lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

UC TATI Jalin Kerjasama Dengan Lapan Rakan Strategik
UC TATI Jalin Kerjasama Dengan Lapan Rakan Strategik
KEMAMAN, 26 Mei - University College TATI (UC TATI) telah memeterai lapan perjanjian bersama rakan strategik bersempena Majlis Pelancaran Biasiswa Terengganu Sejahtera di Dewan Cancelor UC TATI, di sini, semalam.  Perjanjian tersebut melibatkan dua Memorandum Perjanjian (MoA) bersama CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Sekolah Tinggi Teknologi Warga Surakarta (STTW). Manakala enam Memorandum Persefahaman (MoU) pula melibatkan Bank Islam, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), DreamEdge Sdn Bhd, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), DH Borneo Training Services Sdn Bhd dan Hal FinTech Sdn Bhd. Rektor UC TATI, Prof Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, kerjasama tersebut akan memberikan pelajar UC TATI akses luas kepada latihan industri, bimbingan profesional, penyelidikan dan pemindahan teknologi.  “Ia juga akan memperkukuh hubungan UC TATI dengan pihak industri dan memastikan kurikulum sentiasa relevan dengan keperluan pasaran kerja yang sentiasa berubah,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Biasiswa Terengganu Sejahtera yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Canselor UC TATI di sini.  
26 May 25
142
Kelestarian Air: Terengganu Perkukuh Infrastruktur dan Penguatkuasaan
Kelestarian Air: Terengganu Perkukuh Infrastruktur dan Penguatkuasaan
DUNGUN, 25 Mei – Dalam menghadapi cabaran iklim dan tekanan terhadap sumber air, Kerajaan Negeri Terengganu komited melaksanakan dasar berimpak tinggi melalui pelaburan infrastruktur, pengurusan kawasan tadahan dan penguatkuasaan undang-undang bagi menjamin kelangsungan bekalan air bersih kepada rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, Terengganu tidak hanya bergantung kepada retorik, sebaliknya telah menggerakkan pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh. “Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memperkukuh pengurusan sumber air, termasuk pelaburan dalam infrastruktur bekalan air, pengurusan kawasan tadahan, pemuliharaan sungai serta peningkatan kecekapan sistem bekalan dan saliran," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Karnival Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Taman Tasik Sura, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli dan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. Beliau turut memaklumkan bahawa semua inisiatif tersebut digerakkan secara strategik melalui Pelan Tindakan Kelestarian Alam Sekitar Terengganu, yang menekankan pendekatan lestari dan saintifik. "Pelan ini antara lainnya memberi penekanan kepada pengurusan air secara lestari, pemantauan kualiti air dan pemuliharaan kawasan sensitif alam sekitar," jelasnya. Menurutnya, pendekatan ini memerlukan kolaborasi antara agensi teknikal, institusi pendidikan dan masyarakat awam bagi memastikan semua usaha berjalan secara menyeluruh dan berkesan. Dalam aspek penguatkuasaan pula, katanya, kerajaan negeri tidak berkompromi terhadap pencemaran dan penyalahgunaan air, malah bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperkemaskan tindakan di lapangan. "Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperkemaskan penguatkuasaan terhadap pencemaran sungai dan penggunaan air secara haram," ujarnya. Beliau menyeru agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjadikan pengurusan air satu agenda bersama yang merentas politik, sektor dan sempadan.  
25 May 25
201
70 Peratus Air Tawar Dunia Dalam Bahaya
70 Peratus Air Tawar Dunia Dalam Bahaya
DUNGUN, 25 Mei – Ketika dunia bergelut dengan krisis perubahan iklim, Negeri Terengganu tampil menyahut cabaran global untuk melindungi glasier, simpanan semula jadi yang menyimpan 70 peratus air tawar dunia, demi memastikan kelangsungan hidup generasi akan datang. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, pencairan glasier akibat pemanasan global memberi kesan langsung kepada kitaran air dunia dan bakal mengancam bekalan air bersih secara keseluruhan. "Glasier merupakan bongkah ais semula jadi hasil pemampatan salji yang menyimpan kira-kira 70 peratus air tawar dunia. "Kesan perubahan iklim menyebabkan kadar pencairan glasier semakin meningkat, dan ini memberi impak besar kepada kitaran hidrologi serta bekalan air global," katanya ketika merasmikan penutupan Karnival Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Taman Tasik Sura, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli dan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. Beliau menyifatkan tema sambutan tahun ini, 'Glacier Preservation', sebagai amat signifikan dan perlu dilihat bukan sekadar simbolik, sebaliknya satu seruan mendesak untuk seluruh dunia bertindak. "Tema ini amat relevan kepada usaha kita untuk mengekalkan kelestarian sumber air dan memperkukuhkan daya tahan ekosistem terhadap perubahan iklim," ujarnya dengan penuh harapan. Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak leka dengan memberi contoh pengalaman getir yang hampir melumpuhkan sistem bekalan air bandar Cape Town, Afrika Selatan pada tahun 2018. "Lihat sahaja kepada pengalaman Cape Town yang hampir berhadapan dengan 'Hari Sifar' apabila bandar tersebut hampir kehabisan air akibat kemarau dan pengurusan sumber air yang lemah. "Namun, hasil tindakan pantas kerajaan serta penyertaan aktif rakyat, mereka berjaya mengelakkan krisis tersebut melalui sistem penggunaan semula air, pembaikan infrastruktur dan kempen penjimatan," katanya. Beliau menegaskan bahawa pengajaran itu seharusnya menjadi pemangkin untuk Terengganu kekal proaktif dan tidak menunggu sehingga krisis berlaku.  
