lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

'Politik Dendam Rugikan Rakyat, Negara' - Dr. Sam
'Politik Dendam Rugikan Rakyat, Negara' - Dr. Sam
KEMAMAN, 30 Mei – Kerajaan Negeri Terengganu memilih pendekatan politik matang berbanding politik balas dendam yang hanya merugikan rakyat dan negara. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, banyak contoh boleh dilihat di peringkat Malaysia apabila setiap kali pemimpin baru mentadbir, sekecil-kecil perkara membabitkan pemimpin terdahulu dikorek sehingga tiada kesudahan. “Negara kita hari-hari berhadapan dengan politik dendam yang tidak memberi makna kepada negara dan rakyat. Kita perlu membawa negara dengan cara yang berbeza,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, Kemaman, semalam. Ahmad Samsuri berkata Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk memulihkan projek terbengkalai dan meneruskan agenda pendidikan serta pembangunan modal insan. “Kita tidak menutup Imtiaz, malah kita tambah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dan jabatan pendidikan Islam lain,” katanya. “Namun begitu, pelaksanaan pembangunan bergantung kepada peruntukan yang diperoleh kerajaan negeri. Kalau peruntukan dipegang oleh pihak lain, bagaimana kita hendak melaksanakan projek? Maka, kita terpaksa ikhtiar dengan cara berbeza,” katanya. Selain itu, beliau menegaskan Bantuan Kewangan Pendidikan yang telah lama wujud di Terengganu akan diteruskan dan diperkasakan. “Dalam aspek syariah dan pentadbiran Islam, kerajaan negeri melaksanakan apa yang boleh mengikut undang-undang sedia ada dan memperkemaskan Kanun Jenayah Syariah dan Takzir. “Mana yang boleh kita buat, kita buat. Mana yang tidak boleh, kita tangguh dulu,” ujarnya.    
30 May 25
167
Belum Sempat Bergelar Mahasiswa, Irfan Kini Hanya Mampu Terbaring
Belum Sempat Bergelar Mahasiswa, Irfan Kini Hanya Mampu Terbaring
KEMAMAN, 29 Mei – Seorang anak muda dari Bukit Kuang, Kijal terpaksa melupakan seketika impiannya untuk melanjutkan pengajian di universiti apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya, sebulan sebelum tarikh pendaftaran. Menurut ibunya, Siti Zainab Mat Rozi, seorang suri rumah, anaknya Ahmad Irfan Muhammad Johar, 21 tahun, sepatutnya melanjutkan pelajaran dalam Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains Kejurulatihan) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). “Namun, kemalangan yang berlaku pada 30 Julai 2024 menyebabkan Irfan terlantar sehingga ke hari ini, sudah hampir 10 bulan. “Irfan kini hanya 70 peratus sedar, tetapi masih belum mampu bercakap atau bangun sendiri,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal ke rumahnya di RMM Bukit Kuang, semalam. Zainab berkata sebelum kejadian berlaku, anaknya sudah siapkan semua keperluan untuk masuk ke UPSI. Tapi selepas kemalangan tu, dia terus tak sedarkan diri. "Sekarang ni, cuma boleh gerak sikit-sikit dan boleh dengar percakapan kita. Namun, masih tak boleh bercakap dan tak mampu bangun," jelasnya. Sementara itu, ADUN Kijal, Datuk Razali Idris berkata pihaknya bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) RMM Bukit Kuang akan meninjau keperluan semasa keluarga terbabit bagi menyalurkan bantuan yang sesuai. "Sama-sama kita doakan agar saudara Irfan diberikan kesembuhan segera dan diberikan kekuatan untuk menjalani kehidupan setiap hari," ujarnya.  
