Artikel "Utama" Terkini
Anak Terengganu Juara Pertandingan Pidato Bahasa Korea 2020
KUALA TERENGGANU, 4 Januari – Amelya Shamira Kamarudin, 20, membuktikan anak kelahiran Terengganu mampu berjaya di tahap tertinggi selepas dinobatkan sebagai juara kategori kelas tinggi (advanced) dalam Pertandingan Pidato Bahasa Korea 2020, baru-baru ini.
Anak kelahiran Paka, Dungun itu berkata, kemenangan tersebut merupakan hasil pembelajaran sendiri dan menonton rancangan serta mendengar lagu Korea sejak daripada darjah empat.
“Bila menang, perasaan gembira tapi terkejut pun ada kerana dalam kalangan 32 peserta dari Malaysia lain, mereka pernah atau sedang belajar di Korea sedangkan saya sendiri tidak pernah pijak tanah di sana.
“Melalui pensyarah Bahasa Korea di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, saya mengambil bahagian mewakili negeri dan universiti sendiri,” katanya yang juga anak bongsu daripada lima adik beradik.
Amelya yang juga seorang mahasiswa UiTM Shah Alam, berjaya memenangi tempat pertama kategori kelas tinggi (advanced) dan membawa pulang trofi dan sijil anugerah serta cenderahati bernilai RM400 mengalahkan tiga peserta lain.
Sementara itu, menurut penganjur, peserta diberi tugas berpandukan dua tema iaitu ‘Dunia Yang Tidak Pernah Dialami’ dan ‘makna ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Korea dan Malaysia’, sebagai tanda keutuhan hubungan antara dua negara.
Katanya, ia bagi memberi ruang dan peluang untuk membina kerjasama serta pertukaran budaya dan idea antara peserta mengenai pendidikan bahasa Korea di Malaysia.
Menurut Presiden Persatuan Penduduk Korea di Malaysia (KSM), Lee Tae Soo, minat masyarakat Malaysia terhadap Bahasa Korea serta budaya dan seni Korea Selatan secara menyeluruh semakin meningkat.
“Oleh sebab itu, pertandingan seperti ini wajar diperluas dan diperbanyakkan lagi pada masa hadapan,” katanya ketika berucap semasa program tersebut.
Sejak penganjuran pertama pada tahun 2001, program tersebut julung kali diadakan atas talian melalui platform ‘Zoom’, disebabkan kekangan situasi pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh dunia.
Dalam perkembangan sama, Arini Ab Ghani memenangi pemenang Hadiah Utama (Grand Prize) manakala Gan Jing Lin memenangi kelas sederhana (Intermediate) dan Siti Aisyah muncul sebagai pemenang bagi kelas pertama (Beginner).
Program tersebut dianjurkan oleh Ketua Panitia dan Pensyarah Bahasa Korea Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seo-Kyu Won dan Bang Ji Yeon dan International Education Centre (INTEC).
04 Jan 21
3081
Tiga Loji Baharu Dibina, Atasi Masalah Air
KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Tiga loji baharu yang sedang dalam pembinaan bakal menyelesaikan masalah air yang membelenggu penduduk di daerah ini, Kuala Nerus dan Marang.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ir Atemin Sulong berkata, langkah itu merupakan penyelesaian jangka panjang.
Katanya, bermula Aidilfitri nanti pihaknya menjangkakan rakyat Terengganu tidak lagi menghadapi bekalan air terputus.
"Loji Air Bukit Berapit, Kuala Nerus dan Loji Air Losong (tambahan) yang dibina pada tahun 2016 dijangka siap dan boleh beroperasi beberapa bulan lagi.
"Manakala sebuah lagi iaitu Loji Air Pulau Bahagia dijangka siap dan boleh beroperasi Februari ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Taklimat Gangguan Bekalan Air di Pejabat SATU, hari ini.
Menurutnya, ketiga-tiga loji berkenaan berupaya menambah bekalan sebanyak 184 juta liter air sehari (mld) berbanding hanya 282 mld yang mampu dibekalkan oleh Loji Rawatan Air Losong, Loji Rawatan Air Kepong 1 dan Kepong 2 ketika ini.
Atemin berkata, pihaknya juga sedang giat menjalankan kerja-kerja menaik taraf loji serta pembesaran paip, tangki utama dan rumah pam.
