Artikel "Utama" Terkini
30 Buah Rumah Dibadai Ribut Dibaiki Segera
SETIU, 18 September - Sebanyak 30 buah rumah yang rosak di Jabi akibat dibadai ribut semalam akan dibaiki segera bermula hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, kejadian pada waktu asar itu menjejaskan beberapa buah kampung di sini.
"Ribut melanda beberapa kampung di Jabi waktu asar semalam disertai hujan lebat. Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Oh, Kampung Renek, Kampung Bharu Tok Dor, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Sri Aman dan beberapa kampung lain.
"Terdapat beberapa buah rumah ditimpa pokok tumbang. Tujuh batang pokok di atas pembahagi jalan Pekan Jabi turut rebah.
"Alhamdulillah, hanya atap, syiling dan sebahagian dinding sahaja yang rosak. Setakat ini, tiada kecederaan dan kematian yang dilaporkan akibat daripada ribut berkenaan," katanya.
Ribut turut merosakkan sawah padi.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke beberapa rumah penduduk di sekitar Jabi, petang semalam.
"Saya sangat berterima kasih atas tindakan segera kakitangan Pejabat ADUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menyelesaikan apa yang perlu disegerakan terutama mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan.
"Kita buat operasi secara menyeluruh untuk baik pulih rumah yang rosak. Jumlahnya setakat dilaporkan sekitar 30 buah rumah. Harap bersabar semua," katanya.
Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Idustri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri berkata, beberapa ekar sawah padi di Baruh Kampung Oh Jabi juga ranap akibat angin yang kuat itu.
"Insya-Allah kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sewajarnya melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri," jelasnya.
18 Sep 20
870
Keluarga Syukur 'Kampung Boy' Akan Dibantu - Ahmad Amzad
KUALA TERENGGANU, 17 September - Keluarga Muhammad Syukur Khamis,15, yang kematian 50 ekor kerbau peliharaan akan dibantu mereka mengikut kesesuaian dan keperluan semasa.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, kematian haiwan itu yang dipercayai akibat penyakit hawar berdarah atau Heamoragic Septicaemia (HS) adalah satu perkara yang sangat serius dan perlu diberi perhatian segera bagi membendung penularan penyakit itu ke kawasan lain.
“Kalau di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), vaksin COVID-19 di bawah pantauan kami dan begitu juga dengan wabak (hawar berdarah) ini kerana ia bwrkait dengan sains.
“Di samping berkait dengan industri penternakan, yang merupakan sesuatu yang besar impaknya kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengunjungi ke kandang kerbau milik Khamis Jusoh di Kampung Banggol Katong, Alor Limbat di sini semalam.
Menurutnya, beliau telah menghubungi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato' Che Abdullah Mat Nawi bagi menjelaskan tentang wabak tersebut.
“Che Lah (Abdullah) terkejut kerana sudah lama kes (hawar berdarah) ini tidak berlaku.
“Di kesempatan itu juga, saya nyatakan harapan supaya penternak ini dibantu,” jelas Timbalan Menteri MOSTI itu.
Ahmad Amzad turut mengingatkan penternak di negeri ini agar mengambil perhatian dan cakna terhadap haiwan ternakan masing-masing.
Ini kerana katanya, penyakit hawar berdarah ini sangat merbahaya kepada haiwan ternakan.
“Penyakit ini cepat merebak dan saya minta para penternak lain supaya memantau haiwan masing-masing dengan baik. Jadi, jika perlu kuarantin dan sebagainya ikutlah arahan tersebut,” ujarnya.
17 Sep 20
2134
Terengganu Pertaruh Gandingan Terbaik Cabar Piala Tun Abdul Razak
KUALA TERENGGANU, 17 September – Pasukan Hoki lelaki Terengganu menyasarkan kedudukan podium dalam Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 yang membuka tirainya esok.
Pemangku Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Mohd Fikri Harun berkata, gandingan pemain berpengalaman dan bakat baru Sukan Malaysia (SUKMA) diharapkan dapat mencabar kejuaraan antara negeri itu.
