lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Empty Image
STPM : Terengganu Terus Cipta Sejarah Kejayaan
Sepuluh pelajar terbaik STPM SMK Sultan Sulaiman yang menerima sijil penghargaan di Majlis Pengumuman Keputusan STPM di SMK Sultan Sulaiman hari ini.KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Terengganu terus melakar sejarah dalam bidang pendidikan apabila keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 yang diumumkan lebih cemerlang mengatasi peringkat nasional.Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri, Azman Othman berkata, Gred Purata Nilai Kumulatif (PNGK) Terengganu adalah 3.02 berbanding peringkat nasional 2.77.Katanya, daripada 2,275  calon yang menduduki peperiksaan itu, 1,932 calon mencatatkan keputusan cemerlang dengan pencapaian lulus penuh dalam semua mata pelajaran.Azman Othman.Beliau juga berkata, semua 45 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus dan 42 daripadanya juga berjaya mengatasi Min PNGK Nasional 2.77.“Alhamduliilah, bagi negeri Terengganu kita telah mencapai PNGK 3.02 yang merupakan peningkatan dari tahun lepas iaitu 2.99 dan angka ini merupakan yang terbaik di peringkat kebangsaan serta rekod baharu bagi negeri.“Bagi pencapaian semua A iaitu 4.00, kita telah mencapai 72 orang berbanding tahun lepas hanya 47 orang yang merupakan peningkatan hampir 60 peratus dan juga buat kali pertama dalam sejarah, semua sekolah lulus seratus peratus dalam STPM dan ia merupakan sejarah penting bagi Terengganu.“Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) mencatat PNGK 3.41 diikuti Sekolah Menengah Agama Maarif (SMAM), 3.39 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Mas, 3.29,” ujarnya.Azman berkata demikian pada sidang media selepas Pengumuman Keputusan STPM 2019 Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman di sini hari ini.Menurutnya, kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil usaha sama JPNT, Pejabat-Pejabat Pelajaran Daerah dan Majlis Guru Tingkatan Enam dengan melakukan pelbagai bedah siasat tentang pencapaian lalu dan juga  melihat kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki.“Kita adakan kolokium-kolokium, kajian-kajian tindakan dan juga kem-kem akademik bagi membantu para pelajar mencapai keputusan yang lebih baik," ujarnya.Tambahnya lagi, satu sejarah lagi turut tercipta apabila pencapaian sekolah luar bandar juga lebih baik daripada sekolah-sekolah di bandar iaitu mencapai PNGK 3.06 berbanding dengan sekolah di bandar yang mencapai PNGK 2.96.
24 Feb 20
1237
Empty Image
Terengganu Bakal Perkenal Anugerah Usahawan
Nurkhuzaini.KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Kerajaan Terengganu bercadang untuk memperkenalkan anugerah usahawan menjelang penghujung tahun 2020 bagi mengiktiraf peranan pengusaha perniagaan yang merancakkan sektor ekonomi.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ia juga sebagai menghargai sambutan hangat yang diberikan oleh para usahawan di negeri itu terhadap setiap program kerajaan. “Selepas ini setiap usahawan kita yang berjaya kita akan berikan anugerah. Saya sudah berbincang dengan pihak Yayasan Pembangunan Usawahan (YPU) sebelum ini.“Dan mungkin kita akan buat beberapa kategori untuk anugerah tersebut yang akan mendapat sokongan padu kerajaan negeri,” katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berucap pada Grand Dinner Himpunan 1,400 Usahawan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini kelmarin.Terdahulu, beliau turut memaklumkan, pihaknya sedang melakukan penambahbaikan bagi mengenal pasti usahawan yang berpotensi untuk terus dibantu.“Sebelum ini, data atau direktori yang mengumpulkan semua usahawan Terengganu sudah ada dan jumlahnya mencecah 22,000 orang, tetapi ia belum dikemaskini dengan teliti.“Melalui data terbaru yang kita ada, kita akan buat pemutihan dan senarai baharu setiap usahawan Terengganu akan dikeluarkan supaya mudah untuk kita buat apa-apa program atau insentif lain,” tambah beliau.
