi pemandu bas."Tiga kes bagi pemandu bas melibatkan saman tertunggak dan telah disenarai hitamkan daripada membawa penumpang."Selain itu kita juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas 91 bas di depoh bas utama seluruh negeri dan lima buah bas telah dihalang daripada beroperasi kerana masalah cermin bas retak dan kedalaman bunga tayar yang tidak mencapai standard yang ditetapkan," ujarnya.Tambah beliau, larangan kenderaan berat juga akan dikuatkuasakan oleh JPJ dan Polis Diraja Malaysia(PDRM) pada 1 – 3 Jun dan 8 - 9 Jun dengan tujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya kemalangan akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan selain mengelakkan kesesakan lalu lintas."Sekatan penuh berkuatkuasa terhadap kenderaan berat seperti low-loader yang membawa bahan binaan, kenderaan motor yang melebihi BDM 7500 kilogram, lori pengangkut rendah, ploe trailer, platform trailer, jentera berat beroda serta traktor."Kenderaan berat yang membawa bahan galian dan muatan balak juga termasuk dalam kategori larangan penuh. Mana-mana kenderaan barangan atau dengan jenis barangan yang tidak dinyatakan dalam jadual adalah dibenarkan menggunakan kenderaan,"katanya.
30 May 19
385
Terima Kasih MBKT, Bertindak Segera Bersih Sungai Hiliran
Longkang besar kini bersih dari sampah sarap selepas aduan diterima.KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta berterusan memantau kebersihan longkang sekitar Pasar Baru Chabang Tiga di sini, bukan hanya bertindak bila aduan dibuat.Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, bagaimanapun pihak terbabit harus dipuji kerana segera bertindak selepas beliau mengemukakannya dalam mesyuarat Majlis Tindakan Daerah Kuala Terengganu baru-baru ini."Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah mengambil langkah segera memperbaiki keadaan Sungai Hiliran (juga dikenali longkang besar) di mana terletaknya Pasar Chabang Tiga yang baru."Baru hari Isnin lepas perkara ini saya bangkitkan di Mesyuarat Tindakan Daerah Kuala Terengganu dan segera diambil tindakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)," jelasnya.Beliau katanya, telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Terengganu supaya mengambil perjalanan membersihkan sungai tersebut.Haji Amzad (tengah) ketika melawat seorang pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, baru-baru ini.Beliau difahamkan untuk tujuan itu kerajaan telah menyediakan peruntukan khas di bawah program 'Cintai Sungai Kita'."Jadi saya harap pihak berkenaan memberi fokus sewajarnya untuk kelestarian sungai tersebut kerana ia menjadi tumpuan orang ramai," katanya.Menyentuh soal kebersihan longkang tersebut beliau berkata, longkang besar itu, menjadi satu isu yang dibicarakan sejak dahulu lagi."Kebimbangan kita tentang masalah timbunan sampah sarap telah terbukti berlaku sekarang ini."Apabila sampah terlalu banyak dibuang, sampah berkenaan terkumpul dan terperangkap di bawah bangunan pasar sepanjang kira-kira 150 meter itu dan tidak ada siapa yang boleh tengok," katanya ketika dihubungi.Haji Amzad berkata, apabila sekali sekala berlaku air pasang besar, sampah yang terperangkap itu keluar dari bawah bangunan tersebut."Jadi bila sampah itu keluar, nampaklah bermacam-macam jenis sampah dibuang orang ramai dalam sungai termasuk tilam buruk dan seumpamanya."Pihak PBT perlu mengambil langkah menghalang sampah berkenaan dari terperangkap di bawah bangunan tersebut dengan mewujudkan perangkap sampah," jelasnya.Beliau menambah, selain isu penguatkuasaan undang-undang pembuangan sampah di dalam sungai berkenaan, ia juga berkait rapat dengan isu kebersihan makanan."Sebab, bila terlalu banyak sampah, persekitaran pasar itu menjadi sangat kotor dan sampah itu pula terperangkap di bawah bangunan pasar."Jadi kita khuatir timbul masalah suatu hari nanti, ia akan memberi kesan kepada perniagaan makanan di pasar berkenaan," jelasnya lagi.Beliau turut mencadangkan supaya bahan penjernih air, Dolomite digunakan di kawasan tersebut."Kalau boleh diteroka penggunaan seperti Dolomite, sejenis bahan kimia (tak silap saya) untuk penjernihan air sungai, mungkin ia juga perlu diberi perhatian selain dari peralatan mekanikal bagi tujuan tersebut," jelasnya lagi.
