lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Empty Image
Sumber Perikanan Terengganu Akan Terus Diperkaya - Dr Azman Ibrahim
Dr Azman melabuhkan tukun bersama jabatan perikanan.Oleh: Hidayah AzlinFoto : Fahmi IzzuddinSETIU, 6 September - Kerajaan Terengganu akan terus memperbanyakkan program untuk memperkaya sumber perikanan demi kelangsungan dan penambahan hasil para nelayan.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, labuh unjam atau tukun akan memberi manfaat khususnya kepada nelayan yang menangkap ikan dalam kawasan lima batu nautika dari pesisir pantai.Ujarnya, manfaat tersebut akan lebih dirasai oleh para nelayan apabila tibanya musim tengkujuh. “Kalau tahun ini satu daerah satu program, insya-Allah untuk tahun hadapan dalam bajet 2020 kita cuba untuk tingkatkan satu kali ganda supaya menjadi satu daerah dua program unjam atau tukun.“Ia akan dibuat secara berterusan dan dibantu penguatkuasaan undang-undang di laut. Kita yakin sumber perikanan akan dipulihkan sedikit demi sedikit,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Pelancaran Program Melabuh Unjam Negeri Terengganu 2019 di Pengkalan Nelayan Rhu 10, semalam.Turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri, Zawawi Ali, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bahri Abdul Rahman.Tambah beliau, pada tahun ini Pulau Redang merupakan lokasi terakhir bagi program melabuh unjam dan tukun.  “Unjam komuniti melibatkan kerjasama antara Kerajaan Negeri, Jabatan Perikanan dan Persatuan Nelayan setempat. Kos peralatan, bahan-bahan, kos majlis ditanggung oleh Jabatan cuma nelayan turun bergotong-royong supaya menganggap bahawa unjam adalah hak mereka.“Dengan unjam ini, ada tempat untuk mereka menangkap ikan. Sekiranya berlaku perubahan cuaca para nelayan boleh balik terutama di musim tengkujuh,” katanya.
06 Sep 19
451
Empty Image
SUTERA Terengganu : Dungun Rampas Tiga Pingat Petanque
Para pemain bergambar bersama selepas perlawanan.KUALA TERENGGANU, 6 September- Majlis Sukan Daerah (MSD) Dungun mempamerkan aksi terbaik sekali gus berjaya merampas tiga pingat dari enam pingat yang dipertandingkan dalam acara Petanque kategori Shooting di Sukan Terengganu (SUTERA) 2019, semalam.Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali menggondol pingat emas dalam Shooting Wanita setelah mengatasi peserta jemputan dari Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, Wan Noor Fatin  Atikeh Wan Zakaria (Perak) serta rakan sepasukan, Nurnadirah Burhan Shahidi yang meraih gangsa.Manakala, bagi kategori Shooting Lelaki, wakil Dungun, Syed Afiq Fakhri Syed Ali sekadar meraih perak dalam pertandingan yang dimonopoli MSD Besut melalui Adib Rifqy Azman (emas) dan Muhammad Rahmat Azizi (gangsa).SUTERA memasuki hari kedua pertandingan dan menawarkan pingat dalam acara Berbasikal, Tenpin Boling, Boling Padang (Lawn Bowl) dan Olahraga, hari ini.
05 Sep 19
1046
Empty Image
Ciapan Twitter Biadab, Hina Sultan
Mohd Nasir (tengah) bercakap kepada media selepas membuat laporan polis petang tadi.KUALA TERENGGANU, 5 September - Dewan Pemuda PAS Terengganu memberi tempoh 24 jam agar pemilik akaun Twitter yang menggunakan nama Tg Haslinda memadamkan status berisi gambar palsu yang disunting.Ketuanya, Mohd Nasir Abdul Razab berkata, sekiranya pemilik akaun berkenaan enggan berbuat demikian, dewan pemuda itu mendesak agar Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyiasat pemilik akaun tersebut dan seterusnya mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.Katanya, perbuatan itu menghina Kebawah Duli Sultan Terengganu, Sultan Mizan Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud dan Presiden PAS, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang. Justeru, Dewan Pemuda memohon PDRM segera bertidak ke atas individu tidak bertanggungjawab itu.Mohd Nasir (tengah) dan Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Terengganu mempamerkan salinan laporan polis berkenaan ciapan  Twitter individu bernama  Tg Haslinda.Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu petang tadi.Dalam laporan polis itu, Mohd Nasir menyebut bahawa beliau telah melihat satu ‘posting’ Twitter yang boleh disifatkan sebagai biadab terhadap Sultan Mizan dan Dato’ Seri Abdul Hadi.Ciapan Twitter itu jelas bertujuan untuk memburukkan Sultan Terengganu dan Ahli Parlimen Marang itu.“Saya sesungguhnya percaya kenyataan yang dikeluarkan olehnya merupakan satu penghinaan, mempertikai, mempersenda serta bermaksud merendahkan nama, kedudukan  dan batang tubuh Tuanku serta Institusi DiRaja,” tegas beliau.
