Artikel "Utama" Terkini
Bonjovi Bantu Bersih Rumah Mangsa Banjir
MARANG, 4 Disember - Sekumpulan 'Bonjovi' dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang berpadu tenaga membersih dan mencuci rumah mangsa yang terlibat dalam banjir kilat di Taman Bukit Indah, Rhu Renggeh.
Kumpulan remaja yang terdiri daripada 15 sehingga 20 orang itu, merupakan sukarelawan yang sering terlibat dalam operasi membantu penduduk sekitar sekiranya memerlukan bantuan.
Pegawai Akademik Didik Ulamak Amilin Terengganu Dun Rhu Rendang, Mohd Fakhruddin Zakaria berkata, asalnya kumpulan itu ditubuhkan bagi memumpuk semangat dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di kalangan remaja serta penduduk kampung.
Gotong royong menukar atap rumah penduduk yang rosak
"Mereka ini terdiri daripada remaja setempat yang sangat komited dalam memberikan khidmat kepada penduduk kampung dan masyarakat sekitar.
"Hari ini, mereka menawarkan diri untuk bersama-sama membersih, dan mencuci rumah yang dimasuki air dan banjir kilat ekoran daripada hujan lebat selama dua hari.
Beliau berkata sebaik sahaja selesai kerja-kerja membersihkan rumah mangsa banjir kilat bersama-sama Jabatan Amal Marang, dan Jawatankuasa Banjir Dun Rhu Rendang.
Turut hadir membersihkan kawasan rumah mangsa banjir kilat adalah Jabatan Amal Marang, Ahli Jawatankuasa Bencana Banjir Dun Rhu Rendang dan Muslimat Dun Rhu Rendang.
Menurutnya lagi, kumpulan ini juga adalah remaja kampung yang pada awalnya berkumpul untuk mengikuti kelas Al-Quran dan fardhu ain yang dilaksanakan di bawah gabungan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kijing dan paya.
"Banyak aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang telah dilakukan seperti membantu menukar atap rumah yang terlibat kebakaran, membersihkan kedai penduduk, membina gerai dan pondok mengaji, serta membersihkan rumah pesakit lumpuh," tahmbahnya lagi.
04 Dec 20
567
'Kali Pertama Berdepan Banjir Besar'
KUALA TERENGGANU, 4 Disember – Banjir yang berlaku tahun ini jauh lebih besar berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana kawasan yang jarang dinaiki air turut terjejas.
Salah seorang mangsa banjir, Hasnah Che Embong, 56 yang tinggal bersama anaknya menyifatkan kenaikan paras air di Kampung Batu Enam Chendering tahun ini sangat luar biasa.
"Ini kali pertama mak cik dipindahkan dari rumah, sepanjang 56 tahun hidup tidak pernah lagi, banjir bulan lepas juga tidak berpindah.
"Demi keselamatan nyawa, terpaksa tinggal barang-barang, habis rosak peti sejuk, kabinet, mesej basuh dan banyak lagi.
"Kereta dan motosikal pun tak selamat kerana air naik tinggi bermula sekitar waktu maghrib. Kemudian lepas isyak penyelamat datang mari ambik mak cik," katanya kepada pemberita UPDI di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering semalam.
Menurutnya lagi, walaupun sedih memikirkan barangan di rumah, dia dan anaknya tetap bersyukur kerana dibantu banyak pihak.
"Alhamdullilah, tempat PPS ini cukup lengkap semua keperluan dan anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak lain amat membantu rakyat yang tengah susah sekarang ini," tambahnya.
04 Dec 20
644
Ini Bukan Masanya...
KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Orang awam diingatkan supaya tidak berkumpul di kawasan-kawasan berisiko sepanjang musim banjir ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman menyatakan, tindakan tersebut dikhuatiri membahayakan diri dan keluarga mereka.
"Dengan cuaca hujan renyai hari ini, ada diantara orang awam dan komuniti keluar ke bandar serta ke kawasan pinggir pantai untuk menyaksikan keadaan ombak dan sebagainya.
