lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu FC II Akur Tewas Kelebihan Fizikal
Terengganu FC II Akur Tewas Kelebihan Fizikal
KUALA TERENGGANU, 5 September- Sekalipun Terengganu Football Club (Terengganu FC II) tewas kepada Johor Darul Ta'zim II  (JDT II) dengan keputusan 2-3, tetapi semangat yang ditunjukkan anak buah Roshadi Wahab malam malam ini boleh dibanggakan. Bermain di laman sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelebihan jelas memihak pelawat apabila The Turtle tidak dapat menggunakan khidmat Argzim Redzovic yang dipinjam skuad 'abang'. Terengganu FC II bermula baik apabila meledak gol pertama seawal minit pertama melalui rembatan Zuasyraf Zulkiefle dari sisi kiri kotak penalti. Tersentak dengan gol tersebut, JDT II mula menguasai perlawanan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-12 melalui Francisco Insa yang menanduk kencang sepakan sudut kapten pasukan, Alberto Fernandez. Minit ke-27 perlawanan, pemain naturalisasi yang dikenali sebagai Kiko Insa itu sekali lagi berjaya mencetak gol hasil sepakan sudut Fernandez dengan rembatan rendah membolosi gawang Terengganu FC II. Kedudukan kekal 1-2 sehingga tamat separuh masa. Memasuki babak kedua, tuan rumah memperkemaskan pertahanan dengan 'high pressing', sesekali dengan serangan balas ke kubu lawan. Pada minit ke-54, Terengganu FC II berjaya bangkit menerusi pemain sayap, Engku Muhammad Nur Shakir yang memanfaatkan peluang dengan rembatan dari jarak 25 meter ke gawang JDT II yang terdedah. Bagaimanapun, pelawat terus menghukum tuan rumah dengan gol ketiga 10 minit kemudian, juga melalui situasi bola mati. Kali ini, sepakan percuma Fernandez ditanduk penyerang, Fernando Rodriguez tepat ke gawang yang dikawal Mohd Suhaimi Husin. Perlawanan berkesudahan dengan JDT II membawa pulang tiga mata dari kubu The Turtle. Jurulatih Terengganu FC, Roshadi menyifatkan ketiadaan Argzim menjadi satu kekurangan dalam skuadnya. "Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pasukan, walaubagaimanapun, memang kami terasa kehilangan Argzim. "Ini kerana tiga gol yang dijaringkan JDT II adaah melalui situasi bola mati dan kami kalah dari segi fizikal," katanya. Bertemu Kuala Lumpur selepas ini, beliau menjelaskan mereka perlu lebih bersedia. "Kami perlu menggandakan latihan menghadapi 'set piece' pihak lawan supaya situasi ini tidak merugikan kita dalam perlawanan," jelasnya.        
05 Sep 20
536
Abdul Hadi Terima Kunjungan Menteri Kewangan
Abdul Hadi Terima Kunjungan Menteri Kewangan
MARANG, 6 September - Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menerima kunjungan balas daripada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di kampung halamannya, petang semalam. Ahli Parlimen Marang itu berkongsi gambar beliau di laman Facebook miliknya bersama delegasi Kementerian Kewangan Malaysia.  "Saya berbesar hati di atas kesudian YB (Yang Berhormat) Menteri Kewangan untuk berkunjung ke Kampung Rusila, Marang, dalam kepadatan jadual lawatan beliau ke negeri Terengganu. "Kami meluangkan sedikit masa untuk meninjau ruang solat di Masjid Rusila, berkongsi sejarah masjid ini yang diasaskan oleh moyang saya lebih 100 tahun yang lalu, sehingga pembinaan fasa seterusnya termasuklah penubuhan Maahad Darul Quran, yang kesemuanya dibina dengan dana waqaf dan sumbangan orang kampung. "Dalam pertemuan tersebut, kami berbincang mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan tahap sosio ekonomi rakyat dan pembangunan di kawasan luar bandar, yang sinonim dengan aktiviti pertanian, perikanan, pelancongan dan industri desa," ujarnya menerusi hantaran di Facebooknya, malam tadi.    Sementara itu, dalam masa yang sama beliau turut menyerahkan suatu kertas cadangan untuk pertimbangan YB Menteri, yang mengandungi beberapa syor dan saranan berkaitan langkah-langkah yang boleh diambil oleh Kerajaan Pusat bagi memulihkan ekonomi pasca COVID-19, khususnya melalui peluang kerjasama negara-negara Islam di rantau Timur Tengah. Ahli Parlimen Marang tersebut turut mendoakan agar Tengku Zafrul dan pasukannya di Kementerian Kewangan sentiasa diberikan bimbingan dan kekuatan daripada Allah SWT untuk menerajui usaha pemulihan ekonomi negara secara adil dan saksama.  
