lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Empty Image
Aura Azizulhasni Terus Berbisa
Wan Sukairi Wan Abdullah.MELAKA TENGAH, 9 Julai - Aura jaguh pelumba basikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang terus berbisa dalam sukan tersebut apabila unggul meraih pingat dalam kejohanan dunia.Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, anak kelahiran Dungun itu sekali lagi membuktikan kewibawaan beliau setelah merangkul pingat perak dalam acara 'sprint' di Kejohanan Berbasikal Trek Antarabangsa Dublin 2019 yang berlangsung di Sundrive Velodrome, pagi semalam.Jelas Wan Sukairi, kebolehan yang dimiliki oleh Azizulhasni pastinya membanggakan seluruh rakyat dan ia seharusnya menjadi ikutan semua anak muda Terengganu khususnya."Mewakili kerajaan negeri, saya mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni Awang yang sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam sukan berbasikal."Ini juga merupakan satu lagi rekod pencapaian gemilang yang ditonjolkan oleh anak jati Terengganu dan semoga ia menjadi inspirasi kepada seluruh warga Terengganu," katanya.Menyantuni anak perantau Terengganu pada majlis ramah mesra.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Anak Perantau Melaka di Dewan Muaalim, Bukit Katil, di sini semalam.Hadir sama dalam majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, Presiden Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Prof. Dr Kamaruzzaman Yusof, Pengerusi PERANTAU Melaka, Dr Azlan serta Ketua Jabatan Pengurusan Korporat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Wan Faizul Wan Abas.Semalam, ‘The Pocket Rocketman’ berjaya meraih tempat kedua dalam saingan akhir kejohanan sekali gus menyaksikan Azizulhasni merangkul pingat perak.Manakala, Mullen Eoin dari Ireland membawa pulang gangsa selepas mengetepikan pelumba Sepanyol, Jose Moren Sanchez, dalam penentuan pingat gangsa acara sprint lelaki.“Ia permulaan yang perlahan bagi saya di awal perlumbaan tetapi saya berjaya memberi saingan sehinggalah tamat perlumbaan.Antara 400 anak Terengganu di Melaka yang hadir.“Memenangi pingat perak dalam acara Sprint Lelaki di samping Juara Olimpik Jason Kenny adalah pelengkap yang baik dalam Kejohanan Berbasikal Trek Antarabangsa Dublin 2019,” kata Azizulhasni dalam hantaran menerusi akaun Instagram beliau.
08 Jul 19
219
Empty Image
Jawatankuasa Kebajikan Mangsa Kebakaran Ditubuh - Ahli Parlimen Dungun
Wan Hassan (tengah) turun padang meninjau kawasan kebakaran.Oleh : Sulaiman HafizDUNGUN, 8 Julai – Sebuah jawatankuasa khas yang bertindak merangka kaedah penyelesaian bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Felda Jerangau dan kawasan Dungun akan ditubuhkan dalam masa terdekat.Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menyatakan, jawatankuasa tersebut akan dimuktamadkan sepenuhnya dalam mesyuarat pertamanya pada Jumaat ini, 12 Julai.Katanya, pertemuan itu juga akan memperincikan kaedah-kaedah penyelesaian untuk dilaksanakan bersama beberapa agensi dan badan kerajaan yang lain.“Saya selaku Ahli Parlimen di sini mengambil tugas untuk membentuk jawatankuasa ini atas sebab keperluan kepada kebajikan yang perlu kita tangani segera dengan cara terbaik.“Ia juga bagi membolehkan usaha-usaha membaik pulih dan kalau perlu usaha yang lebih daripada itu maka jawatankuasa inilah yang akan membincangkan dengan terperinci, Insya-Allah,” jelasnya.Menyelami hati mangsa kebakaran.Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa melawat mangsa kebakaran di Felda Jerangau, Bukit Besi, di sini semalam.Turut hadir, Pegawai Khas Penyelidik Tanah Persekutuan Pejabat Menteri Besar, Naraza Muda bersama Wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.Menurut Wan Hassan lagi, penubuhan jawatankuasa itu akan membawa impak yang tinggi dalam menyelesaikan isu itu khusus buat warga Dungun.Tambah beliau lagi, perbincangan awal bersama MPKK dan wakil penduduk juga menunjukkan perkembangan yang sangat postif.