Artikel "Utama" Terkini
Abdul Hadi Serah 42 Suratan Hak Milik Dan Borang 5A RTB Jambu Bongkok Terengganu
MARANG, 2 September - Seramai kira-kira 42 penduduk Marang menerima suratan hak milik tanah dan notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Lapang Jambu Laut (Jambu Bongkok) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di sini hari ini.
Jumlah tersebut membabitkan seramai 30 penerima hak milik tanah dan 12 penerima Borang 5A untuk RTB tapak Rumah Kediaman Lapang Jambu Laut Tambahan, Mukim Merchang, daerah Marang yang telah diluluskan sebelum ini.
Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkongsi kegembiraan tersebut dengan para penerima serta membuktikan kejayaan kerajaan negeri merealisasikan manifesto PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.
"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menyelesaikan isu tanah ini bagi memastikan rakyat kita yang memerlukan sentiasa mendapat bantuan yang sewajarnya, tidak kira bagi keperluan tempat tinggal, bercucuk tanam dan sebagainya.
"Justeru, apa yang berjaya kita peroleh hari ini perlulah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hak Milik & Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Lapang Jambu Laut (Jambu Bongkok) di Balairaya Jambu Bongkok Darat di sini hari ini.
Turut hadir dalam majlis itu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Marang, Mahari Abd Rahman dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lapang Jambu Laut, Zulkifli Puteh.
Sulaiman Sulong.
Dalam perkembangan sama, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong memberitahu, kerajaan negeri berusaha memastikan sebarang isu berkaitan dengan hak milik tanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan memudahkan rakyat.
"Kerajaan negeri komited dalam usaha mengembalikan tanah-tanah terkilan terutama membabitkan peserta yang masih belum mempunyai hak di atas tanah yang mereka duduki. Kita berusaha bersungguh-sungguh memberikan geran kekal kepada mereka yang benar-benar layak.
"Pastikan tanah lot yang kita agihkan mesti dengan niat untuk dibina rumah kediaman, bukan untuk dijual, ianya bagi memberi keselesaan, membina keluarga bahagia serta mencapai hasrat masyarakat yang maju, berkat dan sejahtera," ujarnya.
02 Sep 20
2388
Terengganu Lihat Keperluan Bubar DUN - MB
KUALA TERENGGANU, 2 September - Kerajaan negeri akan melihat keperluan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bagaimanapun pihaknya akan melihat keperluan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Katanya, perkara itu akan dipertimbangkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.
“Kita tidak tentu sama ada bubar atau tidak, jadi akan tengok keperluan di Terengganu, tidak semestinya ikut (Parlimen) dan tidak semestinya tidak ikut, apa sahaja boleh berlaku,”
"Jika Parlimen bubar, tidak semestinya DUN pun dibubarkan tapi insyaAllah kalau Pilihan Raya Umum (PRU-15) tahun ini kita bersedia untuk menhadapi pilihan raya.
"Kita tengok keadaan bila pilihan raya mengejut tu, sebab macam-macam boleh terjadi, setahun, dua tahun atau tiga tahun lagi ke, kita tengok masa yang sesuai," ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Pembentukan Konsortium antara Ahmad Zaki Sdn Bhd dengan GPQ Sdn Bhd dan MMC Engineering Sdn Bhd dengan P-Excell Management Sdn Bhd Bagi Projek ECRL di Dewan Gamelan 3, Primula Beach Hotel, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Kedah yang tidak berhasrat membubarkan DUN sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada PRU15.
Ahmad Samsuri juga berkata, pihaknya juga sentiasa bersedia sekiranya terdapat kemungkinan PRU-15 berlaku dalam masa terdekat.
02 Sep 20
3058
Harimau Menangis Ditawan Beliawanis
Foto oleh : Wan Abdul Hadi
KUALA TERENGGANU, 2 September - Beliawanis dari pelbagai daerah dalam negeri Terengganu telah berjaya menawan puncak Bukit Harimau Menangis, Kemasik dalam satu program pendakian sempena Hari Kemerdekaan ke-63.
Menurut Pengarah Urus Setia Belia Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT), Nasir Abdul Razak program tersebut merupakan suatu inisiatif yang baik bagi mengumpulkan anak muda dan golongan belia termasuklah beliawanis.