05 Sep 20
619
TGV Mesra Mall, Laksanakan Tempat Duduk Asing Bagi Lelaki Dan Perempuan Bermula 3 September
TGV Mesra Mall, Laksanakan Tempat Duduk Asing Bagi Lelaki Dan Perempuan Bermula 3 September
  KUALA TERENGGANU, 5 September - Pawagam TGV Mesra Mall di Kemaman menjadi pawagam kedua selepas Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang melaksanakan zon pengasingan tempat duduk mengikut jantina bukan mahram dan keluarga. Pengasingan ini bermula 3 September 2020 dan berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan. Perkara itu dikongsikan pemilik rangkaian pawagam di Malaysia itu melalui status yang dimuat naik di laman Facebook rasminya baru-baru ini. Menurut kenyataan tersebut, peraturan pengasingan itu dibuat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK). “Pelaksanaan ini hanya akan dikuatkuasakan di lokasi ini sahaja, kami berharap anda dapat mematuhi segala syarat-syarat dan kerjasama anda amat dihargai,” katanya dalam hantaran itu. Dalam masa yang sama, TGV Cinemas masih mengamalkan SOP yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan seperti penjarakan fizikal dengan jarak satu kerusi. Berdasarkan garis panduan itu, penonton beragama Islam yang bukan suami isteri atau adik-beradik tidak dibenarkan duduk bersebelahan. Kedudukan penonton diasingkan mengikut indikasi warna dengan zon wanita berwarna merah jambu, zon lelaki (biru) manakala zon keluarga yang meliputi pasangan suami isteri atau mahram (kuninh). Individu atau pasangan yang berkeluarga pula akan ditentukan menerusi kad nikah atau dokumen berkaitan pernikahan yang dikemukakan kepada staf bertugas. Sekiranya ada penonton individu, kumpulan atau keluarga yang tersilap membeli tiket tanpa mengetahui penguatkuasaan pelaksanaan pengasingan tempat duduk itu, TGV Cinemas akan berusaha membantu namun, penukaran tempat duduk bergantung kepada kekosongan justeru  orang ramai diminta menyemak terlebih dahulu sebelum membuat pembelian tiket. Terdahulu, LFS Cinemas Kuala Terengganu yang beroperasi di Paya Bunga (PB) Sentral menjadi pawagam pertama melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, wanita dan keluarga bermula 3 Julai lalu.  
05 Sep 20
2851
Batalkan Hasrat Wahai Pelaku Maksiat - Skuad Cegah Dun Sura
Batalkan Hasrat Wahai Pelaku Maksiat - Skuad Cegah Dun Sura
DUNGUN, 5 September - Skuad Nahi Munkar (Skuad Cegah) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura memberi amaran keras kepada mana mana-mana individu yang berniat melakukan maksiat agar membatalkan hasrat tersebut.  Ketuanya, Mahdi Hassan berkata, pihaknya sentiasa mengadakan rondaan bagi membanteras aktiviti yang tidak bermoral daripada terus berleluasa. "Kita mendapat kerjasama baik dari Pejabat Agama Dungun untuk bergerak dan ronda disekitar kawasan bandar.  "Hampir setiap malam anggota kita akan buat rondaan di beberapa kawasan panas," katanya kepada pemberita. Menurutnya lagi, beberapa tempat yang sering menjadi tumpuan anak muda akan terus diawasi di samping akan diperluaskan lagi ke tempat lain.  "Kita dapat maklum balas yang positif daripada masyarakat. Ada yang hantar kepada  kita lokasi ‘hotspot’ supaya kita pergi pantau.  "Dalam perancangan kami juga untuk memperluaskan kawasan rondaan agar berjaya mencapai tujuan penubuhan," ujarnya.  Mahdi Hassan turut memaklumkan bahawa pihaknya ingin melihat daerah Dungun bebas daripada anasir-anasir anasir tidak sihat.  “Kami ingin menasihati kepada mereka yang datang ke Dungun agar tidak membuat sebarang masalah terutama aktiviti yang tidak bermoral kerana kami sedang mengawasi anda.  "Keluarga yang ingin bersantai juga tidak perlu bimbang lagi akan permandangan yang menggelikan kerana kita sedang berusaha ke arah zon bebas maksiat," tegasnya. 