“Sempat juga bertemu dan berbincang dengan pihak yang bertanggungjawab daripada MPKK  Felda Jerangau.Rumah yang musnah dijilat api.“Respon yang kita dapat daripada MPKK yang bertanggungjawab sangat positif dan Insya-Allah kerja-kerja akan mula digerakkan selepas menyuarat pertama nanti.“Penting untuk kita melihat kepada kebajikan yang telah dilaksanakan oleh MPKK berkenaan dan mudah-mudahan ia dapat menyelesaikan peringkat pertama dan kemudian mungkin ada penyelesaian kepada rumah yang kedua,” ujarnya
08 Jul 19
125
Empty Image
'Budok Kapung' Belasah Budak Bandar
Foto: Media TFCFT.KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Pasukan Futsal Terengganu (TFCFT) meneruskan rentak kecemerlangan dalam Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) apabila menang besar ke atas Kuala Lumpur dengan catatan 6 - 0, sebentar tadi.Melayan kunjungan Skuad Ibu Kota di Stadium Negeri, Terengganu menguasai permainan dengan corak agresif berterusan.Pelawat cuba mengimbangi corak permainan dengan melakukan gerakan-gerakan ke arah gol tetapi tidak mengancam kubu tuan rumah.Foto: Media TFCFT.Terengganu berjaya mendahului lawan pada minit ke-16 apabila Mohd Hafiz Ismail berjaya memanfaatkan hantaran rakan sepasukan dengan melambungkan bola melepasi penjaga gol pelawat.Tuan rumah mengekalkan kedudukan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.Memasuk babak kedua, KL lebih banyak menguasai bola dan melakukan rembatan-rembatan jauh ke gawang yang dikawal Tengku Azraf Fahmi.Pada minit ke-30, pemain KL, Mohd Shahrul Anuar memperoleh kad merah akibat mengasari Muhammad Izzat Alif memberikan kelebihan kepada Sang Penyu.Peluang tersebut digunakan sebaik mungkin apabila Hafiz menolak mudah bola ke gawang KL pada minit ke-31 menjadikan skor 2-0.Foto: Media TFCFT.KL kembali meningkatkan penguasaan tetapi Tengku Azraf dan pasukannya cemerlang bertahan.Minit ke-35, Terengganu sekali lagi di hadapan. Kali ini, tuan rumah dihadiahkan penalti dan disempurnakan oleh Muhammad Idham Shafuan.KL yang berdepan tekanan untuk merapatkan kedudukan menggunakan taktikal 'flying goalkeeper' untuk menggasak kubu Terengganu.Namun, keputusan itu mengundang padah apabila Sang Penyu menyumbat dua gol rembatan jauh melalui Hafiz (minit ke-38) dan Mohd Aizat Saari (minit ke-39) sekali gus melebarkan skor kepada 6-0 sehingga tamat perlawanan.Hafiz yang menjaringkan gol hatrik buat pasukannya dinobatkan Man Of The Match perlawanan itu.Selepas aksi ketiga liga, Terengganu kini berada di tangga kedua dengan tujuh mata.
07 Jul 19
182
Empty Image
Pelumba TSG Cipta Kejuaraan Di Singapura
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Pelumba Terengganu Inc Cycling Team (TSG), Goh Choon Huat muncul juara dalam kejohanan OCBC Cycle National Road Championship (Men’s Elite) yang berakhir hari ini.Choon Huat cemerlang meninggalkan pelumba Matador Racing, Thomas Thrall serta pelumba Cycling Training.CC, Boon Kiak Yeo yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.Pelumba TSG itu mengumpul masa sebanyak tiga jam empat saat untuk jauh meninggalkan Thomas dan Kiak Yeo sekaligus mengesahkan kejuaraan menjadi miliknya.Sementara itu, seorang lagi pelumba TSG, Mohd Zamri Saleh pula turut cemerlang apabila berada di kedudukan keenam daripada 37 peserta yang bertanding.Zamri terpaksa berpuas hati dengan kedudukan tersebut apabila ketinggalan enam minit 38 saat di belakang Choon Huat.Dalam perlumbaan tersebut, peserta disyaratkan menggunakan jalan menghala ke Kepulauan Bintang di Tanjung Pinang yang melalui dua litar jalan raya.Setiap peserta diiringi oleh pegawai pertandingan sejauh 10 kilometer sebelum perlumbaan sebenar bermula di Dampak.
