lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Pusat Pemindahan Kampung Shukor Ditenggelami Banjir
Pusat Pemindahan Kampung Shukor Ditenggelami Banjir
DUNGUN, 6 Januari - Situasi semasa banjir di Hulu Dungun bertambah buruk selepas Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Shukor di sini turut dinaiki air hari ini. Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dungun, Kapten (PA) Ahmad Kamal Ngah berkata, paras air mula meningkat secara mendadak sejak pagi tadi akibat hujan lebat. Katanya, ia menyebabkan pada mangsa-mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke lokasi lain. “PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Shukor dan dewan serbaguna tersebut kini dinaiki air banjir paras pinggang menyebabkan kira-kira 20 keluarga atau 88 mangsa terpaksa berpindah sekali lagi. “Mereka telah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Minda, rumah pengerusi kampung dan menumpang rumah penduduk lain. “Sehingga 4.00 petang, kira-kira 74 keluarga telah dipindahkan di kawasan Hulu Dungun dan jangkaan situasi sekarang air akan meningkat lagi,” katanya ketika dihubungi UPDI. Beliau yang juga Sekretariat  Pengurusan Bencana Banjir Daerah Dungun memaklumkan, cabaran dari segi logistik kenderaan sedang dihadapi dalam banjir kali ini Namun katanya, hasil kerjasama semua pihak beberapa perkara masalah dapat diatasi. "Bantuan makanan dan keperluan bagi mangsa turut diagihkan di rumah pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.
06 Jan 21
2251
Mangsa Banjir Di Terengganu Meningkat Ke 910 Orang
Mangsa Banjir Di Terengganu Meningkat Ke 910 Orang
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Jumlah mangsa banjir di Terengganu kini mencecah 910 orang, sehingga jam 3 petang. Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah itu meningkat berbanding 267 orang pada pukul 8 pagi tadi. Katanya, Hulu Terengganu adalah daerah terbaharu yang dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong yang menempatkan 30 mangsa. "Di Kemaman, mangsa terus meningkat kepada 657 orang di tujuh PPS iaitu Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, SK Bukit Mentok, Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, SK Binjai, Dewan Sivik Air Putih dan Dewan Serbaguna Kampung Baru Felda Neram. “Sementara di Dungun pula, mangsa seramai 223 orang di tempatkan di dua PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Shukor," katanya.  
06 Jan 21
576
Jalan Kuala Jenderis-Kenyir-Aring Ditutup
Jalan Kuala Jenderis-Kenyir-Aring Ditutup
HULU TERENGGANU, 6 Januari - Jalan Kuala Jenderis-Kenyir-Aring 8 di Laluan FT36, yang melibatkan kilometer(KM) 74.8 sehingga KM 75 di Seksyen: 87(52.0) ditutup kepada semua kenderaan mula hari ini hingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak. Menurut kenyataan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu hari ini, penutupan itu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kejadian mendapan jalan di kawasan berkenaan. Jurutera JKR Daerah, Alif Zuwairi Baharuddin berkata, penutupan itu melibatkan laluan sepanjang 200 meter yang mana runtuhan tanah masih terjadi dan kerja penutupan segera sedang dilakukan melibatkan laluan tersebut. "Sehubungan dengan itu, papan tanda lalu lintas akan dipasang di tapak untuk panduan pengguna jalan raya mematuhi tanda arah dan papan tanda keselamatan yang disediakan. "Kerjasama sepenuhnya daripada semua pengguna jalan raya amat diharapkan," ujarnya dalam kenyataan tersebut. Jelasnya, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan  Jalan Alternatif Kuala Krai di FT08 bergantung situasi semasa. Untuk maklumat lanjut, boleh berhubung dengan pejabat JKR Daerah Hulu Terengganu, di talian 09-6811900 atau faks 09-6811896.