30 May 19
965
Bantuan JKM Bukti Kerajaan Tidak Pinggirkan Yang Layak
MARANG, 30 Mei - Aktiviti turun padang bagi menyampaikan bantuan dari rumah ke rumah kepada mereka yang layak menerimanya seharusnya dipraktikkan dan menjadi amalan berterusan setiap pemimpin masyarakat di negeri ini.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd. Nor Hamzah berkata, ramai masyarakat negeri ini menumpukan kepada dana raya yang merupakan satu daripada bantuan kerajaan sehingga terlupa bantuan lain yang ada.Katanya, program turun padang bersama JKM kali ini sebagai satu gambaran kerajaan negeri telah meluluskan bantuan kepada yang berkelayakan di DUN Bukit Payung bermula bulan ini."Hari ini saya dan pegawai JKM turun sendiri ke rumah penerima-penerima untuk menceriakan mereka yang uzur, miskin dan seumpamanya menghadapi hari raya nanti dengan pendahuluan tunai yang mana untuk bulan seterusnya akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing."Ini sebahagian sumbangan daripada kerajaan negeri melalui JKM dan kita masih buat pemutihan dan penambahbaikan terhadap golongan yang baharu dan berkelayakan untuk diluluskan,"ujarnya.Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Am JKM Marang di sini, hari ini.Turut hadir, Timbalan Pegawai JKM Marang, Sopi Mohammad.Seramai tujuh penerima menerima bantuan bulanan pada kali pertama berjumlah RM200 dan RM300 setiap seorang secara tunai.Sementara itu, mengulas mengenai status penerima yang dipotong bantuan atau didapati sudah tidak layak menerima bantuan bulanan, ia bergantung kepada situasi semasa penerima berkenaan."Pada sudut asas bantuan JKM bukan hak milik asas seseorang kerana ada yang miskin dan kemudian berubah menjadi senang maka dia tidak layak lagi terima bantuan tersebut kerana pendapatan sudah melebihi syarat yang dikehendaki."Ada juga yang dahulu dapat sumbangan kerana sakit tetapi sudah sembuh maka hak untuk terima bantuan tidak lagi berkekalan,"ujarnya lagi.Tambah Mohd Nor, namun demikian sekiranya ada di antara mereka yang perlu kepada bantuan ini seperti biasa, permohonan semula boleh dibuat dan pihaknya akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat yang diadakan secara berterusan.
30 May 19
198
Drawbridge Dibuka 7 Pagi Ahad Depan - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ yang menjadi mercu tanda baharu Terengganu, akan mula dibuka kepada orang ramai untuk tempoh percubaan pada pukul 7 pagi Ahad depan.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tempoh pengujian prestasi dan pentauliahan jalan yang berakhir pada 17 Jun itu akan memberi perincian penuh tentang pergerakkan trafik."Pembukaan jambatan ini adalah untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem 'signalling' jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya, dan koordinasi sistem penyuraian trafik."Ujian dijalankan pada tarikh ini adalah kerana ia adalah waktu puncak yang akan memberi gambaran sebenar penyuraian trafik apabila projek ini siap sepenuhnya sekaligus memberi keselesaan sempena musim perayaan Aidilfitri," katanya.Beliau berkata demikian menerusi kenyataan akhbar di Facebook rasminya, hari ini.Ahmad Samsuri turut memberi peringatan kepada semua pengguna supaya mematuhi setiap arahan dan garis panduan yang dikeluarkan."Semua jenis kenderaan beroda dibenarkan menggunakan jambatan ini. Namun, kenderaan tidak dibenarkan berhenti."Pengguna tidak dibenarkan bersiar-siar atau berjalan kaki di atas jambatan ini kerana secara teknikal, jambatan ini masih dianggap sebagai kawasan pembinaan," ujarnya.Tambah beliau lagi, Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan syarikat operator pengurusan jambatan itu akan memantau aliran lalu lintas dan keselamatan pengguna sepanjang tempoh percubaan."Setelah tamat pengujian sistem pada 17 Jun 2019, jambatan ini akan ditutup semula kepada laluan trafik bagi pentauliahan komponen lain di dalam projek ini."Tarikh pembukaan rasmi jambatan angkat ini akan dimaklumkan semula setelah semua kerja dan pentauliahan semua komponen projek diselesaikan," tambah beliau lagi.