29 May 25
118
Tangguh Guna LPG Komersial, Jangan Zalimi Rakyat - Rosol
Tangguh Guna LPG Komersial, Jangan Zalimi Rakyat - Rosol
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Kerajaan Persekutuan digesa menangguhkan serta-merta langkah mewajibkan larangan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) domestik 14 kilogram ke atas peniaga kecil yang berkuat kuasa sejak 1 Mei lalu. Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, penyusunan semula subsidi perlu dilakukan dengan cermat, komunikasi yang jelas serta disusuli insentif sokongan, bukannya secara terburu-buru. Katanya, larangan tersebut hingga memangsakan rakyat yang akan dibebani kesan domino, di mana akhirnya pengguna terpaksa menanggung beban membayar pada harga mahal akibat peningkatan kos yang dihadapi peniaga. “Saya menerima banyak aduan daripada peniaga kecil khususnya pengusaha makanan, yang tertekan dengan lonjakan kos hingga tiga kali ganda iaitu daripada sekitar RM2,600 sebulan kepada RM7,000 sebulan susulan larangan tersebut. “Tidak cukup dengan lonjakan kos, mereka juga diburu pihak berkuasa sejak tiga minggu lalu menerusi Ops Gasak, menyebabkan ramai dalam kalangan peniaga kecil ini dikompaun dan dirampas silinder LPG mereka,”katanya dalam satu kenyataan. Rosol yang juga Ketua Portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup PN berkata, keadaan bertambah buruk apabila ramai peniaga turut menjadi sasaran Ops Gasak sejak tiga minggu lalu, sehingga ada yang dikompaun dan tong gas dirampas oleh pihak berkuasa. “Saya simpati dengan nasib peniaga kecil yang bukan sahaja dibebani kos hidup tinggi, malah kini berdepan tekanan dasar yang dilaksana secara tergesa-gesa oleh kerajaan Madani, “Kesan rantaian daripada peningkatan kos ini akhirnya akan ditanggung oleh pengguna. Jangan zalimi rakyat,” katanya. Tambah beliau, kerajaan sepatutnya menyediakan terlebih dahulu insentif sokongan yang bersesuaian termasuk mempunyai pelan khusus untuk membantu meringankan bebanan kos peniaga kecil supaya pengguna akhir tidak menanggung kesan kenaikan kos mendadak.  “Rakyat  bukan saja sedang bergelut demi kelangsungan hidup ketika kerajaan Madani gagal menangani isu kos hidup rakyat, tetapi berdepan pula dengan tindakan kerajaan ketika mana SST akan diperluas bermula Jun depan, subsidi RON95 tetap dirasionalisasi pada separuh kedua tahun ini dan tarif elektrik bakal naik Julai depan,” ujarnya.
29 May 25
228
Sokong Larangan Vape, Seru Pengharaman Menyeluruh Demi Wanita dan Remaja
Sokong Larangan Vape, Seru Pengharaman Menyeluruh Demi Wanita dan Remaja
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Kerajaan Negeri Terengganu dan Perlis yang tidak lagi akan mengeluarkan lesen perniagaan bagi vape bermula Ogos 2025, sambil menggesa agar langkah pengharaman tersebut diperluaskan ke seluruh negara. Pengarahnya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, langkah tegas ini amat wajar bagi melindungi kesihatan rakyat, khususnya wanita dan remaja yang semakin terdedah kepada bahaya vape. “Peningkatan penggunaan vape dalam kalangan wanita, termasuk remaja perempuan, amat membimbangkan dan boleh memberi kesan buruk bukan sahaja dari sudut kesihatan, tetapi juga sosial dan budaya,” jelasnya ketika dihubungi semalam. Menurut Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023, seramai 0.8 peratus wanita dewasa di negara ini menggunakan rokok elektronik.  Sementara itu, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 melaporkan peningkatan ketara dalam kalangan remaja perempuan 13 hingga 17 tahun yang menggunakan vape  daripada 2.8 peratus pada tahun 2017 kepada 6.2 peratus pada 2022. “Turut menekankan bahawa kandungan nikotin dalam vape berpotensi menyebabkan ketagihan, kerengsaan paru-paru dan risiko terhadap kesihatan reproduktif wanita,” ujar beliau. Malah, pengaruh media sosial dan gaya hidup moden didapati turut menyumbang kepada normalisasi penggunaan vape dalam kalangan wanita, terutama generasi muda. Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan pihak berkuasa untuk berganding bahu menyekat penyebaran penggunaan vape melalui pendidikan dan kempen kesedaran yang berterusan. “Kita mesti pastikan generasi akan datang bebas daripada ancaman vape dan membesar dalam persekitaran ang lebih sihat,” tambah Roslina.
