Artikel "Utama" Terkini
Pulau Bidong Lokasi Pelancongan Bersejarah
SETIU, 9 September - KerajaanTerengganu komited untuk memulihara dan membangunkan Pulau Bidong sebagai lokasi pelancongan bersejarah di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklukmat negeri, Ariffin Deraman berkata, Pusat Informasi Maklumat (TIC) berkait dengan pulau itu juga akan dibina sebagai tarikan tambahan kepada pelancong.
Katanya, beberapa kerosakan infrastruktur di pulau terbabit pula akan dibaik pulih dalam masa terdekat.
"Kemudahan seperti jeti, laluan pejalan kaki dan menjaga kebersihan di sekitar pulau itu demi keselesaan pengunjung.
"Kita juga melihat jeti ini adalah jeti yang terbaik antara pulau-pulau yang terdapat di Terengganu, namun terdapat sedikit hakisan berhampiran jeti yang membimbangkan," ujarnya semasa melakukan lawatan ke Pulau Bidong baru-baru ini.
Hadir sama dalam lawatan itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah.
Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini Pulau Bidong masih lagi terpelihara termasuk memiliki coral-coral yang menarik.
"Pulau ini juga sesuai untuk ‘daytrippers’ yang datang ke sini walaupun sebahagian mereka pergi ke Pulau Kapas, Pulau Redang tetapi kalau pihak kami akan menyediakan infrastruktur yang secukupnya.
"Kami yakin dengan kedatangan pelancong ia akan menghidupkan lagi suasana Pulau Bidong," jelasnya.
Dalam kunjungan tersebut, Ariffin turut melawat ladang ternakan batu karang yang diusahakan Yayasan Coral Malaysia, kawasan perkuburan Vietnam, Pantai Pasir Tenggara dan monumen peringatan orang Vietnam.
09 Sep 20
359
Sukarelawan Syariah Kuala Nerus Tumpu Kawasan Panas
KUALA NERUS, 9 September - Kawasan pesisir pantai di daerah ini yang kerap menjadi sasaran segelintir individu untuk melakukan perbuatan tidak bermoral akan diberi tumpuan oleh skuad sukarelawan syariah Kuala Nerus dalam usaha membanteras perbuatan maksiat di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal Dr Alias Razak berkata, antara yang menjadi lokasi panas adalah kawasan Pantai Hulu Takir, yang terletak di sepanjang laluan menghala ke jambatan angkat (drawbridge).
Katanya, seramai 120 anggota sukarelawan dilantik sentiasa bersedia membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melaporkan sebarang kesalahan di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah yang berlaku di daerah ini.
“Sukarelawan syariah adalah orang awam yang dilantik oleh kerajaan negeri diletakkan dibawah pemantauan JHEAT, tidak diberi kuasa menangkap dan menyiasat oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Bagaimanapun mereka ini sedia tampil memberi maklumat dan bersedia untuk bekerjasama dan menjadi saksi dalam sesuatu kes terutamanya melibatkan kes jenayah syariah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah Daerah Kuala Nerus anjuran Bahagian Penguatkuasaan JHEAT di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) JHEAT, Zulkefli Othman, Penolong Kanan Pesuruhjaya (Pencegahan) JHEAT, Kamal Bin Mamat dan Ketua Sukarelawan Syariah Kuala Nerus, Harun Salleh.
Katanya, inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri itu telah membuka peluang kepada mana-mana rakyat Terengganu atau NGO untuk turut serta membantu JHEAT mendidik dan memberi kefahaman kepada orang ramai akan kesalahan syariah yang berkuatkuasa di negeri ini.
“Dengan kekuatan anggota penguatkuasa JHEAT yang kurang daripada 10 orang di setiap daerah sudah pasti tidak mampu untuk menjaga penduduk negeri ini, justeru dengan adanya sukarelawan syariah di setiap daerah ini sedikit sebanyak dapat meluaskan pemantauan,” ujarnya.
Dr Alias berkata, tujuan pencegahan dilakukan bukan semata-mata untuk menangkap mereka yang melakukan kesalahan syariah tetapi lebih kepada mendidik dan memupuk kesedaran masyarakat agar sama-sama bertanggungjawab mencegahnya.
09 Sep 20
579
Jabatan Kesihatan Serbu 54 Premis Makanan
KUALA TERENGGANU, 9 September - Sebanyak 54 premis makanan di Setiu dan Besut diserbu Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam Operasi Bersepadu Premis Makanan Bersih pada 7 dan 8 September lalu.
Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus berkata, hasil operasi itu tiga premis telah diberikan arahan penutupan selama tempoh tidak melebihi 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana gagal mencapai tahap minimum piawaian.
