Artikel "Utama" Terkini
Gabungan NGO Malaysia Lancar Aid4Lebanon
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Sebanyak 20 badan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman dalam mengendalikan misi kemanusiaan di dalam dan luar negara melancarkan Aid4Lebanon sebagai sokongan dan solidariti terhadap mangsa letupan di Beirut, Lubnan.
Dalam satu kenyataan semalam, sekretariat Aid4Lebanon berkata, pihaknya juga akan menggerakkan kempen sumbangan yang diselaraskan secara rasmi di bawah saluran Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
"Bentuk sumbangan segera diperlukan adalah bantuan perubatan dan keperluan harian kepada manga-mangsa yang terlibat.
"Sekretariat Aid4Lebanon mensasarkan kutipan dana sebanyak RM10 juta dalam tempoh terdekat," ujar kenyataan itu.
Sekretariat Aid4Lebanon menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama menyumbang bagi menyatakan solidariti kemanusiaan sejagat.
"Peristiwa letupan Ammonium Nitrat di Beirut yang mengorbankan lebih 135 nyawa dan menyebabkan kecederaan lebih 5,000 mangsa, manakala ratusan ribu sokongan dan solidariti terhadap mangsa letupan kehilangan tempat kediaman amat menyedihkan kita.
"Tidak cukup dengan kes wabak COVID-19 yang telah meragut 68 nyawa dan lebih 5,000 kes positif, kerajaan Lubnan terpaksa berdepan pula dengan bencana letupan besar sehingga diumumkan darurat yang akan berlangsung selama dua minggu," tambah kenyataan itu.
08 Aug 20
657
'Home Manager' Kurangkan Masalah Kebergantungan Kepada Pekerja Asing
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kerajaan negeri akan terus memberi sokongan penuh kepada program Kakitangan Pengurus Kediaman (Home Manager) dalam meningkatkan taraf hidup dan pendapatan keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata program itu memberi peluang pekerjaan kepada anak negeri dalam meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kadar pengangguran.
Katanya, ini jelas terbukti apabila terdapat unjuran pertambahan dan permintaan terhadap Home Manager dari tahun ke tahun.
"Terdapat lanjutan permintaan yang tinggi untuk menggunakan khidmat Home Manager ini setiap tahun dan ia merupakan satu perkara yang positif.
"Secara tidak langsung dapat menangani masalah kebergantungan kepada pekerja asing dalam kerjaya ini disamping dapat membantu golongan miskin, belia-beliawanis dan ibu tunggal dalam meningkatkan taraf hidup juga pendapatan keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kakitangan Pengurus Kediaman (Home Manager) Tahun 2019 di Dewan Bangunan Kompleks Ibu Tunggal, Chendering hari ini.
Seramai lima 'Home Manager' menerima anugerah APC yang julung kali diadakan bagi mengiktiraf perkhidmatan serta membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak RM500.
Dalam majlis yang sama, 18 orang kakitangan 'Home Manager' turut menerima Sijil Pelantikan Personal Sistem Dual Nasional (SLDN) sebagai Jurulatih dan Pelatih.
Sementara itu, Zuraida turut melahirkan rasa teruja beliau apabila majoriti peserta 'Home Manager' ini sebahagian besarnya adalah wanita.
"Saya cukup teruja dengan program ini apabila pesertanya adalah ibu tunggal yang mana salah satu hasrat saya, mereka ini berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan.
"Jadi saya lihat program ini adalah platform terbaik untuk mereka menambah pendapatan diri dan keluarga," ujarnya.
08 Aug 20
2259
Isu Mendapan Pelabuhan Chendering Selesai Jika Hakisan Pantai Rusila Dibaiki Segera
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kerajaan Persekutuan menyasarkan pelan 'serampang dua mata' bagi menyelesaikan isu mendapan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini dengan menyegerakan projek membaiki hakisan pantai di Rusila, Marang.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato' Che Abdullah Mat Nawi berkata, projek tersebut memerlukan sumber pasir yang banyak dan kos dapat dioptimumkan dengan langkah memperdalamkan pelabuhan Chendering.