06 Jan 21
1414
Salur Bantuan RM500 Selepas Banjir Berakhir
Salur Bantuan RM500 Selepas Banjir Berakhir
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sekali bayaran berjumlah RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas selepas berakhirnya fasa banjir di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan pertindihan sumbangan kepada mangsa yang sama. “Pada peringkat awal kerajaan berhasrat  menyalurkan bantuan sebelum 15 Januari ini tetapi memandangkan situasi banjir yang tidak menentu dan belum berakhir, kita terpaksa mengambil sedikit masa. “Setakat ini, kita masih lagi dalam proses untuk mengemaskini data mangsa banjir yang terkesan ekoran Terengganu masih lagi berada dalam fasa kelima dan kebimbangan akan  berlaku gelombang seterusnya agak tinggi,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi mengupas situasi banjir, bantuan dan tindakan pemulihan di Terengganu ketika bersiaran di Astro Awani, hari ini. Sementara itu Hanafiah berkata, mangsa banjir tidak perlu bimbang mengenai bantuan pasca banjir kerana semua pihak berganding bahu memastikan kebajikan mereka terjaga. “Selain daripada bekalan makanan yang dihantar pihak kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, ramai juga NGO-NGO yang memberikan sumbangan kepada mangsa banjir. “Baru-baru ini kami bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berada di Kemaman turut menghantar tilam, tikar getah dan juga keperluan dapur kepada mereka,” ujarnya. Menurut Hanafiah, pihaknya turut menjalankan misi membantu mangsa banjir membersihkan kediaman mereka yang terjejas. “Di Terengganu juga ada sukarelawan dapur rakyat yang menyediakan juadah tengah hari untuk diagihkan kepada mangsa banjir,” ujarnya.  
06 Jan 21
2461
Segerakan Projek Kawalan Hakisan- Khairuddin
Segerakan Projek Kawalan Hakisan- Khairuddin
KUALA NERUS, 6 Januari - Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Negeri akan melaksanakan kerja-kerja pembinaan struktur lapis lindung batu (840m³ batu besar) sepanjang 60 meter bagi mengawal hakisan pantai di Pantai Tok Jembal dalam masa terdekat. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya sudah membuat tinjauan dan perbincangan bersama Pegawai JPS Malaysia dan akan menyegerakan projek kawalan hakisan pantai di Tok Jembal memandangkan ia semakin teruk.  Katanya, saban tahun apabila tiba musim tengkujuh penduduk di sekitar pantai Kuala Nerus akan dihantui rasa resah dan gelisah berikutan fenomena ombak besar yang menyebabkan kawasan pantai semakin terhakis sehingga memusnahkan kediaman dan premis perniagaan mereka. "Semasa ombak besar yang berlaku baru-baru ini, hakisan telah meruntuhkan sebuah gerai kecil dan merosakkan jalan raya yang menjadi laluan pengunjung ke pesisir pantai.Ia merupakan kawasan tumpuan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga dan banyak gerai-gerai makanan berhampiran dengan pesisir pantai ini. "Faktor keselamatan sudah tentu menjadi keutamaan ketika berkunjung di sini. Insha Allah, pihak kami dan JPS Malaysia akan usahakan dalam masa terdekat dengan menambung 840m³ batu besar sepanjang 60 meter bagi mengurangkan hakisan" katanya ketika ditemui di Pantai Tok Jembal di sini, baru-baru ini.     Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia memaklumkan kerajaan pusat telah meluluskan RM90 juta bagi kos projek kawalan hakisan pantai di Kuala Nerus yang tergolong dalam kawasan kritikal.  Projek itu sedang giat dijalankan bermula di Pantai Pengkalan Maras disusuri kawasan Pantai Mengabang Telipot dan Pantai Tok Jembal. 