“Ia meliputi 34 buah restoran dan 20 buah gerai makanan telah diperiksa sepanjang dua hari operasi diadakan di dua daerah tersebut.
“Sebanyak 62 notis memerintahkan kehadiran di mahkamah bagi kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM16,350,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, operasi yang dijalankan bersama Penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Daerah Setiu dan Majlis Daerah Besut itu memberi fokus kepada premis yang menjadi tumpuan ramai.
“Ia penting bagi memastikan premis berkenaan beroperasi dalam keadaan bersih, terkawal dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan sekali gus menjamin kualiti makanan.
Menurut Nor Azimi lagi, pemantauan akan dijalankan secara berterusan supaya pengusaha dan pengendali makanan serius dalam mematuhi keperluan yang telah ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan dibawahnya.
“Adalah menjadi tanggungjawab pemilik dan pengusaha premis makanan untuk memastikan premis makanan dan pekerja mereka berada dalam bersih pada setiap masa sewaktu operasi perniagaan dijalankan,” tambah beliau.
09 Sep 20
1327
Terengganu Masih Tidak Benarkan Warga Asing Solat Jemaah Di Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 9 September – Warga asing yang berada di Terengganu masih belum dibenarkan untuk solat berjemaah di masjid dan surau negeri ini.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Setakat ini kita masih belum membenarkan mereka (warga asing) untuk solat berjemaah di masjid atau surau.
“Walau bagaimanapun, kita akan pertimbangkan bagi mereka yang berkhidmat dengan kerajaan seperti di institusi pengajian awam (IPT) serta yang memohon kebenaran solat Jumaat," katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mengetatkan SOP itu memandangkan tiada jaminan terhadap tahap kesihatan warga asing yang tidak terlibat dengan aktiviti atau kerja di peringkat kerajaan.
"Setakat ini, MAIDAM yang membenarkan semua aktiviti agama dilaksanakan di masjid dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Ia juga perlu bersesuaian dengan kapasiti jemaah masjid yang dijarakkan serta mereka boleh solat di luar bangunan masjid jika ada keperluan dan dibenarkan," katanya lagi.
09 Sep 20
1059
Kerjasama YT Dan UTP Buka Ruang Buat Pelajar Pintar B40
KUALA TERENGGANU, 9 September – Kerjasama pintar antara Yayasan Terengganu dan Universiti Teknologi Petronas ( UTP) mampu membuka ruang kepada pelajar pintar B40 negeri ini melanjutkan pelajaran ke peringkat Persediaan/Asas dan Ijazah Sarjana Muda di pelbagai bidang di UTP.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia merupakan kolaborasi pertama antara Yayasan Terengganu dengan universiti swasta dalam negara yang merupakan antara 'Top 100 Asia bagi World Ranking Universiti tahun 2020' telah dilaksanakan secara lebih teratur dan terancang.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha menyediakan asas-asas yang terbaik untuk terus memacu kecemerlangan Terengganu dalam medan pendidikan.
“Untuk permulaan, sepuluh orang pelajar telah terpilih iaitu tiga orang yang akan mengikuti program persediaan (Foundation) dan tujuh lagi akan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda di UTP di bawah Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang peringkat Ijazah Sarjana Muda.
“Kerjasama ini tidak hanya melibatkan penajaan pelajar semata-mata, bahkan melibatkan program pendidikan pelajar melalui aktiviti berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terutamanya di Sekolah Menengah Imtiaz YT, latihan pembangunan staf/guru berdasarkan perkembangan alaf baharu, dan program penempatan kakitangan termasuk pertukaran kakitangan
“Ia bagi melahirkan generasi masa hadapan yang mampu untuk menghadapi apa jua cabaran dan menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara kerana generasi ini dibentuk bukan hanya menerusi kecemerlangan dalam jangka masa yang tertentu tetapi melalui gabungan berbagai keperluan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Antara Yayasan Terengganu dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar; Pengerusi Lembaga Pengarah UTP, Dato' Raiha Azni Abd Rahman; Penasihat Undang-Undang negeri, Dato' Razali Che Ani, Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim.
Menerusi persefahaman pada hari ini, Tabung Amanah Zakat UTP (TAZU) akan menaja seramai 20 orang pelajar yang memenuhi syarat yang ditetapkan untuk pengajian peringkat Asas (Foundation) untuk tempoh pengajian selama satu tahun.
Yayasan Terengganu dan Tabung Amanah Zakat UTP akan menaja seramai 20 orang pelajar yang memenuhi syarat yang ditetapkan untuk pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda yang mana akan ditanggung secara bersama berdasarkan jumlah yang telah dipersetujui.