25 May 25
150
Dr. Sam Lancar Biasiswa Anak Terengganu
Dr. Sam Lancar Biasiswa Anak Terengganu
KEMAMAN, 25 Mei - Kerajaan negeri melancarkan Biasiswa Terengganu Sejahtera  buat anak Terengganu yang berpotensi tetapi menghadapi kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian di Universiti College (UC) TATI. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata inisiatif hampir RM1.6 juta itu  adalah satu langkah yang amat terpuji kerana ia bukan sekadar bantuan kewangan tetapi adalah sebuah pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan negeri Terengganu.  "Dengan memberikan peluang kepada pelajar-pelajar cemerlang dari keluarga yang kurang mampu untuk menimba ilmu di UC TATI, kita sedang mempersiapkan generasi pemimpin masa depan yang akan memacu pembangunan ekonomi, sosial dan intelektual negeri kita," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Terbuka  UC TATI 2025 di Dewan Canselor di sini hari ini. Justeru itu, beliau berharap agar para penerima biasiswa tersebut akan menggunakan peluang yang diberikan sebaik-baiknya, belajar dengan tekun dan kembali berkhidmat untuk membangunkan Terengganu. Dalam masa sama, turut dilancarkan maskot baharu UC TATI yang dikenali sebagai “LEO” satu simbol visual menggambarkan nilai, semangat dan  aspirasi UC TATI sebagai institusi TVET unggul.
25 May 25
3132
Sultan Terengganu Iktiraf Pemenang SMUPA 2024
Sultan Terengganu Iktiraf Pemenang SMUPA 2024
KUALA TERENGGANU, 25 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Awards (SMUPA) 2024 kepada para pemenang terpilih. Dalam majlis yang berlangsung di Taman Tamadun Islam (TTI) itu, sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Wide Angle dan Macro bagi jelas Grand Awards yang melibatkan jurugambar profesional. Manakala, Ocean Spirit Awards pula dikhaskan kepada jurugambar pemula menerusi kategori Wide Angle, Macro dan Short Video. SMUPA 2024 berjaya menarik sebanyak 125 penyertaan jurugambar bawah air dengan penawaran hadiah keseluruhan berjumlah RM39,000. Rakaman dan foto telah dilakukan di 128 tapak selaman dan tujuh buah pulau utama di perairan Terengganu, sekali gus membuka ruang peserta menyerlahkan kreativiti mengabadikan khazanah laut negeri itu. Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda pada jam 2.40 petang ke majlis tersebut, diiringi DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu dan YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja. Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Nara Setia, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris. Sultan Mizan kemudian berkenan meneliti sendiri foto dan video para pemenang sebelum menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang. Baginda diiringi Yang di-Pertuan Muda Terengganu dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja berangkat pulang pada jam 4.30 petang.
25 May 25
134
Beach Run 2.0: Primula Eco Green 2025 Raih Lebih 300 Penyertaan
Beach Run 2.0: Primula Eco Green 2025 Raih Lebih 300 Penyertaan
KUALA TERENGGANU, 25 Mei – Beach Run 2.0: Primula Eco Green 2025, pada kali ini berjaya menarik lebih 300 penyertaan komuniti setempat, aktivis alam sekitar serta atlet antarabangsa. Pengurus Besar Primula  Beach Hotel, Suaibah Harun berkata bertemakan “Run for a Greener Tomorrow”, acara tahun ini menampilkan dua kategori larian iaitu 10 kilometer (km) dan 21km, yang bermula jam 3 hingga 10 pagi itu  bukan sahaja memupuk kesedaran terhadap alam sekitar tetapi juga menggalakkan gaya hidup sihat. "Mereka berkumpul seawal 3 pagi di sepanjang pesisir pantai indah Kuala Terengganu demi satu matlamat memartabatkan gaya hidup lestari dan pelancongan mampan. "Suasana acara penuh semangat dan  bermakna, mencerminkan sokongan kuat terhadap inisiatif yang menggabungkan kesihatan, semangat komuniti dan nilai kelestarian alam," katanya kepada pemberita. Tambah Suaibah, acara pada kali ini turut diserikan kehadiran atlet wanita elit Malaysia, Juliana, yang  memberi inspirasi kepada ramai pelari muda.    Selain itu katanya,  penyertaan seorang peserta antarabangsa dari Bangladesh turut menambah nilai global kepada acara ini serta  mengukuhkan imej Kuala Terengganu sebagai destinasi eko-pelancongan yang inklusif dan mesra pengunjung. “Beach Run 2.0 bukan sekadar acara larian; ia adalah satu gerakan yang menyatukan komuniti dan memperjuangkan kelestarian. “Kami sangat teruja melihat sokongan luar biasa, termasuk penyertaan atlet elit dan pelari serantau yang berganding bahu demi Terengganu yang lebih hijau," ujarnya lagi. Menurutnya, penganjur turut menerima sokongan padu daripada pelbagai penaja yang memperkukuh  nilai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). 