06 Jan 21
376
PPS Di Dungun Ditutup Sepenuhnya
PPS Di Dungun Ditutup Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Banjir yang melanda Dungun pulih sepenuhnya dan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di daerah itu ditutup sejak pagi tadi. Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, ketiga-tiga PPS terbabit iaitu  Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda yang menempatkan seramai 154 mangsa membabitkan 45 keluarga itu ditutup pada pukul 10 pagi.  Che Adam berkata, sehingga 12 tengaha hari tadi hanya satu daerah terjejas banjir fasa kelima di negeri ini iaitu di Kemaman dengan seramai 876 mangsa. “Kesemua mangsa membabitkan 273 keluarga itu ditempatkan di lapan PPS di daerah itu.  “PPS tersebut adalah Dewan Orang Ramai Teladas, Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih, Surau Haji Othman, Dewan Orang Ramai Felda Seberang Tayor, Dewan Orang Ramai Pasir Gajah dan Balai raya Padang Kemunting,” katanya. Katanya, keadaan cuaca ketika ini hujan renyai-renyai di beberapa tempat.
05 Jan 21
352
Mangsa Banjir Di Terengganu Terus Meningkat
Mangsa Banjir Di Terengganu Terus Meningkat
KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Mangsa banjir di Terengganu terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 1074 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Setakat jam 8 pagi tadi, kesemua mangsa daripada 330 keluarga dipindahkan ke 12 PPS di Dungun dan Kemaman. Daripada jumlah itu, seramai 920 mangsa membabitkan 285 keluarga dipindahkan ke sembilan buah PPS di Kemaman iaitu di Dewan Orang Ramai Teladas, Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih, Surau Haji Othman, Masjid Tebak Batu 16, Dewan Orang Ramai Felda Seberang Tayor, Dewan Orang Ramai Pasir Gajah dan Balai Raya Padang Kemunting. Sementara itu, di daerah Dungun pula seramai 154 mangsa daripada 45 keluarga berpindah ke tiga buah PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda. Tengah hari semalam, hanya 815 mangsa daripada 207 keluarga dipindahkan ke lapan PPS di daerah sama. Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata Kemaman sekali lagi menjadi daerah yang paling teruk terjejas menerusi banjir gelombang kelima. “Berdasarkan keadaan cuaca semasa, berlaku hujan renyai sesekali lebat serta angin kencang di bahagian pantai,” ujarnya.  
05 Jan 21
2405
Empangan Kenyir Bukan Penyebab Banjir
Empangan Kenyir Bukan Penyebab Banjir
HULU TERENGGANU, 4 Januari - Banjir yang berlaku di beberapa daerah di Terengganu, Kelantan serta Pahang bukan berpunca dari pelepasan air di Tasik Kenyir. Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, bacaan paras air di Empangan Stesen Hidroelektrik Sultan Mahmud di Tasik Kenyir ketika ini ialah 142.63 meter dan masih berada pada paras normal, dengan tahap bekalan penuh 145 meter. Justeru itu katanya, orang ramai tidak perlu cemas dengan berita yang tular mengatakan berlaku pelepasan air yang tidak terkawal dari Empangan Kenyir sehingga menyebabkan banjir di hiliran. "Sebenarnya tidak ada kena mengena antara banjir di Kelantan dan Pahang dengan Tasik Kenyir. "Ini adalah kerana bentuk muka bumi di Terengganu, Kelantan dan Pahang adalah berbukit yang merupakan sempadan yang sangat tinggi melebihi 1,000 meter jadi kebarangkalian air keluar ke sebelah sana adalah tidak tepat dan mustahil untuk berlaku. “Air di Tasik Kenyir ini hanya keluar melalui Sungai Terengganu dan tiada saluran lain selain sungai ini," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan ke Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dan Stesen Janakuasa di sini hari ini. Katanya, empangan berkenaan sebenarnya berfungsi sebagai sistem tebatan banjir bagi mengelak berlaku bencana lebih buruk terutama di kawasan hilir sungai. "Tinjauan hari ini mendapati keadaan paras semasa  di Tasik Kenyir masih lagi 142.63 yang mana masih jauh daripada paras alur limpah. "Oleh itu, saya mohon mana-mana pihak tidak sebarkan makluman atau siaran video yang lama kerana  akan gusarkan penduduk setempat yang menyebabkan  masyarakat takut dan sebagainya. "Pihak kami sentiasa berhubung rapat dengan Tenaga Nasional Berhad(TNB) bagi memastikan kesiapsiagaan paras air di empangan ini untuk pastikan berada tahap terbaik dan tidak ada berlakunya takungan air yang kritikal,"katanya. Tambah beliau, proses alur limpah bagi setiap empangan adalah normal jika ia berlaku. "Sejak empangan ini dibuka pada 1985, rekod mencatatkan hanya 10 kali limpahan termasuk yang terakhir pada 2017 kerana pihak Tenaga Nasional Berhad telah mengawal kestabilan paras air setiap awal tahun," ujarnya. Untuk rekod, Tasik Kenyir yang berkeluasan 370 kilometer persegi itu mula dibina pada tahun 1978 dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 1985 dengan kawasan tadahannya seluas 1,260 kilometer persegi.