Dato' Che Abdullah ketika ditemui pemberita, hari ini.
"Saya insya-Allah, akan cuba memastikan apa yang dijanjikan (pembaikian hakisan pantai) itu dapat disalurkan segera kerana pengurangan pendaratan ini melibatkan juga bidang-bidang lain seperti perbekalan air batu dan pemprosesan isi ikan terhenti akibat tidak cukup sumber.
"Aktiviti perniagaan yang lain turut akan berkurang oleh kerana kurangnya pendaratan di LKIM Chendering, jadi saya harap peruntukan itu dapat menyelesaikan masalah ini segera supaya LKIM Chendering dapat beroperasi sepenuhnya dan dapat mengembalikan kegemilangannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke pelabuhan berkenaan sempena Lawatan Kerja ke Terengganu, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Mohd Sor Othman memaklumkan, tambakan Pantai Rusila Marang seluas 50 meter lebar dan tiga kilometer panjang memerlukan antara 800 hingga satu juta kubik meter pasir.
"Hasil lawatan Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man ke Terengganu beberapa minggu lepas telah meluluskan peruntukan RM15 juta untuk menyelesaikan sementara hakisan yang berlaku di Rusila dan kita jangkakan sumber utama yang dapat mengoptimumkan kos itu adalah dengan memperdalamkan pelabuhan Chendering.
Che Abdullah berjumpa nelayan dan peraih yang beroperasi di pelabuhan LKIM Chendering.
"Bagaimanapun, kajian akan dibuat berapa jumlah pasir yang perlu dikorek dan dikeluarkan dari pelabuhan ini. Saya difahamkan pelantikan juru ukur telah dilakukan oleh JPS Malaysia untuk membuat kerja-kerja ukur di Rusila dan kawasan ini. Proses berikutnya iaitu penyediaan dokumen dan tender juga sedang disediakan JPS," katanya.
Pelabuhan berkenaan yang mula beroperasi 1983 berkeluasan 41 hektar termasuk 33 hektar dermaga pelabuhan (harbour basin) merupakan satu-satunya fasiliti pendaratan yang dibina untuk mengendalikan bot C2 kerana dermaganya yang panjang.
Namun, disebabkan masalah mendapan pasir amat serius, bot- bot laut dalam tidak dapat masuk mendaratkan tangkapan menyebabkan ramai pengusaha bot mengalihkan operasi ke Tok Bali, Kelantan dan Kuantan Pahang.
Keadaan bertambah teruk apabila benteng pemecah ombak juga telah bocor menyebabkan lebih banyak pasir masuk ke pelabuhan.
Penurunan pendaratan mula berlaku sejak 2013 iaitu daripada13 ribu 682 metrik tan pendaratan ikan di Pelabuhan LKIM Chendering yang direkodkan dan jumlah itu menurun kepada hanya seribu 334 metrik tan sahaja tahun lalu.
Kilang air batu yang turut terjejas.
08 Aug 20
1142
Sektor Pertanian Terengganu Catat Pertumbuhan Ekonomi Mendadak
Foto oleh : Hidayah Azlin
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos – Jabatan Perangkaan Malaysia semalam melaporkan sektor pertanian di Terengganu bagi tahun 2019 mencatatkan pertumbuhan ekonomi mendadak berbanding tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, peningkatan kepada enam peratus daripada -2.5 peratus pada tahun 2018 dalam bidang itu menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi di negeri ini secara keseluruhan.
"Ekonomi Terengganu mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik daripada 2.5 peratus pada 2018 kepada 3.3 peratus pada 2019.
"Laporan ini menyebut bahawa peningkatan ini didorong oleh peningkatan yang dicapai dalam sektor perkhidmatan dan pertanian," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023 yang diwujudkan kerajaan Terengganu menjadi asas penting terhadap pencapaian luar biasa dalam sektor terbabit.
"Saya sedar ketika mengambil alih teraju sektor pertanian negeri pada Mei 2018, kita tidak diberikan banyak harapan. Bajet negeri Terengganu 2019 untuk sektor pertanian hanya RM2 juta lebih sahaja.