Kata beliau lagi, umum mengetahui bahawa program ‘outdoor’ sangat sinonim dengan anak muda yang suka kepada cabaran dan kebebasan.
“Penganjuran program ‘Hiking’ Merdeka yang pertama kali dianjurkan ini sekaligus menepati minat mereka yang cenderung kepada aktiviti sukan dan lasak.
“Di samping bertujuan untuk mengumpulkan anak muda khususnya wanita yang berminat dengan aktiviti mendaki, program ini secara tidak langsung juga memperkenalkan cara hidup yang sihat dan bermanfaat.
“Selain itu, ia juga dapat mengeratkan silaturrahim antara para beliawanis bukan sahaja di Kemasik ini tetapi juga dari seluruh Terengganu,”ujarnya.
Nasir berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Program Hiking Beliawanis Merdeka 2020 ini telah disertai oleh 250 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beliawanis, pejabat daerah, pejabat pendidikan daerah dan sekolah-sekolah berdekatan.
Program tersebut turut melibatkan wakil pusat khidmat masyarakat (PKM), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Majlis Pewakilan Komuniti Kampung (MPKK), Krew Bukit Harimau Menagis serta rakyat tempatan.
“Persatuan Kebajikan Sedia Setia Hawa Terengganu (SETIA) menjadi pendokong kuat kepada penganjuran program ini di samping agensi-agensi lain.
“Dan tanpa kita sedar sebenarnya, program seumpama ini dapat mempromosikan tempat rekreasi dan sukan yang menarik di Terengganu,”tambahnya.
02 Sep 20
600
CCCC Dimohon Mudahkan Syarat Pemberian Kontrak Projek ECRL
KUALA TERENGGANU, 2 September – Kerajaan negeri memohon China Communications Construction Company Ltd (CCCC) supaya mempertimbangkan syarat pemberian kontrak kepada syarikat tempatan bagi pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pelaksanaan projek ECRL diuruskan CCCC dan RM3 bilion daripada keseluruhan RM7 bilion projek di Terengganu ini adalah untuk syarikat tempatan.
"Walaupun begitu kita sedar untuk syarikat-syarikat kecil sama ada di pihak kerajaan negeri atau syarikat anak-anak negeri Terengganu di luar konsortium sukar untuk mendapat sebarang kerja projek ECRL ini kerana syarat-syaratnya yang ketat.
“Kita juga sedar bahawa CCCC mempunyai kaedah pemberian kontrak yang ketat dan juga sukar untuk dipenuhi syarikat tempatan.
“Dalam pada masa yang sama, mereka harus faham dengan keadaan di Malaysia ini di mana keterlibatan syarikat tempatan ini membuka ruang kepada kami untuk terlibat bukan sekadar untuk mendapatkan keuntungan syarikat tetapi juga ‘its a good learning process’ kepada syarikat di Malaysia ini,”ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Pembentukan Konsortium antara Ahmad Zaki Sdn Bhd dengan GPQ Sdn Bhd dan MMC Engineering Sdn Bhd dengan P-Excell Management Sdn Bhd Bagi Projek ECRL di Dewan Gamelan 3, Primula Beach Hotel, di sini hari ini.
Katanya lagi, walaupun pihak CCCC meletakkan syarat yang ketat dan sebagainya tetapi diminta supaya mereka dapat mempertimbangkan aspek lokaliti di negeri Terengganu.
“Syarikat yang berada di Terengganu ini adalah anak tempatan, kami berada di sini, sedangkan projek dilaksanakan orang luar, tentulah kita rasa tidak berpuas hati dengan keadaan itu jadi kita minta CCCC walaupun ada syarat yang ketat tetapi boleh mempertimbangkan dengan konsortium ini untuk mendapatkan projek ini.
“Oleh kerana itu, kita membentuk konsortium ini supaya ada kekuatan saling boleh bantu-membantu dan supaya kita dapat ‘push our standard higher’.
“Jadi ia akan membuka lebih peluang, tak kata gerenti akan dapat tetapi berharap akan memberi ‘advantage’ kepada kita dan boleh menunjukkan seriusnya konsortium ini dan juga kita akan bersama dengan syarikat di negeri terengganu untuk sama-sama membida ECRL,” ujarnya.