04 Jan 21
2634
815 Mangsa Banjir Fasa Kelima Di Terengganu
815 Mangsa Banjir Fasa Kelima Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Seramai 815 mangsa banjir dari daerah Dungun dan Kemaman dipindahkan ke lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga jam 12 tengah hari ini. Daripada jumlah itu, seramai 615 mangsa membabitkan 146 keluarga dipindahkan ke lima buah PPS di Kemaman iaitu di Dewan Orang Ramai Teladas, Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih dan SK Teluk Kalong. Sementara itu, di daerah Dungun pula seramai 200 mangsa daripada 61 keluarga berpindah ke tiga buah PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda. Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Che Adam A Rahman berkata, berlaku pertambahan bilangan mangsa banjir yang dipindahkan awal pagi tadi. "Sementara sebuah PPS ditutup iaitu SK Kemasik di Kemaman. Berdasarkan keadaan cuaca semasa, berlaku hujan renyai sesekali lebat serta angin kencang di bahagian pantai,” ujarnya. Dalam perkembangan sama, beliau berkata, paras tiga sungai utama iaitu Sungai Kampung Tebak, Sungai Kampung Baru Kemasik dan Sungai Kuala Jengai melebihi paras bahaya. Terengganu dilanda banjir fasa kelima bermula semalam dengan daerah Kemaman antara yang diramalkan mengalami hujan sangat lebat susulan amaran cuaca bahaya dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia. 
04 Jan 21
1481
Terengganu Salur RM194,760 Bantu Petani, Nelayan Terjejas Bencana
Terengganu Salur RM194,760 Bantu Petani, Nelayan Terjejas Bencana
KUALA TERENGGANU, 4 Januari – Kerajaan Terengganu terus membantu rakyat terkesan bencana alam apabila menyalurkan bantuan sebanyak RM194,760. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, golongan tani, penternak dan nelayan yang terlibat dalam musibah seperti ribut dan banjir telah menerima sumbangan berkenaan sejak bulan September lepas. "Mereka ditimpa ujian seperti bot rosak terkena ombak, ikan dalam sangkar mati, tanaman terkena ribut dan ditenggelami air banjir, haiwan ternakan mati serta dihanyutkan air banjir, kerosakan sangkar ikan, dan beberapa aduan lagi yang kami terima layak diberi bantuan. "Dari bulan September 2020 sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu yang terakhir minggu lepas, jumlah yang telah lulus serta telah dibayar saguhati.’ "Ia termasuklah yang sedang dalam proses untuk dibayar ialah seramai 226 pemohon dari semua sektor pertanian, perikanan dan penternakan dengan jumlah bantuan RM194,760,’’ beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini. Menurutnya, majlis penyerahan bantuan bencana ini tidak diadakan kerana ia disalurkan terus ke dalam akaun penerima bagi memudahkan urusan dan keselamatan daripada virus COVID-19 yang masih belum reda. "Ini antara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang kami buat dengan tujuan untuk menyegerakan bantuan. Tak apalah walau tak nampak gah. Yang penting rakyat dibantu," jelasnya.  
04 Jan 21
962