24 Feb 20
367
Empty Image
MB Terengganu Jumpa Tun M
PUTRAJAYA, 25 Februari - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dilihat tiba di Bangunan Perdana Putra kira-kira jam 11.55 pagi dengan menaiki kenderaan rasminya.Beliau yang tiba dengan polis pengiring, antara pemimpin politik yang dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.Pemimpin PAS itu antara beberapa pemimpin politik yang kini berkumpul di sini, termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Berita Harian.
24 Feb 20
224
Empty Image
Buku RM1 Pada Pesta Buku @PPAT 2020
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Harga lelongan buku latihan dan bacaan umum yang dijual serendah RM1 antara aktiviti yang mendapat sambutan menggalakkan pada Pesta Buku @PPAT (Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu) 2020 di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu Jalan Hiliran di sini.Pada masa sama lebih 10,000 jenis buku dengan nilaian keseluruhan sebanyak RM4 juta membabitkan pelbagai jenis bahan bacaan bermula pra sekolah hingga ke pengajian tinggi dan golongan profesional turut dijual dengan harga berpatutan kepada pengunjung.Program anjuran PPAT itu berlangsung selama 7 hari, bermula hari ini dan berakhir 29 Februari depan.Pelbagai aktiviti turut dianjurkan, antaranya teka berat buku, pertandingan mewarna, bercerita, permainan tradisional, persembahan silat dan busking.Di samping itu, Bicara Buku Bersama penceramah selebriti, Ustazah Fatimah Syarha dan Dr Riduan Mohamad Nor serta ceramah agama oleh Ustaz Mohib Khouli.Pengunjung juga berpeluang beramah mesra dengan penulis terkenal seperti Amla Mat Rawi, Norkafizah Hashim, Cik Pae, Bonda Nor, Farizah Shamsudie, Hani Ehcan, Faridah Said dan Fayyad serta Beng Wong, penulis buku 'Silat Boy' 182 dan Cadis Robot. Lebih 100,000 pengunjung terutama penggemar buku dijangka mengunjungi Pesta Buku @PPAT 2020 yang diadakan buat kali ketiga sejak 2018.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, lebih 73 penerbit buku turut serta mempamer dan mempromosikan buku masing-masing.  “Pengunjung sewajarnya mengambil peluang apa yang dianjurkan PPAT kerana pelbagai manfaat boleh diambil,” katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Buku @PPAT 2020 di PPAT, hari ini.Sementara itu, pengunjung, Halimaton Saadah Umar, 40, dari Kuantan, Pahang berkata, dia yang juga penggemar buku tidak pernah ketinggalan mengunjungi pesta buku walau di mana sahaja ia diadakan. "Saya bersama suami dan tiga anak berusia antara enam hingga 11 tahun bertolak dari Kuantan jam 8 pagi dan sangat berpuas hati dengan pelbagai jenis buku yang dipamerkan. "Kesempatan ini kami membeli pelbagai buku termasuk keperluan anak selain beberapa buku ilmiah dan agama," katanya.