"Dengan gabungan enam pemain Malaysia, tiga bekas pemain kebangsaan dan satu pemain remaja kebangsaan, kita memiliki gandingan yang lebih ampuh berbanding tahun-tahun lalu.
"Ini ditambah dengan pemilihan jurulatih melalui kriteria dan kredibiliti iaitu jurulatih Tai Beng Hai yangb berpengalaman lebih 20 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis meraikan pemain dan penyerahan tajaan jersi Pasukan Hoki Terengganu Piala Razak 2020 oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di Stadium Hoki MBKT, Batu Buruk, baru-baru ini.
Jelasnya, bagi pasukan wanita pula, Terengganu menampilkan semua pemain daripada team SUKMA sebagai pendedahan kejohanan kepada wirawati-wirawati baru negeri yang dipimpin jurulatih, Muhammad Sabran Mohd Sharif dibantu pemain berpengalaman, Mohamed Shahrun Nabil Abdullah.
Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 akan berlangsung bermula 18 September hingga 26 September ini menjadi kejohanan pertama yang akan dilangsungkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pasca pandemik Covid-19.
Sebanyak 15 pasukan lelaki dan 11 pasukan wanita akan berentap merebut piala berkenaan di venue rasmi kejohanan, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Pasukan Terengganu masih berusaha mencari kejuaraan ketiga selepas menjuarainya pada tahun 2012 dan 2016. Skuad Sang Penyu pernah mara ke perlawanan akhir pada 2017 dan 2018 namun kedua-duanya tewas kepada pasukan Perak.
17 Sep 20
724
Mobile Team PPNT Santuni Peserta eKasih Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 September – Program Lawatan Mobile Team anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu (PPNT) kali ini mengambil kesempatan turun menziarahi tujuh peserta eKasih di sekitar Kuala Terengganu.
Wakil PPNT memaklumkan, para penerima bantuan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Ladang, Wakaf Mempelam dan Bukit Payong menerima bantuan sara hidup, bantuan perubatan, bantuan elaun pekerja cacat dan bantuan pesakit terlantar.
Program berkenaan merupakan aktiviti berkala dengan kerjasama Pejabat Daerah di mana Mobile Team PPNT akan turun ke setiap daerah bagi menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada penerima sumbangan.
Bantuan disumbangkan melalui beberapa agensi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Sekretariat Tabung Darul Iman (STDI) dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Buruk.
17 Sep 20
592
ADUN Alur Limbat Bantu Pak Khamis
KUALA TERENGGANU, 16 September -
"Saya berasa lega dan terharu apabila ada pihak yang tampil memberikan sumbangan bagi membiayai kos menanam bangkai kerbau," kata Khamis Jusoh.
Katanya, dia memperuntukkan lebih RM300 sehari untuk menyewa jengkaut bagi menanam bangkai kerbau dikandangnya itu.
Khamis berkata demikian ketika ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat Ariffin Deraman yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu di Kampung Kubang Bujuk, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ariffin berkata kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan melalui Tabung Bencana untuk meringankan urusan keluarga itu.
Sehingga pagi tadi, 50 kerbau milik Pak Khamis, 64, mati termasuk 'Semek', yang paling disayangi anaknya Muhammad Syukur, 15, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia'.
Syukur mula terkenal apabila gambar-gambar yang menampilkan kemesraannya dengan lebih 100 kerbau peliharaan
keluarganya tular, selain gambar itu turut tersenarai sebagai antara 20 yang terbaik dunia.
17 Sep 20
803
Aksi Gaban Gamatkan Himpunan Bermotor Kota Putera 2020
KUALA TERENGGANU, 16 September - Aksi lagak ngeri bermotosikal Mohd Amirul Asy-Syahid Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Gaban berjaya menggamatkan suasana Himpunan Bermotor Kota Putera 2020.
Sebagai seorang pelagak ngeri atau 'stuntman' bermotor, Gaban bermurah hati beraksi sebanyak dua kali dalam program anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera buat tatapan peminat sukan bermotor setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman memaklumkan, aksi Gaban tersebut merupakan salah satu acara yang dibawakan dalam program sempena sambutan Hari Malaysia ke-57, hari ini.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri berkata, program sehari itu turut menyajikan pelbagai pengisian bagi seluruh lapisan masyarakat setempat antaranya pertunjukan silat, dikir barat dan akan diakhiri dengan Forum Perdana bersama Ustaz Haslin Baharim, malam ini.