09 Sep 20
929
RM100,000 Peruntukan Bina Jeti Konkrit Nelayan Kampung Batin
Oleh : Hidayah Azlin/Arifuddin Alias
KUALA NERUS, 9 September – Sejumlah RM100,000 akan diperuntukan bagi pembinaan jeti konkrit nelayan di Kampung Batin, Seberang Takir di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek baharu itu juga akan menggantikan jeti lama yang telah berusia 10 tahun.
Katanya, berita gembira itu bakal memberi manfaat besar kepada sekitar 25 buah bot nelayan.
"Jeti Nelayan Kampung Batin, Seberang Takir ini sangat uzur. Untuk hari ini, kita baiki dulu untuk kegunaan sementara nelayan. Alhamdulillah, dengan kelulusan pembinaan jeti konkrit baharu ini, ia bakal memberikan lebih keselesaan kepada rakan-rakan nelayan kita di sini. Pelaksanaan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan seberapa segera insya-Allah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab melahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas komitmen untuk memudahkan urusan nelayan dan orang kampung.
"Proses membaiki ini akan kita usahakan secepat mungkin sebagaimana yang telah diberi jaminan oleh Dr. Azman Ibrahim.
“Insya-Allah kerja-kerja baikpulih jeti ini dijangka siap sebelum akhir tahun ini ,” ujar beliau.
Menurut Mohd Fazil lagi, beliau berharap dengan tindakan segera daripada pihak kerajaan itu dapat memberi manfaat dan keselesaan serta keselamatan kepada nelayan untuk mencari rezeki.
Dalam pada itu, seorang nelayan yang ditemui media, Hasmadi Ibrahim, 48, berkata, beliau mengalu-alukan tindakan pantas untuk mengatasi masalah iitu kerana jika berlarutan akan mengakibatkan kemalangan kepada pengguna jeti tersebut.
"Jeti menjadi tempat nelayan mencari rezeki, usaha pantas daripada pihak kerajaan diharap mampu menyelesaikan permasalahan ini yang menjadi kebimbangan kami," tambahnya.
09 Sep 20
1995
Ruane-TATI Dan TWI Jalin Kerjasama
KUALA TERENGGANU, 8 September - Perjanjian persefahaman (MoU) di antara Ruane-TATI Sdn Bhd dan TWI Technology (S.E.Asia) Sdn Bhd membuka satu lembaran baharu dalam industri di Terengganu.
Pengerusi Lembaga Pengarah Ruane-TATI Sdn Bhd, Alias Harun berkata kerjasama ini adalah amat penting bagi mencapai matlamat untuk memenuhi permintaan Industri di kedua-dua pihak.
"Ruane-TATI sebagai sebuah pusat yang melahirkan pakar-pakar Ujian Tanpa Musnah atau Non-Destructive Testing (NDT), sudah semestinya bersedia untuk melangkah lebih jauh dengan menawarkan perkhidmatan persijilan yang baharu kepada penduduk setempat dan sekitar.
"Manakala TWI adalah juga seperti syarikat-syarikat NDT yang sentiasa berharap untuk menaiktaraf penduduk-penduduk di pantai timur khususnya kepada satu kualiti sijil profesional tahap tinggi iaitu CSWIP (Certification Scheme for Welding and Inspection Personnel (UK, non-destructive testing personnel) yang diiktiraf oleh TWI UK dan kebanyakan negara di dunia," katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani MoU Antara Ruane-TATI dan TWI Technology di Damai Lounge, U2, Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, dokumen MoU telah ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengarah RTSB, Alias Harun, yang mewakili Ruane-TATI Sdn Bhd, disaksikan oleh Pengurus Besar Ruane-TATI Sdn Bhd Ts. Dr. Mukhtar Malik, sementara Penolong Pengurus Wilayah mewakili pihak TWI Technology (S.E.Asia) Sdn Bhd, Mr. Dietmar Kok, dan disaksikan oleh Ghazale Hashim selaku Pengarah TWI Technology (S.E.Asia) Sdn Bhd.
Katanya, antara intipati MoU ini ialah Ruane-TATI akan memastikan Latihan dan Peperiksaan berjalan lancar di Ruane-TATI dengan menyediakan semua kelas, peralatan dan kebajikan para pelajar dan mendapat pengiktirafan daripada The Welding Institute United Kingdom (TWI UK).
"Sementara itu, pihak TWI Technology pula akan melakukan kerja-kerja pemasaran dan menyediakan menghantar tenaga pengajar dan pemeriksa yang bertauliah serta keperluan peperiksaan.
"Oleh sebab itu, saya berharap kerjasama ini akan dapat diteruskan untuk jangkamasa yang panjang kerana ia dapat memberi manfaat dan dalam masa yang sama menguntungkan kedua-dua pihak iaitu TWI Technology dan juga Ruane-TATI," ujarnya.