23 Feb 20
326
Empty Image
Mahu Lihat Anak Didik Jadi Juruterbang
MARANG, 23 Februari - "Saya mengharapkan suatu hari nanti akan ada salah seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Nangka memegang jawatan profesional dalam bidang penerbangan,"Itulah harapan tinggi Guru Penyelaras Kelab Aeronautik SK Gong Nangka, Syed Hasan Syukri Tuan Hadi terhadap anak didiknya.Katanya, kelab yang ditubuhkan pada tahun 2015 itu bertujuan memberi pendedahan kepada murid berkenaan ilmu yang berkait dengan teknologi dan kerjaya dalam bidang penerbangan sama ada sebagai juruterbang, jurutera dan sebagainya. “Bagi menanam minat murid terhadap bidang penerbangan, kita turut membina satu sudut ruangan di pusat sumber sekolah ini berubah menjadi simulator pesawat penerbangan yang lengkap dengan aktiviti simulasi dan ujian penerbangan.“Kos keseluruhan set binaan simulator itu hanya RM5,000 dengan menggunakan barangan terpakai seperti tempat duduk kereta dan komputer lama,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman melawat Galeri Aeronautik Ibnu Firnas yang ditubuhkan kelab itu.Syed Hasan Syukri berkata, untuk menimbulkan minat juga, ahli-ahli kelab seramai 22 orang ketika ini dikehendaki memakai uniform seperti juruterbang pada setiap kali perjumpaan semasa aktiviti kokurikulum dan aktiviti di luar sekolah dijalankan.“Terdapat dua pesawat kawalan jauh, lapan model pesawat sayap pegun dan tiga model helikopter dipamerkan di galeri itu malah pengunjung akan diberi penerangan mengenai kaedah pengendalian pesawat semasa pelepasan, navigasi dan pendaratan yang selamat,” ujarnya.Malah katanya, kelab itu turut mendapat khidmat nasihat teknikal daripada seorang juruterbang Qatar Airways dan seorang jurutera simulator penerbangan dari syarikat pengendali antarabangsa.Katanya, secara tidak langsung diharapkan projek simulator berkenaan dapat memberikan motivasi kepada anak murid untuk terus meningkatkan prestasi dalam mata pelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) terutama yang berkaitan dunia penerbangan.“Pada masa sama, kita turut memberi penekanan Islamik termasuk memberi pendedahan dan mengaitkan perspektif Islam dalam konteks penerbangan kepada mereka,” ujarnya.
22 Feb 20
811
Empty Image
Hasrat THT Lebur, UniKL Juara Piala TNB 2020
Pemain THT sedang mempertahankan gawang ketika diserang pemain UniKL.KUALA LUMPUR, 23 Februari - Hasrat Pasukan Hoki Terengganu (THT) mempertahankan status juara Piala TNB lebur apabila tewas 1-2 kepada Pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam perlawanan akhir Piala TNB 2020, semalam.Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan THT berjaya mendahului lawan seawal minit ke-13 menerusi Nabil Fikri Mohd Noor yang berjaya menyudahkan pukulan sudut penalti ke gawang lawan.Peluang THT tampak cerah melihat kepada keampuhan benteng pasukan dalam mengekang serangan bertali arus UniKL.THT muncul naib juara Piala TNB 2020.Pasukan kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah itu berjaya menambah gol kedua pasukan pada minit ke-38 tetapi dibatalkan pengadil untuk menghadiahkan THT pukulan sudut penalti.Bagaimanapun, pukulan sudut penalti ditarik semula selepas perbincangan antara kedua pengadil.Selang beberapa minit kemudian, pengadil sekali lagi melakukan keputusan kontroversi apabila memberikan kad kuning kepada tonggak pasukan, Jang Jong Hyun.Jang dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan.Tindakan itu nyata mengejutkan THT dan kelebihan tersebut digunakan sebaik mungkin oleh UniKL yang berjaya menyamakan kedudukan melalui Mohd Faid Farhadh Mohd pada minit ke-48.Selang beberapa saat kemudian, Tengku Ahmad Tajuddin pula berjaya meletakkan UniKL di depan sekali gus membantu pasukan itu muncul juara Piala TNB 2020.