Sementara itu, bagi penyelesaian jangka pendek pula, SATU mengambil langkah dengan membuat kerja-kerja catuan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air bersih secara berterusan pada tempoh siang hari.
"Selain itu, kita juga menghantar bantuan bekalan air melalui lori tangki air ke kawasan terjejas.
"Juga, menempatkan tangki-tangki statik ke kawasan yang memerlukan," ujarnya.
03 Jan 21
6388
JPKK Tempat Rakyat Mengadu
Oleh : Rohayati Ripin
DUNGUN, 2 Januari - Kerajaan Terengganu mengingatkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) agar boleh menjadi tempat rakyat memberi pandangan, menyalurkan idea dan cadangan mereka kepada pihak berkuasa di negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, JPKK boleh menjadi 'tulang belakang' kepada kepimpinan yang ada di kawasan ini serta melaksanakan tugasnya dengan baik.
“JPKK harus merancang bagaimana kita boleh menjadikan bandar Bukit Besi ini dalam satu suasana yang lebih kondusif kepada masyarakat.
“JPKK tidak boleh lagi berada dalam kepompong konvensional dan harus punyai 'Master Plan' bagi merancakkan pembangunan kampung, dan seharusnya merangkumi aspek pembangunan infrastruktur, pembangunan sosial yang punyai KPI tersendiri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Balai Raya Perumahan dan Penyerahan Kunci di Dataran Kejap Futsal DUN Bukit Besi, Dungun, semalam .
Sehubungan itu, kata Dato Yahaya, balai raya ini hendaklah digunakan secara 'holistik' melibatkan pelbagai aktiviti masyarakat seperti membuat tuisyen rakyat, seminar motivasi, tempat bermesyuarat dan berprogram.
“Pastikan infrastrutur yang ada ini tidak berlaku 'vandalisme' dan perkara yang merosakkan harta benda awam.
"Kami (kerajaan) berharap supaya pertemuan demi pertemuan dapat diadakan di sini (balai raya) dan masyarakat setempat boleh menjadi pembantu kepada balai ini untuk menjadi bandar yang maju , berkat dan sejatera sebagaimana hasrat kerajaan negeri yang ada sekarang ini,” jelasnya.
Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar bersama-sama menjaga dan memasyarakatkan balai raya sebagai pusat komuniti masyarakat di kawasan ini.
03 Jan 21
523
Operasi Besar-Besaran Kurangkan Aktiviti Maksiat
MARANG, 2 Januari - Kesalahan jenayah syariah di daerah ini telah mencatatkan pengurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya terutamanya pada malam ambang tahun baharu berikutan operasi pencegahan yang kerap dijalankan.
Ketua Skuad Amar Marang, Nasaruddin Samsudeng berkata, lokasi panas yang menjadi tempat pelaku melempiaskan nafsu memperlihatkan perubahan dan tiada tangkapan dibuat.
Katanya, ia terbukti dalam satu operasi cegahan 'Sifar Maksiat' oleh Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar), Pegawai Penguatkuasa Syariah, Pejabat Agama Daerah Marang, dan Sukarelawan Syariah ke hotel-hotel, chalet, dan rumah tumpangan.
"Dalam serbuan kali ini, hanya satu pasangan yang bukan berasal dari daerah ini, berusia lingkungan awal 20-an dicekup di sebuah hotel kira-kira jam awal 3.00 pagi.
"Pasangan tersebut akan didakwa di bawah kesalahan seksyen 31, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 sekiranya sabit kesalahan," katanya selepas operasi.
Menurutnya lagi, pada tahun ini Skuad Amar dan agensi terbabit akan terus memberi didikan dan kesedaran berkaitan syariat agama kepada masyarakat sekeliling.
"Sebelum operasi ini dijalankan, kita telah membuat hebahan awal dan sebaran berkenaan pencegahan aktiviti maksiat serta akan melakukan operasi secara besar-besaran.
"Satu 'banner berkenaan operasi mencegah maksiat juga telah dipasang di empat buah lokasi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Alur Limbat dan Bukit Payong.
"Ini adalah bagi mencegah daripada perkara tidak bermoral berlaku malah membuatkan mereka merasa gerun untuk melakukan kesalahan," tambahnya.