02 Sep 20
892
Kerajaan Negeri Pantau Pengusaha Pelancongan Langgar Peraturan
MARANG, 2 September - Kerajaan Terengganu bersikap terbuka dan teliti dalam melakukan pemantauan berkenaan isu keselamatan pengunjung di pusat-pusat peranginan negeri tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) sedia maklum dengan rungutan pengunjung terhadap isu keselamatan dan keselesaan di Pulau Kapas yang berlaku baru-baru ini.
"Ini sebenarnya mengejutkan kita kerana sudah ada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang kita lancarkan apabila membuka semula pulau-pulau peranginan pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Ariffin bersama Dr. Mamad ketika meninjau keadaan di Stesen Solar Pulau Kapas.
"Malangnya, ada sebahagian pengusaha mahu untung lebih dan ia menyebabkan pelbagai masalah. Kita menerima maklumat terbaru bahawa SOP yang diperketatkan menyebabkan segelintir pengusaha bot membawa penumpang di jeti kawasan lain. Perkara ini juga dalam pemantauan kita.
"Kita telah mengarahkan Tourism Terengganu untuk mengadakan siasatan serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit. Kita tiada tindakan khusus tetapi yang penting, pendidikan terhadap pengusaha akan diteruskan. Jika perlu, kita akan bincangkan hukuman kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tinjauan ke Stesen Solar Hybrid di Pulau Kapas bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Haji Mamad Puteh di sini, semalam.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim; Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan beberapa wakil dari Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
Tambahnya, pemantauan akan diteruskan dan tindakan akan dibincangkan supaya pihak yang melanggar peraturan keselamatan dan SOP dapat ditangani.
"Untuk makluman, setelah negara berada dalam norma baharu iaitu fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kelonggaran ini menyebabkan kenaikan pelancong tempatan ke Terengganu dan antara yang paling terkesan ialah Pulau Kapas kerana lokasinya yang dekat dengan tanah besar.
"Kita sedia maklum, ada pelbagai perkara yang dalam proses dan telah diselesaikan pihak berkuasa tempatan, antaranya isu sampah yang akan disesuaikan semula dan tandas yang akan dibina baharu dengan peruntukan yang dah diluluskan.
"Nasihat saya kepada pengusaha, pelancongan adalah sektor jangka masa panjang di mana kes-kes sebegini mampu menjejaskan imej industri ini," katanya.
02 Sep 20
391
Terengganu Sokong Hasrat PM Naikkan Bantuan JKM
KUALA TERENGGANU, 1 September - Kerajaan Terengganu menyokong hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya amat terharu dengan pengumuman itu memandangkan jumlah pemberian bantuan berkenaan pada masa kini dilihat tidak mencukupi.
“Saya menyokong penuh cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri untuk menaikkan bantuan JKM termasuk kepada orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal daripada sekitar RM200 hingga RM300 ke RM1,000.
“Memandangkan kos kehidupan termasuk harga barangan sangat tinggi maka saya berkeyakinan dengan peningkatan jumlah bantuan bulanan ini akan memberi lebih keselesaan kepada para penerima," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Katanya lagi, kenaikkan itu juga pasti dapat membantu anak-anak penerima untuk meneruskan pembelajaran di sekolah rendah, menengah dan universiti dengan selesa.
"Saya yakin dengan bantuan ini mereka dapat mengurangkan beban sara hidup.
"Perkara ini sering menjadi rungutan di kalangan mereka di bawah dan mereka memohon supaya bantuan bulanan dapat dinaikkan, bayangkan sebelum ini mereka terpaksa menggunakan sebahagian duit bantuan untuk membayar sewa rumah dan selebihnya membeli barangan keperluan, memang tidak cukup," ujarnya.
Kelmarin, Muhyiddin mengusulkan agar bantuan bulanan JKM dinaikkan sehingga RM1,000 kepada mereka yang berkelayakan.
Menurutnya, cadangan itu akan dikemukakan oleh beliau pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan.