25 May 25
179
SMUPA Melonjak ke Peringkat Antarabangsa
SMUPA Melonjak ke Peringkat Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 25 Mei - Sultan Mizan Underwater Photography Award (SMUPA) akan diperluaskan pada tahun 2025 dengan penglibatan peserta di peringkat global. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penyertaan SMUPA bagi edisi 2024 meningkat dengan ketara kepada 125 penyertaan melibatkan jurugambar berbakat dari pelbagai negeri. Kata beliau, ini bukan sahaja menyerlahkan keindahan lautan Terengganu, tetapi turut membawa mesej kuat tentang pentingnya pemeliharaan ekosistem marin untuk generasi akan datang. "Menyedari kejayaan SMUPA dan berkat ilham Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dengan penuh rasa sukacita saya mengumumkan, SMUPA akan diperluaskan menjadi Sultan Mizan International Photography Award (SMIPA) pada tahun 2025. "Dengan pelancaran SMIPA 2025 kelak, pertandingan ini akan dibuka kepada penyertaan global, Terengganu diharapkan akan mendapat tempat dan nama sebagai salah satu lokasi fotografi marin dan alam semula jadi bertaraf dunia," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan persembahan ucapan sempena majlis penyampaian hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Award (SMUPA) 2024 di Taman Tamadun Islam, di sini semalam. Dalam majlis tersebut, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang utama. Hadir sama mengiringi baginda ialah DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja. Menurut Dr. Ahmad Samsuri, SMIPA 2025 nanti akan memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Kategori Budaya (Culture) yang merakam keunikan budaya, warisan, adat resam dan kehidupan masyarakat Terengganu dan rantau ini.  "Kedua iaitu Kategori Alam Semula Jadi (Nature), menampilkan keindahan landskap, flora dan fauna di daratan, dengan fokus kepada kelestarian dan konservasi alam.  "Dengan penambahan ini, SMIPA 2025 akan meliputi keindahan Terengganu dari dasar laut hingga ke daratan, menawarkan peluang lebih luas kepada jurugambar mempersembahkan kreativiti mereka," jelasnya. Untuk rekod, SMUPA merupakan inisiatif istimewa yang lahir daripada ilham DYMM Sultan Mizan, bertujuan memperkenalkan keindahan dan keunikan dasar laut negeri Terengganu kepada dunia.  Sejak penganjuran pertamanya, sambutan terhadap pertandingan ini amat menggalakkan, melibatkan para jurugambar dasar laut dari dalam dan luar negara sekali gus merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.  
25 May 25
279
Peruntukan RM90 Juta Kawal Hakisan Pantai Batu Rakit
Peruntukan RM90 Juta Kawal Hakisan Pantai Batu Rakit
Foto : Ghazali Kori SETIU, 25 Mei - Kerajaan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperuntukkan RM90 juta bagi projek Pengawalan Hakisan Pantai di kawasan Pantai Mengabang Telipot hingga ke Pantai Batu Rakit. Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata, projek telah mula dilaksanakan pada Julai 2023 dan status kemajuan fizikal projek terkini adalah 24.5 peratus dan dijangka siap pada Januari 2027. Ujarnya, projek-projek yang dijalankan meliputi kerja-kerja 'beach nourishment' sepanjang dua kilometer (KM) dan pembinaan 16 'breakwater' bagi memulihara semula kawasan pantai itu. "Saya difahamkan tadi (semalam) ada pemecah ombak yang berjaya siap hingga 92 peratus tetapi ada juga yang masih lagi di peringkat pelaksanaan yang kemajuannya mencapai 10 peratus, 20 peratus kerana sudah tentu setiap pelaksanaan itu mengambil masa sedikit. "Alhamdulillah, diberi jaminan oleh kontraktor bahawa beliau akan cuba menyiapkan sebaik mungkin kalau boleh sebelum musim tengkujuh pada tahun ini bagi beberapa komponen dalam jangka masa pendek untuk lapan pemecah ombak yang telah dirancang," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Projek Pengawalan Hakisan Pantai di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangan Luar Bandar Terengganu, Dato' Hanafiah Mat dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir. Dalam pada itu, Mad Zaidi berkata, jumlah keseluruhan untuk pelbagai projek air di Terengganu membabitkan peruntukan RM287.8 juta di bawah Rolling Plan Ke-5 (RP5) tahun 2025 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Katanya, ia melibatkan 27 projek yang turut merangkumi 22 projek berkaitan sumber air, tebatan banjir, tiga projek bekalan air dan dua projek berkaitan pembentungan.  