"Kita nasihatkan supaya jauhkan daripada berada di kawasan berisiko sebab kita tahu agensi-agensi penyelamat dalam proses bertungkus lumus memindahkan mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri Terengganu, ini bukan masanya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika tinjauan keadaan semasa sungai Terengganu di Pesisir Payang bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), malam ini.
Jelasnya, masyarakat terutamanya di Pantai Seberang Takir dan pinggir sungai ditegah mengabaikan aspek keselamatan mereka.
"Itu agak berbahaya, jadi jangan sewenang-wenangnya bersiar-siar dan pergi melihat," katanya.
Che Adam turut memaklumkan jangkaan semasa daripada agensi keselamatan berkaitan situasi banjir.
"Kita jangkakan akan ada komposisi hujan yang agak lebat di kawasan pedalaman kerana di kawasan pantai keadaan telah reda.
"Di kawasan hulu Terengganu, ada kebarangkalian kita bakal membuka lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melihat kepada rujukan berkaitan paras sungai di sana," katanya.
03 Dec 20
672
Jangan ‘Bersiar-siar’ Di Pantai!
KUALA TERENGGANU, 3 Disember – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri tempat berisiko seperti pantai sepanjang musim tengkujuh ini bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lef Kol (PA) Che Adam A Rahman menegaskan, hasil tinjauan yang dilakukan di sekitar Drawbridge dan Pantai Seberang Takir pihaknya mendapati ramai orang awam berada di sana.
“Sekarang keadaan ombak agak tinggi berserta angin kencing, tetapi ramai orang awam berada di kawasan sekitar.
“Jadi kita nasihatkan agar elakkan daripada berada di kawasan tersebut sebab kita khuatir dalam situasi ini sangat tidak sesuai untuk ‘saja-saja’ melihat keadaan pantai,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Che Adam.
Tambah beliau, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat rondaan di kawasan terbabit.
“Ini bagi menyuraikan keadaan daripada orang ramai terus berkumpul di sana,” jelasnya.
03 Dec 20
5792
PPS Pertama Dibuka Di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 3 Disember - Hujan lebat di daerah ini sejak malam tadi menyebabkan 14 mangsa daripada dua keluarga dari Kampung (Kg) Kolam dan satu keluarga dari Kg Tok Gebok dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lef Kol (PA) Che Adam A Rahman, berkata PPS di Balai Raya Kg Kolam adalah yang pertama di daerah ini berikutan banjir akibat hujan lebat.
Katanya, disebabkan keadaan itu, penduduk terpaksa dipindah segera ke PPS berkenaan bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.
"Semua mangsa dipindahkan ke PPS berkenaan yang dibuka pada jam 5.15 petang.
"Kami akan melakukan pemantauan secara berterusan di semula lokasi banjir untuk memastikan tiada mangsa yang terkandas di rumah mereka akibat bencana itu," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Sementara itu, menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan kebanyakan stesen bacaan di Terengganu berada pada trend peningkatan paras air sungai.
Sebuah stesen bacaan di daerah Hulu Terengganu pula menunjukkan peningkatan paras air melepasi paras waspada iaitu di Kuala Ping.
"Mengikut bacaan yang diterima, hujan sedang turun dengan lebat di Jambatan Kuala Berang dengan kadar purata agak tinggi dengan 121 milimter (mm) dalam tempoh 22 jam.
"Jika hujan masih berterusan sehingga awal pagi kemungkinan besar kawasan rendah berisiko untuk banjir dan PPS akan dibuka," jelas beliau.
Sehingga kini terdapat 49 PPS dibuka di lapan daerah melibatkan 503 keluarga dengan 1,817 mangsa.
