Artikel "Utama" Terkini
Penyakit Hawar Berdarah Tidak Jangkiti Manusia
KUALA TERENGGANU, 16 September - Penyakit hawar berdarah atau Haemorrhagic Septicaemia (HS) yang disyaki menyerang lebih 30 ekor kerbau milik keluarga Syukor Khamis, 15, tidak berisiko berjangkit dengan manusia.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam satu kenyataan semalam mengesahkan perkara itu dan menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan situasi yang berlaku di Kampung Banggol Katong, Serada beberapa hari lepas.
"Penyakit HS adalah penyakit bukan zoonotik iaitu tidak berjangkit pada manusia. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak panik memandangkan tiada risiko penyakit tersebut kepada manusia.
"Kerjasama penternak bagi melaporkan sebarang kes disyaki penyakit HS di mana-mana Pejabat Veterinar Negeri atau Pejabat Veterinar Daerah berdekatan amat diperlukan," ujar kenyataan itu.
Jelas JPV, HS merupakan penyakit akut pasteurellosis yang disebabkan oleh bakteria Pasteurella Multocida (p. multocida) Carter’s Type B.
Katanya, penyakit tersebut biasanya menyerang ternakan lembu dan kerbau dan boleh menyebabkan kematian dalam jangka masa 8 hingga 24 jam selepas dijangkiti.
"Penyakit ini kerap menyerang ternakan pada musim hujan," menurutnya.
Menurut kenyataan itu lagi, JPV Terengganu telah menjalankan bedah siasat ke atas ternakan yang mati dan semua sampel telah dihantar ke makmal bagi tujuan pengesahan penyakit.
"Notis arahan kuarantin mengikut seksyen 18 Akta Binatang 1953 telah dikeluarkan dan diserahkan kepada penternak pada 13 September 2020.
"Di samping pemberian ubat antibiotik pada ternakan yang bergejala serta khidmat nasihat kepada penternak bagi tujuan penvaksinan," kata kenyataan tersebut.
16 Sep 20
1311
Sekolah Di DUN Ladang Dapat 'Durian Runtuh'
KUALA TERENGGANU, 15 September - Semua sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang mendapat durian runtuh sebanyak RM5,000 daripada Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.
ADUN Ladang itu berkata, sumbangan akan dimasukkan menerusi akaun bank Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah masing-masing.
"Atas dasar kebersamaan, keprihatinan dan atas kebajikan saya mengumumkan sumbangan RM5,000 dan terserah kepada pihak sekolah dan PIBG untuk membelanjakannya," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri berkata demikian ketika Majlis Tautan Ukhuwah YB ADUN Ladang Bersama Sekolah-Sekolah Dalam DUN Ladang di Primula Beach Hotel di sini hari ini.
Turut hadir, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu, Jelani Sulong.
Dalam masa yang sama, beliau juga berkata pihaknya akan terus membantu setiap rakyat tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan warna kulit.
"Setiap orang yang memerlukan akan dibantu, tiada pilih kasih.
"Kita tidak mahu membiarkan kehidupan mereka yang susah tiada perubahan, statik, mana yang berniaga kita bantu apa yang diperlukan untuk menaik taraf perniagaan mereka.
"Kita seronok melihat mereka dapat keluar daripada kemiskinan," ujarnya yang telah berkhidmat kepada rakyat selama 43 tahun bermula ketika dilantik menjadi penolong pegawai daerah.
15 Sep 20
1814
Perangkap Tambahan Dipasang, Elak Khinzir Masuk Bandar
MARANG, 16 September - Sebanyak 10 perangkap tambahan membabitkan lima perangkap khinzir dan kera dipasang bagi mengelakkan kejadian binatang terbabit memasuki bandar Marang berulang.
Perangkap itu disumbangkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.
Pegawai Khas Menteri Besar, Sabri Zakaria berkata, tinjauan ke lokasi perangkap khinzir serta kera bersama Jabatan Perhilitan Terengganu telah diadakan pagi semalam di Kampung Rhu Renggeh.
"Tujuan tinjauan ini adalah bagi membincangkan struktur binaan perangkap yang perlu digunakan kepada jenis haiwan liar ini berdasarkan ketetapan oleh Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu.