01 Sep 20
3145
Seni Silat Warisan Yang Harus Dipertahankan
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Beruntunglah mereka yang mengamalkan dan meneruskan warisan seni silat Melayu kerana ia adalah seni pertahanan diri utama para pahlawan dan pejuang yang membebaskan tanah air daripada penjajah sehingga negara mencapai kemerdekaan.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Speaker Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, silat mesti dipraktikkan setiap orang kerana tokoh para pejuang orang melayu terdahulu menggunakan seni ini untuk menuntut hari yang bersejarah ini.
“Jadikan peristiwa kemerdekaan ini satu motivasi kepada dunia seni silat dan bagaimana orang terdahulu daripada kita mencapai kemerdekaan sanggup berkorban dengan pengorbanan darah yang mengalir,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra bersama Pesilat SUKMA negeri Terengganu di perkarangan U2, Wisma Darul Iman, pada semalam.
Turut hadir ialah Pengarah Majlis Belia Sukan Negeri Terengganu (MBSNT), Ibni Amin Busu, Timbalan Pengawai Kewangan negeri merangkap Jabatan Angkat Silat SUKMA, Zawawi Abd Rahman, Timbalan Pesaka Mohamad bin Mat Amin, Setiausaha, Fakhrul Azman Abu Bakar dan Bendahari, Ukasyah Hassan.
Menurutnya, sukan seni silat adalah satu pertaruhan besar dan berpotensi serta sudah terbukti dapat melangkau jauh sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Dengan semangat dan juang yang tinggi kita mampu mencapai serta menggondol pingat emas dan jangan ada dalam diri kita soal takut, rasa diri kerdil dan tidak hebat.
“Orang yang berusaha dia akan dapat apa yang dia mahu dan yang penting ialah kita mesti Istiqamah berlatih, ikhlaskan diri, betulkan niat dan jadikan dunia silat sebagai sebahagian dalam hidup kita,” ujar beliau.
Dato’ Yahaya menambah, sukan ini penting kerana ia berkait dengan soal pembangunan dan imej negeri Terengganu.
“Kita nak supaya semangat yang ada pada atlet menjadi menjadi pencetus kejayaan yang cemerlang dalam sukan SUKMA. Ini adalah peluang untuk laksanakan tanggungjawab ini dengan suatu rekod yang cemerlang.
“Terus belajar dan sentiasa bersedia pada bila-bila masa dalam mencapai misi serta kejayaan dalam sukan silat SUKMA yang menjadi kebanggaan. Kita tidak boleh capai cita-cita kalau tidak berusaha dan tidak boleh capai lebih banyak pingat sekiranya tidak gigih berlatih tingkatkan kemahiran” katanya.
Justeru itu, beliau berharap agar para atlet silat mendisiplinkan diri dengan berlatih bersungguh-sungguh, ikhlaskan hati bukan kerana untuk mendapat inisiatif tetapi tanamkan dalam diri ia adalah satu amanah kepada diri masing-masing.
“Sekarang ini saya nampak imej orang luar kepada negeri Terengganu tinggi dan tidak pandang remeh serta selalu disebut bahawa Terengganu adalah negeri yang berpotensi.
“Dan banyak menjadi juara dalam sukan SUKMA serta seni silat adalah salah satu penyumbang dalam mencapai tahap tersebut,” tambah Dato’ Yahaya.
01 Sep 20
796
RM200 Ribu Peruntukan Segera Baik Pulih Bekalan Elektrik Pulau Kapas
MARANG, 1 September - Kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) memperuntukkan RM200,000 pada kadar segera untuk memperbaiki set generator di Pulau Kapas bagi mengelakkan kejadian bekalan terputus berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, pelaksanaan proses tersebut akan memakan masa sekitar tiga ke empat minggu.
Dr. Mamad (kanan) memberikan penjelasan kepada media di samping Ariffin.
"Untuk pengetahuan semua, kita menggunakan sistem solar hibrid iaitu gabungan solar, bateri dan generator yang membekalkan 350 kilowatt tenaga elektrik di bawah jagaan PMINT.
"Namun, sistem yang beroperasi sejak 2007 itu mengalami kerosakan pada 2014 menyebabkan kita terpaksa menggunakan generator yang asalnya hanya sebagai sokongan kepada sistem solar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Stesen Solar Hibrid Pulau Kapas, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Pegawai Daerah, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Dr. Mamad dan Ariffin melihat keadaan satu-satunya set generator yang masih berfungsi.