07 Jul 19
100
Empty Image
Terengganu Siasat 417 ‘Lokasi Panas’ Disyaki Tercemar
Dr. Alias ketika ditemui baru-baru ini.KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Kerajaan Terengganu melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) giat melakukan siasatan ke 417 ‘lokasi panas’ yang disyaki tercemar dikhuatiri terdapat sisa buangan toksik bagi mengelakkan tragedi pencemaran Pasir Gudang berlaku di negeri itu.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak memaklumkan, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengenal pasti lokasi-lokasi disyaki berlaku pembuangan toksik dan pencemaran kimia menggunakan satelit di seluruh negara.  “Bagaimanapun, sebahagian siasatan yang telah dilakukan PBT mendapati tiada bahan buangan dan sisa kimia dikenal pasti sebaliknya terdiri daripada kawasan kandang-kandang lembu, penyimpanan baja dan sebagainya.“Surat makluman perkara ini kita terima pertengahan bulan lalu dan hujung bulan lepas tindakan telah diambil secara segera untuk mengenal pasti lokasi-lokasi ini,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman di Kuala Nerus, baru-baru ini.Beliau turut menambah, kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memantau perkembangan tersebut.“Kita akan tubuh satu jawatankuasa khas berperanan mengesahkan kawasan-kawasan panas yang dilaporkan serta penguatkuasaan kawalan bahan buangan sisa kimia secara berkala.“Walaupun belum wujud secara rasmi, siasatan berkaitan perkara ini telah mula dilaksanakan dan setakat ini, semuanya didapati bukan bahan kimia,” katanya.Berkaitan kejadian pencemaran bahan kimia di selatan tanah air yang kini telah berulang sebanyak dua kali, Dr. Alias menegaskan, ia merupakan tragedi yang perlu diberi perhatian serius.“Pencemaran mungkin berpunca daripada amalan pengilang-pengilang kita yang sering mengambil kesempatan di atas kelonggaran penguatkuasaan.“Bagi negeri ini, penguatkuasa kita buat pemeriksaan berjadual sebagaimana kebiasaannya dan sejak berlakunya kejadian tersebut, kita telah mengetatkan penguatkuasaan dari masa ke masa,” katanya.
07 Jul 19
37
Empty Image
Piagam Muafakat Nasional PAS-Umno Ambil Kira Kepentingan Bersama - Takiyuddin
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Piagam Muafakat Nasional yang mengukuhkan lagi ‘taawun siyasi’ antara PAS dan Umno yang akan dibentangkan pada 10 Julai  ini bakal menyaksikan perkongsian seimbang kedua-dua parti melalui perjanjian berkenaan.Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat tersebut akan dibarisi oleh lima orang wakil untuk aspek teknikal, manakala peringkat jawatankuasa membabitkan 11 wakil bagi setiap parti, yang mana turut dianggotai oleh kepimpinan tertinggi."Kita akan meneliti piagam yang telah disiapkan dan jika tidak ada masalah berbangkit, akan dimeterai persetujuan antara dua pihak pada mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang diketuai timbalan presiden parti masing-masing."Piagam ini akan meletakkan kepentingan dua parti secara seimbang dan kepentingan kedua-duanya turut diambil kira," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian  Bengkel Literasi Dewan Undangan Negeri Terengganu di Camelia Grand Ballroom, Paya Bunga Square, di sini hari ini.Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negeri, Yahaya Ali dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.Menurutnya lagi, piagam yang hampir tiga muka surat menyentuh  kepentingan dua parti berkenaan yang merangkumi pelbagai aspek.Namun begitu, Takiyuddin enggan menjelaskan kandungan piagam itu dengan alasan ia masih terlalu awal untuk diumumkan.Ta'awun Siyasi PAS dan Umno bakal menyaksikan perkembangan positif apabila pemimpin tertinggi kedua-dua parti itu  menandatangani draf akhir piagam serta dokumen perjanjian persefahaman mengenai kerjasama itu.