"Sturuktur binaan ini telah dikeluarkan jabatan terbabit supaya perangkap yang dibina selaras seperti dikehendaki," kata beliau ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Turut hadir, Ketua PERHILITAN Daerah Kuala Terengganu, Nik Norhafizah Daud, dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Rhu Renggeh, Najmuddin Rani.
Menurut Sabri, sumbangan perangkap itu juga adalah berdasarkan rentetan kejadian yang berlaku sebelum ini dan siasatan yang dilakukan terhadap aduan penduduk.
Ujarnya, sebelum ini terdapat dua ekor khinzir berkeliaran di kawasan bandar Marang sehingga menimbulkan risiko kemalangan dan mencacatkan pemandangan.
"Perhilitan pernah memasang perangkap di beberapa lokasi di sekitar bandar Marang iaitu di kawasan belakang stesen minyak Caltex, sekitar kediaman rasmi Pegawai Daerah Marang, dan belakang deretan bangunan kedai KFC.
"Namun perangkap tersebut akan beralih ke tempat baharu selepas mendapat aduan baru kerana jumlah perangkap yang tidak mencukupi.
"Dengan tambahan perangkap ini, kita berharap masalah khinzir berkeliaran dan gangguan kera dapat dikurangkan di sekitar sini," jelasnya.
15 Sep 20
720
Mural Baharu Bakal Jadi Tarikan Pengunjung Ke Primula Beach Hotel
KUALA TERENGGANU, 15 September - Bermula hari ini, jika berkunjung ke Primula Beach Hotel (PBH) Kuala Terengganu, pastikan anda melihat mural pertama yang menggabungkan pelbagai elemen seperti pembangunan, seni warisan kehidupan, dan keindahan pantai dan tasik yang terdapat di negeri ini.
Pengurus Besar PBH, Suaibah Harun berkata, mural sepanjang kira-kira 50 meter yang dihiasi identiti dan lokasi pelancongan menarik di Terengganu menjadi produk baru yang mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk datang hotel berkenaan.
Katanya selain menjadi yang terpanjang di negeri ini, mural yang diinspirasikan empat anak jati Terengganu ini mengambil masa selama 15 hari bagi menyiapkan lukisan mural berkenaan bermula pertengahan Ogos lalu.
“Pengunjung dapat saksikan lukisan Jambatan Angkat Terengganu (Drawbridge), Tasik Kenyir, Pasar Kedai Payang, Muzium Terengganu dan Pantai Batu Buruk yang cukup terkenal di Terengganu.
“Mural itu juga memaparkan keindahan seni dan warisan yang sinonim dengan masyarakat negeri ini seperti wau bulan, batik, songket dan perahu nelayan yang merupakan hadiah istimewa sebagai 'photo booth' kepada pengunjung Anjung Bistro Garden dan tetamu Primula Beach Hotel khasnya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Mural yang disempurnakan Pengerusi PBH, Dato' Mustapha Ali, Perkarangan Tempat Letak Kereta Zon A (Anjung Bistro Garden), hari ini.
Tambahnya, seramai empat pelukis tempatan diketuai Cikgu Budin, Razali Che Mat, Nazli Hamzah dan Ahmad Saipudin Abdul Ghani bergabung tenaga menerusi kepakaran masing-masing secara sukarela bagi menyiapkan lukisan tersebut.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan acara mengacau bubur Asyura yang merupakan tradisi hotel berkenaan sempena bulan Muharam setiap tahun sejak 20 tahun lalu.
"Kita menyediakan sebanyak tiga kawah bubur yang dibuat secara bergotong-royong oleh warga kerja hotel dan ia akan diagihkan kepada masjid dan surau berdekatan serta warga kerja hotel," katanya.
Beliau juga berkata, sebagai menyambut Hari Malaysia, pihaknya turut menganjurkan Pertandingan Mewarna Kanak-kanak pada majlis berkenaan yang disertai kanak-kanak Tadika Fajar Didik dan Tadika Rossa.