Dr. Mamad turut menjelaskan, pertambahan mendadak pengunjung ke pusat peranginan berkenaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan set generator sedia tidak dapat membekalkan elektrik secukupnya ke seluruh pulau.
"Lebih merumitkan, dua dari tiga set generator telah rosak berikutan operasi berterusan.
"Kini, satu set generator hanya mampu membekalkan maksimum 50 kilowatt sahaja pada satu-satu masa, jika berlebihan akan mengakibatkan bekalan putus," katanya.
Tambahnya, bagi pelan jangka panjang Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah bersetuju memperuntukkan RM4.9 juta untuk menggantikan dan membaik pulih sistem solar serta menggantikan set generator yang memakan masa enam bulan hingga setahun untuk diselesaikan.
Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Penyenggaraan Harta PMINT, Mohd Zaidi Abdul Rahman yang turut hadir memaklumkan, peruntukan tersebut termasuk menaik taraf sistem berkenaan yang meningkatkan penyaluran bekalan tenaga elektrik kepada 200 kilowatt berbanding kemudahan sedia ada yang membekalkan 100 kilowatt pada satu-satu masa.
Dr. Mamad bersama Ariffn dan wakil PMINT meilhat panel solar di Stesen Solar Hibrid Pulau Kapas.
01 Sep 20
2084
ECRL: Batu Tujuh Dungun Bakal Miliki Dua Stesen Kereta Api
DUNGUN, 1 September - Dua stesen kereta api Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal dibina di Batu Tujuh merupakan cadangan kerajaan negeri melalui portfolio Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau.
Pengerusinya, Dr Mamad Puteh berkata dua stesen tersebut adalah kereta api penumpang dan kargo yang kedudukannya bersebelahan antara satu sama lain.
"Laluan atau jajaran jalan raya yang masuk ke stesen kereta api, satu perbincangan bersama diadakan dengan wakil Pejabat Tanah dan Daerah Dungun, Majlis Daerah Dungun, Jabatan Kerja Negeri, JKPTG negeri bersama kakitangan atau staf konsultan dari CCCC dan MRL," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas lawatan kerja tapak cadangan ECRL Dungun di Pejabat Pengurusan Projek CCCC, ECRL, Kawasan Perindustrian Batu 7, Sura, Dungun.
Menurut Dr Mamad, pihaknya telah melakarkan pengambilan tanah dan cadangan untuk membina jajaran jalan raya yang dimaksudkan.
"Kita dah ambil persetujuan dan telah lakarkan pengambilan tanah dan cadangan untuk bina jalan R5 iaitu 40 meter lebar. R5 ini bermakna jalan yang kita rasa dah cukup untuk kita memenuhi laluan di masa hadapan.
"Dari jalan besar ke Paka dan Dungun kita ada satu laluan masuk terus ke kereta api dan disana hampir dengan laluan terus ke Che Lijah.
"Ia akan melibatkan sedikit pengambilan tanah dan kita cadangkan pengambilan ini di bawah kerajaan pusat kerana ia merupakan jalan persekutuan," jelasnya.
01 Sep 20
10772
MBKT Sita Empat Premis Perniagaan
KUALA TERENGGANU, 1 September- Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyita empat premis perniagaan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan sekitar bandaraya Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Operasi bersepadu yang dilaksanakan Bahagian Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan MBKT itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kekuatan anggota seramai 29 orang.
Datuk Bandar MBKT, Shahidan Embok berkata, operasi yang bermula sekitar 2.30 petang itu diadakan bagi membanteras operasi premis perniagaan yang menjalankan jualan barangan yang tidak dinyatakan di dalam lesen perniagaan.
"Fokus operasi adalah premis perniagaan di sekitar kawasan hentian bas MBKT di mana kita telah menyita barangan jualan yang tidak dinyatakan di dalam lesen perniagaan walaupun telah beberapa kali dikompaun oleh pihak MBKT.
“Manakala sebuah premis telah ditutup serta merta kerana beroperasi dengan lesen perniagaan yang telah dibatalkan sebelum ini,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
01 Sep 20
2077