05 Sep 19
35
Empty Image
Kami Sentiasa Doakan Kalian - Dato' Tengku Hassan
Tengku Hassan mengusap bahu seorang calon UPSR sambil menyampaikan pesannya.KUALA TERENGGANU, 5 September – Pelajar-pelajar  yang sedang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di seluruh negeri Terengganu dinasihatkan terus konsisten memanjatkan doa sepanjang menjawab peperiksaan bagi meraih kekuatan jiwa yang sebenar.Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, barisan kepimpinan negeri sentiasa mendoakan agar anak-anak negeri itu bakal memperoleh keputusan cemerlang dalam apa juga peperiksaan atau ujian yang dilalui.“Semoga diberikan ketenangan, kesihatan yang baik dan dipermudahkan serta dapat menjawab dengan baik.Tg. Hassan berkunjung setiap hari meninjau calon UPSR di sekolah-sekolah sekitar kawasannya.“Buat ibu bapa juga, jangan putus-putus berdoa untuk kesejahteraan mereka. Saya turut berharap para guru menghalalkan segala ilmu yang telah dicurahkan,” pesannya ketika meluangkan waktu menyantuni calon-calon terlibat pada hari kedua UPSR di Sekolah Kebangsaan Gong Kapas, hari ini.Beliau yang turut melawat Sekolah Kebangsaan Ladang, semalam sempat juga menyampaikan pesan supaya ibu bapa dan guru sentiasa memberikan semangat dan harapan kepada anak-anak mereka.“Insya-Allah, keazaman dan usaha anak-anak dalam mencapai impian akan terbalas. Jangan sekali-kali merendahkan mereka, sebaliknya bantu untuk mereka bangkit jika berdepan kegagalan,” katanya.Bagi tahun 2019, seramai  20,619 calon menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) membabitkan sebanyak 375 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu. Jumlah calon tertinggi adalah di Kuala Terengganu iaitu seramai 4,269 calon, manakala Setiu mencatatkan jumlah calon paling sedikit iaitu seramai 1,211 orang.
05 Sep 19
718
Empty Image
Manuskrip Al-Quran Terengganu Tercantik Di Malaysia
Sultan Mizan (kiri) mencemar duli menyaksikan surat-surat Raja Melayu zaman silam di Pameran Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja Terengganu 2019 di Kompleks Muzium Kuala Terengganu hari ini.KUALA TERENGGANU, 5 September - Manuskrip Al-Quran Terengganu merupakan yang terindah dan halus dari segi tekniknya berbanding manuskrip al-Quran dari negeri-negeri lain.Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) , Dato’ Mohd Fadzli Yusof berkata, daripada penyelidikan seorang sejarawan, Datuk Dr Annabel Teh Gallop ke atas ratusan manuskrip al-Quran Alam Melayu dalam koleksi Malaysia, Indonesia dan Eropah, didapati manuskrip Terengganu terindah dan halus.“Dr Annable Teh mendapati wujudnya gaya iluminasi Pantai Timur yang kemudiannya secara jelas memperincikan dua gaya utama Pantai Timur iaitu ‘Gaya Terengganu’ dan 'Gaya Patani’.Sultan Mizan (kiri) berkenan menyaksikan Warkah Emas DiRaja Terengganu di Kompleks Muzium Kuala Terengganu.“Daripada penyelidikannya ke atas ratusan manuskrip al-Quran Alam Melayu dalam koleksi Malaysia, Indonesia dan Eropah, beliau berpendapat manuskrip al-Quran Terengganu merupakan yang terindah dan halus dari tekniknya berbanding manuskrip al-Quran dari negeri-negeri lain,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pameran Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja Terengganu 2019 yang julung kali diadakan di Kompleks Muzium Negeri, di sini hari ini.Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mencemar duli dan  berkenan menyempurnakan majlis perasmian  dan melawat pameran tersebut.Katanya, secara amnya seni iluminasi ini merupakan aspek keindahan, kehalusan dan ketelitian yang menekankan disiplin yang tinggi dalam karya dan penghasilannya.Jelasnya, sejajar dengan larangan Islam menggunakan bentuk mahkluk bernyawa dalam kesenian, kebanyakan manuskrip Islam menggunakan motif sulur dedaun dan bunga.Dato’ Mohd Fadzli Yusof.“Selain itu, iluminasi manuskrip Alam Melayu juga menggunakan rekaan dan ukiran kayu seperti gerbang, takhta dan mimbar,” jelasnya.Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pemeran itu berkata, surat-surat Melayu berhias pula merupakan manifestasi kesenian Melayu yang paling indah.Katanya, bahan yang paling penting untuk menghiasi surat Melayu ialah emas yang melambangkan keagungan dan kebesaran.“John Anderson, seorang pekerja Syarikat India Timur (East India Company) di Pulau Pinang ketika melawat Siak pada tahun 1823, satu hari dia menulis, “saya tidak pernah melihat Raja (Siak) berpakaian dengan sebegitu hebat. Baginda sebenarnya seperti sekeping emas yang beradun cantik”. “Kata-kata yang sama boleh digunakan untuk memeri, salah satu daripada warkah Sultan Ahmad dari Terengganu kepada Gabenur Jeneral di Batavia, Baron Van Der Capellen yang bertarikh 1824,” ujarnya.Menurutnya, pameran selama sebulan itu dapat memberi pendedahan dan pengetahuan tentang kehebatan iluminasi dan warkah emas DiRaja Terengganu.“Ia sekali gus dapat memberi nafas baharu dalam usaha mencambahkan kembali warisan seni ragam hias atau iluminasi Melayu Terengganu khasnya.“Yang demikian, ia dapat memberi kesedaran kepada seluruh anggota masyarakat tentang betapa pentingnya langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan warisan dan seni iluminasi Melayu Terengganu.“Pada keseluruhannya, ia akan memberi kefahaman tentang salah satu lagi bidang kesenian Terengganu dan kecintaan kepada khat,” jelasnya lagi.
05 Sep 19
1088
Empty Image
Sultan Mizan Rasmi Pameran Warkah Emas DiRaja Terengganu
Sultan Mizan (tiga dari kanan) mencemar duli, berkenan merasmikan Pameran Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja Terengganu di Kompleks Muzium Negeri di Kuala Terengganu hari ini.KUALA TERENGGANU, 5 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mencemar duli, berkenan merasmikan Pameran Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja Terengganu di Kompleks Muzium Negeri, di sini hari ini.Kebawah Duli Tuanku Al-Sultan bertitah dan seterusnya berkenan menyempurnakan perasmian pameran tersebut dengan memasukkan replika logo pameran ke dalam tempat khas yang disediakan.Sultan Mizan kemudiannya berkenan melawat pameran di Ruang Foyer kompleks tersebut.Sultan Mizan (tengah) mencemar duli dan berkenan menyaksikan corak keindahan 'Ragam Hias'  Mushaf al-Quran di Pameran Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja Terengganu di Kompleks Muzium Negeri di Kuala Terengganu hari ini.Baginda diiringi oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM), Dato' Mohd Fadzli Yusof.Sultan Mizan (tengah) berkenan menyaksikan tulisan khat hasil karya anak tempatan di Kompleks Muzium Terengganu hari ini.Turut mengiringi baginda, Pengarah Lembaga Muzium Negeri serta Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM dan Ahli Jawatankuasa Induk Pameran Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja itu.Selepas selesai lawatan itu, Kebawah Duli Sultan Mizan berangkat pulang ke istana.
