lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Pengayuh Beca, Duta Kecil Pelancongan Terengganu
Pengayuh Beca, Duta Kecil Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 September- Kerajaan negeri dengan kerjasama Tourism Malaysia Wilayah Timur berhasrat meluaskan usaha mempromosi pelancongan Terengganu melalui pengiktirafan pengusaha-pengusaha beca di sekitar Kuala Terengganu sebagai duta kecil dalam usaha membantu industri tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman menyatakan, jika mengambil kira faktor kemasukan pelancong ke dalam negeri, pengangkutan beca sebenarnya boleh jadi sumber pendapatan baru kepada generasi muda jika dilaksanakan dengan kaedah terbaik. Ariffin dan Hafiz menyampaikan baju Tourism Malaysia kepada salah seorang pengusaha beca. "Pada masa ini, kita ada seramai 48 pengusaha beca berdaftar dan sekitar 20 orang yang masih aktif. Sebenarnya, berikutan faktor umur rata-rata yang ada memang dalam usia 60-an ke atas dan ada yang telah meninggal dunia. "Insya-Allah, kita akan bincang untuk naik taraf beca ke arah lebih baik, namun mengekalkan keunikannya yang ada," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pakaian kepada Pengayuh Beca Kuala Terengganu di Pasar Payang 2, hari ini. Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin berserta wakil-wakil pengusaha hotel dan pelancongan negeri. Tambahnya, kerajaan negeri juga pernah merangka usaha untuk menempatkan beca di Tasman Tamadun Islam serta mewujudkan laluan khas untuk pengunjung menikmati pengalaman menaiki beca. "Semua ini dalam perancangan. Setakat ini, laluan beca adalah di Pasar Payang dan sekitar bandar sahaja. "Sebenarnya, inisiatif terutama sekali dari segi inovasi telah dilakukan dan di Jabatan Pelancongan Negeri kta sudah ada beberapa basikal elektrik, tetapi generasi lama tak sesuai dengannya dan kebanyakan mereka lebih suka kepada konsep asal yang ada," katanya. Ariffin melihat keadaan beca-beca di Pasar Payang.      
08 Sep 20
864
Daging Penyu Boleh Jadi Punca Penyakit Kronik
Daging Penyu Boleh Jadi Punca Penyakit Kronik
  KUALA NERUS, 8 September – Amalan pemakanan berkaitan daging penyu perlu dihentikan kerana ia  boleh menjadi punca terjadinya penyakit kronik yang menyebabkan kematian. Pensyarah Biologi Marin Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Muhammad Hafiz Borkhanuddin berkata  penyu  mempunyai kandungan logam berat yang tinggi.  Tambahnya, kadar logam berat yang diukur dalam tisu penyu melebihi standard keselamatan makanan antarabangsa dan boleh mengakibatkan kesan toksik termasuk penyakit ginjal, barah hati dan kesan perkembangan pada janin dan kanak-kanak. “Daging penyu juga mempunyai bakteria, parasit, biotoksin, dan tempat pengumpulan bakteria yang terhasil daripada pencemaran alam sekitar.  “Dari perspektif parasitologi, terdapat banyak laporan yang merekodkan kehadiran telur dan cacing parasit pada penyu seperti cacing trematoda. Parasit-trematoda dewasa dijumpai terutamanya di jantung, manakala telur trematoda boleh dijumpai di pelbagai organ termasuk otak, jantung, hati, paru-paru, limpa, ginjal, kulit, perut dan usus,”  ujarnya  dalam satu kenyataan baru-baru ini. Beliau juga berkata satu kajian yang dijalankan ke atas penduduk orang Asli di Australia telah menjumpai telur cacing ini di dalam najis kanak-kanak masyarakat tersebut. “Ini sekaligus menunjukkan risiko jangkitan akibat pemakanan daging penyu memang berlaku, seterusnya memberi indikasi bahawa cacing dewasa mampu membiak di dalam badan kanak-kanak terbabit,”katanya lagi. Tambah Muhammad Hafiz, antara kesan kesihatan yang dilaporkan dari memakan penyu laut atau telurnya yang dijangkiti pathogen zoonotik termasuklah cirit-birit, muntah, dan dehidrasi yang melampau, yang boleh mendatangkan kematian.  “Asasnya, pengambilan telur dan daging penyu jelas mendatangkan kesan negative terhadap kesihatan manusia. Terdapat juga saranan dimana wanita dan kanak-kanak khususnya mengalami kesan yang lebih teruk berbanding lelaki.  “Oleh yang demikian, aktiviti pengambilan daging dan telur penyu hendaklah dihentikan bagi mengurangkan kesan kesihatan kepada manusia, disamping keperluan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat umum mengenai perkara ini,” jelas beliau. Selain itu, bagi mereka yang beragama Islam, larangan memakan daging penyu telah dikeluarkan oleh pejabat mufti wilayah persekutuan  kerana haiwan itu merupakan kumpulan haiwan dua alam sepertimana katak, buaya dan lain-lain.  