22 Feb 20
56
Empty Image
TSG Lonjak Nama Terengganu Di Mata Dunia
Oleh: Rohayati RipinKUALA TERENGGANU, 23 Februari - Pasukan TSG Terengganu Inc Cycling Team (TSG) berjaya melonjakkan nama Terengganu di peringkat dunia serta mengharumkan nama negeri dan rakyat Terengganu dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai dalam bidang lumba basikal.Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pasukan tersebut juga dinobatkan pasukan benua terbaik dunia pada tahun lepas.“Negeri ini menduduki tempat ke-28 daripada 214 pasukan yang bertanding dalam kalendar Union Cycliste Internationale (UCI) termasuk pasukan ‘Pro Continental’ dan ‘Pro Tour’. “Sejarah telah tercipta apabila pasukan TSG dinobatkan pasukan terbaik seluruh ASIA 2019 yang mana mengulangi kejayaan yang dicapai pada tahun 2012,” ujarnya.Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Dan Memperkenalkan Pelumba Serta Barisan Penaja Pasukan TSG 2020 dan majlis penyampaian hadiah di Pentas Utama Dataran Batu Buruk, semalam.Dato' Yahaya Ali.Teks ucapan Menteri Besar itu telah dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali sebagai mewakili beliau.Menurutnya, pasukan TSG terdiri daripada 16 orang yang mana lapan pelumba tempatan merupakan anak Terengganu dan selebihnya adalah dari luar negara iaitu dari Algeria, Singapura, Russia, Australia, Eritheria, Mongolia, Panama dan juga Colombia.“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada 20 penaja kerana sudi menaja pasukan TSG pada musim 2020 yang mana dapat membantu meningkatkan mutu sukan basikal serta menaikkan nama Terengganu dalam bidang sukan basikal profesional di mata dunia.“Saya amat berharap penaja-penaja akan terus memberikan sokongan dan penajaan kepada TSG pada masa akan datang,” jelasnya.Justeru itu, beliau berharap agar para pelumba dan seluruh pengurusan pasukan TSG dapat memberikan usaha seratus peratus untuk meneruskan lagi rentak kemenangan pada masa hadapan. “Harapan untuk mengekalkan kedudukan pasukan TSG sebagai Pasukan Benua Terbaik Dunia dapat diteruskan sehingga tahun 2020, insya-Allah,” tambah beliau.
22 Feb 20
164
Empty Image
2800 Peserta Sertai Kayuhan Shimano Fellowship Ride 2020
Oleh: Wan Luqman HakimKUALA TERENGGANU, 23 Februari- Seramai 2800 peserta menyertai kayuhan Shimano Fellowship Ride 2020 di Taman Rekreasi Batu Buruk, semalam.Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri,Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penyertaan kali ini meningkat  daripada tahun-tahun sebelumnya melibatkan  bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga  peserta daripada luar negara seperti Thailand dan juga Singapura.Katanya, kayuhan ini juga dapat memberikan nilai ekonomi kepada negeri  dan rakyat Terengganu khususnya malah hotel-hotel, peniaga-peniaga industri kecil dan sederhana mendapat sumber pendapatan di atas program kayuhan yang dianjurkan oleh TSG Shimano Fellowship Ride.“Saya juga difahamkan, diantara kejayaan TSG pada musim 2019 telah tercipta apabila TSG dinobatkan pasukan terbaik seluruh ASIA 2019 yang mana mengulangi kejayaan yang dicipta pada tahun sebelumnya dan juga dinobatkan pasukan Benua Terbaik Dunia 2019.“Lebih membanggakan, pasukan TSG juga telah berjaya memduduki tempat ke-28 dunia daripada 214 pasukan yang bertanding dalam kelendar UCI termasuk Alaskan 'Pro Continental' dan 'Pro Tour' yang mana di atas kemenangan ini, nama Terengganu terus melonjak di mata dunia. “Saya juga berharapkan agar pelumba-pelumba dan seluruh pengurusan pasukan TSG dapat memberikan usaha seratus peratus untuk meneruskan lagi rentak kemenangan TSG pada masa hadapan. Harapan untuk mengekalkan kedudukan TSG sebagai Pasukan Benua Terbaik Dunia dapat diteruskan sehingga tahun 2020,’’ ujarnya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelepasan Kayuhan Shimano Fellowship Ride 2020 di Taman Rekreasi Batu Buruk.Wan Sukairi juga berkata aktiviti kayuhan ini merupakan salah satu cara senaman yang memberikan banyak faedah kesihatan. “Kajian menyatakan dengan mengayuh basikal ke tempat kerja, dapat membakar sehingga 1050 kalori. “Selain itu, dengan berkayuh juga dapat memberikan faedah kesihatan mengurangkan risiko penyakit dan dapat merehatkan minda. Berbasikal juga secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko penyakit tekanan darah tinggi yang membawa kepada pengurangan serangan jantung sebanyak 50 peratus,”ujarnya.