29 May 25
86
Penjawat Awam Kena Cakna Produk Tidak Berdaftar
Penjawat Awam Kena Cakna Produk Tidak Berdaftar
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Penjawat awam diingatkan supaya lebih cakna terhadap bahaya penggunaan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang boleh menjejaskan kesihatan. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Dr. Kasemani Embong berkata, masih ramai pengguna termasuk dalam kalangan penjawat awam yang kurang peka mengenai risiko produk sedemikian sering dijual secara dalam talian. “Kita dapati banyak produk yang tidak melalui pemeriksaan keselamatan mengandungi bahan terlarang seperti steroid, sildenafil, sibutramine dan hydroquinone yang boleh membahayakan kesihatan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Cakna Sihat Penjawat Awam di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini semalam. Menurutnya, program julung kali itu dianjurkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Mengangkat tema “Cakna Kesihatan, Tolak Ubat Tidak Sah”, karnival selama tiga hari itu bertujuan mendidik penjawat awam agar lebih prihatin terhadap amalan gaya hidup sihat dan mampu mengenal pasti produk kesihatan yang berdaftar melalui aplikasi rasmi seperti FarmaCheck NPRA dan MyHealth KKM. Antara aktiviti menarik yang disediakan sepanjang karnival termasuk Zumba, Tanggathon, pemeriksaan kesihatan umum, pendengaran dan pergigian serta pameran kesihatan. Beliau menambah, terdapat empat objektif utama program ini ialah meningkatkan kesedaran penjawat awam mengenai bahaya produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi. ”Mendorong amalan gaya hidup sihat untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental serta mempromosikan penggunaan aplikasi FarmaCheck untuk mengenal pasti status pendaftaran produk. ”Menyebarluaskan Kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) dalam kalangan penjawat awam,” tambah beliau. Selain itu, katanya, penjagaan kesihatan dalam kalangan penjawat awam sangat penting kerana mereka merupakan tulang belakang kepada penyampaian perkhidmatan awam negeri. Justeru itu, beliau berharap program ini dapat memberi impak positif dan akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan ke arah penjawat awam yang sihat dan produktif.    
29 May 25
38
'Mat Saleh' Puji Pengalaman Unik Candat Sotong di Terengganu
'Mat Saleh' Puji Pengalaman Unik Candat Sotong di Terengganu
MARANG, 28 Mei – Program candat sotong yang dianjurkan sempena Sail Malaysia: Passage to the East 2025 Yacht Rally berjaya menarik perhatian pelancong antarabangsa, terutamanya dari Jerman yang terkenal dengan minat mendalam terhadap budaya dan aktiviti tempatan. Prof Khaled Karrai, pesara pensyarah dari University of Munich, berkongsi keterujaannya ketika mengikuti aktiviti candat sotong di perairan Marang. “Ini pengalaman yang sangat unik. Saya tidak pernah cuba candat sotong secara langsung dan kemudian makan hasil tangkapan di atas bot.  "Ia sangat berbeza dan menyeronokkan dan saya tidak pernah merasai pengalaman ini di tempat lain," katanya kepada pemberita ketika program berkenaan. Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris. Razali berkata program tersebut amat penting untuk mempromosikan pelancongan laut Terengganu sebagai tarikan utama, terutama kepada pelancong luar negara. “Sail Malaysia 2025 bukan sahaja menunjukkan keindahan alam semula jadi negeri ini, tetapi juga memperkenalkan budaya tempatan seperti candat sotong.  "Saya berharap program sebegini dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk nelayan di Marang melalui pelancongan berasaskan pengalaman dan budaya," katanya. Seorang doktor bidang kejuruteraan mekanikal dari Jerman, Dr Frank turut melahirkan rasa kagum dengan keindahan laut Terengganu dan pengalaman candat sotong. “Pengalaman ini membuka mata saya tentang keunikan budaya dan pelancongan di Malaysia, terutama di Terengganu.  "Ia sangat berharga dan berbeza daripada apa yang saya pernah alami sebelum ini,” ujarnya.  