“Bayangkan kita nak bekerja bagi membangunkan sektor pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani meliputi sebuah negeri dengan bilangan rakyat 1.2 juta berbekalkan bajet tersebut.
"Namun, strategi terus disusun bagi membangunkan ekonomi negeri berasaskan pertanian. Inilah bidang di mana majoriti rakyat Terengganu berada. Pelan strategik inilah yang menggariskan rangka kerja besar sektor pertanian negeri Terengganu," jelasnya.
Katanya lagi, akhirnya dalam tempoh setahun data dan angka telah mengiktiraf usaha tersebut.
"Sektor pertanian telah menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu," tambah beliau.
08 Aug 20
1390
Parti Baharu : 'Terpulang Kepada Tun' - Abdul Hadi
MARANG, 7 Ogos - Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, semua pihak bebas untuk menubuhkan sebarang parti politik selagi tidak melanggar undang-undang.
Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, ia terpulang kepada mana-mana kumpulan atau individu termasuk bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika mahu menubuh parti baharu.
“Itu terpulang kepada dia, Malaysia negara demokrasi dan sesiapa boleh menubuhkan parti. Kita tidak boleh halang,” katanya diminta mengulas dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menubuhkan sebuah parti baharu dinamakan Parti Bersatu Rakyat Malaysia pada petang ini.
Bercakap mengenai pilihan raya negeri (PRN) Sabah, Presiden PAS itu berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan Sabah dalam masa terdekat bagi berbincang beberapa perkara.
“Saya akan berjumpa pemimpin Sabah mungkin dalam masa terdekat sama ada di Kuala Lumpur atau di sini (Rusila).
“Tentang kerusi kita kena lihat laporan daripada Sabah dan kita pernah bertanding di samping ada cawangan dan calon,” jelasnya.
Untuk rekod, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lepas, Pas bertanding di 26 kerusi dengan lapan kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN di samping julung kali meletakkan calon bukan Islam.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS mempunyai kekuatan di bahagian utara dan tengah Sabah, bahkan pernah bertanding di lebih 20 kerusi di negeri itu dalam pilihan terdahulu.
“Kekuatan kita ada di utara dan tengah misalnya di Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu kita pernah bertanding,” tambah beliau.
07 Aug 20
1999
Tauliah : Situasi Yang Wajib Difahami
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk memberi, meluluskan atau menarik permohonan tauliah pengajaran agama terhadap mana-mana individu di Terengganu.
Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Muhammad Ramlan Mahmood berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berautoriti iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk membuat keputusan terbaik berkaitan perkara itu.
“Kerajaan negeri tiada kuasa atau hak untuk memberi atau menolak sebarang permohonan tauliah. Saya berpendapat biarlah urusan itu diputuskan MAIDAM kerana ia berada di bawah bidang kuasa pihak mereka.
“Ia juga selaras dengan Seksyen 102, Enakmen 2 Tahun 2001, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam (Terengganu) bahagian Pendidikan Islam yang menyebut Majlis (MAIDAM) hendaklah melantik suatu jawatankuasa bernama Jawatankuasa Pengawasan Pendidikan Agama Islam.
“Jawatankuasa itu mempunyai kuasa untuk memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam dan untuk menarik balik tauliah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengadakan Kunjungan Hormat terhadap Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Haji Osman Muda di pejabat MAIDAM di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, tidak timbul isu kerajaan negeri bertindak mengagalkan mana-mana permohonan tauliah daripada mana-mana penceramah atau individu.
Sebaliknya beliau menegaskan urusan tersebut adalah terletak di bawah institusi lain dan dijaga oleh pihak yang berautoriti.
“Jadi tuduhan yang mengatakan kerajaan negeri tidak memberi kelulusan tauliah kepada pihak tertentu adalah tidak benar kerana ia bukan bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kita tidak boleh melangkaui tugasan atau bidang kuasa pihak lain kerana ia sudah tertakluk dalam undang-undang,” tambah beliau.