30 May 19
88
Golden Pharos Bhd Untung RM0.30 Juta Dalam Suku Pertama 2019
Dato’ Nadza AbdulKUALA TERENGGANU, 30 Mei - Golden Pharos Bhd (GPB) mencatatkan prestasi positif dalam suku pertama berakhir 31 Mac 2019 (1Q2019) dengan memperoleh keuntungan sebelum cukai sebanyak RM0.30 juta.Keuntungan ini merupakan keuntungan kelapan sejak suku ketiga 2017 selepas GPB berjaya keluar daripada kerugian yang dialaminya selama beberapa tahun.Syarikat pembalakan itu pada Selasa lalu turut merekodkan pendapatan syarikat berjumlah RM15.65 juta dalam tempoh yang sama.Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Nadza Abdul, berkata keuntungan dalam 1Q2019 berjumlah RM0.30 juta itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding dengan suku sebelumnya (4Q2018) iaitu RM0.17 juta.“Pada masa hadapan, kumpulan ini mensasarkan untuk mendapat keputusan yang lebih baik dalam suku berikutnya dengan peningkatan pengeluaran balak selepas ini.“Dalam tempoh suku pertama tahun ini sendiri, sebanyak enam lesen pembalakan telah diluluskan di mana ia sudah pasti akan memberi faedah kepada operasi syarikat dalam suku kedua tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.GPB, melalui anak syarikatnya Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Trengganu Sdn Bhd, kebiasaannya hanya menerima tujuh hingga lapan kelulusan bagi lesen pembalakan dalam setahun.Menurut Nadza, keadaan cuaca yang bertambah baik akan terus memberi kelebihan kepada syarikat untuk mencatatkan prestasi yang lebih baik di masa hadapan.Beliau turut berkata, produk venir keluaran anak syarikatnya, Permint Plywood Sdn Bhd, akan turut memberi kelebihan kepada pendapatan kumpulan apabila ia berjaya memasuki Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) dengan Gimzan Plywood Sdn Bhd untuk meningkatkan kapasiti produk.
30 May 19
495
Hargai Nikmat Islam Kurniaan Allah S.W.T
KUALA TERENGGANU, 30 Mei- Umat Islam seharusnya bersyukur kerana dianugerahkan Allah S.W.T dengan dengan nikmat yang tiada tandingannya iaitu nikmat Islam.Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang berkata, terlalu banyak nikmat Allah S.W.T kurniakan kepada manusia semasa hidup di dunia tetapi Islam itu nikmat yang tidak boleh dibandingkan dengan segala nikmat lain.Katanya, antara nikmat lain termasuk sihat fizikal dan mental, selamat daripada musibah, ilmu pengetahuan, kemerdekaan, keamanan serta kemakmuran tetapi nikmat Islam hanya dimiliki mereka yang diberikan hidayah oleh Allah S.W.T.“Kita patut bersyukur kerana Allah S.W.T kurniakan nikmat Islam itu kepada kita.“Sedangkan ada dalam kalangan mereka yang hidup pada zaman Rasulullah S.A.W tidak mendapat hidayah untuk memeluk Islam,” ujarnya ketika menyampaikan tazkirah pada program Tausiah Lailatul Qadar Sempena Madinah Ramadan di Padang Taman Awam Batu Burok, hari ini.Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad serta Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said.Sementara itu, beliau turut menitipkan pesan agar umat Islam tidak melepaskan peluang untuk memburu malam-malam terakhir Ramadan terutama malam Lailatul Qadar tatkala berbaki kurang empat hari sahaja lagi sebelum Ramadan berlalu.“Bulan Ramadan diturunkan Al-Quran yang menjadi pentunjuk kepada manusia dan Lailatul Qadar adalah malam yang cukup istimewa yang lebih baik daripada 1,000 bulan.“Marilah kita bersama-sama meningkatkan amal ibadah dan amalan kebaikan, mudah-mudahan kita diberkati Allah S.W.T, diberi taufik dan hidayah supaya sentiasa mengerjakan amal yang soleh dan Allah S.W.T jauhkan kita daripada perkara buruk dan keji yang dimurkaiNya,” ujar beliau.
29 May 19
360
Wan Hassan Rai 90 Golongan Asnaf Bukit Besi 3 Jun ini
Oleh: Adli MohamadDUNGUN, 28 Mei- Kerajaan negeri akan meraikan 90 orang golongan asnaf dan lebih 10 petugas agama termasuk enam orang imam surau dan empat orang guru al-Quran di Majlis Berbuka Puasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, di sini, bagi mengenang jasa perkhidmatan mereka.Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, seramai 10 orang petugas berkenaan diraikan di Majlis Berbuka Puasa di Masjid Lama Taman Indah, Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), kelmarin manakala selebihnya akan diraikan di majlis serupa di Masjid At-Taqwa Kuala Jengai bersama 90 golongan asnaf, pada 3 Jun ini."Jumlah imam dan guru Quran akan dimaklumkan kemudian," katanya, ketika ditemui pemberita di majlis berkenaan kelmarin.Ghazali berkata, Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dijangka akan hadir meraikan mereka di majlis berkenaan.Menurutnya, menjadi guru Quran dan imam surau adalah kerjaya yang mulia dan pengorbanan dan jasa mereka di dalam masyarakat perlu dihargai."Fasa pertama ini seramai 10 orang dari Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) diraikan dahulu dengan diberi sumbangan berupa duit raya dan juga sijil penghargaan di atas jasa dan pengorbanan mereka."Diharapkan dengan penghargaan berkenaan, menjadi pemangkin untuk mereka meneruskan khidmat kepada masyarakat," jelasnya.
29 May 19
37