07 Jul 19
110
Empty Image
Jadikan Terengganu Sidang DUN Terbaik - YDP
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu memantapkan diri dengan pelbagai kemahiran bagi menjadikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sebagai sebuah sidang yang terbilang di Malaysia.Yang Dipertuanya, Yahaya Ali berkata, bagi mencapai hasrat berkenaan, beberapa bengkel pemantapan khas telah dilaksanakan untuk ADUN-ADUN sebagaimana yang dipersetujui dalam perbincangan di dalam program 'retreat' yang diadakan di Terengganu Darul Iman Trade Centre, Kemaman sebelum ini."Bengkel Lestari kali ini adalah lanjutan dari kursus yang pernah dibuat pada tahun lepas yang mana kita berhasrat nak jadikan DUN Terengganu antara yang terbaik dan terbilang di Malaysia."Untuk sampai kepada hasrat ini,  walaupun peraturan dewan adalah pelengkap utama tetapi sekarang zaman teknologi maklumat serta komunikasi, maka ADUN mesti berperanan sebaiknya secara berkesan," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian  Bengkel Literasi DUN Terengganu di Camelia Grand Ballroom, Paya Bunga Square, di sini hari ini.Turut hadir, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.Tambahnya lagi, bengkel sehari itu akan memberi maklumat tambahan, ilmu serta penguasaan mereka sebagai ADUN yang terbaik."Dan seterusnya bila DUN bersidang, ADUN mesti aktif dalam membahaskan rang undang-undang bagi kepentingan rakyat dan negeri," ujar Yahaya.
07 Jul 19
280
Empty Image
Terengganu FC Menang Lagi
Aksi pemain TFC dan PKNS FC di Stadium Shah Alam malam ini. TFC kalahkan PKNS 2-1SHAH ALAM, 5 Julai – Terengganu FC (TFC) membawa pulang tiga mata apabila menundukkan PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam malam ini.Gawang PKNS FC bolos minit ke 34 melalui tendangan pendek Sanjar Shaakhmedov di depan pintu gol pasukan itu.Bagaimanapun pada minit ke 83 separuh masa kedua PKNS FC menyamakan kedudukan melalui jaringan pemain gantian importnya Kitthipong Pluemjai melepasi jangkuan menjaga gol Terengganu, Ilham.Kemenangan itu adalah kemenangan kedua berturut-turut buat skuad Ketua Jurulatih TFC Nafuzi Zain dalam perlawanan sengit dan menarik malam ini.Meskipun berjaya mendahului perlawanan, hasil jaringan Sanjar pada babak pertama, namun PKNS FC hadir dengan tempo permainan laju.Pada babak kedua menyaksikan gawang TFC kerap diuji dengan percubaan berbahaya.Tetapi ketangkasan Ilham, menafikan percubaan-percubaan tersebut sehingga Kitthipong yang masuk sebagai pemain gantian melepaskan rembatan kencang melepasi jangkauan Ilham.Jaringan penyamaan itu hanya bertahan lima minit apabila gol kemenangan TFC hadir menerusi tandukan Nasrullah Hanif yang menyambut baik sepakan percuma ketua pasukan Lee Tuck pada minit ke 88.Tiga mata yang sangat berharga buat Sang Penyu untuk memperkemaskan kedudukan dalam carta Liga Super Malaysia.
05 Jul 19
28
Empty Image
Kursus Pengucapan Awam Bina Keyakinan - Dr Alias Razak
Para peserta kursus bergambar bersama Dr. Alias dan Kamaruzzaman.KUALA NERUS, 4 Julai - Kemahiran pengucapan awam merupakan antara elemen penting yang perlu dimiliki oleh kakitangan kerajaan yang berurusan dengan masyarakat secara langsung.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Alias Razak berkata, kerajaan negeri memiliki banyak maklumat tetapi memerlukan barisan hadapan  yang bertindak sebagai penyampai yang baik kepada rakyat.“Walaupun ada media sosial dan medium maya, kita tidak boleh meninggalkan amalan turun menyantuni rakyat secara langsung dengan penuh keyakinan.“Lihat sahaja orang yang berniaga di Pasar Payang, barang jualannya rata-rata sama tetapi gaya bahasa, penyampaian operator membezakan hasil jualan masing-masing dan pengunjung yang datang,” katanya ketika berucap dalam perasmian penutup Kursus Pengucapan Awam Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di Auditorium, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, hari ini. Kursus bantu petugas sampaikan maklumat dengan gaya bahasa dan keyakinan lebih baik- Dr. Alias.Hadir sama dalam program berkenaan ialah Pengarah i-MiTS, Kamaruzzaman Abdullah, Pegawai Eksekutif Kompleks Sukan, A. Zulkifli Muhammad dan Ketua Penyelia i-MiTS Kuala Nerus, Jusoh Ngah.Seramai  171 peserta daripada kakitangan i-MiTS terutama dalam bahagian-bahagian yang melibatkan belia, khidmat masyarakat dan kaunter hadir bagi menambah ilmu berkenaan pengucapan awam yang julung kali diadakan jabatan berkenaan.Dr. Alias mewakili kerajaan negeri turut berharap supaya ilmu yang disampaikan dapat digunakan sebaiknya dalam membantu kerajaan menyampaikan maklumat dan mengukuhkan hubungan antara dua komponen itu.