06 Aug 20
1765
Peguam Mohon Terengganu Bertindak Segera, Sedia Beri Kerjasama
KUALA NERUS, 6 Ogos- Kerajaan Terengganu perlu bertindak segera menangani dakwaan penyelewangan dalam tuntutan pampasan berhubung projek mega Taman Ilmu di Tembila, Besut.
Itu gesaan yang disuarakan peguam, Dato’ Abu Backer Sidek ketika membentangkan isu berkenaan kepada pihak media di Raia Hotel, hari ini.
Jelasnya, dengan struktur besar yang dimiliki, kerajaan negeri boleh menghalang pihak terbabit daripada membuat tuntutan pampasan kepada kerajaan.
Abu Backer menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
“Saya menyarankan kerajaan negeri untuk membuat kajian semula kehakiman (judicial review) dan penghakiman persetujuan itu boleh dibawa ke mahkamah untuk membatalkan tuntutan tersebut atas alasan ia dicapai dengan cara penipuan dan rasuah.
“Dengan cara itu, kita boleh batalkan penghakiman dan membuang semua tuntutan kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung di laman Facebook TV Darul Iman.
Tambahnya, kerajaan negeri juga berpeluang memperolehi semula wang yang telah diberikan kepada pihak terbabit sebagai pampasan sebanyak RM45 juta sebelum ini.
“Berkenaan RM45 juta yang telah dibayar oleh kerajaan negeri lalu, kita berpeluang mendapatkan sebahagian daripadanya sebab polis boleh bertindak atas pelaburan wang haram (money laundering) dengan bukti-bukti yang ada.
“Penilaian saya, kalau dilakukan kita mampu mendapatkan kembali lebih kurang RM25 juta dan mungkin lebih,” katanya yang turut menyatakan sedia untuk berkerjasama dalam menyelesaikan isu tersebut.
06 Aug 20
3219
Penantian 27 Tahun Miliki Air Bersih Tercapai
MARANG, 5 Ogos - Penantian dan impian keluarga Siti Nuraisyah Abdul Latif, 44, sejak 27 tahun lalu untuk memiliki bekalan air bersih akhirnya tercapai apabila bekalan air mula dipasang dua hari sebelum hari raya Aidiladha baru-baru ini.
Sebelum ini, keluarganya terpaksa menggunakan air telaga yang kurang bersih dan apabila tiba musim panas, Nuraisyah terpaksa berulang alik ke surau berdekatan yang melebihi satu kilometer dari rumahnya untuk mendapat keperluan air.
“Apabila menggunakan air telaga, baju putih atau baju sekolah anak-anak bertukar kekuningan, air juga berbau dan terasa masam, malah kuku juga bertukar kebiruan namun kami terpaksa mengendahkanya.
“Saya berasa amat bersyukur setelah sekian lama, kami tiga buah keluarga yang tinggal di sini dapat menggunakan bekalan air bersih yang sangat diimpikan selama ini.
“Sebelum ini, kami tidak mampu menanggung kos pemasangan meter air yang agak besar kerana jauh daripada rumah orang lain, tambahan lagi suami hanya berkerja sebagai buruh.” katanya kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman ketika lawatan diadakan ke rumahnya.
Nuraisyah tinggal bersama lima orang anak, dan tiga daripadanya masih bersekolah. Seorang daripada anaknya yang telah berkahwin dan tinggal berdekatan juga turut mengalami masalah yang sama.
Menurut Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, masalah keluarga ini diberikan keutamaan agar impian keluarga ini menjadi realiti dengan kehidupan yang lebih selesa.
“Isu ini mendapat perhatian daripada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merupakan ADUN Rhu Rendang supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera.”
“Terima kasih juga diucapkan kepada yang terlibat, iaitu Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, pihak Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd (SATU), dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Beris.”
“Kita juga akan terus membantu dan menyelesaikan masalah rakyat secara berperingkat dari masa ke semasa,” tambahnya.
06 Aug 20
542
Galak Ibu bapa Muda Sertai Skim BSN MyFirst
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kerajaan negeri menerusi portfolio Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri menggalakkan ibu bapa membuat tabungan seawal kelahiran bayi demi menjamin masa depan anak-anak.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melancarkan kempen ‘DUIT for Baby’ melalui skim baharu iaitu BSN MyFirst.