15 Sep 20
2120
Polis Nafi Video Lelaki Mabuk Sehingga Sebabkan Kemalangan
KUALA TERENGGANU, 15 September – Polis menafikan video berdurasi 57 saat yang menunjukkan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux putih terbabas masuk ke dalam longkang dalam kejadian berhampiran sebuah pasar raya di Bukit Kecil adalah disebabkan pemandu mabuk.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati pemandu kenderaan itu tidak memandu dalam keadaan mabuk kerana keputusan ujian alkohol mendapati individu terbabit bebas daripada pengaruh minuman keras
"Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi tadi, siasatan mendapati lelaki tempatan berusia 26 tahun itu tidak mabuk malah boleh memberi kerjasama sepanjang siasatan.
"Siasatan awal mendapati dia merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) kategori penglihatan kerana sebelah matanya tidak nampak dan kakinya pula tidak 'sempurna'.
"Jika dilihat melalui video yang ditularkan memang nampak seperti dalam keadaan mabuk, tetapi sebenarnya dia pening kesan terhantuk selepas kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum terbabas," katanya ketika dihubungi hari ini.
Justeru itu, orang ramai dinasihatkan tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih itu.
15 Sep 20
715
Taska Bagi Penjawat Awam Dungun Mula Beroperasi
DUNGUN, 16 September – Usaha kerajaan negeri dalam mewujudkan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di tempat kerja bagi penjawat awam terus rancak berjalan apabila sebuah lagi pusat berkenaan berjaya ditubuhkan di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, Taska Permata Keluarga Majlis Perbandaran Dungun (MPD) merupakan taska di tempat kerja yang ditubuhkan hasil inisiatif majikan untuk kebajikan pekerja.
Katanya, pembukaan pusat itu merupakan usaha kerajaan negeri dalam menunaikan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu iaitu membuka pusat asuhan di setiap jabatan kerajaan negeri.
"Sebelumnya, pembukaan rasmi Taska Permata Keluarga MPD adalah pada bulan januari tetapi ditangguhkan atas sebab pandemik COVID-19. Inisiatif ini dijayakan dengan kerjasama kerajaan negeri bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu serta agensi lain.
"Antara Taska Permata yang telah disiapkan, kini beroperasi di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin Kampus Gong Badak (UniSZA) dan di Wisma Darul Iman.
"Bagi tahun ini, kerajaan merancang untuk membuka taska seterusnya di UniSZA Kampus Tembila diikuti dengan Bangunan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dalam sekitar bulan ini atau awal Januari 2021, di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu pada awal januari 2021 serta sebuah lagi di Jabatan Kerja Raya Terengganu pada april 2021," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap Majlis Perasmian Taska Permata Keluarga Majlis Perbandaran Dungun di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang yang juga Timbalan Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Lizan Che Mat serta Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu Wan Mohd Zaki Wan Abdullah.
Menurutnya, perkara itu pasti akan memberi kelegaan kepada para ibu bapa dan secara tidak langsung menyumbang kelangsungan pentadbiran yang baik kepada negeri.
"Saya yakin dan percaya dengan pendekatan kokurikulum yang menyeluruh dan bersepadu di taska ini, akan menatijahkan hasil terbaik kearah masyarakat negeri maju, berkat dan sejahtera”
"Dengan Doa dan harapan supaya taska sebegini akan melahirkan modal insan berkualiti. Mereka bakal menjadi As-syabab dan Ar-rijal atau pemuda-pemudi hebat yang mampu memenuhi tuntutan kehidupan” tambah beliau
Pengambilan di Taska Permata Keluarga MPD melibatkan 23 orang pelajar dari usia 3 bulan hingga 4 tahun serta 6 orang kakitangan terlatih dan menelan kos kira-kira RM 100,000 daripada peruntukan kerajaan negeri.
15 Sep 20
1226
Muafakat Nasional Terengganu Terus Dipertahan
KUALA TERENGGANU, 15 September – Kerjasama antara parti dalam Muafakat Nasional Terengganu akan terus diperkasa dan dipertahankan demi kepentingan rakyat serta negara.
Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuklah usaha untuk menghancurkan Muafakat Nasional daripada musuh, kekangan itu dihadapi dengan penuh tekad dan istiqamah bagi memastikan persepakatan itu kekal relevan termasuk di negeri ini.