05 Sep 20
3175
Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Tidak Dipinggirkan
Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Tidak Dipinggirkan
SETIU, 5 September - Projek pembangunan infrastruktur tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja tetapi turut dilaksanakan di sekitar luar bandar demi kesejahteraan rakyat pedalaman.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pembangunan di kawasan kampung sedang giat dijalankan termasuk usaha untuk meminimakan masalah yang ditanggung penduduk terutama pada musim tengkujuh. "Kita agihkan sedikit sebanyak biar sama rasa, semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Untuk kali ini, jalan dan longkang U di Kampung Bukit Tanah. Insya-Allah, musim banjir akan datang, masalah air bertakung kita cuba minimakan sedaya yang boleh," katanya ketika ditemui pemberita semalam. Menurutnya, sebarang pembangunan boleh dibina daripada pelbagai sumber sama ada Peruntukan Projek Kecil ADUN, Majlis Daerah, Pejabat Daerah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) malah ada ketikanya peruntukan poket  sendiri boleh dikeluarkan.  "Fungsi kami ialah merancang, mengatur dan membuat urusan bersama agensi atau jabatan terlibat agar peruntukan yang ada dapat disalurkan serta dibelanjakan sebaiknya bagi manfaat rakyat.  "Saya ibarat seorang ayah yang ada anak ramai. Tak boleh tunggu dan lihat sekadar apa yang mari sahaja. Perlu cergas bergerak ke sana ke mari, cari belanja dan peruntukan untuk keperluan anak-anak. "Naik lif, turun tangga, masuk pejabat keluar pejabat. Jumpa Menteri, KSU dan pegawai-pegawai kanan kementerian. Akhirnya biarlah ada hasil yang boleh dibawa balik kepada rakyat. "Jangan salah faham, duit pun bukan diberi kepada kita. Tapi dalam bentuk projek pembangunan melalui tatacara kewangan yang ketat," tambah beliau.
05 Sep 20
1012
Kaji Keperluan Hadkan Pengunjung Ke Perkampungan Budaya -Ariffin
Kaji Keperluan Hadkan Pengunjung Ke Perkampungan Budaya -Ariffin
KUALA NERUS, 4 September - Kerajaan Terengganu akan mengkaji keperluan untuk menghadkan jumlah kehadiran pengunjung ke Perkampungan Budaya di Muzium Negeri bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dipatuhi. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata perkara tersebut sudah berada dalam pemantauan pihaknya dan akan melakukan perbincangan pada masa yang sesuai. "Kampung budaya baru bermula semalam, kita tengok dalam tiga hari percuma ni, sejauh mana sambutan, macam mana keadaan berlaku dan Insya-Allah kita buat pelan untuk perancangan seterusnya. "Sebagaimana yang  telah dilakukan di santuari kelah oleh kerana permintaan tinggi terpaksa kita hadkan walaupun itu keuntungan yang sepatutnya kita dapat tetapi kita hadkannya. "Jadi perkara ini juga kita akan bincang, mungkin sampai masa kita akan hadkan jumlah ke kampung budaya tetapi buat masa sekarang tak boleh lagi dan kita sedang melihat perkara ini...oleh kerana baru sangat kita tengok dulu sambutan macam mana," ujarnya. Beliau berkata demikian di Majlis Penutup Festival Kebudayaan Terengganu 2020 di Warisan Sari Tok Jembal, di sini hari ini. Sementara itu, mengulas tentang pematuhan SOP di pulau-pulau peranginan, Ariffin menyerahkan kepada pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mereka juga membuat pemantauan tentang perkara ini. "Kita dah nasihat kepada mereka, untuk jangka masa panjang pelancongan Terengganu wajib mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan kami sendiri telah mengeluarkan panduan pelbagai acara kebudayaan yang dilancarkan di pulau redang dahulu. "Insya-Allah akan ada perbincangan berterusan agar perkara ini tidak berlaku lagi," ujarnya. Untuk rekod, perkampungan budaya yang dirasmikan semalam berkonsepkan muzium hidup yang menggabungkan pelbagai kebudayaan dan warisan dalam satu kawasan itu menawarkan pelbagai keunikan serta keistimewaan seni budaya sebagai salah satu daripada kluster pelancongan negeri.  