Operasi yang bermula seawal jam 12.00 tengah malam berakhir sekitar jam 4.00 pagi disertai oleh lebih 60 orang yang terdiri daripada Ahli Skuad Amar, Sukarelawan Syariah dan Pegawai Penguatkuasa Syariah, Pejabat Agama Daerah Marang.
02 Jan 21
1785
Tahun Melawat Kenyir 2021 Sasar 500,000 Pengunjung
HULU TERENGGANU, 2 Januari- Sempena Tahun Melawat Kenyir 2021 (TMK2021), kerajaan negeri menyasarkan kehadiran lebih 500,000 pengunjung dari seluruh negara ke tasik seluas 38,000 hektar itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, pelbagai acara dan program telah diatur oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) sepanjang tahun ini untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Tasik Kenyir.
"Alhamdulillah, Tasik Kenyir semakin hari semakin mendapat sambutan. Bagi TMK2021, banyak program yang telah dirangka dari awal Januari sehingga bulan Disember dan kita tutup tahun ini dengan program yang sama iaitu ASEAN MCT.
"Terdapat lebih 20 program yang akan berlangsung dan kita ada paling besar ialah Festival Kenyir," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penutup Asean Monsoon Casting Tournament (Edisi Istimewa) Tasik Kenyir di Sungai Leban, hari ini.
Jelasnya, berikutan kekangan pandemik Covid-19 kerajaan negeri turut memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kerajaan negeri memang begitu menjaga keselamatan dan SOP supaya situasi tidak merebak dan dengan penyediaan SOP yang lebih baik daripada KETENGAH, ia mampu membantu menyekat penularan pandemik.
"Selain itu, kita juga amat berharap semua pelancong dan penganjur dapat mematuhi SOP dan peraturan ditetapkan," katanya lagi.
Tambahnya, pihak pengurusan sememangnya ada menyediakan panduan untuk ke kawasan-kawasan di dalam Tasik Kenyir.
"Kita tidak akan buka sebebas-bebasnya semua kawasan di Kenyir dan tujuannya hanyalah pemuliharaan, contohnya santuari kelah pada musim tengkujuh kita tutup kerana tujuan konservasi.
"Ia tidak menghalang aktiviti pengunjung terutama pemancing yang masuk kerana banyak lagi tempat-tempat yang boleh dijelajahi.
"Ada tempat yang kita beri masuk ada yang tidak atas faktor keselamatan, konservasi dan lain-lain. Ada perkara yang perlu kita urus supaya Kenyir terus menjadi destinasi eko-pelancongan menarik dan mendapat sambutan daripada pelancong luar dan dalam negara," katanya.
AMCT 2020 yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini melibatkan lebih 100 peserta. Kejohanan tahunan tersebut juga telah diumumkan bakal menjadi acara penutup TMK 2021 pada tahun ini.
"Saya juga ingin mengumumkan bahawa International Monsoon Casting Tournament (IMCT) 2021 akan berlangsung pada 17 sehingga 21 Disember ini," maklum Ariffin.
02 Jan 21
1120
'Street Dakwah' Ambang Tahun Baharu Didik Golongan Muda
KUALA TERENGGANU, 2 Januari – Dakwah jalanan sempena ambang tahun baharu 2021 yang diadakan serentak di seluruh Terengganu berjaya mendidik anak muda tentang Islam dan gejala sosial.
Bagi daerah ini, aktiviti yang diketuai Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) itu menyasarkan kawasan-kawasan tertentu yang menjadi tumpuan belia seperti Sekolah Ladang, Drawbrige, Pasarnita, Dataran Astaka dan berakhir di Persisiran Payang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya mengedarkan empat risalah antaranya menyentuh berkenaan seruan masyarakat untuk cakna tentang aurat.
"Kedua, risalah mengenai bahaya dadah agar warga belia jauhi najis dadah dan meningkatkan kesedaran tentang kesan merbahayanya kepada keluarga.
"'Ayuh tolak maksiat', menceritakan kesan buruk aktiviti tersebut dan pendedahan buat orang muda sekeliling.
"Keempat mengenai solat iaitu tonggak sebuah negeri, jika rakyat menjaga sembahyangnya sudah tentu negeri kita kekal aman," katanya ketika ditemui semasa program itu.
Hadir sama, Pengarah Akademi DUAT, Ramlan Mahmood dan Pengarah Urus Setia Belia Sukan Negeri Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak.