"Alhamdulillah, hari ini kita berjaya mengadakan perhimpunan bermotor yang mana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini anak muda lebih perlukan pengisian.
"Objektif kita adalah untuk melihat anak muda dari perspektif Islam. Kita beri peluang untuk mereka beraktiviti bersama kita supaya kita cakna dan dengar pendapat mereka dalam program ini yang kita selitkan dengan pengisian seperti tatacara mengambil wuduk dengan air yang terhad yang ditunjukkan sebentar tadi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi sembang santai bersama pengunjung dalam program yang berlangsung di Pantai Air Tawar Besut itu.
Tambahnya, program terbabit mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 20 penaja dan kelab bermotosikal tampil memberikan sokongan melalui penyertaan dan penajaan.
"Pada asalnya, kita sasarkan bawah 500 pendaftaran peserta bermotor, tetapi dimaklumkan lebih 800 peserta telah hadir namun terima kasih kepada petugas dan pihak berkuasa yang berjaya mengawal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.
Jelasnya, penganjuran program berkenaan di sambutan Hari Malaysia turut membawa mesej kepada masyarakat.
"Kadang-kadang kita cuti sahaja pada hari-hari tertentu tetapi kita tidak faham dan menghayati sebabnya. Kami adakan program ini supaya mereka menghargai apa yang dimiliki, kita juga paparkan ucapan kemerdekaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berikan semangat patriotik kepada mereka," katanya.
16 Sep 20
3465
Hari Malaysia : 350 Peserta Meriahkan 'Fun Ride'
Oleh : Suriati Ali
KUALA TERENGGANU, 16 September - Kira-kira 350 peserta termasuk individu dari Kemaman memeriahkan Program 'Fun Ride' Sempena Hari Malaysia di Kampung Banggol Cempedak, Serada, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata, selain meraikan sambutan Hari Malaysia program itu antara lain bertujuan mengeratkan hubungan antara komuniti setempat sekaligus mempromosikan Dataran Banggol Cempedak kepada masyarakat luar.
“Program 'Fun Ride' iaitu kayuhan basikal sejauh 28 kilometer (km) di sekitar kawasan Alor Limbat diadaklan secara terbuka dengan penyertaan sekitar 350 peserta dari seluruh negeri Terengganu.
“Selain program kayuhan, hari ini juga diadakan pertandingan memasak nasi goreng, nasi manis, bubur asyura serta kuih muih tradisional Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program di Dataran Banggol Cempedak hari ini.
Beliau berkata, kayuhan itu merupakan program kali kedua diadakan selepas kali pertama pada sambutan Hari Kemerdekaan, tahun lalu.
“Selepas ini kita akan adakan lagi program seumpama ini dengan lebih baik dan lebih meriah bagi menarik penyertaan lebih ramai peserta,” katanya.
16 Sep 20
1759
Program Informasi Pertanian Bandar Galak Masyarakat Berkebun
KUALA TERENGGANU, 16 September - Program Informasi Pertanian Bandar yang dilaksanakan di Masjid Gong Tok Nasek pada hari Ahad lepas mampu menggalakkan penyertaan lebih ramai penduduk Bandar dan luar Bandar dalam aktiviti itu.
Timbalan Pengerusi Masjid Gong Tok Nasek, Ustaz Soleh Jusoh berkata, inisiatif Biro Helwani Masjid tersebut merupakan platform terbaik untuk menerapkan ilmu pertanian kepada masyarakat.
“Ini sebagai medium penting bagi memberi pendedahan kepada semua orang tentang kaedah yang betul untuk bertani terutama bertani di kawasan rumah dalam skala yang kecil.
“Rata-rata hadirin yang hadir menunjukkan minat bertani yang mendalam dengan pelbagai soalan yang diajukan sepanjang program berlangsung.
“Tidak kurang juga masing-masing mengambil peluang mendapatkan air baja, baja dan anak benih yang dijual oleh usahawan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu (JPNT),” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Katanya lagi, pihak masjid sentiasa mengalu-alukan kehadiran JPNT dan agensi lain untuk mengadakan program seumpama itu pada masa akan datang.