04 Sep 20
686
25 OKP Tamat Program Reward Kepulihan Penyalahgunaan Dadah
25 OKP Tamat Program Reward Kepulihan Penyalahgunaan Dadah
KUALA NERUS, 4 September - Seramai 25 orang kena pengawasan (OKP) tamat Program Reward Kepulihan Penyalahgunaan Dadah di Pulau Redang di sini hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Hulu Terengganu, Ustaz Maliaman Kassim berkata, program ini merupakan salah satu ganjaran untuk OKP yang berjaya dalam kepulihan penyalahgunaan dadah. Katanya lagi, ia turut melatih mereka untuk menjadi fasilitator kepada OKP lain dan dalam masa yang sama mengeratkan hubungan antara mereka.  “Selama tiga hari ini, mereka yang juga OKP menjalankan pelbagai aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan. “Mereka dikejutkan pada jam 5 pagi untuk bersiap solat subuh dan seterusnya kuliah Subuh serta sesi dialog bagi mereka meluahkan apa yang terbuku di hati dan aktiviti ini mendapat kerjasama sepenuhnya. “Selain itu melatih untuk menjadi seorang fasilitator dalam kalangan OKP akan menjadi ikon penggerak dalam merangka dan melaksanakan program keagamaan yang melibatkan OKP lain untuk meninggalkan tabiat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya. Beliau yang juga ADUN Ajil berkata demikian pada Program Reward Kepulihan Penyalahgunaan Dadah yang berlangsung selama 3 hari 2 malam di Pulau Redang. Pada program itu, pelbagai aktiviti diadakan seperti solat fardu berjemaah, penyampaian mesej antidadah dan aktiviti snorkeling. Tambah beliau lagi, lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan diperlukan untuk tampil membantu klien atau orang kena pengawasan (OKP) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang memerlukan sokongan di negeri ini. “Dengan bantuan dari luar seperti ini, ia bukan sahaja membantu menyuntik semangat mereka untuk berjaya dalam kepulihan tetapi juga memberi semangat kepada ahli keluarga OKP itu sendiri,” katanya.    
04 Sep 20
810
Kampung Budaya Tarikan Baharu Pelancongan Terengganu
Kampung Budaya Tarikan Baharu Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 September - Kampung Budaya Terengganu yang dilancarkan di Muzium Negeri hari ini bakal menjadi produk pelancongan terbaharu sekali gus menarik lebih ramai kunjungan pelancong ke negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkampungan berkonsepkan muzium hidup yang menggabungkan pelbagai kebudayaan dan warisan dalam satu kawasan itu menawarkan pelbagai keunikan serta keistimewaan seni budaya sebagai salah satu daripada kluster pelancongan negeri. Katanya, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mewujudkan Kampung Budaya Terengganu yang dijadikan ‘one stop centre’ dalam menghimpunkan pelbagai seni budaya warisan dari seluruh daerah Negeri Terengganu. “Ia memberikan pengalaman percutian bersejarah buat pengunjung kerana dipersembahkan dengan latar belakang serta suasana kehidupan sebenar masyarakat Melayu lama.  “Rumah-rumah asal tradisional negeri menempatkan pameran, demonstrasi dan pelbagai aktiviti kesenian dan warisan negeri yang seterusnya menjadi landasan bagi persembahan kesenian dan kebudayaan negeri,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kampung Budaya Terengganu, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab. Rasid Jusoh. Tambah Ahmad Samsuri, ia turut melambangkan identiti negeri melalui keunikan seni warisan yang terdapat di setiap daerah. Menurut beliau, sebagai sebuah produk pelancongan baharu pengoperasian Kampung Budaya ini kelak bukan sahaja menjulang kembali kegemilangan warisan seni budaya masyarakat Melayu dahulu kala, tetapi juga mengingatkan generasi akan datang akan pentingnya mengetahui asal-usul sejarah peradaban Melayu.