25 May 25
431
SPM Bukan Pengakhiran, Tapi Permulaan Perjuangan Ilmu
SPM Bukan Pengakhiran, Tapi Permulaan Perjuangan Ilmu
KUALA TERENGGANU, 23 Mei – Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah pengakhiran, sebaliknya merupakan permulaan kepada perjuangan yang lebih besar dalam dunia ilmu dan kehidupan. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pelajar perlu sentiasa memperbaharui niat dalam menuntut ilmu dan menjadikan usaha mereka sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. “Ilmu bukan semata-mata untuk mencari pekerjaan atau kejayaan dunia, tetapi yang lebih utama ialah untuk mengenal Allah SWT.  "Inilah yang membezakan pendidikan Islam dengan sistem Barat,” katanya ketika berucap di Majlis Apresiasi SPM Terengganu di Masjid Sultan Ismail, Chendering, semalam.  Majlis tersebut turut dihadiri imam-imam, jawatankuasa masjid, penghulu mukim, wakil JPKK serta ibu bapa dan pelajar-pelajar yang diraikan. Dr. Khalil turut mengucapkan tahniah kepada 17 para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan serta menghargai usaha ibu bapa dan pihak masjid yang menganjurkan majlis tersebut. “Majlis seperti ini bukan sahaja mengiktiraf kejayaan akademik, tetapi juga memberi motivasi dan kekuatan rohani kepada anak-anak kita untuk melangkah ke fasa pendidikan yang lebih mencabar,” ujarnya. Tambah beliau, pihak kerajaan negeri sentiasa menyokong inisiatif yang memupuk budaya ilmu dan menggalakkan pelajar untuk terus menuntut ilmu dalam pelbagai bidang dengan niat yang ikhlas dan tujuan yang benar.
23 May 25
109
Daya Saing Usahawan Terengganu Perlu Dilebarkan ke Peringkat Antarabangsa
Daya Saing Usahawan Terengganu Perlu Dilebarkan ke Peringkat Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 22 Mei – Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan usahawan-usahawan anak tempatan  yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri,  Dato' Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri sentiasa memberi galakan dan peluang kepada pengusaha perniagaan di Terengganu untuk terus mengorak langkah dalam industri masing-masing. Katanya, beliau telah melihat pelbagai jenis produk yang dihasilkan oleh usahawan tempatan yang tidak seharusnya diabaikan berkobelahan mereka. “Saya lihat banyak produk yang mempunyai potensi. Jadi kerjasama perlu dijali.kan dengan pelbagai lagi agensi lain seperti Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU)untuk merealisasikan perkara ini. “Sekiranya mereka perlukan geran atau dana untuk kembangkan produk kita ada bantuan pinjaman selain sediakan bantuan geran untuk peralatan atau bantuan pembungkusan. “Dengan cara ini kita yakin sekiranya mereka telah bersedia pentadbiran negeri akan beri peluang usahawan berjaya ini ke luar negara namun ikut skala kemampuan mereka,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Tambah beliau,  keupayaan usahawan Terengganu  tidak boleh dinafikan kerana terdapat ramai dari kalangan mereka berjaya telah ada yang berjaya ke peringkat antarabangsa. "Sebagai contoh perniagaan Kafeteria Adeq Sue (Adeq Sue) kepunyaan anak jati Terengganu berjaya dibuka bertempat di Hotel Rehab Janadriyah Mekah, Arab Saudi. "Kafeteria itu adalah milk bekas penyerang pasukan bolasepak Terengganu Haruddin Omar bersama sepupunya Shukuriah Abd. Ghafar kini mempelawa jemaah Haji di tanah suci menikmati pelbagai jenis makanan Malaysia di situ,” ujarnya. Tambah Ariffin lagi, kerajaan negeri pasti akan memberikan sokongan dan bantuan sewajarnya kepada mereka bagi memastikan kelangsungan dan pengembangan usahawan ke peringkat yang lebih tinggi.
22 May 25
342