“Sempena ulang tahun yang pertama, mudah-mudahan Muafakat Nasional di peringkat Terengganu akan semakin baik, ia sudah tentu menjadi harapan dan sesuatu yang dinanti oleh rakyat jelata bukan sahaja di sini bahkan seluruh negara,” katanya ketika diminta mengulas tentang Muafakat Nasional Terengganu selepas menziarahi rakyat di Wakaf Mempelam semalam.
Wan Sukairi yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu berkata, tidak timbul soal sebulu atau tidak kerana penyatuan yang dibina itu berasaskan kesedaran demi agama, bangsa dan negara.
“Kita di Terengganu tiada masalah yang berlaku, isu yang agak panas di sidang DUN baru-baru ini adalah sesuatu perkara yang biasa dan insya-Allah itu tidaklah menggambarkan hubungan atau keadaan Muafakat Nasional Terengganu sebenar.
“Insya-Allah ia berada dalam baik-baik sahaja, dalam program-program bersama pun kita semua telah menyaksikan kesungguhan semua pihak, walaupun setahun itu bukan satu tempoh yang panjang namun terlalu banyak cabaran daripada dalam dan luar dihadapi dengan baik.
“Asalkan kita mempunyai tekad bahawa Muafakat Nasional harus diperkasa dan diperkukuhkan insya-Allah Muafakat Nasional akan terus menjadi teras kepada kerajaan di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 15 nanti,” tambah beliau.
15 Sep 20
1064
6K-I Jadi Dasar Integriti Darul Iman
KEMAMAN, 15 September - Keimanan, Ketaqwaan, Keikhlasan, Ketelusan, Kebertanggungjawaban, Kecekapan dan Islah (6K-I) menjadi kriteria Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) yang perlu diaplikasikan secara menyeluruh dan serius di setiap peringkat.
Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Abdul Hamid berkata, pemimpin dan pekerja yang berintegriti dalam setiap tugasan mampu melonjakkan prestasi kerajaan negeri.
"DIDI ini perlu ada kefahaman untuk kita laksanakan di peringkat negeri terutamanya dan ianya perlu diterjemahkan dengan kerjasama antara pembuat dan pelaksana dasar.
"Perlu ada kombinasi yang baik antara keduanya. Kemajuan dan kemakmuran sesebuah negeri perlu ada komitmen yang tinggi," ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup DIDI Sesi 8/2020 di Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong di sini semalam.
Kursus DIDI anjuran TSIS dengan kerjasama SUK (bahagian pengurusan sumber manusia), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), i-MiTS dan DITC dikendalikan oleh pihak konsultan Al Fateh Training and consultant.
Ia diadakan selama dua hari bermula kelmarin dan dihadiri oleh Penjawat Awam Gred 48 ke atas.
Turut hadir dalam majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TSIS, Dr. Wan Mat Sulaiman dan Ketua Jabatan Integriti dan Latihan TSIS, Abdul Hadi Harun.
Majlis berakhir dengan lafaz ikrar dan sesi menandatangani ikrar patuh pada dasar yang dibuat.
anjuran
15 Sep 20
1122
Wanita B40 Teruja Mulakan Kelas Jahitan Sulam Tampal
KUALA TERENGGANU, 15 September – Para peserta kursus jahitan sulam tampal yang terdiri daripada wanita berpendapatan rendah (B40) di sekitar daerah ini sudah tidak sabar untuk memulakan pembelajaran mereka.
Kursus anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Nor itu dilaksanakan di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Negara ‘Human Resources Development Fund’ (PENJANA HRDF) dan akan memberi manfaat kepada individu untuk jualan secara atas talian.
Wakil Richmind Legacy Sdn Bhd (penyedia latihan), Zuraina Ahmad berkata program ini dinamakan sebagai program jahitan ‘patchwork’ ataupun tampal cantum yang tidak memerlukan sebarang modal.
Zuraina Ahmad.
“Kita hanya menggunakan kain perca yang sedia ada seperti lebihan-lebihan kain jahitan dan kemudian dijadikan satu produk yang baru seperti beg ataupun kotak pensil, beg sandang, bakul dan sebagainya.