“Sudah tentu kita membuka tangan seluas-luasnya kepada semua pihak umtuk mengadakan aktiviti seperti ini.
“Melalui program ini, ramai masyarakat menjadi lebih celik dan terbuka terhadap bidamh pertanian Bandar sekali gus mampu memberi pendapatan tambahan kepada mereka selain mampu memanfaatkan masa dan tanah yang meraka ada.
“Dalam masa yang sama dalam aktiviti pertanian ini boleh mengurangkan penggantungan kepada bekalan makanan yang diimport,” tambah beliau.
16 Sep 20
520
Lima Jam Susuri Sungai Dengan Semangat Pahlawan
HULU TERENGGANU, 16 September - Berbekalkan semangat pahlawan dan ulamak melayu yang memperjuangkan kedaulatan bangsa dan tanahair, Belia Sahabat Sejahtera Telemong dengan kerjasama Pusat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong telah menganjurkan Jejak Pahlawan Berakit Menyusuri Sungai Terengganu.
Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata antara objektif program bagi menghidupkan kembali nostalgia berakit, menyelami pengorbanan generasi dahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dalam serta menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan penduduk.
Tambahnya, ekspedisi kali kedua yang diadakan ini akan bermula di kampung Dusun dan berakhir di kampung Mesah, Kuala Telemong.
“Ekspedisi berakit pada kali ini akan menyusuri Sungai Telemong dan Sungai Terengganu sejauh lebih kurang 30 kilometer yang mengambil masa hampir lima jam.
"Seramai 150 peserta mengambil bahagian dengan menggunakan 25 buah rakit yang mengandungi enam orang peserta bagi setiap rakit pada kali ini.
"Ia melibatkan penyertaan pelbagai agensi dan jabatan termasuk polis, bomba dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan pematuhan norma baharu yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan akibat wabak pandemik Covid19,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perasmian Jejak Pahlawan Berakit Menyusuri Sungai Terengganu, di Kampung Dusun hari ini.
Menurut Safari, setiap rakit dinamakan dengan nama-nama pahlawan dan ulama yang mempunyai jasa dalam perjuangan kedaulatan agama, bangsa dan negara.
"Kita namakan rakit-rakit ini dengan nama mereka yang banyak berjasa antaranya Tok Gajah, Dato' Bahaman, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Raja Ri dan Mat Kilau.
Tambah beliau lagi, sejarah pernah membuktikan laluan yang dilalui pernah menjadi pusat perdagangan dan perniagaan penting daripada pedagang dahulu serta para tabligh dalam menyampaikan syiar Islam.
Menurutnya kawasan itu perlu dibangunkan semula tanpa meminggirkan ciri-ciri tradisionalnya untuk tatapan pelancong dan generasi baharu mengenai sejarah kegemilangan lokasi berkenaan.
16 Sep 20
1313
Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2020 Dibatalkan
KUALA TERENGGANU, 16 September - Acara tahunan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) 2020 yang sepatutnya diadakan pada November ini dibatalkan.
Perkara itu diumumkan oleh penganjur LAJSM 2020 dalam satu kenyataan semalam.
“Setelah melalui fasa penelitian isu COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun ini, kerajaan negeri Terengganu dan Persatuan Olahraga Terengganu (POAT) dengan berat hati membatalkan LAJSM 2020.
“Acara yang pada awalanya dijadualkan untuk berlangsung pada bulan ini kemudian ditunda ke November terpaksa dibatalkan atas nasihat pihak berkuasa memandangkan pandemik masih di tahap membimbangkan dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Disember,” ujar kenyataan itu.
Menurut penganjur lagi, pendaftaran peserta bagi acara itu tahun ini akan dibawa secara automatik ke LAJSM 2021.
“Tarikh rasmi bagi LAJSM 2021 akan dimaklumkan secara rasmi lelak.
“Oleh itu, peserta yang sudah mendaftar untuk tahun ini tidak perlu membuat pendaftaran sekali lagi,” tambah kenyataan itu.
16 Sep 20
1586