08 Sep 20
1329
Perbanyakkan Aktiviti Keagamaan Sebagai Medium Penyatuan Belia
Perbanyakkan Aktiviti Keagamaan Sebagai Medium Penyatuan Belia
HULU TERENGGANU, 8 September - Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu UKM ( PERMATA ) disarankan memperbanyakkan aktiviti keagamaan bagi membantu mempertingkatkan perpaduan di kalangan masyarakat setempat khasnya melibatkan golongan belia. Bapa Angkat PERMATA yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata saluran terbaik untuk memupuk hubungan baik dan semangat kerjasama adalah melalui aktiviti-aktiviti bercorak keagamaan. Menurutnya, program-program keagamaan amat penting sekali melibatkan golongan belia kerana cabaran sosial hari ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh masyarakat. "Kita lihat sahaja golongan belia kita yang mudah terpengaruh oleh maklumat dan pengaruh media sosial yang disebarkan oleh pihak yang sengaja mahu memesongkan akidah belia-belia Islam kita. "Belia perlu merebut peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan untuk meningkatkan potensi diri, membina kepimpinan serta akhlak mulia," katanya ketika meraikan kunjungan persatuan tersebut di kediamannya dekat sini. Maliaman juga  berkata belia perlu bersikap positif, berfikiran rasional serta bijak menilai agar tidak terjebak dalam kegiatan yang boleh merosakkan masa depan. Tambah beliau lagi, ada tiga teras utama jika sesuatu program itu ingin dijalankan iaitu keagamaan, pendidikan dan kebajikan membabitkan belia dan masyarakat setempat tanpa mengira peringkat umur. “Sebagai pelajar yang ingin mengadakan program bersifat komuniti perlu membuat persediaan rapi terutama mempunyai ilmu pengetahuan agama dan akademik untuk memberi bimbingan kepada golongan yang memerlukan,”katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, antara program yang boleh dilakukan bersama penduduk setempat terutama belia ialah mengadakan program bimbingan solat, membaca al-Quran, sesi akademik bersama kanak-kanak dan aktiviti komuniti seperti sukan. “ Oleh yang demikian, amat penting sekali program-program keagamaan dianjurkan lebih banyak lagi dengan melibatkan golongan belia dan masyarakat,” tambah beliau.
08 Sep 20
1646
JHEAT Siasat Penyebaran Fahaman Liberal
JHEAT Siasat Penyebaran Fahaman Liberal
KUALA TERENGGANU, 7 September - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sedang giat menyiasat dan memantau aktiviti pihak tertentu yang disyaki menyebarkan fahaman liberal di negeri ini.   Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad menegaskan bahawa pihaknya mengenalpasti satu kes di Terengganu berkaitan dengan penyebaran fahaman tersebut.   "Kita menyiasat kes seperti berikut dengan kerjasama dan kepakaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya ia dapat ditangani dengan segera.   "Maklumat diperoleh melalui siasatan tertentu mendapati taktik golongan ini lebih cerdik dan licik dalam menggunakan kitab-kitab berkaitan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan tidak memaparkan fahaman batiniyah.   “Mereka turut mengelak siasatan dengan tidak hadir program yang dianjurkan, kerjasama JHEAT bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengawasi ancaman serius ini," katanya.   Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Hafl El-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM 2019 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini hari ini.   Mengulas lanjut, beliau berkata hasil kerjasama dengan penyelidikan JAKIM pihaknya berjaya membongkar maklumat tentang penyebar atau 'tenaga pengajar' fahaman tersebut di Terengganu.   "Kita turut mengawasi penularan liberal di media sosial," jelasnya.   Susulan itu, Mat Azmi memaklumkan, langkah pendidikan terhadap masyarakat untuk mengatasi masalah penyebaran fahaman liberal di Terengganu secara bersepadu akan dilakukan.   “Dengan Kerjasama JAKIM, Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Institut Pengajian Tinggi, kita merancang satu garis panduan sebagai langkah pendidikan masyarakat setempat tentang isu fahaman liberal.   “Pendekatan pendidikan bagi pelajar-pelajar turut dirancang sebagai latihan menghadapi masyarakat. Buat masa sekarang modul tersebut sedang dalam proses kertas konsep dan akan dilaksanakan di sekolah-sekolah negeri," tambah beliau.  