03 Sep 20
4046
JHEAT Buka Ruang Inovasi Baru Pelupusan Al-Quran
JHEAT Buka Ruang Inovasi Baru Pelupusan Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 3 September- Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membuka ruang kepada mana-mana institusi dan agensi di Terengganu mahupun luar bagi mengemukakan inovasi baru dalam kaedah pelupusan al-Quran. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Pnenerangan negeri, Mohd Nor Hamzah bagaimanapun berkata, pihaknya sedang membincangkan satu kaedah baru pelupusan untuk menjaga kesucian al-Quran itu sendiri, namun dalam masa yang sama dapat menjaga alam sekitar dan memberikan manfaat yang baru kepada rakyat. Mohd Nor Hamzah. "JHEAT dan agensi-agensi berkaitan sedang berbincang untuk memperkenalkan satu inovasi baharu bagaimana untuk kita gunakan mushaf al-Quran yang rosak setelah dijadikan abu untuk memberikan kebaikan kepada orang ramai. Jabatan Mufti turut bersama saya dan kami dalam peringkat perbincangan, yang pasti tujuan utama ialah untuk memperkenalkan kaedah baru pelupusan al-Quran ini. "Hari ini kita buang sahaja kiub abu al-Quran ke tengah laut untuk diuraikan, jika ada manfaat lain yang boleh digunakan tetapi tidak menjejaskan kemuliaan mushaf itu sendiri, samada dalam perbincangan ini, boleh atau tidak dikitar semula untuk dijadikan kertas-kertas baru dan apa sahaja. JHEAT sedia memberi ruang itu," katanya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Program Pelupusan Kiub Abu al-Quran Ke Laut Kali kedua di perairan Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Ketua Penolong Pesuruhjaya Nik Zulhaiza Ismail; Ketua Hakim Mahkamah Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd; Timbalan Mufti Terengganu, Ahadi Othman dan Pengarah UPDI, Mohd Soud Said.   Turut hadir daripada agensi berkaitan ialah Pengarah Jabatan Laut Wilayah Timur, Wan Endok Wan Salleh; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) Negeri Terengganu, Muhamad Khairul Ismail serta wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Alwi Ramli. Dalam program kerjasama Jabatan Laut Wilayah Timur itu, kira-kira tiga tan kiub abu al-Quran dilupuskan ke laut. Menurut Mohd Nor lagi, program pelupusan al-Quran lama dan rosak telah dimulakan JHEAT sejak tahun 2011, dengan cara berbeza. Namun, pada 2016, satu inovasi yang diperkenalkan untuk membentuk kiub-kiub debu al-Quran. "Dalam erti kata lain, JHEAT menyediakan relau, membakar sisa cebisan al-Quran yang rosak sehingga dibekukan dalam bentuk kiub dan di bawa ke laut untuk dilupuskan atas asas menghormati al-Quran dan keduanya menjaga persekitaran. "Setakat ini, kita hanya ada dua relau di ibu pejabat JHEAT, kita kalau boleh nak tambah kerana itu usaha yang baik untuk menjaga penghormatan al-Quran.  Mohd Nor bersama wakil agensi-agensi terlibat dalam program pelupusan al-Quran.  "Saya juga memohon jasa baik Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu agar dapat membekalkan JHEAT tambahan relau yang bernilai RM16,000 setiap satu, kita cadangkan satu di kawasan Besut-Setiu dan satu di Kemaman-Dungun," katanya. Jelasnya mushaf-mushaf yang terbiar dan tidak lagi digunakan sudah terlalu banyak dan usaha itu menjadi keperluan utama bagi mengelakkan mushaf yang ada di masjid dan rumah-rumah akhirnya dibiarkan menjejaskan kemuliaan al-Quran itu sendiri. "Data 2020 sahaja menunjukkan mushaf-mushaf al-Quran rosak yang dikumpulkan lebih kurang sebanyak 18,350 kilogram," tambahnya.    
03 Sep 20
1744
Terengganu Lahir 47 Usahawan U-GATES, 114 Peluang Pekerjaan Tersedia
Terengganu Lahir 47 Usahawan U-GATES, 114 Peluang Pekerjaan Tersedia
  KUALA TERENGGANU, 3 September - Kerajaan negeri berjaya melahirkan 47 usahawan muda dengan menawarkan 114 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sejak program Usahawan Graduan Terengganu Sejahtera (U-GATES) diperkenalkan dua tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, melaluinya sejumlah RM4.5 juta nilaian jualan mampu dicatatkan oleh mereka yang terlibat. Katanya, semuanya hasil bimbangan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) bersama beberapa ahli  perniagaan terkenal sebagai mentor. “Apa yang membanggakan ada di antara mereka mampu memperoleh pendapatan RM3,000 sehingga RM15,000 sebulan. “Pada masa sama mampu menawarkan dua hingga lima peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dalam pelbagai sektor. Antaranya ada yang mengusahakan, bidang makanan, asas tani, tekstil, kraf tangan, pelancongan, kesihatan, komestik, perkilangan, industri kreatif dan pembuatan,“ katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Program Graduan Usahawan Terengganu (PUGT)  di Hotel Grand Puteri, di sini petang semalam. Tambah beliau, program sama akan diteruskan dengan pengambilan 30 graduan lepasan diploma dan ijazah dalam tempoh terdekat. “Setiap graduan terpilih akan diberi latihan selama setahun dan berpeluang mengikuti kursus serta mempelajari ilmu-ilmu keusahawanan darIpada mentor di kalangan usahawan. “Selepas itu akan terus diberi bimbingan selama tiga tahun supaya benar-benar mampu berdikari untuk menjalankan perniagaan masing-masing,” katanya.  
03 Sep 20
1576