03 Dec 20
616
Rumah Dinaiki Air, Syukriah Tetap Semangat Belajar
MARANG, 3 Disember - Dugaan dan cabaran kali pertama berhadapan dengan musibah banjir tidak pernah melunturkan semangat seorang pelajar untuk mengikuti kelas secara atas talian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Nur Syukriah Roning, 22, antara mangsa banjir yang berada di PPS Sekolah Kebangsaan Rusila yang sedang menduduki peperiksaan pertengahan semester tiga, Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Pelajar kejuruteraan Pembuatan tahun tiga itu berkata dia tetap melaksanakan tugasnya untuk belajar walaupun terpaksa meneruskan pembelajaran tanpa kelengkapan utama seperti buku-buku rujukan dan komputer.
Menurutnya yang bercita-cita untuk menjadi seorang Jurutera, fokusnya untuk belajar tidak hilang malah cuba tetap cekal meneruskan sesi kuliah bersama pensyarah dan rakan sekelas lain.
"Saya terpaksa gunakan telefon bimbit untuk membuat ulangkaji, memang sukar kerana liputan agak terhad kat PPS tapi tetap teruskan untuk peperiksaan subjek ketiga iaitu Bahasa Melayu pada Selasa hadapan.
"Walaupun dalam keadaan kelam kabut, saya terus cekalkan hati serta kuat semangat kerana perlu menghadapi peperiksaan dan bencana ini memberi saya semangat supaya berusaha gigih untuk mencapai keputusan yang cemerlang," ujarnya ketika ditemui pemberita di sini, hari
ini.
Anak bungsu dari tujuh beradik itu sempat menceritakan saat rumahnya dinaiki air secara mendadak menyebabkan hanya mampu mencapai apa yang perlu.
"Saya cuma sempat ambil dua pasang baju sahaja sebab kami diarah untuk berpindah segera apabila hujan makin lebat dan paras air naik dengan cepat.
"Segalanya berlaku dengan pantas, dan untuk kembali ke rumah, saya perlu mengharungi air separas pinggang jika ingin mengambil barang-barang keperluan," tambahnya.
03 Dec 20
817
Marang Catat Mangsa Banjir Tertinggi
MARANG, 3 Disember - Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu melaporkan daerah Marang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 660 orang mangsa setakat jam 8.43 malam hari ini.
Sekretariat tersebut dalam satu laporan berkata, daripada jumlah tersebut, pusat pemindahan di SK Rusila mencatat angka paling tinggi iaitu seramai 186 orang daripada 49 keluarga.
Selain itu, sebanyak empat pusat pemindahan baharu dibuka hari ini iaitu di SMK Merchang, SK Tasek, SMK Seri Payong dan Dewan Sivik Pekan Wakaf Tapai yang turut mendorong peningkatan kes di daerah ini.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof berkata, sumbangan segera telah diberikan kepada semua mangsa banjir di daerah ini
"Alhamdulillah, kita (Pusat Khidmat Ahli Parlimen Marang) baru selesai membuat lawatan pusat pemindahan di SK Rusila pada hari ini dan di sini mangsa banjir ni agak ramai iaitu berjumlah 186 orang.
"Saya mewakili parlimen Marang turun melawat dan juga memberi sumbangan kewangan pada mangsa-mangsa banjir ini untuk meringankan beban yang dialami mereka," katanya kepada wakil wartawan UPDI sejurus selesai agihan bantuan bertempat di SK Rusila, dekat sini, hari ini.
Beliau turut mengulas berkenaan kesiapsiagaan jentera penyelamat dalam menghadapi apa-apa kemungkinan di luar jangka.
"Di samping itu, kita turut melihat dan meninjau perkembangan persediaan pihak berkuasa dalam misi bencana banjir ini. Alhamdulillah nampaknya sangat bagus," katanya
Berdasarkan tinjauan semasa yang dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air semasa di Sungai Marang mencatat bacaan 1.39m dan dalam trend menaik, namun belum memasuki zon waspada atau amaran.
03 Dec 20
697
Marzuki Kekal!
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Marzuki Sulong sekali lagi dipilih memegang tampuk Timbalan Presiden II Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) apabila memperoleh 32 undian berbanding pesaingnya, Mohd Sekanther Abdul Hamid yang memperoleh 24 undian.
Pemilihan tersebut menjadikan Marzuki melebarkan kepimpinannya sejak tahun 2000 dalam PBSNT.