Turut terlibat rakan strategi, Skuad Amar Maaruf Kuala Terengganu, Azhar Care, Amerah Terengganu, PESAT & Alternative Riding Club (TARC), Pemuda Pas Kuala Terengganu dan Jabatan Amal.
Untuk rekod, Akademi Duat Turut melancarkan program Street Dakwah Ambang Tahun Baru 2021 dan Aktiviti Dakwah di peringkat Dun seperti forum dan bicara Daie sempena ambang tahun baru secara serentak di seluruh Negeri bermula 28 hingga 31 Dis 2021.
Turut dilaksanakan majlis solat hajat dan doa menyambut tahun baru 2021.
02 Jan 21
1102
2020, Tahun Mencabar Bagi DITC
KEMAMAN, 2 Januari - Tahun 2020 merupakan tahun yang paling mencabar buat Darul Iman Training Centre (DITC) akibat penularan pandemik COVID-19 berserta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dengan persetujuan pihak pengurusan, DITC telah diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pusat kuarantin untuk Zon Terengganu Selatan bagi mereka yang disyaki bergejala dengan COVID-19.
Pengerusinya, Ustaz Hazri Jusoh ketika berucap di Majlis Makan Tengahari di Dewan Makan DITC kelmarin menyatakan, banyak tempahan pelanggan terpaksa dibatalkan.
Ustaz Hazri Jusoh sedang berucap.
"Kita terpaksa membatalkan tempahan yang telah diterima bermula pada bulan April sehingga Ogos dan Oktober hingga Disember 2020 disebabkan perkara ini.
"Ini bermakna DITC telah kehilangan pendapatannya kira-kira RM1.13 juta dalam tempoh tersebut.
Kakitangan DITC.
"Tapi dalam masa yang sama kita juga berasa bangga kerana dapat membantu kerajaan dalam menyediakan prasarana untuk membantu para petugas barisan hadapan dalam membendung virus ini," ujarnya.
Beliau yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal memberitahu, ramai pekerja dan syarikat daripada sektor swasta telah dibuang kerja bagi mengawal aliran keluar kewangan mereka akibat penularan virus ini.
"Ramai di kalangan sahabat kita di luar sana telah diberhentikan kerja kerana majikannya tidak lagi mampu menanggung overhead cost akibat kelembapan ekonomi.
Kakitangan DITC.
"Elaun dan kerja lebih masa mereka terpaksa dipotong dan diatur oleh syarikat kecil dan sederhana bagi meneruskan operasinya," katanya.
Pada masa yang sama, Hazri turut mengumumkan imbuhan saguhati sebanyak RM300 kepada semua kakitangannya sebagai tanda terima kasih di atas komitmen dan kesabaran mereka dalam menempuh situasi yang sukar itu.
Saguhati dari pihak pengurusan DITC.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Chief Executive Officer DITC, Suhaimi Embong dan semua pegawai dan kakitangan bagi meraikan majlis akhir tahunnya dengan penuh kesederhanaan.
01 Jan 21
547
COVID-19 : 5,294 Individu Dari Zon Merah Disaring Secara Sukarela
KUALA TERENGGANU, 1 Januari –Seramai 5,294 individu dari zon merah yang memasuki Terengganu telah berjaya disaring COVID-19 secara sukarela sehingga 31 Disember 2020.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, hasil saringan tersebut, seramai 25 individu telah disahkan positif COVID-19 dan 17 daripada 495 kontak rapat yang telah dikenal pasti, juga didapati positif.
“Sehingga semalam juga telah dilaporkan 17 kes baru di mana majoriti kontak rapat kes positif lain,” katanya dalam satu kenyataan di facebooknya semalam.
Dr Nor Azimi turut menasihati, mereka yang bergejala seperti demam, anosmia dan seumpamanya supaya membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum merentas negeri.
“Sekiranya anda berada di kawasan wabak (kluster) atau telah membuat saringan di tempat sendiri, tangguh dulu niat merentas negeri sehingga keputusan ujian saringan anda telah diperolehi.
“Kita tak halang mereka yang ingin merentas negeri, tapi diingatkan supaya menjaga diri, keluarga dan masyarakat, bukan demi kepentingan sendiri semata-mata.
“Kami ada contoh kes di mana seorang yang demam tapi berjumpa dengan 10 buah keluarga di pelbagai majlis. Bayangkan puluhan kontak rapat terpaksa dicari dan dikuarantinkan,” katanya lagi.