07 Sep 20
1074
Kerja Awal Bagi Mewujudkan IPT Islam Terengganu Sedang Berjalan
Kerja Awal Bagi Mewujudkan IPT Islam Terengganu Sedang Berjalan
KUALA TERENGGANU, 8 September – Kerajaan negeri sedang giat melaksanakan kerja-kerja awal bagi merealisasikan hasrat untuk mewujudkan institusi pengajian tinggi agama di negeri ini seperti Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KuSZA) sebelumnya. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju (MMKN) untuk mengangkat Kolej Al-Quran Terengganu sebagai ‘feeder’ untuk dijadikan sebuah institusi baharu sebagaimana yang dijanjikan di dalam manifesto. "Daripada keputusan MMKN juga, lokasi akan terletak di daerah Dungun, berdekatan dengan Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu seluas kira-kira 300 ekar untuk pembangunan. "Kerajaan negeri melalui sidang bajet telah meluluskan bajet RM6 juta untuk kerja awal ini," katanya Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Hafl El-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM 2019 Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Tahun 2020 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini semalam. Untuk rekod, KuSZA merupakan sebuah institusi pengajian tinggi Islam milik kerajaan negeri yang berprestij. Ia telah dibubarkan pada 2006 bagi memberi laluan ke arah kewujudan Universiti Darul Iman yang kemudiannya dinamakan sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin.  Terengganu merupakan negeri terawal yang mempunyai institusi seperti KuSZA yang berperanan sebagai hab pendidikan Islam antarabangsa di negeri ini.
07 Sep 20
469
200 Sukarelawan Syariah Kuala Terengganu Bantu Cegah Maksiat
200 Sukarelawan Syariah Kuala Terengganu Bantu Cegah Maksiat
KUALA TERENGGANU, 7 September - Kerajaan negeri mengalu-alukan penglibatan seramai kira-kira 200 orang sukarelawan syariah bagi daerah Kuala Terengganu yang akan bertugas membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membanteras maksiat di seluruh negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO (badan bukan kerajaan) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pertambahan tersebut sangat membantu tugas mencegah kemungkaran yang menjadi tanggungjawab semua umat Islam. "Sebelum ini bahagian penguatkuasa di bawah Pejabat Hal Ehwal Agama Kuala Tengganu hanya mempunyai seramai tujuh orang anggota penguatkuasa sahaja. Jadi sudah tentu tenaga tersebut tidak cukup untuk menjaga daerah Kuala Terengganu yang penduduknya berjumlah lebih 150,000 orang. "Kerana itu alhamdulillah, dengan inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri yang membuka peluang kepada mana-mana rakyat Terengganu atau NGO untuk turut serta dalam sukarelawan ini, rakyat kita lebih prihatin terhadap orang sekeliling. "Untuk kawasan Kuala Terengganu, saya difahamkan kita mempunyai seramai 200 orang sukarelawan syariah yang akan bertindak membantu JHEAT bagi membanteras maksiat yang mungkin akan berlaku. Terima kasih kepada semua yang mendaftar sebagai sukarelawan syariah. "Insya-Allah semoga usaha mulia ini dapat menjaga keharmonian dan juga keberkatan rakyat Terengganu khususnya di daerah ini," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini. Turut hadir dalam program tersebut, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said, Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Adnan Abdullah dan Pegawai Syariah Daerah Kuala Terengganu, Syukri Faiz Jusoh. Dalam perkembangan sama, mengulas mengenai ruang lingkup tugas sukarelawan syariah, katanya, dalam rondaan yang bakal dilakukan, mereka akan mendapatkan nasihat daripada penguatkuasa JHEAT tentang ilmu dan kaedah mendekati sasaran supaya tidak memberikan mudarat. "Kita akan membuat rondaan ke tempat-tempat yang biasa menjadi tumpuan muda-mudi atau sesiapa sahaja yang berkemungkinan melakukan gejala negatif. Pendekatan sukarelawan syariah yang kita gunakan adalah memberikan nasihat dan teguran. "Sekiranya perbuatan tersebut memerlukan kepada tangkapan atau serbuan, kita akan terlebih dahulu mendapatkan bantuan daripada penguatkuasa yang bertauliah," jelasnya.