04 Sep 19
498
Empty Image
KQT Berjaya Bikin Semula Warkah Emas DiRaja Terengganu
Orang ramai menyaksikan 'Ragam Hias' Mushaf al-Quran di Kompleks Muzium Negeri Terengganu. KUALA TERENGGANU, 5 September - Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) berjaya melakukan pembikinan semula replika Warkah Emas DiRaja Terengganu dan iluminasi al-Quran berdasarkan falsafah kehalusan kaligrafi dan ragam hias atau iluminasi (zukhruf).Ketua Pegawai Eksekutif KQT, Profesor Madya Dr Mohd Safri Ali berkata, seperti mana kemuncak keindahan tilawah al-Quran adalah melalui seni suara (tarannum) maka kemuncak keindahan penyalinan al-Quran adalah melalui kehalusan kaligrafi dan ragam hias atau iluminasi (zukhruf)."Berdasarkan falsafah tersebutpihak KQT melalui Unit Kaligrafi, berusaha melestarikan warisan kesenian iluminasi Terengganu dan berjaya melakukan pembikinan semula replika Warkah Emas DiRaja Terengganu dan iluminasi Al-Quran Terengganu," jelasnya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kata-kata aluan dalam Buku Cenderamata Sempena Majlis Perasmian Pameran Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja Terengganu Anjuran Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.Beberapa orang pelajar sekolah turut tidak melepaskan peluang menyaksikan sendiri Seni 'Ragam Hias' Mushaf al-Quran yang dipamerkan di Galeri Khas Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja Terengganu di Kompleks Muzium Negeri, Kuala Terengganu hari ini.Majlis itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Tuanku Al Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.Dr Mohd Safri mengucapkan sekalung tahniah kepada jawatankuasa penganjuran kerana berjaya merealisasikan sebuah pameran yang julung kalinya diadakan di negeri Terengganu.Katanya, pihak KQT juga sangat menghargai kepercayaan yang telah diberikan oleh YDSM yang telah memilih KQT sebagai penganjur bersama pameran ini."Tidak lupa juga kepada pihak Muzium Negeri Terengganu, KQT mengucapkan jutaan terima kasih di atas penyediaan tempat pameran yang kondusif, secara langsung menjadikan pameran ini lebih berprestij."Kolaborasi ketiga-tiga institusi ini sangat penting dalam melestarikan khazanah warisan keilmuan Terengganu khususnya dan Alam Melayu umumnya," ujarnya.
04 Sep 19
502
Empty Image
SUTERA Terengganu : Dungun, Marang Raih Emas Pertama
Pemenang kategori lelaki.KUALA TERENGGANU, 5 September - Majlis Sukan Daerah (MSD) Dungun dan Marang masing-masing membuka catatan pingat dengan cemerlang apabila meraih emas dalam acara berbasikal (ujian masa perseorangan) yang tamat, sebentar tadi.MSD Dungun menggondol emas dalam acara kategori lelaki yang diwakili Kee Zhe Yie setelah mencatat masa terbaik kejohanan menewaskan Muhammad Shahmir Aiman dari MSD Kuala Terengganu yang memperoleh Perak dan Mohd Afiq Iskandar dari MSD Setiu (Gangsa).Peserta dilepaskan dari garisan permulaan.Manakala, MSD Marang mengungguli kategori wanita melalui Siti Nur Adibah Akma yang mengatasi Ezzatie Fifiyana Shazwanie dari MSD Kuala Terengganu dan Siti Nur Alia Mansor dari MSD Kuala Nerus untuk meraih emas pertama daerahnya.Peserta kategori wanita.Bagaimanapun, MSD Kuala Terengganu berjaya mendominasi pungutan pingat apabila mengumpulkan dua perak dalam acara pertama itu.Acara berbasikal kategori 200m Sprint akan berlangsung pagi esok di Litar Permotoran  Terengganu, Gong Badak.