Katanya, kempen yang diperkenalkan bermula 23 Jun lalu sehingga akhir tahun 2020 iaitu 31 Disember bertujuan menggalakkan simpanan untuk kanak-kanak yang berumur dibawah tujuh tahun.
“Dalam usaha melahirkan masyarakat celik kewangan, saya mewakili kerajaan negeri megucapkan terima kasih kepada BSN dan AKPK kerana menganjurkan program sebegini.
“Kempen ‘DUIT for Baby’ ini bukan sahaja memberi fokus untuk mendidik ibu bapa muda mengenai perancangan kewangan menerusi modul pendidikan kewangan secara atas talian, malah turut menekankan kepentingan celik kewangan dalam kalangan wanita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Wanita Bijak Wang 2.0 Dan Majlis Pelancaran BSN MyFirst, DUIT For Baby di Dewan Auditorium, Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor; Pengurus Besar Bahagian Operasi AKPK, Nor Fazleen Zakaria dan Pengarah Negeri BSN Terengganu, Mohammad Khasnieddy Khasimi.
Sementara itu Nor Fazleen berkata, menerusi skim ini, hadiah simpanan bernilai RM50 akan didepositkan ke dalam akaun BSN MyFirst bagi 10,000 penyimpan pertama yang mendaftar.
“Tertakluk terma dan syarat, penyimpan yang menyertai perlu mendepositkan minimum RM50 ke dalam akaun serta mengikuti kursus kewangan secara atas talian yang disediakan di laman sesawang AKPK.
“Disamping itu, penyimpan juga berpeluang memenangi hadiah BSN SSP bernilai sehingga RM5,000 dengan menghantar tiga slogan selepas mengikuti kursus kewangan AKPK,” ujarnya.
06 Aug 20
2942
MOSTI Terbuka Terima Cadangan Lokasi Baru PDF Lynas
KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sentiasa terbuka untuk menerima apa sahaja pandangan tidak kira daripada kerajaan mahupun pembangkang berhubung lokasi baharu Tapak Pelupusan Kekal (PDF) Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas).
Timbalan Menterinya, Ahmad Amzad Hashim berkata, Menteri, Khairy Jamaluddin dan beliau sendiri akan turun melawat kawasan yang dikenal pasti untuk menjadi tapak PDF bagi memindahkan sisa penulenan air larut lesap (WLP) di Pahang.
"Berkaitan isu Lynas yang telah dibangkitkan oleh YB (Yang Berhormat) Kuantan, YB Puan Fuziah Salleh yang berkait dengan lokasi PDF, Menteri dan saya sendiri akan melawat lokasi PDF Lynas secara fizikal sebaik sahaja sidang Parlimen selesai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin memaklumkan, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menilai kesesuaian kawasan lain dalam membangunkan PDF bagi menampung operasi Lynas.
Katanya, beberapa cadangan lain rentetan isu pembangunan tapak PDF Lynas yang diberi 'lampu hijau' untuk dibina dalam kawasan seluas 202.35 hektar di Bukit Ketam itu akan turut diambil kira dan diperhalusi secara lebih lanjut.
Bagaimanapun, katanya, Penilaian Impak Radioaktif (RIA) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) terhadap pembangunan tapak PDF dalam kawasan sedia ada akan tetap diteruskan, sementara menanti penilaian lanjut daripada jawatankuasa khas terbabit.
Penubuhan jawatankuasa bagi menilai kesesuaian tapak lain PDF Lynas itu timbul susulan celahan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) yang membangkitkan risiko pencemaran bekalan air mentah, memandangkan kawasan pelupusan berkenaan bakal dibina dalam zon tadahan air.
Media sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya lima kawasan dikenal pasti untuk menjadi tapak PDF bagi memindahkan sisa WLP di Pahang.
Lima tapak itu antara lain terletak di kawasan bekas lombong emas dan bijih besi masing-masing di Lepar, Luit, Padang Tengku, Bukit Ibam dan Chini.
06 Aug 20
340