07 Sep 20
2066
SATU Agih 100,000 Liter Air Bersih Sehari Ke Selangor
SATU Agih 100,000 Liter Air Bersih Sehari Ke Selangor
  KUALA TERENGGANU, 10 September - Syarikat Air Terengganu (SATU) mengagihkan 100,000 liter air bersih atau dengan muatan 20 trip sehari bagi meringankan beban penduduk di sekitar Lembah Kelang, Selangor yang terjejas akibat krisis air. Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, sebuah lori tangki dengan dua pemandu itu ditugaskan menghantar bekalan air di sekitar Klang sejak hari kedua krisis air di negeri itu dan dijangka berterusan sehingga minggu depan. "Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ada pusat penyelarasannya dan mereka akan membahagikan kawasan penghantaran air dan bagi SATU, kita ditugaskan di sebahagian kawasan Klang. “Bantuan ini sebenarnya selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) antara operator dan permintaan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), maknanya jika berlaku krisis air antara negeri, kita akan turun membantu. “Semasa kita berdepan dengan krisis air pada tahun 2018, mereka juga datang bantu dalam pengagihan air bersih di kawasan yang terjejas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini. Gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang bermula sejak Khamis lalu apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah. Dalam perkembangan sama, Ir Atemin berkata, selain di Selangor, SATU juga melakukan misi yang sama, dengan menghantar lori tangki dengan kapasiti 5,000 liter ke Machang, Kelantan sejak 29 Ogos lalu hingga semalam    
07 Sep 20
863
'Saya Bagaikan Mati Hidup Semula'
'Saya Bagaikan Mati Hidup Semula'
  Oleh: Azhar Yusof HULU TERENGGANU, 5 September- “ Bagai mati hidup semula…tiada kata yang dapat digambarkan perasaan ketika dibebaskan dari penjara. Saya sedar, kasih sayang Allah terlalu agung untuk saya kenang, betapa Dia masih memberi peluang untuk saya,” demikian luahan Ahmad ( bukan nama sebenar). Ahmad adalah di antara 13 banduan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mengurniakan pembebasan awal kepada mereka sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada tahun ini. Mengimbas kembali detik pembebasannya, Ahmad berkata, pada 16 Ogos lalu, dia dipanggil oleh pegawai penjara untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan diminta membaca sepucuk surat. “ Saya membaca satu persatu baris ayat di surat itu, sehinggalah pada baris terakhir yang menyatakan rayuannya diperkenankan. Apabila tiba pada ayat ‘diperkenankan’ bagi rayuan kali kelima, saya gagal teruskan bacaan dan pegawai meminta saya melakukan sujud syukur. “Sampai sekarang, saya masih tak percaya, ibarat mati hidup semula. Tetapi saya bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang amat besar ini dan saya berterima kasih yang tidak terhingga kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memberi saya peluang keemasan ini,” ,” katanya, sambil menambah saat itu beliau bagaikan tiada keupayaan lagi untuk berdiri kerana terlalu terkejut. Ahmad kelahiran Hulu Terengganu menjalani hukuman penjara sepanjang hayat di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas dakwaan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Ma'unah pada 2000. Ahmad telah dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh seketika pada tahun 2000 sebelum ke Penjara Kajang selama lapan tahun, kemudiannya dipindahkan ke Penjara Marang selama 12 tahun, sejak 2008, dan akhirnya ada 17 Ogos lepas, beliau dibebaskan. Menurut Ahmad, dia merasai pelbagai pengalaman dan cabaran sepanjang dipenjarakan dari Penjara Sungai Buloh, Penjara Kajang, sehingga ke Penjara Marang. “Banyak susah dan pahit yang saya rasai semasa dipenjara selama 20 tahun ini. Ia benar-benar mengajar saya tentang erti kehidupan. Tak mungkin saya mahu kembali lagi setelah apa yang telah dilalui,”ujarnya lagi. Selain itu, beliau juga akan tetap meneruskan rutin membaca al-Quran seperti di penjara kerana itu amalan yang memberi ketenangan kepadanya. "Rutin harian saya membaca al-Quran pada setiap hari, paling kurang dua kali sebulan mesti khatam. Saya akan cuba bahagikan masa untuk meneruskan amalan harian saya dipenjara itu seperti biasa,selain puasa sunat isnin dan khamis. “Cukuplah apa yang sudah berlaku. Saya sekarang mahu mencari ketenangan bersama keluarga dan masyarakat. Saya bersyukur kerana masih diterima dan disayangi keluarga,” katanya yang juga mahir membuat perabot ketika di penjara. Ketika ditanya apakah yang akan dilakukan dalam masa terdekat, Ahmad berkata, beliau berhasrat menceburi bidang penternakan. "Saya berminat untuk menternak lembu dan ingin memulakannya dengan menternak dua ekor lembu terlebih dahulu," katanya ketika ditemui selepas diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Maliaman Kassim hari ini. Sementara itu, Maliaman berkata, pengalaman Ahmad ketika menjalani tahanan di penjara boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat terutama golongan muda. "Saya merancang mengumpul remaja dan pemuda yang pernah terbabit dengan masalah sosial termasuk jenayah dan penyalahgunaan dadah untuk mendengar perkongsian pengalaman yang pernah dilalui Ahmad. "Semoga perkongsian daripada Ahmad itu akan menjadi pengajaran dan peringatan kepada golongan muda itu supaya sentiasa patuh kepada undang-undang," katanya. Menurutnya, pihaknya juga akan mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh diberikan untuk membantu Ahmad dalam memulakan kehidupan yang baru. “Insya Allah kita akan cuba bantu dengan memberikan lembu untuk Ahmad yang berhasrat untuk membabitkan diri dalam bidang penternakan,”katanya.