08 Sep 20
1100
Mangsa Kebakaran Rumah Terima Bantuan Segera
KUALA TERENGGANU, 8 September - Mangsa kebakaran rumah di Kampung Gong Nangka semalam, Zulkifli Daud telah menerima reaksi balas daripada agensi kerajaan.
Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (PKM ADUN) Batu Buruk telah mengambil inisiatif untuk memberikan bantuan secara ‘one off’ serta membaik pulih kerosakan yang dialami rumah-rumah berdekatan.
Manakala, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Khairunnisa masing-masing telah menyampaikan bantuan keperluan kepada mangsa.
Sementara itu, pihak JKM dan Tabung Darul Iman (TDI) akan membantu untuk membuat permohonan pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) buat mangsa dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak PKM ADUN Batu Buruk.
Tragedi kebakaran yang berlaku sekitar pukul 7.00 malam semalam telah memusnahkan keseluruhan rumah mangsa dan mengakibatkan kerosakan pada rumah-rumah di sekitarnya.
08 Sep 20
723
106 Peserta RTB Terkilan Di Kijal Terengganu Terima Geran
KEMAMAN, 8 September - Seramai 106 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Undangan Negeri Kijal yang dinafikan hak dahulu (terkilan), kini tersenyum lebar setelah menerima geran hak milik.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh memanjatkan syukur ke atas Ilahi kerana diberikan kesempatan untuk menunaikan hak rakyat di kawasannya dengan kerja keras daripada semua pihak terutama kakitangan Pejabat Tanah Daerah Kemaman.
"Alhamdulillah di kesempatan ini kita diberikan ruang untuk menunaikan janji kerajaan dengan mengembalikan semula tanah yang dinafikan dahulu kepada mereka yang berhak,
"Dengan kerja keras yang penuh komitmen daripada semua pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah Kemaman saya ucapkan ribuan terima kasih, syabas dan tahniah," ucapnya.
Hazri Jusoh (dua dari kanan)
RTB yang diserahkan hak milik geran di Dewan Terbuka Penunjuk Kijal kelmarin adalah RTB Bukit Anak Dara seramai 21 penerima, RTB Batu 9 seramai lima penerima, RTB Ibok seramai 17 penerima manakala RTB Bukit Panjang seramai 63 penerima.
Dalam waktu yang sama, Pentadbir Tanah Kemaman Mohamad A. Rahman yang turut berucap di majlis tersebut mengingatkan kepada penerima hak milk geran supaya tidak menjual tanah yang diterima mereka.
"Saya mengharapkan agar tanah yang dikurniakan oleh kerajaan ini hendaklah didirikan rumah dan jangan dijual," katanya.
"Mana nak dapat harga tanah yang semurah ini, bayar premium sebanyak 10% dengan berdasarkan nilai harga pasaran pada tahun 1999,
"Pagi hari makan ceri, sebelah petang goreng ikan bawal, tanah yang beri... janganlah dijual," ucapnya berseloroh.
Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju memasukkan Dasar Tanah Terkilan dengan beberapa kemudahan seperti bayaran premium mengikut nilai tanah pada tahun tersebut demi kebajikan kepada rakyat.
08 Sep 20
2874
Terengganu Tetapkan Umur Belia Kepada 11 Tahun
KUALA TERENGGANU, 8 September - Terengganu bersedia mewartakan takrifan umur belia di negeri ini kepada 11 tahun berbanding dengan umur yang ditetapkan piawaian antarabangsa iaitu antara 15 sehingga 30 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penetapan umur lebih muda dianggap penting kerana golongan terbabit mudah dibentuk di usia muda.
Katanya, apabila tiba umur 15 tahun mereka sudah matang untuk berfikir mana yang baik dan buruk.
“Sebagai persediaan, pihak berkaitan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu akan memberi pendedahan dan pencerahan melalui pelbagai kaedah termasuk menganjurkan kursus dan motivasi melalui sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Majlis Perundingan Belia Negara peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini
Wan Sukairi turut memberitahu, kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan kepada agenda pembangunan golongan belia dalam pelbagai sudut, termasuk keilmuan, nilai-nilai murni, kemahiran dan keusahawanan.
“Oleh itu, sangat wajar bagi mereka yang masih bergelar belia merebut peluang yang ditawarkan dalam pelbagai sektor.
“Sebagai contoh terdekat, ada mewujudkan skim pembiayaan tertentu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan bagi mengalakkan belia berniaga dan bukannya hanya bergantung kerja makan gaji,” katanya
08 Sep 20
1274