“Jangan malu jika kurang mahir, sebaliknya berlatih sehingga dikurniakan Allah SWT kemahiran tersebut, insya-Allah, apa yang keluar daripada mulut kita adalah cerminan dari hati kita,” katanya. Kamaruzzaman rancang lebih banyak kursus bagi pertingkat kemampuan i-MiTS.Dalam pada itu, Kamaruzzaman sempat memaklumkan, i-MiTS dalam pemerkasaan.“Bermula tahun lalu, kita telah mengadakan motivasi untuk pelajar sederhana dan bermasalah di mana ia mendapat sambutan baik sepanjang dianjurkan.“Seterusnya, kita merancang kursus Teknologi Maklumat (IT) supaya petugas kita memiliki kepakaran dan menguasai alam maya,” katanya.Katanya, Dr. Azhar Yaakob akan melaksanakan modul mendekatkan masyarakat kepada al-Quran.“Bagaimanapun, kita akan pastikan semua kakitangan i-MiTS melalui modul ini dahulu sebelum disampaikan kepada masyarakat,” katanya.
04 Jul 19
210
Empty Image
Halim Tekad Julang Nama Negara
Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri akan membantu meringan dan memudahkan urusan Halim dalam bidang itu.KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Anak jati Terengganu, Abdul Halim Abdullah, 48, berazam untuk mencipta kejayaan dalam kejohanan lumba kereta berprestij, Asia Auto Gymkhana Competition (AAGC) Rd1 2019 di Yokjakarta, Indonesia yang berlangsung 11 Julai ini. Abdul Halim yang mewakili ‘Team Malaysia’ dalam pertandingan peringkat antarabangsa itu meletakkan sasaran untuk mencapai kedudukan yang terbaik bagi menebus kehampaan pada kejohanan lepas.Katanya, aksi ‘pemanas badan’ yang disertainya di Sepang sebelum berangkat ke Indonesia akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperbaiki segala kekurangan yang ada.“Kami memang letakkan target tertentu, pada pusingan terdahulu kita berjaya berada di kedudukan yang baik, namun berlaku sedikit masalah teknikal pada saat akhir menyebabkan kami tercicir mata, jadi kami akan tebus balik.“Manakala dalam kejohanan Asia itu sebelum ini, kami berjaya berada pada kedudukan ketiga daripada 16 buah negara di Asia, jadi pada kali ini kami harap untuk meningkat ke kedudukan lebih tinggi,” ujarnya.Halim bersama keretanya.Halim berkata demikian ketika ditemui media selepas dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di kediamannya di Kampung Bukit Kecil, di sini hari ini.Sementara itu, Wan Sukairi berkata, pencapaian membanggakan Abdul Halim Abdullah, 48, dalam beberapa siri perlumbaan kereta peringkat antarabangsa sebelum ini akan memberi inspirasi kepada anak muda khususnya di Terengganu.Kata beliau, kejayaan mewakili ‘Team Malaysia’ dalam pertandingan lumba kereta, adalah pencapaian terbaharu yang cukup membanggakan dan wajar diberi pujian. Justeru, kerajaan negeri akan membantu menyalurkan bantuan kewangan.“Insya-Allah kita akan memberikan apa yang diperlukan oleh pelumba yang mewakili negeri dan negara ini bagi melancarkan lagi aktiviti dan perjalanan karier mereka.“Mudah-mudahan kejayaan dan pencapaian ini menjadi inspirasi kepada anak-anak muda yang lain dalam mencapai impian dalam hidup masing-masing dan semoga ia juga mampu menaikkan nama negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang rakyatnya cemerlang dalam bidang sukan permotoran,” tambah beliau.Kejayaan-kejayaan yang pernah diraih Halim.Abdul Halim cukup berminat dalam bidang permotoran di awal usia muda dengan mernyertai perlumbaan motor 'Cub Prix' dan pernah mengalami kemalangan yang serius sebelum bertukar ke bidang perlumbaan kereta.Dia yang pernah menjadi juara dalam beberapa kejohanan seperti di Thailand, Singapura memulakan karier itu sejak tahun 2000.
04 Jul 19
204