07 Sep 20
2449
100 Fakir Miskin Pulau Redang Terima Sumbangan
100 Fakir Miskin Pulau Redang Terima Sumbangan
SETIU, 7 September - Lebih 100 orang fakir miskin yang tinggal di Pulau Redang menerima sumbangan daripada kerajaan negeri dalam satu program yang berlangsung di Balairaya Kampung Baru, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa. Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memanjat kesyukuran atas kejayaan penganjuran program tersebut dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakannya. Katanya, di bawah portfolio beliau, pihaknya akan memastikan kebajikan penduduk di Pulau Redang diberikan perhatian sewajarnya. "Alhamdulillah, hari ini saya dapat bersama-sama penduduk di Pulau Redang untuk menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri Terengganu. "Insya-Allah, kita akan membantu mereka bukan sahaja dalam menghadapi kesusahan atau bala bencana, bahkan kami berhasrat melihat lebih daripada itu dalam memastikan anak-anak mereka juga menerima pendidikan yang baik dan dapat melanjutkan pelajaran di dalam atau di luar negara," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan program kebajikan yang bertemakan 'Terengganu Prihatin, Redang Sejahtera' di Pulau terbabit baru-baru ini. Turut hadir, Penolong Setiausaha Kerajaan, Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Mohd Shahrir Ghani, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Ustaz Mohd Shafizi Ismail. Dalam program tersebut, kerajaan negeri telah menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai dan sekampit beras kepada lebih 100 orang fakir miskin serta mengadakan jamuan rakyat kepada seluruh penduduk di sana. Taklimat dan sesi dialog antara pihak Tabung Darul Iman (TDI), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) turut dijalankan bagi memastikan rakyat mendapat info yang terkini. Manakala, melalui kerjasama dengan Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT) mengadakan kuliah maghrib yang berlangsung di Masjid Kampung Baru.  
07 Sep 20
337
Hadiah Untuk Nelayan, 16 Tukun Akan Dilabuhkan Hujung Bulan Ini
Hadiah Untuk Nelayan, 16 Tukun Akan Dilabuhkan Hujung Bulan Ini
KUALA TERENGGANU , 7 September – Kerajaan Terengganu akan melabuhkan 16 tukun lagi pada hujung bulan ini bagi membantu memperkayakan sumber hasil laut di negeri terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tukun konkrit seberat kira-kira 16 tan bagi setiap unit itu sudah siap dibina di Pulau Kambing di sini. "Insya-Allah program labuh tukun akan dilaksanakan pada akhir September ini di Perairan Benting Lintang, Besut dan Perairan Kuala Ibai, Kuala Terengganu. "Untuk tahun ini, sebanyak RM500 ribu diperuntukan bagi program tukun melibatkan RM300 ribu peruntukan kerajaan negeri manakala bakinya daripada Kerajaan Persekutuan.  "Kerajaan Negeri terus komited menyalurkan peruntukan bagi memperkayakan lagi sumber hasil laut kita. Di samping berfungsi sebagai rumah ikan, tukun seberat 16 tan ini juga akan menjadi penampan bagi kegiatan pukat tunda,’’ ujarnya. Beliau berkata demikian selepas melakukan Lawatan ke Tapak Bina Tukun di Pulau Kambing dan Program Pemantauan Unjam di Kuala Ibai, di sini, hari ini.    Sementara itu, beliau turut turun melihat dan memantau keberkesanan unjam yang telah dilabukan di Kuala Ibai bersama Jabatan Perikanan sebelum ini. "Setelah dua minggu berlalu tempoh masa unjam dilabuhkan di Perairan Chendering, kita buat pemantauan dan ujian untuk mengenalpasti kewujudan spesis ikan yang mula menghuni unjam tersebut. "Pemantauan ini penting bagi melihat sejauh mana keberkesanan program labuh unjam dalam meningkatkan hasil tangkapan nelayan," katanya lagi.
07 Sep 20
3344