“Produk-produk ini boleh dijual dengan harga yang sangat tinggi, jadi kita berharap kemahiran baharu yang dipelajari oleh wanita B40 Kuala Terengganu ini dapat digunakan untuk menjana pendapatan dengan lebih lumayan kerana produk-produk ini dapat dijual dengan harga yang jauh lebih tinggi walaupun tanpa menggunakan modal.
“Wanita-wanita ini asalnya sudah mempunyai kemahiran menjahit, jadi apa yang dilakukan ialah menambah kemahiran menjahit ke satu tahap yang baru,” ujarnya.
Zuraina berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas Majlis Perasmian Kursus Jahitan Sulam Tampal Untuk Jualan Secara Online Bagi Program Pembangunan B40 Daerah Kuala Terengganu di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Wakaf Mempelam semalam.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah, serta Pengarah Urusan Richmind Legacy Sdn Bhd, Ahmad Jafny Jusoh.
Menurut Zuraina lagi, daerah Kuala Terengganu adalah ‘pilot programme’ (program pertama) yang dijalankan.
Katanya, kejayaan program tersebut akan menjadi kayu ukur untuk dipertimbang dan dikembangkan ke daerah-daerah dan negeri lain.
ADUN Wanita bersama sebahagian peserta.
“Kami menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu terutamanya kepada ADUN Wanita yang menyambut baik program ini dan sebenarnya idea ini sudah lama, tetapi tidak dapat dilaksanakan sebaliknya kali ini, ADUN Wanita telah membantu merealisasikannya.
“Pihak mereka banyak membantu kami dari segi untuk mendapatkan dan mengenal pasti peserta yang layak sebab kita tahu, golongan B40 ini ramai tapi kita sasarkan golongan yang betul-betul memerlukan untuk dibantu, tambahnya lagi.
Beliau turut melahirkan harapan agar peserta dapat belajar dengan bersungguh-sungguh di samping dapat dilatih sebagai usahawan wanita yang boleh menjana pendapatan sendiri untuk keluarga tanpa perlu mengharapkan orang lain.
ADUN Wanita bergambar bersama peserta kursus.
15 Sep 20
943
Malaysia Laksana Lebih 100 Penjujukan Genom Bagi Hasil Vaksin Covid-19
KUALA LUMPUR, 17 September- Kerajaaan Malaysia kini dalam proses mengkaji maklumat genetik virus SAR-CoV-2 melalui penjujukan genom bagi kes Covid-19 bagi memahami epidemiologi tempatan sebelum kajian ke atas penghasilan vaksin dapat dijalankan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, kajian dilakukan berdasarkan kemungkinan virus SARS-CoV-2 yang menyerang warga Malaysia hari ini berbeza dengan ‘serangan’ di negara lain.
“Sehingga kini, Malaysia telah menjujuk lebih daripada 100 genom virus SARS-CoV-2 yang dipencilkan daripada kes-kes Covid-19 di Malaysia dan data telah didepositkan ke pangkalan data GISAID yang boleh diakses melalui laman sesawang www.gisaid.org.
“Kajian berkemungkinan berlaku mutasi ke atas genom virus SARS-CoV-2 sedang giat dijalankan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Ucapan Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 (2020) di Dewan Negara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), baru-baru ini.
Menurut Timbalan Menteri itu, vaksin merupakan antara sumbangan terbesar perubatan moden kepada manusia, memberikan intervensi yang efektif dan mengawal penyakit yang boleh menyebabkan kematian.
“Walaupun demikian, penyakit berjangkit masih boleh membunuh jutaan orang setiap tahun.
“Pembangunan dan penghasilan vaksin merupakan proses yang rumit dan mengambil masa yang lama. Pembangunan vaksin manusia daripada konsep sehingga perlesenan kebiasaannya mengambil masa sehingga 15 tahun,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menjelaskan, pendekatan Malaysia merangkumi usahasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Luar Negeri (KLN).
“Melalui diplomasi sains adalah dengan berkolaborasi dengan negara-negara lain dalam menjalankan penyelidikan bersama dengan pusat-pusat vaksin antarabangsa.
“Ia untuk memudahkan dan mempercepatkan perolehan pengetahuan teknologi vaksin, latihan sumber manusia serta pengembangan kepakaran spesifik,” ujarnya.
15 Sep 20
186