22 Feb 20
551
Empty Image
MB Terengganu Terima Sambutan Hangat PERANTAU Johor
MB Terengganu sempat beramah mesra bersama sebahagian anak negeri.PASIR GUDANG, 23 Februari - Lebih 300 anak-anak negeri menyambut kedatangan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke Majlis Ramah Mesra Persatuan Anak-anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) Johor di Pasir Gudang, semalam.Majlis yang berlangsung di TS Hotel yang pada awalnya dijangka dihadiri skala kecil anak rantau, menerima sambutan luar jangkaan anak-anak negeri di Johor.Majlis dimulakan dengan ucapan Ketua PERANTAU Johor, Zulkifli Ibrahim dan Presiden PERANTAU, Prof. Dr. Kamaruzzaman Yusoff yang mengalu-alukan kehadiran ramai serta menyeru penyertaan lebih ramai dalam persatuan untuk mengukuhkan muafakat anak negeri.Dr. Samsuri menjawab beberapa soalan daripada hadirin sambil diperhatikan Wan Sukairi (kiri) dan Dr. Kamaruzzaman (kanan).Dr. Samsuri ketika berucap pada majlis tersebut menyatakan rasa terima kasih atas sambutan yang diterima."Walaupun majlis petang ini akan menjadi pertemuan yang ringkas, tetapi anggaplah ini pertemuan kita yang pertama dan bukan yang terakhir."Insya-Allah, kita akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk bersama-sama dengan anak-anak Terengganu di perantauan terutamanya dari Johor ini," katanya.Kehadiran anak rantau di luar jangkaan.Majlis anjuran PERANTAU Johor dengan kerjasama Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu itu memberi peluang kepada anak-anak negeri untuk mengenali lebih dekat pemimpin negeri itu.Selain itu, anak-anak negeri berpeluang bersoal jawab bersama kepimpinan negeri yang memberi lebih maklumat dan penjelasan tentang pentadbiran Terengganu.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman serta Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.Antara hadirin yang bertanyakan soalan.
22 Feb 20
264
Empty Image
THT Tagih Sokongan Padu Penyokong Malam Ini
Fitri Saari (tengah).KUALA LUMPUR, 22 Februari - Fitri Saari berharap penyokong Terengganu akan membantu menyemarakkan semangat pasukannya ketika aksi balas dendam menentang UniKL dalam perlawanan akhir Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.Kapten Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu berkata, kehadiran penyokong yang ramai pasti meningkatkan lagi semangat pemain, seterusnya memberi mereka sedikit kelebihan untuk membenam ego UniKL."Kehadiran penyokong yang ramai memberi impak kepada permainan kami kerana 'disuntik' oleh sorakan semangat penyokong."Saya yakin penyokong kita dapat melakukan. Oleh itu saya harap Stadium Hoki Bukit Jalil akan dibanjiri penyokong Terengganu malam ini," katanya ketika dihubungi media.Dalam pada itu Fitri berkata, persiapan pasukannya untuk menghadapi perlawanan malam ini berjalan lancar dengan kesemua rakan sepasukan berada pada tahap terbaik."Apa pun kita juga mengharapkan doa daripada penyokong-penyokong di seluruh Terengganu yang tidak berkesempatan hadir," tambah beliau.Pada perlawanan malam ini, THT turun selaku juara bertahan Piala TNB manakala UniKL yang baru sahaja dinobatkan sebagai juara liga pastinya mahu merampas kejuaraan itu. Untuk rekod, dalam dua perlawanan liga musim ini, UniKL menang tipis ke atas THT sekali gus mereka dianggap pasukan pilihan.
21 Feb 20
81