28 May 25
4221
YPU Tawar Peluang Bantu Pengusaha Vape Beralih Angin
YPU Tawar Peluang Bantu Pengusaha Vape Beralih Angin
KEMAMAN, 28 Mei - Bagi menyokong usaha kerajaan negeri mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape secara terbuka, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menawarkan peluang kepada pengusaha-pengusaha vape yang ingin beralih mengusahakan perniagaan lain. Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Afnida Aini Alwi berkata, yayasan tersebut sebagai badan yang membantu usahawan ada menyediakan pelbagai kemudahan bagi menyokong usaha mereka 'beralih angin'. "Jadi, kepada pengusaha vape yang berminat, kita minta mereka kalau boleh daftar dahulu sebagai ahli YPU, dari situ kita akan salurkan informasi dan mereka boleh hadir mengikuti kursus berkaitan. "Kita ada menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah. Tempohnya juga agak lama dan kita sediakan antara RM7,000 hingga RM50,000 bergantung kepada jenis dan saiz perniagaan. "Walaubagaimanapun, kalau mereka memerlukan pinjaman yang lebih besar, kita akan membantu menyalurkan mereka membuat pinjaman dengan agensi-agensi lain yang menyediakan kemudahan sama dengan nilai lebih tinggi," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu hadir dalam program Sembang Usahawan di Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), semalam. Majlis yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Dato' Ariffin Deraman itu dihadiri lebih 100 usahawan daerah Kemaman dan melibatkan komunikasi dua hala bersama sekitar 16 agensi negeri dan persekutuan. Afnida menjelaskan, YPU turut diperkasakan dengan jawatankuasa dinamakan Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) yang melibatkan kira-kira 40 agensi keusahawanan di dalamnya yang boleh dimanfaatkan bagi membantu usahawan negeri itu. "Sebab itu kita minta mereka datang ke YPU dan menyertai kursus yang ditawarkan, supaya mereka nampak ke arah mana untuk ubah perniagaan sama ada industri makanan dan minuman atau pakaian dan sebagainya. "(Tawaran) ini terbuka kepada semua usahawan, janji rakyat Terengganu dan lebih baik yang berdaftar sebagai ahli YPU," jelasnya.  
28 May 25
102
87 Pelajar Cemerlang Naik Pentas Bersama Ibu Bapa di Kijal
87 Pelajar Cemerlang Naik Pentas Bersama Ibu Bapa di Kijal
KEMAMAN, 28 Mei – Seramai 87 orang pelajar cemerlang dari seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal diraikan dalam Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diadakan di Dewan Ibnu Sina, UC TATI, semalam. ADUN Kijal, Datuk Razali Idris berkata, pelajar yang mendapat 6A dan ke atas dalam peperiksaan SPM 2024 telah naik ke pentas bersama ibu bapa masing-masing sebagai tanda penghargaan atas usaha dan sokongan yang telah diberikan. Katanya, kejayaan itu bukan sahaja hasil usaha pelajar, tetapi juga berkat doa dan sokongan ibu bapa serta guru-guru. "Majlis ini kita buat khas untuk beri penghargaan kepada anak-anak Kijal yang telah berusaha gigih. "Kita juga nak hargai ibu bapa yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan anak-anak,” katanya dalam ucapan perasmian bertempat di Dewan Ibnu Sina, UC TATI semalam. Turut hadir, Rektor University College TATI (UC TATI), Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid serta wakil daripada Yayasan Terengganu (YT) dan Yayasan Pendidikan MAIDAM yang memberi taklimat mengenai bantuan pengajian dan peluang sambung belajar kepada para pelajar. Razali berharap kejayaan 87 pelajar tersebut dapat menjadi contoh kepada adik-adik lain di Kijal agar terus berusaha dalam bidang pendidikan. "Setiap pelajar menerima sijil penghargaan dan sumbangan khas sebagai motivasi untuk terus berjaya dalam pelajaran. "Anak-anak muda ini harapan masa depan. Kita mahu mereka terus berjaya dan bantu keluarga serta masyarakat satu hari nanti,” ujarnya.  