Justeru itu, beliau menyeru agar semua orang tidak ambil mudah nasihat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan budaya norma baharu.
“Bayangkan apabila satu keluarga berkumpul ramai-ramai, adakah kita pasti SOP boleh dipatuhi oleh mereka.
“Jangan ambik mudah nasihat Elak 3S dan Amal 3W. Itu sahaja benteng pertahanan kita buat masa ini,” ujarnya.
01 Jan 21
867
Jalan Pesisir Pantai Seberang Takir Ditutup Sementara
Oleh : Noraini Jusoh/Ariffudin Alias
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Jalan Pesisir Pantai Seberang Takir dari arah Pantai Teluk Ketapang ke Jambatan Angkat ditutup sementara kepada semua kenderaan bermula hari ini (Jumaat) hingga Ahad.
Jabatan Kerja Raya Kuala Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan selama tiga hari sebahagian laluan berkenaan adalah untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya lantaran berlaku limpahan ombak serta sampah sarap di lokasi terbabit.
"Kerja-kerja pembersihan jalan akan segera dilaksanakan, justeru pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengambil jalan alternatif melalui laluan Jalan Seberang Takir.
"Papan tanda amaran dan pemberitahuan telah dipasang ditapak dan disertakan juga lampiran peta jalan alternatif untuk panduan kepada pengguna jalan raya," ujar kenyataan itu.
Katanya, semua pengguna jalan raya diharap mematuhi papan tanda arah dan papan tanda keselamatan yang disediakan.
"Kerjasama sepenuhnya dari semua pengguna jalan raya amatlah dihargai, " katanya.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab ketika melakukan tinjauan pagi tadi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Kuala Nerus bagi memastikan keadaan di situ terkawal.
"Tinjauan dari semasa ke semasa akan sentiasa dilakukan agar keselamatan orang ramai terjamin.
"Kerja-kerja pembersihan ini akan dipastikan berjalan sebagaimana dirancang," tambah beliau.
01 Jan 21
1696
Sambutan Tahun Baharu Terengganu Sarat Dengan Aktiviti Agama
KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Sambutan Ambang Tahun Baharu 2021 di negeri ini semalam sarat dengan pelbagai program keagamaan.
Ia termasuk dengan program utama iaitu sambutan secara dalam talian atau Pentas Online 'Ambang Tahun Baharu 2021 Terengganu' yang diadakan di markas Tarbiah, Kuala Ibai.
Keraian melalui saluran Facebook dan YouTube Tv Darul Iman itu diisi dengan forum santai beberapa Exco Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pendakwah bebas.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang menjadi ahli panel forum berkata, sambutan tahun baharu menjadi kelaziman kerana digemari oleh masyarakat khususnya orang muda.
"Program-program tahun baharu pada masa kini banyak menjurus kepada hiburan dan unsur-unsur yang melalaikan.
"Justeru, kerajaan negeri mengambil satu alternatif untuk membuat program sebegini, khususnya buat orang muda.
"Dengan harapan supaya ambang tahun dapat diisi dengan nilai positif kepada rakyat, pertama kita boleh insafi perkara yang dialami tahun sebelumnya dan kita muhasabah supaya memperbaiki kelemahan untuk tahun hadapan," katanya dalam forum tersebut.
Turut hadir dalam panel tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, ADUN Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pendakwah Bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau PU Syed.
Hadir sama, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said Pengarah Urus Setia Belia Sukan Negeri Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak, dan Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Wan Din.
Program Ambang Tahun Baharu 2021 bermula pada 8.15 malam turut dibintangi dengan persembahan nasyid oleh Abu Hurairah Band dan Ustaz Ahmad Muzani Abd Rahman.
Serentak dengan program itu juga, aktiviti 'Street Dakwah' turut diadakan di seluruh negeri.
Di Daerah Kuala Terengganu, dakwah jalanan itu dijayakan di Pasarnita dan perkarangan 'Foodtruck' di sekitar Jambatan Angkat bermula jam 10.00 malam.
Program anjurah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) tersebut mengfokuskan aktiviti edaran risalah bagi mendidik masyarakat di kawasan tumpuan belia.
Manakala 'Operasi Cegah Maksiat Ambang Tahun Baru' juga dikuatkuasakan di sekitar negeri.
01 Jan 21
529