04 Sep 19
529
Empty Image
Pertanian Tingkat Pendapatan Penduduk Pulau Redang
Oleh : Hidayah Azlin Foto : Izzat Al QushairiSETIU, 4 September - Kerajaan Terengganu akan terus menggalakan aktiviti pertanian di semua kawasan termasuk Pulau Redang bagi menambahkan lagi sumber ekonomi penduduk di sana.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri , Dr Azman Ibrahim berkata, aspek pertanian tidak akan dipinggirkan walaupun Pulau Redang merupakan destinasi pelancongan dan perikanan berprestasi tinggi di Malaysia."Kita tidak meminggirkan daripada aspek pertanian kerana ada kebun-kebun milik penduduk yang terbiar dan tanah kerajaan yang masih lagi kosong. "Kita nampak ada satu peluang yang sangat luas untuk kita manfaatkan agro pelancongan memandangkan tanah di Pulau Redang sangat sesuai dan subur untuk durian Musang King."Kita akan galakan masyarakat untuk terlibat dalam industri pertanian secara kecil-kecilan (dahulu) supaya sekurang-kurangnya kos sara hidup mereka boleh dikurangkan sedikit dengan mereka ada barang-barang keperluan yang boleh dipetik di halaman rumah sendiri," jelasnya.Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Dialog Bersama Nelayan Pulau Redang di Balai Raya Kampung Pulau Redang, semalam.Menurut Dr Azman, golongan wanita turut akan diketengahkan dalam kursus-kursus yang berkait dengan industri asas tani seperti pembuatan satar ikan dan industri hiliran berasaskan perikanan."Insya-Allah ia akan diambil perjalanan oleh jabatan perikanan untuk mengadakan kursus-kursus jangka pendek bagi memberikan mereka ilmu yang ingin diceburi," tambah beliau.Mengulas tentang masalah kemudahan di jeti, isu tanah, bekalan minyak diesel bersubsidi untuk nelayan dan permohonan pembinaan tukun rekreasi khusus untuk masyarakat Pulau Redang, beliau memaklumkan, perkara tersebut akan diberikan perhatian."Walaupun bukan semua perkara berada di bawah bidang kuasa kita untuk memberikan jawapan dan solusi tapi kita tidak akan tinggal semua perkara itu."Setiap perkara yang dikemukakan ada jalannya. Insya-Allah semua isu-isu dikemukakan ini akan diambil perhatian dan ada beberapa perkara yang akan diambil tindakan dalam masa terdekat," katanya lagi.
04 Sep 19
221
Empty Image
Setiap DUN Disaran Tubuh PKK
KUALA TERENGGANU, 3 September - Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) disaran menubuhkan Persatuan Kepolisan Komuniti (PKK) bagi membendung jenayah dan melahirkan masyarakat sejahtera.Yang Dipertua DUN, Dato' Yahaya Ali berkata, setiap Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) digesa mengambil peluang untuk menubuhkan PKK di setiap kampung masing-masing."Persatuan Kepolisan Komuniti ini adalah sebuah persatuan yang disertai oleh pihak polis sendiri dengan masyarakat setempat."Sebab itu saya sebut dalam  pertemuan tadi alangkah baiknya MPKK ini dapat meneruskan (tindakan), sebab ia boleh banyak membantu pihak polis sendiri dari segi isu-isu gejala sosial yang berlaku," jelasnya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri Terengganu pada hari ini.Turut hadir ialah Ketua Polis Terengganu DCP Datuk Aidi Ismail dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.Menurutnya, pihak MPKK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh bekerjasama bagi meneruskan persatuan tersebut untuk jangka masa yang panjang."Saya ingat yang berlaku dulu di MPKK Durian Burung boleh dikatakan setakat yang saya tahulah isu rempit  macam tidak berbangkit sekarang ini," ujarnya.Tambah beliau, lawatan kerja tersebut bertujuan membawa Ahli Yang Berhormat untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan isu -isu yang berbangkit dalam dewan secara 'first hand'."Sebab dalam dewan ia masih terhad jadi kadang - kadang ADUN kita nak tanya  banyak tak boleh."Jadi dalam peluang macam ini  dapat maklumat secara teratur  isu-isu yang berbangkit."Kita tak boleh hanya bercakap dalam dewan  melainkan ada perkara yang kita perlu perhalusi  untuk  dapat maklumat secara 'first hand'," tambahnya.Kata Yahaya, melalui pihak MPKK dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sedia bekerjasama dengan PDRM menangani masalah isu gejala sosial dan jenayah dalam masyarakat."Walaupun pihak PDRM mempunyai kekuatannya sendiri  tapi ada  ruang yang boleh kita bersama  berkait dengan masyarakat," tambahnya.Sementara itu, PDRM berazam akan meningkat usaha  mengadakan  operasi bersepadu terutamanya di daerah Besut.Ketua Polis Terengganu, DCP Datuk Aidi Ismail berkata, mengikut rekod ada sedikit penurunan jenayah di kawasan tersebut."Sekarang ini ada sedikit peningkatanlah  berbanding 2018 lebih kurang 12 peratus.Alhamdulillah mengikut rekod  kita  apabila kita buat operasi ini  ada sedikit penurunan di besut (berkenaan) kes kecurian dan pecah rumah," katanya.Justeru itu, beliau menambah, operasi tersebut akan dibuat di semua daerah agar jumlah kes jenayah akan berkurangan pada akhir tahun.
03 Sep 19
54