Beliau yang ditemui selepas Kongres Tahunan PBSNT 2020, hari ini menegaskan dirinya akan berusaha sebaik mungkin untuk memajukan bola sepak Terengganu bagi penggal baru ini.
"Alhamdulillah ini mandat baru yang diberikan dan kita akan berkerja secara berpasukan kita saling mengingati dan menghormati demi memartabatkan bola sepak negeri. Pada hari ini, kita boleh tengok kesinambungan bakat dalam Terengganu dengan ramai pemain anak negeri yang diserap ke pasukan lebih tinggi.
"Sejujurnya dalam bertanding ini, saya hanya meletakkan apa yang telah saya buat untuk pasukan Terengganu, saya telah cuba buat yang terbaik dan saya tiada niat menyakitkan hati sesiapa," katanya kepada media di Hotel Permai, di sini.
Jelasnya, persatuan turut sentiasa memartabatkan bekas-bekas pemain dalam pembangunan bakat-bakat baru bola sepak dan beliau menafikan dakwaan meminggirkan pemain-pemain lama.
"Kita memartabatkan bekas pemain, itu matlamat kita nombor satu. Sebab itu, kalau kita tengok daripada jurulatih yang dipilih bagi Terengganu FC 2, 3, dan 4 terdiri daripada semua bekas pemain kita. Tetapi, kerana ramai, bukan semua dapat diberi peluang.
"Saya tiada niat lain, saya akan buat yang terbaik dan saya minta maaf jika ada salah silap. Jika berjaya, anggaplah kejayaan ini kejayaan kita bersama," katanya.
03 Dec 20
1096
Cuaca Buruk, Hujan Lebat Berterusan
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk dengan hujan lebat dijangka berterusan di semua kawasan di Terengganu mulai jam 2 petang hari ini sehingga 5 Disember ini.
Sementara itu menurut Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, sehingga jam 2 petang tadi, seramai 190 keluarga membabitkan 684 mangsa banjir dipindahkan ke 15 Pusat Perpindahan Sementara (PPS) di lima daerah.
Katanya, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman terdapat mangsa perpindahan di beberapa PPS yang disediakan
“’Marang merekodkan mangsa banjir paling tinggi iaitu, 72 keluarga melibatkan 259 mangsa diikuti Kuala Nerus (32 keluarga, 137 mangsa); Kuala Terengganu (38 keluarga, 127 mangsa); Kemaman (33 keluarga, 113 mangsa) Dungun, (15 keluarga, 48 mangsa) dan Marang merekodkan bilangan 72 kelaurga, 259 mangsa),” katanya.
03 Dec 20
1143
Patuhi Arahan Berpindah
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi menasihatkan penduduk di kawasan yang terjejas banjir agar segera berpindah ke pusat pemindahan apabila diarah berbuat demikian oleh pihak berkuasa.
Katanya, penduduk tidak perlu menunggu sehingga keadaan bertambah teruk sebelum bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan.
“Pastikan peralatan elektrik diletakkan di tempat yang selamat dan matikan suis elektrik sebelum meninggalkan rumah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, hari ini.
Turut hadir, ADUN Wakaf Mempelam Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.
Menurut beliau, setakat pukul 10 pagi tadi jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Chendering adalah seramai 86 orang melibatkan 26 buah keluarga.
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai terutama mangsa banjir supaya mengelak daripada bermain air di kawasan banjir kerana ia boleh memudaratkan dari aspek keselamatan dan kesihatan.
Terdahulu, Muhammad Khalil serta kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Burok telah meninjau dan membantu penduduk terjejas banjir di beberapa kawasan seperti Kondo Cerong Binjai, Kuala Ibai, Kampung Nibong dan Kampung Kubang Ikan serta beberapa kawasan lain.
“Proses pemindahan mangsa banjir ke SK Chendering malam tadi berjalan lancar dan kita turut mendapat kerjasama dan bantuan daripada pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam serta sukarelawan Pemuda PAS dan Jabatan Amal,” ujarnya.
03 Dec 20
692