28 May 25
92
Terengganu, ACWA Meterai Perjanjian Bangunkan Solar Terapung Terbesar
Terengganu, ACWA Meterai Perjanjian Bangunkan Solar Terapung Terbesar
Oleh : Daing Siti Norbaity Abd Latif KUALA LUMPUR, 28 Mei – Kerajaan Negeri melalui Konsortium Terengganu Inc - TNB Power Generation Sdn. Bhd (TNB GENCO) dan ACWA Power yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi memeterai perjanjian pembangunan bersama bagi projek solar terapung berskala besar di Tasik Kenyir, dengan kapasiti 1GW. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek Solar Fotovoltaik Terapung (FPV) itu bakal menjadi yang terbesar di Malaysia dan membuka peluang baharu dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pekerjaan serta pelaburan. “Projek ini adalah selaras dengan aspirasi Terengganu untuk mencapai 35 peratus Tenaga Boleh Baharu menjelang 2025.  “Doakan agar projek dan usaha sama ini berjalan lancar serta berjaya mencapai objektifnya,”ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Perjanjian tersebut ditandatangani sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) semalam dan menjadikan projek itu juga antara yang terbesar di Asia Tenggara. Majlis pertukaran dokumen Heads of Terms (HoT) Joint Development Agreement (JDA) disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri  Fadillah Yusof dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz. Turut hadir ialah Timbalan Menteri bagi Hal Ehwal Antarabangsa, Kementerian Pelaburan Arab Saudi, Sara Al Sayed dan Timbalan Menteri Luar bagi Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan Arab Saudi, Abdullah Zarah.  Perjanjian tersebut bukan sahaja membangunkan tenaga bersih melalui teknologi Floating Photovoltaic (FPV), malah memanfaatkan kelebihan seperti pengurangan penyejatan air dan penggunaan tanah yang lebih cekap. Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed, juga menyifatkan perjanjian ini sebagai pencapaian penting dalam perjalanan tenaga boleh diperbaharui negara. “Dengan kapasiti minimum 1GW, pemasangan solar terapung ini akan menyumbang secara besar kepada sasaran TBB Malaysia sambil mempamerkan penyelesaian tenaga bersih yang inovatif. “Kerjasama tiga hala ini bakal memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai hab serantau teknologi solar terapung, serta menyumbang kepada sasaran net-zero menjelang 2050,” ujar beliau. Tambahnya, secara tidak langsung kerjasama tersebut membuktikan Terengganu bukan hanya bertumpu kepada sumber petroleum semata-mata, malah bersedia menerajui transformasi hijau negara dan rantau ini.
28 May 25
1195
EPIC Berhad Dinobat Tujuh Terbaik Anugerah Syarikat Harmoni
EPIC Berhad Dinobat Tujuh Terbaik Anugerah Syarikat Harmoni
KUALA TERENGGANU, 28 Mei – Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad mencatatkan pencapaian cemerlang apabila diumumkan sebagai salah satu pemenang Top 7 Anugerah Syarikat Harmoni 2025 daripada 103 penyertaan. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan ini dan menzahirkan agar EPIC terus maju dan cemerlang dalam memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan dan negara. "Anugerah ini bertujuan mengiktiraf syarikat-syarikat di Malaysia cemerlang dalam mengamalkan hubungan industri yang harmoni, adil dan produktif. "Anugerah ini menekankan nilai-nilai seperti kerjasama antara majikan dan pekerja, pematuhan undang-undang buruh, serta usaha membina persekitaran kerja yang sejahtera dan inklusif," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam laman sosialnya pada semalam. Menurutnya, daripada 103 penyertaan, hanya 21 syarikat terpilih sebagai finalis, dengan EPIC Berhad berjaya mara ke peringkat Top 7. "Anugerah ini berperanan sebagai platform untuk menggalakkan amalan terbaik dalam pengurusan sumber manusia dan hubungan industri, serta menyokong pembangunan tenaga kerja yang mampan di Malaysia," ujarnya. Justeru itu, beliau juga menyeru semua pihak agar sentiasa mengutamakan nilai kerjasama, integriti dan keharmonian dalam melaksanakan amanah masing-masing dan terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara. Sementara itu, EPIC Berhad, yang menawarkan perkhidmatan dalam bidang Oil & Gas Supply & Support Base, Commercial Port Management, Marine Engineering & Services, Engineering & Maintenance Services, serta Renewable Energy & Green Technology, mempunyai 11 anak syarikat di bawah naungannya. “Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin untuk kita terus berbakti dan memberi khidmat yang terbaik kepada semua, insya-Allah,” kata Muhtar.
28 May 25
93